+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, September 29, 2008

Salam Aidilfitri....bulatkan tekad, teruskan berjuang....

Salam untuk semua,

Hari ini sudah 29 hari kita berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia ini. Sedar tak sedar lusa umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kepada yang masih lagi merasa bahang bulan Ramadhan, akan menyambung lagi puasa di bulan Syawal pula iaitu dengan berpuasa enam. Suasana politik juga seakan reda sebentar seperti menangisi pemergian Ramadhan dan meraikan kedatangan Syawal. Terpulang kepada kita merasakan bagaimana puasa Ramadhan kita pada tahun ini. Ada yang sekadar puasa lapar dan dahaga tanpa melakukan amal ibadat yang lain. Ada yang dapat berpuasa dan meningkatkan lagi keimanan di bulan Ramadhan kali ini dan tak kurang juga yang begitu khusyuk dan tekun menjalankan ibadat suruhan Allah ini tanpa mengira bulan, dan inilah orang-orang yang sepatutnya meraikan kemenangan Syawal. Tetapi, bagi mereka pemergian Ramadhan adalah satu yang perlu ditangisi kerana mereka tidak tahu sama ada boleh berjumpa lagi Ramadhan yang akan datang nanti.

Tukar kerajaan.

16 Ramadhan yang lalu kita begitu menantikan pertukaran kerajaan pusat seperti diwar-warkan oleh DSAI. Tetapi, kita hanya merancang dan Allah juga maha perancang. Awal lagi saya menjangkakan pertukaran kerajaan agak sukar untuk dilakukan pada 16 Sept lalu keran beberapa faktor selain dari faktor teknikal iaitu parlimen bercuti pada bulan puasa ini. Tetapi, tarikh ini yang dikatakan retorik dan angan-angan DSAI oleh pemimpin BN rupanya begitu ditakuti oleh Pak Lah dan suku-sakatnya. Masakan ahli parlimen dihantar ke Taiwan dengan alasan membuat lawatan sambil belajar tentang pertanian di sana. Di bulan yang mulia inilah juga ahli parlimen kita menyibukkan diri di negara yang majoriti rakyatnya tidak berpuasa. Buat apa menyibukkan diri ke sana?? Apa tidak boleh ke buat bulan lain. Walaupun kerajaan menafikan ianya ada kaitan dengan isu lompat parti, tapi umum tahu, kerajaan Pak Lah begitu takut dengan tarikh yang dikatakan tipu oleh Pak Lah ini. DSAI sebaliknya lebih nampak tenang dengan menganjakkan tarikh pertukaran kerajaan ini dari satu tarikh ke satu tarikh yang lain. Ya...memang ada rakyat yang muak, yang kononnya tidak percaya lagi akan retorik DSAI ini. Itu telahan rakyat yang tidak mempunyai semangat juang yang tinggi. Mereka umpama lalang yang sentiasa mengikut tiupan angin. Bagi saya, tidak kira bila, kerajaan Pak Lah mesti ditukar. Esok, lusa, bulan depan, tahun depan..kerajaan BN ini perlu ditukar!!!Itu muktamad.

Salam Aidilfitri, teruskan berjuang.

Sempena menyambut Aidilfitri ini saya mengambil kesempatan untuk meminta maaf daripada semua pembaca dan pengunjung web blog Tau Takpe ini. Bulatkan tekad, teruskan berjuang sehingga kerajaan BN ini turun dan digantikan dengan kerajaan yang lebih telus dan amanah. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin. Bersua lagi selepas Hari Raya nanti.

Wassalam......

-------------------------------------------------
catatan orangkita : 29 Sept 2008, 2040 pm
http://sangpemantau.blogspot.com/
-------------------------------------------------

Read More...

Jenaka: Ali Rustam mahu Teresa Kok dipecat dari 'PKR'

hasbullah pit

Cerita ini tidak tersiar di Malaysiakini , akan tetapi Sinar Harian.

Ini adalah berita yang agak terlewat.

Sila klik untuk besarkan.


"Teresa Kok wajar meminta maaf dan dipecat sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) ekoran kenyataannya yang menghina kerajaan."

"Sekiranya PKR benar-benar parti yang bertanggung jawap, Teresa wajar dipecat daripada parti itu".

Adakah Sinar Harian tersalah tulis?

Sinar Harian sememangnya mengatakan Teresa adalah wakil rakyat DAP, mereka tidak salah. Akan tetapi memetik secara bulat-bulat apa yang Ali Rustam katakan walaupun keahlian Teresa Kok dalam PKR hanya wujud dalam ilusi Ali Rustam.

Agaknya Teresa Kok ahli parti mana dalam ilusi Najib?

Read More...

Undi tidak percaya bukan satu-satunya cara

Selangor today

[Terjemahan dari Artikel bertajuk “No-confidence vote not the only way” oleh Maria J. Dass di dalam akhbar The Sun 22 September 2008]

Premis bahawa parlimen mesti bersidang bagi membolehkan undi tidak percaya dibuat terhadap Perdana Menteri adalah terlalu simplistik, kata peguam kanan Tommy Thomas. Beliau memberi respons tersebut berikutan temu bual akhbar The Sun dengan pakar undang-undang perlembagaan, Prof Dr Shad Faruqi, baru-baru ini. Shad berkata, di bawah Perkara 43(4) perlembagaan persekutuan, hanya parlimen, bukannya Yang Dipertuan Agung, boleh memecat Perdana Menteri.

Perkara 43(4) tersebut berbunyi: Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya, Yang Dipertuan Agong membubarkan parlimen.

“Sekiranya tafsiran Shad mahu diguna pakai, maka peruntukan perlembagaan itu hendaklah dibaca begini: “ Jika Perdana Menteri dikalahkan melalui usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat, maka…” kata Thomas.

“Jika tafsiran Shad adalah tepat, maka ia jelas terhad hanya kepada satu corak dan keadaan sahaja – bahawa perkara itu harus dibawa ke Dewan Rakyat, sedangkan skop perlembagaan yang luas membenarkan kaedah-kaedah lain diguna pakai”, katanya lagi.

“Saya terima bahawa kaedah yang dikemukakan oleh Shad itu sebagai kaedah tradisi dan kaedah yang lebih digemari, namun saya juga menolak anggapannya bahawa ia merupakan satu-satunya kaedah yang ada”, kata Thomas dalam temu bual pada Jumaat lepas.

Thomas seterusnya berkata, Perkara 43 (4) mewakili deraf laporan Suruhanjaya Reid yang kekal dalam bentuk asalnya dan jelas merupakan prinsip perlembagaan Inggeris yang memberikan kepada YDP Agong kuasa yang sama yang diberikan kepada raja England.

Beliau juga berkata, kebanyakan negara Komonwel mempunyai seseorang yang diberikan kuasa dan kedudukan yang sama dengan raja Inggeris itu. India, sebagai sebuah republik, mempunyai seorang Presiden; Australia dan New Zealand pula mempunyai Gabenor yang mewakili Ratu Inggeris.

Jadi apakah kaedah lain yang ada selain daripada undi tidak percaya?

Thomas: Untuk menjawab soalan ini, kita perlu terlebih dahulu melihat kepada hakikat bahawa di kebanyakan negara Komonwel, terdapat seorang Ketua Tertinggi, iaitu seorang raja berlembagaan. Di Malaysia, ia merupakan Yang Dipertuan Agong seperti yang ditetapkan oleh Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan. Ketua Tertinggi ini mestilah berperanan melampaui kepentingan politik dan berperanan menstabilkan negara, terutama sekali dalam suasana krisis seperti sekarang ini.

Perkara 43(2)(a) menetapkan bahawa Yang Dipertuan Agong harus terlebih dahulu melantik seorang Perdana Menteri daripada kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat yang menurut pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli itu untuk mengetuai Jemaah Menteri. Ini menunjukkan bahawa pelantikan tersebut adalah tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertuan Agong.

Menurut Perkara 40 (1) pula, Yang Dipertuan Agong mesti mendapatkan nasihat Perdana Menteri pada 99.999% masa, tetapi baginda juga boleh bertindak mengikut budi bicara dalam melantik Perdana Menteri dan untuk tidak memberikan persetujuan kepada permintaan untuk membubarkan parlimen (Perkara 40(2).

Dalam keadaan-keadaan tertentu, baginda tidak perlu menerima nasihat Perdana Menteri kerana nasihat tersebut mungkin bersifat berkepentingan diri. Dalam kes Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka nasihat berkepentingan diri itu mungkin bertujuan mengekalkan kedudukannya atau supaya beliau tidak dipecat.

Jadi dalam keadaan ini dan dalam keadaan-keadaan sukar yang lain, Yang Dipertuan Agong harus dan melihat dan menilai keadaan melampaui nasihat tersebut dan hendaklah bertindak bagi kepentingan negara.

Sebagai raja berpelembagaan, Yang Dipertuan Agong tidak boleh memecat Perdana Menteri melainkan baginda yakin bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang ditetapkan oleh Perkara 43(4) dan 40(3).

Sekiranya berlaku keadaan-keadaan yang disebut di bawah perkara 43(4), maka Perdana Menteri boleh dilucutkan jawatan sekiranya beliau tidak melepaskannya secara sukarela. Peruntukan-peruntukan perlembagaan ini memberikan Yang Dipertuan Agong kuasa budi bicara yang luas, namun baginda juga tidak boleh bertindak sebagai diktator kerana terdapat kekangan terhadap kuasa budi bicara itu.

Sebagai contoh, baginda tidak boleh melantik saya atau anda semata-mata sebagai Perdana Menteri sebab kita bukanlah ahli Dewan Rakyat. Ini jelas menunjukkan bahawa pilihan yang baginda miliki adalah terhad kepada 222 orang sahaja yang merupakan ahli dewan tersebut.

Bagaimanakah Yang Dipertuan Agong boleh melaksanakan kuasa budi bicara baginda itu jika tidak berlaku usul undi tidak percaya?

Melalui satu perisytiharan bertulis dan bertandatangan oleh majoriti ahli Dewan Rakyat yang menyatakan tidak percaya terhadap Perdana Menteri, yang dikemukakan kepada baginda oleh seorang ahli atau sejumlah ahli parlimen. Dokumen tersebut adalah sebagai bukti yang sah tentang sikap tidak percaya itu. Sekiranya Yang Dipertuan Agong berpuas hati dengan dokumen itu dan kesahihannya, maka baginda boleh menerimanya – sebagai satu cara untuk mengesahkan hilang kepercayaan itu.

Di sini, saya mahu memberi komentar tentang kenyataan Shad apabila beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi di Kucing yang menolak kaedah ini dalam kes Stephen Kalong Ningkan (1966).

Dalam hal ini, Shad gagal menyebut sebuah kes Majlis Privy sebelum itu (Kes Nigeria: Adegbenro lwn Akintola, 1963) dan sebuah kes Malaysia selepas itu yang memutuskan sebaliknya.

Dalam kes Nigeria, Gabenor Nigeria menerima surat atau dokumen sedemikian dan berdasarkannya, beliau memecat Ketua Menteri negara tersebut, tetapi menteri berkenaan berkata, “tidak ada undi tidak percaya terhadap saya, justeru saya tidak dipecat”.

Majlis Privy memutuskan bahawa pemecatan itu adalah sah dan Gabenor boleh bertindak mengikut pertimbangannya kerana kuasa budi bicara yang beliau miliki.

Pada tahun 1966, Hakim Harley dalam penghakimannya ke atas kes Stephen Kalong Ningkan berkata, beliau tidak akan mengikut kes Nigeria itu kerana negara tersebut adalah berbeza daripada Sarawak – ini bagi saya adalah pandangan yang amat simplistik.

30 tahun kemudian, kita ada sebuah kes yang melibatkan Datuk Amir Kahar Mustapha dan Tun Mohd Said Keruak – iaitu kes bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Joseph Pairin Kitingan, apabila beberapa beberapa ahli Dewan Negeri melompat parti selepas pilihan raya umum 1994. Akibatnya, Pairin hilang jawatan sebagai Ketua Menteri.

Pelantikan Ketua Menteri baru selepas itu telah dicabar di mahkamah. Fakta kes adalah serupa dan isu yang dibangkitkan ialah sama ada surat atau dokumen yang ditandatangani ahli-ahli dewan boleh diterima. Hakim Kadir Sulaiman telah menuruti kaedah dan keputusan kes Majlis Privy.

Lebih menarik, peguam yang hujahnya diterima oleh Hakim Kadir Sulaiman dalam kes Pairin itu ialah Peguam Negara kini, iaitu Tan Sri Gani Patail, yang ketika itu mewakili kerajaan Sabah.

Kelemahan kaedah ini ialah keperluan memastikan kesahihan tanda tangan ahli dewan terbabit. Kaedah ini juga menuntut Yang Dipertuan Agong bertindak dengan waras dan bertanggungjwab, bukannya sewenang-wenang. Justeru, baginda harus membuat siasatan sendiri dan harus berpuas hati dengannya, sekali gus memaklumkan secara terbuka langkah-langkah yang diambil untuk membuat keputusan tersebut bagi kepentingan negara.

Untuk tujuan itu, Yang Dipertuan Agong boleh memanggil ahli-ahli terbabit masuk menghadap bagi memastikan sama ada mereka berbuat demikian dengan rela dan waras. Ini sebagai pengesahan dan bukti yang sahih. Jika seseorang raja berperlembagaan mengambil langkah-langkah ini, maka baginda tidak boleh dikiritik atau dituduh mempunyai kepentingan politik dan lain-lain.

Kuasa YDP Agong dalam memecat Perdana Menteri

Senario pertama:

Pengundian dibuat di Dewan Rakyat dan usul tidak percaya dibawa. Perdana Menteri sediaada harus memaklumkan kepada YDP Agong bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan ahli dewan. Perdana Menteri memiliki kuasa budi bicara untuk memohon membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan bagi menguji kepercayaan dan mandat rakyat.

YDP Agong boleh menggunakan kuasa budi bicara baginda di sini. Sekiranya baginda bersetuju, parlimen akan dibubarkan dan kerajaan Perdana Menteri sedia ada akan dilantik sebagai kerajaan sementara. Tetapi jika YDP Agong menolaknya, maka Perdana Menteri mestilah meletakkan jawatan daripada kabinet. Sekiranya beliau enggan berbuat demikian, maka secara tersirat, YDP Agong boleh memecat beliau.

Senario kedua:

YDP Agong tidak bergantung kepada usul di dalam dewan, tetapi kerana berpuas hati bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan daripada majoriti ahli dewan, lalu mengarahkan Perdana Menteri supaya meletak jawatan dan menggantikannya dengan seorang calon lain yang menurut pertimbangan baginda adalah sesuai untuk mengisi jawatan itu. Jika Perdana Menteri enggan mematuhi arahan tersebut, maka perlembagaan mengisyaratkan bahawa beliau boleh dipecat.

Apakah yang bakal berlaku sekiranya usul undi tidak percaya ditolak oleh Speaker di Dewan Rakyat?

Pertama, ini melanggar perlembagaan. Tetapi kaedah ini hanya penting sekiranya ia dianggap sebagai satu-satunya cara yang ada. Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tampak mengambil langkah yang cermat dengan menggunakan kaedah ini terlebih dahulu, iaitu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Dua usul sedemikian telah dikemukakan sebelum ini dan ditolak oleh Speaker.

Apakah yang bakal berlaku jika Anwar ditahan di bawah ISA?

Sekiranya Anwar ditahan, YDP Agong masih boleh meminta beliau dibebaskan untuk menghadap baginda – sekiranya baginda melihat beliau sebagai calon paling layak untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.

Read More...

Kerajaan Selangor Pakatan akui kuil di Ampang diroboh

Mstar Online

AMPANG: Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat hari ini mengakui yang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)telah merobohkan sebuah kuil di Ampang awal bulan ini walaupun dinafikan sebelum ini.

Dalam kenyataan media hari ini, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, pihaknya juga kesal dengan tindakan MPAJ merobohkan Kuil Sri Mahakaliamman di Kampung Tasik itu tanpa kebenaran kerajaan negeri.

"Kita telah arahkan kepada semua pihak majlis perbandaran di Selangor supaya mana-mana rumah ibadat yang hendak hendak dirobohkan mesti mendapat kelulusan kerajaan negeri," katanya semasa mengadakan lawatan ke tapak Kuil Sri Mahakaliamman hari ini.

Ia bertentangan dengan kenyataan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dua hari lalu bahawa kuil berkenaan telah dirobohkan untuk kerja-kerja pengubahsuaian bangunan dan dokumentasi.

Dr. Xavier, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Estet dan Kerajaan Prihatin berkata, tiada pihak berhak untuk merobohkan rumah ibadat sama ada masjid, surau, kuil, tokong mahupun gereja walaupun ia dibina secara tidak sah.

Surat makluman mengenai perkara tersebut juga telah dihantar kepada semua majlis perbandaran di Selangor.

Bagaimanapun Dr. Xavier berkata, perkara ini berpunca daripada kesilapan dan kelemahaan kedua-dua pihak.

"Pertamanya MPAJ meroboh tanpa merujuk kerajaan negeri dan keduanya pihak pengurusan kuil telah membina kuil ini tanpa mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan," katanya.

Semalam, MIC menggesa Kerajaan Negeri Selangor mendedahkan kepada umum laporan sebenar berhubung tindakan merobohkan kuil berkenaan apabila dua wakil rakyat berkenaan - kedua-duanya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi kenyataan bercanggah tentang perkara itu.

Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kenyataan dua wakil rakyat itu mengelirukan rakyat tentang siapa sebenarnya yang bertanggungjawab merobohkan kuil Sri Mahakaliamman pada 9 September lalu.

Beliau berkata, menurut Zuraida binaan itu diroboh oleh jawatankuasa kuil berkenaan bagi menjalankan kerja pengubahsuaian, tetapi Dr. Xavier pula berkata, lima hingga enam pegawai penguatkuasa MPAJ terlibat dalam kerja merobohkan kuil itu.

Kerajaan negeri yang diterajui PKR tidak sepatutnya mengalihkan isu ini dengan mendakwa MIC membuat tuduhan tidak berasas, kata Samy Vellu.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Zuraida itu, Dr. Xavier berkata, berlaku salah faham mengenai kenyataan tersebut.

"Saya telah bercakap dengannya (Zuraida) pagi tadi, beliau menafikan memberi sebarang kenyataan bahawa kuil itu dirobohkan oleh pihaknya seperti mana yang dilaporkan di media.

"Dia menafikannya dan saya fikir pengerusi kuil ini iaitu S. Murugiah boleh pastikan bahawa ia tidak dilakukan oleh beliau dan jawatankuasanya," katanya.

Menurut beliau, kerajaan Pakatan Rakyat yang menerajui negeri Selangor berjaya menangani isu ini dengan sebaik mungkin dan berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba untuk mempolitikkan perkara ini.

"Kalau kita tengok pada rekod terdahulu, banyak kuil dirobohkan semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) berkuasa dan MIC yang merupakan sebahagian daripadanya turut membenarkan perkara ini berlaku," katanya.

Tambah beliau, walaupun Pakatan Rakyat baru enam bulan mentadbir Selangor tetapi kerajaan negeri memandang serius perkara ini.

Namun baginya persoalan yang timbul ialah bagaimana kerajaan terdahulu membenarkan isu pembinaan kuil secara tidak sah terus berlaku tanpa sekatan.

"Dulu mereka tutup mata dan benarkan, tapi sekarang mereka kata bina kuil atas tanah haram.

"Mengapa dulu boleh sedangkan memang ada peraturan-peraturan tertentu untuk membina kuil," soalnya.

Beliau menambah, pihak jawatankuasa kuil tersebut boleh mengemukakakan permohonan jika ingin meneruskan kuil tersebut.

Katanya kerajaan negeri boleh membuat pertimbangan mencari tapak yang sesuai bagi menempatkan semula kuil yang telah dirobohkan itu.

Jelas beliau, kerajaan negeri sentiasa menyambut baik cadangan pembinaan kuil, namun perlu mengikut garis panduan ditetapkan.

Bagaimanapun jelasnya, jika sesebuah kuil itu dibina di tanah rizab atau tanah milik kerajaan, kerajaan negeri mempunyai prosedur tertentu untuk menukar statusnya dan kemudian diserahkan kepada pengurusan kuil.

Read More...

Siapakah Petualang, Pengkhianat Dan Pembohong Dalam Umno ?

Detik Daily

Posted on Tuesday, September 23 @ 23:06:37 MYT by reformis
Artikel

Oleh Ruhanie Ahmad


UMNO hari ini mempunyai dua kelompok ahli yang disifatkan sebagai gunting dalam lipatan - kelompok pensabotaj dan kelompok petualang.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghuraikan kewujudan kelompok pertama pada minggu pertama Mac 2008. Katanya, kelompok inilah punca utama BN kalah teruk dalam PRU12.

Lantaran itu, Abdullah menyatakan bahawa beliau sendiri akan membentangkan laporan kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO supaya kelompok pensabotaj ini dikenakan tindakan. Kini sudah empat bulan berlalu. Namun begitu, sampai hari ini pun belum didedahkan siapakah pensabotaj sebenarnya di dalam UMNO.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhamad Muhd. Taib, menghuraikan kewujudan kelompok petualang dalam satu kenyataannya semalam.

Katanya: “Bila ada kalangan ahli MT yang membocorkan maklumat mereka boleh dianggap dan dikategorikan sebagai petualang kerana melakukan perbuatan yang menjijikkan dan memalukan. Sepatutnya perangai petualang ini tidak harus ada di kalangan pemimpin dalam parti.”

Kategori Negatif

Kedua-dua tuduhan di atas adalah amat serius. Kedua-duanya juga menyebabkan ahli-ahli UMNO semakin dipecah-pecahkan kepada kategori yang negatif. Kesannya juga pasti negatif. Bukan kepada yang pihak dituduh, tetapi kepada insan-insan yang memberikan label-label berkenaan.

Demi UMNO, demi agama, demi bangsa dan demi tanahair, marilah kita tanya kepada Abdullah, sudahkah diselidik dan disiasat punca-punca yang menyebabkan BN kalah teruk dalam PRU12? Kalau sudah, berapa ramaikan pengkhianat atau pensabotaj yang sudah dikenalpasti? Kalau belum, kenapa buat tuduhan yang memlulu? Dan, kalau belum, mengapakah Abdullah sering berkata BN dan UMNO masih kukuh dan masih kuat? Bukankah ini satu pembohongan?

Begitu juga kepada Muhamad Taib. Sudahkah disiasat siapakah yang dilabelkannya sebagai petualang? Kalau belum mengapakah buat tuduhan yang semberono? Kenapa tidak dinafikan sama ada maklumat yang dibocorkan kepada media itu benar atau palsu? Kenapa alih pandangan umum kepada soal petualang?

Tidakkah benar di era kepimpinan Abdullah memang sering berlaku diversion daripada masalah pokok kepada soal sampingan. Soal pokoknya, tidak benarkah BN kalah kerana kepimpinan Abdullah yang tempang. Sebab itulah terdapat orang UMNO sendiri marah dan protes.

Jadi, kenapa tidak diakui hakikat ini. Sebaliknya, kenapa tuduh warga UMNO yang tidak undi BN sebagai pensabotaj? Kenapa sehingga hari ini tidak ada berita yang Abdullah sendiri telah membentangkan senarai pensabotaj itu kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO? Bagaimana pula dengan ahli-ahli komponen BN yang juga tidak mengundi calon BN? Kenapa Abdullah tidak tuduh mereka juga sebagai pengkhianat?

Syak Wasangka

Soal pembocoran maklumat dalam mesyuarat MT 18 September 2008, pun begitu juga. Benar atau tidak Abdullah telah menitiskan air mata dalam mesyuarat itu. Benar atau tidak ramai ahli MT yang mahukan Abdullah berundur sebelum 9 Oktober 2008? Kenapa tidak nafikan atau sahkan laporan-laporan seperti ini? Sebaliknya kenapa wujudkan syak wasangka sesama ahli MT?

Untuk maklumat Muhamad Taib, cuba kaji sendiri berapa banyakkah blog yang telah mengulas mesyuarat MT baru-baru ini. Kajilah sendiri kalau sudah sekian banyak blog yang membuat laporan mengenai info yang sama, adakah ini satu kepalsuan atau pembohongan?

Saya tidak mahu mengheret polemik ini kepada soal lain. Contohnya kepada soal muqabalah dengan PAS baru-baru ini. Benarkah apa yang dinyatakan oleh Abdullah bahawa dalam muqabalah itu UMNO telah diwakili oleh pihak-pihak tertinggi yang boleh buat keputusan? Tidak benarkah UMNO hanya diwakili oleh Abdullah seorang diri dalam muqabalah berkenaan? Saya harap Muhamad Taib dapat jelaskan perkara ini sebelum ada pihak menuduh pemimpin tertinggi UMNO ini sebagai pembohong!

Berapa banyak lagikah pembohongan yang sudah dihalalkan oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO selama ini? Contohnya, benarkah kenyataan Tan Sri Annuar Musa semalam kononnya UMNO Kelantan sebulat suara akan mencalonkan Abdullah ke jawatan Presiden UMNO? Bagaimana dengan UMNO Bahagian Gua Musang? Juga akan calonkan Abdullah?

Kenyataan Puad

Akhir kata, saya harap Abdullah dan Muhamad Taib, fahamilah kenyataan di bawah ini:

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Ketua- ketua UMNO bahagian meminta Majlis Tertinggi (MT) parti itu supaya tidak mengabaikan keresahan di peringkat akar umbi berhubung isu peralihan kuasa pucuk pimpinan UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sekiranya keresahan dan pandangan ahli diketepikan, gelombang di peringkat akar umbi dikhuatiri akan membahayakan parti.

Katanya, akar umbi tidak lagi boleh berdiam untuk menyatakan pendirian bahawa merekalah yang sepatutnya berhak memutuskan soal pimpinan dalam parti.

Beliau percaya pada mesyuarat bahagian kali ini, akar umbi akan bertindak berani menyatakan pendirian mereka mengenai calon yang mereka fikir wajar dijadikan pemimpin.

"Jika ini berlaku, kita tidak dapat menahan arus ini. Apa pun janji yang kita buat, ia tidak akan dapat mengubah pendirian mereka," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Lagi:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

Kenyataan di atas adalah hakikat yang jelas dan tegas. Pastinya ia dikeluarkan demi UMNO, demi agama, demi bangsa dan demi tanahair. Apakah Abdullah akan melabelkan Puad sebagai pengkhianat? Apakah Muhamad Taib akan melabelkan Puad sebagai petualang?

Read More...

Perkarangan masjid bukan masjidlah bodoh!

penarekbeca

Saya tak kisah kalau orang nak lawan DAP. Jangankan DAP, parti apa pun hampa nak lawan ikut suka hampalah. Tetapi, saya geli geleman melihat percubaan yang hina dan bangang untuk mengelirukan orang ramai.

Utusan Malaysia menyiarkan berita yang diberi tajuk "Teresa kurang sopan pakai skirt di masjid". Tetapi di dalam berita tidak pula ditulis Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pakai skirt di masjid. Yang ditulis adalah seperti berikut:

"...tidak berpakaian sopan ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama imam dan ahli jawatankuasa Masjid Nurrusaadah di Cheras Baru, baru-baru ini"

"memakai skirt dan tidak menutup aurat semasa menghadiri majlis berbuka puasa bersama imam dan ahli jawatankuasa Masjid Nurrusaadah di Cheras Baru".
Walaupun dah melihat gambarnya, saya bertanya kepada kawan-kawan yang pergi malam itu. Mereka kata, majlis bersama Teresa itu diadakan di perkarangan masjid dan bukannya di dalam masjid.

Saya tak suka tengok wanita-wanita Islam pakai skirt (kalau depa kata pakai skirt hak demokratik depa, tak suka tengok juga hak demokratik saya). Kalau bukan Islam, ikut suka depalah. Laporan pula menghebohkan pakai skirt di masjid. Adakah Utusan Malaysia perlu diberitahu, perkarangan masjid bukan masjidlah bodoh!

Read More...

Sunday, September 28, 2008

Minyak naik 78 sen, turun cuma 25 sen - Salahuddin

Harakahdaily

Zuharman MN
Sun | Sep 28, 08 | 6:18:19 pm MYT

KOTA BHARU, 28 Sept (Hrkh) - Perdana Menteri sudah dua kali mengumumkan harga minyak turun, namun harga barang tetap melambung dan kadar inflasi mencecah paras lapan peratus.

Apakah ini menggambarkan kebijaksanaan yang ada pada pemimpin Barisan Nasional (BN) sekarang. Atau tindakan itu sekadar melepas batuk di tangga kerana krisis dalaman Umno yang semakin membarah.

Mengulas perkembangan tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, biar pun kerajaan sudah dua kali menurunkan harga minya namun kadar inflasi kini mencecah lapan peratus.

"Ini menggambarkan kerajaan tidak mempunyai perancangan khusus dalam menangani bebanan rakyat. Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak lebih 40 peratus pada Jun lalu mengundang kenaikan harga barangan di pasaran.

"Tetapi hari ini walaupun dua kali harga minyak diturunkan tapi harga barangan di pasaran masih mahal. Ini masalahnya kerana ketidakupayaan pemimpin yang ada sekarang," katanya pada majlis penyampaian zakat di pejabat Dun Demit di Kubang Kerian, baru-baru ini.Image

Pada Ogos lalu harga minyak diumumkan turun sebanyak 15 sen dan 24 September lalu turun lagi sebanyak 10 sen, menjadikan jumlah keseluruhan penurunan harga minyak 25 sen.

Sedangkan pada 4 Jun lalu rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenaikan harga minyak sebanyak 78 sen iaitu peningkatan 40.6 peratus berbanding harga sebelumnya.

Salahuddin yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata, berdasar kepada nisbah Dolar Amerika Syarikat dan harga pasaran minyak negara sekarang, seolah-olah rakyat menanggung subsidi kerajaan.

Pada majlis tersebut Salahuddin menyampaikan zakat kepada hampir 500 penduduk miskin di kawasan Parlimen Kubang Kerian. - mj _

Read More...

Akui terima habuan seks, PKR pusat mahu Zul dipecat

Mstar Online

ZUL Hassan (kiri) dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail ketika berada di Jabatan Agama Islam Perak, Ipoh untuk membuat laporan pada Selasa lalu. Di kanan ialah Ketua Parti Keadilan Rakyat Bahagian Parti, Usaili Alias.

IPOH: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Lee Boon Chye menggesa kerajaan negeri Perak memecat ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan ekoran kenyataannya yang mengaku ada menerima habuan khidmat seks, tetapi disifatkan sebagai "sedekah."

Dr. Lee berkata, dari segi moral tindakan berkenaan tidak betul bagi seseorang yang memegang jawatan penting dalam kerajaan dan terlibat dalam skandal seks.

"Apabila sesuatu yang tidak senonoh ditawarkan anda seharusnya menolak tawaran itu," kata beliau selepas merasmikan kempen menderma darah di sini hari ini.

Kata beliau, Majlis Kerajaan Negeri juga wajar menggugurkan Zul daripada keanggotaan dalam Majlis Daerah Perak Tengah dengan segera sebaik apabila ia mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan sama ada PKR sendiri akan mengambil tindakan terhadap Zul yang juga ahli parti tersebut.

Zul dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail baru-baru ini membuat laporan di Jabatan Agam Islam Perak terhadap Mohammad Imran Abdullah yang didakwa mendorong mereka melakukan perbuatan berdosa itu melibatkan seorang wanita dari China di sebuah apartmen di Batu Ferringhi, Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu.

Mohamad Imran merupakan pengadu dalam kes rasuah Zul dan empat yang lain.

Zul pula bersama-sama juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, dan dua anggota exco kerajaan negeri Perak dari PKR, Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi, serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Bota juga dari PKR, Kapten (B) Usaili Alias, sedang menghadapi 16 tuduhan rasuah yang akan dibicarakan serentak selama tiga hari bermula 11 Februari depan di Mahkamah Sesyen di sini.

Ketika ditemui selepas membuat laporan di Jabatan Agama Islam, Zul dilaporkan mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa "seks seperti menerima sedekah" dan mendakwa dia melakukannya dengan seorang wanita China disebabkan diperangkap Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Kelmarin, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Zulkifli Ibrahim menyifatkan kenyataan Zul bahawa habuan seks sama seperti menerima sedekah sebagai sekadar satu "kesilapan bahasa yang tidak disengajakan."

"Barangkali itu mungkin kesilapan dari segi bahasa dan sebagainya tapi itu bukan maksud kita menjadikan seks itu sebagai satu sedekah,' katanya.

Seorang lagi anggota parti itu di Perak, Fairul Azrim Ismail, juga mengakui melakukan perbuatan itu tetapi turut mendakwa diperangkap oleh BPR.

Dalam pada itu, laporan Bernama yang memetik Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamarul Zaman Shaharudin menyebut, kesilapan menggunakan sesuatu perkataan mungkin akan berlaku kepada istilah dalam bidang tertentu, bukan kepada perkataan yang sering digunakan.

Beliau berkata, perkataan "seks" adalah contoh bahasa yang mudah dan bukan merupakan bahasa teknikal seperti yang terdapat dalam bidang teknologi maklumat atau bidang-bidang lain.

Ketika ditanya sama ada kenyataan itu tidak disengajakan, Kamarul Zaman berkata: "Pada saya itu bukan kesilapan bahasa sebab itu bahasa yang mudah."

"Mesti dia tahu apa yang dia sebutkan. Kecuali kalau itu perkataan teknikal, mungkinlah... boleh salah," katanya.

Katanya, perkataan sedekah itu diketahui umum sebagai suatu perkara yang baik dan berharap pihak-pihak tertentu tidak menyalahgunakan perkataan itu.

"Pihak berkenaan mungkin mencari sebab untuk mempertahankan diri (dengan kenyataan itu)," kata Kamarul Zaman.

Read More...

Cubaan Boikot Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri PPinang gagal.

utara online

Oleh Saiful Lizan Hj Mohd Yusoff

 Tanjung Bungah 26 Sept :- Usaha untuk mengagalkan majlis berbuka puasa bersama Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng di Masjid Terapung Tanjung Bungah pada 25 Sept.2008 gagal dicapai oleh pihak pengurusan masjid dan UMNO bahagian Bukit Bendera.


Usaha pihak pengurusan Masjid Terapung Tanjung Bungah untuk gagal program majis berbuka puasa YAB Lim Guan Eng telah dikesan pada awal pagi oleh Ajk Pas Kawasan Bukit Bendera dan usaha telah dibuat oleh PAS Kawasan Bukit Bendera untuk maklumkan kepada pihak pengurusan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.



Notis surat pemberitahuan program berbuka puasa telah dibuat oleh Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 YB.Mohd Fairus Khairuddin kepada pengurusan Masjid Terapung Tanjung Bungah telah diberi awal dan pihak masjid juga telah umumkan perkara program tersebut kepada penduduk sebelum sembahyang Jumaat yang terdahulu .

Amat memalukan pengurusan Masjid Terapung Tanjung Bungah gagal melaksanakan tangjungjawab tersebut sedangkan program berbuka puasa bersama Ketua Menteri di masjid-masjid seperti masjid Melayu Lebuh Acheh ,Masjid Hashim Yahya Jelutong dan lain-lain masjid mendapat kerjasama erat dari pengurusan masjid masing-masing.

Akhirnya program itu berjaya diadakan juga apabila setelah diserahkan kepada PAS Bukit Bendera oleh pihak kerajaan Pulau Pinang .

Sambutan amat luar biasa ramai penduduk keluar hadir berbuka puasa dan bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang.Bukan sahaja dari kalangan umat Islam yang hadir tapi kalangan rakyat bukan beragama Islam turut hadir menjayakan program tersebut.

Seramai lebih 300 orang telah hadir secara tidak langsung UMNO gagal baikot kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang di Masjid Terapung Tanjung Bungah.

Dalam ucapan YAB Lim Guan Eng bertegas mahu program Ramadham lain tahun seperti ini diteruskan dan usaha kerajaan sekarang mengurang atau sifar miskin tegar di Pulau Pinang sedang diusahakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat.

Semperna program beberapa pimpinan kerajaaan dan wakil PAS telah berucap dalam program tersebut.Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera,Adun Tanjung Bungah,Pegawai Daerah Timur Laut,Pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang,Ahli Majlis MPPP dan PAS Bukit Bendera.

Hadir sama pada dan menjayakan program tersebut JKKK Tanjung Bungah,JKKK Batu Feringgi,JKKK Tanjung Tokong,Persatuan Penduduk Pangsapuri Masjid Terapung Tanjung Bungah,PKR,DAP dan penduduk setempat .

Pada program tersebut derma kilat telah dikutip membantu mangsa kebakaran Puan Shulimah binti Mat Isa dimana rumahnya di Batu Feringgi telah terbakar pada 23 Sept 2008 ditaksirkan kerugian sebanyak RM 40,000 .Segala sumbangan tak seberapa ini untuk meringankan beban tersebut telah disampaikan oleh Adun Tanjung Bungah YB.Teh Yee Chee kepada mangsa kebakaran.

Read More...

Utusan api-apikan sentimen kaum

Malaysiakini

Lee Ban Chen | Sep 24, 08 1:56pm

Penggunaan Akta Keselamatan dalam negeri (ISA) terkutuk terhadap wartawan wanita Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng, ahli exco kerajaan Selangor, Teresa Kok dan pengendali laman web Malaysia Today Raja Petra Kamarudin mencetuskan bantahan dan gerakan anti-ISA terbesar yang pernah berlaku di negara kita.

Selain badan-badan bukan kerajaan dan Majlis Peguam, parti-parti komponen Barisan Nasional sendiri juga tidak dapat bersetuju dengan tangkapan sewenang-wenang itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menteri perundangan de facto, Datuk Zaid Ibrahim malah meletakkan jawatannya sebagai pengakuan kegagalan reformasi perundangan yang merupakan tanggungjawabnya.

Sungguhpun Hoon Cheng telah dibebaskan 18 jam selepas ditahan sejak 12 September dan Teresa Kok turut dibebaskan selepas seminggu ditahan, namun alasan-alasan yang diberi berkaitan asas penahanan mereka tidak masuk akal dan mengelirukan.

Hoon Cheng kononnya ditahan agar diberi "perlindungan keselamatan", dan Teresa, menurut beliau sendiri, cuma disiasat berasaskan suatu rencana kolum yang ditulis oleh Zaini Hassan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 10 September lalu bertajuk: “Azan, jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya…” .

Hoon Cheng yang mula-mula melaporkan kenyataan ketua bahagian Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang melemparkan kenyataan perkauman bahawa masyarakat Cina "kaum penumpang" yang mustahil mendapat hak yang sama dengan kaum bumiputera.

Atas tekanan parti-parti komponen Barisan Nasional, Umno terpaksa menggantung hak keahlian Ahmad selama tiga tahun kerana enggan meminta maaf secara terbuka berkaitan kenyataannya.

Yang menakjubkan, Hoon Cheng yang hanya menjalankan tugasnya sebagai seorang wartawan sebaliknya telah ditahan bawah ISA, kononnya untuk melindungi keselamatannya – suatu dalih yang amat melucukan!

Menurut rencana Zaini, ahli parlimen Seputeh tiba-tiba menjadi “dalang” di sebalik isu-isu azan, tulisan jawi, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan babi seperti disenaraikan dalam tajuk rencana kolum terbabit.

Selepas membaca artikel tersebut, Mohamad Asri Shafii, biro badan bertindak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak telah mencapai kesimpulan seperti tajuk suratnya kepada akhbar yang sama (11 September 2008) “Terhakisnya ketuanan Melayu”!

Mohamad Asri selanjutnya merumus: “Adalah menjadi mimpi ngeri bagi orang Melayu sebagai tuan di bumi bertuah ini mendapat menteribesar yang bukan Melayu.

"Hakikatnya telah berlaku, meskipun kita melihat dua buah negeri Perak dan Selangor diperintah oleh ketua negeri berbangsa Melayu dan beragama Islam, tetapi hakikatnya daripada artikel ini adalah sebaliknya."

Nampaknya niat Zaini untuk merasiskan imej Teresa, dan melaluinya “memomokkan” kerajaan Pakatan Rakyat dari perspektif ketuanan Melayu telah tercapai, dan nyata sekali Teresa telah menjadi mangsa artikel terbabit!

Biarlah kita meneliti dakwaan-dakwaan artikel Zaini secara lebih objektif. Terlebih dahulu, dibangkitnya tuduhan bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo bahawa ada usaha pihak tertentu yang cuba menasihatkan pihak masjid dan surau supaya tidak menggunakan pembesar suara semasa melaungkan azan.

Padahal menurut Steven Ee, yang bertanggungjawab menghantar petisyen kepada masjid Bandar Kinrara seperti yang dilaporkan Malaysiakini, penduduk bukan Islam di Seksyen 5 taman perumahan itu tidak pernah membantah penggunaan pembesar suara untuk laungan azan.

Mereka hanya meminta agar direndah atau diperlahankan suaranya apabila kaset/CD berkaitan ceramah, kuliah agama serta bacaan al-Quran dipasang sebelum sembahyang subuh di masjid tersebut.

Kini, menteri besar baru Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan bahawa masjid boleh terus menggunakan pembesar suara semasa menjalankan aktiviti bagi menyebarkan syiar Islam kerana pihaknya tidak menerima sebarang bantahan daripada mana-mana kumpulan atau persatuan penduduk.

Mungkin masih ada dua masalah masih belum terjawab. Yang pertama, adakah petisyen bukan Islam Bandar Kinrara terbabit boleh dianggap sebagai tidak sensitif, malah menghina agama Islam seperti tuduhan terbabit?

Yang kedua, permintaan agar suara pembesar masjid direndahkan atau diperlahankan juga tiada tolak ansurnya, seperti ditegaskan JAIS?

Jika petisyen agar bunyi suara pembesar aktiviti agama direndah atau diperlahankan juga tidak dapat ditoleransi dan ditolak ansur, seperti mesej-mesej yang dibawa dalam Utusan Malaysia, maka semangat toleransi yang diuar-uarkan selama ini hanyalah jalan sehala saja di sisi ketuanan Melayu dan ketuanan Islam!

Teresa yang mendapat salinan petisyen terbabit telah dipertanggungjawabkan sepenuhnya oleh Zaini, dan melalui mulut seorang YB dalam Pakatan Rakyat kononnya dihubunginya melalui telefon, Teresa dikritik sebagai "kurang ajar", dan dikatakan sedang "memaksa" DBKL menurunkan semua tulisan jawi di semua papan tanda jalan di Kuala Lumpur, supaya dinaikkan papan tanda tulisan Cina dan Tamil bersama-sama tulisan rumi.

Namun, siapakah Teresa Kok yang mampu "memaksa" DBKL menurun dan menaikkan papan jalan mengikut suka hatinya?

Bagi mereka yang berfikiran liberal, di samping tulisan rumi, jika kaum Melayu inginkan tulisan jawi ditambah atau dikekalkan, sama juga dengan permintaan agar tulisan Cina dan tulisan Tamil ditambahkan di papan jalan, apa salahnya jika kaum Melayu tidak terlalu obsesi dengan ketuanan Melayu?

Sekalipun tidak bersetuju, habislah cerita, buat apa digembar-gemburkan seolah-olah tibalah hari kiamat jika bahasa Cina dan bahasa Tamil ditambah di papan tanda jalan!

Menurut imaginasi Zaini, Teresa tiba-tiba menjadi manusia yang begitu "berpengaruh" sekali, sehingga sanggup "menyuapkan" Khalid mengenai cadangan supaya diambil 30 peratus peruntukan JAIS untuk digunakan bagi kegunaan agama-agama lain, serta "memegang tali" untuk menyuruh menteri besar itu membuat kenyataan agar pintu UiTM dibuka kepada 10 peratus penuntut bukan Melayu.

Jika kita percaya kepada kebebasan beragama seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, dan bersetuju bahawa agama-agama bukan Islam di Selangor juga berhak menerima bantuan daripada Selangor seperti JAIS, maka sudah barang tentu JAIS tidak dapat memonopoli seratus peratus peruntukan yang disediakan kerajaan negeri sebagai bantuan kepada institusi-institusi semua agama.

Jangan lupa, penganut bukan Islam di negara kita juga wajib membayar cukai.

Sebelum kenyataan Khalid, jika tidak silap penulis, kabinet telah mengambil keputusan agar pintu UiTM dibuka kepada 10 peratus penuntut bukan Melayu, masa itu, tiada kontroversi dicetuskan seperti kali ini.

Selain itu, projek pemeliharaan berpusat babi di Sepang juga projek lama Barisan Nasional Selangor, ia juga tidak digembar-gemburkan seperti kali ini.

Pembaca Utusan Malaysia tentu sedar bahawa azan, jawi, JAIS, UiTM, dan babi antara isu-isu yang diperbesar-besar dan diapi-apikan oleh Utusan Malaysia daripada perspektif ketuanan Melayu dan ketuanan Islam, demi memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Jika wujud sebarang ketegangan kaum seperti dakwaan pihak polis, maka antara lain, Utusan Malaysia sudah barang tentu telah memainkan peranannya, dan oleh itu, patut disiasat dan diberi amaran, bukan mereka yang menjadi sasaran agenda perkauman, seperti Hoon Cheng, Teresa dan Raja Petra.

Read More...

Angkasawan China kembali dengan rekod berjalan di angkasa lepas

Mstar online

KAPAL angkasa China, Shenzhou-7 mendarat di Siziwang Banner, utara China sebentar tadi. - foto AP

BEIJING: Angkasawan China mendarat di bumi dengan selamat petang ini di kawasan padang rumput di pedalaman Mongolia, selepas ketua penerbangan Zhai Zhigang berjaya berjalan di angkasa lepas.

Kepulangan tiga angkasawan itu disambut dengan tepukan dan sorakan gembira di mana misi mereka disiarkan secara terperinci di televisyen tempatan, sejak mereka dilancarkan dengan roket Long March 2F daripada pusat pelancaran satelit Jiuquan, di barat laut wilayah Gansu pada Khamis.

Jutaan rakyat China terpaku di kaca tv melihat kapsul yang terikat pada dua payung terjun besar terapung dan akhirnya mendarat di bumi, dua hari sebelum China menyambut ulang tahun hari kebangsaan yang ke-59.

Perdana Menteri Wen Jiabao tiba di Pusat Kawalan Aeroangkasa Beijing, lebih sejam awal sebelum kapsul dijangka mendarat pada 5.44 petang dan bertepuk tangan sebaik ia mendarat di bumi beberapa minit daripada masa yang dijadualkan.

Presiden Hu Jintao turut mengucapkan tahniah para angkasawan dan memuji mereka kerana tugas cemerlang yang telah dilaksanakan.

Angkasawan Zhai dan rakan yang lain Liu Boming dan Jing Haipeng, dilaporkan dalam keadaan sihat selepas misi 68 jam itu, dan Zhai menunjukkan tanda bagus kepada pihak penyelamat, menurut stesen televisyen negara dan berada di dalam kapsul beberapa ketika untuk menyesuaikan dengan graviti.

Televisyen menunjukkan konvoi pacuan empat roda memecut di dataran berumput itu ke arah arah kapsul.

Kira-kira 300 petugas mencari dan menyelamat dan enam helikopter digerakkan semasa pendaratan kapsul dan semua lima kapal mengesan satelit China bersiap sedia di lautan Pasifik dan Atlantik sebelum kapal angkasa Shenzhou VII berlepas.

Agensi berita Xinhua melaporkan tiga angkasawan berkenaan akan dikuarantin selama setengah bulan.

"Kita tidak boleh melihat mereka semasa tempoh itu, tetapi kita merasa lega selagi mereka berada di bumi," kata isteri Zhai, Zhang Shujing yang dipetik sebagai berkata.

Ketiga-tiga angkasawan itu merupakan antara angkasawan China yang berjaya ke angkasa dalam kapal yang dipandu manusia, menyusuri kejayaan ulung Yang Liwei pada 2003 dan pasangan Fei Junlong dan Nie Haisheng pada 2005.

Nama Yang, Fei dan Nie turut dinamakan kepada asteroid. BERNAMA

Read More...

Antara Kesempitan Perkauman Dengan Keluasan Prinsip Islam

syukran.wordpress

Oleh Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin

Sejak kebelakangan ini tepikan slogan membela bangsa kedengaran hebat sekali. Soal warisan bangsa, semangat dulu kala dan cerita datuk nenek lama dibangkitkan semula. Keris yang disimpan mungkin ada yang ingin kembali menciumnya, sirih pinang mungkin ada yang ingin kembali mengunyahnya, zapin dan joget mungkin ada yang ingin kembali ditarikannya.

Terpulanglah, namun apa yang perlu diingat, perjuangan bangsa itu jauh lebih sempit dari perjuangan membela prinsip Islam yang bersifat sejagat lagi adil untuk semua. Tidak salah perjuangan ingin menolang bangsa sendiri. Namun adalah salah jika ia bertukar menjadi semangat perkauman yang boleh membawa kepada dizalimi pihak yang lain.

Nabi s.a.w sendiri memuji sikap tolong menolong sesama kaum. Baginda s.a.w pernah bersabda: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun baginda juga memberikan amaran kepada sikap ‘asabiyyah iaitu perkauman atau berpuak yang membawa kepada kezaliman. Baginda bersabda: “Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).

Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban.

Apakah bezanya antara keluasan prinsip Islam dengan kesempitan perkauman? Jawapannya secara umum; seseorang yang dilahirkan berbangsa melayu, tidak mampu menukar dirinya menjadi arab. Seorang yang dilahirkan berbangsa cina tidak mungkin dapat menjadi melayu. Seseorang yang dilahirkan berbangsa india tidak mungkin mampu menukar dirinya menjadi cina.

Walaupun mungkin dia boleh menyamar, atau membuat tafsiran yang berbagai dalam menukar identiti dirinya, namun hakikat diri dari segi nasab keturunan tidak mungkin dapat diubah. Hal ini berbeza dengan soal pegangan akidah Islam. Di mana, seseorang walaupun apa bangsanya, boleh menjadi muslim lagi mukmin. Bahkan dia boleh mejadi muslim yang terbaik, walaupun dia daripada bangsa paling hina pada pandangan masyarakat, tetapi Islam tidak mendiskriminasikannya.

Maka, Bilal bin Rabah r.a. seorang yang berkulit hitam, berasal dari status hamba abdi yang dihina telah menduduki tempat yang tinggi dalam Islam. Sehingga setiap muslim apabila menyebut sahaja azan untuk solat akan teringat sejarah Bilal yang bertugas sebagai muazzin (tukan azan) Nabi s.a.w. Sehingga orang melayu memanggil ‘tok bilal’ kepada tukang azan.

Sabda Nabi s.a.w: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuailah! Tiada kelebihan orang arab ke atas a’jam (yang bukan arab), atau a’jam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Maka perjuangan yang hanya terhad untuk membela sesuatu bangsa cuma, amatlah sempit dan terbatas. Ia perjuangan yang tidak dapat dikongsi kebaikannya oleh kaum yang lain sekalipun keadaan mereka sama.

Umpamanya, perjuangan untuk membela fakir miskin bangsa tertentu tidak dikongsi kebaikannya oleh bangsa yang lain, sekalipun kemiskinan mereka itu sama. Bahkan kadang-kala ia boleh bertukar menjadi perkauman yang amat sempit dan mengorbankan berbagai pihak atas sentimen kepuakan.

Namun jika kemiskinan cuba dilangsaikan atas nama prinsip Islam, sesiapa saja yang miskin ada hak yang boleh diperolehi sedekah Islam –temasuk dari zakat wajib dan wang baitul mal- walau siapapun keturunannya, bahkan walaupun berbeza agama, selagi dia seorang miskin.

Di sudut ikatan nasab pula, seorang cina atau melayu atau india tidak boleh menjadi arab, tetapi mereka boleh menjadi Islam. Apatah lagi, prinsip-prinsip Islam itu mementingkan keadilan tanpa pernah mengenal batasan warna kulit, rupa dan kedudukan.

Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13).

Maka, orang melayu jika mereka hendak mulia, bukanlah dengan inang dan zapin, atau mak yong dan joket, tidak juga institusi raja atau adat, tetapi menegakkan prinsip-prinsip Islam yang tulen.

Bukan bererti saya menyeru agar dihapuskan identiti kaum, adat dan budaya mereka. Tidak! Sama sekali tidak! Jika adat dan budaya tidak bertentangan dengan Islam boleh diteruskan. Namun, kemuliaan insan yang hakiki tidak dapat dicapai hanya di atas semangat puak atau bangsa, sebaliknya dengan menjunjung prinsip-prinsip Islam.

Persis seperti apa yang Allah ingatkan suku Aus dan Kharaj di Madinah. Firman Allah: (maksudnya) “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

Kata al-Imam Qatadah al-Sadusi (meninggal 118H) lebih seribu tiga ratus yang lalu kepada orang arab: “Dahulunya bangsa arab ini manusia yang paling hina, paling buruk kehidupannya, paling sesat, paling kurang pakaian dan paling lapar. Dicengkam antara dua singa; Parsi dan Rum.

Demi Allah! Tiada di tanahair arab apa yang memboleh orang lain iri hati kepada mereka. Sesiapa yang hidup di kalangan mereka, hidup dalam keburukan dan yang mati pula, binasa dan dibuang ke dalam api. Mereka dimakan, mereka tidak memakan.

Demi Allah! Kita tidak tahu adanya bangsa di bumi ini pada masa itu yang paling rendah dan lekeh daripada mereka. Sehinggalah Allah membawa Islam kepada kamu (wahai orang arab!). Allah bekalkan kepada kamu al-Quran, Dia membuka kepada kamu bumi jihad, Dia meluaskan untuk kamu rezeki, Dia jadikan kamu memerintah manusia.

Dengan Islamlah Allah berikan kepada kamu apa yang sedang kamu lihat. Bersyukurlah terhadap nikmat-nikmatNya kerana tuhan kamu pemberi nikmat yang sukakan mereka yang bersyukur. Mereka yang bersyukur pula sentiasa mendapat tambahan”. ( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari –tahziban- 2/349, Damsyik: Dar al-Qalam).

Sebelum itu, saya selalu ulangi apa yang ‘Umar bin al-Khattab ucap ketika membuka Baitul Muqdis, setelah umat Islam berjaya membebaskan kota suci itu: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah”. Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Maaf jika saya sebutkan, apalah sangat yang hendak dibanggakan dengan bangsa melayu jika dilihat pada realiti hari ini secara perbandingan? Kita bukan yang paling berjaya dalam ekonomi, tidak juga dalam pelajaran akademik. Bahkan politik melayu pun dalam banyak keadaan telah mengorban bangsa sendiri.

Orang lain berpolitik secara seni yang akhir mengaut untung untuk dibahagi sesama mereka. Sementara kita bertarung bermati-matian sesama sendiri sekalipun sehingga tergadai negeri dan kota. Kedengkian sesama sendiri, melebihi cemburu kita kepada ‘orang lain’.

Ada pula yang diberi amanah, negara dijadikan modal untuk kocek sendiri, anak menantu dan juga segala macam kroni. Sementara yang hendak membaiki, ada pula yang sanggup menanggalkan prinsip perjuangan kerana melihat ‘kerusi idaman’.

Begitulah kita seadanya. Silap hari bulan, ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran’. Mungkin kita mempunyai kejayaan menjadi bangsa yang memliki ‘penagih dadah yang teramai’, ‘pengidap HIV AIDS yang terbanyak, berjaya memenuhi semua jawatan mat rempit dan mat lepak dan segala macam kedudukan yang bangsa lain dalam negara ini kosongkan agar dapat kita penuhi tanpa persaingan. Itulah realitinya, suka atau tidak!

Kalau muncul sesiapa yang kononnya pejuang bangsa, kita pun tidak pasti, adakah dia ikhlas, atau untuk merebut kerusi pilhanraya? Sebabnya, yang bercakap tentang kepentingan bangsa itulah juga yang melonggokkan keseronokan kepada anak muda melayu sehingga mereka hanyut dan menjadi pemuja orang politik yang telah memberi kebebasan yang ‘seronok giler’ kepada mereka.

Mereka juga kadang-kala yang menindas sesama bangsa kerana kepentingan kocek sendiri, kemudian apabila datang muncul berkempen mereka berlagak menjadi pejuang bangsa, bahkan agama. Siapa yang menjadi “ali baba?”, ”siapa yang menjual tanah melayu?” siapa yang mendiskriminasi sesama melayu? Sebahagiannya, mereka inilah.

Sementara melayu yang menggunakan nama Islam pula, ada yang hanya menjadikannya modal kempen. Hari ini prinsip-prinsipnya pun sudah mula luntur. Dulu ada yang bukan main ekstrim sehingga saya pun diserang dan dituduh longgar. Hari ini ada di kalangan penceramah yang sedemikian yang kelihatan bukan sahaja longgar, tapi mungkin boleh terlondeh. Ada juga di kalangan semua itu yang benar-benar jujur, saya tidak nafikan.

Saya katakan; masa depan orang melayu tidak akan dapat dijamin oleh semua slogan dan kempen-kempen bermusim ini. Penyelesaian yang sebenar adalah semua pihak di kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa di negara ini hendaklah kembali kepada prinsip-prinsip Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Penafsiran terhadap Islam ini hendaklah bebas dari kepentingan kerusi, parti, bangsa, puak, mazhab, aliran dan segalanya. Hanya Islam yang tulen, seperti mana hari ia diturunkan oleh Allah. Itulah penyelamat arab zaman dahulu, dan itulah penyelamat melayu!

Bukan Islam ala melayu yang mewajibkan Marwan bin Ah Seng mengubah nama bapa kerana bapanya cina dan Ah Seng bukan nama arab. Tetapi dapat pula menerima Marwan bin Awang, kerana Awang bangsa melayu sekalipun Awang bukan nama arab.

Bukan yang sibuk dengan orang lain hendak menggunakan nama Allah –pada hal Allah mengizinkan-, tetapi tidak pula sibuk membaiki penerangan akidah.

Bukan yang hanya meletakkan nama Islam untuk politik, tetapi gagal mengislamkan lidah ketika berkempen politik.

Bukan hanya yang menggunakan nama Islam untuk mengutip zakat, tetapi melupai amanah Islam dalam membahagikan zakat.

Begitulah seterusnya. Islam tulen, seperti zaman salaf dalam akidah dan ibadah, dan melihat keluasan agama dalam urusan umum kehidupan. Islam yang akan menjadikan kita umat dakwah dan pembawa risalah keagungan agama, bukan yang hanya memikir pembinaan bangunan tetapi membiarkan keruntuhan akidah dan akhlak.

Seperti kata al-Nadwi yang selalu saya ulangi: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, cetakan: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi, Lacknow, India).

Seperti orang arab pada hari ini menjadi lemah dan hina kerana meninggalkan Islam tulen, demikian nasib kita akhirnya jika tidak kembali kepada sumber agung Islam; al-Quran dan al-Sunnah.

Read More...

Lanun bebaskan 41 tebusan Malaysia

KAPAL tangki MT Bunga Melati 2 dan Bunga Melati 5 (kanan) milik MISC yang dirampas kumpulan lanun di Teluk Aden berhampiran Somalia dan Yemen bulan lalu.


KUALA LUMPUR - Kesemua anak kapal tangki milik Malaysia, Bunga Melati 5 yang dijadikan tebusan oleh lanun Somalia sejak bulan lalu telah dibebaskan semalam.

Pengarah Program Bantuan Pelaut Afrika Timur (EASAP), Andrew Mwangura berkata, kapal berkenaan dibebaskan bersama kesemua 41 anak kapal selepas sejumlah wang tebusan dibayar.

Mwangura berkata, pembebasan kapal Bunga Melati 5 yang membawa bahan kimia itu dibuat semalam selepas wang tebusan AS$2 juta dibuat.

"Wang tebusan itu telah dihantar oleh tentera laut Malaysia yang berada di kawasan tersebut," katanya yang dipetik Reuters semalam.

Pada 29 Ogos lalu, kapal tangki Malaysia kedua, MT Bunga Melati 5 ditawan oleh lanun tidak dikenali di perairan antarabangsa di luar pantai Yaman pada 9.50 malam.

Ada 41 anak kapal dan 36 daripadanya adalah rakyat Malaysia manakala lima lagi rakyat Filipina.

Semasa kejadian, kapal tangki, yang membawa muatan 30,000 tan metrik petrokimia, sedang dalam perjalanan ke Singapura dari Yanbu, Arab Saudi.

Pada 19 Ogos, kapal MT Bunga Melati Dua, ditawan oleh sekumpulan lanun bersenjata di Teluk Aden, antara Yaman dan Somalia.

Kapal yang membawa muatan minyak sawit dengan anak kapal terdiri daripada 29 rakyat Malaysia dan 10 warga Filipina, diserang pada kira-kira 10.00 malam, semasa dalam perjalanan menuju ke Rotterdam dari Dumai, Sumatera.

Read More...

Tidak mudah mengendalikan Harakah

Detik Daily

Posted on Friday, September 26 @ 16:22:23 MYT by reformis
Artikel

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT

"Mengapa baca Harakah?"

"Saya berminat dengan Islam dan saya rasa Harakah cool. Ada jiwa Islam di situ."

"Maksudnya?"

"Yalah. PAS itu 'kan parti Islam. Politik cara Islam. Ada pula rencana mengenai agama. Macam-macam lagi. Banyak yang boleh di dapati dari Harakah."

Soalan ini pernah saya tanyakan beberapa minggu lalu kepada seorang juruaudit berstatus "akauntan awam bertauliah" dan berkerja di sebuah daripada empat firma pengauditan antarabangsa terbesar di dunia, berusia 27 tahun dan bergaji kira-kira RM7,000 sebulan, ketika saya melihat Harakah di tempat duduk belakang keretanya.


Beberapa hari lepas, seorang guru sekolah menengah berkelulusan jurusan matematik sebuah universiti di United Kingdom memberitahu saya, sejak kebelakangan ini dia tidak pernah terlupa membeli Harakah. Dia dan isterinya, seorang pembroker saham menjadikan akhbar ini sebagai bahan bacaan wajib.

"Aku suka baca alternative views. Wife aku pulak suka baca tulisan tentang agama," jelasnya.

Sementara anak muda yang saya sebutkan itu bukan seorang ahli parti tetapi pernah melahirkan hasrat untuk menyertai PAS, guru berusia 49 tahun itu adalah merupakan ahli berdaftar Umno.

Tentu sekali ini bukan satu wawancara dilakukan sebagai 'kajian pasaran'. Ia berlaku secara spontan dan kebetulan. Namun, moral di sebalik jawapan yang diterima itu ialah betapa tagline "Membangun Bersama Islam" sedikit sebanyak mempengaruhi masyarakat atau massa.

Justeru, dalam sebutan "media massa", Harakah berjaya muncul sebagai sebuah media yang menembusi audien pembaca dari kalangan masyarakat biasa (massa) dan berjaya pula menarik golongan muda profesional tertarik kepada wacana Islam dan berminat pula dengan PAS.

Namun, hal ini tidak mungkin berlaku sekiranya Harakah menghadkan dasar penerbitannya sebagai sebuah organ parti yang terlalu terkongkong kepada liputan kegiatan parti dan kenyataan pemimpinnya sahaja.

Saya dimaklumkan, dalam satu sesi brainstorming yang diadakan pada awal 1990-an bagi menentukan hala tuju akhbar, maka model yang dipersetujui ialah model dan format yang dipakai harian The Star, yang dimiliki MCA, yakni memperjuangkan MCA tetapi dipersembahkan untuk kepentingan umum.

Namun The Star bukanlah akhbar pertama berbuat demikian. Akhbar lain di seluruh dunia yang bermula sebagai organ parti politik termasuk juga organ kerajaan seperti Asahi Shimbun di Jepun, The New York Times di Amerika Syarikat dan Prava di Soviet Union.

Semua akhbar ini sudah tentulah tidak akan menikmati audien besar dalam kiraan puluhan juta dan muncul sebagai media yang mempengaruhi pendapat umum sekiranya ia hanya berperanan sebagai organ yang semata-mata menyampaikan matlamat parti.

Sebaliknya, sejarah memperlihatkan apabila dasar penyuntingan sesebuah akhbar itu membatasi kandungan akhbar kepada sekadar berita, maklumat dan kenyataan pemimpin-pemimpin parti dan rencana yang berkisar kepada hujah mengapa parti itu betul dan parti lain salah, maka ia tidak akan menjadi sebuah alat sebaran am atau media massa yang berkesan.

Umum akan bersikap prejudis dan akhbar berkenaan akan susut kepada sebuah makalah. Ia dan tidak mampu menarik minat lebih ramai khalayak pembaca menyokong apa jua ideologi yang cuba dibawakan oleh parti berkenaan.

Inilah psikologi pemasaran yang terbukti berkesan bukan sahaja dari segi penjualan akhbar itu sendiri tetapi juga dalam penjualan dan penyebaran ideologi parti.

Apabila Harakah mula diterbitkan pada Mac 1987, kandungan editorialnya agak lebih menjurus kepada lidah rasmi PAS dengan kemampuan 35,000 edaran setiap keluaran.

Namun selepas sesi brainstorming yang diadakan pada awal 1990-an, Harakah untuk julung-julung kalinya berjaya mencatatkan edaran melebihi 100,000 naskhah setiap keluaran dan bermulalah era di mana Harakah menjadi sebuah akhbar yang menemui pelbagai golongan pembaca, selain daripada hanya ahli-ahli PAS.

Jika Zulkifli Sulong adalah Ketua Pengarang Kumpulan Harakah yang turut mengasaskan kandungan editorial dalam format berkenaan, maka pada 1990-an itu, Ahmad Lutfi Othman yang menyertai Harakah turut menggunakan resepi yang sama tetapi dengan sentuhan peribadinya sendiri.

Amalan dasar editorial yang konsisten dan kandungan seimbang di antara peranan sebagai lidah rasmi parti dan sebagai akhbar umum alternatif menyaksikan jumlah edaran puncak melebihi 300,000 naskah setiap keluaran.

Apabila Ahmad Lutfi memutuskan meninggalkan Harakah tetapi terus berjuang sebagai agen media PAS menerusi majalah Detik, Wasilah, dan siri akhbar tidak berkala tanpa permit dan kemudiannya akhbar talian Detik Daily, format yang sama terus digunakan oleh penggantinya.


Malangnya bermula dari tahun 2000 sehinggalah akhir 2006, jumlah edaran Harakah mengalami keadaan yo-yo apabila Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan pelbagai arahan bagi mengekang populariti akhbar ini sebagai sebuah bahan bacaan umum yang begitu berkesan dalam membentuk pendapat awam.

Para penganalisis ketika itu berpendapat kerajaan sudah tentu tidak perlu mengambil pelbagai tindakan ke atas Harakah sekiranya kandungan editorial akhbar ini seratus-peratus merupakan lidah rasmi parti yang hanya menyediakan apa juga maklumat mengenai PAS.

Pada 2006, Ahmad Lutfi sekali lagi menyertai Harakah dalam keadaan akhbar ini sedang menunggang kitaran terbawah gelombangnya.

Berlatar-belakangkan semua senario ini, Ahmad Lutfi berdepan tugasan ibarat mendaki bukit curam. Selain itu Harakah juga berdepan golongan generasi baru yang belum tentu lagi seradikal golongan generasi yang menyokong reformasi Anwar Ibrahim (dianggap antara faktor penyumbang kepada edaran tertinggi Harakah).

Berdepan segala masalah dan segala tidak ketentuan ini, Ahmad Lutfi memilih untuk memperkukuhkan peranan Harakah sebagai sebuah media utama bacaan umum sambil mengimbangi peranan akhbar ini sebagai organ dan lidah rasmi PAS. Saya perhatikan berita kurang penting mengenai aktiviti parti dikurangkan dan sebaliknya, berita (dan ulasannya) yang bersifat nasional serta menyentuh dasar perjuangan PAS secara am dipaparkan dengan harapan ia dapat mengubah persepsi pembaca dan sekali gus menyokong perjuangan PAS.

Usaha ini bukanlah mudah. Ia menuntut kepada keberanian dan kesanggupan mengambil risiko berkira. Dalam pada itu ia juga memerlukan kreativiti termasuk dari segi persembahan susun-atur kerana dandanan halaman yang segar boleh menarik pembaca.

Alhamdulillah, Harakah terus menarik perhatian umum apabila jumlah edarannya dapat ditingkatkan, manakala akhbar internet HarakahDaily menikmati pengkadaran pembaca antara tertinggi di kalangan akhbar internet dunia.

Kemuncak dari semua ini menjadi faktor penyumbang keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 yang menyaksikan berlakunya tsunami politik Malaysia.

Apa pun, cara Ahmad Lutfi tidak semestinya mendapat anggukan positif dalam PAS. Pengendali akhbar parti mungkin tersudut sebagai orang paling tidak popular. Harapan saya agar pimpinan PAS terus mengamalkan sikap terbuka terhadap pendekatan siapa jua ketua pengarang Harakah yang diamanahkan, tanpa mengetepikan hakikat bahawa kepimpinan parti pastinya berkuasa menentukan Harakah agar tidak melencong dari peranan hakikinya.


Perlu disedari betapa akhbar adalah satu-satunya produk yang pelik. Meminjam kata-kata ahli psikologi terkemuka Robert E, Park (pernah berjawatan Profesor Psikologi di Harvard University): "Sebuah akhbar, ibarat sebuah kotaraya moden bukanlah sebuah produk yang pada keseluruhannya rasional. Tiada siapa yang mahu mencari keadilan dengannya. Di sebalik pelbagai usaha individu manusia dari pelbagai generasi untuk menguasainya dan menjadikan akhbar itu sesuatu berpunca dari hati nalurinya, ia terus berkembang dengan caranya tersendiri yang tidak dapat diramalkan."

Read More...

Lagi pemimpin Gerakan sertai PKR

Mstar Online

PETALING JAYA: Lebih 20 ahli Gerakan Wilayah Persekutuan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini dengan lebih ramai dijangka berbuat demikian dalam beberapa minggu akan datang.

Bekas Ketua Biro Penerangan Gerakan Wilayah Persekutuan, Gan Kok Keng berkata, sekurang-kurangnya 300 orang dari empat bahagian bakal menyertai parti pembangkang tersebut.

Bahagian-bahagian itu ialah Setiawangsa, Wangsa Maju, Bukit Bintang dan Kepong.

Gan yang telah menjadi anggota Gerakan sejak 24 tahun lalu berkata, pihaknya bertindak keluar parti kerana ia sudah tidak berupaya untuk memainkan peranan yang berkesan dalam Barisan Nasional (BN).

“Kami sudah tiada ada kuasa membuat keputusan dan telah dipinggirkan dan dicela banyak kali," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini pagi ini.

Gan menambah, tindakan tersebut juga bertolak daripada kepercayaannya bahawa pandangan yang diutarakan oleh bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Ahmad Ismail pada Ogos lalu bukannya pendirian peribadi beliau tetapi pandangan anggota parti berkenaan.

Turut keluar Gerakan hari ini ialah bekas Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Tan Kang Ho; Ketua Biro Ekonominya, Julian Leong dan Setiausaha Wangsa Maju, Azali Omar.

Naib Presiden PKR, dan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa pula berkata, tindakan ahli-ahli Gerakan itu bukan sesuatu yang boleh dilakukan dengan mudah.

"Tindakan mereka ada berani. Tiada ganjaran wang diberikan dan tiada sebarang perbincangan mengenai jawatan dalam aprti (PKR)," katanya.

Awal bulan ini, bekas Ahli Parlimen Segambut dan Ketua Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Tan Kee Kwong telah menyertai PKR.

Read More...

Abdullah melangkah ke penghujung karier politik

Harakahdaily

Mohd Nor Yahya
Sun | Sep 28, 08 | 3:25:31 pm MYT

TUMPAT, 28 Sept (Hrkh) - Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dianggap berada pada kedudukan paling terdesak dalam sejarah politiknya apabila terpaksa berundur lebih awal berbanding pelan peralihan kuasa pada Jun 2010.

Kemelut dalamannya jelas kelihatan apabila terpaksa menangguhkan lagi Perhimpunan Agung Umno kepada Mac tahun hadapan, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Umno apabila ditunda sebanyak dua kali.

Sepatutnya perhimpunan itu berlangsung tahun lepas namun ditangguh bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar berkata, Umno sedang menghadapai krisis yang amat besar kerana seluruh pimpinan Umno dan akar umbi tidak�yakin lagi dengan Presiden parti itu.

"Perdana Menteri tidak layak lagi menerajui Malaysia dan rakyat seharusnya sedar apa yang diusahakan Pakatan Rakyat bagi menukar kerajaan tepat pada masanya," katanya ketika ditemui di majlis penyampaian sumbangan Hari Raya kepada ketua-ketua cawangan PAS di kawasan parlimen Tumpat di sini semalam.

Jumaat lalu Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan menunda perhimpunan agung parti itu kepada Mac tahun hadapan bagi melancarkan pelan peralihan.

Perhimpunan parti itu sepatutnya diadakan pada 16 hingga 20 Disember depan.

Keputusan berkenaan disifatkan Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tiada peruntukan dalam perlembagaan parti itu dan berharap ahli-ahli Umno menolak penangguhan tersebut.Image

Menurutnya pemilihan parti mesti dilakukan setiap tiga tahun sekali di semua peringkat.

Kamaruddin juga bekas Ketua Umno Tumpat berkata, banyak faktor yang mewajarkan Abdullah berundur segera antaranya ketidakyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara ini.

Kata beliau ahli Umno di peringkat akar umbi mahu Abdullah turun dan diberi peluang kepada Dato Seri Najib Razak menerajui seketika pentadbiran negara.

Malah difahamkan kata beliau kumpulan kedua dalam Umno sekarang sedang mewujudkan gandingan lebih mantap bersama Najib termasuk Tan Sri Muhyuddin Yassin dan Dato' Zahid Hamidi.

"Apapun yang jelas sekarang Umno bagaikan sebuah kapal yang sedang karam dan sesiapa pun sebagai nakhodanya ia tetap akan karam juga.

"Oleh itu saya berharap ahli Umno berfikir mulai sekarang sanggupkah mereka berada bersama-sama dalam kapal yang sedang menuju ke dasar laut atau berpaut di sekeping papan yang boleh menyelamatkan mereka," kata beliau.

Kamaruddin juga berkata, kesan yang paling ketara dirasai Perdana Menteri dengan kekalahan teruk pada pilihan raya kecil Permatang Pauh Ogos lalu sehingga tekanan yang diterima Abdullah semakin hebat.

"Kalau selama ini PAS dan Pakatan Rakyat yang mendesak supaya ditukar kerajaan yang ada sekarang, namun hari ini Umno sendiri juga sudah tidak�yakin dengan pucuk pimpinan mereka.

"Oleh itu, sudah sampai masanya ahli parlimen BN bersama Pakatan Rakyat�untuk membolehkan kestabilan politik negara dipulihkan," katanya.

Menurutnya juga pemimpin kompenan BN juga kini mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap perkembangan dalam Umno sebelum mengambil langkah sewajarnya bagi masa depan politik mereka.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, Abdullah perlu melihat sejarah kejatuhan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin yang begitu memalukan kerana tidak menghiraukan desakan rakyat.

Katanya, Perdana Menteri perlu mengambil langkah paling sukar dalam hidupnya sekiranya tidak mahu dicatat dalam sejarah sebagai seorang ketua negara yang jatuh dalam keadaan paling mengaibkan.

"Tun Dr Mahathir Mohamad akan dianggap lebih bermaruah berbanding dengan Abdullah sekiranya terus berdegil mempertahankan kedudukan sekarang. Maka jalan paling wajar memberi ruang kepada Najib merasai seketika kedudukan nombor satu.

"Abdullah akan dianggap bijak kerana kejatuhan empayar BN yang berusia lebih 50 tahun bukan di eranya sebaliknya ketika Najib mengetuai kerajaan. Setidak-tidaknya Abdullah tidak dicatat memusnahkan sejarah BN," katanya.

Beliau juga yakin Najib tidak akan lama berada di kedudukan selesa kerana gelombang rakyat sekarang bukan sekadar menukar pemimpin sebaliknya mahukan kerajaan yang lebih bersih dan adil. - mj _

Read More...

Dollah (atau Idris), sudah belanja habis semua RM 7.364 bilion duit royalti ?

Buletin Online

PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Editor
Friday, 26 September 2008

http://buletinonline.net/images/berita11/ahmadsaidgalipitih.jpg

Kelmarin Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta sebagai bantuan Dana Khas Hari Raya, menjadikan keseluruhannya berjumlah RM47,594 juta, untuk diagihkan kepada penduduk di negeri ini yang didapati tercicir, samada secara sengaja atau tidak, oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.


Sebelum ini, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM46.594 juta sebagai bantuan yang sama, yang kini menjadi kontroversi kerana terdapat ketidakadilan didalam pengagihan bantuan tersebut dibawah kendalian Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DPKKP) yang dibelanjakan oleh kerajaan Terengganu untuk diberikan kepada ahli dan penyokong UMNO/BN bermula sejak tahun 2000 di panggil Wang Ehsan apabila pembayaran tunai 5% royalti minyak dihentikan kerana hasad dengki kerajaan UMNO/BN kepada kerajaan Terengganu yang diperintah oleh PAS ketika itu.


Sebagaimana yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Amirsham A.Aziz bulan Mei lalu, jumlah royalti minyak yang dibayar untuk kerajaan persekutuan kepada kerajaan Terengganu bagi tahun kewangan berakhir Mac 2004 hingga Mac 2007 adalah RM 7.364 bilion.

Menurut bekas Menteri Besar, Dato Seri Idris Jusoh menyatakan beliau tidak tahu jumlah RM 7.364 bilion bayaran royalti oleh Petronas itu.

Namun begitu Idris berkata kerajaan negeri di bawah pimpinannya hanya dimaklumkan wang royalti sebanyak RM1.3 bilion diberikan kepada Terengganu pada setiap tahun dalam tempoh tiga tahun tersebut.

Dengan itu secara rasminya kerajaan Terengganu telah menerima sebanyak RM3.9 bilion sepanjang tempoh tiga tahun.

"Wang royalti petroleum itu diberikan dalam bentuk wang ehsan dan ia kemudiannya digunakan bagi tujuan pembangunan Terengganu serta pentadbiran kerajaan negeri,” ujar Idris.

Persoalan yang masih belum dijawab secara rasmi oleh samada kerajaan Pusat atau negeri, kemanakah perginya wang royalti sebanyak RM3 bilion yang masih berbaki?

Hingga kini sudah dua bulan berlalu sejak Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan pembayaran 5% royalti minyak diserahkan kembali kepada kerajaan Terengganu.

Rakyat masih tertunggu-tunggu bilakah pembayaran pertama royalti minyak itu akan diterima oleh kerajaan Terengganu.

Ahmad Said yang begitu yakin sebelum ini bahawa Terengganu akan mendapat bayaran pertama wang tersebut pada bulan September, telah menjadi ‘bingung’ kerana bulan September telah hampir tamat, namun tidak ada tanda-tanda wang tersebut akan dibayar.

Diberitakan sudah berkali-kali para pegawai kanan kerajaan negeri berulang alik dari Kuala Terengganu ke Putra Jaya untuk merundingkan perkara berkenaan yang sepatutnya tidak perlu sebarang perundingan.


Perjanjian pembayaran royalti dibuat pada 22 Mac 1975 antara kerajaan Terengganu dengan Petronas jelas menyebut b
ayaran Royalti Petronas hendaklah dibuat tiap-tiap enam bulan sekali iaitu sebelum 1 September bagi petroleum yang diperolehi dan dijual dalam tempoh enam bulan yang pertama dan sebelum 1 Mac tahun berikut bagi petroleum yang diusahakan dan dijual dalam tempoh enam bulan yang kedua (bulan Julai hingga bulan Disember).


Kemungkinan yang paling besar mengapa wang royalti masih belum dibayar kepada kerajaan Terengganu adalah kerana ianya telah habis dibelanjakan oleh Dollah (atau Idris) !

Malah Ahmad Said mungkin menggigit jari dan terpaksa ‘minta sedekah’ dari kerajaan Dollah kerana wang tersebut sebenarnya telah terlebih guna?

Kalau kita perhatikan segala projek Mega yang dilaksanakan dari 2004 hingga sekarang serta pengakuan Ahmad Said bahawa pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) adalah dibiayai dengan DKKP, maka kemungkinan besar duit royalti RM 3 bilion yang menjadi misteri itu tidak berbaki lagi.

Dollah juga pernah menyatakan bahawa wang ehsan/ DKKP/ duit royalti memberikan banyak kebaikan kepada rakyat Terengganu tanpa perincian seolah-olah duit tersebut telah habis dibelanjakan.

Memang ada logiknya, kalu tidak sudah licin ‘dibaham’ duit royalti memang telah terlebih guna oleh Dollah (atau Idris).

Dibawah disenaraikan projek mega yang telah dilaksanakan sejak tahun 2004 dengan kos-kos yang telah didedahkan ;

Bil

Projek

Kos (RM – juta)

1.

Kompleks Sukan Negeri Terengganu

544

2.

LPT2

1,800

3.

Menaiktaraf Terminal LTSM

130

4.

Menaiktaraf Landasan Terbang LTSM

530

5.

Monsoon Cup

360

6.

Taman Tamadun Islam

259

7.

Benteng Pemecah Ombak (Brakwater)

509

JUMLAH

4,132

Selain dari perbelanjaan diatas terdapat satu laporan tidak didedahkan oleh kerajaan persekutuan yang juga menggunakan DKKP sebagaimana yang dilampirkan dibawah.


http://buletinonline.net/images/berita11/laporanprojekdanakhas.gif

http://buletinonline.net/images/berita11/laporanprojekdanakhas1.gif

http://buletinonline.net/images/berita11/laporanprojekdanakhas2.gif

Sekiranya dicampurkan semua kos tersebut kira-kira RM 650 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan persekutuan dari Wang Ehsan/ DKKP/ Wang Royalti Petroleum untuk pembangunan yang sepatutnya dilaksanakan menggunakan kewangan dari kerajaan Pusat.

Keseluruhan perbelanjaan yang dapat dikesan sehingga kini adalah lebih dari RM8 bilion, melebihi jumlah royalti yang di berikan kepada kerajaan Terengganu sebanyak RM7.634 bilion dalam tempoh 2004 hingga 2007. Pecahannya adalah seperti berikut;


Bil

Perkara

Jumlah (RM-juta)

1.

Serahan Kepada Kerajaan Negeri Setiap Tahun dari 2004 – 2007

(yang menjadi Belanjawan Negeri Terengganu)

3,900

2.

Projek-projek Mega (seperti jadual diatas)

4,132

3.

Infrastruktur

650

JUMLAH

8,682

Itu tidak termasuk banyak lagi dana-dana khas bantuan yang lain yang digunakan oleh Jabatan dan agensi kerajaan yang begitu mewah sebelum ini seperti dana khas untuk nelayan, ternakan, usahawan, pendidikan (tiusyen dll), kesihatan dan sebagainya !

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |