Malaysiakini |
Muda Mohd Noor | May 26, 08 3:47pm |
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Badrul Hisham Shaharin enggan mengulas ura-ura bahawa beliau akan menyertai Umno bersama bekas ketua Angkatan Muda (AMK) parti itu Mohd Ezam Mohd Nor. "Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu. Tetapi saya akan membuat pengumuman selepas saya berbincang dengan Ezam. "Saya menerima banyak pertanyaan mengenai perkara ini tetapi ketika ini saya enggan membuat komen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini. Beliau diminta mengulas satu coretan di sebuah blog yang mendakwa "satu pertemuan sulit" antaranya dengan Ezam beberapa minggu sebelum bekas setiausaha Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilaporkan akan menyertai Umno. Dalam pertemuan tersebut, menurut blog itu lagi, Mohd Ezam meyakinkan bekas calon parlimen Rembau itu agar turut menyertai Umno "bagi mengukuhkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menyekat kemaraan penentang-penentang perdana menteri". "Dengan ini 'reformasi' dan perang melawan rasuah lebih mudah untuk dilakukan," catatan di blog itu dipetik, yang mendakwa ia menerima maklumat tersebut daripada mesej emel yang dikirimkan kepadanya. "Ezam juga menjanjikan jawatan besar kepada Badrul jika beliau setuju untuk masuk Umno." Kedua-duanya aktif dalam AMK sebelum Ezam meninggalkan sayap pemuda itu dan kemudian bersama Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak), yang ditubuhkan Ezam, selepas pemimpin itu meninggalkan PKR. Badrul terpilih sebagai anggota MPT dalam mesyuarat agung PKR tahun lepas. |
Monday, May 26, 2008
Badrul sertai Umno bersama Ezam?
0 comments Labels: malaysiakini, PKR, UMNO haprak
NGO: Daftar pemilih baru OK, tapi mahu jaminan telus
Mstar Online
26-05-2008 08:34:56 PM
Oleh G. MANIMARAN
KUALA LUMPUR: Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganggap syor Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahu daftar pemilih semasa digantikan dengan baru sebagai langkah positif seiring dengan kehendak dan keperluan semasa.
Bagaimamanpun pemimpin-pemimpin NGO yang dihubungi menegaskan, apa yang lebih penting ialah memastikan daftar baru disyorkan itu jika diguna pakai kelak benar-benar mampu mengatasi masalah pemilih diragui, yang menjadi tumpuan banyak pihak selama ini.
Ibrahim Suffian, Pengerusi Eksekutif Merdeka Center, sebuah badan penyelidikan pilihan raya tempatan menganggap cadangan SPR itu sebagai langkah baru yang menepati kehendak pengundi negara ini selama ini.
"Saya yakin usaha SPR ini akan meningkatkan keyakinan terhadap suruhanjaya ini. Semua pihak dan parti politik perlu menerima cadangan ini dengan sikap terbuka," kata beliau ketika dihubungi mStar Online hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu satu daftar pemilih segar, yang akan melibatkan pendaftaran semula pengundi di seluruh negara, disediakan bagi menggantikan daftar induk semasa yang disifatkan badan itu sebagai “telah lapuk.”
Bagi tujuan tersebut, SPR akan mengesyorkan kepada kerajaan agar menyediakan undang-undang khas selepas mesyuarat anggota panel suruhanjaya itu 9 Jun ini.
"Sudah sampai masa bagi negara mempunyai satu sistem pendaftaran baru," kata beliau sambil menambah, langkah ini diharap akan membolehkan SPR bebas sama sekali daripada kritikan dan kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan daftar pemilih semasa tidak bersih dan sebagainya.
"Tidak ada proses penyempurnaan yang jelas untuk menyediakan daftar pemilih bersih. SPR cuma mengemaskinikan sistem sedia ada dari semasa ke semasa selama ini," kata beliau yang sealiran dengan pendirian Abdul Rashid.
Jelas beliau, langkah berkenaan selari dengan usaha kerajaan yang mahu memperbaiki imej dan kedudukan agensi antirasuah dan kehakiman selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.
Pemangku Pengerusi Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya menyambut baik saranan tersebut jika benar ia mampu untuk menghilangkan keraguan berhubung daftar pemilih semasa.
Kata beliau, usaha yang disyorkan oleh SPR tidak hanya bersifat mengemaskinikan data pemilih semasa, sebaliknya perlu menjangkaui ruang lingkup luas iaitu mengelakkan kewujudan semula pengundi hantu dan pengundi berganda.
"Kami berminat untuk mengetahui kaedah yang hendak digunakan apabila menyediakan daftar pemilih baru ini. SPR perlu menjelaskan terlebih dahulu," kata beliau yang mengaku ada menerima aduan mengenai kewujudan pengundi hantu dan pengundi berganda dalam pilihan raya umum lalu.
Beliau juga mengesyorkan SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara mempunyai sistem rujukan dua hala bagi memastikan daftar pemilih bebas daripada pemilih-pemilih diragui seperti pemilih berusia lebih 100 tahun.
Dalam pada itu, Penyelaras Women Monitoring Election Candidates (Womec), Maria Chin Abdullah pula berkata, idea penyediaan daftar pemilih baru nampak positif, tetapi beberapa persoalan memerlukan jawapan.
Persoalan-persoalan yang beliau bangkitkan ialah jumlah kos yang diperlukan bagi proses pendaftaran semula, jaminan tidak akan wujud kembali pengundi hantu, dan bagaimana hendak memastikan kesemua 10.9 juta pemilih semasa akan didaftarkan semula.
"Saranan ini jika dilaksanakan, ia akan memakan yang lama, meskipun beliau (Pengerusi SPR) menganggarkan dua tahun, ia cuma jangkaan beliau tetapi sebenarnya ia akan memakan masa lebih lama," kata beliau yang juga Pengurus Program Kanan Sisters in Islam.
Beliau juga menimbulkan persoalan mengapa sistem semasa tidak boleh mengenal pasti unsur-unsur seperti kewujudan nama pemilih yang sudah meninggal dunia dan mereka yang mempunyai dua alamat tempat mengundi.
"Sebagaimana saya tahu sistem (pendaftaran dan semakan) semasa telah digunakan sebelum 2004. Adakah sistem itu gagal digunakan dengan baik? Jika gagal mengapa ia jadi begitu. SPR bertanggungjawab untuk memberikan maklumat-maklumat sedemikian terlebih dahulu," kata beliau.
Anggota Pakatan Bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Liew Chin Tong berkata, pihaknya gembira kerana akhirnya SPR memberi perhatian terhadap aspek integriti daftar pemilih.
"Langkah untuk mengatasinya kemungkinan menjadi lebih buruk daripada masalah yang dialami. Apa yang penting ialah menyediakan proses pendaftaran secara automatik menggunakan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara.
"Adalah sesuatu yang melegakan kerana SPR akhirnya menyedari bahawa daftar pemilih sedia ada lemah dari integriti dan gagal untuk memastikan pilihan raya yang bersih, adil dan bebas. Bagaimanapun penyelesaian Rashid membimbangkan," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera dengan merujuk kedudukan SPR yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Pemerhati politik tanah air dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ahmad Nazimmuddin Sulaiman memberitahu, meskipun langkah yang dihasratkan oleh SPR adalah baik, tetapi yang penting ialah penyediaan daftar pemilih yang telus dan tepat.
"Persoalan perlu diberi perhatian ialah sama ada boleh menyediakan daftar pemilih yang telus dan tepat manakala parti-parti politik dibenarkan untuk membuat semakan," katanya.
Satu lagi langkah yang perlu difikirkan ialah pendaftaran semula secara automatik setiap mereka yang layak berbanding amalan semasa.
- Pembangkang: Bersihkan daftar sebelum mendaftar semula
- SPR syor daftar pengundi berusia 50 tahun diganti baru
- SPR sudah sedia, pilihan raya tergempar?
0 comments Labels: mstar online, NGO, SPR
Tidak munasabah subsidi minyak ikut kuasa enjin: MTUC
Berita Harian
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata cadangan memberi subsidi petrol berdasarkan kuasa enjin kenderaan adalah tidak munasabah dan perlu ada pendekatan lain yang lebih sesuai untuk membantu orang ramai dalam menghadapi kenaikan harga minyak.
Setiausaha Agungnya, G Rajasekaran, berkata penguatkuasaan adalah perlu bagi mengawasi penyelewengan subsidi minyak seperti penguatkuasaan bagi penggunaan tali pinggang keledar.
"Kita tidak menolak pembelian minyak mengikut kuasa enjin kereta (cc), tetapi kita bimbang pemilik kereta menggunakan kereta enjin berkuasa rendah semata-mata untuk membeli minyak buat kereta mewah mereka.
"Orang memang sanggup lakukan apa sahaja yang mereka boleh hanya untuk menjimatkan perbelanjaan untuk minyak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beberapa pihak baru-baru ini dilaporkan menyarankan agar pemberian subsidi mengikut kuasa enjin kereta bagi memberi keadilan kepada mereka yang tidak berkemampunan, yang kebanyakannya menggunakan kereta berkuasa rendah.
Menurut mereka, selama ini pemilik kereta berkuasa besar membeli minyak petrol pada harga subsidi dan ini tidak menepati usaha kerajaan membantu masyarakat berpendapatan rendah. — Bernama
0 comments Labels: Berita Harian, subsidi
Larangan Jual Minyak Kepada Kenderaan Asing Berkuatkuasa Jumaat Ini
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Kerajaan memutuskan semua stesen minyak di sempadan negara dilarang menjual petrol dan diesel kepada kenderaan asing berkuatkuasa Jumaat ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata larangan itu membabitkan stesen minyak dalam jarak 30 hingga 50km di kawasan sempadan negara.
Larangan itu membabitkan Perlis, Kedah, utara Perak, Kelantan dan Johor termasuk di Kulai dan Johor Baharu, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Menangani Inflasi di bangunan Parlimen yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata arahan bertulis mengenai larangan mengikut Akta Kawalan 1961 Bekalan itu akan dikeluarkan kepada pengusaha stesen minyak terbabit dalam masa terdekat.
"Usaha itu adalah langkah tegas kerajaan untuk membantu mengurangkan ketirisan dan kebocoran subsidi yang membabitkan kos tinggi, yang seharusnya dinikmati rakyat berpendapatan rendah negara ini," katanya.
Beliau berkata larangan itu akan berkuatkuasa sehingga kementerian dapat menentukan sistem pengurusan subsidi yang sesuai untuk menyekat penjualan atau pembelian minyak secara optimistik.
Shahrir berkata pegawai kementerian akan ditempatkan di stesen berkenaan untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap pemilik stesen yang engkar arahan itu.
Sabit kesalahan pengusaha stesen berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya manakala individu RM100,000 jika sabit kesalahan, katanya.
Beliau berkata sebelum ini didapati banyak kenderaan dari negara jiran datang membeli diesel dan petrol di stesen minyak di negara ini.
Dengan penguatkuasaan larangan itu, pelawat atau pelancong yang datang ke Malaysia perlu membeli bahan bakar itu di luar stesen berkenaan.
Shahrir berkata cadangan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) supaya pemberian subsidi petrol dilakukan mengikut kuasa enjin kereta juga sedang dipertimbangkan.
-- BERNAMA
0 comments Labels: bernama, isu pengguna
Muslimat: Baju sekolah memang 'seksi'
Malaysiakini |
May 26, 08 1:08pm |
Muslimat PAS bersetuju dengan saranan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang menggesa pakaian seragam pelajar perempuan diganti kerana jarang dan boleh mengundang gangguan serta jenayah seks. Bagaimanapun setiausaha dewan itu Aiman Athirah Al Jundi berkata isunya bukan warna baju pelajar itu tetapi jenis kainnya yang jarang dan menarik perhatian. "Kita tidak dapat menafikan bahawa material (bahan) kain putih yang digunakan selama ini adalah agak nipis dan menyebabkan pelajar-pelajar perempuan kelihatan agak seksi khususnya apabila tidak mengenakan tudung yang dapat membantu menutup dada mereka (sekiranya dilabuhkan sedikit)," katanya. "Apatah lagi sekiranya mereka hanya memakai bra tanpa mengenakan singlet dalam. Lebih ketara apabila warna pakaian dalam mereka lebih terang atau kontra dengan seragam putih yang mereka pakai. "Lebih malang bagi pelajar perempuan ialah apabila hari hujan." Dalam kenyataannya hari ini, Aiman Athirah berkata cadangan PKPIM Khamis lepas kepada Kementerian Pelajaran itu "sangat bertanggungjawab dan munasabah" dengan mengambil kira prinsip-prinsip perundangan Islam dan kaedah-kaedah usul fekah. Saranan naib presiden hal ehwal wanita PKPIM Munirah Bahari mengundang perdebatan kerana tidak ramai yang bersetuju dengan baju sekolah sekarang "seksi" dan boleh mendatang gangguan serta jenayah seks. Sabtu lepas, menteri pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menganggap pakaian kini tidak seksi. Beliau juga berkata kementerian tidak berhasrat membuat pertukaran seragam itu dalam tempoh terdekat seperti gesaan persatuan pelajar tersebut. Dewan Muslimat menyatakan pakaian tetap menjadi satu daripada beberapa faktor "pemangkin" berlaku dan meningkatnya jenayah seks. "Justeru, bagi menghadapi apa jua krisis sosial dalam masyarakat termasuklah jenayah seks misalnya, maka setiap faktor perlu dikenal pasti. "Manakala tindakan bagi menangani krisis tersebut mesti dibuat dengan cara menanganinya satu persatu dan PKPIM sedang berusaha membantu kita bagi menangani punca masalah ini dengan mengambil tanggungjawab ke atas faktor pakaian," kata Aiman Athirah. Beliau juga tidak senang dengan sikap sesetengah pihak yang beranggapan pakaian sebagai isu peribadi dan bukan faktor yang mendorong gangguan seks. "Dewan Muslimat percaya bahawa pendirian beberapa pihak yang menolak mentah-mentah akan wujudnya hubungan antara pakaian dan jenayah seks adalah dibuat berdasarkan pandangan peribadi, pandangan sekumpulan kecil mereka dan bukannya pandangan masyarakat teramai di seluruh negara," tambahnya. Muslimat PAS menyarankan agar PKPIM segera membuat pungutan suara dalam kalangan pelajar di seluruh negara sama ada pakaian menjadi satu faktor pemangkin mendorong jenayah seks. |
0 comments Labels: bela rakyat, malaysiakini
Kes Pulau Batu Puteh bukan 'win win situation' - Ketua Umno Batu Pahat
Harakahdaily Wan Nordin Wan Yaacob Mon | May 26, 08 | 8:12:08 pm MYT | |
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) - Ketua Umno Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) hari ini melahirkan rasa kecewanya dengan kelemahan yang berlaku dalam perbicaraan kes Pulau Batu Puteh hingga hak Malaysia itu jatuh kepada Singapura. Beliau menyifatkan kenyataan Menteri Luar Negara, Dato' Seri Dr Rais Yatim bahawa keputusan Pulau Batu Puteh itu sebagai 'win-win situation' tidak benar. "Ini bukan 'win-win situation', ini kalah," tegasnya semasa berucap dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini. Beliau menyifatkan ia satu kehilangan hak rakyat Malaysia dan hal ini seharusnya tidak berlaku kerana Pulau Batu Puteh adalah hak Malaysia dan berada di perairan Johor. Sementara itu Ketua Pembangkang, Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menyifatkan keputusan mahkamah antarabangsa (ICJ) berhubung Pulau Batu Puteh itu menunjukkan kelemahan negara dalam mengkaji kes tersebut sebelum dirujuk ke badan tersebut untuk dibicarakan. Malangnya kata beliau, keputusan telah dibuat oleh ICJ dan ia tidak boleh dicabar lagi. Beliau juga melahirkan rasa sedih dengan keputusan itu dan merasakan seluruh rakyat turut sependapat dengannya. |
0 comments Labels: Harakahdaily, Johor, kedaulatan negara, UMNO haprak
Lawatan Bersejarah Yang di-Pertuan Agong Ke Laos
Daripada Noor Shamsiah Mohd
VIENTIANE, 26 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berangkat tiba di sini Isnin bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Laos.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vientiane Wattay kira-kira 10.15 pagi (waktu tempatan) setelah berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Keberangkatan tiba pasangan Diraja itu, yang diiringi Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek serta pegawai kanan kerajaan disambut oleh Menteri Tenaga dan Galian Laos, Dr Bosaykham Vongdara selaku Menteri Pengiring dan para pegawai kanan kerajaan Laos, serta Duta Malaysia ke Laos Zainal Abidin Ahmad.
Lawatan Seri Paduka adalah di atas jemputan Presiden Laos, Choummaly Sayasone dan merupakan sejarah kerana lawatan ini merupakan lawatan pertama kali oleh Ketua Negara Malaysia ke negara itu dalam sejarah hubungan antara kedua-dua negara.
Seri Paduka berdua kemudiannya diiringi ke Istana Presiden untuk upacara sambutan rasmi negara dan disambut oleh Choummaly serta isteri Keosaychay Sayasone.
Tuanku Mizan kemudian diiring oleh Choummaly ke pentas khas untuk istiadat sambutan dengan lagu kebangsaan Negaraku dan lagu kebangsaan Laos dimainkan.
Seri Paduka seterusnya memeriksa pasukan kawalan kehormatan sebelum diperkenalkan kepada para pembesar, menteri, pegawai kerajaan dan diplomatik asing yang berkhidmat di Laos.
Pada sebelah petang, Seri Paduka berdua dijadual melawat Muzium Kaysone Phomvihane yang dibina khas untuk memperingati bekas pemimpin revolusi dan juga bekas Presiden Laos, Kaysone Phomvihane.
Pasangan Diraja akan turut melawat Galeri Ekkalak Loa yang merupakan pusat pemasaran barangan kraft utama di kalangan pengusaha kraftangan tempatan.
Tuanku Mizan selepas itu akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Sidang Nasional Laos, Thongsing Thammavong di hotel penginapan baginda Don Chan Palace Hotel.
Permaisuri Nur Zahirah yang mempunyai atur cara berasingan, dibawa melawat National Rehabilitation Center yang dibina pada 1964 dan kini menempatkan serta melatih 120 pelajar cacat penglihatan dan pendengaran serta 90 pelajar kurang upaya.
Pada sebelah malam, Seri Paduka Baginda berdua akan menghadiri jamuan negara yang diraikan oleh Choummaly dan isteri di Loa Plaza Hotel.
Pada pagi esok, Tuanku Mizan dijadual menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Laos, Bouasone Bouphavanh sebelum baginda berdua melawat Luang Stupa.
Seri Paduka Baginda berdua akan turut berangkat ke Kota Diraja bersejarah Luang Prabang, yang juga dikenali sebagai "Permata Indo China", yang merupakan tapak sejarah yang tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Di Luang Prabang, Tuanku Mizan dan Permaisuri Nur Zahirah akan melawat Muzium Istana Diraja sebelum berangkat ke pusat kraftangan The Sangkhong.
Baginda berdua kemudian akan berangkat kembali ke Vientiane untuk menghadiri majlis makan malam bersama masyarakat Malaysia, di Don Chan Palace Hotel.
-- BERNAMA
0 comments Labels: Agong, bernama, diplomatik
Kedaulatan Pulau Pisang adalah jelas, kata MB Johor
Mstar Online 26-05-2008 06:09:18 PM |
JOHOR BAHARU: Kedaulatan dan hak milik kerajaan negeri Johor terhadap Pulau Pisang, yang terletak di luar perairan Pontian dan menempatkan sebuah rumah api yang diuruskan oleh Singapura, adalah jelas, kata Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman. Menurutnya, pada 2001 kerajaan Malaysia mengenakan syarat mengkehendaki warga Singapura yang bertugas di rumah api Pulau Pisang supaya mendaftarkan diri di Pejabat Laut dan Pejabat Imigresen di Kukup, Pontian. |
|
0 comments Labels: kedaulatan negara, MB Johor, mstar online
Bangunkan P. Pisang - Bagi menjamin status kedaulatan pulau milik Malaysia
Utusan Online
|
|
PONTIAN 25 Mei – Kerajaan perlu segera merangka program untuk membangunkan Pulau Pisang bagi menjamin status kedaulatan negara ke atas pulau tersebut berkekalan, selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut diminta mengkaji untuk mengambil alih pengurusan rumah api di pulau itu daripada Singapura.
Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan berkata, langkah itu penting kerana pulau tersebut mempunyai persamaan dari segi sejarah dengan Batu Putih.
Katanya, jika ia dibiarkan tanpa sebarang pembangunan sama ada oleh Kerajaan Persekutuan atau negeri, ia dibimbangi boleh membawa kepada satu lagi tuntutan bertindih.
“Ini kerana Pulau Pisang kini menempatkan rumah api yang diuruskan oleh pemerintah Singapura seperti mana yang mereka jalankan ke atas Batu Putih sejak sekian lama,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perkumpulan Wanita (WI) Johor, di sini, semalam.
Oleh itu katanya, Kerajaan Pusat atau negeri perlu merangka pembangunan di Pulau Pisang sebagai mengambil iktibar daripada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Batu Putih yang kini menjadi milik republik itu.
“Cukuplah Singapura mempunyai hak ke atas Batu Putih dan menyerahkan sepenuhnya operasi rumah api di Pulau Pisang kepada Kerajaan Malaysia,” tegasnya.
Menurut beliau, Pulau Pisang yang mengandungi empat buah pulau kecil dengan keluasan 178.4 hektar jauh lebih besar daripada Batu Putih yang saiznya hanya 0.1 hektar.
“Mengambil pengalaman pahit orang Johor apabila Batu Putih menjadi milik mutlak Singapura, Pulau Pisang tidak sewajarnya menerima nasib yang sama apabila berlaku tuntutan pada suatu masa nanti.
“Justeru Kerajaan Pusat dan negeri perlu mencari jalan untuk membangunkannya supaya tiada lagi sebarang dakwaan mengenai pemilikannya pada masa depan,” katanya.
Tambah Ahmad, sebagai pulau yang terletak di kawasan Parlimen Pontian, banyak perkara yang boleh dilakukan supaya pulau tersebut ‘diaktifkan’ dan tidak hanya berfungsi sebagai rumah api seperti sekarang.
“Antaranya ialah pembinaan jeti yang dimiliki sepenuhnya oleh Malaysia bagi memudahkan pelawat mendarat pada waktu surut serta bekalan elektrik dan air bersih,” ujarnya.
Sekarang ini hanya terdapat satu jeti di pulau itu yang dikendalikan oleh pihak Singapura untuk tujuan pengurusan rumah api tersebut.
Selain itu kata Ahmad, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) boleh mencadangkan Pulau Pisang sebagai Taman Negara seperti Taman Negara Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup.
Katanya, Pulau Pisang juga sesuai dijadikan tapak perkhemahan dengan syarat kemudahan awam seperti surau, tandas, bilik air dan sebagainya disediakan terlebih dahulu.
“Sebagai Ahli Parlimen, saya amat pedih apabila keputusan ICJ mengenai Batu Putih banyak mengkhususkan kepada pemilikan rumah api.
“Bagi mengelakkan perkara seperti itu tidak berulang lagi, Pulau Pisang sewajarnya tidak dibiarkan tanpa ada satu program pembangunan yang menguntungkan Malaysia dan negeri Johor,” jelasnya.
Tambahnya, beliau juga telah melawat Pulau Pisang baru-baru ini dan sebelum itu, Pegawai Daerah Pontian, Mislan Karmani pernah melawat pulau tersebut bersama-sama ketua-ketua jabatan peringkat daerah.
Katanya, segala aspek pembangunan yang dicadang akan dikaji supaya mesra alam dan kepada nelayan yang berteduh daripada cuaca buruk dan sebagainya.
Jelas beliau, Pulau Pisang juga boleh dijadikan destinasi pelancongan bagi Pontian dengan adanya aktiviti serta kegiatan yang ditawarkan kepada orang ramai.
“Tetapi yang penting ialah soal pemilikannya kepada Malaysia dan negeri Johor, walaupun rumah api itu diuruskan oleh Singapura disebabkan faktor sejarah lampau,” jelas Ahmad.
0 comments Labels: Johor, kedaulatan negara, utusan
Batu Puteh jadi putih mata - Mahfuz
Harakahdaily Abdul Halim Mohd Rashid Mon | May 26, 08 | 4:41:09 pm MYT | |
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar menyifatkan Pulau Batu Puteh kini sudah menjadi "pulau putih mata". Ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menolak dakwaan Menteri Luar Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kononnya keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pulau itu sebagai situasi win-win. "Mana ada win-win?! Kononnya nelayan boleh pergi ke sana. Apa jaminan keselamatan nelayan-nelayan kita? Apa tindakan bila pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas nelayan kita?" beliau mempersoalkan sambil menegaskan isu perairan bukan isu nelayan tetapi isu wilayah negara ini. Mahfuz juga menolak pandangan Menteri Luar kononnya Singapura tidak boleh menambak pasir sesuka hati dengan keputusan ICJ itu. "Apa jaminan Singapura tak tambak?" soal beliau sambil mengingatkan bahawa Singapura tetap meneruskan kerja-kerja menambak pasir sesuka hatinya walaupun dibantah. Dewan Rakyat sendiri pernah membincangkan usul untuk membantah tindakan Singapura itu sejak dari tahun 1999 lagi, katanya. Walaupun beliau tidak mahu menyalahkan Umno atas apa yang berlaku itu, tetapi beliau tetap menyifatkan kehilangan Pulau Batu Puteh berpunca dari kelemahan kerajaan. "Kelemahan kerajaan adalah kelemahan Umno," kata beliau sambil menekankan bahawa kerajaan diterajui oleh Umno. "Tak ada persediaan yang baik, akhirnya kita malu," katanya lagi. Mahfuz menuntut kerajaaan bertindak ke atas Peguam Negara "yang gagal menjadi penasihat yang baik kepada kerajaan". |
0 comments Labels: Harakahdaily, kedaulatan negara
Biar PM-MB selesai 'kehilangan' royalti RM3b
Malaysiakini |
Jimadie Shah Othman | May 26, 08 7:07pm |
Beberapa bahagian Umno Terengganu menyerahkan usaha mendapatkan kembali "kehilangan" RM3 bilion royalti petroleum negeri itu kepada rundingan antara perdana menteri dan menteri besar Datuk Ahmad Said. Bahagian Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun juga berharap wang royalti dapat dikembalikan semula untuk terus menjana pembangunan ekonomi negeri. "Kita serah saja pada perdana menteri dan menteri besar untuk selesaikannya. Harap rakyat Terengganu mendapat manfaatnya," kata ketua penerangan Hulu Terengganu, Mohd Zawawi Ismail. Ketua penerangan Kuala Nerus, A Manaf Abdullah pula berkata, pihaknya tetap berharap kerajaan persekutuan mengembalikan wang itu walaupun keperluan mengurus dan mentadbir negeri setakat ini sudah mencukupi. "Kita bimbang keperluan di masa-masa akan datang tidak mencukupi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini. Manakala ketua penerangan Dungun, Matulidi Jusoh berkata wang royalti 5 peratus itu boleh digunakan mengikut kebijaksanaan kerajaan negeri untuk mentadbirnya. Ketiga-tiga bahagian itu juga tidak mengetahui "kehilangan" jumlah besar wang tersebut, tetapi beliau tidak fikir wujud salah guna kuasa atau penyelewengan dalam pengendalian RM7.3 bilion wang royalti tersebut sejak 2004. "Kita belum dapat penjelasan terperinci (tentang misteri itu). Kemungkinan adanya masalah teknikal yang perlu diselesaikan. Tidak ada salah guna kuasa," kata Matulidi. A Manaf pula percaya wang tersebut "tidak hilang". "Mungkin disalurkan kepada projek-projek (persekutuan) yang tidak melalui kerajaan negeri," tambahnya. Wang tersebut, kata A Manaf lagi, mungkin disalurkan projek tambakan laut dekat lapangan terbang di Telaga Batin, Lebuhraya Pantai Timur dan Piala Monsun. Mengulas kempen kutipan 100,000 tandangan rakyat Terengganu anjuran Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) untuk menuntut kembali royalti itu, ketiga-tiga ketua penerangan itu berkata mereka belum memutuskan sama ada hendak bersama-sama kempen itu atau tidak. Program tersebut mesti diteliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan, kata bahagian-bahagian itu. Mohd Zawawi berkata semua pihak mempunyai cara masing-masing untuk menuntut wang royalti tersebut. "Serah pada dia, Mampat dengan cara dia. Kita (bahagian Hulu Terengganu) dengan cara kita," katanya lagi. Mereka mengalu-alukan pertemuan Ahmad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentang isu tersebut minggu lalu dan lawatan kerja perdana menteri ke negeri itu bulan depan "amat positif" untuk mendapatkan semula wang royalti tersebut. |
0 comments Labels: malaysiakini, MB tganu, Pak Lah undur, royalti
DBKL tindas peniaga Melayu Kampung Baru
KLpos |
0 comments Labels: klpos, penindasan, tolak BN
Pulau Terlepas, Batu Terhempap, Putih Mata Akhirnya!
AnwarIbrahimblog
Keputusan ICJ terpaksa diterima rakyat Malaysia dengan rasa amat sugul, pahit bagaikan menelan empedu. Hanya kita terkilan dengan keputusan hakim 12 berbanding 4, yang mengukuh hujah Singapura ke atas Pulau Batu Putih. Penghujahan pihak Kerajaan Malaysia ternyata lemah dan dangkal.
Meneliti keterangan penghakiman, Kerajaan Malaysia lebih berjaya mengemukakan alasan dari sudut sejarah, tetapi penghujahan undang-undang hambar!
Pasukan Malaysia diketuai Tan Sri Gani Patail Peguam Negara yang dikenali licik mengikut arahan penguasa politik tetapi tidak pernah terserlah selaku pakar perundangan. Singapura diwakili Prof Tommy Koh, tersohor dengan penglibatannya dalam sidang Undang-undang laut dunia serta Prof Jayakumar, pakar undang-undang. Hanya ini yang kami masyghulkan. Apakah kepentingan negara tidak terkorban seandainya yang dimajukan untuk mempertahankan maruah ibi pertiwi adalah pakar handalan?
Kini penguasa dan media Umno bermadah, Pulau Batu Putih hanya sebesar setengah padang bola dan Batu Tengah (yang dianugerah kepada Malaysia) tenggelam di kala air pasang!
Rakyat harus melahirkan penyesalan dan bantahan di atas kecuaian dan bantahan ke atas Kerajaan Umno-BN dan Peguam Negara!
ANWAR IBRAHIM
0 comments Labels: kedaulatan negara, minda pemimpin