+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++
Showing posts with label pengganas. Show all posts
Showing posts with label pengganas. Show all posts

Sunday, November 30, 2008

Keganasan tamat

Berita Harian


PASUKAN komando India mengawasi keselamatan di bangunan pusat Yahudi di Mumbai.

India dakwa Pakistan terbabit

MUMBAI: Drama serangan pengganas di bandar raya ini sejak malam Rabu lalu, berakhir semalam tetapi ketegangan baru tercetus di antara India dan Pakistan selepas Islamabad dituduh terbabit dalam insiden itu.

Ketika pasukan komando India mula menguasai dua hotel yang ditawan militan serta menyelamatkan semua tebusan di pusat agama Yahudi, India pula menuduh Pakistan bersalah atas keganasan di ibu kota kewangannya.

Bagaimanapun, Islamabad menegaskan dua negara itu menghadapi musuh yang sama dan menggesa New Delhi tidak menggunakan politik kotor dalam isu berkenaan.

Gesaan itu dibuat berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri dari negeri Maharashtra, R R Patil yang memberitahu wartawan bahawa salah seorang militan yang ditahan adalah rakyat Pakistan.

Perdana Menteri India, Manmohan Singh pula memberi amaran mengenai 'padah tertentu' jika Pakistan tidak bertindak menyekat wilayahnya digunakan untuk melancarkan serangan.

Beliau juga meminta ketua agensi perisikan Pakistan menghantar pegawainya ke India bagi berkongsi maklumat dan ini dipersetujui oleh Islamabad.

KOMANDO India turun daripada helikopter di atas bumbung bangunan pusat Yahudi di Mumbai.

Sementara itu, siaran televisyen melaporkan pasukan komando dengan dibantu helikopter, melepaskan tembakan sebelum melontar bom ke arah penyerang di pusat agama Yahudi.

Ketua Pengawal Keselamatan Kebangsaan, J K Dutt mengesahkan komando India membunuh dua militan di bangunan itu manakala lima tebusan maut.

Ketua Polis Mumbai, Hasan Ghafoor, pula menegaskan operasi masih berjalan kerana tembak menembak terus berlarutan di Hotel Taj Mahal yang menyaksikan komando elit India menghadapi tentangan seorang penyerang yang dipercayai cedera.

Bagaimanapun, hampir semua lokasi keganasan terkawal apabila pasukan komando membunuh dua militan di Hotel Trident-Oberoi dan membebaskan 93 tetamu.

Nasib wanita rakyat Malaysia, Hemakasi Pillay, 51, yang dikhuatiri terperangkap dalam Hotel Taj Mahal masih belum diketahui.

Konsul Jeneral Malaysia di Mumbai, Wan Zaidi Wan Abdullah, berkata pihak berkuasa India memaklumkan hotel itu masih tidak boleh dimasuki.

"Kita memantau perkembangan kejadian itu dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa untuk mengetahui jika wanita terbabit diselamatkan," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Wan Zaidi berkata, pihaknya bersama dua rakan Hemakasi turut menubuhkan dua kumpulan bagi mengesan wanita itu di semua hospital di bandar raya ini.

"Operasi mencari itu bermula sejak awal pagi kelmarin dan kita juga cuba menghubungi telefon bimbit Hemakasi, namun tiada jawapan," katanya.

Setakat ini, 143 orang maut, termasuk lapan warga asing manakala 288 lagi cedera dalam siri serangan itu.

Dalam insiden itu, kira-kira 25 lelaki bersenjata raifal AK47 dan bom tangan menyerang 10 tempat popular pelancong dan ahli perniagaan di bandar raya ini dengan menjadikan rakyat Britain dan Amerika Syarikat serta penduduk Yahudi sebagai sasaran.


Read More...

Saturday, November 29, 2008

PAS kutuk serangan di Mumbai - Mahfuz

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob
Sat | Nov 29, 08 | 2:30:54 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menyatakan PAS mengutuk serangan yang berlaku ke atas tempat-tempat awam di Mumbai 27 November lalu.

Seramai 125 orang terbunuh, manakala 287 lagi cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata melancarkan serangan ke atas dua buah hotel mewah, hospital, stesen kereta api dan beberapa kawasan tumpuan pelancongan di bandar raya ini sejak malam semalam.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena menyatakan, PAS bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga mangsa serangan dan mengucapkan takziah kepada Kerajaan India.

PAS tidak menyokong sebarang aktiviti keganasan terutama sekali kepada orang awam, namun mengingatkan kuasa-kuasa besar agar tidak menjadikan tindak-tanduk mereka menyemarakkan aktiviti keganasan.

"Kita tidak menyokong perbuatan pengganas, namun perlu diingatkan kuasa-kuasabesar seperti Amerika Syarikat lah yang melakukan tindakn mendiskrimiasi hingga wujudnya kelompok pengganas ini yang akhirnya membahayakan nyawa awam," ujarnya.

PAS meminta masyarakat dunia terutamanya kuasa-kuasa besar seperti Amerika menghentikan tindakan berunsur diskriminasi terhadap negara kecil yang menyebabkan berlakunya keganasan.

Dalam kejadian ngeri di Mumbai 27 November, pihak berkuasa India masih belum jelas siapakah dalang di sebalik kejadian itu, namun Perdana Menteri, Manmohan Singh menyalahkan kumpulan pejuang Islam di kawasan sempadan sebagai suspek utama.

Kumpulan kecil militan lengkap bersenjata melepaskan tembakan rambang dan melontar bom dalam serangan ke atas kedua-dua hotel mewah tersebut, sebuah hospital dan sebuah stesen kereta api sejak lewat malam tadi serta sebuah kafe popular yang kerap dikunjungi pelancong asing.

Anggota keselamatan dan kumpulan bersenjata berbalas tembakan ketika komando dan polis menggempur salah sebuah hotel berkenaan bagi membebaskan tebusan.

Bagaimanapun keadaan kini agak terkawal, namun berpuluh-puluh pelancong asing dan tempatan masih terperangkap di dalam Hotel Taj Mahal berusia 105 tahun dan sebuah lagi hotel lima bintang, Hotel Trident Oberoi di pusat bandar Mumbai, yang menjadi sasaran serangan.

"Ramai yang terperangkap di dalam dua hotel berkenaan dan kami mendapat laporan berlakunya tembak-menembak terutama di Hotel Taj Mahal,� ujar seorang pegawai bertugas di bilik kawalan polis Mumbai.

Komando dan pasukan polis bersenjata masih lagi berkawal di dalam dan di sekitar hotel itu setelah kumpulan ini menjadikan warga tempatan dan asing sebagai tebusan.

Menurut polis, mereka telah menembak mati empat lelaki bersenjata dan menahan sembilan suspek, manakala 12 anggota polis terbunuh termasuk ketua skuad antikeganasan, Hemant Karkare dalam kejadian tembak-menembak di Hotel Taj Mahal.

Manmohan Singh mengecam kejadian itu yang disifatkan sebagai terburuk pada tahun ini dan menyalahkan kumpulan pengganas yang mempunyai pertalian dengan kumpulan dari luar.

"Serangan ini dilakukan oleh mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan pengganas asing dan ia dilakukan dengan perancangan yang teliti.

"Ia dilakukan bagi mencetuskan suasana tidak selamat di dalam negara dengan memilih kawasan-kawasan yang berprofil tinggi sebagai sasaran," kata Manmohan Singh melalui siaran televisyen semalam.

Sementara itu, hari ini dilaporkan pasukan komando India membunuh sembilan anggota militan ketika menggempur kumpulan bersenjata bagi menamatkan drama serangan nekad oleh kumpulan tersebut ke atas beberapa logistik di bandar raya ini malam kelmarin, yang telah mengorbankan 143 orang dan hampir 300 yang lain cedera.

Lima warga Israel yang ditahan di Pusat Pertubuhan Yahudi terbunuh manakala dua anggota komando maut apabila pasukan elit India itu menggempur pusat tersebut bagi menyelamatkan tebusan rakyat Israel di sana./wann _

Read More...

Komando bebaskan Hotel Taj, kekacauan di Mumbai berakhir

Mstar Online

KEKACAUAN berakhir..Pasukan komando India berjaya menumpakan saki baki pengganas kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan) hari ini. -foto AP

[DIKEMAS KINI] MUMBAI: Pasukan komando India berjaya menumpaskan saki baki pengganas yang menawan hotel Taj Mahal Palace, selepas berlaku pertempuran sengit dengan anggota kumpulan militan itu.

Pertempuran yang berlanjutan dengan anggota militan itu berakhir kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan) hari ini selepas baki tiga lagi pengganas terbunuh di dalam hotel itu lebih kurang 60 jam selepas mereka merampas hotel berkenaan.

Semalam dua lagi terbunuh di dalam hotel itu. Sekurang-kurangnya 20 hingga 30 lelaki bersenjata dipercayai memasuki hotel mewah itu.

Menurut seorang pegawai keselamatan, dua daripada anggota militan merupakan pelatih di hotel itu sejak 10 bulan lepas, manakala dua anggota kumpulan mereka menempah masuk bilik deluxe tiga hari sebelum merampas hotel itu.

"Kami tidak boleh mengatakan operasi telah tamat. Walaupun tiga pengganas terbunuh hari ini, berdasarkan laporan media mungkin ada (lebih) lagi yang masih bersembunyi di dalam dan penembak tepat kami melakukan pemeriksaan pintu ke pintu.

"Ia mengambil masa yang lama kerana mereka adalah pengganas yang terlatih," kata ketua pengarah National Security Guard (NSG) JK Dutt kepada media selepas operasi itu hari ini.

"Terdapat laporan dalam media dan laporan daripada mereka yang tinggal di hotel itu, bahawa bukan hanya seorang (pengganas) tetapi ada lima pengganas. Kami telah katakan sekurang-kurangnya ada tiga pengganas di dalam. Kami dapat mayat tiga pengganas hari ini," katanya.

Beliau berkata komando NSG akan melakukan 'pembersihan' di seluruh hotel itu dalam tempoh beberapa jam akan datang bagi mencari mayat lain dan tetamu hotel yang selamat.

Pegawai-pegawai bimbang kemungkinan beberapa tetamu hotel masih terperangkap di dalam hotel itu.

Kebakaran berlaku di beberapa bahagian hotel pagi ini selepas anggota militan meletupkan bom tangan di akhir pertempuran, tetapi anggota bomba berjaya memadamkannya. Hotel itu mengalami kerosakan teruk.BERNAMA

BERITA TERDAHULU

MUMBAI: Polis melaporkan serangan di Hotel Taj Mahal kini berakhir, hampir mencapai matlamat untuk tiga hari pertempuran di sini di mana lebih daripada 150 orang telah terbunuh.

Ketua Polis Mumbai Hasan Ghafoor berkata kepada AP: "Operasi di Hotel Taj Mahal kini berakhir. Dua pengganas terakhir yang bersembunyi di sana telah terbunuh.''

Ini telah menamatkan satu daripada serangan yang paling mengakibatkan kebinasaan di India. Keganasan itu bermula Rabu lalu apabila penyerang-penyerang menyerbu 10 buah tempat merentasi Mumbai, ibu negara komersial India.

Pihak berkuasa yang terlibat mencari siapa angkara sebalik serangan ini, mendakwa ia dilakukan oleh kumpulan yang tidak dikenali sebelum ini yang mengelarkan diri sebagai Deccan Mujahideen.

Lima belas pelancong adalah antara yang terbunuh. AP

BERITA TERDAHULU

MUMBAI: Pertempuran senjata antara komando India dan anggota militan berterusan di Taj Mahal Palace Hotel, sejak malam tadi hingga awal pagi ini, dalam usaha akhir pasukan keselamatan untuk menumpaskan saki baki anggota pengganas.

Sejak semalam, angota komando berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya 30 orang yang ditahan di hotel itu sejak Rabu malam, apabila sekumpulan pengganas melancarkan serangan di bandar ini.

Sejumlah pengganas di hotel Taj terbunuh dalam Operasi Black Tornado itu, manakala sejumlah kecil lagi masih bertempur dengan pasukan keselamatan sejak lebih 50 jam lepas, atau mulai awal pagi Sabtu.

"Ini operasi yang unik," kata ketua pengarah National Security Guard (NSG) JK Dutt kepada pemberita malam tadi.

"Kami telah hantar pasukan NSG yang baru, kami tidak mahu lagi kehilangan nyawa. Operasi ini berjaya dan berdasarkan tembakan yang dilepaskan masih terdapat dua hingga tiga orang pengganas di dalam hotel itu," katanya.

Lebih 40 letupan didengar daripada hotel itu apabila anggota militan yang terdesak melemparkan bom tangan dan melepaskan tembakan berterusan ke arah pasukan komando. Petang semalam, dua wartawan cedera ringan apabila terkena serpihan bom tangan.

Seni bina hotel itu, dengan tangga yang berpusing dan bilik tersembunyi menyukarkan pasukan keselamatan menumpaskan anggota militan, yang jumlahnya antara 20 dan 30 orang ketika mereka menawan hotel itu.

Pasukan keselamatan juga menemui hampir 25 kg bahan letupan RDX di dalam hotel mewah itu.

Letupan dan tembakan berterusan dari beberapa bahagian hotel warisan itu yang mempunyai bangunan lama dan baru memusnahkan sebahagian hotel yang berusia satu abad itu.

Sementara itu, komando NSG petang semalam membebaskan Oberoi Trident dan Nariman House, yang turut ditawan pengganas sejak Rabu. BERNAMA

Read More...

Isu Mumbai - 93 lagi tahanan bebas

ATENDAN penerbangan keluar dari Hotel Trident selepas dibebaskan anggota keselamatan di Mumbai, semalam.

PM Pakistan hubungi Manmohan isu keganasan di Mumbai

ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Yusuf Raza Gilani, semalam mengutuk serangan di Mumbai dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya di India, Manmohan Singh, sambil memberitahu negaranya turut menjadi mangsa keganasan dengan laporan terbaru menyatakan 93 lagi tetamu hotel dibebaskan anggota keselamatan.

Seorang pegawai kanan di pejabat perdana menteri itu berkata, Gilani yang menghubungi Manmohan menerusi telefon 'mengutuk sekeras-kerasnya serangan'.

"Gilani memberitahu Manmohan Singh bahawa Pakistan juga menjadi mangsa keganasan dan sengsara seperti juga India," katanya.

Satu kenyataan pejabat Gilani menyatakan, beliau juga menyatakan sokongan penuh kepada India untuk secara bersama menentang keganasan dan puak pelampau.

Panggilan telefon dibuat sehari selepas Manmohan dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen berkata perancang keganasan mempunyai pangkalan 'di luar negara' dan memberi amaran terhadap 'jiran' yang menyediakan anggota militan anti-India, kenyataan yang ditafsirkan banyak pihak sebagai tuduhan terhadap Pakistan.

Pakistan menafikan sebarang pembabitan dalam serangan itu yang boleh menjejaskan usaha mencapai perjanjian damai antara kedua-dua negara mengenai wilayah Kashmir yang menjadi punca pertelagahan.

Yusuf Raza Gilani

Sementara itu, sekurang-kurangnya 93 orang kebanyakannya rakyat asing, dibebaskandari hotel Oberoi dan Trident, lebih 36 jam selepas militan bersenjata merampas bangunan itu, kata polis.

Tetamu itu termasuk seorang bayi, beredar selepas operasi menyelamat seorang anggota tentera dan polis. Mereka diarah menghala ke sebuah bas mini yang menunggu sebelum dibawa pergi.

Sesetengah tetamu bercakap pada telefon bimbit ketika mereka melalui media sambil enggan mengulas. Yang lain membawa beg komputer riba atau beg baju namun ramai hanya sehelai sepinggang. � AFP

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |