+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, November 1, 2008

Bapa Altantuya tak puas hati

Berita Harian

Dr Shaariibuu kecewa keputusan bebaskan Abdul Razak Baginda

SHAH ALAM: Dr Shaariibuu Setev kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang membebaskan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh anaknya, Altantuya Shaariibuu.

Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Syed Alhabshi, berkata Shaariibuu tidak puas hati dengan keputusan yang dibuat Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin itu kerana mendakwa anaknya hanya mengenali seorang saja lelaki di Malaysia iaitu Abdul Razak.

Syed Abdul Rahman berkata, Shaariibuu juga kecewa dan tidak puas hati kerana menyifatkan keputusan berkenaan sebagai tidak adil apabila hanya dua saja tertuduh dipanggil membela diri sedangkan Abdul Razak dibebaskan.

"Sebagai bapa kepada mangsa, dia (Shaariibuu) berhak menyatakan pendapatnya. Dia kata anaknya (Altantuya) hanya kenal Razak (Abdul Razak).

"Dia tidak marah dengan keputusan ini tetapi anaknya hanya kenal Razak. Dia berasa tidak adil hanya dua anggota polis saja yang diarah membela diri sedangkan Razak dibebaskan," katanya ketika ditemui di luar mahkamah, semalam.

Syed Abdul Rahman berkata, Shaariibuu akan mendapatkan nasihat dan pandangan pihak berkuasa kehakiman dan Kementerian Luar Mongolia jika mahu mengambil tindakan susulan kerana kes itu membabitkan hal perundangan dua negara.

Ketika ditanya media asing mengenai khabar angin yang mendakwa wujud campur tangan politik dalam kes itu, Syed Abdul Rahman berkata, pembebasan Abdul Razak daripada tuduhan itu adalah keputusan yang dibuat mahkamah tanpa ada campur tangan mana-mana pihak termasuk ahli politik.

"Tiada campur tangan politik dalam kes ini. ia adalah keputusan mahkamah dan semua pihak perlu menghormatinya kerana dibuat mahkamah Malaysia," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak keputusan itu akan menjejaskan nama baik sistem kehakiman di negara ini kerana kes pembunuhan dan perbicaraan Altantuya menjadi tumpuan dunia selepas beberapa orang kenamaan dikaitkan dengan kes itu.

Katanya, media cetak dan elektronik di Mongolia mengikuti perjalanan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya dan menanti keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi semalam.

Beliau berkata, rakyat Mongolia terutama wanita dan 22 badan bukan kerajaan (NGO) di negara itu masih mengingati pembunuhan Altantuya dengan mengadakan majlis berkabung pada 7 Mei setiap tahun.

"Tetapi ini keputusan mahkamah dan semua pihak mesti menghormatinya kerana kejadian berlaku di negara ini," katanya.

Syed Abdul Rahman berkata, Shaariibuu yang datang ke Malaysia pada 29 Oktober lalu sepatutnya pulang ke Mongolia pada 2 November ini tetapi mungkin pulang lebih awal kerana kecewa dengan keputusan mahkamah itu.

Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi itu akan dimaklumkan kepada kerajaan Mongolia menerusi Kedutaan Mongolia di Thailand.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |