+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++
Showing posts with label subsidi. Show all posts
Showing posts with label subsidi. Show all posts

Saturday, July 19, 2008

Pemandu teksi dapat harga istimewa petrol RM1.92

Berita Harian

Oleh Abdul Razak Raaff
raaffar@bharian.com.my


Datuk Shahrir Samad

PUTRAJAYA: Sebanyak 40,231 pemilik teksi dan kereta sewa berenjin petrol di seluruh negara akan menikmati kemudahan petrol bersubsidi pada harga RM1.92 seliter dengan kuota bagi setiap kenderaan sebanyak 720 liter sebulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata berikutan keputusan itu, kerajaan menyediakan peruntukan kira-kira RM271 juta setahun bagi membiayai subsidi berkenaan.

Beliau berkata, pemilik teksi dan kereta sewa berenjin petrol boleh mengemukakan permohonan mendapatkan surat tawaran kelayakan subsidi petrol di semua pejabat kementerian di seluruh negara mulai Isnin ini.

"Kita menggunakan sistem kad fleet bagi menyalurkan subsidi petrol kepada pemilik teksi dan kereta sewa berkenaan. Mereka juga boleh terus pergi ke syarikat minyak untuk mendapatkannya selepas permohonan diluluskan.

"Sebelum ini, kita tidak pernah beri kemudahan itu kepada teksi berenjin petrol tetapi kali ini ia dibuat selepas kenaikan harga yang diumumkan bulan lalu," katanya pada sidang media selepas Dialog Bersama Usahawan Sektor Makanan, di sini semalam.

Sehubungan itu, Shahrir berkata kadar tambang teksi masih dikekalkan pada kadar sedia ada supaya tidak membebankan pengguna.

Katanya, penetapan kuota itu dibuat berdasarkan kawasan liputan terhad bagi permit yang dikeluarkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), manakala jumlah teksi yang layak adalah mengikut daftar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Jangkaan kita bahawa pemberian kuota 720 liter sebulan mencukupi bagi membantu mereka menguruskan operasi sama ada di kawasan bandar dan luar bandar.

"Pemberian subsidi petrol kepada pemandu teksi dan kereta sewa berenjin petrol ini juga adalah sebahagian daripada tindakan kerajaan meringankan beban rakyat," katanya.

Shahrir berkata, kerajaan prihatin terhadap masalah mereka yang perlu menanggung kos operasi yang meningkat.

Katanya, sejak Selasa lalu, sebanyak 7,665 teksi dan kereta sewa berenjin diesel sudah menikmati subsidi melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi dengan jumlah kuota 5,518,800 liter sebulan.

Read More...

Friday, June 13, 2008

Minda Pembaca: Kerajaan Malaysia tanggung berbilion ringgit subsidi kepada Singapura

KLpos

Cetak E-mail
Oleh Reformis Muda
Jumaat, 13 Jun 2008

MUNGKIN diantara kita terleka dan berhujjah berkenaan subsidi Minyak yang kononnya diberikan Kerajaan Malaysia pimpinan Umno kepada Rakyatnya,Namun ramai diantara kita mungkin terlupa bahawa kerajaan Malaysia juga menanggung pelbagai subsidi terutama subsidi air kepada rakyat Singapura. ada dikalangan pemimpin pembangkang juga gagal menyedarkan rakyat dalam isu ini.

Tidakkah kita hairan suatu ketika bila Kerajaan menghalang warga Thailand membeli minyak di sempadan Malaysia, Najib Tun Razak dengan jelas dalam sidang medianya memberikan keistimewaan kepada warga Singapura dimana di sempadan Singapura dikecualikan dari sekatan, kononya atas sebab ramai dari rakyat kita bekerja disana.

Namun ia hanya satu alasan. pemimpin Umno lebih rela menekan warga Thailand yang majoritinya Melayu Islam dan memberikan keistimewaan kepada majoriti Cina dari Singapura.

bila ada isu seludup tidak ada kawasan lain yang menjadi tumpuan untuk kerajaan bersandiwara, sudah tentu sempadan Thailand yang menjadi mangsa. walhal bukankah kita juga memerlukan bekalan beras berkualiti dari Thailand. Mengapa pula negara sekecil Singapura yang tidakpun memberi sebarang manafaat dan mempunyai hasil bumi sering menjadi anak emas Kerajaan Malaysia.

Apakah warga Singapura tidak menyeludup? atau diberikan keistimewaan dan lesen oleh kerajaan Malaysia untuk menyeludup? apakah ratusan ribu kenderaan yang menyeberang tambak johor setiap minggu itu datang untuk melancong semata mata? apakah oleh kerana mereka berkereta mewah mereka tidak menyeludup Minyak dan bahan makan yang disubsidi ke Singapura? disini akan saya huraikan apa yang telah kerajaan Malaysia berikan subsidi kepada rakyat Singapura . mereka cukup menekan dan berkira dengan rakyat sendiri, tetapi membela rakyat Singapura.

1. Kerajaan Malaysia Memberi Subsidi Air Pada Singapura

Walaupun kita tahu kerajaan malaysia terikat dengan perjanjian bodoh dengan Singapura, namun kerajaan Malaysia melanggar perjanjian dengan rakyat sendiri, bagaimana Kerajaan Malaysia melanggar perjanjian royalti Minyak terhadap rakyat Terengganu tetapi begitu taat kepada Singapura walaupun harga air yang dijual sudah tidak logik di akal namun kerajaan malaysia terus melayan baik Singapura.

sebutkan mana mana negara dalam dunia ini menjual air pada kadar 3sen seribu gelen? malah kerajaan Cina sendiri menjual air kepada wilayah Hongkong tanah jajahannya juga lebih 4 dollar seribu gelen.apakah kos menyeleggara dan kerja kerja membekalkan air pada singapura percuma?

apakah kos penyelenggaraan tidak meningkat seperti mana kos menggerudi minyak bak kata Sharir Samad? berapa kos yang dikeluarkan Kerajaan Malaysia kepada Singapura?

tidakkah itu subsidi!! itupun kerajaan Malaysia tetap melayan baik Singapura walaupun Negara tersebut terlalu kurang ajar kerana mereka 1sen pun tidak mahu harga tersebut dinaikkan. kenapa Kerajaan malaysia tidak dahulukan hal harga air ini berbanding tuntutan pulau batu putih ke Mahkamah Antarabangsa.

sekarang anda lihat fakta tersebut berkenaan perjanjian air antara Malaysia dan Singapura. kalau diikut pada kiraan 50sen harga yang patut dijual Malaysia kepada Singapura ini bermakna Malaysia memberikan subsidi air kepada SINGAPURA lebih 7 BILLION setahun. inipun dikira jauh lebih rendah dari cas air di Selangor.

lihat perjanjian tersebut .

PERJANJIAN AIR 1961 DAN 1962
  1. Mengikut perjanjian ini, Malaysia perlu membekalkan air mentah kepada Singapura secara berterusan sebanyak 250 juta gelen (250,000,000) sehari pada harga jualan 3sen (RM0.03) bagi setiap 1,000 gelen.
  2. Malaysia pula perlu membeli air yang telah diproses oleh Singapura dengan kadar 50sen (RM0.50) bagi setiap 1,000 gelen
  3. Loji pemprosesan air ini terletak di Gunung Pulai, Skudai, Tebrau dan Kota Tinggi dalam Negeri Johor tetapi diuruskan oleh Public Utilities Board (PUB) milik Singapura
  4. Perjanjian Air 1961 akan tamat hanya pada tahun 2011 dan Perjanjian Air 1962 pada tahun 2061
  5. Singapura membuat untung besar dengan penjualan air Malaysia kepada kapal – kapal yang berlabuh di perlabuhan Singapura.

PERJANJIAN AIR 1990
  1. Perjanjian ini menyebabkan Malaysia perlu mengorbankan hutan simpan seluas 21,600 hektar (53,374 ekar) di daerah Kluang, Kota Tinggi dan Mersing untuk dijadikan kawasan tadahan air dan empangan yang dikenali sebagai EMPANGAN LINGGIU.
  2. Lokasi strategik pertahanan kerana koordinat sifar berada di lokasi tersebut
  3. Perjanjian ini hanya akan tamat pada tahun 2061.

2. Kerajaan Malaysia memberikan Subsidi Minyak kepada Singapura.

tahukah anda ratusan ribu kereta singapura menyeberang ke Johor setiap minggu, mengikut statistik penggunaan Minyak dikawasam sempadan dengan Thailand hanya sekitar 10 - 12juta sebulan. manakala jualan minyak disempadan johor ianya mencecah RM 45-50juta sebulan. apakah semua minyak tersebut digunakan warga Johor? kalau diandaikan hanya separuh nilai tersebut digunakan rakyat Singapura Malaysia memberikan hampir 600juta setahun Subsidi berbanding harga pasaran Singapura iaitu RM 5per/litter.itupun dikira murah kerana nilai dollar Singapura 3 kali ganda dari matawang kita.sebenarnya cara kerajaan Malaysia mengstrukturkan semula subsidi minyak inipun gagal menyekat dari rakyat singapura menikmati subsidi. lebih baik adakan sahaja kaunter minyak khas untuk warga asing, selesai masalah.

3. Kerajaan Malaysia Memberikan Subsidi Makanan Pada Singapura.
Kerajaan Malaysia beria ia menyekat warga thailand membawa keluar minyak masak, tetapi pernahkah Kerajaan Malaysia merampas barangan dari warga Singapura yang mengeluarkan Minyak,Beras,barangan dapur dan Ikan dari sempadan Johor? jawapannya tidak kerana Malaysia tidak berhak mengusik sedikitpun rakyat Singapura. sedangkan kerajaan menekan warga Thailand yang majoritinya adalah sama bangsa dan agama dengan kita.sedangkan kita memerlukan juga beras dari Thailand.kadang kadang sedih melihat bagaimana gula dan minyak 2-3kilopun dirampas. mungkin kerana mereka tidak memakai kereta mewah seperti warga Singapura.inipun dianggarkan jualan disempadan Johor adalah sekitar 100juta.dalam keadaan pendapatan mereka 3 kali ganda dari Malaysia mereka juga diberikan hak Kerajaan Malaysia untuk menikmati subsidi makanan.

4. Kerajaan Malaysia beri Subsidi pasir, Tanah dan Pulau kepada Singapura.

Seperti mana pendedahan Tun Dr Mahathir yang terbaru, kerajaan Malaysia dibawah paklah telah menjual pasir kepada Singapura, semuanya bagi menampung pembesaran kawasan baru untuk warga singapura hidup selesa walaupun perairan dan kawasan penangkapan ikan rakyat malaysia terjejas. tidak cukup dengan pasir Kerajaan Malaysia juga mengsubsidikan tanah rizab melayu dan wilayah yang menjadi kedaulatannya kepada singapura melalui WPI atas nama pelaburan, dan tunggulah saatnya nanti nasib tanah di WPI akan senasib isu air dan pulau batu putih. semuanya adalah subsidi dengan ehsan kerajaan Malaysia. malah pulau batu putih dan Negara Singapura itupun sebenarnya adalah Subsidi yang diberikan pemimpin Umno terdahulu kepada cina berfahaman komunis iaitu Lee Kuan yew. malah sehingga kini kerajaan Malaysia masih menyambut baik kedatangan pemimpin ini sehinggakan Malaysia sanggup mengeluarkan kos membeli buah Durian yang bernilai RM 24,000 hanya kerana menyenangkan hati pemimpin Singapura. melalui menantunya beberapa kepentingan negara kini juga disubsidikan untuk syarikat pelaburan Singapura iaitu Temasek.

Jadi dalam kita menilai sikap kerajaan pada Singapura, berbanding rakyat sendiri , anda kini boleh melihat dengan jelas. mereka menekan rakyat dan menjadikan rakyat Singapura sebagai anak emas mereka. kenapa tidak mereka ungkit sahaja Subsidi air yang telah mereka berikan berpuluh tahun kepada rakyat Singapura.inilah wajah sebenar pemimpin yang menggadaikan kedaulatan Negara. inilah pemimpin UMNO.

Kiriman melalui email

Read More...

Monday, June 9, 2008

Harga minyak Malaysia kini antara yang termahal

Harakahdaily


A Kadir Jasin

Mon | Jun 09, 08 | 12:43:42 pm MYT

PADA hari Sabtu, 7 Jun, akhbar The Star menyiarkan berita bertajuk "PM: Get true picture of global oil price hikes" (PM: Dapatkan gambaran sebenar mengenai kenaikan global harga minyak.)

Kata Abdullah Ahmad Badawi beliau berharap rakyat jelata memperoleh maklumat yang betul agar dapat memahami apa yang sedang dihadapi negara.

Setiap orang daripada kita, kata Perdana Menteri, mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam keadaan yang mencabar ini.

"Dengan itu, marilah kita menghadapi bersama cabaran ini dengan daya tahan demi kebaikan negara dan generasi akan datang."

Tetapi rata-rata, reaksi rakyat jelata boleh disimpulkan begini - peranan kerajaan menarik balik subsidi minyak dan menaikkan harga minyak. Tanggungjawab kami adalah menganggung bebannya.

Mengambil ilham daripada seruan Perdana Menteri itu, saya melayari Internet untuk "mendapatkan gambaran sebenar" mengenai kenaikan 41 peratus harga minyak itu.

Sekarang fahamlah saya bahawa akibat kenaikan harga sebanyak 78 sen seliter pada tengah malam Rabu lalu itu, harga petrol kini RM2.70 seliter atau RM10.20 segelen Amerika (US gallon). Dalam Dolar Amerika, ia bersamaan AS$3.12 segelen (AS$0.82 seliter).

(Saya terpaksa mengubah kepada gelen dan Dolar Amerika kerana perangkaan global menggunakan ukuran gelen dan Dolar Amerika. Segelen Amerika bersamaan 3.785 liter. Kadar tukaran adalah RM3.27 kepada satu Dolar Amerika.)

Pada kadar AS$3.12 segelen, harga petrol di Malaysia adalah lebih murah daripada di Amerika Syarikat di mana harganya melepasi AS$4.00 (RM13.08) segelen.

Tetapi kita kena ingat Amerika jauh lebih kaya daripada kita. Mengikut Buku Fakta (Fact Book) Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika, pendapatan purata berdasarkan pariti kuasa membeli (purchasing power parity) rakyat Amerika adalah AS$46,000 tahun lalu.

Dalam bahasa yang mudah, jika pendapatan dibahagikan sama rata, setiap orang penduduk Amerika mempunyai kuasa membeli bernilai AS$46,000 berbanding kita sebanyak AS$14,400.

Itu pun bukan semua rakyat Malaysia mempunyai kuasa membeli sebanyak AS$14,400. Hanya segelintir sahaja yang mempunyai kuasa membeli sebesar itu.

Majoritinya adalah berpendapatan sederhana dan rendah. Mereka inilah yang paling teruk menderita akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang akan dicetuskan oleh kenaikan harga minyak.

Segelen minyak berharga AS$4.00 bagi penduduk Amerika adalah "murah" kerana pendapatan dan kuasa membeli mereka tinggi. Manakala pada kadar AS$3.12 segelen bagi penduduk Malaysia adalah �mahal� kerana pendapatan kita rendah.

Pendapatan penduduk Amerika lebih tiga kali ganda daripada pendapatan penduduk Malaysia. Lagipun Amerika adalah negara pengimport bersih minyak manakala kita adalah negara pengeksport. Maksudnya kita mengeksport lebih banyak minyak mentah daripada mengimport. Para pembesar kita sering mengatakan harga minyak petrol lebih mahal di Singapura. Betul. Harga segelen petrol di Singapura, mengikut laman web Shell Singapura, adalah sekitar AS$6.28 segelen.

Tetapi pendapatan per kapita PPP penduduk Singapura adalah AS$48,900 atau 3.4 kali ganda lebih tinggi daripada pendapatan per kapita PPP kita. Lagipun Singapura negara kecil, pengangkutan awamnya bagus, tambangnya berpatutan dan Singapura tidak ada setitik minyak pun .

Selain itu mereka ada "pilihan". Mereka boleh menyeberang ke Johor untuk membeli petrol. Bagi membeli segelen di Malaysia mereka hanya perlu membelanjakan sekitar S$2.63 atau AS$1.92 kerana nilai duit mereka lebih tinggi daripada ringgit Malaysia (RM1 bersamaan 42 sen Singapura.)

Tetapi akibat dasar "flip-flop" kerajaan kita � sekejap tidak boleh dijual kepada orang asing dan sekejap boleh - penduduk Singapura yang berkali-kali ganda lebih kaya daripada kita menikmati durian runtuh setiap kali mengisi minyak di Malaysia.

Rakyat rasa tertipu dan keliru. Pada 3 Jun Menteri Perdagangan Dalam Negara dan Hal Ehwal Pengguna Shahrir Abdul Samad berkata harga minyak hanya akan naik pada bulan Ogos.

Susah kita hendak faham. Berita ini tersebar satu dunia. Jadi Shahrir cakap karut atau memang harga akan naik hanya pada bulan Ogos tapi entah macam mana bos dia naikkan harga lebih awal.

Jadi saya nak tanyalah sikit. Shahrir tidak hadir mesyuarat Kabinet kah? Tidak masuk akal kalau Kabinet tidak dibawa berunding mengenai keputusan menarik balik subsidi dan menaikkan harga minyak yang sangat berat kesannya kepada rakyat jelata.

Atau (atau) Shahrir cuba memberi amaran bahawa kerajaan akan menaikkan harga minyak sekali lagi Ogos ini?

Satu lagi tabiat buruk sesetengah pembesar kita adalah kecenderungan mereka membandingkan Malaysia dengan negara-nagara yang lebih miskin dan lebih mundur.

Kalau kita hendak banding negara kita dengan negara-negara miskin, tidak perlulah kita bersusah payah hendak menjadi negara maju. Kita jadi sajalah macam negara-negara miskin yang kucar-kacir dan rakyat jelatanya menderita.

Perdana Menteri bercakap mengenai kebajikan generasi akan datang. Apakah prospek mereka jikalau hari ini pun mereka tidak cukup makan, tidak cukup pakai dan tidak cukup persekolahan kerana kos sara hidup dan inflasi yang tidak terkawal?

Jadi itulah lebih kurang kefahaman saya setelah membuat sedikit kajian seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri ketika berucap sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Sabtu lalu.

Kesimpulannya, harga minyak petrol (dan juga diesel) di negara kita kini adalah antara yang termahal di dunia berasaskan pariti kuasa membeli (purchasing power parity).

Ia semestinyalah akan memberi kesan yang luas terhadap kuasa membeli dan inflasi serta prestasi ekonomi keseluruhannya. - kadirjasin.blogspot.com_

Read More...

Saturday, June 7, 2008

Abim: Kaji semula kenaikan harga minyak

Malaysiakini

Jun 7, 08 3:59pm

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata, keputusan kerajaan menaikkan harga jualan minyak petrol sebanyak RM 0.78 serta diesel sebanyak RM1, adalah pahit untuk ditelan oleh semua lapisan masyarakat.

"Ini memandangkan kenaikan kedua-dua komoditi tersebut bakal meninggalkan kesan yang jelas serta nyata dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia," kata Setiausaha Agungnya, Khairul Arifin Mohd Munir.

Menurutnya, kenaikan harga minyak akan mendorong kenaikan caj-caj perkhidmatan, kos sara hidup dan harga barang keperluan, yang pastinya membebankan, terutama di kalangan rakyat berpendapatan rendah.

"Mereka yang tinggal di bandar merupakan golongan yang akan terjejas teruk disebabkan kos sara hidup yang tinggi yang segalanya bergantung kepada kuasa membeli bagi mendapatkan sesuatu barang, berbanding di kampung, yang setidak-tidaknya boleh memanfaatkan hasil tani.

"Kita sedar bahawa kenaikan ini mungkin tidak boleh dielakkan disebabkan faktor kenaikan minyak global, namun demikian Abim beranggapan, tindakan kerajaan untuk menaikkan harga minyak adalah terlalu drastik, mendadak dan terlalu tinggi," katanya.

Kenaikan tersebut secara langsung menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kenaikan tersebut juga bakal memberikan kesan negatif kepada perkembangan sosial dalam masyarakat jika ianya tidak ditangani dengan baik disebabkan tekanan hidup yang dihadapi rakyat.

"Bahkan Abim juga berpendapat, kenaikan ini tidak menepati status negara sebagai negara pengeluar minyak, yang menjadi penyumbang utama kepada hasil pendapatan negara.

"Dalam hal ini, perbandingan tidak boleh dilakukan terhadap harga minyak yang ditawarkan oleh beberapa negara lain seperti Singapura, yang terpaksa mengimport minyak untuk menampung kegunaan domestiknya," tambahnya.

Tujuh saranan

Khairul Ariffin berkata, menyedari implikasi akibat kenaikan harga minyak terhadap rakyat, maka Abim menyarankan kerajaan melaksanakan inisiatif berikut:

bullet button Mengkaji mengkaji semula kenaikan tersebut yang disifatkan terlalu tinggi dan drastik. Kebajikan rakyat perlu diberikan keutamaan.

bullet button Memperkasakan semula mekanisme pengagihan pendapatan atau kekayaan berdasarkan kepada prinsip keadilan sosial, agar kebajikan golongan miskin dan berpendapatan rendah mendapat pembelaan yang sewajarnya.

bullet button Pemimpin, jabatan, serta agensi kerajaan mengamalkan budaya berbelanja secara berhemah, agar dapat diteladani oleh rakyat. Seruan ini tidak terhad kepada kerajaan pusat tetapi meliputi semua pihak, termasuk kerajaan negeri.

bullet button Setiap projek ataupun program pembangunan perlu dirancang secara berhemah serta teliti untuk mengelakkan pembaziran dan memaksimumkan wang hasil penjimatan subsidi itu untuk dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat. Rasuah dan ketirisan wang peruntukan kerajaan kepada mereka yang tidak berhak, wajar diperangi habis-habisan.

bullet button Memperbaiki sistem pengangkutan awam seperti bas awam, teksi, komuter, serta beberapa jenis pengangkutan lain untuk membantu rakyat meringankan beban kenaikan harga minyak.

bullet button Memantau harga barang keperluan yang masih menerima subsidi dari kerajaan, agar tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan mendapatkan keuntungan berlipat ganda ekoran kenaikan harga minyak.

bullet button Memastikan penyaluran bantuan kebajikan dan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah serta miskin dapat dijalankan secara telus dan teratur.

Read More...

Pandu 80kmj cara jimat guna petrol

Berita Harian

Oleh Haika Khazi

Kelajuan lebih 100kmj tingkat guna bahan api


PUTRAJAYA: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menasihati orang ramai supaya memandu kenderaan pada kelajuan antara 80 hingga 100 kilometer sejam (kmj) bagi menjimatkan penggunaan petrol atau diesel berikutan peningkatan harga bahan api itu sejak kelmarin.

Pengarah Pusat Penyelidikan Biomekanikal dan Keselamatan Kenderaan, Prof Madya Dr Wong Shaw Voon, berkata kajian Miros mendapati pemanduan pada kelajuan kurang 100 kmj dapat mengurangkan pembakaran bahan api. Beliau berkata, ia juga bertepatan kemampuan sebenar enjin kenderaan penumpang biasa pada masa ini, terutama kereta nasional seperti Proton dan Perodua dan ia sudah terbukti menjimatkan di Amerika Syarikat.

"Walaupun had laju di beberapa lebuh raya ditetapkan 110 kmj, pemanduan pada kelajuan itu meningkatkan penggunaan bahan api," katanya.

Pemandu juga dinasihatkan tidak membrek secara mengejut atau memecut secara tiba-tiba kerana ia meningkatkan penggunaan bahan api selain mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Apabila kenderaan diperlahankan, pemandu perlu menekan semula minyak dan ini menyebabkan kenderaan memerlukan banyak tenaga dan membakar lebih banyak bahan api," katanya.

Wong turut menasihatkan bakal pembeli kenderaan melakukan kajian terlebih dulu, terutama aspek teknikal dan penggunaan bahan api.

Katanya, tanggapan umum bahawa kereta mewah lebih banyak menggunakan bahan api adalah tidak benar kerana kebanyakan kenderaan berkenaan dilengkapi ciri penjimatan minyak dan keselamatan tinggi.

"Sesetengah kenderaan kini dilengkapi kemudahan canggih dan boleh memberikan panduan kepada pemandu mengenai cara pemanduan terbaik dan kelajuan yang mampu menjimatkan pengguna bahan api," katanya.

Read More...

Rakyat diminta sabar, bijak hadapi isu minyak - YDP Agong


Berita Harian


BERSYUKUR: Seri Paduka bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membaca Surah Yassin sempena Hari Keputeraan Seri Paduka di Masjid Negara, malam tadi.

Seri Paduka mahu sumber petroleum diurus dengan lebih cekap

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah menyeru semua rakyat supaya bersabar dan bertindak bijak dalam menghadapi krisis kenaikan harga barang berikutan kenaikan harga minyak.

Seri Paduka bertitah: “Jika perlu mungkin elok untuk kita mengubah suai gaya hidup bagi memastikan tekanan daripada masalah ini dapat dikurangkan. "Beta akur bahawa masalah kenaikan harga ini sememangnya amat menekan kehidupan rakyat. Namun beta berharap agar rakyat semua bersabar dan bertindak bijak dalam menghadapi situasi seumpama ini,” titah Seri Paduka sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong esok yang disiarkan menerusi RTM, malam tadi.

Seri Paduka mahu kerajaan terus memantau situasi itu dan mengambil segala tindakan bagi memastikan masalah dapat diatasi.

"Insya-Allah berkat kesabaran dan kebijaksanaan kita, masalah ini akan sama-sama kita atasi dan kita akan bertambah matang dan kuat untuk menjalani kehidupan seterusnya,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka juga menitahkan supaya pengurusan sumber petroleum negara diurus dengan cekap supaya kekayaan itu dapat terus diwarisi dan dinikmati oleh generasi akan datang.

Titah Seri Paduka, jika bukan dalam bentuk asalnya, hasil yang diperoleh hari ini wajar dilaburkan dalam aspek lain seperti pembangunan prasarana supaya ia turut dinikmati generasi akan datang.

"Beta khuatir dan prihatin apabila dimaklumkan bahawa menjelang 2011, import petroleum negara akan lebih tinggi daripada eksport.

"Beta berpandangan bahawa adalah tidak adil jika kurniaan Tuhan ini kita perah dan manfaatkan hasilnya dengan sepenuhnya tanpa ditinggalkan sedikitpun untuk generasi akan datang,” titah Seri Paduka.

Merujuk kepada sistem kehakiman negara, Seri Paduka mahu melihat sistem kehakiman wujud sebagai institusi yang bebas, adil dan diyakini rakyat.

Seri Paduka menyambut baik sebarang usaha yang diambil untuk memperkasakan sistem kehakiman negara, termasuk penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim.

Seri Paduka turut mengalu-alukan usaha kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Parlimen Mengenai Pencegahan Rasuah dan pengambilan lebih ramai pegawai pencegah rasuah.

Baginda juga yakin rancangan kerajaan untuk mengkaji semula Akta Percetakan dan Penerbitan Negara dapat memastikan media memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan sewajarnya.

Read More...

Friday, June 6, 2008

Koleksi Video - komen tentang minyak naik yg takkan keluar di TV.

Komen orang ramai yang tidak akan ditayangkan di TV.
Kat TV bukan tanya rakyat Malaysia, dia gi tanya rakyat Thai dgn Singapore je......
Dengarkan suara hati sebenar rakyat Malaysia.







Read More...

Desak kaji semula - Rakyat anggap harga baru petrol, diesel membebankan

Utusan Online


HARGA BARU... Pemilik kenderaan, Izreen Munira Mohamed Zakri mengisi minyak sebanyak RM50 di sebuah stesen minyak di Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam dan dia hanya mendapat 18.49 liter berbanding 26 liter sebelum harga petrol dinaikkan kelmarin.– Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


KUALA LUMPUR 5 Jun – Kerajaan diminta mengkaji semula harga baru petrol dan diesel yang masing-masing naik 78 sen dan RM1 seliter kerana ia membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Saranan supaya kenaikan itu disemak kembali dibuat kerana orang ramai menjangkakan kenaikan harga petrol dan diesel akan menyebabkan harga barangan keperluan, kos perkhidmatan dan tambang pengangkutan awam akan menjadi bertambah mahal.

Orang ramai yang ditemui hari ini menghargai langkah kerajaan terus memberikan subsidi kepada mereka berikutan kenaikan harga bahan api itu tetapi berharap harganya diturunkan sedikit kerana kenaikan kali ini terlalu tinggi.

Kenaikan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter merupakan peningkatan sebanyak 40 peratus dan 63 peratus berbanding harga sebelumnya.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa negeri termasuk di Kedah, Johor, Pahang dan Pulau Pinang mendapati orang ramai mengakui kenaikan harga barangan akibat penstrukturan semula subsidi minyak tidak dapat dielakkan.

Kenaikan harga minyak, menurut mereka, akan menyebabkan kos yang ditanggung oleh pelbagai pihak khususnya peniaga meningkat menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi menampung kos pengangkutan.

Seorang peniaga kedai runcit di Johor Bahru, Tan Lian Chu, 40, berkata, kenaikan harga minyak memberi impak besar kepada pengguna, peruncit dan pemborong yang saling berkaitan antara satu sama lain.

“Bahan mentah selalunya tidak menentukan harga kerana ia sekejap naik, sekejap turun, tetapi apabila harga petrol naik, pasti akan berlaku kenaikan harga,” katanya.

Read More...

Thursday, June 5, 2008

Belanja perjalanan jarak jauh meningkat

Utusan Online

KUALA LUMPUR 4 Jun - Mulai esok, kos bahan api bagi kereta berkuasa 1,600 cc untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang sejauh 350 kilometer meningkat daripada RM46 kepada RM67 berikutan kenaikan harga petrol yang diumumkan kerajaan hari ini.

Dengan petrol dijual pada harga RM2.70 seliter ia menyaksikan tambahan perbelanjaan petrol kira-kira RM21 berbanding hanya RM46 sebelum ini.

Kiraan ini berdasarkan purata penggunaan petrol bagi kereta berkuasa enjin 1,600 cc pada kadar tujuh liter untuk jarak perjalanan sejauh 100 kilometer.

Jumlah itu belum lagi termasuk kos tol dari kawasan sekitar ibu negara ke Pulau Pinang yang berjumlah kira-kira RM50 termasuk tol Jambatan Pulau Pinang.

Oleh itu, secara keseluruhannya kos petrol dan tol bagi perjalanan sehala Kuala Lumpur ke Pulau Pinang kini berjumlah RM121, berbanding dahulu yang hanya memerlukan RM100.

Sementara itu, bagi sebuah bas ekspres pula, belanja diesel yang diperlukan bagi jarak perjalanan yang sama adalah RM296, berbanding hanya RM181 sebelum ini.

Pengerusi Eksekutif Konsortium Transnasional Berhad, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh ketika dihubungi di sini hari ini berkata, secara lazimnya sebuah bas ekspres menggunakan satu liter diesel bagi jarak perjalanan tiga kilometer.

Katanya, bas henti-henti pula umumnya menggunakan diesel yang lebih tinggi dan bas yang agak berusia akan melibatkan kos diesel yang lebih.

"Keseluruhannya dengan harga baru yang diumumkan hari ini ia akan meningkatkan lagi kos operasi pengusaha bas bagi belanja diesel.

"Jika dahulu 30 peratus kos operasi adalah untuk diesel, yang terkini, saya anggarkan lebih 50 peratus kos adalah untuk perbelanjaan diesel sahaja.

"Sebab itu, mengambil kira harga terkini, saya percaya kadar tambang bas di Malaysia iaitu 65 sen bagi setiap kilometer bukan sahaja lebih murah dari negara Myanmar, tetapi adalah yang paling murah di dunia,'' jelasnya.

Read More...

Harga baru minyak sepatutnya dibahas di Parlimen - Mahfuz

Harakahdaily

Abdul Halim Mohd Rashid

Thu | Jun 05, 08 | 1:45:40 pm MYT

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Harga minyak mungkin tidak perlu dinaikkan jika kerajaan mengambil sikap terbuka dan membincangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar menggesa kerajaan menarik balik kenaikan harga minyak yang diumumkannya semalam dan membincangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

"Walaupun kenaikan harga minyak berada dalam bidang kuasa kerajaan, tetapi oleh kerana kenaikan berskala besar kali ini pasti akan memberi kesan yang menindas kehidupan rakyat, ia hendaklah ditarik balik atau sekurang-kurangnya ditangguhkan sehingga perbincangan yang menyeluruh dengan semua pihak dibuat," kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, kenaikan harga yang sebegitu kejam terhadap rakyat tidak patut dibuat secara tergesa-gesa tanpa perbincangan yang menyeluruh dengan semua pihak termasuk membentangkannya di Parlimen.

"Saya yakin, jika kerajaan membentangkan perkara ini di Parlimen terlebih dahulu, kesemua wakil rakyat boleh memberikan pelbagai pandangan yang boleh dimanfaatkan oleh kerajaan.

"Malah, mungkin harga minyak tidak perlu dinaikkan dengan pelbagai pandangan yang diberikan," katanya.

Mahfuz bimbang kenaikan harga sehingga 78 sen bagi minyak petrol dan RM1 bagi minyak diesel kali ini akan menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

"Sebelum ini, hanya Malaysiakini yang membayangkan harga minyak mungkin dinaikkan semalam. Media-media pro-kerajaan tidak kelihatan memberikan sebarang isyarat harga minyak akan dinaikkan semalam malah membayangkan harga minyak akan dinaikkan pada bulan Ogos.

"Soal kredibiliti media-media tersebut tersebut tidak perlu dibincangkan. Masalahnya rakyat tidak diberikan sebarang isyarat bahawa harga minyak akan dinaikkan semalam untuk membolehkan mereka bersedia dan membuat pengubahsuaian," kata beliau.

Rakyat kini begitu resah dan panik dengan kenaikan harga berskala besar yang begitu mengejut, kata beliau sambil membayangkan kenaikan harga barang pasti akan menyusul.

"Huru-hara mungkin akan berlaku jika rakyat tidak mampu menanggung lagi kesan kenaikan harga minyak yang pasti akan berjangkit dengan begitu cepat kepada barangan lain," katanya.

Mahfuz percaya, masih belum terlambat lagi kerajaan menarik balik kenaikan harga minyak itu dan membincangkannya dengan menyeluruh dengan semua pihak termasuk Ahli-Ahli Parlimen, persatuan-persatuan pengguna, ahli-ahli akademik dan lain-lain sehingga satu keputusan yang tidak menindas dan begitu kejam terhadap rakyat dapat dibuat.

Read More...

Kaji semula kenaikan, alasan terbeban dengan subsidi tidak dapat diterima - Presiden KeADILan

Suara Keadilan

KUALA LUMPUR, 5 Jun (SK)- Presiden KeADILan merangkap Ketua Pembangkang di Parlimen, Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa kerajaan agar menimbangkan semula keputusan kenaikan 40% harga petrol yang diumumkan semalam oleh Perdana Menteri.

Katanya, pengumuman kerajaan ke atas kenaikan 78 sen seliter itu amat mengecewakan seluruh rakyat sehingga rakyat terasa tertipu dengan kerajaan yang kononya simpati dengan beban yang ditanggung rakyat di atas kenaikan harga barang.

“Alasan basi kerajaan bahawa kenaikan tersebut adalah akibat kenaikan harga minyak mentah dunia dan kerajaan terlalu terbeban dengan subsidi, tidak dapat diterima rakyat,” katanya lagi.

Dr Wan Azizah menambah, kenyataan bercanggah beberapa menteri mengenai jumlah subsidi minyak banyak menimbulkan persoalan.

Menteri Perdangan dan Hal Ehwal Dalam Negeri,Shahrir Samad baru-baru ini mengatakan subsidi minyak adalah sebanyak RM56 billion manakala semalam Menteri Kewangan Kedua, Nor Mohamad Yakcop mengatakan subsidi minyak sekadar RM28 billion.

“Apatah lagi menurut Laporan Kewangan Kerajaan 2007, anggaran keseluruhan subsidi 2007 adalah RM12.0 billion, justeru itu kami menganggarkan bahawa jumlah subsidi petrol adalah hanya sekitar RM8-10 billion,” katanya lagi dalam kenyataan yang diterima oleh kami.

Pada masa yang sama, Dr Wan Azizah berkata, rakyat maklum bahawa kos explorasi syarikat minyak hanyalah sekitar USD30 setong berbanding dengan harga minyak mentah USD130 setong.

Menurutnya, Ini bermakna margin syarikat pengeluar minyak hampir USD100 setong dan syarikat pengeluar minyak ini mendapat keuntungn luar biasa sejak tiga tahun kebelakangan.

“Persoalannya kenapakah kerajaan tidak mengenakan cukai ke atas keuntungan luar biasa syarikat pengeluar minyak tetapi memilih untuk menaikkan harga petrol dan membebankan rakyat?” katanya lagi.

Jelasnya lagi, harga petrol boleh diturunkan jika kerajaan mengenakan cukai ke atas keuntungan luar biasa syarikat pengeluar minyak, syarikat pengeluar minyak kelapa sawit, syarikat pengeluar besi dan syarikat pengeluar simen bagi menampung kos subsidi.
“Kami yakin harga petrol RM1.92 seliter bukan sahaja boleh dikekalkan malah boleh diturunkan jika kerajaan mengenakan cukai ke atas keuntungan luar biasa syarikat pengeluar minyak, syarikat pengeluar minyak kelapa sawit, syarikat pengeluar besi dan syarikat pengeluar simen bagi menampung kos subsidi. Kenapakah kepentingan syarikat-syarikat ini lebih diutamakan dan rakyat terus terbeban?” katanya lagi.
“Malaysia adalah negara pengeksport minyak mentah, justeru harga petrol dalam negara perlu dibandingkan dengan negara-negara pengeksport minyak seperti UAE RM1.19 seliter, Mesir RM1.03 seliter, Kuwait RM0.67 seliter, Saudi Arabia RM0.38 seliter, Nigeria RM0.32 seliter dan Venezuela RM0.16 seliter. Membandingkan harga petrol dengan negara pengimport minyak seperti Singapura,Thailand dan Indonesia jelas menunjukkan sifat kedunguan,” tambahnya lagi.

Katanya lagi, rakyat yang rata-ratanya akan membelanjakan hampir 25% pendapatan mereka ke atas pengangkutan dan membayar cukai yang amat tinggi untuk membeli kenderaan dan membayar tol untuk melalui lebuhraya kini terpaksa pula membayar kos petrol yg begitu tinggi.
“Kita kesal kerajaan sanggup membelanjakan hampir RM40 billion untuk “double tracking railway project” yang menghubungkan Padang Besar-Johor Baru tetapi berdalih untuk membelanjakan RM13-15 billion bagi subsidi petrol. Kenapa tidak digunakan RM40 billion itu untuk membina lingkaran LRT yang komprehensif bagi membaiki sistem kenderaan awam sebagai usaha mengurangkan penggantungan kepada petrol,” katanya lagi.

Read More...

Larangan kenderaan asing dibatal

Utusan Online

PUTRAJAYA 4 Jun - Keputusan kerajaan menaikkan harga petrol 78 sen dan RM1 bagi diesel berkuat kuasa tengah malam ini sekali gus membatalkan larangan ke atas pemilik kenderaan asing membeli bahan api itu di kawasan sempadan di utara negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahril Abdul Samad berkata, soal melarang pemilik kenderaan asing membeli minyak di Johor juga tidak timbul kerana pada asalnya ia dijadual dikuatkuasakan pada 9 Jun ini.

Menurutnya, kerajaan beranggapan larangan itu tidak perlu lagi kerana dengan kadar harga baru minyak tersebut, pemilik kenderaan asing tidak lagi menikmati minyak bersubsidi sebanyak 78 sen sebagaimana yang mereka peroleh sebelum ini.

''Sebelum ini kita larang kenderaan asing membeli minyak dalam negara kerana mereka juga menikmati minyak yang bersubsidi. Jadi, dengan harga minyak RM2.70 seliter, kenderaan asing tidak lagi membeli minyak bersubsidi, mereka cuma dapat minyak bersubsidi (diskaun) sebanyak 30 sen sahaja.

''Jadi sekarang subsidi yang ada diberikan secara terus kepada rakyat tempatan sahaja tetapi dengan cara lain (rebat).

''Dengan penstrukturan semula subsidi yang diumumkan oleh kerajaan hari ini, maka larangan penjualan kepada kenderaan asing itu tidak timbul lagi dan larangan itu tidak berlaku di Johor kerana ia memang tidak dilaksanakan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pakej penstrukturan semula subsidi di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan melarang semua pemilik kenderaan asing membeli minyak di stesen minyak dalam lingkungan jarak 50 kilometer dari kawasan sempadan manakala di Johor, ia dijadual dikuatkuasakan 9 Jun ini.

Mengenai rebat atau bayaran tunai kepada pemilik kenderaan dan motosikal di kalangan rakyat Malaysia, beliau berkata, mereka boleh menuntut bayaran tersebut di pejabat pos ketika memperbaharui lesen kenderaan motor atau cukai jalan.

''Perkara ini berkuat kuasa mulai 1 April lalu hingga 31 Mac 2009. Jadi mereka yang telah memperbaharui cukai jalan pada April lalu boleh datang sekali lagi ke pejabat pos untuk menuntut bayaran rebat tersebut," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, meskipun penstrukturan semula subsidi membabitkan soal minyak, kerajaan sebenarnya lebih memberikan keutamaan kepada soal makanan.

''Jadi tumpuan penguatkuasaan kementerian selepas ini adalah memberikan tumpuan kepada barang makanan," katanya.

Read More...

Perbandingan harga minyak negara pengeluar

dppkk.org

Sekadar Perbandingan harga dengan negara-negara pengeluar minyak lain. Di Malaysia duit minyak untuk projek-projek kroni UMNO

Read More...

Baik untuk ekonomi - pakar ekonomi

Utusan Online




KUALA LUMPUR 4 Jun - Ahli Ekonomi menganggap keputusan kerajaan menaikkan harga minyak tengah malam ini sebagai satu langkah baik bagi jangka panjang ekonomi negara.

"Ia memang memeritkan untuk jangka pendek, tapi membawa banyak manfaat untuk jangka panjang, dari segi kestabilan ekonomi yang lebih baik, dan mengurangkan ketidakseimbangan," kata ketua ahli ekonomi perkhidmatan RAM Consultancy, Dr. Yeah Kim Leng.

Beliau berkata kenaikan itu pada dasarnya bertujuan melegakan kedudukan fiskal Malaysia, supaya dalam tempoh jangka panjang ia akan menjadi lebih efisien dan lebih bersedia berhadapan dengan kenaikan harga, serta lebih teguh.

"Memang kenaikan 40 peratus amat besar dalam sejarah, ia amat bermakna dan cukup besar, tapi sekiranya ia disalurkan dengan teratur untuk projek-projek pembangunan dan untuk penambahbaikan projek-projek pengangkutan awam, orang ramai akan mampu menyokongnya," katanya ketika dihubungi malam ini.

Kim Leng berkata, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain membenarkan kenaikan itu kerana mereka sudah menyekat langkah itu dan tidak membuat sebarang pengubahsuaian, sejak satu setengah tahun lalu, walaupun harga minyak sudah meningkat.

"Ia mengakibatkan bajet defisit bergerak ke tahap tidak mapan. Jadi hari ini anda lihat pengubahsuaian 40 peratus, yang merupakan angka yang cukup besar, tapi masih disertakan dengan subsidi," katanya.

Beliau berkata, cabaran kerajaan ketika ini adalah bagaimana cara menangani reaksi orang ramai terhadap kenaikan harga minyak yang tinggi itu.

"Bagi kumpulan berpendapatan tinggi dan sederhana, kenaikan itu mungkin tidak besar, tapi ia akan menjejaskan permintaan mereka. Mereka mungkin mampu tapi terpaksa mengurangkan simpanan, yang bermakna pendapatan sebenar diturunkan," katanya.

"Bagi kumpulan berpendapatan rendah pula, cadangan kerajaan untuk memberikan rebat boleh membantu mereka menangani kenaikan itu. Perbelanjaan mereka juga akan menjadi kurang, dan pastinya memberi kesan kepada pembelian," katanya.

Beliau menjangka kenaikan dalam harga makanan adalah sederhana.

"Berdasarkan kepada kenaikan harga petrol pada 2006, ia dilihat tidak memberi kesan ketara dalam pertumbuhan ekonomi. Tapi dengan kenaikan terbaru ini, saya jangka kerajaan akan mengkaji semula pertumbuhan ekonomi yang menguncup setengah atau satu peratus," katanya.

Sementara itu pakar ekonomi, Prof. Dr. Mansor Jusoh berkata, pembayaran tunai kepada warga Malaysia yang mempunyai kenderaan persendirian atau motosikal akan memberikan manfaat kepada golongan pertengahan dan bawahan.

"Bagaimanapun, ia tidak menyeluruh kepada golongan miskin yang mungkin tidak mempunyai kenderaan tetapi terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barangan akibat kenaikan harga minyak itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan mekanisme khas bagi membantu golongan miskin.

Pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc (kuasa kuda) serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc akan menerima bayaran tunai RM625 setahun bagi setiap kenderaan yang dimiliki.

Pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc pula akan menerima bayaran tunai RM150 setahun bagi setiap motosikal yang dimiliki.

Pembayaran itu akan diberi apabila pemilik kenderaan terbabit membayar atau memperbaharui cukai jalan atau diberi secara kiriman wang melalui pejabat pos di seluruh negara bermula 1 Julai depan.

- Bernama

Read More...

Petrol naik 78 sen, diesel RM1, elektrik jika lebih RM43

Utusan Online


FENOMENA SATU NEGARA... Kenderaan berbaris panjang untuk mengisi minyak di stesen minyak Petronas Kampung Baru, Kuala Lumpur, malam tadi selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga bahan api. Keadaan yang sama berlaku di seluruh negara.


PUTRAJAYA 4 Jun – Harga petrol di negara ini dinaikkan sebanyak 78 sen seliter kepada RM2.70 seliter berkuat kuasa esok.

Ini merupakan kenaikan 40 peratus daripada harga RM1.92 seliter sekarang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, harga diesel turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58.

Ketika mengumumkan pakej penstrukturan semula subsidi bahan api di sini hari ini, beliau berkata, prinsip penentuan harga petrol dan diesel di Malaysia sekarang akan berlandaskan kepada harga bahan api itu di pasaran dunia.

Langkah itu yang turut menyaksikan kenaikan harga gas untuk sektor elektrik dan industri, menurut Abdullah, adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk membawa harga bahan api di Malaysia ke arah harga pasaran sebenar.

Tarif elektrik, kata beliau, turut dinaikkan “bertujuan meningkatkan kecekapan pasaran dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjimatkan sumber tenaga” tetapi kadarnya berbeza mengikut kegunaan dan sektor.

Perdana Menteri percaya dengan penguatkuasaan harga baru petrol, diesel, gas dan tarif elektrik itu, sektor komersial dan industri akan lebih bermotivasi untuk meningkatkan kecekapan operasinya.

Berdasarkan harga minyak mentah pada kadar AS$125 setong, kerajaan menganggarkan sejumlah RM13.7 bilion penjimatan dapat diperoleh daripada penstrukturan subsidi petrol, diesel dan gas serta pendapatan daripada levi yang dikenakan terhadap Penjana Tenaga Bebas (IPP) dan Pengeluar Minyak Kelapa Sawit (POP).

Abdullah menjelaskan, subsidi bahan api distruktur semula bagi memastikan bantuan dapat diagihkan dengan lebih adil dan memberi lebih manfaat kepada mereka yang memerlukan, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Subsidi bahan api tetap diberikan kepada rakyat di bawah penstrukturan baru itu, kata Perdana Menteri.

“Kerajaan akan memberi diskaun atau pengurangan kepada pengguna sebanyak 30 sen bagi setiap liter minyak yang dijual.

“Kalau harga pasaran petrol, misalnya seperti hari ini, pada RM3 seliter, kita akan tentukan harga minyak dengan memberi diskaun atau pengurangan 30 sen.

“Maknanya yang perlu dibayar oleh pengguna ialah RM2.70 seliter walaupun harga sebenar ialah RM3,” kata Abdullah.

Diskaun itu, kata beliau, akan diberi secara tetap. Walaupun harga minyak diselaraskan sebulan sekali, kerajaan akan memastikan diskaun 30 sen itu terus diberi, ujarnya.

Utusan Malaysia difahamkan, mengikut cadangan asal harga petrol sepatutnya RM3 seliter, tetapi mesyuarat Kabinet hari ini meminta kerajaan memberi diskaun 30 sen untuk setiap liter petrol yang dijual di negara ini.

Semasa sidang akhbar, Perdana Menteri ditanya kemungkinan kenaikan harga petrol dan diesel yang diumumkan itu menyebabkan kerajaan pimpinannya kurang popular di kalangan rakyat.

Abdullah menjawab: “Ini bukan soal untuk popular, ini adalah langkah serius untuk keperluan rakyat. Kita tidak boleh puaskan hati semua pihak tetapi memastikan ‘situasi menang-menang’ untuk semua.''

Menjawab soalan daripada seorang wartawan Indonesia yang mengatakan di negaranya kenaikan harga minyak telah mencetuskan demonstrasi dan bantahan terhadap kerajaan, Perdana Menteri berkata:

“Insya-Allah, saya harap rakyat Malaysia tidak berdemonstrasi sebab apa yang kerajaan putuskan ini adalah yang sebaik-baiknya bagi menangani keadaan yang susah hari ini.

“Lagi pun harga baru petrol dan diesel yang diumumkan hari ini masih lagi yang terendah di rantau ini.''

Abdullah memberitahu, Kabinet yang membincangkan soal kenaikan harga minyak dalam mesyuarat selama empat jam hari ini meneliti satu per satu kesan yang akan timbul daripada keputusan itu.

Sidang akhbar Perdana Menteri hari ini turut disertai anggota-anggota Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Amirsyam A. Aziz.

Turut hadir ialah Presiden Petronas, Tan Sri Hassan Merican; Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Datuk Seri Che Khalib Mohd. Noh dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Dr. Sulaiman Mahbob.

Read More...

Penjimatan subsidi diagih semula

Berita Harian

Oleh Wan Hazmir Bakar, Saufi Hamzah dan Abdul Razak Raaff


TUNGGU GILIRAN: Pemilik kenderaan beratur untuk mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Kuala Lumpur, semalam.

Kerajaan belanja RM13.7 bilion hasil penstrukturan harga bahan api, levi untuk kurang beban rakyat

PUTRAJAYA: Kerajaan menganggarkan memperoleh penjimatan RM13.7 bilion menerusi penstrukturan semula subsidi petrol, diesel dan gas serta pendapatan levi yang dikenakan terhadap syarikat penjana tenaga bebas (IPP) dan pengeluar minyak kelapa sawit (POP).

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, penjimatan itu akan dibelanjakan semula bagi kepentingan rakyat dengan RM4 bilion diagihkan untuk dasar jaminan bekalan makanan negara, subsidi minyak masak (RM1.5 bilion), subsidi pembelian beras import (RM400 juta), subsidi tepung (RM200 juta), subsidi roti (RM100 juta) dan subsidi petrol, diesel dan gas (RM7.5 bilion). "Bukan kita tak beri subsidi lagi, kita masih terus beri subsidi," kata Perdana Menteri ketika mengumumkan pakej penstrukturan semula subsidi di Bangunan Perdana Putra di sini, semalam.

Malah, katanya, bagi meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga runcit petrol dan diesel, pemilik kenderaan persendirian dengan kapasiti enjin sehingga 2000 cc dan pikap serta jip sehingga 2500cc akan diberi bayaran tunai RM625 setahun untuk setiap kenderaan.

Pemilik motosikal persendirian dengan kapasiti enjin sehingga 250cc pula menerima bayaran tunai RM150 setahun bagi setiap kenderaan itu.

Beliau berkata, bayaran tunai itu akan diberi apabila pemilik kenderaan terbabit membayar atau memperbaharui cukai jalan, berkuat kuasa mulai 1 April lalu hingga 31 Mac tahun depan.

Bayaran itu akan dibuat menerusi kiriman wang di pejabat pos di seluruh negara mulai 1 Julai ini.

Pemilik kenderaan persendirian dengan kapasiti enjin melebihi 2000cc pula akan menikmati pengurangan cukai jalan sebanyak RM200, manakala pemilik motosikal persendirian dengan kapasiti enjin lebih 250cc sebanyak RM50 tertakluk kepada cukai jalan minimum sebanyak RM2.

Pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet selama empat jam itu, Perdana Menteri mengumumkan harga petrol dinaikkan 78 sen seliter kepada RM2.70 dan diesel RM1 seliter kepada RM2.58 sen mulai hari ini.

Penetapan harga itu dibuat selepas diskaun 30 sen setiap liter daripada harga pasaran RM3 seliter berdasarkan harga semasa minyak mentah dunia dan ia akan dikaji semula setiap bulan.

Bagaimanapun, harga gas masak atau gas petroleum cecair (LPG) dan gas asli bagi kenderaan (NGV) masing-masing kekal pada RM1.75 sekilogram dan 63.5 sen seliter.

Abdullah turut mengumumkan tarif elektrik baru untuk Semenanjung membabitkan peningkatan 26 peratus untuk pengguna komersial dan industri, manakala peruncit, pekedai dan pengusaha restoran kecil serta perusahaan kampung yang menggunakan tidak melebihi 200 Kilowat Jam (kWj) setiap bulan akan hanya mengalami kenaikan 18 peratus, berkuat kuasa 1 Julai ini.

Bagaimanapun, struktur tarif elektrik baru itu tidak membabitkan isi rumah yang menggunakan 200 kWj ke bawah setiap bulan dengan anggaran bil elektrik kurang daripada RM43.60.

"Ini bermakna, 59 peratus isi rumah di Semenanjung akan membayar kadar yang sama selagi mereka mengekalkan tahap penggunaan yang sama," katanya sambil menambah satu struktur tarif baru bagi Sabah dan Sarawak akan diumumkan tidak lama lagi.

Abdullah berkata, kerajaan meluluskan struktur baru tarif elektrik itu bagi membolehkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerap kos bahan api bagi gas dan arang batu berikutan penstrukturan semula subsidi gas oleh Petronas dan kenaikan harga arang batu.

Katanya, langkah itu juga selaras keputusan kerajaan untuk menstruktur semula subsidi bagi menuju ke arah harga pasaran sebenar, meningkatkan kecekapan pasaran dan menggalakkan rakyat untuk menjimatkan sumber tenaga.

"Sektor komersial dan industri akan menjadi lebih bermotivasi untuk melaksanakan langkah-langkah kecekapan dalam operasinya, sementara pengguna bagi isi rumah akan mengamalkan penjimatan tenaga serta mengelakkan pembaziran," katanya.

Menjelaskan rasional penstrukturan semula subsidi itu, Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, ia akan memberi lebih manfaat kepada mereka yang memerlukannya, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Kerajaan komited untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak akan dibebani dengan kenaikan kos petrol dan makanan.

"Namun, kos petrol dan komoditi di peringkat global, sudah mengalami kenaikan yang drastik dan subsidi perlu distruktur semula supaya bantuan dapat diagihkan dengan lebih adil," katanya.

Abdullah berkata, struktur baru subsidi itu adalah pendekatan terbaik bagi menangani masalah yang dihadapi negara berikutan peningkatan harga minyak mentah dunia.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengajak rakyat mengamalkan cara hidup yang mengutamakan penjimatan dan mengurangkan pembaziran bagi mengelakkan situasi buruk yang mungkin dihadapi.

Read More...

Wednesday, June 4, 2008

Harga petrol dijangka naik 78 sen mulai Ogos

Malaysiakini

Jun 4, 08 5:04pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mengumumkan hari ini kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen Ogos ini - satu pertambahan besar dari RM1.92 sekarang kepada RM2.70.

Kenaikan harga itu adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengawal subsidi bagi menampung kenaikan petrol, diesel dan gas, yang dijangka berjumlah RM56 bilion tahun ini.

Kerajaan juga mengumumkan pemberian rebet kepada pengguna kenderaan.

Mengikut skim tersebut tersebut, kenderaan di bawah 2000cc akan menerima RM625 setahun - rebat bagi 800 liter di bawah harga baru.

Pemilik motosikal pula akan diberi rebet RM120. Bayaran akan dibuat melalui wang pos.

Read More...

Singaporeans: We spend more on other things

The Star Online

By GLADYS TAY

JOHOR BARU: Singaporeans are said to spend six times more on food, entertainment and shopping compared with what they pay for petrol.

A Singaporean who only wanted to be known as Tang, said although he would frequent the petrol station for cheaper petrol, he also comes in for shopping and entertainment that cost about RM200 to RM300 per trip.

“I come here every weekend to buy groceries as they are cheaper here,” said the 32-year-old salesman.

Tang said although he gets to fill in about RM50-RM80 of petrol each time before he returns to Singapore, he spent much more than that for other activities that benefited the businesses here.

Desmond Foo, 47, leaves the island republic for Johor Baru and Kulai, about four times weekly for work and leisure.

“On weekdays, I come in for work but I also take my family here for food and entertainment during weekends,” said the father of three.

He explained that he spent at least RM250 per trip depending on the length of stay and his expenditure would be much more if hotel lodging was required.

Foo said the petrol ban would certainly cause a lot of inconvenience to him, as he had to visit his factory in Kulai regularly.

“I come in for work about three times a week and Kulai is one of the areas where petrol sale is banned for foreign registered cars,” he said.

He added that while the Malaysian Government had the right to prohibit Singaporeans from enjoying the subsidised petrol, it would be good if foreigners were allowed to fill in petrol at market prices.

Foo said it was not the question of getting the cheaper petrol but a matter of convenience.

Hashim Sani from Bedok, Singapore said he had been driving into Johor Baru almost every week for the past seven years.

“I come here with my family and we will shop for groceries here,” said the 39-year-old technician adding that he also had his hair cut and car washed here, as it was cheaper.

The three are examples of the tens of millions who enter Malaysia from Singapore on a frequent basis.

Last year alone, about 22 million Singaporeans entered the country via the Second Link and the Causeway.

Read More...

Golongan berkemampuan bayar lebih

Malaysiakini

Jun 4, 08 12:49pm

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, golongan berkemampuan mungkin perlu membayar lebih dalam sistem subsidi yang distruktur semula untuk menangani kenaikan harga komoditi.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata keluhan hanya akan berlaku sekiranya golongan berpendapatan rendah perlu membayar lebih "RM200-RM300" untuk harga minyak tanpa diberi bantuan.

"Tetapi, kalau kerajaan dapat mempastikan golongan ini tidak perlu bayar lebih kerana harga minyak naik dan mencari satu kaedah terbaik untuk mereka, saya pasti tidak akan berlaku keluhan”," katanya dalam siaran langsung bersemuka dengan media malam tadi.

Tetamu medianya ialah Ketua Pengarang Bernama Yong Soo Heong dan blogger Ahiruddin Atan.

Menurut laporan Bernama, Nor Mohamed berkata penstrukturan semula subsidi juga penting bagi memastikan pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan subsidi terutama bagi tujuan penyeludupan.

Beliau juga menjelaskan bahawa ada cadangan untuk menggunakan pendapatan Petronas sebagai subsidi.

“Kita ambil keuntungan Petronas, kita bagilah, apa susah, kita ada minyak. Tetapi itu bukan tindakan bertanggungjawab kerana Petronas bukan akan dapat
keuntungan selama-lamanya kerana pada tahun 2014, kita tidak akan menjadi negara pengeksport minyak lagi.

'Pegang amanah'


“Kerajaan berpendapat bahawa keuntungan Petronas digunakan untuk masa depan negara dan generasi akan datang,” katanya.

Nor Mohamed menegaskan bahawa kerajaan akan tetap menjalankan tanggungjawab dalam pemberian subsidi terutamanya bagi sektor pendidikan dan kesihatan.

“Kerajaan memegang satu amanah untuk menguruskan ekonomi dan orang selalu tanya amanah itu untuk siapa, amanah kepada rakyat 27 juta. Tetapi, itu jawapan yang salah. Kita pegang amanah bukan sahaja untuk penduduk pada masa ini tetapi juga untuk generasi akan datang,” katanya.

“Tujuan subsidi adalah untuk pastikan peruntukan tersebut dapat diberi kepada rakyat yang lebih memerlukan. Mereka yang perlu diberi bantuan akan terus diberi bantuan,” katanya lagi.

Katanya, kerajaan akan memberi penjelasan menyeluruh kepada rakyat tentang konsep subsidi tersebut menerusi media massa.

Kerajaan memberikan subsidi minyak sebanyak RM28 billion pada tahun ini berbanding RM8 bilion pada tahun 2007.

Read More...

Tuesday, June 3, 2008

Runding balik caj elektrik IPP

Utusan Online

KUALA LUMPUR 2 Jun - Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi akan berunding semula dengan syarikat penjana tenaga bebas (IPP) untuk mengurangkan kadar caj kapasiti elektrik yang dikenakan ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB), tidak lama lagi.

Timbalan Menterinya, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, rundingan tersebut yang terpaksa dihentikan disebabkan kegagalan mencapai keputusan muktamad awal tahun lalu, akan diteruskan untuk memastikan tarif elektrik di negara ini berada pada paras bersesuaian.

Beliau berkata, kerajaan juga terpaksa berunding dengan kesemua pemilik IPP terbabit disebabkan harga semua jenis bahan api termasuk arang batu sudah meningkat begitu tinggi.

''Kita terpaksa berunding semula dengan mereka berhubung perjanjian pembelian tenaga (PPA). Hasil rundingan itu akan menentukan sama ada terdapat sebarang kenaikan harga bekalan elektrik atau tidak," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.

Pada 2006, kementerian memulakan rundingan dengan IPP bagi membincangkan langkah terbaik untuk mengurangkan rizab tenaga negara, sebagai satu kaedah menurunkan caj elektrik yang dikenakan mereka terhadap TNB.

Bagaimanapun, rundingan itu terpaksa dihentikan atas arahan Kabinet kerana ia gagal dimuktamadkan walaupun sudah setahun rundingan berlangsung.

Sebelum ini, TNB terpaksa membayar kira-kira RM3 bilion setahun kepada sembilan IPP yang membekal tenaga mengikut PPA yang dimeterai sebelum ini.

Kesemua IPP itu membekalkan 40 peratus daripada jumlah bekalan tenaga negara dan mengikut PPA yang dimeterai, TNB terpaksa membayar untuk semua tenaga elektrik yang dibelinya daripada IPP, walaupun ia tidak dijual kepada pengguna.

Dalam perkembangan lain, Joseph berkata, kerajaan sedang mengatur tindakan jangka pendek dan panjang bagi menangani kekurangan bekalan tenaga elektrik di negeri Sabah.

Mengenai cadangan pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu bernilai RM1.3 bilion di Silam, Lahad Datu yang dibatalkan oleh kerajaan negeri Sabah, beliau berkata, TNB sedang mencari lokasi yang lebih sesuai.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |