+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, September 29, 2008

Kerajaan Selangor Pakatan akui kuil di Ampang diroboh

Mstar Online

AMPANG: Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat hari ini mengakui yang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)telah merobohkan sebuah kuil di Ampang awal bulan ini walaupun dinafikan sebelum ini.

Dalam kenyataan media hari ini, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, pihaknya juga kesal dengan tindakan MPAJ merobohkan Kuil Sri Mahakaliamman di Kampung Tasik itu tanpa kebenaran kerajaan negeri.

"Kita telah arahkan kepada semua pihak majlis perbandaran di Selangor supaya mana-mana rumah ibadat yang hendak hendak dirobohkan mesti mendapat kelulusan kerajaan negeri," katanya semasa mengadakan lawatan ke tapak Kuil Sri Mahakaliamman hari ini.

Ia bertentangan dengan kenyataan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dua hari lalu bahawa kuil berkenaan telah dirobohkan untuk kerja-kerja pengubahsuaian bangunan dan dokumentasi.

Dr. Xavier, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Estet dan Kerajaan Prihatin berkata, tiada pihak berhak untuk merobohkan rumah ibadat sama ada masjid, surau, kuil, tokong mahupun gereja walaupun ia dibina secara tidak sah.

Surat makluman mengenai perkara tersebut juga telah dihantar kepada semua majlis perbandaran di Selangor.

Bagaimanapun Dr. Xavier berkata, perkara ini berpunca daripada kesilapan dan kelemahaan kedua-dua pihak.

"Pertamanya MPAJ meroboh tanpa merujuk kerajaan negeri dan keduanya pihak pengurusan kuil telah membina kuil ini tanpa mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan," katanya.

Semalam, MIC menggesa Kerajaan Negeri Selangor mendedahkan kepada umum laporan sebenar berhubung tindakan merobohkan kuil berkenaan apabila dua wakil rakyat berkenaan - kedua-duanya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi kenyataan bercanggah tentang perkara itu.

Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kenyataan dua wakil rakyat itu mengelirukan rakyat tentang siapa sebenarnya yang bertanggungjawab merobohkan kuil Sri Mahakaliamman pada 9 September lalu.

Beliau berkata, menurut Zuraida binaan itu diroboh oleh jawatankuasa kuil berkenaan bagi menjalankan kerja pengubahsuaian, tetapi Dr. Xavier pula berkata, lima hingga enam pegawai penguatkuasa MPAJ terlibat dalam kerja merobohkan kuil itu.

Kerajaan negeri yang diterajui PKR tidak sepatutnya mengalihkan isu ini dengan mendakwa MIC membuat tuduhan tidak berasas, kata Samy Vellu.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Zuraida itu, Dr. Xavier berkata, berlaku salah faham mengenai kenyataan tersebut.

"Saya telah bercakap dengannya (Zuraida) pagi tadi, beliau menafikan memberi sebarang kenyataan bahawa kuil itu dirobohkan oleh pihaknya seperti mana yang dilaporkan di media.

"Dia menafikannya dan saya fikir pengerusi kuil ini iaitu S. Murugiah boleh pastikan bahawa ia tidak dilakukan oleh beliau dan jawatankuasanya," katanya.

Menurut beliau, kerajaan Pakatan Rakyat yang menerajui negeri Selangor berjaya menangani isu ini dengan sebaik mungkin dan berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba untuk mempolitikkan perkara ini.

"Kalau kita tengok pada rekod terdahulu, banyak kuil dirobohkan semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) berkuasa dan MIC yang merupakan sebahagian daripadanya turut membenarkan perkara ini berlaku," katanya.

Tambah beliau, walaupun Pakatan Rakyat baru enam bulan mentadbir Selangor tetapi kerajaan negeri memandang serius perkara ini.

Namun baginya persoalan yang timbul ialah bagaimana kerajaan terdahulu membenarkan isu pembinaan kuil secara tidak sah terus berlaku tanpa sekatan.

"Dulu mereka tutup mata dan benarkan, tapi sekarang mereka kata bina kuil atas tanah haram.

"Mengapa dulu boleh sedangkan memang ada peraturan-peraturan tertentu untuk membina kuil," soalnya.

Beliau menambah, pihak jawatankuasa kuil tersebut boleh mengemukakakan permohonan jika ingin meneruskan kuil tersebut.

Katanya kerajaan negeri boleh membuat pertimbangan mencari tapak yang sesuai bagi menempatkan semula kuil yang telah dirobohkan itu.

Jelas beliau, kerajaan negeri sentiasa menyambut baik cadangan pembinaan kuil, namun perlu mengikut garis panduan ditetapkan.

Bagaimanapun jelasnya, jika sesebuah kuil itu dibina di tanah rizab atau tanah milik kerajaan, kerajaan negeri mempunyai prosedur tertentu untuk menukar statusnya dan kemudian diserahkan kepada pengurusan kuil.

1 comments:

Unknown said...

Isu yang sangat sensitif kerana ia menyentuh agama dan bangsa.
Negara kita sekarang berada dalam keadaan yang agak 'fragile'.
Jadi adalah lebih baik jika keadaan seperti ini dielakkan.

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |