+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++
Showing posts with label Pak Lah undur. Show all posts
Showing posts with label Pak Lah undur. Show all posts

Saturday, April 4, 2009

Pak Lah, Jeanne bergelar Tun

Berita Harian

Oleh Anwar Hussin
anwarhussin@bharian.com.my


ABDULLAH dan Jeanne selepas masing-masing menerima darjah Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) dan Seri Setia Mahkota (SSM) pada istiadat penganugerahan darjah itu di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.

Anugerah disampai Seri Paduka selepas Najib angkat sumpah PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam dianugerahkan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN), anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran Tun, sebaik saja melepaskan jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya selama lima tahun lima bulan.

Isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah pula menerima anugerah Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM), yang juga membawa gelaran Tun.


Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri Istana Negara di sini, sejurus selepas Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri keenam pada upacara yang bermula pada jam 10.05 pagi.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, serta orang kenamaan lain termasuk anggota Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Anugerah SMN yang diterima Abdullah adalah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Pertama. Darjah Kebesaran ini terhad kepada 25 orang, tidak termasuk jumlah warga asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat.

Penyandang darjah ini membawa gelaran Tun, manakala isteri penyandang bergelar Toh Puan.

Anugerah SSM yang diterima oleh Jeanne adalah Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia pangkat pertama. Keanggotaan darjah itu juga terhad kepada 25 orang tidak termasuk warga asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

Abdullah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelima menggantikan Tun Dr Mahathir Mohammad yang menyerahkan tugas jawatan itu kepada Abdullah yang ketika itu timbalannya.

Abdullah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelima di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 31 Oktober 2003.

Gelaran Tun sebelum ini pernah dianugerahkan kepada Perdana Menteri keempat, Dr Mahathir pada 31 Oktober 2003 iaitu hari terakhir Dr Mahathir melepaskan jawatan kepada Abdullah.

Gelaran Tun juga pernah dianugerahkan kepada bekas Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 31 Ogos 1959 sempena ulang tahun kedua kemerdekaan negara. Beliau meninggal dunia pada 14 Januari 1976.

Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn turut dianugerahkan gelaran Tun pada 1981 dengan anugerah darjah sama. Turut menerima SSM yang membawa gelaran Tun ialah dua bekas Timbalan Perdana Menteri - Tun Dr Ismail Abdul Rahman pada 1966 dan Tun Ghafar Baba pada 1995.

Isteri Tun Abdul Razak, yang juga ibu Najib, Tun Rahah Mohd Noah turut menerima gelaran itu pada 1976.

Read More...

Keramahan Pak Lah diingat Nik Aziz

Harakahdaily

Salmah Mat Husain
Sat | Apr 04, 09 | 10:45:24 am MYT

PENGKALAN CHEPA, 4 April (Hrkh) - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mempunyai pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan bersama Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menerajui kerajaan.

Beliau berkata, Perdana Menteri sekarang lebih dikenali pada peringkat awalnya sebagai 'Mr Clean'.

"Beliau sempat menziarahi saya ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), hadir sama ketika itu Dato� Seri Najib Razak bersama isteri.

"Paling saya ingat kepada Perdana Menteri kerana sanggup memimpin tangan saya ketika menuruni anak tangga semasa menghadiri program bersama di Kelantan beberapa tahun lalu.

"Beliau berbuat demikian mungkin kerana menyedari saya tidak kuat terutama untuk menuruni tangga. Itu semua menjadi kenangan kepada saya sampai mati," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah kepada pelajar cemerlang Kolej Teknologi Darulnaim (KTD), dekat sini baru-baru ini.

Ditanya mengenai pandangannya terhadap pengganti Abdullah, Menteri Besar Kelantan itu beliau Perdana Menteri dalam sesebuah negara seumpama ibu bapa dalam sebuah keluarga.

Katanya, perangai ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak, begitu juga dalam sesebuah negara, rakyat akan mencontohi pemimpin.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Eksekutif Kolej Teknologi Darulnaim, Dr Abdullah Sudin. - mks._

Read More...

Friday, April 3, 2009

PM: Upacara serah tugas Pak Lah - Najib petang ini

Mstar Online

PERDANA MENTERI KEENAM..Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersalaman dengan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (kanan) selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan, Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh Najib sebagai Perdana Menteri di Istana Negara.

KUALA LUMPUR: Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan rasminya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam satu upacara di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Majlis tersebut akan berlangsung pada pukul 4 petang ini.

BERITA TERDAHULU

ANGKAT SUMPAH..Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri keenam.

Najib Perdana Menteri keenam

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.

Najib,55, mengangkat sumpah jawatan dan sumpah menyimpan rahsia sebagai Perdana Menteri Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada pukul 10:12 pagi tadi.

Upacara yang penuh adat istiadat itu berlangsung di Balai Rong Seri Istana Negara di sini, menyaksikan Najib melafazkan ikrar berbunyi berikut:

"Bismillahirahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi."

"Saya Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah dilantik memegang jawatan Perdana Menteri dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan jujur, dengan segala dayaupaya saya, bahawa saya akan menumpahkan kepercayaan dan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan juga memelihara, melindungi serta mempertahankan perlembagaannya."

"Bismillahirahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi.

"Saya Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya tidak akan memberitahu atau menzahirkan kepada sesiapa sama ada secara langsung atau secara tidak langsung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan saya atau yang akan diketahui oleh saya sebagai seorang Perdana Menteri kecuali sebagai mana yang mungkin dikehendaki untuk menunaikan dengan sempurna kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian atau sebagai mana yang mungkin dibenarkan dengan khas oleh Yang di-Pertuan Agong."

Najib mencipta sejarah kerana mewarisi bapanya, Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Perdana Menteri kedua.

Najib menyertai politik secara aktif selepas Razak meninggal dunia.

Upacara bersejarah itu akan bermula pukul 10 pagi ini dengan disiarkan secara langsung oleh RTM.

Segak berbaju Melayu hitam, Najib tiba di Istana Negara pada 9.42 pagi diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Mereka berdua kemudian memasuki Balairong Seri pada 10 pagi diikuti Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Kenamaan lain yang turut hadir termasuklah anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat.

Seramai 319 tetamu kehormat hadir pada majlis bersejarah itu termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Pagi semalam, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri keenam.

Ia diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Najib di hadapan Seri Paduka Baginda akan diadakan di Istana Negara.

Semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Tuanku Mizan untuk menyerahkan surat melepaskan jawatan Perdana Menteri, selaras dengan proses peralihan kuasa antara beliau dan Najib yang dirancang sebelum ini.

Najib, yang mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Abdullah pada Perhimpunan Agung Umno minggu lepas, turut menghadap Seri Paduka di Istana Negara, selepas istiadat menghadap oleh Abdullah pagi tadi.

Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri kelima menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Oktober 2003.

Menurut atur cara sempena upacara mengangkat sumpah yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, selepas upacara di Istana Negara ini, Najib dijadual ke Masjid Negara untuk solat Jumaat dan menziarah pusara ayah beliau di Makam Pahlawan, di perkarangan masjid itu.

Pada pukul 4 petang, Abdullah dengan rasminya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib dalam satu upacara di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Lewat petang, Najib akan pulang ke kediaman beliau di Jalan Duta di sini untuk majlis tahlil serta doa selamat dan akan ke udara untuk berucap di seluruh negara melalui RTM pada pukul 8.10 malam.

Read More...

Abdullah serah surat letak jawatan

Utusan Online


ABDULLAH Ahmad Badawi yang juga Menteri Pertahanan diarak pada majlis perpisahan di kementerian tersebut di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/HALIM KHALID


KUALA LUMPUR 2 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menyerahkan surat peletakan jawatan serta memohon perkenan baginda bagi pelantikan penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang menaiki kenderaan rasmi, Proton Perdana Eksekutif berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WCH 13 memasuki pintu pagar utama Istana Negara tepat pukul 10 pagi, lima minit selepas ketibaan Tuanku Mizan.

Sejurus berakhir majlis berkenaan, Abdullah hanya membuat kenyataan ringkas bahawa beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada Tuanku Mizan.

“Terserah kepada Tuanku,” katanya kepada pemberita yang memenuhi pekarangan luar Istana Negara.

Beliau meninggalkan Istana Negara 55 minit kemudian sambil tersenyum ceria dan melambaikan tangan kepada lebih 80 petugas media tempatan dan luar negara yang berkumpul sejak pukul 7.30 pagi.

Sementara itu, Najib pula kelihatan memasuki Istana Negara pukul 11.20 pagi untuk menghadap Tuanku Mizan berhubung peralihan kuasa itu.

Beliau yang menaiki Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WRP 11 meninggalkan Istana Negara pada pukul 12.15 tengah hari.

“Terima kasih” kata Najib sambil melambaikan tangan dan tersenyum kepada petugas media.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dalam satu kenyataannya semalam berkata, Tuanku Mizan berkenan supaya istiadat mengangkat sumpah jawatan Najib sebagai Perdana Menteri diadakan pada pukul 10 pagi esok di Istana Negara.

Read More...

Thursday, April 2, 2009

Pak Lah - 5 tahun 5 bulan penuh cabaran.

Kosmo Online

Berakhirnya bulan Mac 2009 menyaksikan detik peralihan kuasa di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak. Sepanjang tempoh pemerintahan Abdullah dari 31 Oktober 2003 sehingga 2 April 2009, apakah kenangan manis dan pahit yang dilalui oleh beliau yang lebih popular dipanggil Pak Lah? Ikuti laporan ini.




SEBAGAI Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah melakar jejak sejarah tersendiri sepanjang tempoh lima tahun, lima bulan dan tiga hari memimpin negara. Meniti kehidupan berpolitik beliau yang penuh ranjau, onak dan duri termasuk meratapi detik kehilangan isteri kesayangan, Datin Seri Endon Mahmood pada 20 Oktober 2005, era kegemilangan dan kegoyahan Abdullah telah tertulis dalam takdir hidupnya sebagai Perdana Menteri.

Sejak menyandang jawatan No. 1 negara pada 31 Oktober 2003, Abdullah atau Pak Lah telah menyaksikan dan melaksanakan pelbagai misi dan polisi yang mencorakkan sebuah negara yang berdaya saing. Beliau yang sering kali disifatkan sebagai seorang yang berwatak sederhana dan berjiwa rakyat pernah menegaskan dalam ucapan sulungnya pada 3 November 2003. Katanya dalam ucapan itu: "Segala dasar yang dipelopori oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia keempat akan diteruskan. Tidak satu pun akan dibuang atau diubah."

Katanya, Wawasan 2020 akan terus menjadi inspirasi memacu pembangunan secara komprehensif bagi mencapai tahap negara maju.

Biarpun visi Wawasan 2020 masih lagi jauh di kaki langit, beberapa tindakan dan keputusan yang diambil Pak Lah didapati tidak selari dengan komitmennya kepada dasar Dr. Mahathir.

Namun begitu, tidak adil sekiranya Abdullah dipersalahkan sepenuhnya terhadap segala rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang tempoh pemerintahannya. Perubahan dasar ekonomi negara, kekalutan politik dan keperluan untuk membawa perubahan semasa bagi manfaat penduduk sedikit sebanyak mempengaruhi era pemerintahannya.

Ia tidak dapat dielakkan kerana politik dan pemerintahan adalah dinamik sifatnya dan Pak Lah ialah seorang yang pragmatik.

Kenangan manis


ABDULLAH ditemani timbalannya, Najib dikelilingi wartawan yang menunggu pengumuman tarikh pembubaran Parlimen pada Februari tahun lalu.


Bagaimanapun, Abdullah mempunyai kenangan yang paling manis dalam tempoh lima tahun lalu. Kenangan itu ialah kemenangan terbesar Barisan Nasional yang dipimpinnya dalam pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004. Dilabelkan sebagai kemenangan 'durian runtuh', komponen parti pimpinannya, Barisan Nasional (BN), berjaya memperoleh 198 kerusi Parlimen daripada 220 kerusi yang dipertandingkan.

Malah, di bawah kuasa politik Abdullah juga, negeri Terengganu yang jatuh ke tangan kerajaan pimpinan parti pembangkang Pas pada pilihan raya ke-10 pada tahun 1999, berjaya dikembalikan semula kepada kerajaan negeri pimpinan UMNO. Begitu juga di Kelantan. Walaupun gagal membentuk kerajaan negeri, namun kejayaan tipis parti pembangkang dalam pilihan raya itu memberi tamparan hebat kepada Pas Kelantan.

Di bawah pimpinan Abdullah, sektor pertanian yang sekian lama dilupakan mula diberi perhatian serius. Sebagai seorang anak kampung, Abdullah menyedari sektor itu perlu menerima suntikan baru memandangkan Malaysia mempunyai keluasan tanah yang mencukupi untuk menggerakkan pertanian moden yang bernilai komersial.

Justeru, pada tahun 2005, Abdullah meluluskan rangka pelan tindakan tahun 2006 untuk industri kecil dan sederhana (IKS). Pelan itu mengandungi peruntukan sebanyak RM3.2 bilion bagi melaksanakan program-program meningkatkan keupayaan pengusaha IKS. Mengikut statistik, sebanyak 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada pengusaha IKS yang menyumbang 38 peratus kepada pembangunan ekonomi negara. Pastinya ini juga akan menjadi kenangan berharga buat Abdullah kerana di bawah pimpinannya, sektor pertanian mula bangkit menjana ekonomi negara.

Sebagai sebuah negara yang pesat membangun di dunia, masalah rasuah tetap wujud dan lebih menakutkan apabila Malaysia disenaraikan di tangga ke-37 daripada 133 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Ketelusan Antarabangsa pada tahun 2003. Sebaik sahaja memegang tampuk kuasa, Abdullah berusaha membanteras rasuah dan hasilnya, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM17 juta untuk menubuhkan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia. Akademi yang pertama di rantau ini beroperasi selama kira-kira tiga tahun sebelum dilancarkan secara rasmi pada 12 April 2007. Buah tangan Abdullah ini diharap dapat meningkatkan kepakaran dan kemahiran rakyat Malaysia dalam bidang penyiasatan rasuah.


ABDULLAH menjulang tangan Najib yang penjadi penyambung perjuangannya memimpin UMNO dan negara.


Azam Perdana Menteri untuk memerangi rasuah secara lebih efektif dan penuh komitmen yang jitu dibuktikan lagi melalui penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Januari lalu. SPRM beroperasi bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang berusia 41 tahun. Selain itu, Abdullah turut memperkasa pasukan polis dengan menubuhkan suruhanjaya membaik pulih imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Isu transparensi dan kebebasan badan kehakiman negara menerima sesuatu yang tidak disangka di bawah pemerintahan Abdullah. Beliau menambah baik sistem pelantikan hakim-hakim. Salah satu pendekatan terbesar yang diambilnya adalah membayar ex-gratia kepada enam bekas hakim yang dipecat daripada jawatan kira-kira 20 tahun lalu kerana terlibat dalam krisis badan kehakiman. Mungkin bagi sesetengah orang, pendekatan itu tidak perlu tetapi ia hakikatnya membuktikan bahawa Pak Lah berusaha memulihkan imej badan kehakiman negara yang terjejas ekoran daripada beberapa peristiwa yang berlaku dalam tempoh tersebut.

Apa yang pasti, pembebasan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara sedikit sebanyak mengukuhkan kedudukan Abdullah yang dipuji kerana tidak mengawal dan mengongkong badan kehakiman. Anwar dibebaskan pada 2 September 2004 setelah Mahkamah Persekutuan yang menimbang rayuannya, membatalkan sabitan dan hukuman berhubung kes liwat. Anwar bagaimanapun kemudian menjadi seteru politik Abdullah sebelum kembali ke Parlimen sebagai Ketua Pembangkang pada Ogos 2008.

Kenangan pahit

Tentu sahaja kekalahan teruk kerajaan pimpinan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008 sehingga kehilangan empat negeri (Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor) menjadi kenangan paling pahit dalam sejarah pimpinan Abdullah.

Natijah daripada kekalahan itu, kredibiliti Abdullah sebagai pemimpin No 1. negara mula dipersoalkan. Antara tamparan hebat yang terpaksa ditelannya adalah munculnya suara-suara yang tidak berpuas hati dengan gaya kepimpinannya yang dikatakan tidak tegas dan mengikut telunjuk pihak tertentu.

Tuduhan yang diterima itu merupakan cabaran terhebat dalam kerjaya politik Abdullah. Pelbagai tuduhan tidak berasas terpaksa dihadapinya.

Abdullah merupakan seorang yang percaya kepada tradisi politik. Seperti juga Perdana Menteri Malaysia sebelum beliau daripada Tunku Abdul Rahman, Hussein Onn dan Dr. Mahathir, Pak Lah akhirnya mencontohi bekas pemimpin sebelumnya itu untuk menyediakan negara suatu peralihan kuasa yang licin.

Beliau memilih untuk melepaskan kuasa sebagai Perdana Menteri kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan anak sulung kepada mentornya dalam politik, iaitu Allahyarham Tun Razak, Perdana Menteri kedua.

Read More...

Thursday, March 26, 2009

Pak Lah tempelak Najib sekat kebebasan rakyat bersuara

Harakahdaily

Salmah Mat Husain, Mohd Nor Yahya | Foto Rizal Tahir
Thu | Mar 26, 09 | 4:03:23 pm MYT

PENGKALAN CHEPA, 26 Mac (Hrkh) - Semakin dekat Dato' Seri Najib Razak menghampiri jawatan Perdana Menteri, bertambah ramai pihak tampil mempertikaikan kewibawaannya.

Malah kegelojohan pemimpin terbabit dapat dilihat apabila cuba menyekat kebebasan rakyat bersuara. Tindakan menggantungkan permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan membuktikan hakikat itu.

Lebih memeranjatkan lagi apabila Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi seperti menempelak tindakan Najib dengan menganggap Umno tidak akan berjaya melakukan perubahan dalaman jika mengambil pendekatan 'order lama' yang tidak disenangi rakyat.

"Termasuk menyekat kebebasan rakyat. Ramai tidak yakin Umno akan kembali mencapai kemenangan jika kita kembali kepada cara lama dengan menyekat kebebasan rakyat menyuarakan kritikan," katanya pada ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat melihat Umno tidak akan selamat bahkan mungkin berdepan dengan masalah dalaman yang lebih parah di bawah kepemimpinan Najib.

Menurutnya kekalutan yang berlaku dalam parti itu bukan kerana orang lain, sebaliknya kerana masalah dalaman parti itu sendiri.

"Keadaan itu berlaku berikutan kegagalan pemimpin Umno mentadbir parti dalam mengekang kemaraan rasuah yang semakin parah dan bernanah dalam parti itu," katanya pada majlis penyerahan watikah dan angkat sumpah penghulu-penghulu Kelantan 2009, di Putik, hari ini.

Pada perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno semalam menyaksikan calon yang kurang pencalonan pada mesyuarat di peringkat bahagian menang iaitu Khairy Jamaluddin.

Sedangkan sebelum ini menantu Perdana Menteri itu disahkan bersalah kerana terbabit dengan amalan politik wang, namun masih berpeluang bertanding.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ekoran masalah yang berlaku dalam Pemuda Umno semalam beliau difahamkan telah berlaku rasa tidak puas hati di kalangan perwakilan.

"Ini adalah sebahagian dari petanda-petanda yang akan memecah-belahkan Umno pada masa akan datang khususnya setelah berada di bawah Najib," katanya.

Beliau juga berkata, walau pun kesemua sayap Umno kini dipimpin pemimpin baru termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri namun asas perjuangan tetap sama.

Katanya, selagi parti berkenaan tidak menjurus kepada ketaqwaan kepada Allah dan hanya mengutamakan bangsa Melayu sahaja, suasana gawat tetap akan berlaku.

Oleh itu beliau berkata, bagi mengelakkan kecelaruan politik di negara ini rakyat hendaklah menolak perjuangan Umno dan BN.

Katanya juga pemimpin Umno sekarang mulai membaca terjemahan ayat-ayat al Quran ketika merasmikan perhimpunan tersebut semalam.

"Ini menggambarkan pengaruh PAS dalam masyarakat hari ini begitu hebat sehingga menyebabkan pemimpin Umno terpaksa menggunakan terjemahan ayat al-Quran dalam ucapannya untuk menarik perhatian umum.

"Perkembangan itu memaksa Umno menciplak apa yang menjadi pegangan PAS selama ini," ujarnya.

Beliau juga menyarankan Umno mengamalkan apa yang terkandung dalam al-Quran sepenuhnya berbanding dari apa yang dilakukan sekarang hanya mengambil sebahagian kecilnya sahaja.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Umno masih lagi mengangkat pemimpin yang disahkan terbabit dengan rasuah seperti diputuskan Lembaga Disiplin Umno terhadap Khairy sebelum ini.

Ketua Pemuda PAS Pasir Mas, Rozi Muhammad berkata, Umno semakin cepat menuju kehancuran apabila pemimpin yang disahkan terbabit dengan rasuah diberi peluang menerajui Umno.

"Kemenangan Khairy membuktikan usaha Umno membanteras rasuah politik tidak berjaya," katanya. - mj_

Read More...

Sunday, March 8, 2009

Bahasa Inggeris: PM mahu keputusan dibuat segera elak masalah besar

Mstar Online

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap agar keputusan berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dibuat segera bagi mengelakkan tercetusnya isu yang lebih besar.

Abdullah mengeluarkan kenyataan di ibu negara beberapa jam selepas Gerakan Mansuhkan PPSMI mengadakan Perhimpunan 100,000 Rakyat membantah dasar tersebut.

GMP menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi manakala beratus-ratus penyokongnya merempuh sekatan polis berhampiran Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara tetapi berjaya disuraikan dengan tembakan gas pemedih mata.

Dipetik Bernama, Perdana Menteri berkata, kerajaan mengakui adanya desakan yang kuat daripada rakyat khusunya orang Melayu yang sedang memberi perhatian terhadap perkara terbabit.

"Saya harap keputusan ini akan dibuat segera. Kalau tidak nanti tekanantekanan dan tindakantindakan NGO (Badan Bukan Kerajaan) akan berterusan dan akan menjadi isu yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan novel "Dragon Fire Hammer" di sini hari ini.

Abdullah berkata, Kementerian Pelajaran telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan NGO bagi membincangkan perkara berkaitan PPSMI.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Pelajaran buat masa ini belum bersedia untuk mengumumkan bentuk keputusan yang telah diambil itu.

"Dengan adanya keputusan-keputusan peperiksaan yang boleh memberi asas kepada kementerian untuk membuat keputusan, maka saya percaya keputusan itu perlu menjadi keputusan yang baik bagi mengukuhkan kepentingan rakyat dan masa depan kita," katanya.

Pelaksanaan PPSMI sejak tahun 2003, telah mencetuskan kontroversi dan perdebatan, dan kebelakangan ini ia berkisar mengenai rasional sama ada dasar itu patut diteruskan atau sebaliknya.

Isu tersebut bertambah hangat apabila ahli akademik serta sasterawan menyertai ahli politik dalam menyuarakan bantahan mengenai penerusan dasar itu.

Read More...

Tuesday, March 3, 2009

Speaker Perak sengaja ambil tindakan kontroversi - Abdullah

Mstar Online

JAKARTA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar sengaja memilih mengambil tindakan yang kontroversi dalam perkembangan muktahir berkaitan persidangan DUN Perak.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak faham kenapa Sivakumar tidak dapat bersabar sehingga mahkamah membuat keputusan berhubung perkara itu.

"Saya tidak faham kenapa seseorang mengambil keputusan berbuat sesuatu yang menimbulkan kontroversi.

"Beliau (Sivakumar) sepatutnya tunggu sehingga mahkamah membuat keputusan mengenai perkara ini. Itulah perkara terbaik yang perlu dilakukan. Bersabar dulu," katanya pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri hari ini yang memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi Ipoh mengisytiharkan keputusan Sivakumar yang menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN sebagai terbatal dan tidak sah.

Perdana Menteri berkata, tindakan Sivakumar memanggil persidangan tergempar DUN Perak esok dan menggantung Menteri Besar dan enam Exco berkenaan yang dilantik secara sah oleh Sultan Perak, daripada menghadiri sidang DUN adalah salah.

Sementara itu mengenai langkah kerajaan untuk membatalkan kenaikan kadar tol di lima lebuh raya yang kini dijadikan isu dan dituduh sebagai 'flip flop' oleh pembangkang, Perdana Menteri berkata apabila kadar tol tetap dinaikkan, pembangkang juga yang membuat bising.

"Sekarang pembangkang tak ada peluang untuk membuat bising, mereka kata flip flop lah," katanya, yang menegaskan bahawa kerajaan membuat sesuatu keputusan berdasarkan perubahan keadaan dan kalau keputusan itu dilihat tidak wajar, bukanlah hal yang tidak baik jika kerajaan membuat keputusan yang lain.

Beliau menjelaskan bahawa semasa analisis dibuat dan dipertimbangkan untuk menaikkan kadar tol itu, situasi ekonomi tidaklah seburuk seperti sekarang dan pada masa itu juga tidak difikirkan untuk mengeluarkan satu lagi pakej rangsangan ekonomi.

"Pakej rangsangan yang lagi satu itu belum lagi dibuat. Jadi dalam situasi seperti ini dan adanya pakej rangsangan yang dikeluarkan dengan niat hendak membantu rakyat, maka tentulah dilihat keputusan menaikkan tol itu nampak macam tak kena gayalah, tak cocok dengan semangat nak membantu rakyat yang susah," katanya.

Beliau berkata, jika kerajaan berbuat sesuatu keputusan yang tidak cocok, salah dan tidak elok, kerajaan boleh mengubahnya untuk kebaikan rakyat.

"Jika kami (kerajaan) perlu lakukannya, kami akan lakukannya, jika kami tidak perlu lakukannya, kami tidak akan lakukannya," tegasnya. BERNAMA

Read More...

Sunday, March 1, 2009

Tol ditangguh, tiada kaitan pilihan raya kecil - PM

Mstar Online

HUA HIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata keputusan kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol di lima lebuh raya yang sepatutnya berkuatkuasa Ahad ini sehingga akhir tahun ini, tidak ada kena mengena dengan tiga pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Tidak, tidak," kata Perdana Menteri ketika ditanya sama ada ada keputusan yang dibuat kabinet semalam ada kena mengena dengan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau yang akan diadakan serentak pada 7 April ini serta bagi kerusi DUN Batang Ai di Sarawak, yang tarikh belum ditetapkan.

Abdullah, yang bercakap kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak Asean ke-14 di sini, berkata kerajaan sedia menampung bebanan melebihi RM500 juta bagi membayar pampasan kepada pemegangpemegang konsesi semata-mata kerana memahami beban yang perlu ditanggung oleh rakyat dalam keadaan ekonomi yang muram sekarang.

Mengenai cadangan supaya kerajaan mengambil alih syarikat-syarikat konsesi lebuh raya, Perdana Menteri berkata ia perlu dikaji dengan teliti kerana kosnya amat tinggi sedangkan kerajaan juga perlu berbelanja untuk tujuan lain.

"Ini (pampasan) amat memberatkan kerajaan sebenarnya. Sama-samalah kita memahami...apabila kita menghadapi masalah, kita kenalah juga berkorban," katanya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mengumumkan di Kuala Lumpur bahawa kabinet hari ini menangguhkan kenaikan kadar tol itu kerana keadaan ekonomi yang tidak baik sekarang dan bantahan daripada orang ramai.

Berikutan itu, kerajaan perlu membayar pampasan berjumlah RM195 juta kepada PLUS, RM36 juta kepada Sprint, RM27 juta kepada Akleh, RM9 juta kepada Besraya dan RM20 juta kepada NPE untuk tempoh masa 1 Jan hingga 31 Dis tahun ini, di samping RM245 juta yang telahpun dibayar kepada PLUS, Akleh dan Sprint sebelum ini.

Abdullah berkata beliau telah menghubungi Datuk Seri Najib Tun Razak semalam untuk meminta agar kabinet membincangkan semula perkara itu kerana kenaikan itu "tidak secocok dengan rancangan kerajaan untuk membantu rakyat melalui pakej rangsangan".

"Kita sekarang dalam waktu membantu rakyat dan kenaikan tol nampaknya menimbulkan tentangan yang kuat dan ramai orang tidak bersetuju.

"Ketika perbincangan Kabinet dua minggu lepas, satu cadangan (kenaikan) dibuat pada waktu situasi ekonomi kita tidak seberat yang kita hadapi hari ini...kalau ekonomi kita berat, adalah paling wajar cadangan kenaikan itu dibincang semula," katanya.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, Kabinet semalam memutuskan kadar baru tol di lima lebuh raya yang sepatutnya bermula Ahad ini ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkannya.

Beliau berkata kadar baru tol itu tidak akan dilaksanakan dalam jangka masa terdekat atau sehingga akhir tahun ini seperti yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Mohd Zin pada sidang akhbar di kementeriannya semalam berkata kerajaan akan menangguhkan kadar baru di Lebuhraya UtaraSelatan (PLUS), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat AmpangKuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE) sehingga akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata penangguhan kenaikan kadar tol itu akan menyebabkan kerajaan terpaksa membayar RM500,000 juta, yang terdiri daripada wang pembayar cukai kepada syarikat konsensi kelima-lima lebuh raya itu.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai perkara itu pada sidang akhbar mengenai ekonomi negara di Kementerian Kewangan di sini. BERNAMA

Read More...

PM: Kaji semula kenaikan tol

Malaysiakini

Feb 26, 09 8:54pm

Perdana menteri meminta Kabinet menimbang semula kenaikan tol di lima lebuh raya yang akan dinaikkan mulai 1 Mac ini kerana kenaikan itu tidak sesuai dalam keadaan sekarang.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kajian semula itu akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan kabinet esok yang dipengerusikan oleh timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, lapor Bernama dari Pattaya, Thailand.

"Kajian semula adalah perkara terbaik yang perlu dilakukan. Selepas itu kita akan buat keputusan yang wajar," beliau dipetik berkata di sela-sela program Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean hari ini.

Walaupun kenaikan itu selaras dengan terma perjanjian konsesi yang ditandatangani antara kerajaan dan pemegang konsesi lebuhraya, kelulusan yang diberikan Kabinet beberapa minggu lepas mungkin tidak sesuai dengan situasi sekarang, tambahnya.

"Walaupun dipertimbangkan daripada segi syarat-syarat konsesinya patut dinaikkan, tetapi situasi pada masa sekarang ini tidak wajar dinaikkan kerana keadaan rakyat yang susah," katanya lagi.

Tambahnya, satu pendekatan baru akan dicari untuk menangani isu itu, termasuk peruntukan dalam pakej rangsangan kedua yang akan dibentangkan di Parlimen, 10 Mac ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed hari ini mengumumkan bahawa kenaikan kadar tol antara 0.68 sen/km hingga 50 sen melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Menurut Bernama lagi, Abdullah berkata sejak perbincangan dan keputusan menaikkan tol dibuat Kabinet, keadaan ekonomi tidak bertambah baik dan ini mendorong kerajaan mengeluarkan peruntukan bantuan berupa pakej rangsangan kedua yang akan dibentangkan dalam bentuk bajet mini.

"Kalau kerajaan sendiri telah mengambil pendekatan ini memandangkan rakyat dalam keadaan kesusahan dan di samping itu ekonomi dapat dirangsangkan, saya fikir perkara ini (kenaikan) boleh dibincangkan semula dalam Kabinet mengambil kira situasi yang ada sekarang ini," kata beliau.

Perdana menteri bagaimanapun enggan menyatakan sama ada keputusan kenaikan itu akan ditangguhkan, sebaliknya berkata bahawa ternyata sekali rakyat tidak dapat menerima kenaikan itu berdasarkan laporan yang beliau terima.

Sebarang keputusan perlu mengambil kira keadaan sekarang, katanya.

Read More...

Thursday, January 1, 2009

Azam 2009: Abdullah saran matangkan amalan demokrasi

Mstar Online

Pemimpin kerajaan, pembangkang bertekad hadapi kesan krisis ekonomi sejagat

MENYAMBUT ketibaan Tahun Baru 2009 di Dataran Merdeka dengan berlatarbelakangkan persembahan bunga api. - foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

[DIKEMAS KINI] PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, walaupun krisis ekonomi dunia diramalkan cukup mencabar pada 2009, kerajaan berazam mengambil langkah berkesan untuk memelihara kekuatan ekonomi negara dan melindungi kepentingan rakyat.

Kerajaan akan terus bertindak secara prihatin dan bertanggungjawab serta memantau corak dan perkembangan ekonomi dunia dan mengambil langkah wajar menghadapinya, kata Perdana Menteri dalam amanat tahun baru 2009 yang disiarkan malam ini.

Abdullah berkata Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias kelembapan pertumbuhan ekonomi global tetapi negara mempunyai beberapa kelebihan yang membantu menghadapi keadaan dengan lebih berkesan daripada banyak negara lain.

"Sektor kewangan kita adalah kukuh, tidak seperti waktu krisis kewangan satu dekad yang lalu.

"Rizab kewangan negara berada pada paras yang tertinggi dalam sejarah kita, iaitu 37 peratus berbanding jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar.

"Institusi kewangan kita mempunyai modal yang kukuh dan dikawal selia secara berhemah. Ekonomi negara kita bersifat pelbagai dan tidak bergantung kepada satu sektor tertentu sematamata," katanya.

Abdullah berkata segala usaha akan diambil untuk merancakkan kegiatan ekonomi dengan menggembleng secara bijak sumber-sumber yang ada dan memberi penekanan kepada sumber dalaman iaitu pelaburan sektor awam dan swasta tempatan.

"Kerajaan telah menyuntik dana tambahan RM7 bilion dalam bentuk rangsangan agar ekonomi tidak akan mengalami kemelesetan, sebaliknya berupaya untuk terus berkembang," katanya.

Kerajaan juga akan memberi perhatian kepada projek berimpak tinggi yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya tahan negara seperti pembinaan lebih banyak rumah kos rendah, pemuliharaan dan baik pulih kemudahan awam dan peningkatan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, kata Perdana Menteri.

SUASANA menjelang kedatangan Tahun Baru 2009 di Dataran Merdeka. foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

SAMBUTAN Tahun Baru 2009 di pekarangan kawasan KLCC. - foto The Star oleh GLENN GUAN

Abdullah berkata jika perlu, kerajaan akan mengambil langkahl-angkah tambahan bagi memastikan ekonomi tetap berkembang dan permintaan dan penggunaan domestik terus meningkat.

Katanya kemampuan negara menghadapi cabaran tidak bergantung kepada keupayaan dan langkahlangkah dalam bidang ekonomi sahaja tetapi keutuhan dan integriti institusi negara, pentadbiran yang bersih dan cekap serta sistem kehakiman yang berwibawa amat penting untuk menjamin pengurusan ekonomi dan sosial yang baik dan mampu menarik keyakinan pelabur.

"Sehubungan ini, saya bersyukur kita telah mencapai kemajuan besar dengan kelulusan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman oleh Parlimen barubaru ini," katanya.

Beliau berkata langkah seperti itu penting untuk menjamin hak masyarakat terpelihara secara adil dan saksama terutamanya mereka yang kurang berupaya untuk mempertahankan hak mereka.

"Saya yakin dan percaya bahawa dengan niat suci dan semangat gigih, tiada gunung yang terlalu tinggi untuk kita daki dan tiada laut yang terlalu dalam untuk kita selami," kata Abdullah.

Mengenai harga minyak, Abdullah melahirkan rasa kesal harga barangan masih tinggi walaupun harga petrol telah turun sebanyak tujuh kali sejak Ogos lepas, malah lebih rendah daripada harga sebelum ia dinaikkan pada Jun.

"Saya sekali lagi menyeru semua pengeluar, pengilang, pengedar dan peniaga barangan agar bertimbang rasa dan prihatin terhadap keperitan rakyat dan sama-sama menurunkan harga barangan demi kesejahteraan mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk memelihara kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara, termasuk memberi bantuan seperti bayaran rebat kenderaan dan subsidi beras untuk meringankan kesusahan rakyat.

"Apabila harga minyak dunia turun, faedah daripadanya terus disalurkan kepada rakyat," katanya.

Abdullah juga menyeru rakyat supaya mengamalkan semangat bersatu selain terus menjunjung dan mendaulatkan undang-undang negara untuk mematangkan amalan demokrasi.

"Tanggungjawab politik yang tinggi perlu diamalkan untuk menjamin keamanan dan kestabilan negara serta mengawal kepentingan semua kaum dan lapisan masyarakat," katanya.

KETUA PEMBANGKANG

Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pilihan raya umum ke-12 menyaksikan kerusi milik pembangkang bertambah dan menafikan Barisan Nasional majoriti dua pertiga.

"Harapan rakyat begitu besar, perubahan mesti dilakukan, makanya hasil dari persetujuan dan permuafakatan ketiga-tiga parti; PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat melahirkan Pakatan Rakyat.

"Sepanjang tahun ini tidak dapat dinafikan pelbagai cabaran yang datang untuk menggugat permuafakatan ini," katanya.

Hasrat Barisan Nasional katanya, untuk melihat kehancuran Pakatan Rakyat nampaknya menemui jalan buntu.

"Mereka lupa, asas kepada permuafakatan ini berpasak kuat dari cita-cita memperjuangkan agenda rakyat dan melakukan perubahan mendasar. Perubahan adalah tuntutan melewati sempadan kaum dan politik kepartian," katanya.

Sambil merujuk kepada kedudukan ekonomi sejagat yang tidak menentu, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata, pengurusan ekonomi memerlukan kepimpinan yang berpandangan jauh, tegas dan jujur.

"Sering saya ulangi, negara ini dan rakyatnya yang berbilang kaum sudah mengharungi pelbagai rintangan bersama.

"Kita yakin dengan berlakunya perubahan, dan bila negara ini mula berada di haluan yang tepat, maka sekali lagi kita akan dapat melepasi cabaran ini," katanya lagi.

PRESIDEN MIC

Datuk Seri S.Samy Vellu meminta rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama supaya merapatkan barisan dan bekerjasama bagi menghadapi krisis ekonomi global "yang dijangka memberi kesan terhadap negara terutama dari segi keselamatan kerja dan pelaburan".

Beliau juga meminta kerajaan supaya mewujudkan jaringan keselamatan untuk memastikan rakyat tidak terjejas dengan keadaan itu.

Katanya rakyat malaysia perlu menjalin perpaduan di kalangan mereka dan menjadikan tahun 2009 sebagai "Tahun Perpaduan".

MENTERI SUMBER MANUSIA

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam, yang juga Setiausaha Agung MIC, dalam perutusannya menggesa pekerja Malaysia supaya "berjimat cermat" bagi menghadapi krisis ekonomi global.

Katanya kementeriannya akan memberi fokus kepada latihan dan skim latihan semula bagi membantu pekerja yang diberhentikan untuk mendapat kerja alternatif.

KETUA MENTERI SABAH

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan negeri akan berusaha lebih kuat dan memberi perhatian kepada keperluan rakyatnya.

Katanya, bagi Sabah, keputusan pilihan raya umum 2008, membuktikan rakyat negeri itu menyokong inisiatif pembangunan yang dijalankan kerajaan negeri dan ini mendorong kerajaan negeri terus bekerja kuat bagi memenuhi keperluan mereka.

Barisan Nasional (BN) di Sabah hanya kehilangan satu kerusi, masingmasing bagi kawasan satu bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kepada pembangkang.

Musa juga meminta rakyat Sabah untuk saling bekerjasama dengan kerajaan bagi meningkatkan daya saing dalam dunia global sambil meminta mereka supaya "terus bersatupadu bagi memastikan setiap strategi dan pelan yang diatur dapat dilaksanakan dalam menuju fasa pembangunan seterusnya."

MB SELANGOR

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, cabaran utama bagi tahun 2009 ialah bagi mencari cara untuk mengurangkan kesan krisis ekonomi global kepada negeri itu.

"Tidak boleh dinafikan bahawa krisis ekonomi dunia akan memberi kesan kepada pertumbuhan industri pembuatan di Selangor," katanya.

Katanya, para pemimpin dan rakyat di negeri itu perlu memastikan mereka berhatihati semasa membelanjakan setiap ringgit yang mereka ada.

"Ini merupakan masa bagi kita menggunakan sumber terhad yang ada di negeri ini dengan berusaha menjana nilai yang bersesuaian dengan perkhidmatan dan kontrak.

"Cabaran lain juga termasuk bagi memastikan rakyat tidak mengamalkan tabiat yang buruk semasa krisis ekonomiitu," katanya sambil berkata cabaran ekonomi itu perlu dianggap sebagai satu motivasi untuk meningkatkan produktiviti.

Read More...

PM kesal harga barangan masih tinggi

Malaysiakini

Dec 31, 08 1:09pm

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kesal kerana harga barangan masih tinggi walaupun harga petrol turun tujuh kali sejak Ogos lepas, malah lebih rendah daripada harga sebelum ia dinaikkan pada Jun.

"Saya sekali lagi menyeru semua pengeluar, pengilang, pengedar dan peniaga barangan agar bertimbang rasa dan prihatin terhadap keperitan rakyat dan sama-sama menurunkan harga barangan demi kesejahteraan mereka," kata perdana menteri dalam amanat tahun baru 2009 yang disiarkan malam ini.

Beliau menambah, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk memelihara kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara, termasuk memberi bantuan seperti bayaran rebat kenderaan dan subsidi beras untuk meringankan kesusahan rakyat.

"Apabila harga minyak dunia turun, faedah daripadanya terus disalurkan kepada rakyat," katanya, lapor agensi berita Bernama.

Abdullah juga berkata walaupun krisis ekonomi dunia diramalkan cukup mencabar pada 2009, kerajaan berazam mengambil langkah berkesan untuk memelihara kekuatan ekonomi negara dan melindungi kepentingan rakyat.

Ia akan terus bertindak secara prihatin dan bertanggungjawab serta memantau corak dan perkembangan ekonomi dunia dan mengambil langkah wajar menghadapinya, tambahnya.

Abdullah berkata Malaysia mempunyai beberapa kelebihan yang dapat membantu menghadapi keadaan dengan lebih berkesan daripada banyak negara lain.

"Sektor kewangan kita adalah kukuh, tidak seperti waktu krisis kewangan satu dekad yang lalu.

"Rizab kewangan negara berada pada paras yang tertinggi dalam sejarah kita, iaitu 37 peratus berbanding jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Institusi kewangan kita mempunyai modal yang kukuh dan dikawal selia secara berhemah. Ekonomi negara kita bersifat pelbagai dan tidak bergantung kepada satu sektor tertentu semata-mata," perdana menteri dipetik berkata.

Katanya lagi, segala usaha akan diambil untuk merancakkan kegiatan ekonomi dengan menggembleng secara bijak sumber-sumber yang ada dan memberi penekanan kepada sumber dalaman iaitu pelaburan sektor awam dan swasta tempatan.

"Kerajaan telah menyuntik dana tambahan RM7 bilion dalam bentuk rangsangan agar ekonomi tidak akan mengalami kemelesetan, sebaliknya berupaya untuk terus berkembang," katanya.

Kerajaan juga akan memberi perhatian kepada projek berimpak tinggi yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya tahan negara seperti pembinaan lebih banyak rumah kos rendah, pemuliharaan dan baik pulih kemudahan awam dan peningkatan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, kata Perdana Menteri.

Abdullah berkata jika perlu, kerajaan akan mengambil langkah-langkah tambahan bagi memastikan ekonomi tetap berkembang dan permintaan dan penggunaan domestik terus meningkat.

Katanya kemampuan negara menghadapi cabaran tidak bergantung kepada keupayaan dan langkah-langkah dalam bidang ekonomi sahaja tetapi keutuhan dan integriti institusi negara, pentadbiran yang bersih dan cekap serta sistem kehakiman yang berwibawa amat penting untuk menjamin pengurusan ekonomi dan sosial yang baik dan mampu menarik keyakinan pelabur.

"Sehubungan ini, saya bersyukur kita telah mencapai kemajuan besar dengan kelulusan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman oleh Parlimen baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata langkah seperti itu penting untuk menjamin hak masyarakat terpelihara secara adil dan saksama terutamanya mereka yang kurang berupaya untuk mempertahankan hak mereka.

"Saya yakin dan percaya bahawa dengan niat suci dan semangat gigih, tiada gunung yang terlalu tinggi untuk kita daki dan tiada laut yang terlalu dalam untuk kita selami," kata Abdullah.

Read More...

Tuesday, November 11, 2008

Konflik kem Abdullah - Najib di Wilayah Persekutuan

Harakahdaily

Safar Jumaat
Mon | Nov 10, 08 | 1:37:35 pm MYT


PENCALONAN Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno, sementara Dato' Seri Najib sebagai Presiden, dari Umno Bahagian Wangsa Maju sedikit sebanyak membawa erti besar kepada Muhyiddin kerana, ketua bahagian ini, Dato' Mohd Shafie Abdullah adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Walaupun Mohd Shafie memberitahu wartawan kemudiannya, pencalonan itu bukan atas kapasitinya sebagai Setiausaha Politik Najib tetapi hanya sebagai ketua bahagian, tetapi Muhyiddin tentunya mengharapkan lebih dari itu, setelah Umno Bahagian Kota Bharu yang diketuai Dato' Mohamad Fatmi Che Salleh, yang juga Setiausaha Politik Najib di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, turut mencalonkannya.

Mengharapkan pencalonan untuk Muhyiddin dari Umno Bahagian Pekan, yang diketuai Najib tentulah mustahil memandangkan Majlis Tertinggi (MT) sudah membuat keputusan Bahagian Pekan dan Kepala Batas tidak akan menamakan calon-calon yang bertanding, bagi mengelakkan perwakilan terpengaruh dengan keputusan yang bakal dibuat dua bahagian ini. Pekan diketuai Najib dan Kepala Batas diketuai Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Timbul satu persoalan, mengapa Mohd Shafie sedia mencalonkan Muhyiddin dengan sokongan sebulat suara, tetapi dari 25 calon Majlis Tertinggi (MT), Mohd Shafie tidak menamakan Dato' Seri Zulhasnan Rafique dan Dato' Mohamad Norza Zakaria sebagai calon-calon yang sepatutnya disenaraikan?

Zulhasnan adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan (WP) yang menawarkan diri bertanding kerusi MT, manakala Mohamad Norza adalah anggota MT yang dilantik mewakili Pergerakan Pemuda Umno. Zulhasnan pernah menjadi AJK Umno Bahagian Wangsa Maju dan Ahli Parlimen Wangsa Maju manakala Mohamad Norza adalah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Wangsa Maju dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno WP.

Apa yang tidak kena dengan 'sejarah dan budi' Zulhasnan dan Mohamad Norza kepada Umno Wangsa Maju? Adakah langkah yang diambil Mohd Shafie ini merupakan langkah bijak dan atas 'kebenaran' Najib? Tidakkah pencalonan yang dibuat dikaitkan dengan Najib dan apabila pencalonan tidak dibuat, ia juga turut dikaitkan dengan Najib?

Mohd Shafie menang tanpa bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju apabila Pemangku Ketua Bahagian, Dato' Zainal Nazri tidak mempertahankan jawatan. Sebelum ini, bahagian ini diketuai Dato' Astamam Abdul Aziz tetapi terpaksa mengosongkan kerusi itu ekoran tindakan pengantungan selama tiga tahun dikenakan terhadapnya, ekoran didapati bersalah terlibat dengan politik wang.

Astaman yang menawarkan diri bertanding kerusi Timbalan Ketua Bahagian, tewas. Hari ini, selain kekecohan Umno Bahagian Seputeh dan Batu menjadi topik perbincangan ialah 'permainan baru' yang dibawa Mohd Shafie dalam Umno WP.

Tidak mustahil, apabila Najib menjadi Perdana Menteri, nama-nama seperti Zulhasnan, Dato' Kamaruddin Ambok (Segambut), Dato' Riduan Abdul Hamid (Kepong) dan Dato' Md Yusoff Abd Hamid (Batu) akan �hanyut bersama banjir kilat� di ibukota.

Tidak mustahil, Najib lebih berminat jika Mohd Shafie mengetuai Umno WP dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Setiawangsa, Dato' Halim Samad, menjadi timbalannya atau, Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menggantikan Zulhasnan dan Kamaruddin, yang dilihat lebih mirip kepada kem Abdullah Ahmad Badawi.

Kepimpinan Zulhasnan di WP nyata tidak dapat sokongan ketua-ketua bahagian hinggakan cerita yang mengatakan ada dua kem dalam WP kini, antara orang Zulhasnan dengan orang Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sudah menjadi 'rahsia terbuka'. Kini, kemenangan Mohd Shafie, membuka lebaran baru dalam senario politik WP yang tidak pernah tenang.

Dakwa mereka yang tidak sukakan Zulhasnan ialah, kedatangannya secara bidan terjun ke dalam politik WP di era kepimpinan Abdullah, nyata membawa petaka. Tidak pernah kerusi Umno tewas di Lembah Pantai dan Titiwangsa, ia menjadi mimpi ngeri dalam era kepimpinan Zulhasnan.

Kata mereka, Zulhasnan tidak berada 'di arus bawah' Umno sebaliknya sibuk dengan agenda besar yang tidak mungkin dicapainya.

Bukan sahaja Umno menghadapi zaman gelap, malahan MCA dan Gerakan juga menempuh kemuraman yang amat sangat.

Mereka mahu, Zulhasnan bertanggungjawab dengan kemusnahan ini atau namanya akan dipahat dalam sejarah, sebagai 'pemusnah BN' di WP.

Satu sumber yang rapat dengan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Dato' Seri Dr Suleiman Mohamed memberitahu, cadangan supaya kawasan Parlimen Titiwangsa dipecah dua, yang kedua-duanya ditandingi calon dari Umno (BN) tidak diterima.

Malahan, mereka kesal kerana kerusi Parlimen Wangsa Maju yang merupakan kubu kuat Umno suatu ketika dahulu, kini sudah ditandingi MCA dan, terbaru calon MCA tewas kepada calon PKR.

Kata sumber itu lagi, tidak hairanlah kalau Zulhasnan yang pernah menjadi Ahli Parlimen Wangsa Maju, tidak diiktiraf oleh Umno bahagian itu, kerana mereka cukup kecewa dengan Zulhasnan yang tidak memperdulikan ahli-ahli Umno di Wangsa Maju apabila sudah selesa di tempat baru, Setiawangsa.

"Jika bukan kerana Umno Wangsa Maju menobatkannya, tiada siapa kenal dia," kata mereka yang marahkan Zulhasnan. - mks._

Read More...

Monday, November 10, 2008

Penahanan ISA berasas fakta: PM

Berita Harian

KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan sentiasa berhati-hati dalam tindakan menahan seseorang mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Perdana Menteri berkata, sikap berhati-hati ketika membuat keputusan menahan mereka diamalkan sejak dulu lagi.

“Keputusan menahan mereka di bawah ISA mesti ada sebabnya dan bukan diambil tanpa sebarang fakta yang membolehkan tindakan itu dilaksanakan.

“Ini bukan kuasa yang boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya, ia mesti ada sebab dan fakta,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas di sini, semalam.

Abdullah diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan pengendali dan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan ISA, Jumaat lalu.

Perdana Menteri juga menjelaskan kerajaan menghormati keputusan mahkamah tetapi akan membuat rayuan.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri akan membuat rayuan dalam masa terdekat ini berhubung keputusan mahkamah itu.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pihak berkuasa negara ini sentiasa berwaspada bagi memastikan keselamatan negara terkawal berikutan pelaksanaan hukuman mati ke atas tiga pengebom Bali.

Read More...

Friday, November 7, 2008

SPR: Jawapan PM 'tidak masuk akal'

Malaysiakini

Nov 7, 08 7:41pm

Jawapan perdana menteri berhubung kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan kesahihan status lebih 11,000 pemilih yang menggunakan kad pengenalan lama "tidak masuk akal", kata ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Tambahnya, SPR sudah mempunyai satu sistem perisian canggih seperti SPINTRA untuk memastikan kesahihan nama dalam daftar pemilih dan pilihanraya dijalankan dengan telus, adil dan bebas kerana belanjawan besar diperuntukkan untuk itu dalam Bajet 2009.

Fuziah membidas penjelasan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap soalan lisannya semalam.

Perdana menteri berkata "status dan perkembangan mengenai 11,842 pemilih (tercatat dalam daftar pemilih 2004) yang menggunakan kad pengenalan lama yang belum dapat dikesan sehingga kini."

Wakil rakyat PKR itu mendakwa terdapat bukti kukuh di kawasan parlimennya yang "menunjukkan SPR telah melakukan penipuan daftar pemilih".

"Beberapa kes yang melibatkan pemilih yang berumur lebih 100 tahun dan yang telah meninggal dunia telah dikeluarkan daripada daftar pemilih sewaktu pembersihan daftar pemilih hujung tahun 2006, akan tetapi nama pemilih tersebut telah dimasukkan semula ke dalam daftar pemilih yang digunapakai dalam pilihanraya umum ke-12 Mac lalu," katanya.

"Kad pengenalan baru diwujudkan (direka) seolah-olah si mati (nama pada daftar pemilih) lahir pada 1985, sedangkan berdasarkan kad pengenalan lama, beliau lahir pada 1885," tambahnya.

Ahli parlimen itu mempersoalkan peruntukan kerajaan kepada SPR sedangkan, menurutnya, ia masih belum dapat menjamin ketelusan pilihanraya.

"Saya menyeru agar integriti SPR dikembalikan supaya dapat bertindak sebagai badan yang bebas, dan bukan lagi menjadi boneka Barisan Nasional dengan mengorbankan harapan seluruh rakyat Malaysia dalam memacu masa depan Negara," kata Fuziah.

Read More...

Monday, November 3, 2008

‘Kehendak saya kena ikut juga, saya menteri besar’ - Ahmad lawan Presiden UMNO

Buletin Online

Ditulis oleh MatStringer
Sunday, 02 November 2008

Kuala Terengganu - Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said pernah memberikan peringatan keras kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad supaya tidak bertanding jawatan utama peringkat bahagian.


Sumber Buletinonline memberitahu, Ahmad bertindak memaki hamun Yahya dihadapan orang ramai, dalam satu majlis berbuka puasa yang diadakan di daerah Marang, seminggu sebelum Eidul Fitri.

“Namun peringatan Ahmad tidak diambil hirau langsung oleh Yahya bahkan Yahya menjadi ‘naik semangat’ untuk merebut jawatan Ketua Bahagian Marang apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Alias Abdullah menarik diri dari pertandingan tersebut,”kata sumber itu.

http://buletinonline.net/images/berita13/madsaidpaklah.gifMenurutnya Alias memberi laluan selesa kepada Yahya kerana beliau mahu melihat penyandang jawatan Ketua Bahagian Marang, Dato’ Abdul Rahman Bakar jatuh tersungkur.

“Dengan jatuhnya Abdul Rahman, bermakna Alias dapat membalas perbuatan Ahmad yang memecat beliau dari Jawatan Pengerusi Ladang Rakyat Terengganu,”katanya lagi.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Said tetap mempertahankan keputusannya dan tidak menghiraukan langsung arahan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden UMNO yang akan letak jawatan Mac depan.

Menurut akhbar media perdana, Ahmad tetap akan memecat Yahya daripada barisan Exco atas kerana katanya anak Yahya mengingkari arahannya.

Ahmad berkata beliau berhak menggugurkan Yahya kerana ia terletak di bawah bidang kuasanya.


"Saya kira apa (kehendak peringkat akar umbi)? Kehendak saya dia kena ikut juga. Saya menteri besar dan ada hak terhadap Exco saya...saya yang lantik. Hak bahagian melantik ketua bahagian, hak saya melantik Exco.

Dua keadaan berbeza. Dia tak langgar disiplin parti, tapi langgar arahan saya," katanya selepas Pertunjukan Kuda Kebangsaan di sini, semalam.

"Saya mengarahkan semua Exco supaya tidak terbabit dalam pertandingan jawatan utama peringkat bahagian sebelum pertandingan peringkat cawangan lagi kerana saya minta mereka beri tumpuan kepada jawatan dalam kerajaan dan biar orang lain pegang jawatan ketua bahagian, kecuali jika dia memang dah ketua bahagian. Itu arahan saya jelas," tambah Ahmad


Baca Respon Yahya Khatib Kelmarin - Saya sedia digugur Exco Terengganu

Read More...

Monday, September 29, 2008

Undi tidak percaya bukan satu-satunya cara

Selangor today

[Terjemahan dari Artikel bertajuk “No-confidence vote not the only way” oleh Maria J. Dass di dalam akhbar The Sun 22 September 2008]

Premis bahawa parlimen mesti bersidang bagi membolehkan undi tidak percaya dibuat terhadap Perdana Menteri adalah terlalu simplistik, kata peguam kanan Tommy Thomas. Beliau memberi respons tersebut berikutan temu bual akhbar The Sun dengan pakar undang-undang perlembagaan, Prof Dr Shad Faruqi, baru-baru ini. Shad berkata, di bawah Perkara 43(4) perlembagaan persekutuan, hanya parlimen, bukannya Yang Dipertuan Agung, boleh memecat Perdana Menteri.

Perkara 43(4) tersebut berbunyi: Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya, Yang Dipertuan Agong membubarkan parlimen.

“Sekiranya tafsiran Shad mahu diguna pakai, maka peruntukan perlembagaan itu hendaklah dibaca begini: “ Jika Perdana Menteri dikalahkan melalui usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat, maka…” kata Thomas.

“Jika tafsiran Shad adalah tepat, maka ia jelas terhad hanya kepada satu corak dan keadaan sahaja – bahawa perkara itu harus dibawa ke Dewan Rakyat, sedangkan skop perlembagaan yang luas membenarkan kaedah-kaedah lain diguna pakai”, katanya lagi.

“Saya terima bahawa kaedah yang dikemukakan oleh Shad itu sebagai kaedah tradisi dan kaedah yang lebih digemari, namun saya juga menolak anggapannya bahawa ia merupakan satu-satunya kaedah yang ada”, kata Thomas dalam temu bual pada Jumaat lepas.

Thomas seterusnya berkata, Perkara 43 (4) mewakili deraf laporan Suruhanjaya Reid yang kekal dalam bentuk asalnya dan jelas merupakan prinsip perlembagaan Inggeris yang memberikan kepada YDP Agong kuasa yang sama yang diberikan kepada raja England.

Beliau juga berkata, kebanyakan negara Komonwel mempunyai seseorang yang diberikan kuasa dan kedudukan yang sama dengan raja Inggeris itu. India, sebagai sebuah republik, mempunyai seorang Presiden; Australia dan New Zealand pula mempunyai Gabenor yang mewakili Ratu Inggeris.

Jadi apakah kaedah lain yang ada selain daripada undi tidak percaya?

Thomas: Untuk menjawab soalan ini, kita perlu terlebih dahulu melihat kepada hakikat bahawa di kebanyakan negara Komonwel, terdapat seorang Ketua Tertinggi, iaitu seorang raja berlembagaan. Di Malaysia, ia merupakan Yang Dipertuan Agong seperti yang ditetapkan oleh Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan. Ketua Tertinggi ini mestilah berperanan melampaui kepentingan politik dan berperanan menstabilkan negara, terutama sekali dalam suasana krisis seperti sekarang ini.

Perkara 43(2)(a) menetapkan bahawa Yang Dipertuan Agong harus terlebih dahulu melantik seorang Perdana Menteri daripada kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat yang menurut pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli itu untuk mengetuai Jemaah Menteri. Ini menunjukkan bahawa pelantikan tersebut adalah tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertuan Agong.

Menurut Perkara 40 (1) pula, Yang Dipertuan Agong mesti mendapatkan nasihat Perdana Menteri pada 99.999% masa, tetapi baginda juga boleh bertindak mengikut budi bicara dalam melantik Perdana Menteri dan untuk tidak memberikan persetujuan kepada permintaan untuk membubarkan parlimen (Perkara 40(2).

Dalam keadaan-keadaan tertentu, baginda tidak perlu menerima nasihat Perdana Menteri kerana nasihat tersebut mungkin bersifat berkepentingan diri. Dalam kes Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka nasihat berkepentingan diri itu mungkin bertujuan mengekalkan kedudukannya atau supaya beliau tidak dipecat.

Jadi dalam keadaan ini dan dalam keadaan-keadaan sukar yang lain, Yang Dipertuan Agong harus dan melihat dan menilai keadaan melampaui nasihat tersebut dan hendaklah bertindak bagi kepentingan negara.

Sebagai raja berpelembagaan, Yang Dipertuan Agong tidak boleh memecat Perdana Menteri melainkan baginda yakin bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang ditetapkan oleh Perkara 43(4) dan 40(3).

Sekiranya berlaku keadaan-keadaan yang disebut di bawah perkara 43(4), maka Perdana Menteri boleh dilucutkan jawatan sekiranya beliau tidak melepaskannya secara sukarela. Peruntukan-peruntukan perlembagaan ini memberikan Yang Dipertuan Agong kuasa budi bicara yang luas, namun baginda juga tidak boleh bertindak sebagai diktator kerana terdapat kekangan terhadap kuasa budi bicara itu.

Sebagai contoh, baginda tidak boleh melantik saya atau anda semata-mata sebagai Perdana Menteri sebab kita bukanlah ahli Dewan Rakyat. Ini jelas menunjukkan bahawa pilihan yang baginda miliki adalah terhad kepada 222 orang sahaja yang merupakan ahli dewan tersebut.

Bagaimanakah Yang Dipertuan Agong boleh melaksanakan kuasa budi bicara baginda itu jika tidak berlaku usul undi tidak percaya?

Melalui satu perisytiharan bertulis dan bertandatangan oleh majoriti ahli Dewan Rakyat yang menyatakan tidak percaya terhadap Perdana Menteri, yang dikemukakan kepada baginda oleh seorang ahli atau sejumlah ahli parlimen. Dokumen tersebut adalah sebagai bukti yang sah tentang sikap tidak percaya itu. Sekiranya Yang Dipertuan Agong berpuas hati dengan dokumen itu dan kesahihannya, maka baginda boleh menerimanya – sebagai satu cara untuk mengesahkan hilang kepercayaan itu.

Di sini, saya mahu memberi komentar tentang kenyataan Shad apabila beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi di Kucing yang menolak kaedah ini dalam kes Stephen Kalong Ningkan (1966).

Dalam hal ini, Shad gagal menyebut sebuah kes Majlis Privy sebelum itu (Kes Nigeria: Adegbenro lwn Akintola, 1963) dan sebuah kes Malaysia selepas itu yang memutuskan sebaliknya.

Dalam kes Nigeria, Gabenor Nigeria menerima surat atau dokumen sedemikian dan berdasarkannya, beliau memecat Ketua Menteri negara tersebut, tetapi menteri berkenaan berkata, “tidak ada undi tidak percaya terhadap saya, justeru saya tidak dipecat”.

Majlis Privy memutuskan bahawa pemecatan itu adalah sah dan Gabenor boleh bertindak mengikut pertimbangannya kerana kuasa budi bicara yang beliau miliki.

Pada tahun 1966, Hakim Harley dalam penghakimannya ke atas kes Stephen Kalong Ningkan berkata, beliau tidak akan mengikut kes Nigeria itu kerana negara tersebut adalah berbeza daripada Sarawak – ini bagi saya adalah pandangan yang amat simplistik.

30 tahun kemudian, kita ada sebuah kes yang melibatkan Datuk Amir Kahar Mustapha dan Tun Mohd Said Keruak – iaitu kes bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Joseph Pairin Kitingan, apabila beberapa beberapa ahli Dewan Negeri melompat parti selepas pilihan raya umum 1994. Akibatnya, Pairin hilang jawatan sebagai Ketua Menteri.

Pelantikan Ketua Menteri baru selepas itu telah dicabar di mahkamah. Fakta kes adalah serupa dan isu yang dibangkitkan ialah sama ada surat atau dokumen yang ditandatangani ahli-ahli dewan boleh diterima. Hakim Kadir Sulaiman telah menuruti kaedah dan keputusan kes Majlis Privy.

Lebih menarik, peguam yang hujahnya diterima oleh Hakim Kadir Sulaiman dalam kes Pairin itu ialah Peguam Negara kini, iaitu Tan Sri Gani Patail, yang ketika itu mewakili kerajaan Sabah.

Kelemahan kaedah ini ialah keperluan memastikan kesahihan tanda tangan ahli dewan terbabit. Kaedah ini juga menuntut Yang Dipertuan Agong bertindak dengan waras dan bertanggungjwab, bukannya sewenang-wenang. Justeru, baginda harus membuat siasatan sendiri dan harus berpuas hati dengannya, sekali gus memaklumkan secara terbuka langkah-langkah yang diambil untuk membuat keputusan tersebut bagi kepentingan negara.

Untuk tujuan itu, Yang Dipertuan Agong boleh memanggil ahli-ahli terbabit masuk menghadap bagi memastikan sama ada mereka berbuat demikian dengan rela dan waras. Ini sebagai pengesahan dan bukti yang sahih. Jika seseorang raja berperlembagaan mengambil langkah-langkah ini, maka baginda tidak boleh dikiritik atau dituduh mempunyai kepentingan politik dan lain-lain.

Kuasa YDP Agong dalam memecat Perdana Menteri

Senario pertama:

Pengundian dibuat di Dewan Rakyat dan usul tidak percaya dibawa. Perdana Menteri sediaada harus memaklumkan kepada YDP Agong bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan ahli dewan. Perdana Menteri memiliki kuasa budi bicara untuk memohon membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan bagi menguji kepercayaan dan mandat rakyat.

YDP Agong boleh menggunakan kuasa budi bicara baginda di sini. Sekiranya baginda bersetuju, parlimen akan dibubarkan dan kerajaan Perdana Menteri sedia ada akan dilantik sebagai kerajaan sementara. Tetapi jika YDP Agong menolaknya, maka Perdana Menteri mestilah meletakkan jawatan daripada kabinet. Sekiranya beliau enggan berbuat demikian, maka secara tersirat, YDP Agong boleh memecat beliau.

Senario kedua:

YDP Agong tidak bergantung kepada usul di dalam dewan, tetapi kerana berpuas hati bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan daripada majoriti ahli dewan, lalu mengarahkan Perdana Menteri supaya meletak jawatan dan menggantikannya dengan seorang calon lain yang menurut pertimbangan baginda adalah sesuai untuk mengisi jawatan itu. Jika Perdana Menteri enggan mematuhi arahan tersebut, maka perlembagaan mengisyaratkan bahawa beliau boleh dipecat.

Apakah yang bakal berlaku sekiranya usul undi tidak percaya ditolak oleh Speaker di Dewan Rakyat?

Pertama, ini melanggar perlembagaan. Tetapi kaedah ini hanya penting sekiranya ia dianggap sebagai satu-satunya cara yang ada. Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tampak mengambil langkah yang cermat dengan menggunakan kaedah ini terlebih dahulu, iaitu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Dua usul sedemikian telah dikemukakan sebelum ini dan ditolak oleh Speaker.

Apakah yang bakal berlaku jika Anwar ditahan di bawah ISA?

Sekiranya Anwar ditahan, YDP Agong masih boleh meminta beliau dibebaskan untuk menghadap baginda – sekiranya baginda melihat beliau sebagai calon paling layak untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.

Read More...

Sunday, September 28, 2008

Abdullah melangkah ke penghujung karier politik

Harakahdaily

Mohd Nor Yahya
Sun | Sep 28, 08 | 3:25:31 pm MYT

TUMPAT, 28 Sept (Hrkh) - Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dianggap berada pada kedudukan paling terdesak dalam sejarah politiknya apabila terpaksa berundur lebih awal berbanding pelan peralihan kuasa pada Jun 2010.

Kemelut dalamannya jelas kelihatan apabila terpaksa menangguhkan lagi Perhimpunan Agung Umno kepada Mac tahun hadapan, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Umno apabila ditunda sebanyak dua kali.

Sepatutnya perhimpunan itu berlangsung tahun lepas namun ditangguh bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar berkata, Umno sedang menghadapai krisis yang amat besar kerana seluruh pimpinan Umno dan akar umbi tidak�yakin lagi dengan Presiden parti itu.

"Perdana Menteri tidak layak lagi menerajui Malaysia dan rakyat seharusnya sedar apa yang diusahakan Pakatan Rakyat bagi menukar kerajaan tepat pada masanya," katanya ketika ditemui di majlis penyampaian sumbangan Hari Raya kepada ketua-ketua cawangan PAS di kawasan parlimen Tumpat di sini semalam.

Jumaat lalu Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan menunda perhimpunan agung parti itu kepada Mac tahun hadapan bagi melancarkan pelan peralihan.

Perhimpunan parti itu sepatutnya diadakan pada 16 hingga 20 Disember depan.

Keputusan berkenaan disifatkan Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tiada peruntukan dalam perlembagaan parti itu dan berharap ahli-ahli Umno menolak penangguhan tersebut.Image

Menurutnya pemilihan parti mesti dilakukan setiap tiga tahun sekali di semua peringkat.

Kamaruddin juga bekas Ketua Umno Tumpat berkata, banyak faktor yang mewajarkan Abdullah berundur segera antaranya ketidakyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara ini.

Kata beliau ahli Umno di peringkat akar umbi mahu Abdullah turun dan diberi peluang kepada Dato Seri Najib Razak menerajui seketika pentadbiran negara.

Malah difahamkan kata beliau kumpulan kedua dalam Umno sekarang sedang mewujudkan gandingan lebih mantap bersama Najib termasuk Tan Sri Muhyuddin Yassin dan Dato' Zahid Hamidi.

"Apapun yang jelas sekarang Umno bagaikan sebuah kapal yang sedang karam dan sesiapa pun sebagai nakhodanya ia tetap akan karam juga.

"Oleh itu saya berharap ahli Umno berfikir mulai sekarang sanggupkah mereka berada bersama-sama dalam kapal yang sedang menuju ke dasar laut atau berpaut di sekeping papan yang boleh menyelamatkan mereka," kata beliau.

Kamaruddin juga berkata, kesan yang paling ketara dirasai Perdana Menteri dengan kekalahan teruk pada pilihan raya kecil Permatang Pauh Ogos lalu sehingga tekanan yang diterima Abdullah semakin hebat.

"Kalau selama ini PAS dan Pakatan Rakyat yang mendesak supaya ditukar kerajaan yang ada sekarang, namun hari ini Umno sendiri juga sudah tidak�yakin dengan pucuk pimpinan mereka.

"Oleh itu, sudah sampai masanya ahli parlimen BN bersama Pakatan Rakyat�untuk membolehkan kestabilan politik negara dipulihkan," katanya.

Menurutnya juga pemimpin kompenan BN juga kini mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap perkembangan dalam Umno sebelum mengambil langkah sewajarnya bagi masa depan politik mereka.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, Abdullah perlu melihat sejarah kejatuhan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin yang begitu memalukan kerana tidak menghiraukan desakan rakyat.

Katanya, Perdana Menteri perlu mengambil langkah paling sukar dalam hidupnya sekiranya tidak mahu dicatat dalam sejarah sebagai seorang ketua negara yang jatuh dalam keadaan paling mengaibkan.

"Tun Dr Mahathir Mohamad akan dianggap lebih bermaruah berbanding dengan Abdullah sekiranya terus berdegil mempertahankan kedudukan sekarang. Maka jalan paling wajar memberi ruang kepada Najib merasai seketika kedudukan nombor satu.

"Abdullah akan dianggap bijak kerana kejatuhan empayar BN yang berusia lebih 50 tahun bukan di eranya sebaliknya ketika Najib mengetuai kerajaan. Setidak-tidaknya Abdullah tidak dicatat memusnahkan sejarah BN," katanya.

Beliau juga yakin Najib tidak akan lama berada di kedudukan selesa kerana gelombang rakyat sekarang bukan sekadar menukar pemimpin sebaliknya mahukan kerajaan yang lebih bersih dan adil. - mj _

Read More...

Dollah (atau Idris), sudah belanja habis semua RM 7.364 bilion duit royalti ?

Buletin Online

PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Editor
Friday, 26 September 2008

http://buletinonline.net/images/berita11/ahmadsaidgalipitih.jpg

Kelmarin Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta sebagai bantuan Dana Khas Hari Raya, menjadikan keseluruhannya berjumlah RM47,594 juta, untuk diagihkan kepada penduduk di negeri ini yang didapati tercicir, samada secara sengaja atau tidak, oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.


Sebelum ini, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM46.594 juta sebagai bantuan yang sama, yang kini menjadi kontroversi kerana terdapat ketidakadilan didalam pengagihan bantuan tersebut dibawah kendalian Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DPKKP) yang dibelanjakan oleh kerajaan Terengganu untuk diberikan kepada ahli dan penyokong UMNO/BN bermula sejak tahun 2000 di panggil Wang Ehsan apabila pembayaran tunai 5% royalti minyak dihentikan kerana hasad dengki kerajaan UMNO/BN kepada kerajaan Terengganu yang diperintah oleh PAS ketika itu.


Sebagaimana yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Amirsham A.Aziz bulan Mei lalu, jumlah royalti minyak yang dibayar untuk kerajaan persekutuan kepada kerajaan Terengganu bagi tahun kewangan berakhir Mac 2004 hingga Mac 2007 adalah RM 7.364 bilion.

Menurut bekas Menteri Besar, Dato Seri Idris Jusoh menyatakan beliau tidak tahu jumlah RM 7.364 bilion bayaran royalti oleh Petronas itu.

Namun begitu Idris berkata kerajaan negeri di bawah pimpinannya hanya dimaklumkan wang royalti sebanyak RM1.3 bilion diberikan kepada Terengganu pada setiap tahun dalam tempoh tiga tahun tersebut.

Dengan itu secara rasminya kerajaan Terengganu telah menerima sebanyak RM3.9 bilion sepanjang tempoh tiga tahun.

"Wang royalti petroleum itu diberikan dalam bentuk wang ehsan dan ia kemudiannya digunakan bagi tujuan pembangunan Terengganu serta pentadbiran kerajaan negeri,” ujar Idris.

Persoalan yang masih belum dijawab secara rasmi oleh samada kerajaan Pusat atau negeri, kemanakah perginya wang royalti sebanyak RM3 bilion yang masih berbaki?

Hingga kini sudah dua bulan berlalu sejak Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan pembayaran 5% royalti minyak diserahkan kembali kepada kerajaan Terengganu.

Rakyat masih tertunggu-tunggu bilakah pembayaran pertama royalti minyak itu akan diterima oleh kerajaan Terengganu.

Ahmad Said yang begitu yakin sebelum ini bahawa Terengganu akan mendapat bayaran pertama wang tersebut pada bulan September, telah menjadi ‘bingung’ kerana bulan September telah hampir tamat, namun tidak ada tanda-tanda wang tersebut akan dibayar.

Diberitakan sudah berkali-kali para pegawai kanan kerajaan negeri berulang alik dari Kuala Terengganu ke Putra Jaya untuk merundingkan perkara berkenaan yang sepatutnya tidak perlu sebarang perundingan.


Perjanjian pembayaran royalti dibuat pada 22 Mac 1975 antara kerajaan Terengganu dengan Petronas jelas menyebut b
ayaran Royalti Petronas hendaklah dibuat tiap-tiap enam bulan sekali iaitu sebelum 1 September bagi petroleum yang diperolehi dan dijual dalam tempoh enam bulan yang pertama dan sebelum 1 Mac tahun berikut bagi petroleum yang diusahakan dan dijual dalam tempoh enam bulan yang kedua (bulan Julai hingga bulan Disember).


Kemungkinan yang paling besar mengapa wang royalti masih belum dibayar kepada kerajaan Terengganu adalah kerana ianya telah habis dibelanjakan oleh Dollah (atau Idris) !

Malah Ahmad Said mungkin menggigit jari dan terpaksa ‘minta sedekah’ dari kerajaan Dollah kerana wang tersebut sebenarnya telah terlebih guna?

Kalau kita perhatikan segala projek Mega yang dilaksanakan dari 2004 hingga sekarang serta pengakuan Ahmad Said bahawa pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) adalah dibiayai dengan DKKP, maka kemungkinan besar duit royalti RM 3 bilion yang menjadi misteri itu tidak berbaki lagi.

Dollah juga pernah menyatakan bahawa wang ehsan/ DKKP/ duit royalti memberikan banyak kebaikan kepada rakyat Terengganu tanpa perincian seolah-olah duit tersebut telah habis dibelanjakan.

Memang ada logiknya, kalu tidak sudah licin ‘dibaham’ duit royalti memang telah terlebih guna oleh Dollah (atau Idris).

Dibawah disenaraikan projek mega yang telah dilaksanakan sejak tahun 2004 dengan kos-kos yang telah didedahkan ;

Bil

Projek

Kos (RM – juta)

1.

Kompleks Sukan Negeri Terengganu

544

2.

LPT2

1,800

3.

Menaiktaraf Terminal LTSM

130

4.

Menaiktaraf Landasan Terbang LTSM

530

5.

Monsoon Cup

360

6.

Taman Tamadun Islam

259

7.

Benteng Pemecah Ombak (Brakwater)

509

JUMLAH

4,132

Selain dari perbelanjaan diatas terdapat satu laporan tidak didedahkan oleh kerajaan persekutuan yang juga menggunakan DKKP sebagaimana yang dilampirkan dibawah.


http://buletinonline.net/images/berita11/laporanprojekdanakhas.gif

http://buletinonline.net/images/berita11/laporanprojekdanakhas1.gif

http://buletinonline.net/images/berita11/laporanprojekdanakhas2.gif

Sekiranya dicampurkan semua kos tersebut kira-kira RM 650 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan persekutuan dari Wang Ehsan/ DKKP/ Wang Royalti Petroleum untuk pembangunan yang sepatutnya dilaksanakan menggunakan kewangan dari kerajaan Pusat.

Keseluruhan perbelanjaan yang dapat dikesan sehingga kini adalah lebih dari RM8 bilion, melebihi jumlah royalti yang di berikan kepada kerajaan Terengganu sebanyak RM7.634 bilion dalam tempoh 2004 hingga 2007. Pecahannya adalah seperti berikut;


Bil

Perkara

Jumlah (RM-juta)

1.

Serahan Kepada Kerajaan Negeri Setiap Tahun dari 2004 – 2007

(yang menjadi Belanjawan Negeri Terengganu)

3,900

2.

Projek-projek Mega (seperti jadual diatas)

4,132

3.

Infrastruktur

650

JUMLAH

8,682

Itu tidak termasuk banyak lagi dana-dana khas bantuan yang lain yang digunakan oleh Jabatan dan agensi kerajaan yang begitu mewah sebelum ini seperti dana khas untuk nelayan, ternakan, usahawan, pendidikan (tiusyen dll), kesihatan dan sebagainya !

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |