+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 5, 2009

UMNO/ BN Berpakat Dengan Kongsi Gelap

Buletin Online

Written by Wartawan Buletin
Sunday, 05 April 2009 19:51

http://buletinonline.net/images/stories/berita3/bacarisalah.jpg
Bukit Gantang – UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah terlalu terdesak dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang (PRK Bukit Gantang) sehingga terpaksa berpakat dengan ‘kongsi gelap’ bagi mengugut dan menakut-nakutkan pengundi (Gambar-Seorang pengundi membaca risalah yang diedarkan oleh petugas Pakatan Rakyat di Par Minggu Simpang)


“Satu pertemuan telah diadakan antara Dato’ Zahid Hamidi dengan satu kumpulan kongsi gelap di sebuah hotel di Taiping baru-baru ini,

“ia bertujuan untuk menakut-nakutkan pengundi terutamanya dari kaum Cina, supaya tidak turun mengundi,

“ia satu tindakan yang tidak beretika, tidak bermoral dan merupakan ‘politik lama’ yang masih diamalkan oleh UMNO/BN,” kata Pengarah Operasi Pilihanraya PAS bagi PRK Bukit Gantang, Haji Asmuni Awi.

Beliau berkata pihaknya ada perincian pertemuan Dato’ Zahid dengan kongsi gelap tersebut masa dan tarikh serta individu yang ditemui.

Sehubungan itu beliau mencabar pihak UMNO/BN dan Dato’ Zahid sendiri untuk membuat penafian secara terbuka sekiranya perkara tersebut adalah sesuatu yang tidak benar.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata PAS telah menyatakan persetujuan menyahut seruan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Jamaie untuk menyertai satu debat terbuka mengenai isu “derhaka kepada raja-raja Melayu”.

“Salah seorang speaker PAS insyaAllah Datuk Paduka Husam Musa, setakat ini, UMNO masih belum menyatakan komitmen menyertai debat tersebut,

“ini membuktikan UMNO tidak berani berdepan dengan rakyat bagi membuktikan siapakah sebenarnya yang derhaka,”katanya dalam sidang media yang diadakan di Markaz Air Kuning hari ini.

Hj Asmuni turut menyatakan keyakinan rakyat dan pengundi Bukit Gantang bersama PAS dan Pakatan Rakyat.

Katanya usaha kempen akan ditingkatkan dalam tempoh 72 jam akan datang menjelang hari mengundi pada 7 April, selasa ini.

“Kita (PAS dan Pakatan Rakyat) akan melipatgandakan majlis ceramah dan penerangan 30 siri secara serentak di seluruh Parlimen Bukit Gantang mulai hari ini,

“kita yakin, rakyat akan mengundi kita dengan pakej kempen ‘politik baru’ yang menolak rasuah, penyalahgunaan kuasa,

“dan (rakyat) akan menolak UMNO/BN dengan politik lama yang mengugut dan menakut-nakutkan pengundi serta fitnah dan perkauman yang sempit,”jelasnya.

[Lihat Klip Video]

Read More...

7 tahun menunggu suami bebas ISA, tetapi hampa

Siasahdaily

BUKIT GANTANG, 5 April: “Isteri mana yang tidak sedih bila suami tidak dibebaskan…” itulah kata-kata pertama Puan Norlaila Othman ketika diminta menyatakan perasaannya selepas suaminya tidak tersenarai dalam senarai 13 tahanan ISA yang dibebaskan, baru- baru ini.

(Gambar atas: Saat-saat manis Norlaila bersama suaminya Mat Sah. Namun selepas tujuh tahun dipisahkan mereka tetap menunggu.)

Namun begitu, Norlaila, isteri tahanan ISA selama lebih tujuh tahun, Mat Sah Satray yang sehingga kini gagal dibuktikan kesalahannya, beliau tetap bersabar dan berdoa agar terus tabah menjalani kehidupan ini.

Norlaila berkata demikian dalam satu temubual ringkas dengannya setelah mendapati tiada nama suaminya di dalam kalangan 13 tahanan ISA yang dibebaskan oleh Najib pada 3 April lalu.

Beliau menambah, oleh kerana sudah biasa di mana nama suami tiada dalam senarai mereka yang dibebaskan, beliau dan anak lelaki tunggalnya, Suhaib, 15, tetap dapat menghadapi situasi berkaitan.

Bila ditanya adakah beliau menangis, jawabnya, mestilah tapi sikit sahaja kerana orang tidak sahlah jika orang perempuan tidak menangis untuk meredakan perasaannya.

Tentang anaknya, Suhaib, Norlaila berkata, kelihatan anaknya itu seperti bapanya juga, bersikap tenang sepertimana bapanya juga namun ada juga masa-masanya dia tidak tahan seperti terpaksa menghempaskan beg bila mendapat tahu bapanya tidak juga dibebaskan.

Sebenarnya, ujar beliau, terdapat tiga orang lagi yang ditahan selama tujuh tahun seperti Dr Abdullah Daud dari Johor, Shamsuddin Sulaiman (Kuala Lumpur) dan seorang dari Sabah, Ustaz Zainun Rashid yang isterinya, Hapipah Manji sedang menderita sakit jantung sejak empat tahun lalu.

Bercakap lebih lanjut tentang perasaannya, beliau amat berkata, jika diikutkan memang telah habis air mata menangisi cabaran yang mendatangi keluarga mereka selama ini.

“Peringkat awal dulu, memang saya sering ikutkan perasaan, namun bila difikirkan semula rasanya tidak perlu terus-terusan berbuat demikian, apa yang lebih penting adalah berusaha membebaskan suami dan kawan-kawannya dengan melibatkan diri dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

“Kini telah banyak usaha yang GMI lakukan ke arah membebas dan memansuhkan ISA,” katanya dalam satu pertemuan sebelum ini. IBH

Read More...

Mana Cerita Dari Janda Perdana Menteri

msomelayu

SEJAK beberapa malam dulu dan kemuncaknya hari ini semua media massa cetak dan eletronik memaparkan kisah hidup dan perjuangan Najib Razak. Perjalanan politik Najib dari awal hingga akhir - sehingga angkat sumpah menjadi PM ke-6 dilakar dan ditulis demikian rupa. Semuanya menggambarkan kehebatan dan keagungan Najib sebagai 'dewa bangsawan politik.'

Bukan saja karektor Najib sebagai seorang pelajar yang baik, cerdik dan pintar sejak sedari kecil dilukiskan; kegemaran, pakaian, cara pidato dan telatah Najib di meja makan juga turut sama dilukiskan. Pendeknya semua tidak terlepas dari cakupan media massa, masing-masing berlumba untuk menukilkan (glorify) sesuatu yang indah dan menyeronokkan.

Penulis yang mencari makan di hujung pena pula akan mencatat sesuatu yang merujakan rakyat tentang Najib. Mengelak rakyat agar menyokong Najib sepenuhnya sebagai perdana menteri. Manakala ahli politik yang mencari kerusi akan melihat Najib umpama sebutir intan yang bersinar dari semua dimensi dipandangnya.

Semua orang yang hampir dengan Najib diinterviu dan ditanya mengenai masa silam Najib. Mengenai sikap Najib dan falsafah politiknya. Mereka yang berkongsi kereta dengan Najib semasa di London juga turut sama diinterviu dan cerita itu dipaparkan dengan penuh nostalgik bagi menggambarkan kerendahan dan ketawadukan diri Najib.

Ibu Najib, Tun Puan Rahah Mohd Noah juga sudah semestinya ditanya mengenai anaknya yang bertuah itu. Maka berceritalah Rahah mengenai masa kecil perdana menteri itu. Bahawa Najib bukan dilahirkan untuk menjadi perdana menteri, namun Rahah terpaksa akur dengan kehendak dan ketentuan Allah s.a.w. Dan jawatan yang dijabat oleh anak sulung itu sangat disyukurinya.

Begitu juga dengan isteri kedua Najib, Rosmah Mansor pun dipotretkan begitu anggun sekali. Sebagai seorang isteri yang bekerja kuat dan pemberi semangat kepada Najib. Seorang isteri yang berpeluh berpela bersama Najib dalam mengapai kerusi penuh berkuasa itu. Bahkan ada yang gatal mulut berkata jika bukan kerana kesungguhan Rosmah, Najib tidak mungkin menjadi perdana menteri!

Ertinya orang yang bekerja kuat untuk meletakkan Najib di kerusi nombor wahid negara ialah Rosmah Mansor? Maka wajarlah kalau Najib menyanyangi Rosmah lebih dari segala-galanya.

Dan saya sebagai penulis yang mengikut perjalanan politik Najib sejak tahun 80-an merasa semacam tidak lengkap apabila media dan orang bercakap mengenai Najib. Persis ada kekosongan telah berlaku dalam autobiografi kehidupan Najib itu, apabila perkara ini dialpakan.

Apakah hakikat ini tidak diketahui oleh pengamal media atau pencatat sejarah politik berusia bawah 30-an ataupun ianya sengaja dilupakan? Kalau wartawan atau penulis muda lupa, apakah wartawan dan penulis veteran juga lupa mengenai hal ini?

Apa yang saya maksudkan itu ialah seorang insan bernama Puteri Zainah binti Iskandar, perempuan pertama yang bersama Najib membina kehidupan. Siapakah Puteri Zainah ini? Dia adalah wanita pertama yang berada di sisi Najib. Wanita pertama yang berada di kiri Najib atas pelamin yang kilau gemilau. Wanita pertama yang menjadi teman tidur Najib yang sah. Wanita pertama yang meyendukkan nasi ke pinggan Najib. Wanita pertama yang mengambil baju dan seluar Najib untuk ke pejabat.

Ke manakah wanita ini sekarang? Apakah ia boleh dilupakan bahawa beliau pernah wujud bersama perdana menteri baru itu? Apakah ianya boleh dilupakan begitu saja? Bolehkan setiap detik sejarah berlalu dihapuskan oleh perasaan kebencian?

Tidak.... wanita ini tidak boleh disunyikan seolah ia tidak pernah hidup bersama Najib. Betapa sejuta kali tidak suka sejarah ini tetap terpahat dalam benak rakyat. Betapa pun ada kuasa yang cuba menafikannya, namun sejarah dan biologi tidak boleh menafikan bahawa darah wanita ini ada dalam tubuh tiga orang anak perdana menteri itu; Mohd Nizar, 32, Puteri Norlisa, 28 dan Mohd Nasifuddin? Bolehkah dunia mengenepikan begitu saja?

Puteri Zainah masih hidup dan masih sihat. Cebisan kenangan indah dan buruk beliau dengan Najib masih terpampar di kepalanya. Dia juga berhak sebenarnya bercakap mengenai Najib. Dia masih waras untuk bercerita segala-gala dari malam pertama sehinggalah kemalam terakhir kehidupan rumah tangganya dengan Najib.

Sebelum si janda Rosmah Mansor menjelma dalam lataran hidup Najib, Puteri Zainah atau lebih dikenali dengan Ku Yie inilah yang mengikut Najib ke majlis-majlis kerajaan. Yang menemani Najib menziarahi rakyat di Pekan dan seluruh Pahang semasa Najib menjadi Menteri Besar Pahang dulu. Ku Yielah yang menjadi pujaan dan kesayangan Tun Puan Rahah. Ku Yielah yang lebih dikenali dan dimesrai rakyat Pahang berbanding dengan Rosmah.

Kenapa media melupai Ku Yie ini? Rasanya elok kalau media ikut sama bertandang ke rumah ke Yei Jalan Maktab, off Jalan Gurney, Kuala Lumpur untuk bertanya dan bercerita masa-masa indah bersama bekas suaminya itu yang kini menjadi perdana menteri.

Tinjaulah juga pendapat dan pandangannya. Selaminya juga perasaan hati kecilnya bagaimana setelah lelaki yang pernah hidup bersamanya dulu kini sudah bergelar sebagai perdana menteri. Coretlah juga perasaan gembira Ku Yie atas apa yang berlaku itu. Tidak salah rasanya, bahkan tinjauan itu melengkap dan menyempurnakan lagi autobiografi Najib.

Ku Yie tentu menyimpan sejuta cerita mengenai Najib termasuk cerita-cerita misteri yang terlarang untuk dibukukan. Elok juga kalau dicungkilkan bagaimana rumah tangga mereka yang dibina selama lebih 10 itu tiba-tiba runtuh dan hancur. Sedikit sebanyak dari kisah rumah tangga itu dapat sama-sama kita melihat kelemahan Najib dan juga kemampuannya dalam membina negara dan nusa.

Saya menunggu dengan penuh minat cerita atau komen daripada Ku Yie. Saya mahu tenguk apa yang media tulis dan korek darinya. Sekiranya dalam tempoh beberapa hari ini tidak ada komen dari Ku Yie insyaAllah saya akan cuba membuka semula album kehidupan Ku Yie bersama perdana menteri yang sudah terbungkus dalam sejarah itu yang ada dalam pengetahuan saya.

Dan sejarah itu penting untuk dibaca oleh 27 juta rakyat Malaysia mengenali siapakah sebenarnya perdana menteri mereka dan siapakah juga wanita nombor wahid Malaysia kini. [wm.kl. 10: 30 am 04/04/09]

Read More...

Teori RAHMAN Berakhirlah Dinasti UMNO

Detikdaily

Oleh Ustaz Nasarudin Tantawi

Saya tidak pernah percaya apalagi menjadikannya iktiqad bahawa kepimpinan negara tertakluk kepada teori R.A.H.M.A.N .

Namun atas kehendak Allah swt Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui telah mentaqdirkan teori RAHMAN menjadi kenyataan .

Teori ini tidaklah membawa apa - apa keistimewaan untuk dikagumi jauh sekali karamah untuk dipuja . Melainkan ia satu teori yang menepati taqdir Allah swt .

Saya menegaskan bahawa tiada keistemewaan bahkan tiada sebarang karamah padanya kerana episode kepimpinan R.A.H.M.A.N yang bermula dengan Tunku Abdul Rahman , Tun Abdul Razak , Tun Hussein Onn , Tun Dr. Mahathir , Tun Abdullah Badawi dan terakhir dari teori ini ialah Datuk Seri Najib Abd Razak tidak menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang tunduk kepada Allah swt dengan melaksanakan syariat Allah swt. dan sunnah RasulNya saw.

Bahkan semakin ke penghujung teori , bukan sahaja negara semakin
tenat dan parah dengan pelbagai maksiat dan mungkar serta penyelewengan seperti rasuah dan salah guna kuasa tetapi juga pemimpinnya semakin pudar integriti bahkan semakin hilang kredebeliti sebagai seorang pemimpin yang adil dan bertaqwa .

Terutama pemimpin terakhir dari teori R.A.H.M.A.N ini . Mendaki takhta kepimpinan negara yang kini menjawat jawatan Prime [ baca Crime ] Minister dengan 1001 fitnah dan noda terpalit pada dirinya yang sehingga kini gagal dibersihkan melalui proses keadilan yang wajar .

Saya melihat teori ini telah berakhir dengan hurufnya yang terakhir . Maka berakhirlah dinasti R.A.H.M.A.N memimpin negara . Persoalannya siapakah selepas R.A.H.M.A.N ini kelak ? Meskipun huruf terakhir Najib baru sahaja sebentar tadi menaiki takhta dan kita tidak tahu bilakah kepimpinannya akan berakhir tetapi apa yang pasti ia akan berakhir !

Jika kepimpinan sebelumnya Tun Abdullah hanya berlansung 5 tahun lebih , saya kira mungkin kepimpinan Datuk Seri Najib lebih lama dari itu dan juga tidak mustahil kepimpinannya menjadi lebih singkat dari pada sebelumnya .

Sebagai renungan dan perhatian semua , saya bawakan firman Allah swt : dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini Dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan Dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang tetap beriman (dan Yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang Yang mati Syahid. dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang Yang zalim.

Aali Imran : 140

Berakhirnya Dinasti UMNO .

Jika PAKATAN Rakyat berjaya mencipta hatrik dalam pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau kelak , yakinlah bahawa rakyat sebenarnya sudah bersedia untuk melupakan UMNO sekaligus menobatkan PAKATAN Rakyat untuk meneraju negara selepas ini khasnya melalui pilihanraya umum ke 13 kelak .

Rakyat nyata telah masak dengan propaganda UMNO dan BN yang mengampu dan melambung Datuk Seri Najib setinggi langit di awal kuasanya . Kerana perihal yang samalah dilakukan oleh UMNO dan BN sewaktu menobatkan Tun Mahathir dan Tun Abdullah sebelum ini .

Sewaktu rakyat membenci Tun Mahathir dengan pemerintahan ala kuku besinya melewati tempoh 22 tahun , Tun Abdullah mengambil alih kuasa melalui peralihan kuasa yang dirancang oleh mereka . Maka media UMNO dan BN melambung Tun Abdullah melepasi paras awan biru . Tun Abdullah pula tampil dengan sajak Yang Ku Cari dan Islam Hadhari serta Modal Insannya cukup memukau rakyat .

Malang , Tun Abdullah yang pernah digelar Mr Clean itu hanya mampu bertahan 5 tahun lebih dan kemudiannya dipaksa berundur dan didesak agar segera menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Najib .

Pagi ini , sekali lagi media UMNO dan BN melambung tinggi Datuk Seri Najib dengan ucapan menyokong dan mengampu dari pemimpin UMNO . Disiarkan pula ucapan - ucapan Datuk Seri Najib yang dilihat boleh meyakinkan rakyat . Persoalannya , Datuk Seri Najib yang digelar sebagai Mr Dirty ini , berapa lamakah ia mampu bertahan ?

Selepas berakhir urutan huruf R.A.H.M.A.N , huruf apakah yang akan membentuk teori kepimpinan baru negara kita kelak ? Wallahualam bissowab , segalanya di dalam ilmu Allah swt . Namun semua yang mahukan Islam berdaulat di negara ini berharap dan berdoa agar Dinasti UMNO berakhir dengan berakhirnya teori R.A.H.M.A.N ini .

Tanggungjawab kita ialah berjuang dan terus berjuang bagi membersihkan negara dari dosa dan noda dan berusaha untuk mendaulatkan syariat serta meninggikan syiar agama Allah swt . Sehinggalah negara tercinta ini berada di bawah rahmat dan redha Allah swt . Baldatun Toiyyibah Wa Rabbun Ghafur .

Read More...

Taktik melampau: Cuba gambarkan PAS ganas, bakar kereta polis!

Harakahdaily

Johari Jaafar
Sun | Apr 05, 09 | 10:04:27 am MYT

BUKIT GANTANG, 5 April (Hrkh) - Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat,Dato' Mustafa Ali mendedahkan perbuatan melampau BN menjelang hari mengundi untuk menggambarkan PAS bertindak ganas sekaligus ianya akan dijadikan isu untuk 'pukulan maut' BN pada saat sat akhir bagi memenangkan calon BN.

"Kita mendapat maklumat pihak tertentu akan mengumpulkan kereta-kereta polis yang lama dan diletakkan di sebuah balai polis untuk dibakar kononnya kereta itu dibakar oleh orang PAS," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Markas Induk PAS, Air Kuning semalam.

Apabila ditanya oleh wartawan dari mana beliau mendapat maklumat itu, Mustafa merahsiakan dari mana maklumat itu diperolehinya, tetapi beliau mahu pihak polis menyiasat perkara itu.

"Tujuan kita dedahkan ini kepada media agar pihak polis menyelidikinya agar kejadian itu dapat ditegah dan mengenalpasti pihak mana yang melakukannya," katanya.

PAS tidak akan melakukan sesuatu yang ganas dan tidak bertindak mengikut emosi sebaliknya PAS akan mematuhi undang undang dalam berkempen.

Beliau yakin sekiranya kejadian itu berlaku, BN pastinya menuding jari bahawa PAS yang melakukannya, sekaligus BN berharap pengunbdi pengundi di Bukit Gantang tidak akan memberi undi kepada calon PAS.

Mengenainya pembebasan akhbar Harakah dan Suara Keadilan daripada digantung selama tiga bulan, beliau menyambut baik tetapi pembebasan itu bertujuan politik menjelang hari pembuangan undi di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

"Ketika membuat penggantungan tiga bulan kepada Harakah dan Suara Keadilan ianya dibuat secara tergesa-gesa dan berbau politik, tidak sampai dua minggu sekatan itu ditarik balik juga ianya mempunyai motif politik," jelas Mustafa.

Selain itu, beliau mengalu-alukan pembebasan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mereka sudah lama tersiksa ditahan di Kem Tahanan Kamunting tetapi ianya juga disifatkan sebagai kepentingan politik

Beliau mengingatkan seluruh ahli dan penyokong Pakatan Rakyat agar jangan tertipu dengan membebaskan Harakah dan Suara Keadilan serta pembebasan 13 tahanan ISA kerana kedua-keduanys mrmiliki kepentingan politik BN bagi meraih sokongan rakyat menjelang hari pengundian 7 April ini. - mks._

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |