+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, November 1, 2008

Bapa Altantuya tak puas hati

Berita Harian

Dr Shaariibuu kecewa keputusan bebaskan Abdul Razak Baginda

SHAH ALAM: Dr Shaariibuu Setev kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang membebaskan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh anaknya, Altantuya Shaariibuu.

Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Syed Alhabshi, berkata Shaariibuu tidak puas hati dengan keputusan yang dibuat Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin itu kerana mendakwa anaknya hanya mengenali seorang saja lelaki di Malaysia iaitu Abdul Razak.

Syed Abdul Rahman berkata, Shaariibuu juga kecewa dan tidak puas hati kerana menyifatkan keputusan berkenaan sebagai tidak adil apabila hanya dua saja tertuduh dipanggil membela diri sedangkan Abdul Razak dibebaskan.

"Sebagai bapa kepada mangsa, dia (Shaariibuu) berhak menyatakan pendapatnya. Dia kata anaknya (Altantuya) hanya kenal Razak (Abdul Razak).

"Dia tidak marah dengan keputusan ini tetapi anaknya hanya kenal Razak. Dia berasa tidak adil hanya dua anggota polis saja yang diarah membela diri sedangkan Razak dibebaskan," katanya ketika ditemui di luar mahkamah, semalam.

Syed Abdul Rahman berkata, Shaariibuu akan mendapatkan nasihat dan pandangan pihak berkuasa kehakiman dan Kementerian Luar Mongolia jika mahu mengambil tindakan susulan kerana kes itu membabitkan hal perundangan dua negara.

Ketika ditanya media asing mengenai khabar angin yang mendakwa wujud campur tangan politik dalam kes itu, Syed Abdul Rahman berkata, pembebasan Abdul Razak daripada tuduhan itu adalah keputusan yang dibuat mahkamah tanpa ada campur tangan mana-mana pihak termasuk ahli politik.

"Tiada campur tangan politik dalam kes ini. ia adalah keputusan mahkamah dan semua pihak perlu menghormatinya kerana dibuat mahkamah Malaysia," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak keputusan itu akan menjejaskan nama baik sistem kehakiman di negara ini kerana kes pembunuhan dan perbicaraan Altantuya menjadi tumpuan dunia selepas beberapa orang kenamaan dikaitkan dengan kes itu.

Katanya, media cetak dan elektronik di Mongolia mengikuti perjalanan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya dan menanti keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi semalam.

Beliau berkata, rakyat Mongolia terutama wanita dan 22 badan bukan kerajaan (NGO) di negara itu masih mengingati pembunuhan Altantuya dengan mengadakan majlis berkabung pada 7 Mei setiap tahun.

"Tetapi ini keputusan mahkamah dan semua pihak mesti menghormatinya kerana kejadian berlaku di negara ini," katanya.

Syed Abdul Rahman berkata, Shaariibuu yang datang ke Malaysia pada 29 Oktober lalu sepatutnya pulang ke Mongolia pada 2 November ini tetapi mungkin pulang lebih awal kerana kecewa dengan keputusan mahkamah itu.

Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi itu akan dimaklumkan kepada kerajaan Mongolia menerusi Kedutaan Mongolia di Thailand.

Read More...

Mahfuz persoal keputusan mahkamah yang selari dengan SMS Najib

Harakahdaily

Abdul Aziz Mustafa
Sat | Nov 01, 08 | 3:36:07 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Hrkh) - Keputusan mahkamah yang dilihat memenuhi urutan peristiwa sebelum itu, terutama kandungan SMS Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tidak membantu memulihkan kepercayaan rakyat kepada institusi kehakiman.

Malah, keputusan itu juga akan menyebabkan integriti Najib semakin dipersoal dan dipertikaikan.

Ketua Penerangan PAS Haji Mahfuz Omar membangkitkan perkara itu mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang membebaskan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dari tuduhan bersubahat membunuh ahli perniagaan Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Keputusan mahkamah itu tidak membantu memulihkan kepercayaan kepada institusi kehakiman. Terlalu jelas keputusan itu memenuhi urutan peristiwa sebelum itu.

"Mengapa keputusan itu selari dengan kandungan SMS Najib kepada Shafie yang menyatakan "all is not lost" di awal penangkapan Abdul Razak dahulu?" tanya Mahfuz.

Dalam SMSnya kepada peguam Abdul Razak ketika itu Datuk Shafie Abdullah, Najib memberitahu "Pls do not say anything to the press today. i will explain later. RB will have to face a tentative charge but all is not lost".

Maksudnya, "Harap tidak beri apa-apa kenyataan kepada akhbar hari ini. Saya akan terangkan kemudian. RB (Razak Baginda) terpaksa menghadapi pendakwaan tentatif tetapi tidak semuanya hilang".

Najib tidak menafikan SMS tersebut adalah antara beliau dan Shafie.

"Mempertikaikan keputusan mahkamah tidak diizinkan undang-undang negara ini. Tetapi, rakyat tidak boleh disalahkan jika mereka enggan mempercayainya," kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga tidak menolak kemungkinan keputusan membebaskan Abdul Razak itu akan menyebabkan integriti Timbalan Perdana Menteri semakin dipersoal dan dipertikaikan.

"Najib tentu tidak akan menolak peluang untuk menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri.

"Tetapi, pernahkah Najib mengambilkira perasaan rakyat Malaysia apabila Perdana Menteri mereka dikait-kaitkan dengan pembunuhan Altantuya dan keputusan mahkamah yang dilihat selaras dengan kandungan SMS beliau kepada peguam yang sebelum ini terlibat dengan kes itu? Itu belum lagi diambilkira kes Sukhoi, Scorpene dan Eurocopter.

"Adakah Najib fikir mereka bangga dan gembira mempunyai Perdana Menteri seperti itu?" Mahfuz mempersoalkan.

Mengulas lanjut mengenai integriti kehakiman, beliau juga melihat kenyataan Ketua Hakim Negara baru yang dipertikaikan perlantikannya sebagai kenyataan tidak bermakna.

"Hanya cakap sahaja yang boleh didengar tetapi tidak ada perlaksanaan untuk dilihat," kata beliau. _

Read More...

Iktiraf Kosovo, Serbia usir duta Malaysia

Mstar Online

KUALA LUMPUR:Serbia mengusir duta Malaysia ke negara itu, Saw Ching Hong ekoran keputusan Kuala Lumpur mengiktiraf Republik Kosovo sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Justeru, Saw mempunyai 48 jam untuk keluar dari negara tersebut.

Awal bulan lalu Serbia turut mengusir duta negara Montenegro dan Macedonia atas alasan yang sama.

Terdahulu laporan Bernama awal pagi ini menyebut Malaysia telah mengambil keputusan untuk mengiktiraf Kosovo sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, berikutan itu, Malaysia akan mewujudkan hubungan diplomatik dengan negara berkenaan pada masa sesuai.

"Pengiktirafan Malaysia ke atas kemerdekaan Kosovo akan membantu memenuhi aspirasi rakyat Kosovo menikmati sebuah negara yang merdeka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kosovo mengisytiharkan kemerdekaannya dari Serbia pada 17 Februari lalu, langkah yang dibantah keras dan diisytihar tidak sah oleh Serbia.

Rusia, sekutu bersejarah Serbia, turut membantah kemerdekaan Kosovo.

Sehingga kini, 38 negara termasuk Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan banyak negara Eropah lain mengiktiraf Kosovo yang mempunyai 2.1 juta penduduk.

Tindakan Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan secara bersendirian itu melengkapkan perpecahan bekas Yugoslavia.

Kelmarin, Republik Albania berharap Malaysia akan mengiktiraf kedaulatan Kosovo demi menjamin keamanan dan kestabilan wilayah Balkan.

Timbalan Menteri Luar Albania, Edith Harxhi berkata, wilayah itu telah melalui pelbagai konflik dan selisih faham, dan kini masanya membiarkan peristiwa itu berlalu dan lembaran baru dibuka.

"Saya diberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia sedang mempertimbang mengiktiraf Kosovo. Dengan berbuat demikian, ia akan mewujudkan kestabilan di seluruh wilayah Balkan," kata beliau yang sedang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia bagi membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Albania.

Harxhi berkata, sejak 17 Februari lalu, sejumlah 51 negara telah mengiktiraf Kosovo.

Read More...

Masjid Cina: Kelantan telah mendahului

Detik daily

Oleh Manjanik

 MENARIK, ISU pembinaan masjid Cina yang dibangkitkan dan disarankan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin di Parlimen barui-baru ini. Ia kemudiannya disokong oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Sebenarnya, Kerajaan Kelantan sudahpun membina masjid tersebut di Rantau Panjang yang perbelanjaannya melebihi RM9j. Idea membina masjid yang berkonsepkan seni bina Cina ini telah diilhamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat diawal-awal PAS memerintah Kelantan.

Rantau Panjang dipilih sebagai lokasi untuk tapak pembinaannya adalah kerana ia merupakan pintu masuk para pelancung asing dan juga kawasan tumpuan pelancung. Disamping dapat menarik kedatangan pelancung, tujuan utamanya adalah Uslub Dakwah. Ianya juga bagi mengajak manusia melihat dan berfikir tentang luasnya sikap dan keterbukaan Agama Islam yang sudah tentu ajarannya melampaui batas-batas kejumudan bangsa dan budaya sebagaimana amalan Umno.

Ketua Menteri Melaka yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pernah menolak permintaan golongan Cina Muslim untuk membina sebuah masjid Cina di Melaka. Rakyat nak bina masjid ditolak, Shah Rukh Khan yang merosakkan akidah umat Islam disanjungi dan dimuliakan. Inilah sikap jumud dan jahilnya pemimpin Umno.

Bagi pemimpin Umno/BN, sekiranya dibenarkan pembinaan masjid yang berkonsepkan seni bina cina maka tidak Islam lagilah masjid tersebut. Inilah ukuran yang ada dalam kepala pemimpin Umno. Nampak sangat yang jahil dalam Umno sekarang sedang memegang tampuk kekuasaan.

Mengenai masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra itu sila baca apa yang telah dititipkan oleh saudara Adha ini, cukup menarik-Terima kasih(Manjanik)

Masjid Beijing di Rantau Panjang, Kelantan(myadha.blogspot.com)

Cantik dan damai melihatnya….Sudahkan anda bersembahyang di masjid ini?? Silakan…..

Dari jauh ia kelihatan bagaikan sebuah bangunan kuil atau istana lama di China jika pandangan tidak turut tersilau kepada menara yang tegak dengan kubah seakan-akan kopiah berlilit serban di pinggirnya.

Bangunan berbumbung hijau dan diselari dengan warna merah itu mencuri perhatian umum mereka yang menghala ke pekan Rantau Panjang atau yang baru memasuki negara ini melalui pintu sempadan.

Sememangnya juga keunikan wajah asing dalam suasana budaya setempat menimbulkan sekilas polemik dalam kalangan pelbagai pihak termasuk para ilmuwan, budayawan dan juga sebilangan mereka yang kritis dalam kesempurnaan seni bina.

Masjid yang pembinaannya dicetuskan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak 1992, dianggarkan menelan kos RM9 juta kini hampir siap dan telah mula dibuka pada bulan Ramadan dengan seorang imam dari China diundang untuk mengimam solat tarawih.

Ia diberi gambaran awal sebagai masjid tiga budaya di mana selain budaya Cina sebagai terasnya, ia turut diselitkan sedikit dengan calitan budaya India dan Melayu di pinggirannya dengan lorekan simen di beranda di samping lakaran geometrik Asia Tengah di dalamannya.

Difahamkan masjid yang turut digelar Masjid Beijing dan terletak di tapak seluas 1.48 hektar, merujuk kepada reka bentuknya seperti kuil China pada zaman Dinasti Ming yang turut kedapatan di kuil di Kuala Lumpur.

Ia mampu memuat lebih 300 jemaah dalam satu masa di samping terdapat dewan pelbagai guna di bahagian bawahnya serta dikelilingi beberapa ruang yang difahamkan akan dijadikan pejabat, klinik, perpustakaan dan tadika.

Ada yang berpendapat, reka bentuk masjid ini suatu kecelaruan seni bina yang menyimpang dari segi tradisi, sejarah dan estetika dalam suatu zaman, budaya serta nilai kehidupan masyarakatnya.

Ia seakan-akan dilihat meminggirkan akar umbi tradisi Melayu yang berkait rapat dengan Islam.

Dari sudut sejarah dan tradisinya, masjid adalah jantung masyarakat yang mencerminkan gaya seni bina dan kehidupan setempat pada zamannya, sekali gus menggambarkan pemilikan oleh masyarakat sekitar.

Seperti Masjidil Aqsa di Palestin yang menyerupai bangunan keagamaan Byzantium yang terdapat di negara itu dalam nisbah yang hebat dan besar pada zamannya.

Begitu juga Masjid Biru di Istanbul, Turki adalah berdasarkan seni bina kristian yang memerintah sebelum itu dan dalam konteks negara, masjid lama di Melaka bercirikan seni bina masyarakat Cina di situ pada zaman awal.

Pada masa yang sama juga ia mengambil kira kesesuaian kejuruteraan setempat berteraskan budaya, iklim serta persekitaran di tengah-tengah masyarakat Islam Melayu tradisional. Justeru kewujudan masjid Rantau Panjang ini kelihatan janggal dan aneh.

‘‘Kalaulah masjid itu berada di penempatan masyarakat Cina, sesuai untuk kita raikan mereka dengan cara itu. Ia sebagai agak pelagic misalnya ada batu besar di tengah hamparan pasir di laut,” ujar seorang ahli akademik.

Ada yang berpendapat masjid seumpama itu dan sebilangan lagi yang telah dibangunkan di beberapa negeri seolah- olah mengimport seni binanya dari hikayat Seribu Satu Malam, terasing dari seni bina setempat dan terasing dari segi persekitaran.

Beliau menelah, ia mungkin dilihat sebagai salah satu projek untuk mencerminkan keterbukaan sikap kerajaan negeri terhadap bukan Islam dan juga bukan Melayu selain menjadi daya tarikan dari sudut pelancongan.

Menjawab persoalan dan kebimbangan itu bagi pihak kerajaan negeri, Setiausaha Politik Menteri Besar, Anual Bakhri Haron berkata, ia bagi memancarkan lagi bahawa Islam itu agama antarabangsa, justeru ia harus terasa dipunyai oleh seluruh komuniti tanpa mengira perbezaan bahasa, budaya dan keturunan.

Kerajaan negeri yakin bahawa dengan menampilkan suatu reka bentuk tri-culture dari tiga kelompok kaum yang paling dominan di Malaysia, ia akan lebih menghampirkan imej islam itu diyakini sebagai agama universal.

‘‘Memang mudah untuk mengulangi sebuah reka bentuk masjid Melayu yang sepenuhnya seperti masjid klasik Kampung Laut atau masjid berkubah ala Cordova tetapi tidakkah ini sesuatu lagi perulangan?

‘‘Ia tentunya sekadar ‘sebuah lagi masjid’. Dalam konteks pemikiran kreatis dan kritis, kerajaan negeri percaya bahawa pembaharuan dalam citra sangat-sangat dijajarkan.

Paradigma

‘‘Malah jika diikutkan kaedah pemikiran terkini, stereotyping adalah sudah yang mudah bahkan dikira sedikit ketinggalan. Dalam, hubungan ini kami lalu mencuba untuk menganjak paradigma.

‘‘Sekurang-kurangnya untuk kali ini, kami tidak mahu obses dengan tradisi sejarah dan estetika. Kami mahu bias kepada fungsi dan peranan,” ujarnya.

Selain aspek ketakwaan semasa mula membinanya, masjid harus mampu untuk membuat jangkauan atau capaian terhadap khalayak meliputi penduduk Islam dan bukan Islam.

Malah katanya, apa yang diperhatikan setakat ini masjid di seluruh negara, pada umumnya masih lemah dalam memainkan peranan ini.

‘‘Mungkin masjid kita terlalu representatif dan menjurus kepada orang Melayu. Apakah keterlaluan jika kami proaktif membuat percubaan melahirkan satu masjid berwajah majmuk.

‘‘Insya Allah, ia akan membuka gelanggang dakwah yang lebih luas dan diharap masjid ini menjadi mesra masyarakat,” ujarnya.

Pendekatan seni bina yang pelbagai wajah hasil kesatuan tiga nilai, tiga reka bentuk, tiga budaya dan cabang seni ini tentunya menarik dan unik untuk didekati.

Beliau yakin, aktiviti ceramah dan tazkirah akan lebih mudah mengundang bukan Islam kerana faktor menipisnya alergi, prejudis dan rasa segan.

‘‘Ini adalah proses kemasyarakatan dan kita akan membina proses ini dan menyemai benih perpaduan yang akan lebih mengukuhkan integrasi nasional.

‘‘Kebudayaan memang manifestasi keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara bertindak, kelakuan dan fikiran berupa kebendaan dan kerohanian sesuatu masyarakat dan seni bina pula adalah salah satu pencapaian manusia yang mencerminkan budaya sezaman.

‘‘Tetapi apalah salahnya sekali sekali kita cuba lari dari definasi klasik.

Bahkan melalui seni bina yang dicuba di masjid Rantau Panjang ini adalah untuk membuktikan sebuah kemajuan pemikiran, ilmu, kebudayaan dan teknologi.

Ia dikatakan dapat menggambarkan ketamadunan sesuatu masyarakat yang dinamik dan bersepadu atau sememangnya ia cerminan budaya masyarakat kita zaman ini yang penuh dengan kecelaruan.

-- http://manjanik.wordpress.com/

Read More...

PM minta PBS kekal jadi rakan setia BN

Malaysiakini

Nov 1, 08 7:46pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Parti Bersatu Sabah (PBS) supaya kekal sebagai rakan setia dalam Barisan Nasional (BN).

PBS merupakan parti yang pernah beliau bantu kembali ke pangkuan BN pada 2002 setelah meninggalkan gabungan itu selama 12 tahun.

Abdullah membuat permintaan tersebut ketika berucap semasa merasmikan perhimpunan agung tahunan ke-23 PBS di Kota Kinabalu hari ini.

"Saya sedar ini merupakan ucapan perpisahan saya. Saya tidak mahu putuskan hubungan dengan PBS walaupun saya berhenti.

"Kita akan jumpa lagi, Insya-Allah, dalam pertemuan-pertemuan yang lain kerana saya akan tetap menjadi anggota Umno dan dengan itu anggota BN," katanya

Menurut laporan Bernama, Abdullah telah mengumumkan akan menyerahkan kuasa kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas pemilihan Umno pada Mac tahun depan.

Dalam ucapan tersebut, Abdullah turut mengimbas kembali peranannya membawa PBS kembali ke pangkuan BN.

Berganding bahu

"Semasa saya menjadi timbalan presiden Umno, merangkap
timbalan pengerusi BN, satu perkara yang terpahat di minda saya ialah saya tidak mahu melihat BN dan Umno serta parti lain sentiasa bertelagah dengan parti besar seperti PBS, yang dipimpin Datuk Joseph Pairin Kitingan, seorang Huguan Siou (Pemimpin Agung) masyarakat Kadazandusun di Sabah.

"Ini (kepulangan PBS ke pangkuan BN) adalah baik untuk perpaduan dan baik untuk rakyat Sabah. Saya harap PBS akan terus berganding bahu dengan parti komponen BN lain bagi membawa negeri ini ke tahap lebih gemilang," katanya.

Dalam ucapan beliau sebelum itu, Pairin mengalu-alukan kehadiran Abdullah dalam perhimpunan berkenaan dengan kata-kata: "Kalau bukan kerana Pak Lah, tak mungkin PBS dalam BN".

Ungkapan beliau itu disambut dengan tepukan bergemuruh oleh lebih 1,000 perwakilan, yang kemudian berdiri beramai-ramai untuk memberi penghormatan kepada Abdullah.

"Terima kasih Pak Lah kerana begitu tekun berusaha demi rakyat miskin. Anda akan sentiasa dikenang kerana telah memberi lebih banyak kebebasan untuk bersuara, yang tidak sepatutnya disalah guna bagi menggugat keharmonian dan keselamatan," kata Pairin.

Beliau berkata Abdullah juga akan dikenang kerana memberi penekanan terhadap kebebasan beragama, pembaharuan dalam bidang kehakiman, memerangi rasuah dan ancaman dadah bagai seorang wira dan kerana memberi penekanan terhadap usaha mempersiapkan golongan belia bagi menghadapi hari muka.

Read More...

Koleksi Video - Razak Baginda bebas!!!

Razak Baginda Bebas



OK - tak kira lah sama ada Razak Baginda bebas ke, atau kedua-dua UTK tu bebas ke, yang penting pembunuh dan pengebom Altantuya ni mesti dihadapkan ke muka pengadilan. Kerajaan tolong jangan nak lepas tangan je, macam kes Norita dulu. Hanif Basree dibebaskan tapi polis sampai hari ni tak dapat tangkap siapa pembunuh dia. Tak cekap ke saja-saja buat tak cekap???Atau ada tangan-tangan ghaib yang awal-awal lagi merencanakan perjalanan mahkamah di Malaysia?? Sepandai-pandai tupai melompat.......

Read More...

Seribu Persoalan Disebalik Pembebasan Razak Baginda

msomelayu

SEHARIAN ini sibuk kerana menyiapkan sebuah buku baru. InsyaAllah minggu depan siap. Jadi tidak dapatlah saya membuat analisa atau ulasan selamba berhubung pembebasan orang yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya Shariibuu, iaini Abdul Razak Baginda.

Seperti mana telah diketahui dan dijangka sejak awal-awal lagi Razak dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi semalam dari tuduhan bersubahat membunuh. Hakim Mohd Zaki Md Yassin mengatakan tidak ada prime facie untuk menuduh Razak bersubahat dan dipanggil membela diri. Bagaimana dua tertuduh induk Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umur diminta membela diri. Mereka akan mula memberi keterangan pada 10 November ini.

Keputusan hakim adalah muktamad dan tidak ada sesiapa yang boleh mengungkitkannya. Silap hari bulan kalau diungkit ia akan dikenakan tindakan menghina mahkamah dan boleh di penjara. Termasuk juga Dr Mahathir Mohmad orang yang sukar mengulas apa saja isu, mungkin tidak berani untuk berbuat demikain!

Beberapa penjenguk menelefon dan mengirim SMS sejak dari selepas Subuh tadi bertanya kenapa tidak ada ulasan dalam blog. Mereka mahu pandangan saya berhubung kes itu. Seperti juga bapa Altantuya, Setev Shaariibuu juga tidak berpuas hati kerana Razak dibebaskan.

Apa nak 'dikato', mahkamah telah memutuskan begitu maka kena semua terima. Hakim tentu ada budicara, pertimbangan mengikut ilmu, pratikal dan segala-galanya untuk membuat penghakiman demikian.

Seorang pemanggil terang-terang mempertikaikan berhubung pembebasan Razak Baginda itu. Antara persoalannya yang membebani kepala pemanggil itu ialah;

1. Siapa yang membunuh Altantuya antara ketiga mereka itu? Razak mungkin tidak bunuh sebab tidak ada bukti atau pun pendakwaan gagal mengemukakan bukti melampau untuk menuduhnya. Jadi siapa?

2. Kalaulah Sirul Azhar Umur dan Azilah Hadri, untuk apa mereka membunuh Altantuya. Apakah salah Altantuya kepada mereka? Sedangkan mereka baru mengenali Altantuya berbanding dengan Razak. Masalah yang berlaku di sekitar Altantuya juga berkaitan langsung dengan Razak.

3. Dalam hal ini kemungkinan Sirul dan Azilah hanya menjalankan arahan yang diberikan kepadanya. Kalau tertakdir beliau melakukan pembunuhan itu mereka memerlukan jaminan keselamatan dan upah? Adalah bodoh kalau mereka melakukan perbuatan itu begitu saja tanpa mengharapkan apa-apa? Kalau jaminan daripada siapa? Tentulah orang yang berkuasa. Begitu juga kalau kewangan (upah) daripada siapa, tentulah daripada orang yang mempunyai wang.

4. Kalau mereka diupah, siapa yang mengupahnya? Mungkin Razak tidak berbuat begitu. Seperti mana afiditnya, untuk menghalau Altantuya keluar Malaysia pun beliau tidak benarkan, masakan tergamak untuk beliau mengubah atau menyuruh sesiapa membunuhnya? Razak tidak melakukan itu!

5. Apakah akuan berkanun yang dikeluarkan oleh Raja Petra Kamaruddin yang menuduh Rosmah Mansor, isteri Timbalan Perdana Menteri berada ditempat kejadian (letupan mayat Altantuya) boleh diterima pakai dan satu kebenaran? Raja Petra Kamaruddin boleh dipanggil untuk menjawab dan menjelaskan maklumat yang beliau perolehi. Hanya Raja Petra yang mampu menghuraikan permasalahan ini. Apakah Raja Petra ditahakan di bawah ISA kerana ada kaitan dengan kes ini?

Banyak lagi yang dipersoalkan yang dilontarkan oleh penjenguk berkenaan yang kritis dan bijakbistari. Beliau serahkan kepada saya untuk menjawab satu persatu bagi meleraikan kekusutan di sebalik kejadian itu. Dan di sini saya serahkan kepada anda sekali untuk menghurai atau membuat analisa di sebalik pembebasan Razak Baginda. Mana-mana pandangan, huraian dan analisa yang munasabah dan tidak melampau akan disiarkan sebagai tambahan bagi menjawab persoalan ini.

Kepada wartawan kalau boleh tanyalah persoalan ini kepada bekas Perdana Menteri yang juga orang yang menentang jenayah perang nombor satu negara ini iaitu, Mahathir Mohamad. Ingin sekali kita mendengar komentaranya mengenai hal ini. Ataupun beliau akan membisu kerana kes ini membabitkan orang yang disayanginya. [wm.kl 10:45 pm 01/11/08]

Read More...

Eurocopter dan konspirasi Gani Patail: BPR digesa bertindak

Suara Keadilan

Kenyataan Akhbar

BPR Digesa Terus Bertindak Ke Atas Kes Eurocopter & Siasatan Kes Mata Lebam Anwar Ibrahim

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin menggesa pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk meneruskan siasatan ke atas pembelian Eurocopter yang dilakukan oleh kerajaan pada September lepas.

Meskipun Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi merangkap Menteri Pertahanan menangguhkan pembelian tersebut, tetapi itu tidak bermakna bahawa siasatan BPR juga perlu terhenti secara automatik.

Adalah sangat mendukacitakan apabila Abdullah hari ini membuat ralat bahawa berlaku kesilapan sebutan harga, di mana harga Eurocopter tersebut adalah sebanyak RM1.604 billion sedangkan semalam beliau membundarkan kepada RM1.7 billion. Ini adalah sangat memalukan dalam keadaan perkara yang menghanguskan wang rakyat sewenang-wenangnya diambil mudah oleh beliau. Harga rasmi seperti yang dijelaskan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Abu Seman Yusop ialah sebanyak Euro 323.7 juta bersamaan RM1.604 bilion.

AMK ingin menegaskan, bahawa tidak ada keperluan bagi BPR untuk menghentikan siasatan dalam keadaan sekarang. Kecelaruan angka dan fakta di sebalik proses pembelian Eurocopter ini jelas membuktikan ia satu pembelian yang terdesak,dan hanya dihentikan disebabkan oleh desakan bertubi-tubi oleh Pakatan Rakyat.

Dalam masa yang sama juga AMK ingin menggesa agar BPR mempercepatkan proses pendakwaan ke atas Abd Gani Patail setelah Ketua Pengarah BPR mendedahkan bahawa siasatan kes insiden “mata lebam” Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan 10 tahun lalu telahpun selesai.

BPR tidak boleh melengah-lengahkan sama sekali pendakwaan kes ini memandangkan keadaan ini tidak diadili sewajarnya dalam keadaan ia akan membiarkan individu-individu tertentu terus berkeliaran dan memungkinkan penyalahgunaan kuasa yang lebih besar berlaku.

Dalam hal ini, AMK ingin menggesa agar Perdana Menteri lebih serius dengan komitmen beliau membersihkan sistem keadilan di Malaysia, dengan menggantung tugas Abd Gani dan Ketua Polis Negara, Musa Hassan agar memudahkan BPR meneruskan pendakwaan ke atas mereka.

Wang rakyat dan sistem keadilan negara adalah amanah dan tidak boleh diseleweng demi memuaskan nafsu dan tembolok politikus rakus. Justeru BPR wajar meneruskan siasatan tanpa kompromi demi mempertahankan kebenaran untuk rakyat terbanyak.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Read More...

Harga beras turun 20 sen sekilogram

Malaysiakini

Nov 1, 08 3:51pm

Sejajar dengan seruan kerajaan agar peniaga menurunkan harga barangan terutamanya bahan makanan ekoran penurunan harga bahan api, harga beras di pasaran tempatan juga telah turun 20 sen sekilogram.

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berkata pihaknya menerima notis mengenai perkara itu dua hari lepas setelah membuat tinjauan di pasar raya seluruh negara.

"Harga beras dah turun harga pada purata 20 sen sekilogram di mana harga bagi beras tempatan 5 peratus hancur turun daripada RM2.80 kepada RM2.60

sekilogram, manakala yang 10 peratus hancur juga turun daripada RM2.70 ke RM2.50 sen sekilogram.

"Bagaimanapun harga beras 15 peratus masih kekal pada RM1.80 kerana ini beras subsidi yang harga sebenarnya RM2.30 sekilogram," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata harga bagi beras 15 peratus hancur tidak boleh diturunkan kerana kerajaan sudah membelanjakan sebanyak RM400 juta setahun untuk subsidi beras berkenaan.

Mustapa berkata langkah itu antara lain dapat menjaga kepentingan penanam padi di negara ini.

Kepada soalan apakah terdapat satu bentuk kawalan terhadap kos pengangkutan berikutan penurunan harga minyak baru-baru ini, beliau berkata walaupun tiada kawalan seumpama itu namun diharapkan harga barangan yang selalunya dipengaruhi secara langsung oleh kos pengangkutan, akan turut diturunkan.

Read More...

Adakah Najib kaki salah guna kuasa, kaki betina?

penarik beca

Ketika berlangsungnya perbicaraan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim akhir 90an dahulu, begitu masyhur kata-kata "not relevant". Kini, masyhur pula kata-kata "all is not lost". Kata-kata itu merujuk kepada SMS Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada peguam Datuk Shafie Abdullah.

"Pls do not say anything to the press today. i will explain later. RB will have to face a tentative charge but all is not lost," Najib memberitahu Shafie dalam SMS itu. RB ialah Abdul Razak Baginda yang dibebaskan semalam dari tuduhan bersubahat membunuh wanita Altantuya Shaariibuu (Lihat berita Malaysiakini 31/10/08 bertajuk "Abdul Razak Baginda acquitted". Sedap budak tu tulis. Pandai dia)

Najib tidak menafikan SMS tersebut memang SMS antara beliau dan Shafie.

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad naik menjadi Perdana Menteri, beliau naik dengan imej ultra Malay serta menjadi harapan majoriti orang-orang Melayu walaupun ramai juga yang tidak percaya. Datuk Seri Abdullah Badawi pula naik ke kerusi Perdana Menteri dengan imej Mr Clean. Apa clean selepas itu sudah ditulis oleh sejarah.

Saya tidaklah mahu bertanya adakah Najib akan memanjat kerusi Perdana Menteri dengan imej "all is not lost"? Tak baik saya bertanya begitu kerana ia seolah-olah bertanya, adakah Najib kaki salah guna kuasa? Sama seperti tak baik saya bertanya, adakah Najib kaki betina? Tak baik tanya lagu tu.

Tetapi bolehlah agaknya bertanya, ada mana-mana sekolah yang boleh mengajar kita berkata "all is not lost"?

Read More...

Ayah Razak Baginda: "Kehidupan bermula semula"

mstar online

ABDUL Razak Abdullah Baginda (kiri) turun dari kenderaan selepas keluar bersama anak dan isterinya petang tadi. - foto The Star oleh NURBAITI HANIM

KUALA LUMPUR: Selepas sehari dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam kes pembunuhan berprofil tinggi, penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda terus 'diburu' media bagi mendapatkan kenyataan penuh beliau.

Wartawan mula menunggu di hadapan rumahnya hari ini di Bukit Damansara sejak pukul 9.30 pagi.

Sekali lagi Razak terus mengambil pendirian 'membisu'.

Semalam wartawan turut sehingga petang tetapi beliau hanya memberikan beberapa kenyataan ringkas, antara bersyukur dan "berpuasa di penjara selama 22 bulan."

Razak dilihat keluar bersama isterinya Mazlinda Makhzan kira-kira pukul 12.20 tengah hari dan beberapa minit kemudian anaknya, Rowena juga keluar dengan menaiki kereta berasingan.

Rowena pulang kira-kira pukul 3.05 petang dan dilihat membawa barangan keperluan harian.

Melihat kumpulan wartawan yang menunggu di hadapan rumah mereka sejak pagi, bapa Razak, Datuk Abdullah Malim Baginda keluar menegur kumpulan wartawan yang menunggu kira-kira pukul 4 petang.

"Tahu tak Razak tak ada (di rumah)? Razak tak mahu bagi kenyataan lagi... nanti bila dia nak bagi kenyataan, dia akan beritahu media," katanya.

Abdullah juga memberitahu bahawa Razak keluar kerana mempunyai urusan.

Beliau kemudiannya memberikan minuman kepada kumpulan wartawan yang menunggu.

Ditanya tentang perasaannya apabila anaknya itu kini telah pulang kerumah kerana ditahan sejak 22 bulan yang lalu, beliau enggan mengulas lanjut.

"Biasalah, jangan tanya saya apa-apa... tanya Razak nanti," katanya.

Diajukan lagi sama ada beliau berasa sangat gembira dan bersyukur dengan kepulangan Razak, beliau menjawab dengan ringkas sambil masuk semula ke dalam rumah: "Kehidupan bermula semula."

Lima minit kemudian, Razak pulang bersama isterinya.

Wartawan cuba menegur Razak bagi mendapatkan komennya, namun beliau sekadar menjawab ucapan salam yang diberikan dan terus berlalu masuk ke dalam rumah.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Md Yasin membebaskan Razak daripada pertuduhan bersubahat dengan dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dalam kes pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan Azilah dan Sirul membela diri atas tuduhan membunuh Altantuya di lokasi antara lot 12843 dan 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |