+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, May 11, 2008

Umno: Perjuangan tersasar, raikan ulangtahun ke-62 dalam keadaan nazak

Harakahdaily

Mohd Rashidi Hassan

Sun | May 11, 08 | 11:59:39 am MYT

Sambutan memperingati ulangtahun kelahiran Umno pada 11 Mei 1946, tahun ini amat berbeza dengan sambutan yang dibuat pada tahun-tahun sebelum ini.

Sambutan tahun ini amat hambar kerana orang-orang Umno tidak pernah menerima hukuman yang sebegini berat, apabila ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lepas.

Selama lebih 50 tahun Umno menerusi gabungan Perikatan dan Barisan Nasional begitu 'enjoy' dengan kuasa pemerintahan mutlak dengan menguasai lebih dua pertiga kerusi Parlimen di peringkat Persekutuan.

Umno dan parti gabungannya juga menguasai semua negeri secara mutlak kecuali Kelantan dan Terengganu (1999-2004) sehingga PRU lepas.

PRU 2008 benar-benar menguji kewibawaan Umno untuk terus kekal sebagai parti tonggak pemerintahan negara.

Setelah 62 tahun berkuasa penuh, tanpa diduga rakyat, memberikan signal bahawa nama Umno tidak sinonim dengan kuasa yang memerintah sebuah kerajaan.

Di Kelantan, Umno sudah lama menjadi pembangkang. Di Terengganu juga Umno pernah menjadi pembangkang. Sekarang Umno dipilih rakyat untuk menjadi pembangkang di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Gelaran pembangkang sebelum ini, disandang PAS, DAP, KeADILan, PRM dan lain-lain.

Kini Umno dan sekutu mereka dalam BN seperti MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain adalah pembangkang di enam negeri (termasuk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jika sebelum ini Umno dan sekutunya begitu alergi dengan gelaran pembangkang, namun itulah hakikatnya sekarang.

Umno bukan lagi parti yang didokong rakyat untuk berada ditampuk kuasa, malah Umno sudah dilabel dengan gelaran pembangkang.

Ramai pemimpin-pemimpin Umno yang popular dan gah ditampuk kuasa sudah bergelar Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri.

Dalam keadaan sekarang, tidak mustahil Presiden Umno boleh menjawat jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen pula.

Justeru perhimpunan memperingati ulangtahun ke-62 Umno hari ini, disambut dengan penuh keserabutan kerana PRU ke 12 meninggalkan persoalan besar iaitu adakah Umno masih lagi relevan?

Perhimpunan hari ini bukannya untuk berseronok-seronok bagi Umno seperti tahun-tahun sebelumnya.

Hari ini Umno harus dibedah, dimuhasabah dan dikaji semula hala tuju perjuangannya.

Jika tidak berlaku sebarang perubahan, maka daripada berkuasa Umno menjadi pembangkang, dari pembangkang, Umno akan tersimpan dalam lipatan sejarah di muzium.

Semua ini tidak mustahil berlaku. Kata Laksamana Hang Tuah memang betul, 'tak Melayu hilang di dunia', tetapi parti Melayu seperti Umno tidak boleh mengelak untuk lenyap jika tidak banyak perubahan dilakukan agar ia diterima kembali oleh rakyat.

Justeru apakah perubahan yang harus dilakukan Umno sekarang ini? Perubahan dalam bentuk apa dan bagaimana harus dilakukan?

Ketuanan Melayu bukan milik mutlak Umno

Sejarah penubuhan Umno sejak tahun 1946, yang diasaskan oleh Dato' Onn Jaafar adalah untuk memartabat dan memperjuangkan nasionalisme Melayu.

Secara khususnya Umno diasaskan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Asasnya adalah nasionalis-kebangsaan atau asabiyah Melayu, untuk ketuanan Melayu dari sudut politik, ekonomi dan sosial.

Siapa sebenarnya yang melupakan perjuangan asal Umno?

Harus diingat bahawa perjuangan ketuanan Melayu bukan milik mutlak Umno. Kuasa Melayu, juga bukan hak Umno dipegang Umno buat selama-lamanya.

Yang terhakis sekarang ini adalah kuasa Umno, bukan kuasa Melayu. Jika orang-orang Melayu menolak Umno, mereka masih ada PAS dan sebahagian pemimpin utama dalam KeADILan yang terdiri dari orang-orang Melayu juga.

Umno menghadapi masalah besar sekarang ini kerana perjuangan ketuanan Melayu yang dilaung-laungkan pemimpin mereka sebenarnya hanya setakat retorik.

Yang diperjuangkan mereka hanya adalah perjuangan ketuanan Umno dan pemimpin Umno.

Masalah yang berlaku ketika ini ialah, orang-orang Umno menjadi pendukung tegar kepada keputusan pemimpin mereka, walaupun keseluruhan rakyat berbangsa Melayu tidak bersetuju.

Kegagalan perlaksanaan Dasar Ekonomi baru, penghakisan kuasa Raja-Raja Melayu melalui pindaan Perlembagaan pada tahun 1993, sistem meritokrasi, penindasan terhadap kerajaan negeri yang dikuasai (orang Melayu PAS), penghapusan bantuan Sekolah Agama Rakyat, penguatkuasaan pembelajaran Sains dan Metamatik dalam bahasa Inggeris adalah antara faktor kegagalan Umno.

Orang Melayu secara keseluruhannya tidak mempunyai kuasa politik kerana kuasa itu dimonopoli kelompok tertentu dalam Umno.

Orang Melayu secara keseluruhannya tidak mempunyai kekuatan dari sudut ekonomi. Masih ramai Melayu yang dihimpit dengan kemiskinan. Yang kaya hanya segelintir Melayu yang menjadi pemimpin Umno.

Umno juga menjadi punca utama kuasa Raja-Raja Melayu terhakis dan dihadkan pada tahun 1993. Kebongkakan pemimpin Umno terserlah dengan usaha penabalan raja baru di Kelantan.

Selain daripada itu dalam tahun 1993, media massa turut bersekongkol dengan Umno untuk menghentam Raja-Raja Melayu tertentu dengan pembongkaran pelbagai kes-kes tertentu.

Terkini, pemimpin Umno menderhaka kepada Sultan Terengganu yang juga Yang di-Pertuan Agong dalam isu perlantikan Menteri Besar. Kes yang hampir sama di Perlis.

Justeru jika pemimpin-pemimpin Umno hari ini mendabik dada kononnya pejuang tulen kedaulatan raja, ianya sangat-sangat dipertikaikan keikhlasan mereka.

Di suatu ketika raja dihina, untuk kepentingan politik hari ini, raja didaulat semula. Apakah sikap seperti ini wajar digelar pejuang ketuanan Melayu?

Sokongan terhadap Presiden Umno tidak solid

Masalah besar kepada Umno sebenarnya adalah masalah kepimpinan.

Berbanding dengan lima Presiden Umno dari Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dianggap pemimpin yang paling lemah bagi Umno.

Abdullah Badawi amat popular ketika menghadapi PRU ke 11 pada tahun 2004. Namun selepas empat tahun berkuasa popularitinya merudum.

Sepanjang empat tahun berkuasa Abdullah menerima kecaman yang hebat dari kalangan orang-orang Umno sendiri, khususnya bekas PM, Dr Mahathir.

Kepimpinan Abdullah dipertikaikan kerana beliau didakwa terlalu menurut nasihat anak menantunya dalam mengendalikan urusan negara dan parti.

Dakwaan seumpama ini tidak pernah berlaku kepada empat PM dan Presiden Umno sebelum beliau. Dan sepanjang 22 tahun Mahathir memerintah, tidak langsung wujud cakap-cakap bahawa beliau dipenggaruhi anak menantu atau isteri.

Sepanjang Mahathir berkuasa, anak-anaknya terbabit dalam perniagaan tetapi tidak memperolehi kekayaan, projek atau tender-tender besar secara ketara.

Anak-anak menantu beliau juga tidak mempunyai apa-apa jawatan utama dalam parti dan kerajaan.

Malangnya Abdullah tidak dapat membebaskan diri dari dakwaan seumpama ini. Anaknya, Kamaluddin tersenarai antara individu Melayu yang terkaya hanya baru dua tahun beliau menjadi PM.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar didakwa dipilih menjadi Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, dengan 'pengaruh dan kuasanya' sebagai menantu PM.

Abdullah juga didakwa terlalu mempercayai kelompok elit muda lulusan Oxford - Cambridge sehingga mengetepikan pejuang tulen Umno yang banyak pengalaman dalam urusan parti dan pemerintahan.

Anak menantu dan rakan-rakan terdekat mereka didakwa menguasai tingkat 4 pejabat PM di Putrajaya, menguasai beberapa syarikat korporat (seperti Scomi, Equine Capital, ECM-Libra dsbnya) yang mendapat pelbagai projek dan pembiayaan dan menguasai media dalam waktu yang singkat.

Lebih malang lagi, menantunya, Khairy didakwa antara punca utama kekalahan BN dalam PRU lepas oleh orang-orang Umno sendiri.

Apakah Abdullah sahaja yang harus dipersalahkan?

Kesalahan berat yang ditimpakan ke atas Abdullah, berterusan sehingga kini, dengan suara-suara dalam Umno yang mahu beliau meletakkan jawatan dan segera mengemukakan pelan persaraan.

Apapun yang berlaku, apakah wajar kesalahan orang-orang Umno menuding jari terhadap Abdullah semata-mata?

Masalah besar kepada krisis kehilangan kepercayaan rakyat terhadap Umno, bukan 'hasil karenah' Abdullah sahaja, apakah Mahathir, Najib, Muhyiddin dan ramai lagi, tidak punyai kesalahan?

Kemaruk kuasa yang begitu lama menjadikan Umno lalai. Pemimpinnya juga lalai. Dasar yang dilaksanakan hanya melahirkan kelompok elitis Melayu, bukan untuk kepentingan kelompok besar orang-orang Melayu.

Kegagalan dasar ini menjadikan Umno sinonim dengan gelaran 'Korupsi, Kronisme dan Nepotisme'.

Persepsi hendak kaya melalui Umno, jawatan dan kuasa dalam Umno menyebabkan perjuangan asal mereka sudah tidak tulen.

Rakyat, khususnya orang-orang Melayu, juga wujud pada minda mereka kesedaran bahawa amalan korupsi, kronisme dan nepotisme sudah merosakkan perjuangan asal Umno untuk agama, bangsa dan negara.

Justeru dalam menyambut ulangtahun ke 62 ini, Umno harus memastikan persepsi buruk ini dihapuskan dengan keberanian melakukan perubahan drastik demi masa depan mereka.

Umno harus membulatkan tekad, mengetepikan kepentingan peribadi dengan bersungguh-sungguh.

Namun pada saat ini, Umnol agak sukar untuk berubah. Transisi atau perubahan kuasa secara damai belum nampak tanda-tanda akan berlaku.

Perpecahan dan perebutan kuasa dalam Umno menjelang Disember depan sudah tidak mampu dielakkan lagi.

Hakikatnya kini, Umno menyambut ulangtahun kelahirannya dalam keadaan yang nazak.

Siapakah yang mampu merubah Umno dan mengembalikan ia kepada landasan yang betul untuk mendapat kembali kepercayaan rakyat?

Orang-orang Umno sendiri tidak tahu jawapannya. - mks.

Read More...

UMNO: Ulang tahun bawa pengertian luar biasa, bukti parti masih relevan

Utusan Online

11/05/2008 7:18pm

KUALA LUMPUR 11 Mei — Sambutan ulang tahun UMNO tahun ini membawa pengertian lebih mendalam daripada biasa kerana ia menegaskan bahawa parti itu masih relevan untuk seluruh rakyat Malaysia, kata Timbalan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata parti itu akan terus membela untung nasib dan masa depan orang Melayu di samping memperjuangkan kesejahteraan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.

“Jangan kita lupa bahawa segala-gala yang kita kecapi hari ini adalah hasil daripada jasa UMNO.

“Kita percaya bahawa UMNO akan dapat meneruskan kecemerlangan perjuangannya sebagai satu wadah yang amat penting kepada masa depan orang Melayu, kaum-kaum lain serta negara pada keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas sambutan ulang tahun ke-62 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Ditanya mengenai mesyuarat Jawatankuasa Menangani Inflasi esok, Najib berkata langkah akan diambil oleh kerajaan untuk melindungi kesan inflasi tetapi ia tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan.

“Walau bagaimanapun, kita mempunyai hasrat dan niat untuk segala-galanya yang termampu, untuk memberi perlindungan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata persepsi dan imej UMNO bergantung bukan sahaja kepada sayap-sayap parti tetapi pertubuhan itu secara keseluruhannya.

Beliau mengulas amanat Abdullah yang mengingatkan pemimpin-pemimpin muda parti mengenai kepentingan menyesuaikan perjuangan parti mengikut kehendak dan cita rasa anak-anak muda yang akhirnya akan menentukan sama ada UMNO masih relevan pada mereka.

“Bagi saya selaku Ketua Pemuda, ia memang sesuatu yang berada di atas bahu dan kepala saya, tetapi pada masa yang sama memerlukan penelitian daripada segi struktur UMNO itu sendiri.

“Ia tidak boleh diletakkan di atas bahu dan kepala sayap sahaja,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan Umno kekal relavan bagi generasi muda, perjuangan Pemuda tidak perlu berubah tetapi mestilah berupaya memenuhi apa yang generasi itu anggap “kehendak” mereka.

“Saya fikir perjuangan asas tidak perlu diubah tetapi pendekatan pergerakan hendaklah berupaya memenuhi kehendak golongan Melayu pertengahan yang berpendidikan di bandar dan pada masa sama dapat disesuaikan dengan keperluan Melayu orthodoks dan anggota di Sabah,” katanya.

Ketua Penerangan Umn Tan Sri Muhammad Muhamad Taib menegaskan bahawa UMNO bukan parti chauvinis yang hanya memperjuangkan kepentingan orang Melayu sebaliknya bersikap adil kepada semua kaum.

“UMNO memberi tempat kepada semua, ia bukannya satu parti chauvinis yang hanya memperjuangkan nasib satu kaum, jadi mesti dilihat sebagai satu parti yang relevan pada semua masa dan semua kaum,” katanya.

Katanya UMNO berjaya menukarkan lanskap pembangunan negara di samping menyumbang kepada kemajuan bandar dan luar bandar serta pendidikan di samping bekerjasama dengan semua kaum menerusi parti-parti komponen Barisan Nasional.

Anggota Majlis Tertinggi Senator Datuk Dr Norraesah Mohamad berkata ucapan Perdana Menteri hari ini mengingatkan anggota UMNO supaya mengimbau kembali perjuangan UMNO yang menjayakan segala pembangunan untuk negara ini.

“Walaupun ia merupakan parti Melayu tetapi tidak penah lupa parti komponen lain dalam Barisan Nasional,” katanya.

Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon berkata ucapan Abdullah mengingatkan anggota UMNO dan BN bahawa perjuangan menghadapi krisis kenaikan harga minyak dan kekurangan bekalan makanan dunia adalah perjuangan bersama parti komponen BN.

“BN akan terus berjuang bersama dan menangani segala krisis dan cabaran yang dihadapi rakyat,” katanya.

Koh berkata Perdana Menteri mengingatkan semua pihak dan parti komponen BN supaya berkerja keras untuk memulihkan keyakinan rakyat terutama generasi muda dan memperjuangkan nasib semua kaum di negara ini.

— BERNAMA

Read More...

Asal jadi semasa sidang Dewan Rakyat kali ini

Agenda Daily



Asal jadi semasa sidang Dewan Rakyat kali ini

TERBARU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan sudah mendapat jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mencukupi untuk menyertai pakatan pembangkang tetap meletakkan harapan ‘penghijrahan’ tersebut akan berlangsung pada sesi sidang Dewan Rakyat yang akan berakhir pada 27 Mei depan.

Sumber PKR memberitahu, segalanya hanya bergantung kepada soal masa dan jika jumlah yang ‘berhijrah’ itu tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan yang baru sekali pun ia tetap akan dilaksanakan.

Difahamkan, bagi PKR ‘penghijrahan’ itu mesti berlaku tanpa mengambil kira jumlah yang terlibat kerana ia akan menjadi kemenangan moral dan mengesahkan bahawa mereka memang mempunyai sokongan daripada Ahli Parlimen BN untuk bersama-sama dengan pakatan pembangkang.

Bagaimanapun sumber lain menyebut, soal penghijrahan Ahli Parlimen BN untuk menyertai pakatan pembangkang masih mempunyai halangan yang besar iaitu “apa pendirian PAS” sebagai sekutu politiknya.

Ini berikutan kenyataan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak bersetuju dengan perbuatan melompat parti.

Malah Nik Abdul Aziz menyifatkan wakil rakyat yang bertindak demikian bukan lagi ‘manusia’.

‘‘Lompat parti ini bukan kerja orang politik tetapi kerja orang yang makan upah. Sebab masa kita hendak menang jadi wakil rakyat... mengundi bukan main lagi tetapi lepas itu, dia main-main lompat.

‘‘Bukan manusia kalau boleh jual beli undi. Orang itu tak reti dosa pahala kalau dia reti dia tak lompat, orang yang faham tak buat macam itu,” katanya pada 22 Mac lalu di Kota Bharu.

Malah dalam Lujnah Politik PAS sendiri, hanya beberapa orang sahaja yang condong untuk menyokong tindakan PKR Itu manakala majoritinya tetatp berpendirian sama dengan Nik Abdul Aziz. - 11/5/2008


----------------------------

Saya tiada keinginan

Ahli Parlimen Arau, Datuk Ismail Kassim yang turut disebut-sebut sebagai salah seorang Ahli Parlimen BN yang akan 'melompat' menyertai pakatan pembangkang petang Ahad menegaskan, beliau tidak punya keinginan untuk berbuat demikian.

Katanya, tidak ada sebarang perundingan atau perjumpaaan yang melibatkan dirinya berhubung dengan perkara itu.

"Ini cuma khabar angin," katanya.

Malah beliau menambah, jika diikutkan cakap-cakap, ramai lagi Ahli Parlimen BN yang disebut-sebut akan menyertai pembangkang.

Selain itu jelasnya, jika ada pun mereka terserempak ia tidak harus ditafsir sebagai adanya rundingan.

Nama beliau dikaitkan akan melompat kerana kononnya beliau tidak berpuashati dengan kepiminan BN yang tidak melantik semula abangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Besar Perlis - 11/5/2008

-------------------------

Musa Aman kata mengarut, jangan percaya

"Mengarut dan jangan percaya" itulah reaksi Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman apabila dilontarkan pertanyaan berhubung dakwaan seramai 14 Ahli parlimen Barisan Nasional (BN) khususnya dari Sabah akan menyertai pakatan pembangkang.

Menurut beliau, cerita-cerita yang menyatakan akan adanya Ahli parlimen BN melompart parti meninggalkan BN hanyalah khabar angin.

“Itu rumours … keadaan terkawal … jangan percaya,” katanya semasa ditemui Agenda Daily selepas majlis sambutan ulantahun ke-62 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari Ahad.

Sementara itu Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika ditanya mengenai perkara yang sama berkata, beliau tidak nampak sebarang petanda bahawa perkara itu akan berlaku.

Malah katanya, jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu membentuk kerajaan dengan cara mengajak Ahli Parlimen BN menyertai mereka, ia adalah sesuatu tindakan yang bertentangan dengan apa yang dilaungkan oleh parti itu sendiri.

Kononnya PKR kata beliau, wujud atas kekuatan moral tetapi jika mereka ingin berkuasa dengan cara begini, ia adalah sesuatu yang tidak bermoral.

Beliau juga menyifatkan cerita mengenai adanya yang mungkin melompat parti ini hanya banyak dibicarakan oleh PKR sedangkan PAS dan DAP sendiri tidak menyatakan pendirian mereka kerana yang jelas kedua-dua parti pembangknag itu tidak bersetuju dengan mainan politik tidak bermoral tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Agenda Daily yang menemui beberapa pemimpin UMNO dapat membuat kesimpulan bahawa tiada siapa yang menafikan laporan akan berlakunya kegiatan melompat parti. Namun mereka semuanya menzahirkan keyakinan ia tidak akan berlaku.

Malah Agenda Daily juga difahamkan usaha-usaha sedang giat dijalankan untuk memastikan Ahli-Ahli Parlimen BN yang dikatakan sudah 'dirundingi' oleh pihak-pihak tertentu agar mereka terus bersama BN. - 11/5/2008


--------------------

Berita sebelum ini... Awasi hari Rabu

GEMPAR: Seramai 17 Ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan hampir pasti akan menyertai pakatan pembangkang, Rabu ini.

Menurut sumber yang rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang layak dipercayai, perkara itu bukan lagi perang saraf Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu sebaliknya satu perkara akan menjadi kenyataan.

Malah menurut sumber itu, seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur yang bergelar Tan Sri dikatakan terlibat di dalam urusan antara Anwar dan para Ahli Parlimen yang berkenaan.

Sumber itu berkata majoriti dariapda 17 Ahli Parlimen BN yang akan menyertai pakatan pembangkang adalah dari Sabah.

Selain itu beberapa orang antaranya adalah dari semenanjung.

Sebelum ini beberapa maklumat yang diperolehi mengatakan Anwar telah mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen BN termasuk seorang Presiden sebuah parti komponen BN Sabah semasa berada di Hong Kong baru-baru ini.

Anwar juga sebelum ini dilaporkan memberikan bayangan bahawa pakatan pembangkang akan membentuk kerajaan yang baru paling lewat 16 September depan bersempena dengan hari penubuhan Malaysia.

Anwar sejak pilihan raya umum lalu telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan berhubung adanya Ahli parlimen BN yang telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyertai beliau membentuk kerajaan baru.

Dakwaan yang dibuatnya itu menjadi bualan yang akhirnya mula dikhuatiri akan menjadi kenyataan ekoran prestasi BN yang buruk selepas pilihan raya umum ke-12 yang menyaksikan BN kehilangan majoriti dua pertiga. – 10/4/2008

Read More...

‘Jejak-jejak Wang Ehsan’ – Pendedahan Akhbar The Edge Daily

Buletin Online


PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Wartawan Buletin Online
Sunday, 11 May 2008

The image “http://buletinonline.net/images/berita4/covertheedge.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.Minggu lalu, akhbar the Edge mengeluarkan berita berkaitan Mad Said, Menteri Besar Terengganu menolak dua kertas cadangan projek yang tidak diundang.

Pada keluaran 5 Mei lalu pula, The Edge Daily mendedahkan secara terperinci berkenaan Wang Ehsan/ Dan Khas dan tuntutan royalti petroleum dengan tajuk muka depan ‘The Wang Ehsan Money Trail’

Dalam versi cetaknya, Dato’ Mad Said Menteri Besar Terengganu menghiasi muka depan ‘cover page’, sebagai berita utama berikutan para wartawan The Edge telah mengadakan temuabual eksklusif dengan beliau bagi mendapat liputan sebenar keatas usaha MB Terengganu itu menuntut kembali royalti minyak dari kerajaan Persekutuan.

Akhbar the Edge dalam artikel muka depan yang lain bertajuk ‘Terengganu – the poor rich state’ telah mengulas tentang kekayaan negeri Terengganu yang dikatakan sebagai negeri yang paling diberkati oleh kerajaan persekutuan kerana mendapat bayaran royalti lebih dari RM 1 bilion setahun.

Secara sinis, akhbar tersebut membuat perbandingan diantara bajet kewangan tahunan negeri Terengganu dan bajet negeri Selangor.

Bajet Terengganu untuk tahun 2008 bernilai 1.67 bilion, manakala bajet Selangor untuk tahun yang sama hanyalah RM 1.3 bilion.

Dengan bajet yang kurang dari Terengganu, ia adalah bersesuaian dengan Selangor yang dikenali sebagai sebuah negeri yang paling maju dan mempunyai penduduk lima kali ganda daripada Terengganu.

The image “http://buletinonline.net/images/berita4/madsaitheedge.jpg” cannot be displayed, because it contains errors. Terengganu mempunyai penduduk hanya lebih sedikit daripada sejuta orang, dan sehingga kini masih tergolong dalam kategori antara negeri-negeri termiskin di Malaysia.


Artikel akhbar The Edge juga mendedahkan Mad Said berkata, walaupun beliau menjadi Exco pada zaman Idris menjadi Menteri Besar pada sesi yang lalu, beliau tidak tahu menahu berapakah sebenarnya perbelanjaan yang digunakan untuk membiayai Monsoon Cup dan juga Taman Tamadun Islam.

Menurut Mad Said pada setiap tahun semasa ucapan bajet tahunan dibentangkan, dicatatkan angka-angka perbelanjaan Monsoon Cup tetapi Idris tidak pernah menhuraikan dari mana datangnya sumber pembiayaan keatas penganjuran perlumbaan perahu layar tersebut.

Sehubungan dengan itu, dalam artikel yang sama, akhbar The Edge juga menemubual Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Mustafa Ali bagi mengupas lanjut berkaitan tuntutan yang telah dibuat oleh kerajaan PAS terhadap royalti minyak melalui mahkamah pada tahun 2001.

Menurut The Edge, Dato’ Mustafa Ali berkata setelah royalti di tukar kepada wang ehsan pada tahun 2000, wang tersebut telah disalurkan melalui koordinator yang dilantik oleh UMNO. Sebanyak RM 40 juta wang royalti disalurkan atas nama wang ehsan, yang tidak melalui kerajaan pada masa itu.

Buletin Online difahamkan, wang bernilai RM 40 juta itu tidak diaudit dan tidak ada sebarang laporan yang dikemukakan secara terperinci berkaitan perbelanjaan wang ehsan tersebut. Berkait perkara yang sama,

ia berlaku keatas perbelanjaan yang disalurkan keatas penganjuran Monsoon Cup, sebagaimana yang dicatatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Read More...

Polis ambil keterangan Karpal Singh

PULAU PINANG 10 Mei - Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini memberi keterangan selama dua jam kepada dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut berhubung dua laporan polis yang dibuat di Pasir Mas, Kelantan dan Ipoh, Perak.

Laporan polis yang dibuat di Pasir Mas pada 25 April lalu adalah berhubung kenyataannya bahawa ucapan Tengku Mahkota Kelantan telah menghina kaum bukan Melayu dan boleh dikira sebagai hasutan.

Sementara laporan polis yang dibuat di Ipoh pada 5 Mei lalu pula adalah mengenai kenyataannya bahawa Sultan Perak tidak mempunyai bidang kuasa terhadap pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.

Dua anggota polis yang terdiri daripada Asisten Supritendan Sidanbaram dan Asisten Supritendan Azri Akmar Ayob tiba di pejabatnya di Jalan Green Hall di sini pada pukul 11.30 pagi dan difahamkan Karpal diambil keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor mempertahankan kenyataannya bahawa kerajaan negeri Perak mempunyai hak untuk menukar Pengarah JAIP, manakala sultan tidak ada kuasa dan tidak sepatutnya campur tangan.

Jelasnya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan mengenai kenyataan itu, justeru terpulang kepada Peguam Negara (AG) untuk membuat keputusan.

Akhbar hari ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Peguam Negara bertindak segera berhubung kes itu.

Mengulas mengenai kenyataan itu, Karpal berkata, kenyataan berkenaan boleh mempengaruhi AG sedangkan Perdana Menteri sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan Peguam Negara sebelum membuat apa-apa kenyataan.

''Saya hanya boleh dihukum jika didapati bersalah oleh mahkamah, Perdana Menteri tidak boleh keluar kenyataan itu kerana ia menunjukkan bahawa di dalam fikiran beliau telah ada hukuman terhadap saya.

"Beliau sepatutnya berbincang dengan AG sebelum membuat apa-apa kenyataan kerana orang ramai telah pun menganggap saya telah bersalah, jadi sekarang mereka hanya tunggu hukuman sahaja," katanya.

Justeru, Karpal meminta Perdana Menteri menjelaskan mengenai kenyataannya itu dan beliau juga bercadang untuk membangkitkan perkara itu di Parlimen, Isnin ini.

Read More...

Khairy: Mansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan

Malaysiakini

May 10, 08 8:25pm

Timbalan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa supaya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dimansuhkan.

Sehubungan itu, katanya, terdapat keperluan untuk menubuhkan sebuah badan kawal selia bebas seperti majlis akhbar bagi menggubal sebuah mekansime untuk memansuhkan akta tersebut.

khairy jamaluddinBerucap pada forum Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) bertajuk "Kebebasan Akhbar: Pilihan Raya Umum 2008" sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia di Kuala Lumpur hari ini, Khairy berkata, media arus perdana perlu melakukan pembaharuan.

Jika gagal berbuat demikian, katanya, maka adalah sukar untuk menghadapi saingan dari segi nilai berita mengikut keadaan semasa, demikian menurut laporan Bernama.

Ahli parlimen Rembau itu berkata wujud tahap keterbukaan sejak empat tahun kebelakangan ini tetapi ia tidak disusuli dengan pembaharuan perundangan dan
birokrasi.

"Saya berpendapat jika kerajaan bersedia untuk memberi ruang tersebut tanpa pembaharuan undang-undang maka kita mungkin menyelesaikan menerusi sebuah badan kawal selia bebas, menawarkan latihan yang lebih baik dan melupuskan halangan
birokrasi," katanya.

Khairy berkata beliau berharap pengamal media dapat menerajui dalam penubuhan sebuah badan kawal selia bebas dan ia mungkin dalam bentuk suruhanjaya aduan akhbar.

"Pada ketika pembaharuan merupakan istilah masa kini, apa yang saya ingin sekali cadangkan supaya media bergerak ke arah kawal selia secara bebas," katanya sambil mengakui ia merupakan cadangan peribadinya dan bukan parti atau kerajaan.

Mansuh syarat pembaharuan


"Tanpa pembaharuan, media arus perdana mungkin tidak dapat banteras krisis kebolehpercayaan yang kita saksikan hari ini. Tanpa pembaharuan seperti ini, kebenaran menjadi kabur manakala sentimen dan sindiran menjadi penguasaan," katanta.

Badan kawal selia bebas boleh dimulakan dengan menggalakkan menteri dalam negeri memansuhkan syarat pembaharuan lesen tahunan seperti diumumkan sebelum ini, katanya.

Kemudian, katanya, media - kedua-dua media arus perdana dan dalam talian - harus memperkukuhkan keupayaan mengadakan inisiatif bagi memastikan amalan terbaik dalam menjana laporan menerusi latihan keras sebelum melangkah ke fasa terbaru dan mengadakan eksperimen.

Khairy berkata banyak usaha perlu diselami dalam bentuk standard kewartawan dan etika yang harus diharapkan selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

"Kita tidak perlu khuatir dengan bentuk baru dunia kewartawanan tetapi harus membantu memperkukuhkannya supaya rakyat Malaysia akan mendapat manfaat dari bahan berita yang boleh dipercayai dari media arus perdana dan bentuk media lain.

"Saya mungkin nampak seperti melampaui batasan parti. Mungkin jugak tetapi saya mempunyai pandangan peribadi untuk mempercayai kepada pembaharuan-pembaharuan ini," katanya.

Forum anjuran NUJ itu dikendalikan oleh Ketua Jabatan Kajian Media, Universiti Malaya, Prof Dr Azizah Hamzah.

Ahli penal forum tersebut terdiri daripada Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua, Timbalan Editor Laporan Khas dan Penyiasatan akhbar The Sun, R. Nadeswaran, Editor Agenda Daily Hanafiah Man dan penulis blog Ahiruddin Atan.

Read More...

Krisis bekalan makanan, al-Quran telah beri peringatan

Harakahdaily

Azamin Amin

Thu | May 08, 08 | 9:30:06 am MYT

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Hrkh) - Umat Islam telah dibimbing dan diasuh untuk sentiasa tenang dalam apa jua rintangan dan dugaaan yang menimpa seperti kenaikan bahan bakar, barang keperluan khususnya melibatkan krisis kekurangan bekalan makanan bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Al-Quran telah memberi peringatan daan pengajaran kepada umat manusia termasuk yang beragama Islam dan berikutan adalah beberapa ayat daripada kitab suci yang boleh dijadikan sandaran, pegangan dan rujukan supaya umat Islam tidak mudah panik dan bersedia menghadapi segala rencam kehidupan.

Surah al-Baqarah dalam ayat 155 mengajak manusia untuk memahami ketentuan Tuhan yang sentiasa menguji keimanan seseoarang atas sesuatu yang menimpa:

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."

Ayat 156 dalam surah yang sama pula mengajar manusia agar sentiasa bersabar dengan segala musibah hatta ujian yang menimpa kerana kesabaran adalah titik tolak kepada kemenangan atas segala permasalahan.

Al-Baqarah- ayat 156:"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali".

Dalam pada itu Surah Yusuf ayat 46, 47 dan 48 menceritakan tentang sebuah kerajaan mahupun seorang manusia agar sentiasa beringat dan berjimat-cermat serta bersedia dengan segala persiapan untuk menghadapi sebarang bencaa supaya tidak 'huru-hara' di saat akhir atau tahkala ditimpa bencana.

"Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): 'Yusuf, wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Ta`birkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering (ta`birkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui ta`birnya."

"Yusuf menjawab: 'Hendaklah kamu menanam bersungguh- sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan."(Surah yusuf 47)

"Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit,yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan.(Surah yusuf 48)

Apa juga yang berlaku di dunia yang melibatkan kekurangan bekalan makanan merupakan satu ketentuan yang telah ditetapkan oleh Tuhan dan ini dikisahkan supaya rakyat dan seluruh umat dunia tidak alpa dan lupa diri di atas kesenangan yang dikurniakan oleh Allah SWT selama ini dan dinyatakan dalam surah al-Hadid ayat 22 dan 23.

"Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." (al-hadid ayat 22)

"(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri."(surah al-hadid ayat 23)

Walaupun ujian demi ujian yang menimpa umat Islam mahupun seluruh manusia di dunia ini namun sekiranya sentiasa merayu dan memohon pertologan kepada Tuhan yang Maha Esa di samping berusaha sebaik mungkin maka segala rintangan dan kepayahan akan dapat dirasai malah akan menemui kejayaan di kemudian hari sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak.

Ia jelas dinyatakan dalam surah al-Insyirah ayat 5 dan 6 yang bermaksud:

"Karena sesungguhnya bersama setiap kesulitan ada kemudahan."

"Sesungguhnya bersama setiap kesulitan ada kemudahan."

Justeru umat Islam bersabarlah atas dugaan yang menimpa dan atasilah dengan berusaha dan bertawakkal kepada yang Esa dan jadikaanlah al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.

Read More...

Kerajaan boleh tersungkur jika tidak tangani krisis inflasi dan makanan: PM

Mstar Online

11-05-2008 05:03:01 PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran bahawa sesebuah kerajaan boleh tersungkur sekiranya gagal menangani krisis makanan dan inflasi yang dihadapi di kebanyakan negara sekarang.

Menyedari perkara itu dan untuk menggelakkan rakyat daripada dilanda kesusahan, Perdana Menteri berkata kerajaan mengeluarkan peruntukan segera bernilai berbilion Ringgit untuk memastikan krisis berkenaan tidak menjejaskan rakyat Malaysia.

"Kita perlu ambil tindakan cepat untuk memberi kesan postif kepada rakyat. Mungkin tuantuan tak nak dengar tetapi saya terpaksa cerita juga," katanya semasa menyampaikan amanat Presiden Umno semasa sambutan ulang tahun ke-62 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, berkata peruntukan besar itu sebenarnya tiada dalam perancangan awal kerajaan menyebabkan beliau terpaksa mencari dan mengambil peruntukan daripada sektor lain untuk menjamin kebajikan rakyat negara ini dan sekaligus membendung sebarang keadaan krisis makanan dan inflasi yang mungkin berlaku.

Beliau berkata sekiranya krisis itu tidak ditangani dengan bijak, ia akan turut memberi kesan kepada usaha Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mendapat sokongan padu rakyat.

"Mahu tak mahu kerajaan terpaksa menubuhkan jawatankuasa inflasi supaya (negara) tak tersungkur kerana sekarang berlaku krisis barangan makanan berikutan faktor cuaca," katanya.

Perdana Menteri berkata pada waktu sama kerajaan juga menanggung peningkatan jumlah subsidi minyak dan gas daripada RM35 bilion kepada RM45 bilion setahun.

"Ini satu kenyataan bukan satu alasan. Kita ambil tanggungjawab menghadapinya (semata-mata) semuanya untuk rakyat," katanya. BERNAMA

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |