+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, April 8, 2008

Adun DAP dakwa ditawar hingga RM80 juta jika sertai BN

Harakahdaily

M Khaleel Kas

Tue | Apr 08, 08 | 5:21:53 pm MYT


KUALA LUMPUR, 8 April (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buntong, A. Sivasubramaniam (DAP) mendakwa menerima banyak panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk menyertai BN dengan tawaran wang tunai cukup lumayan iaitu sehingga RM80 juta.

Dalam pada itu Bernama melaporkan, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis telah memulakan siasatan berhubung dakwaan seorang wakil rakyat DAP ditawarkan wang antara RM10 juta hingga RM65 juta oleh pihak tertentu supaya menyertai Barisan Nasional (BN).

Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran berkata beliau telah memberi keterangan kepada pegawai BPR semalam.

"Saya didatangi oleh pegawai BPR semalam selepas mereka dimaklumkan oleh polis berhubung kes tersebut dan saya memberi kerjasama sepenuhnya apabila disoal," katanya pada sidang akhbar di pejabat DAP Perak di sini hari ini.

Kulasegaran berkata polis juga telah mengambil keterangan daripada anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, V. Sivakumar semalam dan beliau akan memberi keterangan berhubung kes yang sama kepada BPR petang ini.

Isnin lepas, Sivakumar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh mendakwa ditawarkan wang tunai RM10 juta hingga RM65 juta untuk menyertai BN.

Menurut beliau, tawaran melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) itu bermula sejak BN tewas di Perak pada pilihan raya umum lalu dan berlaku semakin kerap menyebabkan beliau tertekan dan membuat laporan polis.

Jurucakap BPR ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, Sivasubramaniam pula akan membuat laporan polis kerana mendakwa turut menerima tawaran yang sama.

Sivasubramaniam berkata cubaan memujuknya menyertai BN bermula sebaik sahaja beliau diumumkan memenangi kerusi Buntong pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Saya menerima banyak panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengajak menyertai BN dengan tawaran wang tunai cukup lumayan iaitu sehingga RM80 juta," katanya.

Katanya beliau akan membuat laporan di Balai Polis Buntong esok. - mks.

Read More...

Nik Aziz persoal sikap Karpal

Berita Harian

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul AZiz Nik Mat mempersoalkan sikap pemimpin DAP kerana masih tidak memahami dasar Islam yang dibawa Pas sehingga menolak penubuhan negara Islam yang diperjuangkan parti itu selama ini.

Sambil mempertahankan penubuhan negara Islam yang diperjuangkan Pas, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata Pengerusi DAP, Karpal Singh, wajar datang ke Kelantan melihat sendiri pentadbiran Islam dilaksanakannya sebelum menolak cadangan penubuhan negara Islam.

Katanya, beliau tidak faham mengapa pemimpin DAP termasuk Karpal terlalu takut terhadap penubuhan negara Islam sedangkan bukan Islam di Kelantan tidak pernah dipinggirkan, selain diberi jawatan penting bagi memimpin kaum mereka.

"Saya nak tahu sangat, apa benda yang dia (Karpal) tak setuju sangat dengan Islam. Kalau dia sebut dalam (menolak negara Islam) 10 atau 15 tahun dulu, boleh jadi betul. Saya fikir dia masih terpengaruh dengan zaman Inggeris dulu ketika orang mempergunakan Islam.

"Mudah-mudahan fikiran mereka (pemimpin DAP) berubah... kalau boleh dia datang sendiri ke Kelantan, saya tanggung hotel semua sekali, tapi tambang bayar sendirilah kerana saya nak dia tengok sendiri keadaan di Kelantan.

"Kalau datang, tak payah jumpa saya... boleh jumpa orang Cina dan India untuk dapat maklum balas apa yang cacatnya Islam di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Duta Besar Jepun, Masahiko Horie, di pejabatnya, di sini semalam.

Read More...

Ahli Umno sabotaj punca gagal raih dua pertiga


Berita Harian

Oleh Anwar Hussin dan Mohamad Farid Noh


BERSEMANGAT: Abdullah menyampaikan amanat kepada Ketua Penerangan Umno pada Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno di PWTC, semalam.

Tindakan disiplin akan diambil terhadap pengkhianat: Abdullah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan ahli Umno mensabotaj calon Barisan Nasional (BN) di 14 kawasan Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyebabkan BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan kalah di Kedah serta Perak.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan analisis parti, beberapa kerusi itu adalah kawasan putih atau selamat yang sepatutnya dimenangi dan sekali gus memberi kemenangan dua pertiga kepada BN.

"Jika tiada masalah ditimbulkan (oleh ahli Umno) di dalam negeri berkenaan, 14 kawasan Parlimen dan 22 kerusi DUN yang dikenal pasti selamat, kita sepatutnya menang lebih dua pertiga, tidak hilang Kedah dan Perak," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penerangan bersama Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.


Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, BN menang 140 kawasan Parlimen, kurang lapan kerusi untuk mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Abdullah yang juga Presiden Umno, menegaskan tindakan disiplin akan diambil terhadap ahli parti yang mengkhianati calon BN.

"Umno akan menjalankan siasatan terperinci mengenainya untuk diserahkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti," katanya yang amat kesal dengan perbuatan itu.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya punca ahli parti itu bertindak mensabotaj BN sehingga kalah di 14 kerusi Parlimen dan 22 kerusi DUN terbabit.

Abdullah berkata, beliau tidak perlu menyatakan sebab-sebab ahli terbabit bertindak demikian, sebaliknya akan memberi maklumat yang diperlukan kepada Jawatankuasa Disiplin Umno untuk diambil tindakan sewajarnya.

Mengenai prestasi BN pada pilihan raya umum lalu, Abdullah berkata, beliau menganggapnya sebagai tanda rakyat mengingatkan kerajaan bahawa apa yang dilakukan setakat ini belum mencukupi.

"Oleh demikian, kita akan memperkukuhkan semula parti dan memperbaiki lagi pemerintahan. Saya tidak akan lari daripada tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan," katanya.

Abdullah berkata, lima negeri di bawah Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, iaitu Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, akan dilatih menjadi pembangkang yang berkesan bagi memenangi hati rakyat untuk me-rampas semula negeri terbabit.

Beliau menasihatkan ahli Umno supaya menyayangi Umno kerana "Umno adalah pentas perjuangan kita dan parti itu perlu dipelihara walau apapun yang terjadi."

Terdahulu, Abdullah menegaskan beliau akan terus menerajui kerajaan serta Umno dan perkara itu adalah antara inti pati taklimatnya kepada jentera penerangan parti.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu penerangan dan mesejnya dibawa kepada peringkat akar umbi parti.

Abdullah berkata, rakyat sebenarnya tidak dapat menerima ahli Umno terus bersengketa sesama mereka dan mahu parti itu meneruskan usaha untuk menjayakan apa yang sudah dijanjikan kepada mereka secepat mungkin.

Beliau berkata, dalam pilihan raya lalu, BN ditolak di kawasan bukan Melayu tetapi masih diterima di kawasan pengundi yang majoriti Melayu dan ini berbeza dengan senario pilihan raya umum 1999.

Pada 1999, katanya, pemimpin Umno terpaksa berterima kasih kepada MCA dan MIC kerana tanpa kedua-dua parti itu Umno terpaksa 'berkubur'.

Beliau berkata, berikutan prestasi merudum BN pada pilihan raya umum kali ini, ramai ahli parti bertanya mengenai langkah yang akan diambil Umno.

"Semua orang cakap apa nak jadi dengan BN dan Umno... ketika semua parti mengambil langkah untuk mengukuhkan parti mereka dengan pelbagai cara.

"MIC dikatakan akan mahu menggabungkan semua parti kaum India di bawahnya, MCA pula sedang mengambil langkah untuk bergabung dengan Gerakan... ini yang saya dengar daripada ahli biasa walaupun peringkat atas belum lagi mengetahuinya.

"Bagi Umno pula, apa yang berlaku, terdapat usaha untuk merobohkannya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan mendapat mesej daripada rakyat berhubung keputusan pilihan raya umum lalu, yang mana mereka mahu BN melaksanakan janji dalam manifestonya.

"Saya akui dalam masa empat tahun, kita tidak dapat melakukan perubahan sepenuhnya tetapi kita banyak melakukan perubahan dalam sektor ekonomi kerana ia amat penting sekali," katanya.

Read More...

MB Selangor terima kunjungan hormat KM P.Pinang

Klpos



Oleh Harakahdaily
Isnin, 07 April 2008

MENTERI Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di pejabatnya di Shah Alam.

ImageTurut hadir dalam pertemuan itu ialah, Veteran DAP, Lim Kit Siang; Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor antaranya Dr Halimah Ali; Teresa Kok Suih Sim; Ronnie Liu; Yaakob Sapari; Rodziah Ismail dan Dr Xavier Jayakumar.

Pertemuan itu antara lain membincangkan tentang hubungan dua hala antara dua negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat itu terutama dalam hal pembangunan dan kepentingan rakyat.

Menteri Besar Selangor yang bercakap dalam sidang medianya selepas pertemuan itu berkata, beliau menyambut baik kehadiran Guan Eng sekaligus mencetus semangat toleransi antara dua negeri ini.

Beliau berkata, setakat ini Selangor sendiri mengharapkan Pulau Pinang boleh memberi pandangan dan nasihat bagaimana pengurusan air yang dibuat syarikat pengurusan air negeri itu.

Ini kerana bagi Khalid, Pulau Pinang adalah antara negeri yang berjaya menguruskan air dengan kos yang rendah berbanding negeri-negeri lain.

Selain itu dalam pertemuan itu juga kedua-dua pemimpin utama kerajaan negeri itu turut menyentuh aspek pendidikan kerana dua negeri ini memiliki tahap pendidikan yang agak baik.

Guan Eng dan Khalid juga turut membincangkan soal kerjasama membangunkan industri dan pelaburan dalam serta luar negara yang mana kedua-dua negeri ini saling mendapat keuntungan dalam kerjasama yang mungkin akan dilaksanakan kelak.

Kedua-dua pemimpin ini menyatakan komitmen membangunkan negeri dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara asas pembangunan.

Selangor dan Pulau Pinang yang memiliki kemajuan yang hampir sama tahapnya akan ditadbir dengan penuh amanah dan kejujuran, janji Guan Eng dan Khalid.

ImageSementara itu Khalid turut ditanya mengenai isu penternakan khinzir di Selangor, namun beliau enggan mengulas berhubung perkara itu.

Dalam hal berkaitan penternakan Khinzir itu, Dr Halimah Ali (PAS) pula berpendirian Islam tidak pernah melarang penternakan khinzir di kalangan bukan Islam.

"Tak ada apa masalah, ini hak kepada bukan Islam.Cuma timbul masalah sentimen di kalangan Melayu seolah-olah babi lebih berat dari masalah rasuah, jenayan dan sebagainya, padahal bagi orang Islam khinzir tak boleh makan (haram) sahaja,"katanya.

Sementara itu maklumat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memberitahu bahawa esok Menteri Besar akan menerima kunjungan hormat rakan sejawatnya dari Perak, Ir MOhammad Nizar Jamaluddin di pejabatnya di Shah Alam.

Pertemuan itu dijangka akan diadakan pada jam 3.00 petang.

Read More...

Hindraf dipolitikkan: Syed Hamid

Mstar Online

07-04-2008 07:18:30 PM

PUTRAJAYA: Keengganan penyokong Hindu Rights Action Force (Hindraf) menyerahkan satu memorandum kepada pegawai Kementerian Dalam Negeri mendesak lima orang pemimpin pertubuhan itu yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan, menunjukkan kes ini bermotif politik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata sekumpulan 50 orang penyokong Hindraf ke kementerian itu pagi tadi untuk menyerahkan memorandum itu kepada pegawainya kerana beliau sibuk.

"Oleh kerana mereka tidak dapat menyerahkannya kepada saya, mereka enggan memberikan memorandum itu kepada pegawai saya.

Saya terlalu sibuk kenapa mereka tidak menyerahkannya kepada pegawai saya. Ini menunjukkan bahawa mereka ada motif politik.

"Kumpulan itu terdiri daripada dua anggota Parlimen. Mereka mengeluarkan satu ugutan dengan mengatakan bahawa jika saya tidak terima memorandum itu, mereka akan menganjurkan satu lagi reli di Kuala Lumpur.

Tolong jangan ancam kebajikan negara kerana ia akan menyebabkan kerajaan tidak ada pilihan lagi selain melindungi negara, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perintis bagi Latihan Kesedaran mengenai Respon Keadilan Jenayah terhadap Pengedaran Manusia untuk Hakim dan Pendakwa Raya Asean.

Kursus itu dianjurkan bersama kementerian tersebut dan Projek Pengedaran Manusia Rantau Asia yang beribu pejabat di Bangkok, Thailand.

Beberapa minggu lepas, beberapa pertubuhan termasuk MIC, telah membuat gesaan supaya pemimpin Hindraf yang ditahan itu dibebaskan.

Pada 13 Dis tahun lepas, lima pemimpin itu yang ditahan, M. Manoharan, P. Uthayakumar, V. Ganabatirau, R. Kenghadharan dan K. Vasanthakumar kerana menganjurkan reli besar-besaran di Kuala Lumpur dan meminta beberap tuntutan bagi kepentingan kaum India di negara ini.

"Saya tidak boleh ulas mengenai isu ini kerana kes ini kes mahkamah berikutan kelima-lima pemimpin itu telah memfailkan permohonan habeas corpus meminta mereka dibebaskan.

Peguam mereka telah menyampaikan kes mereka dan segalagalanya dibuat mengikut undang-undang. Jadi macam mana saya boleh komen, apabila perkara ini belum lagi diputuskan," kata Syed Hamid.

Ditanya jika kerajaan, terutamanya polis, akan bertindak menghalang reli yang dirancang itu, Syed Hamid berkata ancaman tersebut menyebabkan pihak berkuasa dalam keadaan dilema.

Jika kita ambil tindakan terhadap penganjur seperti reli, kita dituduh menyalahgunakan hak mereka untuk mengadakan perhimpunan aman tetapi reli itu juga melanggari hak rakyat Malaysia lain yang mahukan ketenteraman awam...jadi apa yang kita boleh buat," tambah beliau.

Syed Hamid berkata pihak berkuasa mahu menjaga ketenteraman awam dan melakukan apa saja bagi memastikan keselamatan awam dijaga sepanjang masa. BERNAMA

Read More...

Exco Terengganu – Tiga ‘penderhaka’ tidak disenaraikan

Buletin online




Ditulis oleh SM Noor
Monday, 07 April 2008

The image “http://buletinonline.net/images/berita/3jahanam.gif” cannot be displayed, because it contains errors.

Kuala Terengganu, 6 April – Ahmad Said, dijangka membariskankan muka-muka baru didalam senarai exco kerajaan Terengganu sekaligus mengenepikan ‘tiga penderhaka’ yang menentang pelantikan beliau. Sumber Buletin Online hari ini memberitahu sepuluh orang dikalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah dilihat masuk ke perkarangan rumah kediaman rasmi Menteri Besar Seri Iman bermula jam 9.00 pagi sehingga 4.15 petang.

Tiga orang kuat yang digelar ‘tiga penderhaka’ oleh kebanyakkan laman web dan blogger, Idris Jusoh, Rosol Wahid dan Din Adam tidak dilihat di Seri Iman.

Sepuluh orang ADUN dipanggil ke Seri Iman hari ini merupakan proses terakhir pemilihan dan barisan Exco Terengganu setelah nama-nama berkenaan di persetujui oleh Perdana Menteri dan diperkenan oleh Istana Terengganu.

Pada 2 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau berpuas hati dengan senarai barisan exco kerajaan Terengganu yang dikemukakan oleh Ahmad Said dan menyifatkannya sebagai senarai yang bagus.

Sehubungan dengan itu, ADUN Seberang Takir, Ahmad Razif Abd Rahman di lihat memasuki Seri Iman Pada jam 9.00 pagi. Ia diikuti dengan ADUN Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad pada 9.45 pagi dan disusuli oleh ADUN Langkap, Asha’ari Idris 45 minit kemudian.

ADUN Telemong, Rozi Mamat dilihat memasuki perkarangan Seri Iman sekitar jam 11.15 pagi diikuti kemudian oleh ADUN Rantau Abang, Za’abar Mohd Adib 45 minit kemudian dan jam 12.45, muncul pula ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat.

Disebelah petang, bermula jam 2.00 petang, beberapa ADUN lagi dilihat hadir ke Seri Iman selang 45 minit seorang.

Mereka adalah ADUN Kuala Besut, Dr Abd Rahman Mokhtar, ADUN Teluk Pasu Abd Rahim Mad Said, ADUN Chukai Mohamad Awang Tera dan ADUN Bandar, Toh Chin Yaw.

Dari sepuluh orang yang menghadirkan diri ke Seri Iman pada hari ini, tiga merupakan bekas Exco yang telah dilantik semasa zaman Idris Jusoh menjadi Menteri Besar.

Dengan penyenaraian sepuluh ADUN tersebut, Ahmad Said dilihat akan menamatkan ‘dinasti Idris Jusoh’ dari menduduki barisan Exco kerajaan Terengganu.

Selain tidak menyenaraikan Idris Jusoh, Ahmad Said juga menolak bekas Exco dan penyokong kuat Idris, Rosol (Ajil) dan Din Adam (Bukit Besi)

Ahmad Said juga tidak mengambil ADUN yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Idris, Muhamad Pehemi Yusof (Kota Putera) dan Abd Halim Jusoh (Permaisuri) untuk disenaraikan sebagai Exco Terengganu.

Muhamad Pehemi dan Abd Halim pernah disebut-sebut oleh para penyokong Idris akan dilantik sebagai Exco sekiranya Idris menjadi Menteri Besar.

Senarai Lengkap ADUN-ADUN yang dipanggil ke Seri Iman hari ini adalah seperti dibawah:

1. Dr. Abd Rahman Mokhtar (Kuala Besut)
2. Khazan Che Mat (Batu Rakit)
3. Asha’ari Idris (Langkap)
4. Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu)
5. Ahmad Razif Abd. Rahman (Seberang Takir)
6. Toh Chin Yaw (Bandar)
7. Za'abar Mohamed Adib (Rantau Abang)
8. Yahya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan)
9. Rozi Mamat (Telemong)
10. Mohamad Awang Tera (Chukai)

Read More...

Perak mahu contohi sistem e-Kerajaan Sarawak

Kelatedaily

Dilulus Oleh:kelate| Monday, April 07 @ 12:39:53 MYT

Negeri Perak KUCHING: Perak yang kagum dengan pelaksanaan e-Kerajaan yang dilaksanakan di Sarawak berhasrat mencontohi model tersebut, kata Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

Beliau berkata Perak tertarik dengan pengendalian sistem maklumat tanah atau eTanah yang diuruskan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak yang dilihat lebih maju berbanding negeri lain.


"Selepas membuat beberapa kajian, saya mengakui Sarawak mempunyai sistem e-Kerajaan yang lebih baik berbanding negeri lain dan saya berhasrat untuk memperkenalkan sistem ini secepat mungkin kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Wilson Baya Dandot di sini, Isnin. BERNAMA

Read More...

Karpal Nafi Perkecil-kecilkan Usaha Kelantan Promosi Islam

Bernama

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini menafikan beliau memperkecil-kecilkan usaha kerajaan Kelantan untuk mempromosikan Islam seperti yang didakwa oleh Menteri Besarnya, dengan mengatakan apa yang beliau bantah adalah pengakuan PAS yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Dalam satu kenyataan di sini, Karpal, yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor berkata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berkata pada minggu lepas, PAS sepatutnya menjadi tunjang Pakatan Rakyat sekiranya parti itu mahu merealisasikan hasratnya untuk mewujudkan sebuah negara Islam.

"Kenyataan Menteri Besar Kelantan bahawa saya memperkecil-kecilkan usaha kerajaan negeri Kelantan untuk mempromosikan Islam, adalah mengelirukan. Saya tidak pernah, pada bila-bila masa pun, memperkecil-kecilkan Islam. Kami tidak berbalah dengan PAS melainkan berhubung ideologi asas parti itu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan memperkenalkan undang-undang hudud," kata Karpal.

Semalam, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan mengkritik Karpal kerana mengatakan PAS tidak seharusnya bermimpi untuk menjadi tunjang Pakatan Rakyat yang dicadangkan itu dan mewujudkan sebuah negara Islam.

Nik Aziz turut menyifatkan kenyataan Karpal itu sebagai memperkecil-kecilkan usaha kerajaan negeri Kelantan untuk mempromosikan Islam.

Bagaimanapun, Karpal berkata DAP menerima Islam sebagai agama rasmi negara ini seperti yang termaktub mengikut Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata PAS mesti menerima dan menghadapi kenyataan serta tidak menyimpang daripada apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Karpal berkata tidak syak lagi bahawa kaum Cina dan India di Kelantan yang diterajui PAS berasa gembira "tetapi itu tidak bermakna mereka bersetuju dengan pewujudan sebuah negara Islam atau pengenalan kepada undang-undang hudud".

"Masanya sudah tiba untuk PAS menghentikan usahanya bagi menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan berusaha ke arah kepentingan semua rakyat negara ini tanpa mengira warna kulit, bangsa atau keturunan," kata Karpal.

-- BERNAMA

Read More...

Pertukaran kerajaan dari BN kepada PR semakin cerah - Mujahid

Harakahdaily

Mohd Sabri Said

Sun | Apr 06, 08 | 1:40:49 pm MYT

TASEK GELUGOR, 6 April (Hrkh) - Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf Rawa yakin pertukaran kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR) pasti berlaku dalam masa terdekat memandangkan senario politik yang kian menyebelahi pembangkang.

Jelasnya, Umno kini sudah rapuh dan menanti rebah ke bumi manakala PR terus memuncak dengan berbagai nada dan gaya.

Beliau tidak menafikan slogan "PAS For All" banyak membantu sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS dan PR semasa pilihan raya umum lalu.

"PAS For All" kini sudah senonim dengan masyarakat India dan Cina maka majlis penerangan harus dipertingkatkan supaya mereka dapat menghayati apa yang dikatakan Negara Berkebajikan.

"Majlis angkat sumpah Ahli Parlimen pada 28 April ini mungkin menyaksikan satu lagi kejutan baru dalam senario politik tanah air. Apapun kita tunggu dan lihat perkembanganya," tegasnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika berucap dalam program Jamuan dan ceramah Perdana anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor di Dewan Besar, Sungai Dua semalam.

Perkembangan terbaru jika tiada apa-apa yang menghalang akan berlaku kemasukan ahli parlimen BN ke PR secara berperingkat-peringkat.

Ini menandakan kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semakin condong dan besar kemungkinan berita perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri menjadi kenyataan.

Keadaan timbalanya, Dato' Seri Najib Razak juga sukar ekoran orang harapanya telah tewas awal apabila banyak tidak disenaraikan sebagai nama sebagai calon pilihan raya ke-12 lalu.

"Kemelut yang melanda Umno dan BN memberi peluang kepada PR untuk menerajui negara pada masa akan datang. Inilah realiti sekarang," jelasnya.

Menyentuh mengenai kemasukan orang bukan Islam ke dalam Kelab Penyokong PAS, ia amat menggalakan dan paling ketara ialah pembubaran cawangan MIC di Taiping, Perak semata-mata mahu bersama parti Islam dalam Kelab Penyokong PAS.

Turut berceramah dalam program tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man, Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrisnan dan Setiausaha PAS Kedah, Yusuf Husin.

Turut hadir ialah Timbalan Yang DiPertua PAS Tasek Gelugor, Ustaz Suib Mohd Amin, Ketua Penerangan PAS Negeri, Haji Abdul Halim Salleh dan bekas calon Dun Permatang Berangan, Arshad Saleh. - mns

Read More...

Adun DAP dakwa ditawar RM65 juta

Malaysiakini

Apr 6, 08 10:12pm

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, V. Sivakumar hari ini mendakwa ada pihak membuat tawaran sebanyak RM65 juta supaya beliau meninggalkan DAP dan menyertai parti komponen Barisan Nasional.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Ipoh, beliau berkata tawaran itu jumlah tertinggi daripada pelbagai tawaran yang diterimanya sejak 9 Mac lalu, sehari selepas pilihanraya umum, daripada beberapa pihak yang mendakwa mewakili BN.

"Kalau saya setuju masuk BN, mereka tawarkan saya wang tunai antara RM10 juta dan RM65 juta serta jawatan exco dan jika saya bimbangkan keselamatan diri, mereka turut menawarkan kawalan polis 24 jam dan membantu saya berpindah ke luar negara bersama keluarga pada bila-bila masa," katanya.

Bernama memetik Sivakumar sebagai berkata beliau mengambil keputusan membuat laporan polis kerana tertekan dengan gangguan yang diterima terutama sejak akhir-akhir ini.

Beliau mendakwa semakin kerap panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) diterimanya termasuk apabila ada pihak yang dikenalinya berkunjung ke rumahnya di Taman Kledang Emas.

Beliau membuat laporan polis pada jam 11 pagi ini dengan ditemani naib pengerusi DAP M Kulasegaran serta beberapa wakil rakyat parti itu.

'Jadi orang tengah'


"Saya berharap pihak polis akan mengambil tindakan segera menyiasat perkara ini kerana perkara sama turut dialami oleh ramai wakil rakyat PAS dan PKR.

"SMS terbaru diterima semalam yang menyebut bahawa seorang wakil rakyat DAP dan seorang wakil rakyat PKR sudah menyertai BN dan menjemput saya supaya turut serta," katanya.

Kulasegaran yang juga ahli parlimen Ipoh Barat turut mendakwa beliau telah menerima panggilan telefon daripada beberapa pemimpin BN dikenalinya yang membuat tawaran RM5 juta supaya menjadi orang tengah untuk memujuk wakil-wakil rakyat DAP menyertai BN.

"Panggilan berkenaan diterima dalam tempoh beberapa hari selepas pilihanraya umum lepas tetapi selepas saya beritahu akan membuat laporan polis, mereka tidak lagi menghubungi," katanya.

Kulasegaran berkata wakil-wakil rakyat DAP bukan untuk dijual dan perkara seperti ini adalah gangguan yang serius dan diharap polis akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.

Beliau berkata laporan polis akan turut dibuat oleh beberapa wakil rakyat DAP berkenaan perkara yang serupa selepas ini.

Read More...

Kempen anti-PM ke seluruh negara

Malaysiakini

Apr 7, 08 3:48pm

Kempen sekumpulan pemimpin akar umbi Umno untuk mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur akan dipertingkatkan ke tahap lebih besar ke seluruh negara.

Selain majlis penerangan di negeri-negeri, kumpulan itu tidak menolak kemungkinan berkumpul beramai-ramai di Putrajaya untuk mencapai matlamatnya, kata ketua cawangan Umno Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Saifuddin Syed Harman kepada Malaysiakini hari ini.

Tokoh veteran Umno Tan Sri Sanusi Junid dijangka bersedia membuka gelanggang kempen di peringkat negeri.

mahathir at de palma hotel 060408 02Sementara rakaman ucapan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sebuah hotel di Ampang, Selangor semalam akan diedarkan secara meluas.

Di program 'Fikir-fikirkan Bersama Tun Dr Mahathir', Umi Hafilda Ali, seorang pengikut setia Dr Mahathir, mencadangkan perhimpunan 100,000 ahli Umno dianjurkan di pusat pentadbiran itu bagi mendesak reformasi dalam parti itu susulan kemerosotan pengaruhnya dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Dr Mahathir sendiri tidak menolak cadangan itu jika mendapat keizinan polis dan kebersihan Putrajaya terjamin.

"Kita nak minta diadakan rapat umum supaya kita boleh bercakap sikit," tambahnya semalam.

"(Abdullah mendakwa) semua orang menyokong dia, kenapa dia takut?"

Syed Saifuddin berkata, beberapa cadangan dikemukakan kepadanya semalam selepas pertemuan itu dan mereka masih di peringkat perancangan awal.

"Semakin banyak kumpulan menyokong rayuan agar Pak Lah menimbangkan untuk melepaskan jawatan.

"Kami merayu, kami tidak memaksa, Pak Lah meletakkan jawatan demi masa depan Umno," katanya dalam satu wawancara.

mahathir at de palma hotel 060408 pcBeliau (foto: duduk di kanan Dr Mahathir), yang terlibat menganjurkan majlis di hotel De Palma pagi semalam, berkata beberapa bahagian di Wilayah Persekutuan, Kedah dan Selangor bersedia menganjurkan majlis penerangan seumpamanya.

Bagaimanapun, jelas Syed Saifuddin lagi, Dr Mahathir belum menyatakan kesediaannya untuk turut serta, setakat ini.

Sanusi, yang menyampaikan ucapan mengkritik Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin di program semalam, dijangka berucap di Kedah.

Beliau dan Datuk Fuad Hassan, bekas exco negeri Selangor, yang hadir di majlis Dr Mahathir semalam sudah didekati tetapi butiran lengkap program-program itu masih belum muktamad.

Gerakan menolak kepemimpinan Abdullah ini dirancang hampir serentak dengan langkah Umno membuat penjelasan ke negeri-negeri yang akan bermula esok.

Malah program Dr Mahathir semalam bertepatan dengan majlis penjelasan Abdullah tentang kekalahan Umno kepada jentera penerangan parti di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun ada pihak melihat siri majlis penerangan Umno ini dijangka bertujuan mengukuhkan kedudukan Abdullah dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menjelang mesyuarat perwakilan peringkat cawangan pada 17 Julai hingga 24 Ogos.

Mesyuarat peringkat bahagian pula pada 9 Ogos hingga 9 November depan.

Read More...

Media cuba keruhkan hubungan Pakatan Rakyat

Harakahdaily

Lanjusoh

Mon | Apr 07, 08 | 2:23:53 pm MYT

KOTA BHARU, 7 April (Hrkh) - Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan, Dato' Ahmad Yakob melahirkan rasa kesal di atas laporan akhbar yang dianggap menyimpang daripada kenyataan asalnya mengenai isu Pakatan Rakyat.

Katanya, beliau tidak bermaksud mahu parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat dipaksa menerima PAS sebagai tunjang kepada pakatan yang baru dibentuk.

"Pakatan itu masih lagi di peringkat awal yang dipersetujui semua parti pembangkang termasuk PAS, KeADILan dan DAP. Jadi soal siapa yang perlu mengetuai pakatan itu belum diputuskan.

"Sesiapa pun boleh mengetuai pakatan tersebut apabila ia dipersetujui semua ahli dalam pakatan yang dibentuk," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim, hari ini.

Sebelum ini akhbar melaporkan Ahmad menyebut PAS wajar menjadi tunjang Pakatan Rakyat yang dibentuk parti-parti pembangkang sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuh sebuah negara Islam.

Bagaimanapun kenyataan itu disifatkannya ditulis mengikut persepsi wartawan itu sendiri dan bukannya menulis apa yang dicakap.

Menurutnya dalam kenyataannya sebelum ini tidak pernah pun disebut soal negara Islam sebagaimana dilaporkan.

Kata beliau apa yang diutarakan sebenarnya mahu memberi masa kepada mana-mana pihak dalam Pakatan Rakyat faham mengenai konsep pentadbiran berteras Islam yang dilaksanakan di Kelantan sejak lebih 18 tahun lalu.

"Tidak dinafikan kita memerlukan masa untuk memberi kefahaman kepada semua pihak mengenai konsep pentadbiran Islam yang dibawa PAS.

"Buat masa ini biarlah semua ahli dalam pakatan faham sebelum sesuatu itu dilaksanakan. Ini kerana pakatan yang dibentuk dilihat sudah diterima rakyat," ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Haji Anual Bakri Harun berkata, isu pertelagahan di antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat sengaja ditimbulkan media massa bagi menenggelamkan perpecahan dalaman Umno yang berlaku sekarang.

Katanya, media harian milik Umno dan BN sengaja membesar-besarkan isu pertelagahan dalam Pakatan Rakyat, sedangkan pada hakikat ia tidak berlaku.

"Buat masa sekarang tidak timbul siapa yang akan menerajui Pakatan Rakyat kerana ia masih baru dan di peringkat awal lagi. Ahli-ahli parti hendaklah menyerahkan perkara itu kepada pemimpin atasan.

"Belum sesuai lagi kita mahu mengutarakan pandangan peribadi masing-masing mengenai Pakatan Rakyat. Sekarang adalah masa untuk bekerja selepas diberi mandat rakyat pada pilihan raya umum lalu," ujarnya. - mj/mks.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |