+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, April 15, 2009

K'jaan S'gor kekalkan jawatan Eli

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Apr 15, 09 1:55pm

Kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk mengekalkan jawatan Elizabeth Wong sebagai exco kerajaan negeri dan ADUN Bukit Lanjan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, jika beliau menerima tawaran itu, Elizabeth diminta kembali daripada cuti dan meneruskan perkhidmatannya mulai esok.

Katanya, keputusan itu wajar dan adil setelah mengambil pandangan semua pihak dan siasatan polis berhubung kes berkenaan yang juga gagal membuat keputusan yang muktamad.

elizabeth wong and bukit lanjan selangorElizabeth menawarkan diri untuk meletakkan jawatan exco pelancongan, pengguna dan alam sekitar Selangor dan ADUN Bukit Lanjan pada 17 Februari lalu ekoran tersebarnya gambar separuh bogelnya kepada umum.

Khalid juga mengucapkan terima kasih kepada Sultan Selangor kerana membuat keputusan tidak campur tangan dalam politik dan memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas dibincangkan dalam mesyuarat exco pagi ini.

Katanya, Pakatan Rakyat memandang serius isu moral dan isu peribadi.

Sehubungan itu, katanya, Pakatan akan memastikan kepimpinannya menjunjung prinsip itu.

"Jika ada bukti-bukti kukuh, kita tidak akan beragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Namun demikian pendirian ini juga harus diimbangi dengan prinsip menghormati hak peribadi seseoarang.

"Dan kerajaan negeri amat serius mempertahankan hak ini," katanya dalam sidang akhbar di pejabat hari ini.

Khalid berkata, beliau telah memaklumkan kepada Sultan Selangor pagi tadi mengenai keputusan kerajaan negeri untuk mengekalkan jawatan Elizabeth sebagai exco negeri dan ADUN Bukit Lanjan.

Beliau juga ditanya sama ada Elizabeth ada memberi tanda-tanda akan menerima tawaran tersebut.

"Beliau perlu menerima tawaran tersebut sebelum esok," kata Khalid sambil menambah: "Anda datanglah esok".

Ditanya sama ada ianya keputusan exco kerajaan negeri atau PKR negeri, Khalid menegaskan bahawa ia adalah keputusan kerajaan negeri.

Ditanya sama ada keputusan ini bermakna kerajaan negeri tidak menganggapnya sebagai satu isu moral, Khalid berkata: "Iya, isu moral, tetapi tidak ada kenyataan yang paling sahih. Seseorang itu dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan."

Ditanya mengapa keputusan ini berbeza dengan kes yang berlaku di Pulau Pinang yang membabitkan ADUN PKR penanti, Mohammad Fairus Khairuddin yang meletak jawatan walaupun masih dalam siasatan.

Khalid berkata perkara itu berbeza kerana Fairus meletakkan jawatan secara sukarela.

"Elizabeth juga turut menawarkan diri untuk meletak jawatan, jadi kita melihatnya sebagai mangsa dan menawarkan (jawatannya) kembali," katanya.

Sementara itu, Elizabeth pula akan mengeluarkan kenyataan sama ada beliau menerima atau tidak tawaran tersebut.

Read More...

Simpan emas lebih untung

Berita Harian

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@nstp.com.my




Etika Emas tawar skim simpanan emas yang menjanjikan pulangan tunai setiap bulan

MEMBELI emas untuk penyimpanan kedengaran sedikit janggal kerana ramai beranggapan logam kuning keemasan itu lebih terserlah kemewahan dan ketinggian mutunya apabila dipamerkan sebagai perhiasan diri.

Bagaimanapun, kemelut ekonomi yang melanda dunia menyebabkan ramai mula sedar mengenai kepentingan membeli emas untuk dijadikan aset pelaburan.

Pemangkin terhadap minat serta trend yang semakin berkembang itu adalah fungsi komoditi itu sebagai penyimpan nilai kalis inflasi dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan ekonomi global yang sedang melanda ekonomi dunia ketika ini.

Mengapa melabur emas? Jawapannya sangat mudah. Melabur emas bukan sekadar mendapatkan keuntungan ke atas modal tapi juga melindungi nilai aset daripada inflasi dan deflasi.

Presiden Etika Emas Estet Berhad, Mohd Amin Supian, berkata emas adalah logam berharga yang sentiasa disebut di dalam Tamadun Islam dan peradaban dunia.



Perkataan emas atau 'gold' berasal daripada perkataan Indo-Eropah iaitu kuning yang merujuk kepada logam yang menonjol sifatnya.

"Seistimewa rupa dan nilainya, emas juga bersifat kekal. Selain melambangkan ketulenan, bernilai tinggi, kedaulatan dan simbol status, emas juga menjadi lambang kemewahan kepada individu atau sesebuah negara yang memilikinya," katanya.

Pada 2003, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed pernah melihat kebaikan dinar emas sebagai mata wang seragam dan tetap nilai seperti diperkenalkan ketika zaman Rasulullah SAW.

"Sayangnya ketika itu idea Tun Dr Mahathir agak sukar untuk diterima, dipandang remeh serta dilihat sebagai saingan dan seakan hendak meniru euro dolar Eropah," katanya.

MOHD AMIN menunjukkan jonkong emas pelbagai saiz yang dijual untuk skim pelaburan di Etika Emas.

Bertitik tolak daripada kesedaran mengenai kepentingan menyimpan emas, Mohd Amin dan kumpulannya mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti membeli dan menjual emas fizikal 24 karat dengan kualiti 999.9 atau 99.9% tulen.

Sebagai jaminan, setiap pelanggan yang membeli dan menyimpan emas di Etika Emas ditawarkan emas fizikal iaitu emas sebenar yang boleh dilihat, dipegang dan disimpan sebelum dicagarkan di skim Ar-Rahnu ditawarkan Bank Rakyat.

Selain itu, Etika Emas yang ditubuhkan dua tahun lalu itu juga turut menawarkan khidmat perundingan kepada pelanggan mengenai cara mengurus aset emas dengan bijak selain koperasi bagi menguruskan sendiri skim pajak gadai emas berlandaskan Syariah atau Ar-Rahnu dengan kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Kata Mohd Amin, selepas mengetahui kehebatan penyimpanan emas, dia melakukan banyak penyelidikan dan pembacaan malah turut berkongsi pengetahuan mengenai penyimpanan emas daripada rakan-rakan yang sudah lama membeli dan menyimpan emas fizikal sebagai pelaburan.

"Perbezaan antara menyimpan emas fizikal dan emas yang sudah siap diproses (barang kemas, syiling emas) adalah dari sudut keuntungan kerana pembelian jongkong emas membolehkan kita mendapat keuntungan bersih.

"Emas yang dibeli dalam bentuk barangan kemas atau syiling emas dijual pada kadar 40 peratus tinggi daripada jongkong emas iaitu membabitkan kos buruh. Justeru, jika anda berminat untuk menyimpan emas, jongkong emas lebih digalakkan kerana untung bersih yang dimiliki jika ia dijual lebih tinggi," katanya.

Seperti dikatakan Mohd Amin, menyimpan jongkong emas sebagai aset pelaburan juga menggunakan kaedah yang sama seperti jual beli saham dan jual beli mata wang (tidak dibenarkan Bank Negara Malaysia).

Katanya, pemilik emas mempunyai pilihan sama ada menyimpan sendiri emas milik mereka atau menyimpannya di peti simpanan bank. Jika mereka inginkan wang di saat memerlukan, simpanan emas fizikal berkenaan boleh dijual tapi nilainya akan susut antara 15 hingga 30 peratus daripada harga pasaran.

"Sebagai alternatif, mereka boleh mendapatkan pinjaman atau modal pusingan pada kadar 50 hingga 65 peratus dengan mencagarkan emas yang dimiliki di pajak gadai konvensional atau pajak gadai Islam, Ar-Rahnu.

"Emas yang dicagar boleh ditebus atau diambil kembali dengan menunjukkan surat pajakan, kad pengenalan, membayar jumlah prinsipal pinjaman dan upah simpan (Ar-Rahnu) atau faedah (pajak gadai konvensional)," katanya.

Bagaimanapun, bagi melunaskan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai seorang Muslim, Mohd Amin menyimpan impian menjadikan penubuhan Etika Emas sebagai sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada orang ramai dan umat Islam khususnya.

"Koperasi Etika Emas ditubuhkan bagi membantu orang ramai mendapatkan manfaat daripada program simpanan dan pembelian emas yang dijalankan, seterusnya kita ingin melihat pajak gadai Islam Ar-Rahnu dibuka di seluruh negara.

"Etika Emas juga ingin melihat pemilikan emas di kalangan golongan muda kerana kami sedar pemilikan emas walaupun di dalam jumlah yang sedikit sebenarnya dapat membantu perkembangan tamadun dan ummah melalui kadar zakat 2.5 peratus setahun yang dikenakan," katanya.

Katanya, nilai emas yang tidak menyusut menyebabkan simpanan jongkong emas mendatangkan keuntungan terutama ketika gelora ekonomi melanda dan Mohd Amin juga menyarankan orang ramai supaya membuat simpanan emas fizikal sebagai jaminan masa depan.

"Nilai emas tidak menyusut tapi jika anda perhatikan nilai mata wang mudah mengalami kejatuhan. Tidak keterlaluan dikatakan, di saat negara bergolak mata wang tidak menjanjikan jaminan kesenangan atau pengaruh.

"Jadikan sayap juruterbang yang diperbuat daripada emas sebagai contoh, jika mereka terhempas dan masih selamat, pin emas itu akan menjadi penyelamat kerana nilai emas dijamin nilainya walau di kalangan Orang Asli," katanya.

Selepas dua tahun ditubuhkan, Etika Emas kini berbangga kerana mempunyai 2,600 pelanggan yang membeli dan menyimpan emas fizikal melalui program ditawarkan dan 600,000 keping dinar emas terjual dengan jumlah simpanan emas fizikal sebanyak 1.6 tan.

"Tahun ini kami mensasarkan lebih ramai penyimpan emas termasuk perseorangan daripada luar negara dengan pertambahan simpanan emas lebih daripada 45 tan. Tapi kami akan pastikan simpanan emas dibuat di dalam negara bertujuan untuk meningkatkan simpanan emas di dalam negara," katanya.

Berbeza antara pembelian emas dari Etika Emas dan kedai emas biasa adalah setiap hadiah (pengurangan harga) diberikan di dalam bentuk tunai setiap bulan iaitu pada kadar 30 peratus daripada 100 gram emas yang dibeli selama enam bulan.

"Selain program pembelian satu jongkong emas, kami juga menawarkan program dua iaitu beli satu dan dipinjamkan satu jongkong daripada Etika Emas ke dalam akaun simpanan untuk menggalakkan mereka membuat tambahan simpanan emas apabila tempoh gadaian pertama tamat.

"Tapi jika harga emas dunia meningkat, mereka boleh membuat pilihan sama ada hendak menjual atau terus menyimpan jongkong emas yang dimiliki bergantung kepada keperluan," katanya.

Info

  • Jongkong emas dijual Etika Emas adalah di dalam kiraan berat 20 kg, 50 kg, 100 kg, 500 kg, 1 kg dan paling berat adalah 12.5 kg.

  • Nilai berat setiap jongkong berkenaan dibuat berdasarkan harga pasaran antarabangsa dan boleh di rujuk melalui laman web www.kitco.com atau www.wgc.com.

  • Pasaran London menawarkan penjualan segera dan penjualan akan datang untuk emas. Ia ditetapkan oleh Geng Lima yang mewakili pengedar emas serta bank terpengaruh dunia. Geng Lima terdiri daripada ketuanya, N M Rothschild, Societte General, Hongkong Shanghai Bank (HSBC), Scotia Mocatta dan Deutsche Bank.

  • Nilai jual Kijang emas yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (31 Disember 2008) adalah RM3,200 untuk berat 31.10 g (1oz), RM1,630 (15.55 g) dan RM830 (7.775 g).

  • Pelaburan emas terbahagi kepada empat iaitu pelaburan barang kemas, syiling emas, jongkong emas dan dinar emas.


    Fakta

  • Ahli kimia tidak pernah berjaya menghasilkan emas tiruan kerana sifat logam berkenaan sukar ditiru.

  • Sifat emas tulen adalah lembut paling boleh ditempa dan dibentuk.

  • Emas asli boleh disahkan tulen melalui dua cara mudah iaitu apabila digigit, ia meninggalkan kesan lekuk gigi, kedua apabila dibakar atau dicairkan, ia tidak berubah warna.
  • Read More...

    Idris: MB 'jangan takut bayang-bayang sendiri'

    Malaysiakini

    Apr 15, 09 9:57am

    Bekas menteri besar Terengganu menggesa penggantinya Datuk Ahmad Said agar tidak paranoid sehingga terfikir ada usaha menjatuhkannya melalui usul undi tidak percaya.

    "Cuma, saya ingin beritahu, jangan ada pihak yang paranoid... takut bayang-bayang sendiri.

    "Kalau tiada (usul undi tidak percaya), tiadalah," Datuk Seri Idris Jusoh dipetik berkata di luar sidang DUN hari ini.

    Beliau bersama sembilan lagi ADUN Barisan Nasional negeri itu hadir semula pada hari terakhir persidangan dewan selepas memulaukan DUN semalam susulan mesej ugutan terhadap tiga rakannya.

    Idris, juga ADUN Jerteh, berkata mereka mengambil tindakan semalam kerana bimbang dengan keselamatan masing-masing, di samping bersimpati mereka yang diugut, lapor Bernama.

    Tiga ADUN tersebut awal pagi semalam membuat aduan polis apabila menerima mesej SMS berbunyi: "baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?".

    Ugutan tersebut, didakwa daripada seorang pegawai kanan kerajaan negeri, dipercayai berkaitan dengan ura-ura membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad.

    ahmad said and terengganuIdris terpaksa melepaskan jawatan menteri besar selepas istana tidak memperkenan pelantikannya bagi penggal kedua pada Mac tahun lalu dan digantikan dengan Ahmad.

    Krisis terbaru di negeri tersebut dipercayai warisan pergolakan tahun lepas yang menyaksikan ketegangan antara dua kem BN selama beberapa minggu.

    Mereka yang menerima ugutan tersebut - Datuk Rosol Wahid (Ajil), Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) - bersama Idris tampil pada sesi persidangan pagi yang dilaporkan berjalan lancar.

    Turut hadir: Muhammad Ramli Noh (Tepoh), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Alias Abdullah (Alor Limbat), Ramlan Ali (Jabi), dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).

    Kesemua 10 ADUN itu bertindak sedemikian selepas menerima arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

    Lapan ADUN pembangkang, semuanya PAS, turut hadir bersama 13 wakil rakyat BN dan barisan 10 exco negeri bawah pimpinan Ahmad.

    Menurut laporan agensi berita itu lagi, Rosol berkata beliau sudah mengemukakan laporan kepada Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pihak Istana Terengganu berhubung perkara itu.

    Beliau juga berharap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang menghantar SMS ugutan itu kerana ia dianggap serius.

    "Alhamdulillah, semua hadir. Cuma saya berasa pelik kerana yang menghantar SMS ini adalah pegawai kanan kerajaan negeri kepada wakil rakyat kerajaan.

    "Perkara ini tidak pernah berlaku dan polis belum mengambil tindakan terhadap beliau," Rosol dipetik berkata.

    Ahmad pula dilaporkan berkata kesemua ADUN berkenaan "perlu
    bersikap positif dan mengutamakan parti serta rakyat" dengan menghadiri persidangan hari ini.

    "Terima kasih, baguslah. Kalau orang lain boleh mari (datang), tak kan mereka tidak boleh mari. Saya tidak berasa hati (dengan mereka)," katanya.

    Ditanya sama ada beliau takut dengan bayang-bayang sendiri seperti saranan Idris, Ahmad dipetik berkata:

    "Saya tidak pernah takut, dulu pun saya pernah (berdepan) dengan perkara (seumpama ini semasa pelantikannya sebagai menteri besar)."

    Dalam sidang media, Ahmad juga memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Najib mengenai isu terserbut dan akan bertemu timbalan perdana menteri dalam masa terdekat.

    Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata beliau ingin menemui Ahmad untuk mendapat gambaran sebenar mengenai kemelut politik yang melanda kepimpinan BN negeri itu sekarang.

    Ahad lalu, Muhyiddin menerima rombongan ADUN BN negeri itu yang tidak berpuas hati pada menteri besar mereka.

    Read More...

    Mahu jambatan bengkok

    Kosmo Online


    GAMBARAN artis jambatan bengkok atau jambatan indah bagi menggantikan Tambak Johor.


    KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) semalam meminta agar kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak menyambung semula projek jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor yang dibatalkan pada 2006.

    Presidennya, Syed Ali Alattas berkata, rata-rata ahlinya di negeri itu mengadu kerana sejak pembukaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) pada November tahun lalu, perniagaan mereka merosot teruk.

    "Pembatalan jambatan bengkok telah menyebabkan laluan ke dan dari Singapura tidak lagi melalui bandar raya Johor Bahru sebaliknya terus ke CIQ.

    "Johor Bahru sekarang bagaikan bandar mati. Itulah pandangan usahawan khasnya usahawan kecil," katanya ketika ditemui di sini semalam.

    Perundingan dan pelaksanaan pembinaan jambatan bengkok atau 'Jambatan Indah' itu diilhamkan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ia ekoran Singapura yang tidak memberikan keputusan muktamad untuk bekerjasama membina jambatan lurus menggantikan Tambak Johor.

    Bagaimanapun pembinaan jambatan bengkok dibatalkan atas keputusan kerajaan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

    Sementara itu di Johor Bahru, Pergerakan Pemuda UMNO Johor turut berpendapat perlunya kerajaan mengkaji semula projek jambatan bengkok kerana ia mampu merancakkan ekonomi negara, khususnya di Johor.


    Read More...

    Aib juvana remaja

    Berita Harian

    Oleh Nurul Adlina Kamaludin dan Hafizah Iszahanid
    bminggu@bharian.com.my




    Remaja makin bangga, seronok buat jenayah

    MEREKA mencuri, merogol, menjual diri, membunuh selain terbabit pergaduhan dan samseng. Ini bukan profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

    MEREKA sanggup mencuri, merogol, menjual diri serta membunuh selain terbabit dalam pergaduhan dan samseng. Malah ada yang bertindak di luar batasan adab dan pegangan apabila sanggup menjual diri pada harga serendah RM50 setiap pelanggan untuk mendapatkan wang.

    Ini bukanlah profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

    Pelajar yang menjadi harapan sebagai generasi pelapis dan sepatutnya bergelut memperlengkapkan diri menjadi insan serba boleh demi masa depan, sebaliknya mencurah tumpuan dan masa muda berharga dengan melakukan pelbagai jenayah seperti mereka yang bertaraf profesional.

    Atas alasan mahu mendapatkan populariti, meraih wang mudah serta mendapat perhatian rakan sebaya, pelajar berusia 13 hingga 18 tahun ini sudah tidak lagi malu melakukan jenayah.



    Silap jika ada yang beranggapan ini trend semasa bersifat sementara dan hanyalah gelojak jiwa muda remaja yang lebih suka mencuba perkara baru.

    Buktinya, statistik serta kajian pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi tempatan, menunjukkan betapa jenayah pelajar di dalam mahu pun di luar sekolah, bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.

    Ia diakui sendiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, minggu lalu yang memetik statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan anak muda itu.

    Selain peningkatan kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.


    Buktinya, bagi sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka itu meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan.

    Belum pun reda kejutan akibat kenyataan Musa, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh.

    Sambil mengakui trend itu amat membimbangkan, Lee berkata kebanyakan pelajar itu terbabit dalam kes curi motosikal selain kes pecah rumah, mencederakan orang lain dan rogol. Lebih menyedihkan, walaupun kelab pencegahan jenayah sudah dilancarkan di 3,764 sekolah sejak 1994, ia ternyata tidak berjaya membendung kadar peningkatan jenayah di kalangan pelajar.

    Keadaan juga tiada jauh bezanya di sekolah. Hasil kajian Petunjuk Keselamatan dan Jenayah di Sekolah anjuran Universiti Malaya yang diumumkan tahun lalu, menunjukkan empat masalah utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme atau samseng.

    Kajian setahun pada 2006 - 2007 dilakukan Pensyarah Fakulti Pendidikan UM Profesor Madya Dr Tie Fatt Hee, membabitkan 740 responden di kira-kira 12 sekolah di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

    "Kajian awal ini cuma membabitkan pelajar berusia 16 tahun yang disifatkan tahap usia penting sebelum memasuki Tingkatan Lima dan seterusnya menyertai masyarakat. Apa yang boleh dirumuskan, jenayah di sekolah tetap berlaku sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar.

    "Bagi saya, perkembangan ini amat membimbangkan biarpun hakikatnya jenayah di sekolah ini masih dianggap terkawal jika dibandingkan dengan bilangan murid di seluruh negara," kata Dr Tie ketika ditemui, baru-baru ini.

    Lebih membimbangkan, katanya, 46 peratus responden itu mengakui pembelajaran mereka terganggu akibat ancaman jenayah di sekolah yang sekali gus boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

    "Kita perlu ingat, masalah disiplin di sekolah ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba sebaliknya ia membabitkan proses yang berpanjangan. Seperti juga penyakit, ia mempunyai simptom atau petanda awal tertentu yang perlu ditangani seberapa segera.

    "Jika ia dibiarkan melarat, tanpa sebarang tindakan oleh pihak sekolah, jenayah ini boleh melarat melangkaui kawasan sekolah."

    Dr Tie yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan undang-undang, berkata apa yang menyedihkan, majoriti pelajar yang ditemui menerusi kajian itu, mengakui menjadikan kawan atau rakan sebagai rujukan utama dalam sistem sokongan mereka.

    "Di mana peranan ibu bapa dan guru-guru yang sepatutnya di hierarki atas sistem sokongan itu dan menjadi tempat utama pelajar mengadu masalah mereka? Ini jelas menjadi satu kepincangan kerana kita perlu sedari, ada bahayanya apabila pelajar menjadikan rakan sebagai pakar rujuk mereka, terutama jika rakan itu juga bermasalah."

    Sehubungan itu, beliau menegaskan, sudah tiba masanya semua pihak - ibu bapa, sekolah dan masyarakat menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah jenayah di kalangan pelajar ini.

    "Guru yang menyedari pelajar bermasalah perlu segera memaklumkan kepada pihak sekolah bagi tindakan susulan termasuk memanggil ibu bapa dan pihak polis. Ibu bapa pula harus bersikap prihatin apabila dipanggil dan bukannya menuding jari ke arah pihak sekolah.

    "Selain itu, kita juga harus menerapkan kepentingan kaedah pendidikan berkaitan undang-undang yang mana pelajar didedahkan dengan jenayah dan jenis hukuman serta hak mereka," katanya.

    INFO: Masalah juvana

  • 5.4 juta pelajar di seluruh negara

  • Indeks pembabitan pelajar dalam jenayah 0.03 peratus berbanding jumlah keseluruhan

  • Usia pelajar bermasalah 13 - 18 tahun

  • Statistik polis: 2007 - 1,837 kes jenayah dan 3,383 pelajar ditahan; 2008 - Meningkat kepada 2,218 kes dan 3,725 pelajar ditahan.

  • Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia, 48.1 peratus mat rempit berpunca akibat kebosanan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang dan 27.8 peratus dipengaruhi kawan.

  • Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia - Seramai 295 pelajar terbabit dalam pelbagai jenayah sepanjang tempoh dua bulan pertama tahun ini.

  • Kajian Universiti Malaya - masalah disiplin utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme.
  • Read More...

    Rosol: Insiden 'boikot' kemuncak krisis Terengganu

    Mstar Online

    PENUH... Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu kembali penuh hari ini (gambar bawah) berbanding semalam (gambar atas) berikutan kehadiran semula 10 Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. ADUN BN yang tidak menghadiri semalam mendakwa telah menerima ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ancaman berhubung kemelut politik di negeri ini, dua hari lepas. Hari ini adalah hari terakhir persidangan tiga hari yang bermula Isnin lepas. --fotoBERNAMA

    PETALING JAYA: Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang memulaukan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam - dilihat sebahagian daripada kemelut politik Terengganu - menyifatkan perkembangan terbaru itu sebagai "puncak krisis politik" melanda negeri itu.

    Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, mereka telah mengharungi siri masalah sejak Datuk Ahmad Said mengetuai kerajaan negeri sebagai Menteri Besar bermula Mac 2008.

    "Ini adalah puncak kepada banyak masalah (sejak Mac 2008)," kata beliau kepada mStar Online ketika dihubungi pagi tadi.

    Jelas beliau, walaupun pihaknya merupakan ADUN tetapi telah diperlekeh banyak kali sepanjang kepimpinan Ahmad sebagai Menteri Besar.

    Malah katanya, sehingga kini mereka tidak pernah diajak mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar mengenai isu-isu semasa termasuk soal pembangunan.

    "Dulu ketika era, Idris selaku Menteri Besar, beliau akan menemui setiap wakil rakyat sekali dalam sebulan... tetapi tidak di bawah Ahmad.

    "Sehingga kini (sejak 2008), kami sekali pun tidak dapat berjumpa dengan Menteri Besar," katanya.

    ADUN Ajil itu bersama sembilan yang lain termasuk bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Idris Jusoh memulaukan sidang DUN semalam atas alasan menerima SMS ugutan yang boleh mengancam keselamatan mereka.

    SMS itu dipercayai ada kaitan dengan ura-ura usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar akan dibentangkan pada persidangan dewan itu.

    Bagaimanapun kesemua 10 ADUN itu kembali hadiri sidang DUN hari ini sebagaimana diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak semalam.

    Selain Rosol dan Idris, lapan ADUN yang lain ialah Muhammad Ramli Nuh (Tepuh), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).

    Ketika ditanya sama ada kesemua 10 ADUN itu sedia untuk menemui Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri membincangkan isu tersebut, Rosol berkata:

    "Dalam hati saya, kami hendak menemui mereka... mereka pun juga sibuk dengan tanggungjawab baru, tapi saya terbuka untuk menemui mereka," katanya lagi.

    Semalam, Najib berkata, krisis politik di Terengganu bukan sesuatu yang luar biasa sehingga tidak dapat diselesaikan.

    Tindakan kesemua ADUN itu dipercayai mempunyai kaitan dengan SMS berbentuk ugutan yang diterima oleh tiga wakil rakyat BN iaitu Permaisuri, Paka dan Ajil malam kelmarin berhubung kemelut politik di negeri ini.

    Isu itu dipercayai berlaku selepas Menteri Besar membuat kenyataan untuk mengambil tindakan tegas termasuk memecat ADUN BN, jika mereka membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau.

    Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN, lapan daripadanya diwakili pembangkang.

    Read More...

    ADUN BN diugut, 10 boikot DUN T'ganu

    Malaysiakini

    Apr 14, 09 10:39am

    Sepuluh ADUN Barisan Nasional (BN) memulaukan DUN Terengganu pada hari kedua persidangan hari ini selepas beberapa orang daripada mereka menerima ugutan "YB tak sayang nyawa?" malam tadi.

    Mereka kini berada di beberapa tempat di negeri itu kerana bimbang keselamatan mereka tidak terjamin, kata ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

    Tiga ADUN penyokong kerajaan membuat laporan polis tengah malam tadi setelah menerima mesej SMS berbentuk ugutan - dispekulasikan berhubung usul undi tidak percaya terhadap menteri besar Terengganu.

    umno supreme council special meeting 260809 ahmad saidRosol bagaimanapun menafikan ketidakhadiran 10 ADUN tersebut termasuk beliau sendiri, sebagai langkah menjatuhkan Datuk Ahmad Said (foto) seperti diura-urakan sejak minggu lalu.

    Selain beliau sendiri, ADUN Paka, Zakaria Abdullah dan ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh turut membuat laporan polis selepas mendapat mesej SMS ugutan pada jam 11.20 malam tadi.

    Mesej yang didakwa dikirim oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri itu antaranya berbunyi "baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?".

    Selain mereka bertiga, turut tidak hadir di sidang DUN pagi ini ialah
    Muhammad Ramli Noh (Tepoh), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Alias Abdullah (Alor Limbat), Ramlan Ali (Jabi), Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).

    Dipercayai, beberapa ADUN BN akan ke Putrajaya untuk mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhiyiddin Yassin berhubung krisis terbaru di negeri itu.

    Krisis kepemimpinan menteri besar Terengganu kali ini tercetus genap setahun selepas berlaku perebutan kuasa antara Ahmad - yang disokong oleh istana - dengan Idris, menteri besar waktu itu.

    terengganu assembly hall emptyMinggu lalu, Ahmad memberi amaran keras termasuk memecat ADUN BN terbabit jika usul undi tidak percaya dikemukakan dalam sidang dewan minggu ini.

    BN menguasai 24 kerusi DUN, sementara PAS pula lapan kerusi.

    Sementara itu, Rosol yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri, memberitahu sidang akhbar pagi ini bahawa selain 10 Adun berkenaan, tiga lagi Adun BN yang menyokong tindakan mereka, tidak menghadiri sidang DUN hari ini.

    Bagaimanapun, Berita Harian memetiknya sebagai berkata, ketiga-tiga ADUN tersebut tidak bersama mereka dalam sidang media itu.

    Bagaimanapun Bernama melaporkan, selain menteri besar dan 10 exco kerajaan negeri, hanya tiga wakil rakyat BN dalam sesi soal jawab itu.

    Tindakan memulaukan dewan itu, lapor agensi berita itu lagi, menyebabkan ia didominasi semua lapan ADUN pembangkang.

    Menurut Rosol di sidang media itu, mereka tidak akan hadir persidangan DUN selagi tidak mendapat jaminan keselamatan berikutan ugutan bunuh menerusi SMS itu.

    "Kita akan hadir pada hari terakhir sidang dewan esok jika mendapat jaminan keselamatan daripada polis," katanya.

    Sementara, Berita Harian melaporkan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu, Wan Ahmad Wan Muda, membuat laporan di balai polis Kuala Terengganu, menafikan pembabitannya dengan penyebaran SMS berbau ugutan bunuh kepada tiga ADUN BN negeri itu.

    Wan Ahmad ditemani Penolong Setiausaha Kerajaan (Kerajaan Tempatan dan Tugas-Tugas Khas), Wan Mohamad Lotfi Wan Ismail, membuat laporan itu pada jam 12 tengahari tadi.

    Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, mengesahkan polis menerima laporan Wan Ahmad dan akan menyiasat mengikut lunas undang-undang.

    Menurut laporan Berita Harian itu, Kira-kira jam 11.20 malam tadi, tiga Adun BN Terengganu tersebut - Abd Halim (Permaisuri) dan Zakaria (Paka) menerima SMS berbau ugutan bunuh dari nombor telefon bimbit 019-9158369 manakala Rosol (Ajil) menerima SMS dari komputer.

    Abd Halim dan Zakaria ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Tengganu jam 1.15 pagi tadi, berkata selepas menyemak Diari Kerajaan Negeri, mereka dapati SMS itu dihantar daripada telefon bimbit yang didaftarkan sebagai kepunyaan SUSK berkenaan.

    Read More...

    Tiga Adun BN terima SMS ugutan

    Berita Harian

    Oleh Johari Ibrahim, Kamarulzaidi Kamis, Saufi Hamzah, Shaarani Ismail dan Baharom Bakar
    bhnews@bharian.com.my


    AHMAD SAID melihat SMS yang ditunjukkan Setiausaha Politiknya, Wan Ahmad Nizan Abdul Hamid ketika penangguhan Sidang DUN di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

    Najib arah YB Terengganu hadir sidang, SMS tak sahih

    KUALA TERENGGANU: Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) tidak hadir pada hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, semalam, kerana mendakwa keselamatan mereka terancam.

    Ini berikutan ugutan bunuh yang diterima tiga Adun BN menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kelmarin, iaitu Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Ariffin (Paka), dipercayai mempunyai kaitan dengan usul tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, yang dikatakan akan dibentangkan pada sidang DUN itu.

    Selain Rosol, Abd Halim dan Zakaria, tujuh Adun lain yang tidak hadir ialah Datuk Din Adam (Bukit Besi); Alias Abdullah (Alor Limbat); Zawawi Ismail (Kuala Berang); Ramlan Ali (Jabi); Muhammad Ramli Nuh (Tepoh); Muhammad Pehimi Yusof (Kota Putera) dan Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih).

    Rosol mendakwa bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih); Rosli Othman (Kemasik) dan Nawi Mohamed (Hulu Besut) turut menyokong tindakan itu. Ketiga-tiganya, bagaimanapun mengikuti sidang DUN pada jam 11 pagi sehingga sesi berakhir 5 petang.

    Dalam sidang media bersama sembilan Adun BN lain di sini, Rosol yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri berkata, mereka akan hadir pada hari terakhir sidang DUN hari ini jika mendapat jaminan keselamatan daripada polis.

    Di PUTRAJAYA, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan 10 Adun terbabit supaya hadir ke sidang DUN seperti biasa kerana SMS ugutan itu tidak sahih.

    "Mereka dapat SMS, tapi SMS itu tidak berpunca dari Pejabat MB, jadi saya minta supaya mereka hadir persidangan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri.

    Najib berkata, beliau sudah bercakap dengan Ahmad mengenai perkara berkenaan dan Menteri Besar Terengganu itu juga memaklumkan SMS itu bukan dihantar daripada pejabatnya.

    "Ini bukan sesuatu yang luar biasa dan kita boleh uruskan," katanya sambil menjelaskan tidak ada cubaan menjatuhkan Ahmad.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata Perdana Menteri dan beliau memandang berat perkara itu dan tidak mahu masalah berkenaan berlarutan.

    "Saya belum menerima laporan terbaru. Beberapa hari lalu saya berjumpa beberapa Adun untuk mendapatkan gambaran sebenar," katanya selepas majlis menerima tugas Menteri Pelajaran.

    Muhyiddin berkata, BN diberi kepercayaan untuk memerintah Terengganu dan ia perlu dilihat melaksanakan tugas berkenaan.

    "Setiap perasaan tidak puas hati yang boleh menjejaskan kerajaan, kita perlu selesaikan," katanya.

    Ditanya sama ada Kerajaan Pusat puas hati dengan perkhidmatan Ahmad, Muhyiddin berkata:

    "Beliau adalah seorang Menteri Besar dan melakukan apa yang perlu dilakukan, tetapi mungkin ada isu dan masalah perlu kita lihat."

    Kira-kira jam 11.20 malam kelmarin, Abd Halim dan Zakaria menerima SMS ugutan bunuh daripada telefon bimbit, sementara Rosol menerima ugutan itu daripada komputernya.

    Abd Halim serta Zakaria membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan mendakwa SMS itu dihantar daripada telefon bimbit yang didaftarkan sebagai kepunyaan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu, Wan Ahmad Wan Muda.

    Rosol berkata, pada mulanya beliau menganggap SMS itu sebagai perkara biasa, tetapi membuat keputusan membuat laporan polis selepas mendapati ugutan itu menggunakan ejaan yang sama dan dipercayai daripada orang sama.

    "Perkara ini terjadi berkemungkinan hasil daripada isu undi tidak percaya (terhadap Menteri Besar) yang dimainkan sesetengah pihak dan dijangka dibawa untuk diusulkan ke dewan sama ada hari ini (semalam) atau esok (hari ini).

    "Saya ingin menjelaskan bahawa kami tak pernah berbincang untuk membawa usul undi tidak percaya dan kami tidak tahu punca yang menyatakan akan berlaku undi tak percaya pada sidang DUN kali ini," katanya.

    Read More...

    Carian dalam Tau Takpe

    masukkan je apa-apa yg nak dicari

    Tau takpe

    Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

    - OrangKita (OK) -

    Video mesti tengok!!!

    | Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |