KUALA LUMPUR: Penduduk Bukit Antarabangsa di sini menafikan khabar angin yang menyatakan salah sebuah daripada 14 buah banglo yang ranap dalam kejadian tanah runtuh 6 Disember lalu merupakan sebuah kasino.
Mangsa yang juga penduduk di situ, Datuk Shahrudin Adnan, 62, berkata, khabar angin itu adalah fitnah dan tidak benar sama sekali.
"Sememangnya tidak ada pusat kasino di perumahan kami, macam mana boleh ada timbulnya cerita ada pusat kasino di sini. Ini tidak benar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau juga turut menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya ada di kalangan penduduk yang keluar dari rumah dengan membawa beberapa buah peti wang tunai semasa runtuhan berlaku.
"Semasa kejadian (tanah runtuh) itu berlaku tidak ada jiran-jiran saya yang keluar dengan membawa peti wang tunai.
"Mereka hanya sempat membawa dokumen penting semasa menyelamatkan diri, jadi isu ini tidak sepatutnya timbul," katanya.
Menurutnya, tuduhan bahawa polis tidak menjalankan tanggungjawab mereka juga adalah tidak berasas dan tidak boleh diterima akal.
"Pada waktu kejadian pasukan polis tiba seawal pukul 5 pagi lagi, mereka cuba membantu mangsa untuk keluar dari kawasan runtuhan, tetapi sukar kerana keadaan yang masih gelap.
"Tolonglah jangan kontroversikan keadaan dengan mengeluarkan kenyataan seperti ini.
"Perkara ini bukan sahaja memburukkan nama penduduk tapi juga pihakpihak lain.
"Cukuplah dengan apa yang telah kami lalui," kata Shahrudin yang turut kehilangan seorang anak lelaki, Shaiful Khas Shahrudin, 20, dalam tragedi itu yang meragut tiga lagi nyawa.
Sementara itu, Jawatankuasa bertindak Penduduk Bukit Antarabangsa menyatakan bahawa ia memuji semua pihak terbabit semasa kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah kerana komitmen dan sumbangan mereka yang tidak ternilai kepada penduduk di sini.
Presiden jawatankuasa itu Datuk N. Muneandy berkata, penduduk di kawasan Bukit Antarabangsa terkejut dengan laporan media bahawa mereka dikatakan tidak berterima kasih kepada agensi terbabit semasa bencana alam itu. BERNAMA
0 comments:
Post a Comment