+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, December 20, 2008

Sime Darby janji teruskan obligasi sosial di IJN

Mstar Online

KUALA LUMPUR: Konglomerat, Sime Darby Bhd, yang hari ini mendapat kelulusan secara prinsip daripada kerajaan untuk mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam Institut Jantung Negara (IJN), berjanji akan meneruskan obligasi sosial pusat pakar jantung itu kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid berkata itulah antara syarat yang ditekankan sendiri oleh ahli lembaga pengarah Sime Darby, sebelum kumpulan itu mengemukakan cadangan pengambilalihan daripada kerajaan.

Syarikat pemegangan institut jantung itu, IJN Holdings Sdn Bhd, yang diperbadankan pada 2005, ialah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

Beliau berkata kerajaan juga meletakkan tiga syarat dalam responsnya iaitu nilai cadangan pengambilalihan, pelan perniagaan kumpulan bagi IJN dan komitmen kumpulan terhadap obligasi sosial seperti yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan pada masa ini.

"Semasa menyuarakan hasrat kami, kerajaan bertanyakan mengenai nasib rakyat."

"Kami akan meneruskan komitmen kepada rakyat, kepada kumpulan berpendapatan rendah pertengahan. Sime akan terus memenuhi obligasi itu," katanya pada taklimat media di sini.

Beliau juga menolak cadangan bahawa obligasi sosial akan menjejaskan perolehannya.

"Sebahagian daripada IJN ialah untuk rakyat, namun ada juga bahagian lain yang membabitkan pesakit yang membayar kos rawatan secara penuh," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa mereka juga akan mengkaji cara terbaik untuk meningkatkan perniagaan bangunan baru IJN yang hampir siap, dan memberi jaminan bahawa pesakit yang diberi subsidi juga akan diberikan tempat di situ.

Sambil menyifatkan keadaan itu sebagai sama-sama menang, Zubir berkata ia akan membolehkan Sime Darby memberi sinergi yang lebih baik kepada IJN dan pusat penjagaan kesihatan sedia ada kumpulan itu, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), dari segi kepakaran dan teknologi.

"Jika perlu, kami akan menghantar pesakit ke SJMC. SJMC turut melaksanakan tanggungjawab sosialnya. Dan jika berlaku kekurangan dewan bedah dan doktor, kami boleh membuat penggiliran antara kedua-dua hospital," katanya.

Sambil menyatakan bahawa pelan perniagaan itu sedia dalam tempoh kira-kira lima bulan, Zubir berkata Sime Darby juga akan mengekalkan apa sahaja caj IJN pada masa ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan nilai 51 peratus kepentingan yang akan dibayar dalam bentuk tunai kepada kerajaan.

Beliau juga berkata ia tidak akan mengambil sepenuhnya tetapi secara usaha sama dan tidak menjangkakan akan berlaku rombakan pengurusan dan kakitangan.

"Mulanya, saya akan bertemu Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus (ketua pegawai eksekutif IJNSB). Dan, kami akan bertemu kakitangan dan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan," katanya.

"Pada masa ini belum ada pelan terperinci. Kami perlu masuk dan buat ketekenunan wajar," katanya.

Ditanya sama ada doktor di IJN boleh menjangkakan gaji yang lebih baik selepas pengambilalihan ini, Zubir berkata: "Ya...namun kami juga tidak mengetahui jumlah yang mereka terima sekarang".

Mengenai sama ada pengambilalihan itu adil kepada para pemegang saham Sime Darby, Zubir berkata mereka akan memperoleh nilainya.

Beliau berkata ia merupakan peluang keemasan untuk kumpulan itu memandangkan pengambilalihan akan meningkatkan bahagian penjagaan kesihatan Sime Darby yang diperluaskan dan akan menarik lebih ramai doktor dan pakar.

"Kami berpendapat penceburan dalam bidang ini merupakan ospyen terbaik. Jika kita bermula dari awal, reputasi dan penjenamaan akan mengambil masa."

"IJN sudahpun memilikinya dan kami akan membawa masuk lebih banyak doktor," katanya.

Zubir berkata gambaran yang lebih luas ialah mengkaji pusat-pusat pakar sedia ada.

"Jika tiada, kami akan menubuhkan sendiri. Ia merupakan sebahagian daripada strategi kami memandangkan SJMC adalah terhad," katanya.

Zubir menjelaskan bahawa Sime Darby sedang mengkaji untuk membangunkan sebuah bandar strategik di Labu, Negeri Sembilan dengan lima bandar berbeza bagi menampung pendidikan, kesihatan, sukan dan teknologi tinggi serta rekreasi dan hiburan.

Oleh itu, replikasi IJN di sana sesuai dengan cadangan bandar raya perubatan, terutama dengan rancangan untuk membuka pusat latihan dan hospital untuk jururawat dan doktor, katanya."Kami tidak akan mengganggu operasi IJN sedia ada, namun membuat replikasi sebagai pusat kecemerlangan dalam bandar raya perubatan yang dicadangkan.

"Kami juga memantau pusat kesihatan lain seperti merawat kanser di situ. Namun jika tiada, kami akan membinanya," katanya.

Beliau berkata mereka juga sedang mengkaji untuk meluaskan penjagaan kesihatan ke Pulau Pinang dan Melaka sebagai tambahan kepada Hospital di Desa Park City dekat sini yang mempunyai 300 katil.

Zubir berkata kumpulan itu juga sedang berbincang dengan beberapa hospital di rantau ini walaupun ia masih di peringkat awal.

"Kami merancang berkembang di peringkat serantau untuk meningkatkan nilai. IJN turut melatih doktor di rantau ini dan kami melihat Indonesia, Thailand dan China sebagai sebahagian daripada strategi penjagaan kesihatan kami," katanya. BERNAMA

Read More...

Pelabur gelisah hilang deposit jika Kotaqwa bubar

Berita Harian

KOTA BHARU:
Pelabur skim anjuran Koperasi Taqwa Berhad (Kotaqwa), kini mula bimbang terhadap kemungkinan kehilangan deposit dan pelaburan mereka yang mencapai puluhan ribu ringgit berikutan kemungkinan koperasi itu dibubar, manakala asetnya disita.

Kotaqwa yang membuka pejabat Wilayah Timur di Jalan Pengkalan Chepa dekat sini, dikatakan ada lebih 1,000 ahli seluruh Kelantan, yang menyertai Skim Simpanan Khas Al-Mudharabah.

Pelabur yang bergegas ke pejabat Kotaqwa itu, sebaik membaca laporan media berhubung serbuan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terhadap koperasi terbabit, kini resah kerana hasrat menutup akaun bagi mendapatkan kembali deposit, perlu menunggu dua bulan lagi untuk mendapatkan wang.

Mereka yang ditemui turut mendakwa tidak menerima dividen, sejak Mei lalu dan sudah dua kali ditangguhkan pembayarannya.

Wanita warga emas yang juga pelabur Kotaqwa dari Selising, Pasir Puteh, mendakwa dia bersama ahli keluarga berkongsi menyertai skim koperasi itu menerusi pelaburan pokok RM22,500 pada Disember tahun lalu.

Beliau yang turut melabur simpanannya RM5,000 berkata, mereka dijanjikan pulangan lapan peratus setiap minggu daripada nilai deposit terbabit.

"Sepanjang Disember tahun lalu sebaik membuat pelaburan skim itu, saya menerima dividen lapan peratus atau RM100 seminggu. Mulai Januari hingga April tahun ini, bayaran dividen itu ditukarkan kepada pembayaran secara bulanan dan saya menerima RM400 sebulan.

"Bagaimanapun, sejak Mei lalu, pengurusan koperasi berkata dividen akan dibayar setiap empat bulan pada kadar empat peratus saja, membuatkan kami rasa tidak puas hati tetapi pengurusan koperasi kata langkah itu kerana memenuhi syarat ditetapkan kerajaan," katanya.

Katanya, beliau bersama suami serta beberapa rakan ke Kotaqwa semalam bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu dan mahu mendapatkan semula baki wang dilaburkan.

"Kotaqwa berjanji akan membayar dividen tertunggak itu akhir bulan ini dan pengurusan koperasi berjanji memulangkan baki deposit saya RM3,000 dalam tempoh dua bulan," katanya yang kini gelisah kemungkinan kerugian besar kerana menyertai skim koperasi terbabit.

Semalam, Berita Harian melaporkan, tiga koperasi iaitu Kotaqwa, Koperasi Usahawan Malaysia Berhad dan Koperasi Birr Berhad, diserbu pihak berkuasa pada Selasa lalu, kerana dipercayai menganjurkan aktiviti berciri skim cepat kaya bagi memperdaya lebih 5,000 ahli membabitkan pelaburan berjumlah RM80 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, dilaporkan berkata tindakan tiga koperasi terbabit menyalahi Akta Koperasi 1993 kerana dikatakan menawarkan pulangan antara lapan hingga 12 peratus sebulan atas modal pelaburan menerusi Skim Simpanan Khas Al-Mudharabah dan Skim Usahawan Ternakan.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Kotaqwa menerusi laman sesawangnya, www.kotaqwa.com.my, menegaskan operasi koperasi itu berjalan seperti biasa kerana setakat ini tiada arahan daripada SKM mengenai penggantungan dan pembekuan seperti diumumkan Noh.

Read More...

Peti besi milik mangsa tanah runtuh ditemui

PETI besi yang berjaya ditemui di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang semalam.


AMPANG JAYA - Sepasukan penyelamat semalam berjaya menemui dua peti besi milik salah seorang mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember lalu.

Peti besi itu ditemui pada pukul 12 tengah hari selepas hampir dua minggu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di kawasan kejadian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, peti besi itu ditemui dalam timbunan tanah di rumah pemiliknya yang bernombor 16.

"Setakat ini, hanya sebuah sahaja yang dapat dikeluarkan dan telah diserahkan kepada pemiliknya, manakala sebuah lagi masih berada dalam timbusan tanah.

"Keadaan peti besi itu masih dalam keadaan baik dan berkunci," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian.

Read More...

Kasino di Bukit Antarabangsa? Penduduk nafi

Mstar Online

DATUK N. Muneandy (kiri), Datuk Shaharuddin Adnan (tengah) dan Naib Presiden Persatuan Penduduk Bukit Antarabangsa, Raymond Jagathesan bercakap kepada pemberita hari ini. - foto The Star oleh ABDUL RAHMAN SENIN

KUALA LUMPUR: Penduduk Bukit Antarabangsa di sini menafikan khabar angin yang menyatakan salah sebuah daripada 14 buah banglo yang ranap dalam kejadian tanah runtuh 6 Disember lalu merupakan sebuah kasino.

Mangsa yang juga penduduk di situ, Datuk Shahrudin Adnan, 62, berkata, khabar angin itu adalah fitnah dan tidak benar sama sekali.

"Sememangnya tidak ada pusat kasino di perumahan kami, macam mana boleh ada timbulnya cerita ada pusat kasino di sini. Ini tidak benar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau juga turut menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya ada di kalangan penduduk yang keluar dari rumah dengan membawa beberapa buah peti wang tunai semasa runtuhan berlaku.

"Semasa kejadian (tanah runtuh) itu berlaku tidak ada jiran-jiran saya yang keluar dengan membawa peti wang tunai.

"Mereka hanya sempat membawa dokumen penting semasa menyelamatkan diri, jadi isu ini tidak sepatutnya timbul," katanya.

Menurutnya, tuduhan bahawa polis tidak menjalankan tanggungjawab mereka juga adalah tidak berasas dan tidak boleh diterima akal.

"Pada waktu kejadian pasukan polis tiba seawal pukul 5 pagi lagi, mereka cuba membantu mangsa untuk keluar dari kawasan runtuhan, tetapi sukar kerana keadaan yang masih gelap.

"Tolonglah jangan kontroversikan keadaan dengan mengeluarkan kenyataan seperti ini.

"Perkara ini bukan sahaja memburukkan nama penduduk tapi juga pihakpihak lain.

"Cukuplah dengan apa yang telah kami lalui," kata Shahrudin yang turut kehilangan seorang anak lelaki, Shaiful Khas Shahrudin, 20, dalam tragedi itu yang meragut tiga lagi nyawa.

Sementara itu, Jawatankuasa bertindak Penduduk Bukit Antarabangsa menyatakan bahawa ia memuji semua pihak terbabit semasa kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah kerana komitmen dan sumbangan mereka yang tidak ternilai kepada penduduk di sini.

Presiden jawatankuasa itu Datuk N. Muneandy berkata, penduduk di kawasan Bukit Antarabangsa terkejut dengan laporan media bahawa mereka dikatakan tidak berterima kasih kepada agensi terbabit semasa bencana alam itu. BERNAMA

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |