+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, November 30, 2008

Tan Yee Kew kata ramai orang samakan Anwar dengan Obama?

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Sat | Nov 29, 08 | 12:13:50 pm MYT

SHAH ALAM, 29 Nov (Hrkh) - Bekas Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Tan Yee Kew dalam ucapan aluannya sempena Kongres KeADILan hari ini menyatakan ramai orang menyamakan kegigihan Dato' Seri Anwar Ibrahim sama seperti Presiden baru Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Ujarnya, kegigihan Anwar dalam bekerja bagi memastikan isu rakyat terus diutarakan dan nasib rakyat terus terbela sama seperti juga kegigihan Obama dalam berkempen pada pilihan raya presiden Amerika beberapa minggu lalu.

ImageAnwar yang menggalas tugas sebagai Ketua Umum KeADILan tidak pernah jemu untuk berusaha memastikan parti dapat berjalan dengan baik dan kebajikan rakyat terbela, ujar Tan yang juga Ketua Penerangan KeADILan Selangor.

Beliau memuji kegigihan kepimpinan Pakatan Rakyat dan KeADILan yang tidak mengira waktu berusaha untuk rakyat setiap hari dari pagi hingga ke larut malam.

Beliau tidak melihat situasi ini dalam kerajaan BN semasa menyertai pentadbiran kerajaan Umno/BN sebelum ini.

Apa yang pasti katanya, apa sahaja yang pernah dikemukakan oleh rakyat sebelum ini kurang mendapat perhatian oleh pemimpin Umno/BN.

Sebaliknya pemimpin KeADILan berusaha bersungguh-sungguh memastikan kebajikan rakyat akan terbela, ujarnya yang baru sahaja menyertai KeADILan selepas keluar dari MCA.

Antara Pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir dalam upacara perasmina kongres di Stadium Malawati Shah Alam hari ini ialah, Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa; Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Samad; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; AJK PAS Pusat, Dr Lo Lo Mohd Gahazali yang juga ahli Parlimen Titiwangsa; Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad; Karpal Sing (DAP) dan Teresa Kok./wann _

Read More...

Pesuruhjaya PAS Terengganu Ziarah Keluarga Dato’ Razali

Buletin Online

Ditulis oleh SM Noor & Wan Kay
Saturday, 29 November 2008

http://buletinonline.net/images/berita14/dato%5C%27paziarah.jpg

Kuala Terengganu - Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Mustafa Ali mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato’ Razali Ismail yang meninggal dunia secara mengejut pada petang semalam. Gambar - Dato' Mustafa bertanya khabar dengan Abang Allahyarham, turut sama Azmi Lop Yusuf (berbaju putih)


Beliau berkata kematian Dato’ Razali itu hanya diketahui beliau apabila mengesahkannya melalui ipar Allahyarham, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Azmi Lop Yusuf.

Beliau turut rasa terkejut dengan pemergian Allahyarham Dato’ Razali kerana menurutnya beliau sudah kenal lama dan rapat dengan Allahyarham ditambah mempunyai pertalian keluarga.

“Saya memang terkejut dan memang tak pernah tahu tentang penyakitnya, memang saya rapat dengan dia (Razali) dan saya ada hubungan keluarga di antara isteri saya dengan isteri beliau.

“Bagi pihak PAS Terengganu, saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan diharap masing-masing dapat bersabar,” ujarnya kepada pihak media.


Diminta mengulas lanjut tentang Allahyarham semasa menjawat jawatan Menteri Pelajaran, Dato’ Mustafa berpendapat Allahyarham seorang yang komited serta bersungguh dalam melaksanakan tugasnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak dapat turut serta menziarahi keluarga Allahyarham kerana berada di tanah suci bersama Adun Batu Burok, Dr
Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayob.


Hadir sama menziarahi Allahyarham Dato’ Razali, Bendahari PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, Naib Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Haji Shukrimun Shamsudin.

Read More...

Pertembungan impian: Wan Mutalib lwn Wan Farid

siasahdaily












KUALA TERENGGANU, 28 Nov:
Berikutan kematian anggota Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Muhamad petang tadi, kini Kuala Terengganu bakal menyaksikan pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Dan pertembungan impian adalah antara Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Mutalib Embong dengan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid.

Wan Mutalib adalah calon yang disebut-sebut untuk menjadi calon PAS di Kuala Terengganu sebelum PAS Pusat memutuskan untuk mencalonkan Naib Presidennya, Haji Muhamad Sabu di situ.

Wan Farid yang kini adalah senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri pula adalah calon yang disebut-sebut untuk bertanding dalam pilihan raya lalu di kawasan ini tetapi nama beliau hilang selepas itu.

Ramai pihak menganggap pertembungan kedua-duanya adalah pertembungan impian banyak pihak kerana kekuatan yang dimiliki oleh kedua-dua calon itu di kawasan ini.

Wan Mutalib, AJK PAS Pusat, sebelum ini adalah Adun Batu Burok. Beliau kini menjadi Pengerusi JK Pemantau bagi pihak PAS Pusat untuk semua negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Selain beliau, turut tersenarai untuk menjadi calon-calon PAS adalah pesuruhajaya PAS Terengganu sendiri, Datuk Mustafa Ali.

Di pihak BN pula, nama bekas anggota Parlimen Kuala Terengganu, Zuber Embong juga ada disebut-sebut.

Read More...

Kuala Terengganu: ‘taruhan besar’ bagi BN dan PAS


Agenda Daily


Al-Fatihah... atas kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.Pemergian mengejut Ahli Parlimen Kuala Terengganu ini sewaktu bermain badminton di Institut Aminuddin Baki Genting Highlands pada jam 6.30 petang Jumaat membuka gelanggang kali kedua pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Kalau sebelum ini di Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu BN berentap dengan PKR... di Kuala Terengganu giliran PAS pula.

Bezanya Permatang Pauh adalah kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan senario dari awal pilihanraya kecil itu sudah nampak memihak kepada PKR tetapi di Kuala Terengganu keadaannya lebih menarik kerana ia dikira 50-50 antara BN dan PAS.

Allahyarham Datuk Razali menang dua kali di kerusi parlimen itu setelah menewaskan
Ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi pada pilihanraya umum 2004 dengan 1,933 undi.Allahyarham dapat 30,994 undi manakala Dr Syed Azman 29,061.

Pada pilihanraya umum lalu dalam pertandingan tiga penjuru antara Timbalan Menteri Pelajaran itu dengan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu dan mak chik Maimun Yusof yang bertanding atas tiket bebas Allahyarham menang dengan majoriti tipis 648.

Datuk Razali dapat 32,582 undi ,Mohamad Sabu 31,934 manakala Maimun 685.

Keputusan kedua-dua pilihanraya umum sudah cukup untuk mengambarkan senario yang mendebarkan bagi BN dan PAS untuk mengharungi pilihanraya kecil kali ini.

Menariknya kedua–dua BN dan PAS mempunyai taruhan politik yang amat besar keatas Kuala Terengganu.

Bagi BN setelah tewas di Permatang Pauh ia pasti akan berhempas pulas untuk berusaha mempertahankan Kuala Terengganu.

Bagi PAS pula setelah melepas dari berkuasa sepenggal di Terengganu dalam pilihanraya umum 2004 dan hanya berjaya tawan balik satu kerusi Parlimen sahaja iaitu Marang semasa pilihanraya umum 8 Mac lalu... Kuala Terengganu pasti menjadi idaman,

Dijangka cabaran terbesar PAS untuk berdepan dengan pilihanraya kecil ini ialah mencari isu untuk menawan pengundi Kuala Terengganu.

Allahyarham Datuk Razali,seorang teknokrat yang tidak banyak diselubungi oleh isu peribadi dan politik untuk dijadikan bahan kempen PAS.

Dalam pada itu sebelum ini kebanyakan serangan PAS di negeri itu ditujukan kepada beberapa isu yang melibatkan bekas Menteri Besar Datuk Idris Jusoh.

Sebaliknya Terengganu kini dipimpin oleh Datuk Ahmad Said yang merupakan tokoh pilihan Istana.

Secara tidak langsung pilihanraya kecil ini akan menjadi ujian besar pertama bagi Menteri Besar Terengganu yang baru itu.

Sejak beliau ambilalih pentabiran belum ada isu besar berbangkit di negeri itu kecuali tidak lama dulu hu ha mengenai cadangan beliau nak tukar kereta rasmi kerajaan negeri dari Proton Perdana V6 ke Mercedes.

Soalan terbesar menjelang pilihanraya kecil itu apakah PAS mampu menyambung gelombang tsunami politik 8 Mac ke Kuala Terengganu.

Badai itu dikira tidak sampai ke Terengganu.Selain dari Parlimen Marang,PAS hanya mampu menawan balik empat kerusi Dewan Undangan Negeri semasa pilihanraya umum lalu.

Dalam pada itu PAS juga kini menghadapi kemelut dalaman.Bukan rahsia lagi parti itu kini sedang dihimpit ‘ perang dingin’ antara puak Erdogan diketuai oleh Datuk Husam Musa yakni yang lebih condong kepada Anwar dengan puak ulama Datuk Seri Hadi Awang yang tidak mahu dicengkam pengaruh Penasihat PKR itu.

Pilihanraya kecil ini juga dijangka akan menjadi medan ‘penilaian’ keatas prestasi kerajaan baru pimpinan PAS di Kedah dan Perak yang diselubungi oleh beberapa isu yang turut dipersoalkan oleh kalangan ahli parti itu sendiri.

Di Kedah misalnya ia berdepan dengan kemarahan orangramai mengenai cadangan projek ladang babi moden di Bukit Selambau dan kegairahan Exco Kerajaan Negeri main golf.

Di Perak,Datuk Seri Nizar Jamaluddin berdepan dengan dakwaan terlalu mengikut telunjuk DAP dan isu pemberian status hak milik kekal 999 tahun kepada penduduk yang mendiami lot-lot tanah di kampung baru.

Selain itu kegagalan PAS nak terapkan pemerintahan berasaskan pegangan yang digembar gemburkanya selama ini nak wujudkan Negara Islam di negeri-negeri yang baru dikuasainya juga menjadi buah mulut.

Ini tidak masuk lagi banyak janji dalam manifesto Pakatan Rakyat yang belum tertunai hingga membangkitkan rasa tidak puashati mereka yang memangkah pembangkang.


Bagi BN pula tentunya apakah ia mampu menyekat gelombang itu di Kuala Terengganu.

"Tembak menembak" dalam Wanita UMNO yang menjadi salah satu nadi utama kempen pilihanraya kebelakangan ini, menjelang pemilihan jawatan Ketua Wanita ...juga mencetuskan sedikit kebimbangan.

Melihat dari semua sudut ‘ perang Kuala Terengganu’ ini pastinya amat menarik.- 29/11/2008

Read More...

Dengan harapan rakyat, kerajaan baru Pakatan Rakyat akan direalisasikan - Wan Azizah

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Sat | Nov 29, 08 | 11:42:20 am MYT

SHAH ALAM, 29 Nov (Hrkh) - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan dengan harapan rakyat dan kerjasama yang tinggi di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, usaha untuk membentuk kerajaan baru di peringkat pusat akan direalisasikan juga akhirnya.

Semasa menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres KeADILan di Stadium Malawati Shah Alam ketika ini, Dr Wan Azizah menyatakan, rakyat terus berharap agar terbentuknya kerajaan Pakatan Rakyat yang sedang diusahakan.

ImageUjarnya, kerajaan Pakatan Rakyat akan terbentuk dengan 'izin Allah' dan kerajaan ini akan menjadi kerajaan yang prihatin, selamat dan bebas dari belenggu rasuah, campur tangan kehakiman dan dikenali wibawanya di seluruh dunia.

Presiden KeADILan itu juga berjanji jika terbentuknya kerajaan Pakatan Rakyat ini, semua manifesto yang diucapankan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12 lalu akan dilaksanakan.

Beliau menyebut, pengguna dan rakyat akan mendapat nikmat barangan pada harga yang rendah dan bersesuaian, harga perkhidmatan pada harga yang rendah dan pelbagai kebajikan lain yang kini dinafikan oleh kerajaan Umno/BN.

Beliau menyelar tindakan kerajaan BN yang tidak mahu mengubah dan membentangkan semula Belanjawan 2009 di Parlimen walaupun berlakunya kemelut ekonomi dan penurunan harga minyak.

Beliau menyebut antara kelemahan kerajaan BN hari ini ialah terjadinya aliran keluar FDI (pelaburan dari luar) yang semakin tinggi.

Selain itu Wan Azizah juga menyebut permasalah yang membelenggu dasar-dasar kerajaan yang ada hari ini antaranya, pengganguran, kelemut akhlak remaja, kemiskinan, kemelut ekonomi yang melampau dan permasalahan rakyat yang tidak pernah terlerai.

Beliau juga mengkritik sistem pendidikan hari ini yang sebenarnya perlu dikaji semula bagi meningkatkan taraf rakyat.

Dengan kemelut tersebut, selain kepinggiran warga luar bandar oleh kerajaan Umno/BN, beliau melihat bahawa rakyat kini mula mendampingi KeADILan terutamanya di Sarawak.

"Saya yakin dengan penambahan ahli KeADILan di Sarawak, pilihan raya negeri di peringkat Sarawak tidak lama lagi akan menjadi medan kepada KeADILan untuk membentuk kerajaan baru," katanya.

Justeru beliau mengharapkan usaha yang sedang dijalankan oleh Pakatan Rakyat hari ini akan membentuk satu kerajaan baru berdasarkan kepada 'Harapan Rakyat'.

ImageBeliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan Pakatan Rakyat dalam membina gagasan pakatan ini sebelum dan selepas pilihan raya hingga kini ia mantap.

"Terima kasih kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan seluruh kepimpinan PAS," katanya.

"Terma kasih juga kepada Lim Kit Siang, Karpal Sing dah rakan-rakan dalam DAP kerana kerjasama selama ini hingga Pakatan mantap," katanya.

Kejayaan pada pilihan raya umum ke-12 telah menyebabkan kerjasama dalam Pakatn Rakyat semakin tinggi, an kepercayaan antara pemimpin telah menyebabkan penubuhan sekratariat kepimpinan pakatan.

"Kita telahpun berjaya merentasi idealogi parti antara kita yang sebelum ini amat berbeza semata-mata kerana rakyat, dan kerana rakyatlah kita membentuk pakatan ini," katanya.

Justeru beliau mengharapkan dengan kerjasama ini, impian membentuk kerajaan baru Pakatan Rakyat di peringkat pusat akan direalisasikan akhirnya.

Ucapan Wan Azizah bagaimanapun tidak menyentuh isu kegagalan Anwar untuk menukar kerajaan persekutuan pada 16 September lepas.

Sebaliknya, bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengkritik pelan penggantian kuasa perdana menteri kepada timbalannya yang dianggap "sebuah pentadbiran yang mirip kepada regim lama" yang menyebabkan "kemusnahan dahsyat" kebanyakan insitusi pentadbiran dalam negara.

Semalam, sewaktu merasmikan kongres Wanita dan Angkatan Muda parti itu, timbalan presiden Dr Syed Husin Ali menjangkakan isu pertukaran kerajaan yang sedang diusahakan oleh Anwar akan disentuh oleh Dr Wan Azizah dan Anwar.

Anwar akan menyampaikan ucapannya, yang dijangka menyentuh beberapa isu penting PKR dan nasional, tidak lama selepas ucapan presiden.

Pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir ialah, Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa; Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Samad; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; AJK PAS Pusat, Dr Lo Lo Mohd Gahazali yang juga ahli Parlimen Titiwangsa; Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad; Karpal Sing (DAP) dan Teresa Kok. _

Read More...

Banjir di Kelantan, Terengganu semakin buruk, tidak banyak berubah di Pahang

Mstar Online

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu semakin buruk petang ini apabila semakin ramai yang terpaksa dipindahkan manakala di Pahang keadaan tidak banyak berubah.

Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat mendadak kepada 1,743 orang petang ini berbanding 295 orang tengah hari tadi manakala di Kelantan 794 orang, meningkat daripada 109 orang pagi tadi, dan di Pahang 25 orang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri Terengganu berkata daripada jumlah itu, 954 mangsa di Besut, Hulu Terengganu (376), Setiu (325) dan Marang (88).

"Kita sedang membuat pemantauan di daerah-daerah lain berikutan hujan lebat berterusan di negeri ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap itu berkata 10 pusat pemindahan telah dibuka di Besut sehingga pukul 5 petang ini manakala empat di Hulu Terengganu, lima di Setiu dan dua di Marang.

Jurucakap itu berkata paras air sungai yang melepasi paras bahaya di negeri itu sekarang ialah di Kampung La dan Jambatan Jertih di Besut, yang masing-masing mencatatkan 22.36 meter (paras bahaya 19.20 meter) dan 9.03 meter (paras bahaya 8.90 meter) serta Sungai Marang 14.26 meter (paras bahaya 14 meter).

Beliau berkata jalan-jalan yang ditutup setakat ini ialah jalan Kuala Ping ke Kuala Berang di Km28, jalan Kuala BerangSungai Tong, jalan Kuala Berang-Kampung Kepah, yang kesemuanya ditenggelami air sedalam antara 0.5 dan dua meter.

Di Kelantan pula, jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir (PKOB) Kelantan berkata kesemua 794 mangsa banjir yang dipindahkan adalah di Jeli.

"Jajahan-jajahan lain belum lagi kita terima maklumat terkini mengenai mangsa banjir dipindahkan, hanya Jeli sahaja yang berlaku perpindahan mangsa banjir," katanya, sambil menambah antara jalan yang ditutup kini adalah laluan utama Kota Baharu-Kuala Krai dan Jeli-Dabong.

Dua laluan utama menuju ke jajahan Jeli dan Kuala Krai juga ditutup berikutan air mula naik setinggi satu meter.

Tinjauan Bernama pula mendapati laluan masuk ke bandar Kuala Krai ditutup untuk kenderaan ringan berikutan air Sungai Durian melimpah ke atas jalan setinggi satu meter.

Sementara itu, Ketua Jajahan Jeli Serpudin Mohamad berkata hujan lebat yang melanda jajahan itu sejak 2 pagi tadi, menyebabkan paras air Sungai Pergau dan Sungai Ayer Lanas meningkat mendadak dan penduduk di lima kampung terpaksa berpindah ke empat pusat pemindahan.

Katanya laluan utama untuk masuk ke jajahan Jeli yang ditutup akibat dinaiki air setinggi satu meter adalah Jalan Kuala Balah-Jeli dan Jalan Gua Musang-Jeli.

Di Pahang pula, keadaan banjir di daerah Temerloh dan Cameron Highlands tidak banyak berubah apabila 25 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir berbanding 29 orang pagi tadi selepas empat sekeluarga dari Kampung Kuang, Lanchang dekat Temerloh dibenarkan pulang berikutan keadaan air di kawasan rumah mereka telah surut.

Jurucakap bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata seramai 12 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Kampung Kuang, Lanchang manakala 13 lagi dari Lembah Bertam, Cameron Highlands ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ringlet.

Sementara itu, dua jalan di daerah Bera iaitu Jalan Kampung Orang Asli Chuat dan Jalan Kampung Orang Asli Ibam yang ditenggelami air setinggi satu meter masih ditutup untuk kenderaan ringan. BERNAMA

Read More...

Keganasan tamat

Berita Harian


PASUKAN komando India mengawasi keselamatan di bangunan pusat Yahudi di Mumbai.

India dakwa Pakistan terbabit

MUMBAI: Drama serangan pengganas di bandar raya ini sejak malam Rabu lalu, berakhir semalam tetapi ketegangan baru tercetus di antara India dan Pakistan selepas Islamabad dituduh terbabit dalam insiden itu.

Ketika pasukan komando India mula menguasai dua hotel yang ditawan militan serta menyelamatkan semua tebusan di pusat agama Yahudi, India pula menuduh Pakistan bersalah atas keganasan di ibu kota kewangannya.

Bagaimanapun, Islamabad menegaskan dua negara itu menghadapi musuh yang sama dan menggesa New Delhi tidak menggunakan politik kotor dalam isu berkenaan.

Gesaan itu dibuat berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri dari negeri Maharashtra, R R Patil yang memberitahu wartawan bahawa salah seorang militan yang ditahan adalah rakyat Pakistan.

Perdana Menteri India, Manmohan Singh pula memberi amaran mengenai 'padah tertentu' jika Pakistan tidak bertindak menyekat wilayahnya digunakan untuk melancarkan serangan.

Beliau juga meminta ketua agensi perisikan Pakistan menghantar pegawainya ke India bagi berkongsi maklumat dan ini dipersetujui oleh Islamabad.

KOMANDO India turun daripada helikopter di atas bumbung bangunan pusat Yahudi di Mumbai.

Sementara itu, siaran televisyen melaporkan pasukan komando dengan dibantu helikopter, melepaskan tembakan sebelum melontar bom ke arah penyerang di pusat agama Yahudi.

Ketua Pengawal Keselamatan Kebangsaan, J K Dutt mengesahkan komando India membunuh dua militan di bangunan itu manakala lima tebusan maut.

Ketua Polis Mumbai, Hasan Ghafoor, pula menegaskan operasi masih berjalan kerana tembak menembak terus berlarutan di Hotel Taj Mahal yang menyaksikan komando elit India menghadapi tentangan seorang penyerang yang dipercayai cedera.

Bagaimanapun, hampir semua lokasi keganasan terkawal apabila pasukan komando membunuh dua militan di Hotel Trident-Oberoi dan membebaskan 93 tetamu.

Nasib wanita rakyat Malaysia, Hemakasi Pillay, 51, yang dikhuatiri terperangkap dalam Hotel Taj Mahal masih belum diketahui.

Konsul Jeneral Malaysia di Mumbai, Wan Zaidi Wan Abdullah, berkata pihak berkuasa India memaklumkan hotel itu masih tidak boleh dimasuki.

"Kita memantau perkembangan kejadian itu dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa untuk mengetahui jika wanita terbabit diselamatkan," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Wan Zaidi berkata, pihaknya bersama dua rakan Hemakasi turut menubuhkan dua kumpulan bagi mengesan wanita itu di semua hospital di bandar raya ini.

"Operasi mencari itu bermula sejak awal pagi kelmarin dan kita juga cuba menghubungi telefon bimbit Hemakasi, namun tiada jawapan," katanya.

Setakat ini, 143 orang maut, termasuk lapan warga asing manakala 288 lagi cedera dalam siri serangan itu.

Dalam insiden itu, kira-kira 25 lelaki bersenjata raifal AK47 dan bom tangan menyerang 10 tempat popular pelancong dan ahli perniagaan di bandar raya ini dengan menjadikan rakyat Britain dan Amerika Syarikat serta penduduk Yahudi sebagai sasaran.


Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |