+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, June 12, 2008

Dahlah luka DBKL mari sapukan garam pula, kata Dr Lo' Lo'

Siasah daily

KUALA LUMPUR, 12 Jun:
Semalam di umumkan, hari ini anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali turun ke Jalan Pahang Barat dekat sini bagi membuat protes kenaikan kadar parking di Kuala Lumpur.

Jalan Pahang adalah sebagian dari jalan yang menerima sistem baru meter parking yang dibuat secara elektronik ini.

Kalau sebelum ini, kawasan Pekeliling Busines Centre tidak terkena sebarang bayaran parking, mulai Isnin 16 Jun depan, pemilik kenderaan di situ juga mula dikenakan bayaran parking dengan kadar baru 80 sen sejam ini.

Dr Lo' Lo' bersama pemilik kenderaan sekitar jalan pahang telah berdemo bagi membantah kenaikan parking itu.

Beliau menyifatkan DBKL kejam.

"Dahlah rakyat luka dengan kenaikan harga minyak, DBKL datang menyapukan garam pula ke atas luka ini," katanya membantah.

Kawasan Jalan Pahang terletak di bawah parlimen Titiwangsa yang diwakili beliau.

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur Dato' Ab Hakim Borhan berkata, Sistem Letak Kereta Eletronik (SLKE) berkuatkuasa Isnin ini dan pemilik kenderaan dikehendaki membayar caj 80 sen sejam bagi setiap petak letak kereta di pusat bandar berbanding hanya 60 sen sekarang.

"Bagaimanapun kadar letak kereta di luar pusat bandar (pinggir bandar) dikurangkan 10 sen kepada 50 sen sejam," katanya kepada pemberita semasa Program Datuk Bandar Bersama Media di DBKL di semalam.

Beliau juga mengumumkan lanjutan tempoh masa bayaran letak kereta bermula 7.30 pagi hingga ke 10 malam sepanjang tujuh hari seminggu, berbanding sekarang 8 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Sabtu, kecuali Ahad dan cuti umum.

Buat permulaan kadar dan langkah-langkah baru itu hanya dilaksanakan di kawasan yang dilengkapi dengan SLKE bagi fasa pertama iaitu di kawasan Bukit Bintang, Masjid India, Jalan Sultan Ismail, Kampung Baru, Chow Kit, Pudu, Kompleks Damai dan Jalan Loke Yew.

Read More...

Telur: Tak ubah macam lagu Bangau Oh Bangau

Kosmo Online


KERATAN Kosmo! 11 Jun.


KUALA LUMPUR - Tidak ubah seperti lagu Bangau oh Bangau. Kelmarin penjual telur tidak mahu dipersalahkan ekoran kenaikan mendadak harga bahan itu, sebaliknya meletakkan keadaan itu kepada pemborong.

Semalam, pemborong pula menuding jari kepada peladang pula yang didakwa menjualnya pada harga yang telah pun mahal.

Demikianlah kemelut di sebalik kenaikan mendadak sehingga 23 peratus harga telur pelbagai gred dalam pasaran tempatan ekoran kenaikan kos pengeluaran dan pengangkutan.

Rata-rata pemborong mendakwa, mereka juga tersepit dengan harga minyak dan hanya memperoleh keuntungan yang sedikit sahaja.

Lebih memeritkan, kebanyakan pemborong telur yang ditemui memberitahu, mereka hanya memperoleh modal pusingan daripada jualan bagi setiap telur yang dijual kepada peruncit sejak seminggu lalu.

Perkara tersebut diakui oleh seorang pemborong telur dari Pasar Borong Selangor, Chai Yoon Keong, 30, yang memberitahu, tindakan itu adalah semata-mata tidak mahu kehilangan pelanggan (peruncit) selain persaingan sengit pemborong lain.

Ketika ini katanya, harga bagi setiap papan telur gred A (30 biji) yang dijual kepada peruncit ialah RM8.40, gred B RM8.25, manakala gred C pula RM8.10, kenaikan sebanyak 60 sen bagi setiap papan.

Harga setiap papan telur gred A (30 biji) yang dibeli daripada peladang pula adalah RM7.65, gred B RM7.50, manakala gred C RM7.35.

Menurut Yoon Keong, harga peladang itu hanya mampu menampung kos untuk menggaji enam pekerjanya serta membeli beberapa keperluan lain termasuk beg plastik.

"Macam mana peruncit boleh salahkan kami pula sedangkan kami sendiri tak ada untung, hanya balik modal saja sejak beberapa hari lepas. Kalau ikutkan pemborong sebenarnya yang lebih tertekan.

"Kami perlu bagi harga ini sekarang kerana kalau tak pelanggan akan lari dan mereka sanggup mencari pemborong yang meletakkan harga yang lebih murah walaupun jauh," katanya.

Namun begitu, beliau tidak menyalahkan sepenuhnya peladang rentetan senario kenaikan harga telur, sebaliknya Yoon Keong berpendapat kenaikan itu juga ekoran kenaikan harga makanan ayam di pasaran dunia.

Read More...

Gaji 2X: Tidak sesuai yang bergaji rendah

Malaysiakini

Siti Nurul Zahra | Jun 12, 08 5:01pm

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berpendapat langkah kerajaan untuk membayar gaji kakitangan awam dalam dua ansuran sebulan mulai Ogos ini, tidak sesuai bagi mereka yang bergaji rendah.

omar osmanPresidennya, Omar Osman, berkata mekanisme itu tidak relevan kerana ia akan mendatangkan masalah bagi mereka yang tidak bijak berbelanja.

"Mekanisme ini dilihat tidak relevan, misalnya bagi mereka bergaji RM800 atau RM1,200 sebulan.

"Jika mereka terima RM400 ansuran pertama, ia boleh habis sekelip masa. Cara ini dilihat ada masalah, dari segi praktiknya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Namun begitu, menurut Omar, mekanisme itu dilihat bersesuaian bagi mereka yang bergaji besar.

"Apa yang dibuat kerajaan ini sesuai bagi mereka yang bergaji besar, misalnya RM10,000 dan mereka tidak bermasalah menguruskan perbelanjaan.

"Keadaan ekonomi masakini yang tidak seimbang, memberi implikasi besar kepada sektor awam," tambahnya.

Omar juga kesal kerana pihak kerajaan tidak mendapatkan pandangan Cuepacs terlebih dahulu sebelum mengumumkan keputusan membayar gaji kakitangan awam dalam dua ansuran sebulan mulai Ogos ini.

Mesyuarat Cuepacs

"Kami hanya dipanggil ketika membincangkan cara menangani inflasi bersama perdana menteri baru-baru ini.

"Kalau boleh jemputlah kami untuk memberikan pandangan (mengenai ansuran bayaran gaji) kerana kami tahu permasalahan rakyat (kakitangan awam)," katanya.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumunkan langkah tersebut semalam untuk membantu kakitangan awam menguruskan aliran tunai isi rumah berikutan kenaikan harga minyak.

Ansuran pertama gaji akan dibayar pada pertengahan bulan manakala ansuran kedua akan melibatkan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.

Sementara itu, mengenai langkah membenarkan kakitangan awam berkerja sambilan, Omar menyarankan supaya mereka berkerja tidak melebihi jam 12 tengah malam bagi memastikan produktiviti, kesihatan dan keselamatan mereka tidak terjejas.

Ketua jabatan pula, katanya, perlulah bertolak ansur membenarkan kakitangan mereka bekerja sambilan.

"Di samping itu, gaya hidup perlulah diubah ke arah yang lebih sihat dan bahagia bukan kepada yang menyusahkan", katanya.

Menurut Omar Cuepacs akan bermesyuarat pada 28 Jun ini untuk membincangan isu-isu semasa berkaitan kakitangan awam.

Read More...

"Yang miskin, papa kedana..."

KLpos


Cetak E-mail
Oleh NORHAFIZAH ABD RANI
Khamis, 12 Jun 2008

SEMUANYA mereka telah lakukan, berjimat cermat, mengikat perut, menukar gaya hidup, mengurangkan perbelanjaan sekolah anak-anak dan sebagainya. Namun, ia tidak membantu mengurangkan beban kewangan golongan ini.

Walaupun langkah berjimat-cermat dilakukan, tetapi bagi golongan yang berpendapatan rendah, ia masih tidak dapat membantu meringankan beban kewangan mereka yang semakin terhimpit.

Akibat lonjakan harga barangan keperluan, hidup yang sudah sedia terhimpit sebelum ini semakin tertekan. Hakikat ini diakui sendiri oleh seorang penjaja makanan ringan, Saroja Supriamaniam, 42.

Bapa kepada lima anak yang ditemui di kawasan perumahan kos rendah, Flat Seri Selangor di Jalan San Peng, Kuala Lumpur mengakui begitu terhimpit dengan anak-anaknya yang masih bersekolah.




Suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan berpendapatan kurang daripada RM500 sememangnya tidak mencukupi untuk menampung keperluan makan minum dan perbelanjaan harian mereka.

"Saya terpaksa memasak sayur-sayuran hampir setiap hari kerana tidak mampu untuk membeli ikan, ayam dan daging kerana harga yang naik mendadak," luahnya yang kesal dengan kenaikan harga barang keperluan.

Menurutnya, pendapatan yang diperoleh hasil daripada menjaja tidaklah lumayan tetapi cukup-cukup makan untuk menampung perbelanjaan anak-anak ke sekolah.

Jika dahulu sebelum berlaku peningkatan harga, Saroja mampu menghabiskan jualan makanan ringan di gerainya dalam tempoh seminggu tetapi kini berbeza.

"Ramai ibu bapa yang berjimat cermat dan tidak mahu anak mereka membeli makanan ringan lagi," katanya.

Saroja yang membuka perniagaan bermula pukul 11 pagi hingga pukul 10 malam setiap hari mengakui merasa tertekan dengan kenaikan harga barang itu. Akuinya, dia lebih sedih apabila melihat anak-anaknya juga terpaksa berkongsi kesusahan hidup yang ditanggung.

"Perbelanjaan sekolah anak terpaksa dikurangkan daripada RM2 kepada RM1 tetapi syukur anak-anak memahami walaupun mereka merungut.

"Saya tidak lalu makan memikirkan masalah ini. Walaupun susah, perut anak-anak perlu diisi," katanya yang mendapat keuntungan kurang RM10 sehari.

Seorang tukang sapu, Rashidah Rimin, 47, juga mengakui kenaikan harga barang cukup merunsingkannya.

Ibu kepada tiga anak ini turut berasa tertekan dan mungkin terpaksa memberhentikan persekolahan tadika anak bongsunya, Mohamad Nor Aswad Zainudin, 6. Semuanya gara-gara kos perbelanjaan sewa rumah sebanyak RM94 sebulan, bil air dan elektrik yang mungkin akan naik.

"Apa yang ada mereka makan sahaja walaupun berlaukkan telur setiap hari memandangkan harga beras yang semakin mahal. Ini menyebabkan saya terpaksa menyukat untuk memberi makan kepada anak-anak dan masak sehari sekali sahaja," luahnya yang tidak mampu membeli beras dalam kuantiti yang banyak dan memperuntukan tiga kilogram sahaja bagi seminggu.


PENJAJA turut dihimpit kegawatan ekonomi berikutan tiada pelanggan yang datang membeli.


Pendapatan Rashidah berdasarkan kerja hari. Rashidah yang juga menghadapi masalah kurang pendengaran memahami perbualan menerusi pergerakan bibir.

Ibu kepada tiga anak ini menjelaskan, dia terpaksa ke pasar yang lebih jauh dari rumahnya untuk mendapatkan kuantiti barang yang lebih walaupun berbelanja pada harga sama.

Katanya, mendiami di rumah pangsa menyukarkannya untuk bercucuk tanam. Namun, atas desakan hidup dia meminta jasa baik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menanam serai di satu kawasan tanah yang terbiar.

Suaminya, Zainudin Yusof, 42, seorang pengawal keselamatan yang bekerja di Ampang mengehadkan perbelanjaan hariannya sebanyak RM6 sehari. Walaupun tidak cukup dia terpaksa juga lalui kerana tidak memiliki kenderaan dan perlu menaiki bas ke tempat kerja.

"Tambang pergi dan balik sahaja sudah mencecah RM4, baki dengan RM2 itulah perbelanjaan saya, saya membawa bekal setiap hari untuk berjimat," katanya yang menghidap sakit batuk kering.

Sebagai ketua keluarga, Zainudin amat tertekan dengan kenaikan harga barang keperluan ini.

Sementara itu, seorang pendandan rambut, Hen Son Wong, 35, mengakui kenaikan harga minyak dan barangan menyebabkan dia terpaksa menukar gaya hidup.

Jika sebelum ini dia ke tempat kerja dengan menaiki kereta tetapi selepas kenaikan harga minyak ini dia terpaksa menggunakan pengangkutan awam untuk berjimat.

Hen turut merasa kesal kerana ada peniaga yang mengambil kesempatan meletakkan harga yang tinggi kepada pemilik kenderaan yang mahu memasang NGV (gas asli) pada kenderaan.

"Saya juga akan masak jika ada masa kerana masak sendiri lebih jimat berbanding makan di luar," katanya.

Read More...

Abdullah cuba 'menunjuk, mengada-ngada' - Husam

Harakahdaily

Intan Abdullah

Thu | Jun 12, 08 | 2:29:45 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Hrkh) - Tindakan kerajaan memotong 10 peratus elaun keraian menteri kabinet serta melarang mereka melancong ke luar negara adalah merupakan usaha yang kurang berkesan berbanding beribu-ribu juta wang yang telah dibazirkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri Kelantan, Dato' Husam Musa berkata, langkah itu tidak membawa banyak makna bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat ekoran keputusan kerajaan menaikkan harga bahan api itu yang begitu tinggi.

"Kita seolah-olah mahu berjimat 10 sen tetapi sedia biarkan hilang beribu juta, ia tak memberi kesan yang munasabah," katanya.

Tegasnya langkah penjimatan yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sesetengahnya seolah-olah hendak menunjuk-nunjuk.

"sesetengah daripada langkah penjimatan itu seakan mahu menunjuk-nunjuk dan mengada-ngada seperti pemotongan elaun keraian 10 peratus bagi anggota Kabinet," katanya semalam.

Beliau berpendapat, banyak lagi langkah yang lebih berkesan termasuk menghentikan pemberian tender secara runding terus melibatkan kos beribu-ribu juta yang sepatutnya dapat diselamatkan perlu dilaksanakan sebagai strategi kerajaan pusat.

"Contohnya, pembinaan landasan berkembar kereta api yang kosnya dahulu sekitar RM8 bilion sekarang melonjak kepada RM16 bilion," katanya.

Selain itu tambahnya, langkah mengehadkan penggunaan hotel untuk seminar juga suatu langkah ke belakang kerana ia secara tidak langsung akan menguncupkan industri perhotelan dan pelancongan di negeri-negeri.

Husam yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan turut menyatakan kehairanan dengan strategi diambil kerajaan bagi mengawal perbelanjaan kerajaan pusat setelah menaikkan harga minyak.

"Saya tidak faham kenapa kita naikkan harga minyak yang sepatutnya masih boleh dielak sehingga terpaksa bersusah payah melakukan itu dan ini untuk mengambil hati rakyat," ujarnya.

Katanya, langkah lebih berkesan perlu diambil dan tidak harus disempitkan pemikiran atau tindakan dengan menggerakkan tenaga-tenaga alternatif termasuk gas dan solar semata-mata.

Dalam perkembangan lain, Husam berkata Kerajaan Kelantan tidak akan mengurangkan elaun keraian anggota Exco dan wakil-wakil rakyat memandangkan kerajaan negeri itu telah sekian lama melakukan langkah berjimat cermat termasuk pemotongan elaun wakil rakyat sebagai strategi menjaga kebajikan rakyat. - mks. _

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |