+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, September 22, 2008

Terpulang kepada PM untuk berundur atau tidak 9 Oktober - Muhyiddin

KLpos

KL: Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata terpulanglah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memutuskan sama ada akan mengundurkan diri atau tidak pada 9 Oktober.

"Kita serahkan kepada Perdana Menteri dan juga Presiden Umno untuk memikirkannya. Saya tidak fikir ada keperluan untuk memberikan tekanan atau memperkatakan lagi mengenainya.

"Saya fikir beliau sedar apa yang berlaku pada peringkat akar umbi. Beliau boleh dapat banyak maklumat daripada para pegawai dan sumber-sumber politiknya untuk menilai apa yang telah berlaku di sana (akar umbi)," kata beliau ketika ditanya sama ada Perdana Menteri akan mengundurkan diri pada 9 Oktober.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-Jepun, yang dianjurkan Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) di sini hari ini.

"Apa juga kenyataan, Saya fikir ia bukanlah ada kaitan sangat dengan keadaan, ramai yang telah menyuarakan pandangan mereka dan saya adalah salah seorang daripada mereka.

"Isu pelan peralihan, Saya tidak fikir kita perlu memberikan tekanan kuat kepada sesiapa untuk tujuan ini. Saya fikir, yang paling penting ialah apa yang Datuk Seri Najib (Tun Razak) katakan bahawa keputusan paling penting akan diputuskan oleh perwakilan pada mesyuarat bahagian yang akan bermula Oktober ini," kata Muhyiddin.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut ditanya sama ada isu peralihan kuasa itu akan mempengaruhi anggota Umno dan beliau berkata:

"Saya berpendapat ahli yang ada sekarang ini terdiri daripada mereka yang memahami dan tahu dan mengikuti perkembangan sedekatdekatnya.

Mereka juga mempunyai aspirasi dan citacita, mereka faham apa yang dirasa rakyat secara keseluruhan.

"Mereka tidak terasing daripada apa yang dirasakan oleh masyarakat majmuk. Mereka juga memikirkan tentang parti, soal negara. Apa pun sentimen seperti ini kita tidak boleh memperkecilkan," katanya. / Bernama


"Saya fikir beliau sedar apa yang berlaku pada peringkat akar umbi"

Read More...

DUN Ladang Kekal Bersama PAS

Buletin Online

Ditulis oleh Wartawan Buletin
Monday, 22 September 2008

http://buletinonline.net/images/berita11/thokempen.jpg
(Imbas kembali.....Dato' Tengku Hassan berucap semasa kempen pilihanraya lalu)
Kuala Terengganu - DUN Ladang kekal bersama PAS apabila Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini, menolak petisyen pilihan raya oleh UMNO Terengganu.

Ia adalah berikutan kegagalan pempetisyen membuktikan dakwaannya bahawa kerani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melaksanakan tugas dalam mengendalikan kertas undi pos, Kuala Terengganu

Keputusan dibacakan oleh Hakim Datuk Ramly Ali yang menolak permohonan UMNO Terengganu untuk membuat pemeriksaan rapi dan pengiraan semula undi pos bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang.

"Setelah menimbang semua keterangan, pempetisyen gagal membuktikan petisyen (yang memohon pemeriksaan rapi dan pengiraan undi pos). Dengan ini petisyen (UMNO Terengganu) ditolak," katanya.

Pada 28 April lepas, UMNO Terengganu memfailkan petisyen memohon pemeriksaan semula dilakukan terhadap 127 undi pos bagi DUN Ladang yang ditolak SPR pada hari pengundian 8 Mac lepas.

Petisyen tersebut dikemukakan oleh Ketua UMNO Cawangan Lorong Kemunting, Mahari Endut yang menamakan tiga pihak iaitu Pegawai Pengurusan Pilihan Raya bagi Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Md Razali Kassim, SPR dan Anggota Dewan Undangan Negeri Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar sebagai responden.

Mahari diwakili oleh barisan peguam diketuai Datuk Muhammad Shafee Abdullah manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Mohd Said mewakili SPR dan Tengku Hassan pula diwakili peguam Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong.

Pada pilihan raya umum ke-12 8 Mac lepas, calon PAS Dato’ Tengku Hassan Omar mengalahkan Bekas Exco Terengganu, Dato’ Wan Hisham yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti.

Bernama memetik kata Wan Abdul Muttalib berkata mahkamah menolak petisyen yang dikemukakan oleh UMNO Terengganu kerana tiada keterangan daripada saksi-saksi pempetisyen yang boleh membatalkan kemenangan Tengku Hassan itu.

Beliau berkata mahkamah mendapati kerani-kerani SPR telah melaksanakan tugas dengan sempurna serta mengikut undang-undang dalam mengendalikan kertas undi pos berkenaan.

Sementara itu, Dato’ Tengku Hassan berkata sejak daripada awal, beliau sudah menjangka untuk memenangi kes itu.

Sehubungan itu, beliau berkata tugasnya kini adalah untuk memberi sepenuh perhatian dalam memberikan khidmat kepada pengundi di DUN Ladang.

Read More...

Tambatan ringgit akan dilaksana jika perlu - Najib

Berita Harian

Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my


ABDUL RAHMAN (depan) menyampaikan duit raya kepada fakir miskin anjuran Liga Muslim Pulau Pinang, semalam. Turut hadir Nor Mohamed.

Najib diberi taklimat luar biasa isu ekonomi negara

GEORGETOWN: Cadangan menambat semula ringgit kepada Dolar Amerika Syarikat dan harga minyak, antara perkara yang akan dibincangkan apabila Datuk Seri Najib Razak memulakan secara rasmi tugas Menteri Kewangan, hari ini.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata Timbalan Perdana Menteri akan diberikan taklimat luar biasa secara terperinci mengenai butiran pelbagai isu oleh pegawai kementerian.

"Taklimat ini luar biasa kerana ini kali pertama Najib hadir mesyuarat di Kementerian Kewangan sebagai Menteri Kewangan.

"Ini adalah taklimat lengkap yang merangkumi semua aspek termasuk kadar pertukaran wang bagi membolehkan beliau membuat keputusan bijaksana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Bantuan Hari Raya 2008 anjuran Liga Muslim Pulau Pinang di Masjid Kapitan Keling di sini, semalam.

Bantuan kepada 1,500 fakir dan miskin serta orang kurang upaya disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan Toh Puan Majimor Shariff.

Nor Mohamed mengulas cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, supaya sistem tambatan ringgit dilaksanakan semula bagi mengurangkan impak kejatuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) terhadap mata wang negara.

Dr Mahathir berkata, nilai mata wang AS yang semakin menyusut akhir-akhir ini, akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Read More...

ISA tetap kekal walau Pakatan memerintah

KLpos

KETIKA pelbagai pihak menggesa agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, pemerhati politik yakin undang-undang berusia hampir lima dekad itu akan tetap kekal diguna pakai sama ada oleh kerajaan semasa atau jika negara diperintah pembangkang satu hari nanti.

Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, biarpun banyak pihak mendesak ISA dimansuhkan, tetapi beliau pasti kerajaan tidak akan menghapuskannya dalam masa terdekat.

"Saya yakin sama ada kerajaan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat yang memerintah negara ini mereka tidak akan memansuhkan ISA," katanya kepada mStar Online hari ini

Jelasnya, walaupun akta tersebut memberi kebaikan tetapi ia telah digunakan untuk kepentingan politik parti pemerintah.

“Perkara seperti ini tidak wajar berlaku. ISA sepatutnya digunakan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman,” katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa ISA tidak wajar dihapuskan kerana ia merupakan senjata terakhir yang telah banyak menyelematkan negara daripada ancaman musuh.

“ISA telah banyak memberi manfaat kepada negara ini... jadi kerajaan punya sebab untuk mempertahankannya. Cuma apa yang dikesalkan adalah ia telah dipolitikkan pada hari ini,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kerajaan berpendapat ISA masih perlu bagi menjamin keamanan dan keselamatan dan kerajaan tidak bercadang menghapuskannya.

Namun pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk melahirkan pendapat berbeza mengenai ISA.

Tegasnya, ISA perlu dihapuskan segera kerana ia memberi kesan kepada keadaan politik semasa.

“ISA perlu dihapuskan segera kerana ia memberi kesan kepada kestabilan politik semasa,” katanya.

Jelasnya, pelbagai pihak menentang penggunaan akta tersebut kerana mereka yang ditahan di bawah akta tersebut berada dalam tahanan tanpa dibicarakan.

“Ramai yang tidak bersetuju kerana akta ini dianggap melanggar hak asasi manusia.

"Sesiapa yang ditangkap perlu dibicarakan dan mahkamah akan menentukan seseorang itu bersalah atau tidak,” katanya.

Sehubungan jelas Azeem, terdapat akta lain yang boleh digunakan bagi menggantikan ISA.

“Kerajaan boleh menggunakan Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Pertubuhan yang dilihat lebih adil untuk digunakan ke atas mereka yang dilihat mengancam keselamatan negara,” katanya.

Tegasnya, ISA wajar digunakan ke atas perkara yang benar-benar mengancam keselamatan negara seperti gerakan subversif dan keganasan yang membawa impak negatif kepada negara. / Mstar

Read More...

ISA: Teresa Kok dibebaskan

Malaysiakini

Sep 19, 08 1:19pm

Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini selepas disiasat selama seminggu.

Beliau dibebaskan di balai polis Jalan Travers, Kuala Lumpur jam 1 petang.

teresa kok released from isa 190908 11Beliau berada di balai polis berkenaan selama 40 minit untuk proses urusan pembebasan sebelum keluar bersama ibu bapanya Kok Kim Tong Pong Seh Kwon (foto kanan), peguamnya Sankara Nair dan pembantunya Mandy Ooi (foto bawah).

DAP memaklumkan satu sidang media berhubung pembebasan itu akan diadakan di ibu pejabatnya di Petaling Jaya jam 3.30 petang.

Exco kanan kerajaan Selangor itu ditahan bawah ISA menjelang tengah malam Jumaat lepas.

teresa kok released from isa 190908 05Beliau antara tiga orang yang ditahan minggu lalu bawah kontroversi itu selepas penangkapan editor Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng.

Tan dibebaskan Sabtu lepas, sementara Raja Petra masih ditahan.

Teresa, yang juga ahli Parlimen Seputeh, ditangkap kira-kira jam 11.15 malam Jumaat lalu ketika pulang daripada menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur.

Teresa yang setiausaha organisasi kebangsaan DAP, ditahan selepas kenderaan yang dinaikinya dihalang oleh tiga kereta peronda polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan penahanan Teresa mengikut Seksyen 73 (1) ISA.

teresa kok released from isa 190908 10Menurut pemimpin utama DAP Lim Kit Siang, tiga kereta polis bersama 10 anggota menahan Teresa di pintu masuk kondominiumnya.

Katanya, Teresa baru pulang daripada menghadiri satu majlis festival kuih bulan di pejabatnya di kawasan pilihanrayanya.

Teresa ditahan untuk siasatan berhubung tuduhan melarang laungan azan di dua masjid, penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan laporan polis terhadapnya oleh beberapa pertubuhan Islam, termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata Teresa dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan siasatan dan tiada lagi sebab-sebab untuk terus menahannya.

"Selepas penangkapan dan siasatan dijalankan, polis berpuas hati bahawa tiada lagi sebab untuk meneruskan penahanan lanjut dan memutuskan untuk membebaskan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, ahli politik popular itu ditahan di hadapan pintu masuk kondominium Pearl Tower, OG Height, Jalan Awan Cina, Kuala Lumpurpada 12 September selepas disyaki terlibat dalam perkara-perkara yang memudaratkan keselamatan negara.

Read More...

Bahaya jika semua parti kaum Cina sokong pembangkang

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai hari ini mengingatkan masyarakat Cina tentang bahaya jika semua parti berasaskan kaum Cina berpihak kepada pembangkang dan hanya parti berasaskan orang Melayu menjadi parti memerintah.

Senario itu, jelas beliau, sudah pasti akan mewujudkan ketegangan dan mencetuskan suasana tidak baik kepada perniagaan dan ekonomi.

Menurut beliau, dalam sebuah negara yang masyarakatnya berbilang kaum seperti Malaysia, pentadbiran kerajaan perlu melibatkan pelbagai kaum bagi mengekalkan keamanan.

Sehubungan itu, MCA, tegas beliau, tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) walaupun terdapat cadangan daripada beberapa pemimpin masyarakat Cina supaya parti terbesar kaum Cina itu berbuat demikian.

“Sebagai parti komponen kedua terbesar dalam BN, kita tidak harus fikir untuk meninggalkan BN semata-mata kerana tidak berpuas hati terhadap sesetengah individu yang ada dalam BN.

“Kita perlu melihat senario politik semasa secara meluas dan memikirkan kesannya terhadap parti jika berbuat demikian,’’ kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen MCA Selangor di sini.

Siang Chai menjawab pertanyaan sama ada MCA akan bertindak keluar daripada komponen BN memandangkan ada syor supaya sebuah lagi parti Cina dalam komponen itu, Gerakan, berbuat demikian.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, MCA memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Gerakan pula yang bertanding di 12 kerusi Parlimen cuma menang dua kerusi.

Timbalan Menteri Pelancongan itu memberitahu, beliau tidak menggalakkan ahli-ahli senior dalam MCA bercakap terlalu banyak berkenaan perkara itu kerana merasakan sebarang keputusan untuk keluar BN harus dibuat selepas kepimpinan baru dipilih pada pemilihan MCA Oktober ini.

“Sekiranya ingin membuat sesuatu keputusan, kita perlu tunggu sehingga kepimpinan parti diambil alih oleh pemimpin baru pada 18 Oktober ini dan biarlah mereka yang menentukannya,’’ kata beliau.

MCA akan mengadakan pemilihan pada pertengahan bulan depan bagi memilih seorang presiden, seorang timbalan presiden, empat naib presiden dan 25 anggota jawatankuasa pusat parti itu.

Ditanya mengenai jawatan yang akan ditandinginya, Siang Chai berkata, beliau akan mengumumkannya hujung bulan ini setelah MCA di semua negeri selesai mengadakan konvensyen masing-masing.

Read More...

Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak - Aziz Bari

Harakahdaily

Profesor Dr. Abdul Aziz Bari
Sun | Sep 21, 08 | 11:16:57 am MYT

Cara Dato' Seri Abdullah Badawi menjawab soalan-soalan pemberita mengenai Dato' Seri Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini menunjukan bahawa beliau memandang serius cabaran Ketua Pembangkang itu.

Sebelum ini Abdullah biasanya berkata bahawa Anwar hanya bergimik apabila mendakwa bahawa beliau mempunyai cukup bilangan ahli parlimen yang akan melompat ke Pakatan Rakyat, lantas membolehkan kerajaan baru dibentuk.

Tetapi mutakhir ini Abdullah telah bertukar nada. Anwar telah dituduh sebagai pengancam keselematan dan ekonomi negara. Tuduhan ini membayangkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mungkin akan digunapakai.

Jelas sekali kerajaan kini merasa tergugat. Selain cabaran daripada Anwar, parti pemerintah juga digugat oleh perebutan kuasa dalaman. Jika kita lihat reaksi beberapa menteri terhadap penggunaan ISA baru-baru ini, tidak mustahil jika kita katakan bahawa Abdullah tidak lagi dapat mengawal sepenuhnya kabinet beliau.

Negara kita boleh dianggap sebagai menghampiri situasi krisis. Dalam waktu sebegini, kita memerlukan sesuatu yang mungkin kelihatan sedikit 'di luar perlembagaan' (extra-constitutional) untuk menangani keadaan.

Cara-cara biasa mungkin tidak berkesan, terutama kerana kerajaan seolah-olah telah panik dan kelihatan tidak lagi berkebolehan untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dan mengendalikan tugas-tugas biasa dalam pentadbiran.

Negara kita berbeza dengan Thailand dan Indonesia kerana kita tidak mempunyai Mahkamah Perlembagaan untuk dirujuk. Biasanya kita merujuk kepada Mahkamah Persekutuan tetapi sepanjang 51 tahun lepas Mahkamah Persekutuan tidak pernah membicarakan perlanggaran perlembagaan.

Dan, berbeza dengan Mahkamah Agong Amerika Syarikat yang telah beberapa kali membicarakan kontroversi-kontroversi berkaitan perlembagaan, Mahkamah Persekutuan kita tidak langsung dirujuk semasa krisis perlembagaan pada tahun 1983, 1988 dan 1993. Mungkin ini merupakan tempias daripada kurangnya keyakinan rakyat terhadap kredibiliti dan kebolehan hakim-hakim kita.

Maka kita tinggal dengan satu sahaja pilihan iaitu Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong sebenarnya mempunyai beberapa peranan dan kuasa khusus yang boleh digunapakai dalam situasi sekarang. Baginda boleh mendapatkan bantuan daripada Majlis Raja-Raja yang diberi kuasa oleh perlembagaan untuk membincangkan apa sahaja perkara yang dirasakan perlu.

Masalah yang sedang kita alami sekarang berkisar di sekeliling isu perlantikan kerajaan, yang dalam bahasa perlembagaan sebenarnya ialah isu perlantikan perdana menteri. Perlembagaan memberikan tanggungjawab ini kepada Yang di-Pertuan Agong berdasarkan budi bicara Baginda.

Dalam situasi yang terang, contohnya jika terdapat majoriti di parlimen dan ketua yang jelas, maka Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan selain daripada melantik ketua tersebut sebagai perdana menteri dan seterusnya menerima nasihat perdana menteri dalam urusan pembentukan kabinet.

Ini boleh berlaku selepas pilihan raya umum, kematian perdana menteri semasa masih memegang jawatan, ataupun setelah berlaku perletakan jawatan perdana menteri.

Peletakan jawatan boleh berlaku dengan beberapa bentuk. Contohnya peletakan jawatan biasa seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003.

Dalam konteks negeri dan peranan sultan negeri tersebut pula, kita boleh melihat contoh yang berlaku setelah Dewan Undangan Negeri tidak lagi menyokong Menteri Besar mereka seperti yang dialami oleh Menteri Besar Selangor Harun Idris pada tahun 1976 dan Menteri Besar Kelantan Mohamed Nasir pada tahun 1977.

Tetapi perlembagaan negara kita tidak mempunyai klausa yang jelas dalam isu peletakan jawatan. Satu-satunya peruntukan yang menyentuh isu peletakan jawatan ialah Artikel 43(4) yang menyebut bahawa mana-mana perdana menteri yang kehilangan sokongan dewan rakyat perlu meletak jawatan.

Tetapi perlembagaan kita tidak menyebut mengenai proses menarik balik sokongan terhadap perdana menteri. Ini telah dimanipulasi oleh Umno dan Barisan Nasional. Speaker Dewan Rakyat seolah-olah berusaha keras untuk menafikan usaha Pakatan Rakyat membawa usul tidak percaya di parlimen.

Apa peranan Yang di-Pertuan Agong dalam situasi sekarang? Berdasarkan undang-undang, Yang Di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat kerajaan. Hakikatnya, walaupun tidak disebut secara jelas dalam perlembagaan, Baginda perlu memastikan wujud sebuah kerajaan pada setiap masa.

Seterusnya, jika terdapat persoalan mengenai kredibiliti dan legitimasi sesebuah kerajaan, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh bersikap tunggu dan lihat sahaja. Baginda wajar bertindak proaktif dan mengawal keadaan. Tidak ada institusi lain yang boleh memainkan peranan ini. Kita tidak boleh bergantung dengan kerajaan sedia ada tatkala kesahihan kerajaan tersebut sendiri sedang dipertikaikan.

Mungkin jika kita mengikut protokol dengan ketat maka Anwar tidak boleh ke Istana Negara sekarang. Dengan itu, Yang di-Pertuan Agong sewajarnya menjemput Ketua Pembangkang tersebut untuk mengadap dan mempersembahkan senarai ahli parlimen yang beliau dakwa akan menyokong beliau dalam kerajaan baru.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak untuk mendengar secara terus daripada ahli-ahli parlimen tersebut, sama seperti mana Sultan Selangor dan Raja Perlis telah memanggil mengadap ahli-ahli dewan undangan negeri mereka selepas pilihan raya Mac lalu.

Sekiranya Yang di-Pertuan Agong mendapati dakwaan Anwar adalah benar dan Anwar memang mempunyai sokongan yang mencukupi daripada ahli-ahli parlimen, maka Baginda boleh menitahkan agar Abdullah meletak jawatan.

Bukan sahaja Abdullah boleh dititahkan untuk meletak jawatan, bahkan dalam situasi sedemikian, berdasarkan undang-undang, peletakan jawatan menjadi tanggungjawab Abdullah dan kabinetnya.

Jika diteliti perlembagaan asal yang dihasilkan oleh Lord Reid, sebenarnya memang terdapat peruntukan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong memecat Perdana Menteri dalam situasi sedemikian.

Tetapi peruntukan ini tidak dimasukkan dalam draf akhir yang diluluskan menjadi perlembagaan negara kita. Bagaimanapun, saya berpendapat bahawa Yang di-Pertuan Agong masih mempunyai kuasa untuk menyelesaikan masalah ini.

Artikel 43(4) juga menyentuh mengenai pembubaran parlimen. Tetapi Artikel ini perlu dibaca dengan Artikel 40(2)(b) yang memberi kuasa kepada Yang Di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan budi bicara dalam menentukan sama ada perlu atau tidak parlimen dibubarkan setelah diminta oleh perdana menteri.

Berdasarkan pengalaman negara-negara Komanwel, Suruhanjaya Reid mengatakan bahawa terdapat beberapa sebab kenapa pembubaran parlimen perlu diserahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, antaranya ialah untuk mengelakkan negara kita dipaksa mengulangi pilihan raya berkali-kali oleh kerajaan yang tidak stabil.

Jika kita teliti semula situasi sekarang, maka bagi saya tidak ada keperluan bagi Yang di-Pertuan Agong membubarkan parlimen walaupun diminta. Kita baru sahaja menjalankan pilihan raya umum pada Mac 2008 dan kita boleh membentuk kerajaan tanpa perlu satu lagi pilihan raya.

(Profesor Dr. Abdul Aziz Bari ialah Profesor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa) - (www.WauBebas.org)._

Read More...

Polis bebaskan blogger Kickdefella

Malaysiakini

Andrew Ong | Sep 20, 08 4:44pm

Penulis blog Syed Azidi Syed Abdul Aziz dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 1 tengahari ini selepas ditahan selama tiga malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (CCID).

Sebaik sahaja dibebaskan, beliau ditemui pula pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau keluar dari ibupejabat CCID pada kira-kira jam 4 petang dan disambut oleh anggota keluarganya serta rakan-rakan nya.

Syed Azidi, 38, pegawai perhubungan awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan, ditahan di rumahnya di Demit, Kota Bharu mengikut Akta Hasutan pada 17 September.

Beliau disiasat kerana didakwa menyiarkan bahan berunsur hasutan di blognya, Kickdefella, membabitkan kempen memasang Jalur Gemilang secara terbalik semasa menyambut ulang tahun kemerdekaan bulan lalu.

Beliau akan dipanggil semula oleh polis pada 17 Oktober depan.

Tidak beri kenyataan

Bercakap kepada pemberita di rumah saudaranya di Kuala Lumpur kemudiannya, Syed Azidi berkata beliau tidak memberi sebarang kenyataan kepada polis sepanjang dia ditahan.

kickdefella released syed azidi 200908 lawyer amrit pal singh (left) salahuddin ayub (right)"Saya beritahu mereka jika mereka mahu kenyataan, mereka hendaklah mendakwa saya dan saya akan beri kenyataan saya di mahkamah di depan hakim," katanya.

Syed Azizi berkata, beliau sedar bahawa polis sedang mencarinya sejak hari Selasa di tempat kerjanya di Kelantan.

"Saya cuba menyerah diri kepada polis Kelantan sebaik saya tahu mengenainya, tetapi mereka kata, mereka tidak mencari saya," katanya.

Pada hari Rabu, sebuah Pajero lalu di rumahnya sebanyak empat kali sebelum pegawai polis turun dan meminta Syed Azizi mengikut mereka ke Kuala Lumpur.

Syed Azidi mendakwa, pada ketika itu dia tidak sedar yang dia ditahan dan hanya menyedarinya pada hari berikutnya di Mahkamah Majistret Kota Bharu di mana perintah reman dikeluarkan terhadapnya.

'Polis layan saya dengan baik'

Beliau berkata, sebaik sahaja polis mendapat perintah reman, dia dibawa ke Kuala Lumpur dan ditahan selama dua malam di ibupejabat polis daerah Dang Wangi.

Syed Azidi berulangkali memuji polis kerana melayannya dengan baik, sambil menambah, mereka memenuhi permintaannya untuk mendapatkan ubat, sejadah dan juga minuman ringan kerana tahap gulanya rendah.

"Mereka tidak mengurung saya bersama suspek yang lain. Saya ditempatkan di dalam bilik tahanan seorang diri," katanya.

Syed Azidi percaya penahannya bermotifkan politik.

"Mereka cuba menakut-nakutkan penulis blog lain dan memudarkan semangat saya. Ia tidak berjaya," katanya.

Mengenai siasatan SKMM, Syed Azidi berkata, ia tdak ada kaitan dengan siasatan polis terhadapnya. Berita asal

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |