+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, June 1, 2008

Tiada lagi subsidi minyak - Diberi terus kepada pembeli layak - Mekanisme belum diumum

KOTA KINABALU 31 Mei – Tiada lagi subsidi akan diberikan kepada diesel dan petrol yang dijual di negara ini apabila satu mekanisme baru diperkenalkan oleh kerajaan Ogos ini bagi menangani beban kewangan kerajaan yang semakin meningkat.

Sebaliknya subsidi itu akan diberikan terus kepada pengguna yang layak apabila mereka mengisi bahan api itu di stesen-stesen minyak di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, melalui mekanisme itu subsidi diubah daripada di peringkat pengeluaran sekarang ini ke peringkat jualan.

“Jadi minyak yang dibekalkan dan dibawa dari depot ke stesen-stesen minyak bukan minyak yang bersubsidi.

“Maknanya harga minyak di pam ialah harga tanpa subsidi. Apabila pengguna beli baru dia dapat subsidi. Itupun kalau dia layak terima subsidi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi taklimat program dan aktiviti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sabah (KPDNHEP) di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di sini hari ini.

Ketika ini kerajaan membayar subsidi minyak kira-kira RM45 bilion setahun dan angka itu akan terus meningkat ekoran peningkatan harga minyak mentah di pasaran dunia.

Melalui mekanisme itu kata Shahrir, hanya pengguna yang layak sahaja akan diberikan subsidi ketika membeli minyak.

Bagaimanapun katanya, kriteria dan kaedah pemberian subsidi secara terus itu masih belum boleh diumumkan.

Sebelum ini, Shahrir berkata, diesel subsidi kemungkinan besar tidak lagi dijual di stesen minyak apabila penstrukturan semula subsidi bahan bakar negara dilaksanakan tidak lama lagi.

Langkah tersebut merupakan salah satu kaedah untuk memastikan golongan yang berhak sahaja menikmati subsidi diesel.

Menurut Shahrir, mekanisme baru itu juga secara tidak langsung akan dapat mengatasi masalah penyelewengan minyak bersubsidi.

“Sekarang minyak yang dibawa dari depot ke stesen minyak telah disubsidi,” katanya.

Akibatnya, kata beliau, jika lori tangki yang membawa minyak itu diseleweng sudah pasti ia menguntungkan pihak terbabit.

Dengan itu, katanya, mekanisme baru itu pasti dapat mengatasi masalah penyelewengan tersebut kerana subsidi hanya diberi ketika pengguna yang layak membeli bahan bakar terbabit.

Turut hadir pada sesi taklimat program dan aktiviti KPDNHEP Sabah itu ialah Pengarah KPDNHEP Sabah, Jaafar Walad; Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Bui dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Putatan, Datuk Dr. Marcus Mojigoh.

Read More...

Bila loceng berdering

KLpos


Cetak E-mail
Oleh Ahmad Shukran Shaharuddin
Ahad, 01 Jun 2008

SUASANA di Parlimen kini banyak berbeza. Banyak kalangan pasti lega persidangan yang berlangsung hampir sebulan ditangguhkan Khamis lepas.

Ia bersambung lagi Jun...

Pelbagai drama, kejutan dan telatah dapat dilihat di Dewan Rakyat sejak ia mula bersidang 28 April lepas dengan catatan sejarah bahawa 99 anggota baru masuk gelanggang buat pertama kali, sebagai pembuat undang-undang.

Persidangan badan perundangan (legislative) itu pasca pilihan raya ke-12 menjadi tumpuan, manakala anggota-anggota dewan berlumba-lumba untuk mengambil bahagian, baik penyokong kerajaan mahu pun pembangkang, antara sebab utamanya mungkin kerana ia disiarkan secara langsung oleh RTM1, satu sejarah baru.

Ia menarik perhatian kerana Barisan Nasional (BN) hanya menguasai majoriti mudah apabila pembangkang iaitu DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menguasai 81 kerusi, di samping seorang wakil Bebas.

Gelagat wakil Bebas tunggal dari Pasir Mas itu, Datuk Ibrahim Ali sering diperhatikan kerana bertindak sebagai "orang di atas pagar".

Detik-detik yang berlaku menyuburkan amalan Demokrasi Berparlimen di negara ini, dengan Yang di-Pertua Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan dua timbalannya Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee sentiasa tercabar setiap kali mengendalikan perjalanan mesyuarat yang kadangkala bertukar hangat akibat tingkah laku sesetengah anggota Parlimen yang mencabar kewibawaan mereka.

Semua ini membuktikan bahawa Dewan Rakyat bukan hanya 'rubber stamp' untuk meluluskan undang-undang seperti yang pernah didakwa pembangkang, yang seterusnya digunapakai dalam urusan rakyat seharian apabila diluluskan.

Apabila RTM menyiarkan secara langsung sesi soal jawab selama 30 minit, 'orang-orang lama' di dewan dilihat cuba mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri masing-masing.

Pada hari pertama, pelbagai peraturan mesyuarat dikemukakan kepada speaker menyebabkan sesi soal jawab terganggu hingga akhirnya hanya tiga soalan yang mampu dijawab pihak kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan sebelum perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

"Ini semua sebab nak masuk televisyen," kata Ibrahim Ali, yang bertanding menggunakan tiket Pas dan orang yang mula-mula dibidas Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) selepas selesai upacara mengangkat sumpah kerana Ibrahim tidak memakai lounge suit sebagaimana yang disyaratkan.

Namun Pandikar membuat `ruling' kemudiannya dan memberikan kelonggaran kepada Ibrahim kerana beliau tidak mempunyai ketua Whip untuk memberitahunya sebagai wakil bebas.

Ibrahim segera memuji: "Tahniah, Tuan Speaker memang bijaksana".

Wakil Parlimen dari Sabah Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis) dan Abdul Ghapur pula lantang bercakap mengenai masalah rakyat Sabah, sambil memberi amaran tsunami politik lebih dahsyat boleh berlaku jika rintihan rakyat negeri itu tidak diambil peduli oleh pimpinan Barisan Nasional Pusat.

"Bukan bererti apabila kita menyuarakan aspirasi rakyat, kita menentang kerajaan. Bukan bererti apabila kita keluarkan kata-kata keras, kita nak melompat parti. Apa yang kita nak beritahu di Dewan ini, rakyat Sabah tidak melompat seperti lima buah negeri di Semenanjung," kata Anifah.

Menurutnya, tidak mustahil lompat "keluar dari rumah banglo dan masuk rumah teres, jika mereka tidak diberi ruang yang cukup di rumah banglo. Rumah teres pun rumah tereslah, asal kita sama-sama menikmati kemudahan. Tinggal di rumah banglo pun tidur di tepi tandas sahaja," kata Anifah.

Kenyataan seperti itu membuatkan ura-ura kononnya wakil rakyat melompat parti menjadi hangat lebih-lebih lagi kerana sebelum ini Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beberapa wakil rakyat BN di Sabah akan menyertai pembangkang untuk menubuhkan kerajaan.

Hakikatnya tidak diragui apabila Abdul Rahman Dahalan (BN-Kota Belud) mengakui ditawarkan pihak pembangkang dengan bercakap kepada wartawan di luar Dewan bahawa ganjaran itu `cukup untuk hidup selama tiga generasi'.

Hasilnya dua laporan kepada Badan Pencegah Rasuah dibuat oleh Abdul Rahman di Sabah dan Kuala Lumpur.

Sidang kali ini juga tidak sunyi dengan ungkapan kurang manis dilemparkan antara penyokong kerajaan dan wakil pembangkang, seperti `Projek Babi Negara' oleh Mahfuz Omar dari PAS sebagai reaksi kepada Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang memberi kependekan P-K-R untuk "Projek Khinzir Raksasa".

Tidak cukup dengan itu, ungkapan bahasa Tamil iaitu `ukkar' (bermaksud duduk) oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Idris Haron membuatkan persidangan tergendala sehingga 10 minit berikutan pertikaman lidah dengan pembangkang kerana dikatakan boleh membawa maksud yang lucah jika salah sebut.

N.Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) yang cuba memberitahu speaker maksud ungkapan Tamil itu kemudian terpaksa memohon maaf atas perbuatannya melangkaui tempat duduknya dan pergi ke sisi Speaker untuk membisikkan maksudnya.

Lobi Parlimen juga tidak kurang sunyi dengan peristiwa baru apabila Gobalakrishnan membawa anak perempuan P Waythamoorthy berumur enam tahun dan mengadakan sambutan majlis hari jadi bersama kek dan menyanyikan lagu `Happy Birthday To You'.

Ibrahim pula diserbu sekumpulan 30 orang golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berkerusi roda kerana beliau didakwa menghina Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) kerana tidak bangun semasa mahu bercakap di dalam Dewan sedangkan Karpal memang berkerusi roda kerana kecederaan jalan raya sejak 2003.

Keadaan itu menyebabkan beberapa anggota Parlimen seperti Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) menimbulkan isu keselamatan di Parlimen yang kini begitu mudah didatangi orang luar.

Bekas anggota Parlimen Hulu Langat Badrul Hisham Abdul Aziz yang sering datang mengikuti persidangan di Parlimen, berkata suasana Parlimen pada tahun 80-an tidak sesibuk sekarang malah kawasan meletak kereta sentiasa penuh dan seringkali melimpah ke kawasan luar Parlimen.

Pihak media juga terpaksa mengerahkan lebih ramai wartawan bertugas sehingga lima atau enam orang di Parlimen menyebabkan Pusat Media Parlimen sesak dan memerlukan tambahan kerusi meja.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga seringkali dilihat berada di pejabatnya di bangunan Parlimen sekiranya tidak ada urusan di luar dan mengadakan beberapa mesyuarat, begitu juga timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rabu lepas, buat pertama kalinya satu undi belah bahagian diadakan berbeza dengan biasanya undian suara, atas permintaan wakil pembangkang bagi meluluskan sebahagian Rang Undang-Undang Perbekalan (2007) 2008.

Senario ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan dilihat oleh sesetengah pihak sebagai cubaan pembangkang untuk tidak meluluskan Rang Undang-undang itu di bawah tajuk Peruntukan kepada Kumpulan Wang Terkanun berjumlah RM16.810 bilion sebelum itu dibahaskan di peringkat jawatankuasa.

Implikasinya, jika BN tidak boleh mengatasi undi pembangkang pada undi belah bahagian itu, wang yang sudah dibelanjakan kerajaan tidak sah dari segi undang-undang.

Keputusan untuk menjalankan undi belah bahagian menyebabkan ramai anggota BN yang berada di luar dewan termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta beberapa orang Timbalan Menteri yang berada di Dewan Negara yang sedang bersidang bergegas masuk ke Dewan Rakyat untuk mengundi.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dilihat keluar dari Dewan untuk memanggil masuk anggota dari kerajaan yang berada di luar.

Hasilnya BN mengatasi undi pembangkang dengan 92 undi berbanding 60, dengan seorang tidak mengundi...sekali lagi semua menoleh ke arah Ibrahim Ali yang sebelum ini disyaki tidak mengundi calon pembangkang untuk pemilihan timbalan speaker.

Apabila ditemui selepas undi belah bahagian, beberapa anggota pembangkang yang ditemui berkata: "Mungkin kami akan bernasib baik pada masa akan datang."

Kehadiran anggota menjadi soal penting kali ini di Parlimen, dan apabila loceng berbunyi, ia mampu mencetuskan spekulasi.

Read More...

Kes Mukhriz, Mahathir tidak berapa percaya lembaga disiplin Umno

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob
Sun | Jun 01, 08 | 9:48:52 am MYT

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa beliau tidak berapa percaya dengan kredibiliti Lembaga Disiplin Umno mengendalikan kes-kes laporan disiplin parti.

"Saya tidak berapa percayai sangat dengan (Lembaga) Disiplin Umno ni, dulu kita bagi keterangan ( kes Umno Kubang Pasu) kepada mereka ada sogokkan wang supaya saya kalah, orang itu sendiri bagi bukti...is no case," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu ulasannya berhubung kes anaknya, Dato' Mukhriz Mahathir yang dibawa ke lembaga disilpin Umno sewaktu ditanya wartawan dalam satu program semalam.

"Jadi, itu dia nak buat apa, ikut kehendak Presidenlah kalau Presiden benci pada Mukhriz ambil tindakan kepada Mukhriz, jangan ambil tindakan pada Zaid Ibrahim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) kerana Zaid adalah ahli Umno yang terbaik.

"Kerana disingkir dari Umno oleh jawatankuasa itu juga dan tidak ada peluang untuk bertanding dan ada 'suspicion' dia (Zaid) sokong parti lawan (dalam pilihan raya umum ke-12) itu adalah 'qualification' untuk menjadi menteri dalam kerajaan termasuk orang yang kalau ada duit dua tiga juta bawa dalam beg pergi ke Australia, untung dapat jadi menteri," ujar Mahathir sinis.

Mahathir juga dengan sinis berkata, "ada seorang dari Baling jadi Timbalan Menteri...berkempen untuk parti lawan, ini semua'qualification'...saya harus ingatkan ahli-ahli Umno, kalau nak jadi menteri sokong parti lawan ataupun buat kerja yang tak betul."

Sejak Mahathir keluar dari Umno, beliau tetap meneruskan kritikannya kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Lebih hangat apabila, Tun Mahathir sendiri mengingatkan kepada ahli Umno untuk terus mengkritik kepimpinan dan mendesak Presiden Umno (Abdullah) melepaskan jawatan untuk memulihkan kembali Umno.

Anaknya (Mukhriz), walaupun tidak menyertai Mahathir keluar Umno, namun cukup lantang mengkritik kepimpinan Abdullah termasuk menggunakan platform Dewan Rakyat.

Akibatnya Mukhriz bakal dihadapkan kepada Lembaga Disiplin Umno. - mks.

Read More...

Dr M: Ezam mungkin landasan Anwar masuk Umno

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | May 31, 08 4:01pm

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kemasukan bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor ke dalam Umno mungkin menjadi landasan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali kepangkuan parti itu.

"Dalam politik segalanya mungkin. Apa yang tidak disangka terjadi, boleh terjadi.

mahathir satria talk 310508 talk"Anwar sedar untuk menjadi perdana menteri ia memerlukan sokongan dari Umno.

"Anwar mahu masuk Umno kerana beliau mahu menjadi perdana menteri," katanya ketika menyampai ucaptama dalam majlis suntikan semangat satria di Petaling Jaya hari ini.

Panelis di majlis tersebut ialah exco Pemuda Umno, Datuk Sazmi Miah dan bekas pengerusi kelab penyokong kerajaan di Parlimen, Datuk Ruhani Ahmad.

Sehubungan itu, kata Dr Mahathir, Umno perlu berhati-hati dengan kemasukan Ezam, terutama pada waktu sekarang.

Sementara itu, ketika bercakap dalam sidang media kemudiannya, mantan presiden Umno itu dengan sinis berkata, Umno terdesak untuk mendapatkan sokongan dari rakyat.

Rela dipecat

"Ambillah (pengerusi DAP) Karpal Singh, (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan menteri besar Perak sebagai ahli. Karpal Singh terutamanya boleh jadi ahli bersekutu," tambahnya.

Dr Mahathir juga berkata, beliau rela dipecat dari jawatan penasihat beberapa agensi kerajaan

"Tetapi kalau dia suruh berhenti saya berhenti tetapi suka jika ditendang," katanya.

Dr Mahathir menjadi penasihat kepada Petronas, Proton dan Lembaga Pembangunan Langkawi dan Tioman.

"Saya tidak bergantung kepada itu. Saya lebih suka mereka tendang," katanya lagi.

Ketika diminta mengulas tindakan kerajaan menasihatkan anaknya,mahathir satria talk 310508 pc Datuk Mokhzani supaya melepaskan jawatan pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Dr Mahathir berkata, beliau tidak mahu mengulas.

Jika mahu pecat, pecatlah. Jika mahu berhenti, berhentilah," katanya lagi.

Mantan perdana menteri sekali lagi menegaskan, beberapa pemimpin boleh menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

MT, Kabinet tidak berkesan

Dr Mahathir berkata, mereka ialah Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Rais Yatim.

"Kita tidak boleh beri kepada satu orang kerana bila dia seleweng kita tidak boleh tukar," katanya.

"Pemimpin yang terlalu berkuasa dia membelakangkan benda-benda ini sehingga ada tingkat empat," katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, sebab itu beliau menyokong cadangan mewujudkan cadangan majlis penasihat kepada perdana menetri.

Katanya, Majlis Tertinggi (MT) Umno dan kabinet sudah tidak berkesan lagi untuk memberi nasihat kepada perdana menteri.

Dr Mahathir juga menegaskan beliau tidak menubuhkan parti lain setelah keluar dari Umno 19 Meli lalu.

"Ini kali kedua saya jadi mantan ahli Umno. Masa dipecat dahulu saya pernah naik ke pentas PAS tetapi saya bercakap mengenai Umno.

"Kalau orang tak mahu dengar ucapan saya tak apalah, cukuplah 22 tahun saya menjadi perdana menteri.

"Kita nak buat pertandingan, siapa yang menjadi perdana menteri paling lama dan perdana menteri yang paling singkat," katanya disambut gelak ketawa orang ramai..

Read More...

SPR: Batal guna dakwat elak krisis Perlembagaan

Mstar Online

01-06-2008 02:08:23 PM
Oleh G. MANIMARAN

PUTRAJAYA: "Buat pun salah, tak buat pun salah." Ini sebahagian reaksi Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang menjelaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa akur dengan keputusan Kabinet dalam isu pembatalan penggunaan dakwat kekal bagi mengelakkan krisis Perlembagaan dan kemungkinan dakwaan ke atas panel suruhanjaya di Parlimen.

Sambil mengaku tiada pilihan dan tersepit dalam suasana amat sukar, Pengerusi SPR itu memberitahu, pihaknya terpaksa membatalkan penggunaan dakwat apabila Kabinet menolak syor undang-undang yang dikemukakan bagi menjadikan ia sebagai peruntukan undang-undang ketika hari pengundian.

"Alasan paling utama berkaitan dengan peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan hak seseorang untuk mengundi dalam pilihan raya.

"Jika SPR mengetepikan keputusan Kabinet, sebaliknya memutuskan untuk meneruskan rancangan untuk menggunakan dakwat kekal, jadi bermakna SPR mengambil risiko boleh didakwa (di Parlimen) melakukan sesuatu di luar bidang kuasanya dan sudah tentu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan," kata beliau dalam satu pertemuan dengan mStar Online baru-baru ini.

"Bermakna panel suruhanjaya terdedah kepada (kemungkinan) dakwaan di Parlimen," kata beliau sambil menambah, dengan membatalkan rancangan penggunaan dakwat pihaknya telah mengelakkan banyak masalah yang serius.

Selain itu, jika ada pihak yang berpuas hati dengan langkah SPR menggunakan dakwat kekal, keputusan pilihan raya umum 8 Mac boleh dicabar di mahkamah untuk diisytiharkan tidak sah.

"Itu sebabnya kami mengambil masa yang begitu lama untuk memikir dan mempertimbangkan banyak perkara. Ia dilakukan dengan niat yang baik dan secara profesional," katanya.

Oleh itu, beliau berharap tiada mana-mana pihak menuduh beliau dan panel SPR bermain politik dalam isu berkenaan.

"Ia telah dijalankan secara profesional. Malah, jangan menuduh kami mempunyai agenda dalam hal ini.

"Kami berhadapan situasi yang sukar dalam membuat keputusan, buat pun salah, tak buat pun salah," kata beliau ketika mengulas aduan polis yang dibuat berhubung isu berkenaan baru-baru ini.

Isu berkenaan juga telah dibangkitkan di Dewan Rakyat bulan lalu.

Pada 17 Mei lalu, Abdul Rashid buat kali pertama sejak pilihan raya umum 8 Mac, mendedahkan tindakan pihaknya membatalkan penggunaan dakwat kekal pengundi bertolak daripada keputusan Kabinet yang menolak rancangan itu daripada diteruskan.

Kata beliau, Kabinet menolak langkah SPR menggunakan dakwat khas, yang menelan kos hampir RM3 juta, atas dua alasan iaitu perundangan dan keselamatan pada hari Parlimen dibubarkan.

Pada hari yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu, pihaknya tidak pernah memberi arahan, sebaliknya hanya mengemukakan cadangan dalam isu berkenaan

Awal tahun ini juga, Badan Pemantau Pilihan Raya Adil dan Bebas Malaysia (Marfel) telah mengesyorkan agar penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-12 diwartakan terlebih dahulu bagi memastikan penggunaannya tidak dicabar pengundi.

Menurut badan itu, penggunaannya boleh dipertikaikan kerana belum ada pindaan dibuat terhadap Peraturan-peraturan Perjalanan Pilihan Raya 1981.

Kata Marfel, Perkara 19 (3) Peraturan-peraturan Perjalanan Pilihan Raya 1981 perlu dipinda bagi membolehkan penggunaan dakwat itu dilaksanakan tanpa masalah pada pilihan raya umum akan datang.

Mengenai kandungan undang-undang yang disyorkan itu, kata Abdul Rashid, ia merupakan peraturan yang berkaitan dengan penggunaan dakwat khas ketika pilihan raya.

"Tanpa peraturan itu, anda tidak boleh melaksanakan ketika hari pengundian. Kami difahamkan Kabinet telah mengetepikan undang-undang yang disyorkan ini," katanya.

Jelas beliau, nasihat daripada Peguam Negara ialah undang-undang kelihatan ultra vires Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

"Jadi, semangat (kehendak) undang-undang ialah anda tidak boleh memaksa mana-mana pemilih (yang layak) untuk melakukan apa-apa, yang boleh ditafsirkan sebagai satu usaha mengelak atau menghalang dia daripada mengundi kecuali undang-undang berkenaan ataupun proses didukung oleh satu undang-undang yang sesuai yang tidak bertentangan dengan Perkara Perlembagaan Persekutuan.

"Diperhujahkan bahawa jika seorang enggan jari mereka dikenakan dakwat, dia tidak boleh dinafikan haknya untuk diberikan kertas undi.

"Jadi, aspek perundangan seperti ini tidak harus dipolitikkan," katanya.

Read More...

Pertahan PM: Zaid hairan dikenakan tindakan

Utusan Online

KUALA LUMPUR 31 Mei - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim hairan mengapa UMNO mahu mengenakan tindakan terhadapnya hanya kerana beliau bertindak mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi daripada dikritik.

Katanya, sejak empat tahun lalu, Perdana Menteri telah dikritik, dihentam dan dihina secara peribadi, tetapi hari ini menjadi satu kesalahan jika ada pihak yang ingin membelanya.

Menurut Zaid, Abdullah telah berusaha membina dasar-dasar kerajaan yang murni, oleh itu tidak salah jika membelanya daripada dikritik.

"Sesiapa yang membela Perdana Menteri dan dasar-dasar kerajaan ke arah melakukan perubahan untuk kebaikan rakyat dan negara tidak perlu takut.

"Kerajaan perlu tegas dan tetap akan melaksanakan perubahan kerana kita akur kepada kehendak rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pesta Kelantan 2008 dan Semarak Seni di Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam, bahawa Zaid akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin kerana didakwa menyalahi pekeliling yang diedarkan oleh ibu pejabat parti, yang melarang masalah dalaman parti dibangkitkan di luar UMNO.

Turut akan dikenakan tindakan sama ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Zaid menegaskan, mereka yang menentang dan tidak boleh menerima perubahan yang dilakukan oleh Perdana Menteri ialah golongan yang mengikut peraturan, pemikiran dan budaya politik lama.

Ditanya siapa yang menentang dasar Abdullah itu, Zaid berkata: "Kita fikir sendirilah, tak kan susah sangat, bukannya sains roket."

Dalam pada itu, beliau menyeru agar rakyat di seluruh negara bekerjasama untuk menyokong dan membina perubahan yang dilaksanakan oleh Abdullah.

"Pendapat peribadi saya terhadap Perdana Menteri ialah beliau hendak melakukan perubahan bagi memperbaiki kelemahan dalam sistem perundangan dan kehakiman di negara kita.

"Jadi, kita perlu menyokong dan memahaminya sebelum mengkritik kerana tiada sesiapa yang boleh menghalang perubahan itu daripada berlaku,'' tegasnya.

Mengenai tindakan yang bakal dikenakan terhadapnya itu, beliau hanya berkata: "Saya tidak ada komen dan tidak faham mengenainya.''

"Saya hanya memperkatakan soal peraturan dalam Dewan Rakyat kerana di negara-negara lain pun ada peraturan yang sama.

"Barisan Nasional (BN) ada Ketua Whip dan Ketua Pembangkang pun ada Ketua Whip mereka. Tindakan yang saya maksudkan yang perlu diambil ialah berasaskan laporan parti di Parlimen."

Menurut Zaid, Ahli Parlimen perlu mengikut peraturan ketika berada dalam Parlimen, mematuhi dasar parti dan akur kepada ketua jika menganggotai parti komponen kerajaan dan wakil pembangkang pula perlu akur kepada ketua mereka.

Read More...

Ahli-ahli Umno digesa berani desak Abdullah undur

Harakahdaily

Salmiyah Harun

Sat | May 31, 08 | 5:29:04 pm MYT

PETALING JAYA, 31 Mei (Hrkh) - Ahli-ahli Umno perlu bertindak lebih berani untuk mendesak Perdana Menteri,Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan dengan syarat mereka akan kembali kepada Umno jika kepimpinannya bertukar.

Demikian menurut Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebaik sahaja ditanya peserta tentang kredibiliti Umno pada hari ini sudah tidak relevan lagi.

Beliau berkata, ahli-ahli Umno tidak akan rugi apa-apa jika berani bertindak mendesak Abdullah Badawi meletak jawatan.

"Kalau ahli-ahli nak (keluar umno) dan tidak akan rugi apa-apa, dan istihar kami keluar Umno dengan syarat kalau umno tukar kepimpinan kami akan kembali kepada Umno, ini sahaja cara berkesan untuk mengusir dia (Abdullah Badawi)," katanya di hadapan hampir 1000 peserta yang mengikuti wacana 'Suntikan Semangat Satria Tun Mahathir' anjuran Minda Melayu Kreatif Kelab Cinta Amanah Melayu Arena PJS14 di sebuah hotel di Petaling Jaya pagi tadi.

Tegasnya, peletakan jawatan oleh Abdullah lebih berkesan jika wakil Rakyat Umno sanggup bertindak sedemikian seperti ahli Umno yang lain.

Dalam pada itu, Mahathir juga tidak percaya pada pemilihan Umno pada bulan Disember nanti yang akan berjalan secara telus.

"Kita tidak boleh harapkan kepada ketua-ketua bahagian kerana mereka mempunyai kepentingan tertentu.

"Nanti kalau saya sokong, saya tidak dapat itu..tidak dapat ini..," katanya yang diikuti sorakan gemuruh oleh hadirin.

Sehubungan itu, beliau juga menegaskan tidak akan menubuhkan parti lain sebaik keluar Umno minggu lepas kerana jiwanya masih kepada Umno.

Berhubung soal kuasa yang diberikan kepada pemimpin tertinggi kerajaan, beliau berkata, kuasa itu tidak seharusnya diberikan kepada seorang sahaja dan apabila berlaku penyelewengan mereka sukar untuk memperbetulkan individu terbabit.

Ekoran itu, beliau menyarankan agar satu badan penasihat kepada Umno dan pemimpin kerajaan ditubuhkan.

Dua ahli panel yang turut berucap iaitu, bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Dato' Ruhani Ahmad dan Exco Pemuda Umno Dato' Sazmi Miah.

Sementara itu ketika ditanya pemberita dalam sidang media berhubung jawatannya dalam syarikat kerajaan, Mahathir menegaskan beliau tidak akan melepaskan jawatan dalam beberapa syarikat termasuklah sebagai penasihat Petronas dan Proton yang dipegangnya sejak berundur dari jawatan Perdana Menteri.

Katanya, tidak ada sebab mengapa beliau perlu melepaskan jawatan yang tidak berkaitan dengan statusnya sebagai bukan lagi ahli Umno bahkan menyatakan beliau lebih suka dipecat.

Tambahnya, Tun Hussein Onn ketika itu bekas Perdana Menteri dan bukan ahli Umno terus memegang jawatan sebagai Pengerusi Petronas dan beberapa badan lain.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ismail Sabri Yaakob meminta Dato' Mokhzani Mahathir yang mengumumkan keluar daripada Umno minggu lepas, supaya melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) atas alasan jawatan itu adalah hak kerajaan.

Mokhzani pada 21 Mei lepas mengumumkan keluar daripada Umno untuk mengikut jejak bapanya yang keluar daripada Umno atas alasan tidak lagi yakin terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang juga Perdana Menteri.

Beliau mengumumkan keluar Umno tiga hari selepas Dr. Mahathir memutuskan untuk berbuat demikian. - mks.

Read More...

Negara perlukan akhbar yang bebas- Zaid Ibrahim

KLpos

Cetak E-mail
Oleh Bernama
Ahad, 01 Jun 2008

KL: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim hari ini mencabar pengamal media di negara ini supaya bersatu dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan berhubung tuntutan mereka bagi kebebasan akhbar yang lebih baik.

Zaid mencadangkan agar golongan seperti editor dan wartawan kanan dan pihak lain yang berkaitan sama-sama mengemukakan cadangan kepada kerajaan dan menteri-menteri berkenaan bagi mengganti, meminda atau menyemak semula undang-undang sedia ada yang dianggap media sebagai menyekat kebebasan.

Berucap pada majlis dialog di Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) di sini hari ini, Zaid berkata kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi komited untuk mewujudkan lebih banyak ketelusan, memerangi rasuah dan perubahan dalam sistem dan dalam konteks ini akhbar yang lebih bertanggungjawab dan bebas adalah perlu.

Sambil menegaskan bahawa perubahan tidak dapat dilakukan dalam tempoh singkat, Zaid, menteri yang bertanggungjawab bagi undang-undang, berkata dalam membuat tuntutan bagi kebebasan akhbar lebih luas dan penghapusan undang-undang tertentu, industri media harus jujur terhadap diri sendiri dan tidak membuat andaian yang kerajaan tidak berminat mendengar mereka.

"Negara memerlukan akhbar yang baik dan bebas...jika anda bercakap mengenai reform, anda mesti ada perancangan. Anda mesti cuba...saya percaya jika ada cadangan yang baik, mungkin beberapa kemajuan boleh dicapai. Tidak semestinya memansuhkan segalanya," kata beliau pada dialog itu anjuran NPC dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM).

Antara undang-undang yang dituntut oleh pengamal media untuk dibuat perubahan ialah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Kepada soalan dari hadirin, Zaid berkata tidak ada kebebasan bersuara tanpa batas dan adalah tidak mungkin untuk membiarkan akhbar bergerak tanpa peraturan dan menambah jika pihak media mahukan kerajaan mengubah sesuatu seperti undang-undang, maka mesti ada juga mekanisme bagi mengendali perubahan dan proses, jika tidak akan tercetus anarki.

Zaid berkata beliau menghadiri dialog itu untuk mendengar, dan bukan untuk menyokong apa saja dan beliau akan terus berbincang dengan media pada bila-bila masa dan mengenai apa jua.

Sementara itu, presiden NPC dan Editor Berita Bernama Mokhtar Hussain dan presiden NUJM Norila Daud berkata mereka setuju mengemukakan usul kepada kerajaan berhubung undang-undang yang dikehendaki oleh industri media untuk perubahan.

Read More...

Pengakuan Ezam Mohd Nor

Malaysiakini

Jun 1, 08 11:25am

Dalam wawancara selama hampir dua jam dengan Malaysiakini semalam, antara soalan utama yang dikemukakan kepada bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor ialah kisah sebenar yang membawa beliau kembali semula ke pangkuan Umno.

Untuk berkongsi sepenuhnya dengan para pembaca, di bawah ini kita siarkan jawapan Ezam penuh terhadap soalan tersebut.

Saya berterima kasih pada soalan tersebut, sebab itu soalan penting kerana ada perbezaan yang besar di antara cakap-cakap dan pertemuan-pertemuan saya dengan pemimpin Umno sebelum pilihanraya baru-baru ini, pilihanraya 2004 dan sebelum itu, dengan keputusan saya kali ini.

Saya mengakui dalam 2004 khususnya, ialah kita bermula dengan 1999 lagi, setelah saya ditahan di bawah ISA dan semasa saya di Kamunting, tidak ada usaha untuk menarik saya balik ke Umno, tiada ada usaha yang bersungguh-sungguh. Tetapi selepas itu dipisahkan dengan rakan-rakan di penjara Kajang dan sendirian, masa itu ada usaha untuk cuba mengajak saya untuk meninggalkan perjuangan PKR, memimpin Pemuda PKR untuk masuk Umno.

ezam joins back umno 280508Saya tolak masa itu kerana prinsip saya, saya tidak akan deal (berbincang) dan bertolak ansur dalam keadaan saya dalam penjara. Bagi saya, apapun, kena keluar saya (dari penjara). Saya bebas dalam 2003, dan selepas itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi menteri. Beliau berbeza dengan (Tun) Dr Mahathir (Mohamad). Kalau Dr Mahathir, approach (pendekatannya) adalah menekan. Lagi kuat anda lawan, lagi kuat dia tekan, masukkan dalam penjara. Tapi pendekatan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menarik. Sebab itu apabila pilihanraya 2004 ada usaha untuk menarik saya dan rakan-rakan lain untuk kembali ke Umno.

Dan usaha tersebut, saya lihat satu peluang pada masa itu, untuk deal (berbincang) untuk mendapatkan kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekurang-kurangnya membebaskan beliau untuk mendapatkan rawatan. Kalau tak bebas sepenuhnya pun tetapi untuk mendapatkan rawatan. Pada masa itu, keadaan Datuk Seri Anwar adalah kritial. Setelah bincang dengan beberapa teman-teman senior dan kawan-kawan lama Anwar sendiri, yang non-partisan dan sebagainya, maka mereka merasakan keutamaan harus untuk menyelamatkan Anwar Ibrahim.

Sebab itu kita melangkah untuk membuat keputusan untuk memulakan perbincangan dengan pemimpin Umno. Antara pemimpin tertinggi yang kita temui termasuk Datuk Seri Mohd Khir Toyo, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Datuk Aziz Shamsuddin - antara pemimpin besar Umno. Dan semua ini saya lakukan dalam pengetahuan Datuk Seri Anwar.

anwar hadi awang harun din germany 140904 gesturingDalam pertemuan kedua bersama Datuk Sri Dr Mohd Khir Toyo, Datuk Seri Anwar sendiri yang minta supaya saya membawa bersama dua pemimpin PKR untuk berbincang - Mereka adalah Datuk Kamarul Bahrin dan seorang lagi Hajah Rahmah Othman. Kita berempat, seorang lagi Johari Abdul. Kita berempat berjumpa dengan Datuk seri Dr Mohd Khir Toyo dan saya yang mengetuai perbincangan tersebut. Ini atas keputusan Datuk Seri Anwar. Kata OK macam mana, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo nak berbincang - 2004 sebelum pilihanraya umum - Anwar kata Ok tapi bawa tiga orang, biar ada saksi. Nanti orang kata apa-apa (pula) kat you.

Memang saya yang deal, sepatutnya, Tan Sri Khalil Yaakob, ketika itu setiausaha agung (Umno) hadir (sama) dalam pertemuan yang kedua itu tapi tak hadir, jadi Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sahaja, di rumah Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo. Jadi, line (hujah) saya ialah sebarang deal atau usaha untuk bincang mestilah dimulakan dengan membebaskan Datuk Seri Anwar. Itu saya firm (tegas), mesti dimulakan dengan membebaskan Anwar Ibrahim, sekurang-kurangnya untuk mendapatkan rawatan. Dan saudara boleh tanya Datuk Kamarul, Johari Abdul dan Rahmah Othman. Saya sengaja sebut nama kerana semua ini saksi.

Apabila Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo tidak boleh komit yang itu, kita back out. Dia kata you masuk (Umno) dulu dan (kemudian) bincang tentang Anwar. Tapi you kena masuk dulu, you kena bertanding... saya kata no,no, kita tolak kerana tidak minat dengan apa yang kami akan dapat. Fokus kita adalah jelas.

Lepas itu berjumpa dengan Datuk Aziz Samsuddin, bersama dengan sebelas atau dua belas kawan-kawan, Ruslan Kassim dan teman-teman lain. Begitu juga. Dia cakap-cakap, akhirnya dia minta kita masuk (Umno) tapi saya kata apa pun sama juga, mesti bebaskan Datuk Seri Anwar. Jadi (bila) dia tidak boleh komit, saya keluar. Saya tamatkan di situ.

Selepas saya tamatkan, kawan-kawan teruskan dan sebab tu mereka masuk (umno) sebelum pilihanraya. Bagi saya itu keputusan masing-masing dan saya faham ketika itu mereka sudah dalam keadaan susah, tertekan dan sebagainya, masalah kewangan, peribadi dan sebagainya. Mungkin mereka perlukan wang dan saya tidak dapat halang sebab saya pun dalam keadaan yang tidak senang. Kita dah berjuang lama, ini saya faham. Sebab itu saya masih berkawan dengan mereka hingga hari ini. Bagi saya itu bukanlan an act of betrayal (berpaling tadah) walaupun saya tidak bersama (mereka) sebab saya punyai bottom line iaitu bebaskan Datuk Seri Anwar. Selain dari itu, saya tidak akan terima.

Selepas pilihanraya, keadaan Datuk Seri Anwar semakin teruk. Semakin kritikal selepas pilihanraya (di mana) Barisan Nasional (BN) menang besar. Datin Seri Wan Azizah jumpa saya minta supaya diusahakan untuk rawatan. Buka pintu balik (perbincangan), bukan untuk bertanding atau bukan untuk masuk Umno tetapi untuk Datuk Seri Anwar. Kita cuba pelbagai-bagai. Saya jumpa sendiri Datin Paduka Rahmah Othman yang baik dengan Abdullah sebab dia Team B dulu, tapi simpati dengan kita. Saya jumpa dia, kita hantar rombongan jumpa mufti-mufti, kita jumpa beberapal lagi pemimpin Umno yang lain yang dekat dengan perdana menteri.

Tetapi mesej tak sampai, hinggalah satu hari, seorang wartawan asing memberitahu saya, jika hendak (mesej) sampai kepada PM, dapatkan (bantuan) Khairy (Jamaluddin). Saya jumpa Datin Seri Wan Azizah dan tanya macam mana. Ini pandangan mereka, mungkin kita boleh cuba. Saya tidak kenal Khairy. Ini penting untuk rekod, sebab (ada) tuduhan (yang mengaitkan) saya dengan Khairy. Ini kisah benar. Saya tidak kenal Khairy tapi ada cadangan untuk saya cari Khairy sebab dia dapat sampaikan mesej dengan cepat kepada perdana menteri. Sejurus selepas pilihanraya, dekat-dekat dengan tarikh Anwar bebas, September 2004, jadi mungkin Mei atau Jun.

anwar khairy 150807Saya cari Khairy melalui kontak di London, melalui kawan-kawan, akhirnya saya dapat jumpa Khairy. Di situlah bermulanya hubungan saya dengan Khairy. Masa itu dia belum (jadi) naib ketua pemuda. Dan saya bagi tahu dia kebimbangan kita tentang keadaan kesihatan Datuk Seri Anwar dan mintalah sampai kepada perdana menteri. Selepas dua pertemuan, Khairy aturkan pertemuan antara Datuk Seri Abdullah dengan Datin Seri Wan Azizah di pejabat perdana menteri.

Saya hadir tapi saya tidak masuk ke dalam. Saya biar Datin Seri Wan Azizah berjumpa dengan Datuk Seri Abdullah. Saya tidak tahu secara terperinci (apa yang dibincangkan), tapi pada asasnya ialah untuk kesihatan, perubatan dan minta Anwar dikeluarkan dari penjara duduk di hospital, sebab (masa itu) dia berulang, kerana tidak ada pihak berkuasa yang berani benarkan Anwar duduk di hospital.

Masa itu juga Pak Lah ambil telefon, hubungi menteri kesihatan dan arahkan, masa itu petang dah, keluarkan Anwar Ibrahim on the spot dan lepas tu kita minta rawatan keluar negara , PakLah tak komited, dia kata dia akan tengok. Dan ketiganya, Datin Seri Wan Azizah minta Pak Lah adil dalam penghakiman (kes rayuan Datuk Seri Anwar di Mahkamah Persekutuan), jangan campur seperti Dr Mahathir. Pak Lah beri komitmen, dia tak akan campur, Masa itu tengah (perbicaraan), dah hujung-hujung (di peringkat penghakiman dibuat).

Mengikut kata Datin Seri Wan Azizah, Pak Lah kata OK, katanya, dia seorang pemimpin Islam, itulah yang beliau (Wan Azizah) beritahu saya, Pak Lah kata: "saya komited, saya pemimpin Islam, takkan saya nak buat macam tu".

Selepas Datuk Seri Anwar ke hospital, saya masih lagi jumpa Khairy sebab target saya masih lagi nak dapatkan rawatan ke luar negara. Khairy mencuba, hingga pada suatu ketika, dah ada keputusan pun untuk mendapatkan rawatan di luar negara tapi bukan di Jerman tapi di Singapura.

ezam interview 310508 5Pada mulanya, Datin Seri Wan Azizah tidak setuju. (Kemudian) jumpa Anwar dan beliau kata OK ke Singapura. Jadi saya (pun) sampaikan pada Khairy. Tiba-tiba Jabatan Peguam Negara nasihatkan jangan, walaupun menurut Khairy, Pak Lah telah bersetuju. Kata peguam negara ianya bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Perkara tu habis di situ, tak jadi, walaupun sebenarnya telah ada keputusan dari perdana menteri.

Selepas beberapa ketika, mahkamah tetapkan tarikh untuk keputusan (rayuan) di Mahkamah Persekutuan. Jadi kita tangguh dulu perbincangan untuk rawatan (Anwar) di luar negara dan kita tunggu keputusan. Kalau keputusan bebaskan (Anwar) oklah. Kalau tidak bebas, kita sambung (perbincangan). Tapi bila keputusan (Anwar) bebas, sebagai tanda hormat, saya bagi tahu Khairy (Anwar) bebas, dan Khairy bertanya apa lagi yang boleh dibantu. Saya tanya Datuk Seri Anwar dan beliau minta pasport sebab dia nak terbang cepat. Itulah yang diminta oleh Datuk Seri Anwar dan saya sampaikan kepada Khairy dan dia sampaikan kepada bapa (mentuanya). Malam tu juga Khairy datang dan esoknya saya uruskan pasport Datuk Seri Anwar. Itulah peristiwa yang berlaku bila Khairy datang ke rumah Datuk Seri Anwar pada malam itu. Ini yang sebenarnya berlaku.

Sebab itu saya hendak tekankan di sini (ialah) keseluruhan proses ini hanya membabit dan memfokuskan kepada soalan untuk menyelamatkan Datuk Seri Anwar. Tidak ada deal (masuk Umno) seperti yang dituduh terhadap saya. Saya sebenarnya expect (harap) Datuk Seri Anwar dan Datin Paduka Wan Azizah untuk menyatakan perkara ini, sekurang-kurangnya untuk membela saya bila orang (mengaitkan) saya dengan Khairy kerana mereka tahu perkara yang sebenar. Seluruh proses yang saya deal dengan Khairy, dengan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan semua proses ini bukan untuk saya, malah saya menolak semua tawaran lain, hanya semata-mata - dan saya tidak berganjak dengan permintaan saya - untuk membebaskan Anwar Ibrahim. Jadi itu ceritanya.

Selepas itu, Datuk Seri Anwar bebas, tidak ada lagi deal, Khairy pun saya tak jumpa dah. Khairy pun takut nak jumpa saya kerana dia telah dikritik hebat kerana datang ke rumah Anwar... (setakat itulah) hubungan kami. Kadang-kadang terjumpa di lapangan terbang (tapi) tidak ada hubungan, tidak ada perjumpaan selepas itu.

Selepas setahun Anwar bebas, saya ada masalah dengan Keadilan dan sebab itu saya dah mula jauhkan diri pada 2006. Saya dan tubuhkan Gerak. Saya tidak ada deal sehinggalah sebelum pilihanraya 2008, datang lagi kawan-kawan dalam Umno dan sebagainya untuk meminta saya bertanding tapi bukan (pemimpin) peringkat senior, tapi di peringkat negeri dan bahagian, yang minta saya timbang bertanding dan balik semula ke Umno dan itupun saya tolak. Kawan-kawan (dari PAS) juga memang secara ikhlas mahu saya tanding di kerusi selamat di Kelantan.

ezam interview 310508 1Pada masa itu, kita tidak tahu yang (kawasan-kawasan lain) juga selamat. Itupun saya tolak kerana fokus saya sekarang ini, berbalik kepada persoalan reform. Walaupun fokus awal saya tidak pada reform kerana nak selamatkan Datuk Seri Anwar yang kritikal dan sakit. Bila dia keluar, kita tidak cerita dah bab kemanusian, kerana semua sudah bebas, jadi saya fokus kepada reform.

Pada 2008 ada usaha untuk menarik saya supaya bertanding tapi saya tidak bertanding kerana saya tidak nampak ada reform dalam Umno untuk saya kembali kepada Umno. Sebab itu saya tolak tawaran (bertanding) dalam pilihanraya umum lepas. Saya ingin meneruskan usaha dalam Geraka kerana saya merasakan usaha reform penting atau peranan lebih baik dapat saya mainkan dalam sivil society, dalam Gerak.

Selepas pilihanraya yang tsunami baru-baru ini, ada usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bagi saya merupakan satu langkah signifikan untuk reform, tentang badan kehakiman, tentang rasuah. Jadi, selepas itu ada beberapa pegawai beliau dan pimpinan Umno minta pandangan saya dan saya nyatakan saya amat setuju dengan reform ini dan ini bagi saya fundamental dan signifikan dan saya yakin ini sebenarnya membuka ruang kepada proses reform dalam negara.

Selepas itu, mereka aturkan saya berjumpa dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, saya rasa hampir sebulan yang lalu. Bagi saya, kalau nak dikatakan deal, itulah deal yang pertama yang masuk Umno. Saya nak katakana bezanya, deal yang dulu-dulu tu bukan masuk Umno, tetapi adalah deal untuk bebaskan Datuk Seri Anwar

ezam interview 310508 4Dan saya mahu berbicara dan berbincang kerana saya yakin ada ruang untuk reform yang dibawa oleh Datuk Seri Abdullah dalam BPR dan badan kehakiman. Setelah berjumpa beliau selama dua jam, saya yakin bahawa beliau memang komited tentang usaha reform tersebut dan beliau mempelawa saya untuk bersama-sama dalam Umno.

Setelah saya mengambil masa seminggu untuk berbincang dengan keluarga dan kawan-kawan, akhirnya, saya membuat keputusan untuk masuk Umno. Itu keseluruhan prosesnya.

Saya sebut nama-nama di atas tadi, - Datuk Kamarul dan Johari dan Rahman - kerana mereka masih dalam PKR. Mereka tidak ikut saya (masuk) dalam Umno. Jadi mereka seharusnya tampil dan menyatakan apakah perkara i(pelbagai tuduhan terhadap Ezam) tu benar. Jika mereka benar-benar ikhlas dan jujur, seharusnya mereka memberitahu memang segala tuduhan terhadap saya, tuduhan tawaran dan imbuhan, dan sebagainya, semuanya itu adalah fitnah. Saya ada bukti, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah sendiri (bahawa) proses saya deal dengan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Khairy, semuanya dalam pengetahuan Datuk Seri Anwar dan semuanya fokus untuk membebaskan beliau.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |