+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, May 27, 2009

Jawablah! 'Berani dia semuka saya?' - Waheeda

Berita Harian

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


AIR mata Waheeda pernah menitis sewaktu menjelaskan gosip yang mengatakan dia sudah berkahwin dengan Akhil.

Waheeda pinta sarang tebuan jangan dijolok kerana dia bimbang andai kesabarannya hilang, sesuatu yang buruk akan berlaku

DRAMA yang tercetus antara penyanyi Waheeda, pengacara dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy dan isterinya, Maizawati Zainal kini sudah sampai ke kemuncaknya apabila wanita itu mendedahkan skandal suaminya dengan Waheeda menerusi akhbar, Harian Metro, kelmarin.

Dalam laporan yang disiarkan di muka depan akhbar harian itu, Maizawati berkata Akhil pernah membuat pengakuan mengenai hubungannya dengan penyanyi yang terkenal dengan lagu Wassini itu serta kesanggupannya menerima penyanyi itu sebagai madu walaupun sebelum ini kedua mereka sering menafikan yang mereka tidak mempunyai hubungan selain terikat soal kerja.

Ekoran kenyataan berbentuk luahan rasa itu, nama Waheeda dan Akhil kembali panas dan menjadi buruan media yang inginkan komen balas daripada mereka.Namun, usaha itu terbantut apabila kedua-duanya seperti bersepakat untuk tidak mahu mahu mengangkat telefon atau membalas SMS.

Puas berusaha, doa akhirnya dijawab tuhan apabila Waheeda sudi mengangkat panggilan sekali gus berkongsi perasaan mengenai luahan isteri Akhil serta mengulas beberapa kenyataan yang disifatkan penyanyi itu sebagai tidak benar serta mengelirukan.Tanpa ada perasaan terkilan atau kecewa, Waheeda berkata dia sabar serta redha menerima segala-galanya.

Cuma pinta gadis ini, sarang tebuan janganlah dijolok kerana dia bimbang andai kesabarannya hilang, pasti sesuatu yang buruk akan berlaku dan itulah yang cuba dielakkannya demi menjaga hati banyak pihak.



Hip: Waheeda sudah baca kenyataan yang dikeluarkan isteri Akhil dan apa reaksi Waheeda mengenainya?

Waheeda:
Saya tak baca, tapi kawan saya yang bacakan untuk saya.Bagi saya, biarlah dia hendak kata apapun kerana dia sendiri yang menjadi membuka mulut untuk bercerita perkara ini kepada media.kalau diikutkan, saya sendiri sebenarnya malas hendak mengulas perkara ini kerana kalau saya nafikan pun tuduhannya, pasti orang akan anggap saya yang salah.dalam pada menafikan itu, ada juga yang mengatakan kami sudah berkahwin.Jadi lantaklah kalau dia hendak kata apa pun.

Hip: Tapi kalau Waheeda enggan memberikan sebarang komen, mungkin orang akan menganggap yang Waheeda memang menjadi penyebab keretakan rumah tangga Akhil dan Maizawati?

Waheeda:
Terpulang orang hendak kata apa pada saya. Saya tak kisah jika dikatakan perampas atau menjadi punca perceraian mereka.Lagipun saya sudah lali dengan tohmahan orang.Saya juga bersyukur kerana keluarga saya amat memahami keadaan saya dan tahu saya berada di pihak yang benar.Cuma saya harap jangan sampai kesabaran saya hilang kerana jika itu berlaku bimbang pula dia akan malu untuk keluar rumah.

Hip: Apakah yang Waheeda mahu lakukan?

Waheeda:
Saya mahu tengok sejauh mana dia berani bertindak.Saya bagi dia peluang.Tapi nanti kalau saya hilang sabar, saya akan dedahkan segala-galanya. Tunggulah.

Hip: Dalam luahannya itu, dia ada mengatakan yang dia sanggup untuk bermadu cuma Waheeda saja yang tidak boleh menerimanya.Benarkah apa yang dikatakannya itu?

Waheeda:
Itu semua tidak benar. Kalau kita baca kembali apa yang dikatakannya itu, itu semua adalah andaian dia semata-mata.Sebenarnya soalan itu tidak sepatutnya ditanyakan pada saya, tanyalah pada orang yang rapat dengannya.

Hip: Untuk kesekian kalinya, apakah Waheeda sudah berkahwin dengan Akhill seperti yang didakwa?Dan kalau perceraiannya sah apakah Waheeda sanggup berkahwin dengan Akhil?

Waheeda:
Saya tidak berkahwin dengannya.Tapi pada masa akan datang, saya tidak berani untuk berkata apa-apa.Soal jodoh semuanya adalah ketentuan Tuhan.Namun, pada saat sukar seperti ini, takkanlah saya hendak bertanyakan Akhil soal kahwin.Biarlah dia selesaikan dulu masalah rumah tangganya dan saya tidak mahu masuk campur dalam soal itu.

Hip: Waheeda ada tak bertanyakan pada Akhil mengenai masalah rumah tangganya itu?

Waheeda:
Tidak, kerana itu bukan urusan saya.Biarlah dia selesaikannya sendiri tanpa ada campur tangan sesiapa.

Hip: Apakah Akhil ada berbincang apa-apa dengan Waheeda di atas apa yang berlaku dan bagaimana reaksinya menghadapi situasi ini?

Waheeda:
Saya akui cukup kagum dengan cara Akhil menghadapi situasi ini.Dia juga menyuruh saya bertenang dan tidak terlalu memikirkan sangat soal itu.Saya sendiri kagum melihat ketabahannya kerana walaupun terpaksa berdepan dengan masalah rumah tangga, dia masih lagi mampu bekerja.Macam sekarang ini pun dia sibuk di studio untuk merakamkan album terbaru.

Hip:Waheeda tak mahu bersemuka dengan isteri Akhil bagi meleraikan kekusutan yang berlaku?

Waheeda:
Untuk apa? Saya rasa tak perlu kerana biarlah dia dengan dunianya.Lagipun masalah itu timbul antara dia dengan suaminya.Dan kalau ia benar berlaku, beranikah dia untuk bersemuka dengan saya?

Read More...

PKR mengaku tawar ganjaran

Berita Harian

Oleh Fazallah Pit, Norakmah Mat Youb
bhnews@bharian.com.my


PENGARAH pilihanraya PKR Dun Penanti, Saifuddin Nasution (kiri) mendakwa sokongan orang ramai di Penanti bertambah dengan menunjukkan graf sokongan di sidang akhbar semalam. - Foto Asman Ibrahim

Dua ahli minta calon Bebas Penanti tarik diri ganjaran

BUKIT MERTAJAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam mengaku dua ahlinya menemui dan menawarkan ganjaran kepada calon Bebas, Aminah Abdullah, supaya menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Pengarah Pilihan Raya PKR DUN Penanti, Saifuddin Nasution, bagaimanapun berkata tawaran itu dibuat berdasarkan hubungan rapat mereka dengan Aminah dan bukan mewakili parti.

"Saya menemui kedua-duanya dan mereka memaklumkan Aminah menjemput mereka makan tengah hari di rumahnya. Mereka menerima jemputan itu kerana menghormati Aminah sebagai sahabat lama mereka," katanya pada sidang media di Yayasan Aman di sini.


Kelmarin, Aminah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cakera padat (CD) mengandungi rakaman perbualan berhubung tawaran ganjaran wang tunai RM80,000 dan jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) jika beliau menarik diri bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang itu juga mendakwa beliau ditawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, jika menang pilihan raya kecil itu dengan syarat menyertai semula parti berkenaan.

Tawaran itu didakwa dibuat oleh dua ahli PKR yang mengunjungi rumah Aminah di Jelutong, 13 Mei lalu.

AMINAH menyerahkan CD yang mengandungi gambar dan rakaman audio beberapa ahli PKR yang menawarkannya ganjaran kepada kakitangan SPR di Pejabat SPR di Komtar, Georgetown, semalam.

Aminah adalah antara tiga calon Bebas yang menentang calon PKR, Mansor Othman pada pilihan raya kecil Penanti Ahad ini yang diadakan berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairudddin.

Saifuddin juga berkata, peguam PKR, Ong Chin Wen sudah menghantar notis tuntutan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuat Aminah terhadap parti itu.

"Kita sudah menghantar notis ke alamat calon terbabit. Notis itu bertujuan supaya Aminah menghentikan fitnah yang dilemparkan bagi tujuan memperoleh keuntungan peribadi. Kita memberi masa tujuh hari kepadanya (untuk menjawab notis itu)," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Latifah Md Yatim, yang dihubungi mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kes itu selepas Aminah membuat laporan kelmarin.

"Apabila ada laporan sudah tentu kami perlu membuat tindakan susulan iaitu menyiasat. Beberapa individu akan dipanggil bagi memberi keterangan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Aminah menemui dua pegawai SPRM di pejabat suruhanjaya itu di Butterworth, bermula jam 4 petang hingga 10 malam kelmarin, beberapa jam selepas beliau membuat pendedahan kepada media mengenai tawaran PKR itu.

Pada pertemuan itu, Aminah menyerahkan dekoder MP4 yang mengandungi rakaman perbualan berkaitan tawaran PKR kepadanya. Dekoder itu mengandungi perbualan dalam tiga pertemuannya dengan dua ahli PKR.

Semalam, Aminah turut menyerahkan sekeping cakera padat (CD) dan tiga cetakan gambar pertemuannya dengan ahli PKR itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang di sini.

Aminah yang ditemui pemberita, mengakui kedua-dua ahli PKR itu memang kawan baiknya, tetapi beliau terpaksa membuat pendedahan itu selepas dicabar Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mohamed Zahrain Hashim.

"Mereka mungkin faham mengapa saya buat rakaman. Hanya langkah berjaga-jaga. Malah, mungkin mereka juga membuat rakaman kerana ia memang tabiat orang PKR," katanya.

Read More...

Enggan jumpa Waheeda

Utusan Online


Maizawati Zainal


KUALA LUMPUR 26 Mei - Biarpun kisah pergolakan rumah tangga penyanyi dan penceramah bebas, Akhil Hayy hebat diperkatakan namun, isterinya, Maizawati Zainal, 33, masih enggan menemui penyanyi Waheeda untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian.

"Sepatutnya dia (Waheeda) yang datang berjumpa saya, bukannya saya yang jumpa dia. Nak jumpa pun sudah terlambat, sebab saya sudah pun memfailkan tuntutan cerai awal bulan ini.

"Sepatutnya datang berjumpa ketika mula-mula keluar cerita tentang hubungannya dengan suami saya, bukannya tunggu sampai perkara ini jadi meletup begini.

"Lagi pun, buat apa nak ungkit lagi perkara yang sudah berlaku dan tiada gunanya buka pekung serta mempersoalkan siapa yang perlu berjumpa siapa. Keputusan yang saya buat ini adalah yang terbaik untuk semua pihak dan meleraikan segala kekusutan," kata Maizawati ketika ditemui hari ini.

Akhil dan Waheeda menjadi perhatian media lantaran gosip tentang hubungan cintanya berlarutan sejak dua tahun lalu. Malah, menjadi semakin hangat diperkatakan apabila ada pihak mendakwa melihat kelibat mereka menonton wayang bersama dan bergambar di tepi pantai.

Menurut Maizawati, dia telah menunggu dan memerhati selama dua tahun iaitu sejak mula-mula gosip tentang percintaan Akhil dan Waheeda diperkatakan.

Keputusannya untuk bercerai telah dimaklumkan kepada Akhil menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana gagal menghubungi dan berbincang dengan suaminya itu.

Tambahnya, setiap pergaulan mempunyai batas dan sebagai seorang wanita seharusnya dia (Waheeda) mengetahui batasan pergaulan dengan seorang yang bergelar suami orang.

"Lelaki yang dia sentiasa bersama itu adalah suami orang dan sudah ada anak-anak. Sebagai isteri, saya hanya memerhati dari jauh. Namun, apabila mendapati ada perempuan lain selalu berjumpa dengan suami, saya terfikir wajarkah perempuan lain yang tiada sebarang ikatan sentiasa bersama suami saya," kata Maizawati pada program Wanita Hari Ini, di Sri Pentas, Bandar Utama di sini.

Mengulas tentang gosip yang mengatakan suaminya telah berkahwin dengan penyanyi Waheeda, kata Maizawati, selagi tiada bukti dia tidak mahu mempercayai sebarang dakwaan.

Walaupun telah memfailkan tuntutan cerai, Maizawati tidak menafikan bahawa dia masih menyayangi suaminya itu.

"Dia seorang suami yang sangat baik dan hubungan saya dengan dia memang tiada masalah. Cuma selepas saya beri keizinan untuk dia berkahwin lain pada Februari lalu dia langsung tidak pulang dan tidak menghubungi saya," katanya.

Kes tuntutan perceraiannya akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak pada 2 Jun depan.

Read More...

Blog komunis jawab Rais Yatim

Malaysiakini

May 26, 09 1:59pm

Blog bekas gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang menjadi sasaran kecaman Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam menjawab balas kenyataan keras menteri penerangan hari ini.

Penulis blog tersebut yang memperkenalkan dirinya Mat Amin menyifatkan usaha menghalang penyebaran sejarah perjuangan bersenjata mereka sebagai "tidak demokratik" dan "tidak profesional."

Mat Amin - yang mendakwa bekas gerila Rejimen ke-10, seksyen tentera Melayu PKM - menjelaskan sumbangan, suka dua dan perkembangan pasukannya itu termasuk di kampung perdamaian di Sukhirin di selatan Thailand.

communist malaya members with malaysia ministers and vips 260509 02Selain mempertikaikan kenyataan Dr Rais yang ingin membawa penyebaran positif sejarah komunis ke jemaah menteri esok, blog yang sama memuatkan beberapa foto pertemuan pemimpin besar rejimen tersebut beberapa tokoh negara, termasuk Sultan Perak.

Abdullah CD dan isterinya Suriani Abdullah dilihat bergambar dalam dua keping foto - masing-masing dengan bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar dan bekas menteri luar bandar Datuk Aziz Samsuddin pada Disember 2007 di satu majlis.

Sekeping lagi memuatkan gambar rombongan Abdullah diterima menghadap Sultan Azlan Shah pada Disember 1998.

Selain ingin membangkitkan isu blog komunis dalam mesyuarat kabinet, Dr Rais juga menggesa orang ramai agar tidak "terburu-buru mengikuti dan meminati penulis blog yang cuba mendewa-dewakan fahaman komunisme."

"Apa-apa maklumat yang kita miliki kita akan sampaikan kepada pihak berkuasa pada mesyuarat jemaah menteri minggu ini kerana didapati ada beberapa blog yang sudah mula muncul seolah-olah beri pujian melahirkan perasaan nostalgia kepada komunisme serta angkara yang mereka lakukan," beliau dipetik berkata.

communist malaya members with malaysia ministers and vips 260509 03Dr Rais juga berkata "tiada tempat untuk golongan komunis di negara ini" sewaktu mengulas seruan agar kerajaan membenarkan pemimpin utama PKM Chin Peng kembali ke Malaysia.

Mat Amin sendiri tidak menduga blognya akan mendapat perhatian besar dan menjadi topik hangat. Akhbar Utusan Malaysia hari ini menjadikan kenyataan menteri itu laporan utamanya.

"Dengan tidak diduga, blog Kampung Perdamaian Sukhirin - Kini Dan Silam telah menjadi topik panas saat ini," katanya.

"Bahan-bahan yang kami paparkan adalah bahan asli yang tidak diputar belit. Apakah ini salah?

"Dalam zaman moden dan demokratik ini, rakyat patut diberi hak untuk mendapat atau menerima maklumat dari perspektif-perspektif yang berlainan malah bertentangan supaya mereka boleh membuat tafsiran-tafsiran yang lebih seimbang serta objektif."

Menurutnya lagi, dalam proses perjanjian damai PKM pada 1989, kerajaan Malaysia pernah menyatakan "ia mengakui sumbangan PKM untuk kemerdekaan, tetapi tidak boleh membuat kenyataan tersebut secara terbuka, biar ahli-ahli sejarah memberi penilaian masing-masing, kerajaan tidak sekat."

"Usaha-usaha yang menghalang mana-mana pihak menceritakan perjuangannya yang sebenar adalah tidak profesional, tidak demokratik dan tidak jujur serta tidak adil," coretnya lagi.

Sementara itu Bernama melaporkan menteri pertahanan menyelar usaha beberapa pertubuhan tidak berdaftar dan parti politik yang sengaja menggalakkan kemunculan semula ideologi komunis dalam negara.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata pihaknya mendapati ada pihak tertentu termasuk beberapa pertubuhan haram yang seakan-akan mengambil kesempatan dengan cuba menghidup dan menyebarkan sentimen mengenai ideologi itu melalui pelbagai cara.

Katanya, tambah mengejutkan apabila ada juga yang seakan cuba membangkitkan dan menyebarkan sentimen itu melalui parti-parti politik.

"Saya tidak dapat memaklumkan secara khusus tentang adanya gerakan untuk hidupkan ideologi komunis dalam negara, tetapi ada macam suatu usaha yang berbaur komunis yang cuba dihidupkan semula oleh beberapa badan yang tidak berdaftar dan ada juga yang mahu hidupkannya melalui parti politik," katanya selepas melawat Markas Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang.

Read More...

Maizawati akui Akhil Hayy suami yang romantik dan bapa penyayang

Berita Harian

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin



Maizawati akui Akhil Hayy suami yang romantik dan bapa penyayang

"WALAUPUN tidak menyalahkan sepenuhnya, saya berasakan Waheeda patut juga berasa bertanggungjawab dalam hal ini. Perkara ini tidak akan berlaku jika lelaki tidak digoda. Kalau lelaki itu yang memulakan, sebagai wanita, dia ada hak untuk menolaknya, tambahan pula dia tahu lelaki itu suami orang.

“Tindakannya ke hulu ke hilir bersama-sama suami orang adalah kurang manis. Kehidupan saya, anak-anak dan ustaz teraniaya sejak kehadirannya dalam hidup kami.

“Sebelum ini, rumah tangga kami bahagia, tidak pernah timbul sebarang masalah. Ustaz juga seorang suami yang romantik dan bapa penyayang, tetapi jadi masalah apabila ustaz bertemu dengan dia (Waheeda),” demikian luahan isteri Akhil Hayy, Maizawati Zainal ketika dibawa berkunjung ke Balai Berita, Isnin lalu.

Hadir berjubah rona biru tua dengan raut wajah yang agak tenang menghadapi masalah itu, ibu kepada enam cahaya mata ini juga dilihat sangat tabah. Tiada setitik air mata pun tumpah kerana mungkin dirasakan sudah terlalu banyak air matanya dibazirkan sepanjang dua tahun memendam rasa.

Bagaimanapun, Maizawati menegaskan, dia tidak mahu luahan hatinya disalahertikan sebagai hendak menagih simpati daripada mana-mana pihak.

PERSEMBAHAN daripada akhil dan Waheeda pada sambutan Maulidur rasul peringkat Kebangsaan 1430H/2009M di Dataran Merdeka.

Katanya, dia sekadar hendak bersuara dengan apa yang terbuku dalam hatinya kerana tidak tahan lagi dengan sikap suaminya yang terus berdiam diri. Malahan sehingga perkara ini didedahkan kepada pengetahuan umum, Akhil masih tidak menghubunginya.

“Saya bukan hendak seronok-seronok membuat tuntutan cerai. Saya pun tahu perkara itu dibenci Allah. Saya bukannya tidak pernah bersabar. Tapi sudah bersabar selama dua tahun.

“Dalam tempoh itu, saya banyak mengkaji baik dan buruknya tindakan ini. Saya lakukan semuanya ini kerana tidak mahu membiarkan perkara tidak elok berterusan.

“Saya bukanlah minta apa-apa. Saya tidak minta lebih, saya cuma minta dia lepaskan saya. Saya anggap sudah tiada jodoh antara kami. Jika dia sudah tidak sudi lagi dengan saya, jangan simpan macam ini, supaya senang saya buat haluan sendiri dan meneruskan kehidupan bersama anak-anak.

Maizawati Zainal, isteri Akhil Hayy.

“Saya percaya tidak ramai wanita yang boleh bersabar apabila suami pergi tanpa khabar berita. Sikap ustaz dulu tidak seperti ini. Ke mana dia pergi, dia pasti menghubungi saya. Kalau tak sempat sekalipun, paling tidak dia hantar SMS,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut perubahan sikap suaminya, Maizawati berkata, ia bermula sejak dipertemukan dengan Waheeda menerusi sebuah program TV kira-kira dua tahun lalu.

“Dia mula jarang balik rumah dengan alasan kerja. Saya menghormati alasan itu dan memberi kepercayaan sepenuh hati, tanpa rasa sebarang curiga.

“Lama -kelamaan, saya dapati sikapnya semakin berubah. Jarang telefon kami dan bertanya khabar kami anak beranak. Kadang-kadang saya menghubunginya tetapi jarang berjawab. Tahun ini dia pulang ke rumah hanya tiga hari, itu pun tidak lebih lima jam,” jelas Maizawati yang mengaku agak kecewa dengan perubahan sikap suaminya.

Lebih mengecewakan lagi, katanya, apabila dia mendapat tahu suaminya mempunyai masa menonton wayang dan bersantai di tepi pantai bersama wanita lain sedangkan sering mengatakan tiada masa langsung untuk bersama isteri dan anak-anak atas alasan sibuk dengan kerja.

“Sebagai isteri, saya berhak untuk dikasihani, disayangi dan dibelai oleh lelaki bergelar suami. Tapi ustaz sering beri alasan sibuk dengan kerja, sedangkan dalam tempoh itu dia boleh luangkan masa bersama Waheeda, bukan dengan keluarganya sendiri.

“Saya pening sebenarnya. Kenapa ustaz takut sangat nak mengaku kalau betul mereka sudah berkahwin. Adakah dia bimbang nanti saya minta supaya berlaku adil menyebabkan dia tidak berani mendedahkan statusnya?” katanya sambil menyatakan rasa kasihan melihat keadaan anak-anak yang merindui kepulangan bapa tersayang.

Failkan perceraian pada 2 Jun

MAIZAWATI berkata, hatinya sudah tawar untuk menerima kembali suami selepas mengambil keputusan untuk memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Syariah pada 2 Jun depan.

Katanya, sebenarnya dia sudah mula bertindak memfailkan tuntutan cerai pada awal bulan lalu, tetapi membuat keputusan untuk menarik balik kerana berasakan tidak mahu mengaibkan suaminya.

Dia berharap dengan tindakan menarik balik tuntutan itu, Akhil Hayy dapat balik ke Ipoh, Perak untuk membincangkan masalah rumah tangga mereka.

Maizawati menjelaskan, dia akhirnya membuat keputusan nekad untuk bercerai selepas suaminya tetap tidak muncul walaupun diminta untuk balik ke rumah.

“Hati saya sudah tawar untuk menerimanya semula. Bagi saya sudah terlambat untuk memulihkan hubungan ini,” katanya.

Jangan lupakan anak-anak

MAIZAWATI mengaku, dia tidak percaya suaminya sudah berkahwin dengan Waheeda kecuali ada pihak yang membuktikan sebaliknya.

“Kalau betul ustaz sudah berkahwin, kenapa hendak disorokkan. Tetapi setakat ini saya percaya mereka belum berkahwin. Selagi tiada bukti ustaz sudah berkahwin lagi, saya tidak akan mempercayainya (suaminya sudah berkahwin lagi). Tetapi kalau mereka sudah berkahwin, saya doakan mereka bahagia.

“Cuma saya hanya minta ustaz dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, apa pilihan yang dia ada kalau suaminya benar-benar mahu mengahwini Waheeda tetapi paling penting ialah tidak mengabaikan tanggungjawabnya kepada anak-anak.

“Saya boleh terima kalau betul ustaz mahu berkahwin lagi, malahan saya sudah memberikan keizinan kepadanya ketika dia balik ke rumah pada awal tahun ini.

“Pada waktu itu juga, ustaz mengaku mahu memperisterikan Waheeda, tetapi sampai sekarang saya tidak tahu apakah kesudahannya hubungan mereka. Kalau dia mahukan suami saya, ‘minta’ cara baik.

“Saya berusaha untuk memahaminya kalau dia kata mereka tidak boleh berenggang. Cuma satu saja harapan saya kepada ustaz iaitu jangan lupakan anak-anak,” katanya.

Read More...

Maiza titipkan nasihat untuk Akhil dan Waheeda

mstar online

Maizawati pandai mengawal gelodak dalam perasaannya. -foto mStar.

JIKA diselam wajah Maizawati Zainal, 33, isteri kepada penyanyi Ustaz Akhil Hayy, 40, ia seolah-olah menyembunyikan perasaan sedihnya disebalik ketenangan yang dipamerkannya.

Baginya, semua tindakannya adalah betul belaka lantas merasakan tidak perlulah dia menunjukkan apa-apa reaksi.

Ditanya pula kepada siapa tempat dia meluahkan perasaan dan mengadu sekarang, wanita yang mesra dengan panggilan Maiza ini enggan menjawabnya kerana dirasakan soalan itu berbaur peribadi.

Namun, mujurlah empat orang anak Maiza bersama Akhil beserta dua orang anaknya dengan hasil perkahwinan pertama dahulu memberikan sokongan yang padu kepadanya apabila dia memfailkan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada awal bulan lalu.

Kes itu akan dibicarakan pada 2 Jun ini, pukul 9 pagi.

“Setelah mereka mengetahui tentang permohonan cerai ini, mereka lebih matang dan boleh menerima keputusan saya kerana itu merupakan salah satu perkara terbaik buat mereka.

“Jadi, tiada apa-apa masalah kerana dalam hidup ini semuanya termasuk ajal dan maut berada di tangan Allah. Mungkin ini ketentuanNya dan jodoh saya hanya sampai di sini.

“Kadangkala kita tak sangka hal ini akan berlaku. Jadi, kita harus menerimanya dengan hati yang terbuka.

Maiza mengaku yang dia masih dapat menerima Waheeda dan Akhil sebagai kawan seandainya mereka bernikah sekalipun.

“Dengan sesiapa sahaja boleh berlaku tak kira orang itu raja ke atau sultan, perkara ini kita tidak boleh elakkan. Mungkin selepas ini Allah telah tetapkan ada yang terbaik untuk kita,” luah Maiza sejurus selepas ditemubual dalam program Wanita Hari Ini (WHI) di TV3, semalam.

Ditanya tentang reaksi ibu dan keluarga mertuanya, Maiza menyifatkan mereka sangat profesional.

“Kami tidak mengaitkan dan menuding jari antara kedua-dua belah pihak.

“Mereka juga tidak pernah mencampuri urusan rumahtangga keluarga saya sehingga sekarang,” kata Maiza yang enggan memberikan komen lanjut melibatkan keluarga mertuanya.

Maiza juga mendapat maklumbalas yang baik daripada jiran tetangga yang berkata: “Semua orang menyokong saya..”

Menurut Maiza, dia merupakan seorang surirumah yang mendirikan rumahtangga dengan Akhil sejak 13 tahun lalu.

Selepas menjalani kehidupan secara solo selepas ini, Maiza berkata dia mungkin akan kembali bekerja untuk menyara kehidupannya selepas ini.

“Insya-Allah, jika ada kesempatan saya akan bekerja,”

“Sekarang, saya tinggal bersama mak dan anak-anak di Ipoh,” ujarnya.

Nasihat buat Waheeda dan Akhil

Dalam kenyataan sebelum ini, Maiza ada memberitahu yang suaminya pernah meminta izin untuk berkahwin buat kali kedua dan wanita yang dimaksudkan adalah penyanyi Waheeda atau nama sebenarnya, Norwahidah Abdul Wahab, 31.

Ditanya tidakkah Maiza hendak memberikan apa-apa nasihat buat Waheeda dan Ustaz Akhil, dia berkata:

“Pertama sekali, saya nak nasihatkan jika dia benar-benar menjadi seorang isteri, jadilah seorang isteri yang solehah dan jagalah hati semua orang.

“Janganlah kita ungkit perkara-perkara yang telah berlaku dan menuding jari antara satu sama lain.

“Saya doakan semoga mereka berbahagia.

“Bagi ustaz pula, semoga apa yang dilakukannya adalah yang terbaik dan saya harap dia tidak akan mengabaikan anak-anak.

“Perpisahan itu tidak bermakna bermusuhan dan itu adalah untuk kebaikan semua pihak. Lebih baik kita berpisah secara baik dan bukannya dengan bermusuh-musuhan. Itu yang saya hendak sebenarnya.”

Tambah Maiza, “Janganlah kita anggap perpisahan itu sebagai sesuatu yang memeritkan dan bermusuhan. Saya bukannya orang yang seperti itu.

“Bagi saya, perpisahan itu untuk mencari kebaikan. Saya harap pihak sana tidak rasa marah tentang apa yang saya luahkan.

“Saya tiada niat langsung untuk memburukkan mereka,” ujarnya beberapa kali.

Maiza juga mengaku yang dia masih dapat menerima pasangan ini sebagai kawan seandainya mereka bernikah sekalipun.

“Saya tiada masalah..,” ujarnya ringkas.

Read More...

Status MB: Zambry ibratkan diri sebagai Gandhi, Mandela


PETALING JAYA: Menteri Besar sejak Februari lalu, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir melihat dirinya ibarat pemimpin terkenal Mahathma Gandhi dan Nelson Mandela dalam menegakkan kebenaran di Perak.

Beliau turut memberi amaran kepada Pakatan Rakyat supaya mereka tidak memandang rendah akan keupayaannya.

Namun Zambry sekali lagi menegaskan bahawa beliau menerima dengan hati terbuka keputusan mahkamah semalam.

"Keputusan itu membuktikan mahkamah adil dalam melaksanakan tanggungjawab perundangan, dan sekali gus menolak persepsi yang diada-adakan oleh Pakatan Pembangkang," katanya dalam satu kenyataan di laman blognya hari ini.

Bagaimanapun, jelas Zambry, beliau dan rakan-rakannya yang lain akan meneruskan perjuangan menegakkan keadilan dan membela rakyat kerana ia adalah tradisi dan intipati perjuangan Barisan Nasional.

"Menegakkan kebenaran bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan.

"Nelson Mandela misalnya mengorbankan kebebasannya selama 27 tahun demi membebaskan rakyat Afrika Selatan dari cengkaman “apartheid”.

"Mahatma Ghandi pula mengorbankan nyawanya untuk memastikan kemerdekaan India serta rakyatnya dapat hidup aman tanpa sempadan kasta dan agama.

“Saya mempelajari bahawa keberanian bukanlah bermakna tidak punya perasaan takut, tetapi berjaya mengatasinya. Mereka yang berani bukanlah mereka yang tidak punya perasaan takut tetapi mereka yang mampu menakluki rasa takut itu.

Mengulas lanjut mengenainya, Zambry yang juga ADUN Pangkor berkata, jika dibandingkan dengan dua tokoh yang disebutkan itu, perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan oleh beliau dan Exco yang lain tidak seteruk dua pemimpin tersebut.

"Sekurang-kurangnya saya tidak hilang kebebasan atau disakiti untuk menegakkan kebenaran.

"Saya hanya menempuhi persepsi umum yang negatif seperti yang dilemparkan oleh pakatan pembangkang termasuk Menteri Besar Datuk Seri Nizar Jamaluddin serta orang-orang kanannya," katanya.

- Mstar

Read More...

Ekonomi merosot bawah -1%

Malaysiakini

May 26, 09 8:36pm

Ekonomi negara dijangka menguncup bawah -1.0 peratus pada tahun ini di tengah-tengah iklim ekonomi semasa, kata menteri kewangan kedua.

"Saya tidak dapat memberitahu anda (angka itu) tetapi ia tentunya di bawah -1.0 peratus," kata Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Beliau diminta mengulas unjuran oleh pakar ekonomi bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan menguncup antara -4.5 peratus dan -5.0 peratus pada 2009.

Unjuran KDNK Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tahun ini antara -1.0
peratus dan 1.0 peratus.

Menurut Bernama, BNM akan membuat pengumuman mengenai KDNK suku tahun pertama esok.

"Tunggu pengumuman BNM esok," katanya selepas merasmikan pelancaran Program Penambahbaikan dan Pembangunan
Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti di Kuala Lumpur hari ini.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membuat satu lagi pengumuman keesokannya (lusa) mengenai unjuran baharu KDNK 2009 dan kita kemudiannya akan mengetahui kedudukan ekonomi negara."

Tambah Husni, ekonomi bagaimanapun dijangka pulih dalam suku tahun ketiga kerana kesan pakej rangsangan ekonomi RM67 bilion baru-baru ini mulai dirasai.

Bagi 2010, katanya, kerajaan percaya KDNK akan dicatatkan positif.

Institut Penyelidkan Ekonomi Malaysia (MIER) bulan lepas berkata ekonomi menguncup 2.2 peratus tahun akibat kesan kelembapan ekonomi dunia.

Institut bebas itu juga menjangkakan Malaysia akan mengalami "kemelesetan teknikal" - atau pertumbuhan negatif dalam tempoh dua suku tahunan berturut-turut - separuh pertama tahun ini.

Ketika ditanya sama ada lebih banyak langkah liberalisasi akan diumumkan pada masa depan, Husni berkata kerajaan kini sedang mengusahakan mengenai pembangunan model ekonomi baharu negara ini.

"Model ekonomi itu kini berada pada peringkat perancangan," katanya, sambil menyatakan bahawa kerajaan akan mengkaji bidang yang boleh diliberalisasikan lagi.

Katanya, teras utama model baharu itu ialah kualiti pelaburan dan rakyat.

"Akhirnya, kita akan menjadi ekonomi terbuka kerana kita merupakan
sebahagian daripada sistem global tetapi proses liberalisasi memakan masa," katanya.

Read More...

Nizar Cabar MB Rayuan Mohon Sultan Bubarkan DUN

Greenboc

Saya tidak menyalahkan pihak keselamatan, namun mereka diarahkan oleh BN mengarah mereka berkerja untuk BN. Demikain antara ucapan DS. Nizar dalam majlis di Wisma DAP Ipoh malam ini.

Katanya setiap kali PRK, UMNO akan mengarahkan pihak keselamatan berkampung di tempat tersebut, di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Tapi bila UMNO tidak bertanding di Penanti ternyata tidak ada polis di situ. Inilah bukti mereka berkerja untuk UMNO dan BN.

"Menunjukkan wang rakyat dihabiskan untuk BN bukannya untuk menjaga rakyat dan kenteteraman awam." jelasnya.

BN cukup cemburu dengan gabungan pakatan Rakyat dan dia tidak sanggup lihat. Di Perak sebelum ini kita tidak pernah nikmati ke atas beberapa bangsa yang ada di Perak, namun dalam masa kita pakatan Rakyat memerintah kita lahirkan masyarakat Perak yang saling menghormati, toleransi antara satu sama lain. Kata Nizar.

"Kita mahukan cucu cicit kita pada masa akan datang saling menghormati antara bangsa yang ada. itulah yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat. Jika ini berterusan maka tidak ada peluang lagi bagi mereka." katanya.

Saya menjelajah seluruh Perak untuk menjawab tuduhan tidak benar saya adalah boneka.

Makhamah rakyat adalah yang terbaik untuk menyelesai krisis politik di Perak.

"Kalau dia betul-betul anak jantan dia kena mengadap sultan dan mohon dibubarkan DUN." katanya lagi.

Read More...

Bila Najib diusir dari Seri Perdana

Harakahdaily

Mohamed Hanipa Maidin
Wed | May 27, 09 | 1:02:40 am MYT

Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi awal Januari 2010, Najib Tun Razak yang baru pulang ke kediaman rasminya di Putrajaya tiba-tiba dikejutkan dengan satu surat dari Duli Yang Mulia Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau hendaklah mengosongkan rumah rasminya kerana baginda telah melantik orang lain sebagai Perdana Menteri menggantikan beliau.

Alasan baginda di dalam surat tersebut adalah ahli-ahli Dewan Rakyat khususnya dari Pakatan Rakyat dan beberapa ahli BN yang mula menyokong Pakatan Rakyat telah berjumpa baginda di Istana Negara dan menyatakan bahawa mereka tidak lagi yakin dengan Najib dan mahu orang lain sama ada Tuan Guru Dato� Seri Abdul Hadi Awang atau Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Surat baginda juga menyatakan bahawa jika Najib tidak meletak jawatan, beliau hendaklah dipecat dari jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Najib merengus marah dan berang lantas memohon menghadap Tuanku. Sebaik diizinkan menghadap Najib berkata:

"Macam mana Tuanku dengan sewenang-wenangnya memecat patik sedangkan Parlimen tidak mengadakan apa-apa sidang atau membawa apa-apa usul atau undi tidak percaya kepada patik. Patik tidak nampak mana�mana peruntukan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang member kuasa kepada Tuanku untuk memecat patik sebagai Perdana Menteri.

"Macam mana patik boleh dengan mudah dipecat dan sebagai ganti dilantik orang lain sebagai Perdana Menteri sedangkan tidak ada sebarang undi tidak percaya diluluskan di Parlimen ke atas patik."

Keluhan Najib didengar dengan tenang oleh Yang di-Pertuan Agong. Baginda dengan senyum berkata kepada Najib:

"Adakah memanda tua sudah lupa bahawa pada 22 Mei 2009 iaitu pada hari Jumaat jam 3.30 petang di tingkat bawah Palace of Justice, Putrajaya tiga Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Yang Arif ( Y.A ) Dato' Raus Sharif, Y.A Dato' Ahmad Maarop dan Y.A Dato' Zainon Ali telah sebulat suara memutuskan antara lain bahawa:

a. Seorang Menteri Besar (di peringkat negeri) atau Perdana Menteri (PM) di peringkat Pusat secara tersirat boleh dipecat atau diminta letak jawatan jika Sultan atau Yang di-Pertuan Agong memutuskan bahawa MB atau PM tidak lagi mendapat sokongan majoriti Adun atau Ahli-Ahli Parlimen.

b. Perkara 16(6) Perlembagaan Perak atau Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa kaedah bagi menentukan bahawa seorang MB atau PM hilang keyakinan majoriti Adun atau ahli-ahli Parlimen adalah melalui undi tidak percaya (votes of no confidence).

c. Kes Stephen Kalong Ningkan (1966) iaitu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Sarawak yang memutuskan bahawa Governor atau Sultan tidak ada kuasa memecat Ketua Menteri atau MB dan satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya tidak boleh lagi dipakai.

Yang di-Pertuan Agong seterusnya menambah:

"Bukankah keputusan Mahkamah Rayuan tersebut yang memanda tua inginkan bagi meraih keuntungan politik jangka pendek tuan hamba dan parti tuan hamba? Bukankah memanda tua yang berkeras tidak mahu mendengar keluhan rakyat dan pemimpin partai komponen memanda tua sendiri supaya krisis di Perak diselesaikan secara aman dan melalui amalan demokratik iaitu dengan kembali kepada rakyat melalui pilihan raya semula di Perak.

"Maaf memanda tua, Beta terikat dengan keputusan tersebut dan tidak boleh buat apa-apa. Maka Beta dengan ini memerintahkan memanda tua sekeluarga keluar dari rumah rasmi Perdana Menteri kerana memanda bukan lagi Perdana Menteri Malaysia."

Najib tersentak dan lemah segala sendi manakala Rosmah pula terkaku dan jatuh pengsan. Tiba-tiba mereka sedar keputusan Mahkamah Rayuan hari ini kini telah makan diri.

Jika keputusan yang paling wajar dan munasabah oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Y.A Dato� Aziz Abdul Rahim yang memutuskan bahawa satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya sekaligus mengekalkan doktrin Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy), keputusan Mahkamah Rayuan pula ditafsirkan oleh ramai cendekiawan undang-undang telah melahirkan doktrin baru iaitu Raja Mutlak (Absolute Monarchy).

Jika Raja Berperlembagaan melahirkan kesejahteraan sudah tentu doktrin Raja Mutlak akan melahirkan suasana yang tidak menyenangkan.

Sketsa di atas adalah bagi saya, cara terbaik untuk memahamkan para pembaca tentang kesan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini.

Sebagai seorang anggota pasukan peguam Nizar, saya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Tapi saya tidak pasti keputusan tersebut akan diterima dengan baik oleh rakyat khususnya rakyat di Perak.

Dalam keadaan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman masih belum pulih sepenuhnya sudah tentu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak dapat lari dari cemuhan rakyat. Inilah masalahnya apabila sesebuah institusi dalam sebuah negara sudah hilang keabsahan (legitimacy).

Di negara ini apabila BN memerintah terlalu lama dan keabsahan parti tersebut dipertikaikan, turut sama terpalit adalah institusi keadilan seperti Mahkamah, Peguam Negara dan polis. Apabila rakyat hilang keyakinan kepada sistem keadilan, maka sebarang keputusan Mahkamah apatah lagi keputusan seperti keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini sudah tentu tidak akan mudah diterima sebagai satu keputusan yang adil dan telus.

Sejak dari awal rakyat sudah nampak macam ada sesuatu yang tidak kena kepada cara kes rayuan Zambry dikendalikan. Zambry kalah di Mahkamah Tinggi pada 11 Mei 2009. Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zambry bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman.

Pada 12 Mei 2009 di sebelah pagi, Zambry membuat permohonan bagi menggantung perlaksanaan penghakiman. Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pendengaran permohonan Zambry pada pagi hari yang sama. Tarikh pendengaran yang diberikan dengan tergesa-gesa sudah tentu memprejudiskan Nizar dan pasukan peguamnya bagi membuat persiapan yang teliti dan mendalam.

Pada tengah hari 12 Mei itu juga Y.A Hakim Dato' Ramly membenarkan permohonan Zambry dan perintah diberikan tanpa sebarang syarat.

Nizar membuat permohonan bagi membatalkan perintah penggantungan yang diberikan kepada Zambry. Mulanya permohonan Nizar ditetapkan pada 18 Mei 2009 tetapi kemudiannya ditangguhkan pada 21 Mei 2009 iaitu pada hari yang sama rayuan Zambry didengar. Sudah tentu permohonan Nizar tidak lagi relevan untuk didengar atau seperti yang sering dikatakan ianya menjadi akademik.

Pada 21 Mei rayuan Zambry didengar dengan hujah lisan dan bertulis dikemukakan oleh pihak �pihak secara mendalam. Mahkamah hanya mengambil masa satu hari sahaja untuk diputuskan. Memang hebat apabila Mahkamah boleh buat keputusan dalam masa satu hari. Tetapi cuba kita bayangkan jika kita menghantar baju untuk dijahit dan tukang jahit siapkan baju kita dalam satu hari; saudara boleh bayangkanlah tahap kualiti baju tersebut.

Suatu yang amat mengharukan kami (pasukan peguam Nizar) adalah meskipun Nizar kalah namun sambutan rakyat kepada kami di Mahkamah Rayuan hari ini seolah-olah menunjukkan Nizar yang menang dan bukannya Zambry.

Untuk rakan pasukan peguam Nizar iaitu Sulaiman Abdullah, Philip Khoo, Ranjit Singh, Razlan Hadri, Nga Hock Cheh, Chan Kok Keong, Leong, Edmond Bon, Amir Arshad dan Zulkarnain Lokman; ingatlah keputusan hari ini tidak akan mematahkan semangat kita, sebaliknya ia memberi semangat baru kepada kita untuk terus berjuang menentang kezaliman dan menegakkan keadilan.

Kita jumpa lagi di Mahkamah Persekutuan, insya Allah.- tajdid_

Read More...

PAS: Mogok lapar untuk bukan Islam

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | May 26, 09 11:16am

Pesuruhjaya PAS Perak menafikan pemimpinnya bermogok lapar - dianggap bertentangan dengan ajaran Islam - seperti didakwa sesetengah pihak.

"Banyak pihak tidak mengambil maklumat yang betul. Sebenarnya, mogok lapar ini untuk kawan-kawan yang bukan Islam. Yang , (mereka) berpuasa sunat," kata Ahmad Awang pagi ini.

"Hari ini 1 Jamadil Akhir. Menurut takwim hijrah, dari 1 hingga 3 hari bulan, (orang Islam) memang sunat berpuasa.

"Dalam Islam pun, memang digalakkan berpuasa sunat dahulu sebelum memohon sebarang hajat yang besar."

Beliau mengulas tuduhan yang dilemparkan kepada PAS - yang bergabung dalam Pakatan Rakyat - apabila menganjurkan mogok lapar selama 72 jam mulai hari ini untuk mendesak pembubaran DUN.

Tokoh agama terkenal Johor, Datuk Noh Gadut semalam dilaporkan berkata, amalan mogok lapar haram dan bercanggah dengan al-Quran dan sunnah kerana ia boleh memudaratkan.

Ahmad juga menjelaskan, Pakatan di Perak tidak mengabaikan aspek kesihatan dalam mogok tersebut apabila perkhidmatan doktor disediakan kepada mereka yang terlibat, termasuk beberapa ADUN.

Menteri besar mereka Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan speaker gabungan pembangkang itu V Sivakumar melancarkan dan menyertai mogok tersebut.

Mogok lapar yang bermula di ibu pejabat DAP Perak di Ipoh pagi ini akan berakhir di pejabat PAS negeri petang Khamis dengan solat hajat.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |