+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 11, 2008

Harga minyak tidak naik lagi 2008

Malaysiakini

Jun 11, 08 8:18pm

Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi tahun ini bagi mengurangkan bebanan rakyat.

Pada masa yang sama, Abdullah juga mengumumkan bahawa gaji kakitangan kerajaan akan dibayar dua kali dalam sebulan mulai Ogos.

Katanya, keputusan itu dibuat walaupun harga minyak dunia dijangka berada pada paras yang tinggi pada bulan-bulan mendatang.

Menurut laporan Bernama, harga sekarang akan dikekalkan walaupun harga minyak dunia mungkin mencecah AS$200 setong tahun ini, katanya di sidang akhbar di pejabatnya.

Menurutnya, kerajaan tidak menetapkan had siling harga pasaran minyak dunia pada masa akan datang dalam mengekalkan jaminan kerajaan itu.

Katanya, kerajaan sedar rakyat masih lagi sedang berusaha menyesuaikan diri dengan situasi harga minyak yang tinggi ketika ini.

Kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau 41 peratus kepada RM2.70 seliter, manakala harga diesel sebanyak RM1 atau 63 peratus kepada RM2.58 seliter, berkuatkuasa Khamis lalu.

Harga tersebut telah disubsidi sebanyak 30 sen seliter petrol.

Keputusan kabinet

Abdullah berkata harga minyak mentah yang tinggi ketika ini bermakna harga pasaran petrol juga telah meningkat kepada RM3.45 seliter.

"Sekiranya, kerajaan amalkan subsidi 30 sen seliter, harga petrol perlu diubah dari RM2.70 seliter kepada RM3.15 seliter pada bulan Julai," katanya.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak akan berlaku susulan keputusan tersebut yang dibuat semasa mesyuarat Kabinet hari ini.

Ditanya sama ada keputusan kerajaan itu akan menjejaskan pendapatan negara, perdana menteri berkata kerajaan berharap akan dapat pendapatan yang lebih daripada Petronas, syarikat minyak negara.

Menjawab soalan lain, Abdullah berkata harga minyak sekarang boleh diturunkan sekiranya harga minyak di pasaran dunia turun.

Gaji dua kali sebulan


Sementara itu, Abdullah berkata, langkah membayar gaji kakitangan kerajaan dua kali dalam sebulan bertujuan memudahkan mereka mengurus perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah.

"Separuh pertama akan dibayar pada pertengahan bulan dan separuh kedua akan dibayar pada hujung bulan.

"Potongan-potongan seperti cukai pendapatan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya akan dilakukan pada hujung bulan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Ditanya sama ada sektor swasta turut berbuat demikian, Bernama memetik Abdullah sebagai berkata:

"Saya menganggap ini adalah satu pendekatan yang baik kerana ia membantu pekerja-pekerja kita untuk menguruskan aliran tunai isi rumah. Ini adalah penting."

Read More...

"Ubah cara hidup" Nasihat Menteri Penerangan

KLpos


Cetak E-mail
Oleh Bernama
Rabu, 11 Jun 2008

KL: Rakyat disaran supaya mengubah cara hidup dan mengamalkan budaya lebih berjimat cermat bagi menangani masalah kenaikan harga minyak dan barangan di pasaran global, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Media di bawah Majlis Menangani Inflasi berkata jawatankuasa itu akan bertindak mengambil langkah-langkah bagi membentuk budaya tidak membazir di kalangan rakyat negara ini.

"Kita akan membetulkan tabiat...mula-mula kita ambil tindakan. Daripada tindakan itu menjadi tabiat...tindakan untuk merubah pembentukan budaya tidak membazir, budaya lebih jimat dan budaya sayangkan negara.

"Kita juga perlu membentuk budaya yang tidak mengambil kesempatan daripada kesempitan. Semua ini adalah memerlukan tindakan bersama.

"Kali ini juga kita mengatasi krisis yang kita hadapi sekarang dan saya percaya kita akan dapat atasinya," katanya pada sesi wawancara dalam rancangan Hello Malaysia terbitan Bernama TV di sini Selasa malam.

Menyentuh tentang keyakinan rakyat terhadap kerajaan dalam menangani isu ini, Ahmad Shabery berkata kerajaan ikhlas dengan apa yang dilakukan.

"Kita berani berdepan dengan sesiapa sahaja untuk membincangkan perkara ini. Saya yakin, keseluruhannya atau majoriti rakyat memahami perkara ini," katanya.

Namun, katanya mungkin terdapat beberapa pihak yang mengambil kesempatan apabila orang dalam kesempitan.

Katanya oportunis akan berada di mana-mana bagi mengambil kesempatan.

"Sudah tentulah perkara ini perlu ditangani dan ia memerlukan penerangan yang secara menyeluruh dan rasional."

"Saya percaya rakyat sebenarnya rasional apabila mendengar penerangan dan penerangan ini mesti dipelbagaikan seperti melalui media elektronik, media cetak, media alternatif seperti blog dan internet," katanya.

Menteri itu berkata apa yang paling penting ialah perjumpaan terus dengan rakyat di kalangan kepemimpinan rakyat, dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kita mahu juga badan-badan yang terlibat seperti Petronas dan kementerian-kementerian berkenaan turun ke bawah memberi penerangan. Mungkin ada beberapa langkah yang tidak sempurna dan perlu diperbaiki dan kita mahu mendengar pandangan orang ramai bagaimana hendak memperbaikinya."

Menurut beliau apa yang penting sekarang "kita mesti meminta rakyat memahami bahawa masalah yang kita tangani ini bukan masalah kita sahaja dan ini adalah masalah global."

Sementara itu, beliau menasihatkan rakyat supaya lebih bersabar dan tenang dalam menghadapi masalah yang dilalui sekarang.

"Kita sentiasa memikirkan jalan penyelesaian, kita sayangkan rakyat dan tidak mahu menghancurkan negara yang kita bina sehingga kini.

"Sebab itu kita minta rakyat lebih sabar dan tenang. Kita terbuka dan mendengar pandangan apakah cara yang terbaik untuk rakyat dan negara, inilah kita hendak ajar masyarakat kita bersedia untuk menerima penstrukturan subsidi" katanya.


Read More...

Gaji menteri vs seruan 'ubah gaya hidup rakyat'

Harakahdaily

Azamin Amin
Wed | Jun 11, 08 | 11:10:57 am MYT

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - Kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan minggu lalu sehingga 41 peratus amat menjejaskan kehidupan dan meningkatkan kos sara hidup rakyat Malaysia.

Namun dalam 'lelah' rakyat Malaysia mendepani kemelut kenaikan harga minyak ini, kelompok menteri yang mempertahankan keputusan kerajaan pula menasihatkan rakyat agar 'mengubah gaya hidup' bagi meringankan penderitaan.

Laungan kelompok menteri bagaimanapun tidak berdasarkan kepada hakikat yang sebenar kerana perbezaan taraf kehidupan antara menteri dan rakyat kebanyakan dari sudut pendapatan cukup ketara.

Pendedahan menarik berhubung gaji dan 'keistimewaan' para menteri di Malaysia ini merupakan satu renungan buat rakyat yang selama ini diseru menteri yang kaya supaya mengubah gaya hidup.

Pendedahan ini pernah disiarkan di dalam beberapa blog dan difahamkan datangnya daripada satu surat yang diemel oleh seorang yang dikenali sebagai pegawai kerajaan di Putrajaya ke laman blog Tranungkite Online tahun lalu yang boleh dijadikan rujukan maklumat betapa besar jumlahnya wang rakyat dibelanjakan oleh Menteri-menteri di Malaysia.

Menurutnya, rekod tersebut adalah berdasarkan kepada pendapatan bulanan menteri kabinet pada tahun 1999 dan pada pendapatnya terdapat sedikit sebanyak perubahan sehingga sekarang.

Berikut adalah perbandingan gaji menteri dengan persoalan 'ubah gaya hidup' yang disarankan kepada rakyat::-

Slip Pendapatan Bulanan bagi Menteri Penuh Malaysia termasuk Ketua-Ketua Menteri:


1. Gaji Pokok RM18,000
2. Elaun Keraian RM10,500.00
3. Elaun Perumahan RM10,800.00
4. Elaun Wakil Rakyat RM10,650.00
5. Elaun parking RM 5,700.00

Jumlah pendapatan bulanan RM55,650.00 yang wajib diterima sama ada sakit atau tidak bekerja:-

Lain-lain kemudahan

1. Bercuti keluar negara sekali setahun terutama selepas persidangan Dewan Negara- semua perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan termasuk tiket penerbangan, hotel, duit poket sebanyak RM50,000.00. Kalau tidak bercuti keluar negara seorang menteri boleh menuntut sebanyak RM50,000.00 tanpa resit.

2. Bil letrik percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

3. Bil Air percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

4. Bil telefon percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

5. Peruntukan perkakasan dapor/perhiasan rumah dan lain-lain boleh dituntut setahun sekali sebanyak RM40,000.00

6. Sebuah kereta Mercedes S320, di lengkapi dengan telefon bimbit,satu pemandu,minyak percuma.Kalau guna khidmat pemandu kementerian, dapatlah duit percuma.

7. Semua pemberian derma seperti kepada perkahwinan, kematian,atau pemberian kepada badan kebajikan kebajikan boleh dituntut.

8. Boleh mengadakan rumah terbuka setiap hari raya, segala perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan. Kebiasaan Menteri menuntut sebanyak RM400,000.00

9. Setiap menteri biasanya tuntutan mereka sebanyak RM45,000.00 semua elaun perbelanjaan tidak termasuk elaun-elaun dalam slip pendapatan bulanan.

Slip Pendapatan Bulanan Bagi Timbalan Menteri ialah:-


1. Gaji Pokok RM15,000
2. Elaun Keraian RM9,500.00
3. Elaun Perumahan RM9,800.00
4. Elaun Wakil Rakyat RM10,650.00
5. Elaun parking RM 5,700.00

Jumlah pendapatan bulanan RM50,650.00 yang wajib terima samada sakit atau tidak hadir bertugas.

Dan Menteri:-


1. Pengerusi syarikat/lembaga jabatan kerajaan
2. Pengerusi syarikat swasta yg dilantik
3. Pedapatan dari syarikat persendirian seperti kontrak dan lain-lain
4. Pendapatan dari kroni-kroni peribadi
5. Saham yang diberi khas oleh kerajaan sebanyak 300,000 unit setiap masa.
6. Tidak termasuk dari pendapatan luar negara
7. Lain-lain sumber / wann _

Read More...

Sarawak dapat RM1b lagi

Utusan Online

KUCHING 10 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion untuk pelaksanaan projek-projek infrastruktur asas di Sarawak.

Perdana Menteri berkata, peruntukan tambahan itu diluluskan oleh Jemaah Menteri baru-baru ini dan akan diuruskan Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan rakyat Sarawak tidak jauh ketinggalan dengan penduduk negeri-negeri lain di Semenanjung.

Menurut beliau, dengan peruntukan tambahan itu, pembangunan di kawasan-kawasan luar bandar akan dapat dilaksanakan seterusnya memastikan penduduk dapat menikmati kemudahan yang sepatutnya.

''Ini penting supaya kawasan-kawasan luar bandar tidak dilupakan," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini selepas melakukan lawatan kerja sehari ke Sarawak.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan barisan menteri Kabinet Sarawak.

Pada sidang akhbar itu, selain mengumumkan peruntukan tambahan, Abdullah turut mengumumkan tiga lagi insentif untuk negeri Sarawak.

Ini termasuk peruntukan menyewa helikopter sebanyak RM15,000 yang ditanggung oleh kerajaan Pusat untuk semua Ahli Parlimen bagi melawat kawasan terpencil.

Selain itu, kerajaan Pusat bertekad menghapuskan kemiskinan tegar dan menurunkan kadar kemiskinan di Bumi Kenyalang kepada 2.8 peratus menjelang tahun 2010.

''Kerajaan telah menubuhkan Kumpulan Fokus kemiskinan yang merangka Pelan Kemiskinan dan menyelaraskan pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan," kata Abdullah.

Perdana Menteri berkata, bancian keluarga miskin tegar dan miskin di Sarawak telah siap sebanyak 98 peratus dan dijangka siap sepenuhnya akhir Jun ini.

Tegasnya, sebaik sahaja bancian selesai, kerajaan akan dapat melaksanakan perancangan secara lebih tepat dan berkesan untuk Sarawak.

''Sebagai langkah awal, kerajaan akan memberi tumpuan khusus kepada penyediaan bantuan rumah untuk golongan miskin di bandar dan luar bandar," katanya.

Turut diumumkan ialah penyertaan anak-anak Sarawak dalam perkhidmatan awam Persekutuan dan pengisian ketua-ketua jabatan.

''Sebagai langkah segera, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melaksanakan skim tukar lantik iaitu melantik Pegawai Perkhidmatan Negeri ke Perkhidmatan Awam Persekutuan di peringkat pertengahan dan tertinggi," kata Abdullah.

Baru-baru ini, kata beliau, Mat Omar Johari, seorang anak Sarawak, telah dilantik sebagai Pegawai Kewangan Persekutuan Sarawak yang baru.

Turut mendapat perhatian Perdana Menteri ialah agihan peruntukan untuk Sarawak yang mengambil kira keluasan, bilangan penduduk dan tahap pembangunan.

Selain itu, kata beliau, kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar bagi setiap Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) untuk Bumi Kenyalang.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), peruntukan yang diluluskan untuk negeri ini terus meningkat kepada RM12.365 bilion yang merupakan peruntukan keempat terbesar selepas Wilayah Persekutuan, Selangor dan Sabah.

''Bagaimanapun, keperluan negeri ini sedang dikaji di bawah Kajian Separuh Penggal RMK-9 yang akan dimuktamadkan pada Jun ini," kata Abdullah.

Beliau memberitahu, Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM3.9 bilion untuk penyediaan bekalan air dan elektrik 24 jam bagi sekolah-sekolah di luar bandar.

Katanya lagi, isu-isu kemudahan asas dan isu kekurangan bekalan air dan elektrik luar bandar akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan dan Infrastruktur (JKPI) yang dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Jun ini.

Perdana Menteri menjelaskan, Sarawak merupakan negeri yang mendapat peruntukan kedua tertinggi bagi tujuan pendidikan di bawah RMK-9 iaitu kira-kira RM3 bilion bagi melaksanakan 2,187 projek.

Read More...

Tip jimat minyak masa gawat

Kosmo Online


PEMANDU yang bijak akan mengikuti kaedah-kaedah yang betul untuk menjimatkan penggunaan petrol. - Gambar hiasan


BUKAN mudah hendak membuang tabiat pemanduan yang salah.

Dengan kebimbangan dan kemarahan yang memuncak, pemandu yang bijak akan melakukan apa sahaja untuk menjimatkan penggunaan petrol.

Mungkin anda sendiri boleh mempraktikkan beberapa tip berikut:

* Apabila lampu isyarat bertukar hijau, anda tidak perlu bergerak laju. Lebih kuat anda menekankan pedal minyak, lebih banyak minyak yang digunakan.

Sebaliknya, tekan perlahan-lahan dan anda dapat menjimatkan banyak petrol daripada dulu.

Jika anda melihat lampu isyarat bertukar kepada merah, cepat-cepat tekan pedal brek daripada menunggu sehingga mencapai ke hujung jalan. Pijak brek secara perlahan agar kereta anda dapat berehat seketika dan ini menjamin ketahanan pad brek.

Kedua-dua tip ini mampu meningkatkan penggunaan petrol sehingga 35 peratus berdasarkan kajian yang dijalankan oleh laman automotif.

* Walaupun tidak menekan minyak dengan kuat, kelajuan boleh menghabiskan banyak petrol. Lebih laju anda memecut, lebih banyak angin yang diperlukan untuk menolak kereta ke depan.

Berdasarkan satu lagi laporan konsumer, pemanduan kereta pada kelajuan 75 batu sejam daripada 65 batu sejam akan mengurangkan penggunaan minyak petrol antara tiga hingga lima batu setiap gelen, bergantung kepada jenis kenderaan.

* Tabiat mengekori kenderaan lain adalah satu perkara yang patut dielakkan.

Selain tidak selamat, perbuatan ini membazirkan minyak kerana setiap kali kereta di hadapan menekan brek, anda terpaksa memijak lebih cepat. Kemudian, anda terpaksa menekan lebih minyak untuk mengejar dan mengekori kereta itu semula.

* Rilekskan diri dan memandu secara hemah. Pastikan kereta anda sejauh dua saat dari kereta di hadapan dengan mengira dua saat dalam hati.

* Anda tidak perlu memulakan enjin dan membiarkannya panas terlalu lama.

Dengan enjin baru yang dipasang pada kereta moden, tabiat ini boleh dikikis tanpa was-was. Dengan membiarkan enjin seminit akan menghabiskan minyak sejauh setengah batu berdasarkan kepada Suruhanjaya Tenaga California.

Sebab itu kereta hibrid akan mematikan enjin gasolin apabila ia berhenti bergerak, walau sesaat. Kita tidak perlu menghentikan enjin pada setiap masa tetapi sekurang-kurangnya matikan enjin sekiranya menunggu kawan berlari ke kedai dan lain-lain.

* Jangan membeli makanan melalui kaunter pandu lalu kerana lebih banyak wang perlu dihabiskan untuk membayar minyak menggoreng ketulan ayam.

Read More...

Potong elaun 10%-Tindakan hanya kaburi mata rakyat: Ghapur


Berita Harian

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh, menyifatkan tindakan memotong elaun keraian anggota Kabinet sebanyak 10 peratus sebagai tidak munasabah dan menggambarkan seolah-olah negara sudah ‘bankrap’.

Malah, beliau mendakwa tindakan itu sekadar ingin mengaburi mata rakyat kononnya kerajaan juga bertindak mengurangkan perbelanjaan.

"Bagaimanapun, tindakan ini belum tentu dapat menampung kos kenaikan harga minyak dan barang yang naik mendadak kerana rakyat berpendapatan rendah tetap menghadapi kesukaran."Kita juga keliru mengapa baru sekarang Kerajaan Pusat melakukan tindakan pemotongan elaun keraian sedangkan kenaikan harga minyak sudah lama berlaku," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah pemotongan elaun keraian jemaah Kabinet termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa 1 Julai ini.

Abdul Ghapur yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan berkata, kerajaan sepatutnya mencari mekanisme khusus bagi menangani pelbagai masalah berikutan kenaikan harga minyak.

"Kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan yang berupaya membantu rakyat kerana kerajaan bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat dan menstabilkan ekonomi negara tanpa membebankan rakyat," katanya.

Read More...

Tiada Lagi Kenaikan Harga Minyak Tahun Ini, Kata Abdullah

Bernama

PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) - Harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini bagi mengurangkan bebanan rakyat, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata langkah itu dibuat walaupun harga minyak dunia dijangka berada pada paras yang tinggi pada bulan-bulan mendatang.

Harga sekarang akan dikekalkan walaupun sekiranya harga minyak dunia mencecah US$200 setong pada tahun ini, katanya pada persidangan akhbar di pejabatnya di sini.

Beliau berkata kerajaan tidak menetapkan had siling harga pasaran minyak dunia di masa akan datang dalam mengekalkan jaminan kerajaan itu pada tahun ini.

Katanya, kerajaan sedar rakyat masih lagi sedang berusaha menyesuaikan diri dengan situasi harga minyak yang tinggi ketika ini.

Kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau 41 peratus daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter manakala harga diesel sebanyak RM1 atau 63 peratus daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter, berkuatkuasa Khamis lepas.

Harga tersebut ialah harga di pam dengan kerajaan masih mensubsidi sebanyak 30 sen bagi setiap liter petrol. Tanpa subsidi harga pasaran petrol tempatan ialah RM3 seliter.

Abdullah berkata harga minyak mentah yang tinggi ketika ini bermakna harga pasaran petrol juga telah meningkat kepada RM3.45 seliter.

"Sekiranya, kerajaan amalkan subsidi 30 sen seliter, harga petrol perlu diubah dari RM2.70 seliter kepada RM3.15 seliter pada bulan Julai," katanya.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak akan berlaku ekoran pengumuman kerajaan itu setelah keputusan dibuat semasa mesyuarat Kabinet hari ini.

Ditanya sama ada keputusan kerajaan itu akan menjejaskan pendapatan kerajaan, Perdana Menteri berkata kerajaan berharap akan dapat pendapatan yang lebih daripada Petronas, syarikat minyak negara.

Menjawab soalan lain, Abdullah berkata harga minyak sekarang boleh diturunkan sekiranya harga minyak di pasaran dunia turun.

-- BERNAMA


Read More...

'Rakyat membilang butiran beras, pemimpin hadiri jamuan negara' - Mufti Perlis

Harakahdaily

Azamin Amin

Wed | Jun 11, 08 | 12:59:37 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - 'Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh 'orang biasa'.

Demikian antara petikan pendapat Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abdidin berhubung soal pembaziran yang memberi kesan yang sangat besar kepada masyarakat yang turut dikaitkan dengan isu kenaikan harga minyak yang mendadak baru-baru ini.

"Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya.

"Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun," katanya yang dipetik daripada blognya.

Akibat daripada itu kata Asri, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak memperolehi yang selayaknya malah pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka.

"Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas," katanya.

Beliau dilihat tidak bersetuju sekadar untuk 'mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi'.

"Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?

"Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh 'orang biasa'.

Dr Asri juga turut membangkit persoalan kewajaran di saat 'genting' ini adakah patut orang-orang besar diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka.

"Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan 'berhiburan' dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?

"Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat," katanya yang sedar bahawa beliau mengambil risiko menulis hal ini namun baginya tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya.

Maka kata Dr Asri alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan.

"Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini," katanya.

Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini katanya perkara-perkara yang disebutkan itu mestilah dipandang serius malah kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. - mks._

Read More...

Jimat: Lima negeri ikrar potong elaun exco

KLpos


Cetak E-mail
Oleh Berita Harian
Rabu, 11 Jun 2008

KL: Lima kerajaan negeri menyatakan kesediaan memotong 10 peratus elaun semua Ahli Exco Negeri sebagai tanda prihatin kepada bebanan rakyat, selaras langkah Kerajaan Pusat untuk menjimatkan perbelanjaan awam berikutan kenaikan harga minyak, baru-baru ini.

Kepemimpinan negeri berkenaan, masing-masing Terengganu, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan dan Sarawak memaklumkan perkara itu sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan memotong elaun keraian beliau sendiri, timbalannya, Datuk Seri Najib Razak serta jemaah menteri, berkuat kuasa 1 Julai ini bagi meringankan beban rakyat.

Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Said, berkata kerajaan negeri mula memotong elaun Exco negeri itu bulan ini.

“Saya dengan ini mengumumkan kerajaan negeri bersetuju memotong elaun Exco sebanyak 10 peratus," katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Sukan Malaysia XII (Sukma) kelmarin.

Di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, mengumumkan pemotongan elaun berkenaan juga berkuat kuasa 1 Julai ini.

Beliau berkata, pemotongan elaun keraian 10 peratus itu membabitkan Ketua Menteri, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN, selaras langkah diambil Kerajaan Pusat.

“Elaun keraian Ketua Menteri sebanyak RM5,500 sebulan akan dikurangkan RM550, manakala Speaker DUN dan Exco Kerajaan Negeri sebanyak RM1,000 pula menjadi RM900, manakala RM250 bagi Adun akan kurang RM25 sebulan,” katanya.

Di KUANTAN, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan semua 10 Exco kerajaan negeri sedia memotong elaun keraian sehingga 30 peratus dalam usaha membantu mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan harga minyak.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincang dan diputuskan pada mesyuarat mingguan Exco hari ini.

Adnan berkata, kadar potongan 10 peratus elaun keraian pemimpin Pusat itu wajar kerana mereka tinggal di Kuala Lumpur, manakala potongan hingga 30 peratus pula sesuai untuk pemimpin di negeri.

Di JEMPOL, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kerajaan negeri itu sudah memulakan langkah berjimat cermat sejak Mac lalu dengan memberhentikan pembayaran elaun bulanan pentadbiran pejabat RM1,500 kepada setiap Adun negeri itu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah Peneroka Felda Sungai Lui, dekat sini, Mohamad berkata, pemberhentian elaun itu membolehkan kerajaan negeri berjimat RM54,000 sebulan.

Di KUCHING, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata Sarawak bersetuju memotong gaji 10 peratus secara sukarela membabitkan beliau sendiri, Menteri dan Timbalan Ketua Menteri, dan Menteri Muda negeri.

Read More...

Daging RM25 sekilogram?

Kosmo online


PENJUAL di Pasar Kip Mart Tampoi, Johor Bahru mendakwa harga daging bakal melonjak naik tidak lama lagi.


JOHOR BAHRU - Harga daging segar boleh mencecah RM25 sekilogram.

Itulah bayangan yang diberi peniaga Pasar Kip Mart, Tampoi di sini yang menjangkakan harga daging segar akan meningkat lebih tinggi ekoran kenaikan harga lembu hidup oleh pembekal.

Ketika ini di pasar tersebut, harga daging segar dijual antara RM18 dan RM20 sekilogram manakala daging beku import dijual antara RM11 dan RM12 sekilogram.


ALI


Seorang peniaga, Kamarul Zaman Abd. Jalil, 26, berkata, ketika ini harga seekor lembu hidup seberat 400 kilogram (kg) berharga antara RM2,800 hingga RM3,000.

Katanya, harga lembu hidup sebelum ini antara RM2,500 hingga RM2,000 seekor.

"Harga sekilogram daging boleh mencecah RM25 dalam tempoh terdekat dan ini kerana, lembu tersebut juga diimport dari negara luar iaitu Australia.

"Harganya turut bergantung pada tukaran wang asing dan kenaikan harga minyak dunia," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.


HAMISAH


Seorang lagi peniaga, Hamisah Abu Wahab, 54, berkata, setakat ini dia belum lagi mendengar sebarang kenaikan harga.

Bagaimanapun, katanya, sejak kebelakangan ini dia juga mengeluh dengan kenaikan harga lembu hidup yang pastinya akan menjejaskan harga jualannya.

"Jika jual dengan harga mahal pasti pelanggan mengeluh dan sebab itu saya masih jual daging segar RM18 sekilogram iaitu murah RM1 daripada harga yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan yang juga peniaga makanan Ali Madun, 55, turut merasai bahang kenaikan harga barangan sejak sebulan lalu.

Ujarnya, selepas kenaikan harga beras, para peniaga sepertinya turut dibebani kenaikan kos bahan mentah.

Jelasnya, sebelum ini kos untuk membeli barang-barang mentah kurang RM500 tetapi kini boleh mencecah RM800 sehari.

"Harga daging sejuk beku import juga daripada RM9 meningkat kepada RM12 sekilogram," katanya.

Read More...

Lagi 'bom kejutan': Ke mana sudah imej bidang kehakiman

Mstar Online

11-06-2008 08:13:24 PM
Oleh G. MANIMARAN

KIRA-KIRA tiga minggu lalu, bekas Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang disyor oleh Suruhanjaya Diraja Siasat Video Klip Lingam supaya disiasat lanjut bersama lima personaliti yang lain, melahirkan pendiriannya bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan termasuk jika dihadapkan di mahkamah.

Malah, menurut Dr. Mahathir beliau juga akan mendedahkan nama hakim-hakim yang pernah melobinya untuk kenaikan pangkat.

Pada 6 Jun pula menerusi dalam blognya, Dr. Mahathir memberikan pandangan beliau tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam isu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas sehingga membawa kepada pemecatannya dua dekad lalu.

Minggu lalu kerajaan mula menyumbangkan bayaran ex-gratia kepada hakim-hakim yang pernah dipecat ketika krisis kehakiman tahun 1988.

Dan, terbaru semalam beberapa blog dan portal berita menyiarkan laporan Borneo Post yang memetik pendedahan Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Datuk Ian H.C. Chin dua hari lalu, yang secara terbuka menyebut bahawa Dr. Mahathir pernah mengugut untuk melucutkan jawatan hakim-hakim yang membuat keputusan tidak menyebelahi kerajaan lebih satu dekad yang lalu.

Pendedahan

Jika diambil kira pendedahan beliau itu, kemungkinan ini kali pertama seorang hakim berbuat demikian, lebih-lebih lagi ketika sebuah mahkamah tinggi mula bersidang untuk mendengar petisyen pilihan raya.

Negara telah mengadakan pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu. Petisyen pilihan raya difailkan oleh calon DAP kerusi Parlimen Sarikei, Wong Hua Seh yang mencabar kemenangan wakil Barisan Nasional (BN), Ding Kuong Hiing.

Yang mengejutkan, hakim berkenaan mengetengahkan isu berkenaan ketika memulakan prosiding petisyen berkenaan. Ramai berpendapat suasana sedemikian jarang berlaku.

Semasa mendedahkannya, jelas Chin, pada Persidangan Hakim 24 April 1997, Perdana Menteri (nama tidak disebut tetapi sebenarnya merujuk kepada Dr. Mahathir) ketika itu secara jelas mengugut akan menggunakan tribunal khas untuk menyingkirkan hakim yang membuat keputusan tidak menyebelahi kerajaan.

Akhbar The Borneo Post juga memetik Chin berkata, ugutan itu dibuat tiga hari selepas hakim berkenaan membuat keputusan berhubung petisyen pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Begunan yang memihak kepada calon Bebas, Donald Lawan pada 21 April 1997. Kerusi bahagian tersebut telah dimenangi calon BN, Mong anak Dagang.

Perdana Menteri ketika itu menyuarakan rasa tidak gembira dengan keputusan berkenaan dan beliau merujuk kes itu sebagai the Borneo Case serta bertanya sama ada hakim yang membuat keputusan itu hadir pada persidangan terbabit, tambah beliau dalam pendedahannya.

Jelas Chin, apa yang beliau mendedahkan itu berlaku selepas dua penghakimannya iaitu keputusan kes petisyen pilihan raya kerusi Bukit Begunan dan saman fitnah pada 5 Februari 1997 (Raveychandran lawan Lai Su Chon & Ors).

Dalam penghakiman saman fitnah itu, kata Chin, merujuk kepada kes MGG Pillai lawan Tan Sri Dato Vincent Tan Chee Yioun & Other Appeals dan menjadikannya alasan untuk menolak pemberian pampasan yang luar biasa tinggi dalam kes saman fitnah terhadap keperibadian seseorang.

Video klip

Selain Dr. Mahathir, Vincent Tan juga merupakan antara enam personaliti yang disyorkan oleh Suruhanjaya Diraja Siasat Video Klip Lingam.

Dalam pendedahannya yang kini menarik perhatian banyak pihak, Chin menambah, tiada seorang pun yang menghadiri persidangan itu meragui Dr. Mahathir merujuk kepada kes petisyen pilihan raya umum berkenaan walaupun tidak menyatakannya secara khusus.

Selepas membuat ugutan itu, bekas Perdana Menteri turut memberi pendapat bahawa seseorang wajib dikenakan bayaran ganti rugi yang tinggi dalam kes saman fitnah.

Chin berkata, persidangan itu disusuli sesi dialog tetapi pada hakikatnya hanya satu pihak iaitu Dr. Mahahtir bercakap manakala yang lain mendengar.

"Hanya seorang Hakim Mahkamah Rayuan memberi maklum balas dengan bertanya sama ada beliau (Dr. Mahathir) akan gembira sekiranya sejumlah RM1 juta ditetapkan sebagai ganti rugi dalam kes saman fitnah.

"Beliau bersetuju dengan cadangan itu dan menunjukkan rasa puas hati beliau dengan memberi kenaikan pangkat kepada hakim berkenaan (tetapi kini sudah pun meninggal dunia) ke Mahkamah Persekutuan apabila wujud kekosongan walaupun terdapat ramai lagi hakim yang lebih kanan," katanya.

Chin memberitahu, beliau amat kecewa dengan perkembangan itu tetapi beberapa Hakim Mahkamah Persekutuan menemuinya selepas sesi dialog itu dan memberi nasihat jangan mempedulikannya.

"Malah, yang lebih melegakan saya apabila seorang Hakim Mahkamah Tinggi menyifatkan perbuatan bekas Perdana Menteri itu sebagai keterlaluan," katanya.

Berdasarkan ingatan beliau, tambah Chin, sejurus selepas bekas Perdana Menteri itu mengambil alih pentadbiran negara, beliau giat berkempen membanteras rasuah dan mahu setiap orang takut kepada Tuhan.

"Tetapi berdasarkan apa yang berlaku pada persidangan itu, ternyata beliau mahu orang takut untuk membuat penghakiman yang tidak disukainya," kata Chin.

Tambah Chin, selepas persidangan itu, beliau menyertai satu bengkel antara 26 hingga 30 Mei 1997 bersama beberapa hakim dan pegawai kehakiman yang didakwanya berlaku usaha mempengaruhi mereka supaya berpegang kepada pandangan bahawa kepentingan kerajaan harus diberi keutamaan mutlak apabila membuat penghakiman.

"Saranan yang keji itu dilakukan Presiden Mahkamah Rayuan sendiri dan tiada siapa pun bersuara ketika sesi soal jawab. Pencabulan keadilan tidak berakhir di situ. Pada satu pagi, saudara hakim (rakan Chin), Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang mencari saya selepas daftar masuk kerja. Kami berdua berkhidmat khidmat di Kuching.

"Beliau menyuarakan kekecewaan berikutan panggilan telefon daripada Ketua Hakim Negara ketika itu, meminta beliau menolak petisyen pilihan raya yang akan didengar di Kota Kinabalu.

"Kamil meminta pendapat saya. Kami menimbang kemungkinan membuat laporan polis atau menulis kepada Ketua Hakim Negara bagi merekodkan apa yang dicakapkan menerusi telefon tetapi beliau memutuskan tidak melakukan apa-apa kerana tiada bukti melainkan dakwaannya terhadap Ketua Hakim Negara," katanya.

Chin berkata, beliau bagaimanapun gembira kerana Muhammad Kamil tidak tunduk kepada tekanan Ketua Hakim Negara ketika mendengar petisyen pilihan raya itu dan seterusnya membuat penghakiman berdasarkan undang-undang serta bukti yang dikemukakan.

Selepas membuat pendedahan itu, Chin meminta kedua-dua pihak terbabit dalam petisyen pilihan raya umum kerusi Parlimen Sarikei, yang didengarinya itu, membuat keputusan sama ada patut beliau menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

"Walaupun beliau (Dr Mahathir) kini bukan lagi Perdana Menteri dan tidak boleh mengugut untuk melucutkan jawatan mana-mana hakim dan tidak sepatutnya digeruni hakim, gabungan parti yang pernah diterajuinya masih berkuasa dan responden kedua dalam kes ini menang atas tiket gabungan itu.

"Jadi mungkin ada yang berpendapat saya masih menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak," katanya.

Implikasi

Kenyataan terakhir ini dan keseluruhan pendedahann Chin membawa implikasi besar kepada negara dan kerajaan khususnya ketika demam pascapilihan raya umum masih berlarutan.

Selepas insiden-insiden yang disenaraikan Chin, negara telah mengadakan tiga pilihan raya umum. Justeru, persoalan yang timbul dan ditanya banyak pihak ialah mengapa sekarang beliau bertindak mendedahkannya?

Apakah yang menggerakkan Chin berbuat demikian?

Selepas pilihan raya umum ke-12, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dua bulan lalu telah membawa proses pembaharuan sistem kehakiman dan memulihkan keyakinan orang ramai.

Pengumuman strategi itu disusuli dengan pengumuman laporan Suruhanjaya Diraja Siasat Video Klip Lingam.

Dengan perkembangan mengejutkan ini, Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan menggesa Suruhanjaya Diraja diadakan bagi menyiasat pendedahan tersebut.

"Dakwaan dan pendedahan yang dibuat beliau (Chin) bukan sahaja disiasat secara menyeluruh oleh Ketua Hakim Negara tetapi juga oleh pihak-pihak yang berkaitan," katanya.

Sejauh mana perkembangan terbaru ini akan membantu dalam soal siasat lanjut dikendalikan Jabatan Peguam Negara ekoran saranan Suruhanjaya Diraja Siasat Video Klip Lingam?

Apakah pendedahan Chin akan membantu memulihkan keyakinan orang ramai atau memudaratkan lagi situasi semasa? Ataupun polemik mengenai bidang kehakiman akan berterusan hingga kita boleh menunggu pendedahan-pendedahan yang lain?

Read More...

Salahuddin dikritik 'gagal' debat minyak

Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri | Jun 11, 08 3:24pm

Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub hari ini menjadi sasaran kritikan penyokongnya sendiri apabila didakwa "gagal" dalam perdebatannya dengan Datuk Sharir Samad berhubung isu kenaikan harga minyak.

Perdebatan ahli parlimen Kubang Kerian dengan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna disiarkan secara langsung selama sejam di RTM1 jam 9.30 malam tadi.

Beberapa pembaca mengkritik kelemahan Salahuddin di laman web Tranungkite.net, milik Pemuda PAS Dungun, Terengganu hari ini dan semalam.

salahuddin ayub pas and kl polis memo 220207 explain"Apa yang saya harapkan dari perdebatan ... tidak langsung mencapai tujuan, ruang dan peluang yang sepatutnya digunakan terus gagal dimanafaatkan Salehuddin, sungguh mengecewakan," kata seorang pembaca web itu, 'Reformis Muda'.

"Saya mencadang selepas ini (ahli parlimen PKR) Saifuddin Nasution (Ismail) ataupun (naib presiden PAS) Husam Musa dihantar mewakili Pakatan Rakyat, kerana Saifuddin lebih bersedia dalam soal fakta dan gaya penyampaian yang sinis. Manakala Husam dilihat lebih berani menyanggah," katanya.

Sementara seorang lagi penulis yang menyumbang kritikan menyatakan hujah-hujah Salahuddin "banyak terdapat di dalam blog-blog internet" dan menyarankan ahli parlimen itu menjalankan kajian awal sebelum menghadiri program tesebut.

"Saya tidak salahkan penonton-penonton apabila kecewa dengan hujah-hujah daripada Salahuddin... Kebanyakan hujah yang dikemukakan oleh Salahuddin pernah terbaca oleh saya (di internet).

"Pada saya, Salahuddin sepatutnya menggunakan hujah beliau sendiri dan boleh menggunakan fakta internet itu sebagai sokongan sahaja," kata 'Ciklee'.

Penulis itu juga menyifatkan Salahuddin gagal "memberikan pukulan KO (kalah terus) kepada Shahrir" yang menyebabkan penonton tidak berpuas hati.

'Pemuda Sabah' menyifatkan ahli parlimen itu suka membuat kesilapan fakta.

"Kadangkala Salahuddin cuba untuk menguatkan hujah beliau berpandukan sejarah dan insiden yang pernah berlaku tetapi cukup memalukan apabila fakta sejarah diubah, malahan Shahrir nampak senyum kambing sambil memperbetulkan beberapa fakta yang didakwa oleh Salahuddin," tulisnya di laman web itu, yang diasaskan sejak 1999.

"Salahuddin sendiri terperangkap dalam data statistik yang disebut oleh beliau apabila kurang memberi perhatian terhadap perbezaan antara 'keuntungan' dengan 'pendapatan'," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya lagi, penghujahan wakil PAS itu "agak tercapai" apabila Shahrir kelihatan "tidak mampu memberi satu jawapan konkrit" berhubung isu tersebut.

"Beliau lebih banyak bermain kata-kata dan bercakap tentang teori semata-mata," tulis 'Pemuda Sabah'.

Selepas menganggap Salahuddin gagal menggunakan istilah-istilah umum yang difahami semua, 'Tinta Islam' pula kecewa kerana wakil PAS itu gagal menimbulkan isu-isu kesusahan orang ramai.

"Namun bagi pihak rakyat, ana (saya) merasa sedikit kecewa kerana Salahuddin tidak dapat membangkitkan hujah-hujah bagi menyuarakan kesusahan dan keperitan hidup rakyat akibat daripada kenaikan harga minyak yang melampau," tulisnya.

'Reformis Muda' bersetuju dengan pandangan ini dan mencadangkan "kita perlu menyampaikan dengan bahasa yang mudah dan senang diterjemah dan dirasai rakyat."

"Gaya bahasa dan rentak beliau bercakap seperti seorang profesor yang didatangkan dari Universiti Tokyo untuk menyampaikan kuliah sains," katanya.

'Reformis Muda' berkata tidak sesuai Salahuddin membincangkan isu carigali Petronas tetapi seharusnya mengupas "tentang kesannya kepada rakyat."

'Topeng Perak' turut membangkitkan persoalan yang sama.

"Saya kira golongan (berpendapatan rendah) ini amat-amat kecewa dengan Salahuddin kerana beliau juga seolah lupa pada golongan ini. Pada saya kesilapan Salahuddin ialah, terlalu cepat dan gopoh dalam memenangi isu ini," katanya.

Beliau mencadangkan ahli parlimen itu berbincang dengan semua golongan sebelum bertindak sebagai "duta besar" di program TV itu.

Seorang penulis yang dikenali 'Matlan75' menganggap ulasan Salahuddin "terlalu berhati-hati" sehingga "mood penonton hilang apabila mendengar hujahnya."

"Penonton mahu hujah yang kuat dan boleh membuatkan Shahrir jadi bisu dan terus masuk PAS. Itu yang rakyat mahu," katanya.

Read More...

Mahathir ugut hakim

Berita Harian

Oleh Anwar Hussin dan R Magendran




Bekas PM ancam pecat jika penghakiman tak berpihak kerajaan

KUALA LUMPUR: Seorang Hakim Mahkamah Tinggi secara terbuka kelmarin mendakwa, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pernah mengugut untuk melucutkan jawatan mana-mana hakim yang membuat keputusan tidak menyebelahi kerajaan, 11 tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Datuk Ian HC Chin, membuat pendedahan itu sebelum mendengar petisyen pilihan raya yang difailkan calon DAP bagi Parlimen Sarikei, Wong Hua Seh, bagi mencabar keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Ding Kuong Hiing.Ketika memulakan prosiding berkenaan, Chin berkata, dalam Persidangan Hakim pada 24 April 1997, Perdana Menteri ketika itu secara jelas mengugut akan menggunakan tribunal khas untuk menyingkirkan hakim yang membuat keputusan tidak menyebelahi kerajaan.

Akhbar The Borneo Post semalam melaporkan, ugutan itu dibuat tiga hari selepas Chin membuat keputusan berhubung petisyen pilihan raya kerusi Bukit Begunan yang memihak kepada calon Bebas, Donald Lawan pada 21 April 1997. Kerusi berkenaan sebelum itu dimenangi calon BN, Mong anak Dagang.

"Perdana Menteri ketika itu menyuarakan rasa tidak gembira dengan keputusan berkenaan dan beliau merujuk kes itu sebagai 'the Borneo Case' serta bertanya sama ada hakim yang membuat keputusan itu, hadir pada persidangan terbabit.

"Apa yang saya dedahkan ini berlaku selepas dua penghakiman saya iaitu keputusan kes petisyen pilihan raya kerusi Bukit Begunan dan saman fitnah pada 5 Februari 1997 (Raveychandran v Lai Su Chon & Ors).

"Dalam penghakiman saman fitnah itu, saya merujuk kepada kes 'MGG Pillai V Tan Sri Dato Vincent Tan Chee Yioun & Other Appeals (1995) 2 MLJ 493' dan menjadikannya alasan untuk menolak pemberian pampasan yang luar biasa tinggi dalam kes saman fitnah terhadap keperibadian seseorang," katanya dipetik oleh The Borneo Post.

Laporan yang turut disiarkan oleh laman Majlis Peguam Malaysia itu juga memetik Chin sebagai berkata, tiada seorang pun yang menghadiri persidangan itu meragui bahawa Dr Mahathir merujuk kepada kes petisyen pilihan raya umum berkenaan walaupun tidak menyatakannya secara khusus.

Selepas membuat ugutan itu, bekas Perdana Menteri turut memberi pendapat bahawa seseorang wajib dikenakan bayaran ganti rugi yang tinggi dalam kes saman fitnah.

Chin berkata, persidangan itu disusuli sesi dialog tetapi pada hakikatnya hanya satu pihak (Dr Mahahtir) bercakap, manakala yang lain mendengar walaupun laporan Bernama yang disiarkan oleh 'The Daily Express' pada 25 Mei 1997 melaporkan sebaliknya.

"Hanya seorang Hakim Mahkamah Rayuan memberi maklum balas dengan bertanya sama ada beliau (Dr Mahathir) akan gembira sekiranya sejumlah RM1 juta ditetapkan sebagai ganti rugi dalam kes saman fitnah.

"Beliau (Dr Mahathir) bersetuju dengan cadangan itu dan menunjukkan rasa puas hatinya dengan memberi kenaikan pangkat kepada hakim berkenaan (kini sudah meninggal dunia) ke Mahkamah Persekutuan apabila wujud kekosongan walaupun ada ramai hakim yang lebih kanan.

"Saya amat kecewa dengan semua ini tetapi beberapa Hakim Mahkamah Persekutuan menemui saya selepas sesi dialog itu dan memberi nasihat jangan mempedulikannya. Malah, yang lebih melegakan saya apabila seorang Hakim Mahkamah Tinggi menyifatkan perbuatan bekas Perdana Menteri itu sebagai keterlaluan.

"Seingat saya, sejurus selepas bekas Perdana Menteri itu mengambil alih pentadbiran negara, beliau giat berkempen membanteras rasuah dan mahu setiap orang takutkan Tuhan tetapi berdasarkan apa yang berlaku pada persidangan itu, ternyata beliau mahu orang takut untuk membuat penghakiman yang tidak disukainya," kata Chin.

Chin berkata, selepas persidangan itu, beliau menyertai satu bengkel antara 26 hingga 30 Mei 1997 bersama beberapa hakim dan pegawai kehakiman yang didakwanya berlaku usaha mempengaruhi mereka supaya berpegang kepada pandangan bahawa kepentingan kerajaan harus diberi keutamaan mutlak apabila membuat penghakiman.

"Saranan yang keji itu dilakukan Presiden Mahkamah Rayuan sendiri dan tiada siapa pun bersuara ketika sesi soal jawab. Pencabulan keadilan tidak berakhir di situ. Suatu pagi, rakan sejawat, Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang menemui saya ketika kami bersama-sama berkhidmat di Kuching.

"Beliau menyuarakan kekecewaan berikutan panggilan telefon daripada Ketua Hakim Negara ketika itu, meminta beliau menolak petisyen pilihan raya yang akan didengar di Kota Kinabalu.

"Kamil meminta pendapat saya. Kami menimbang kemungkinan membuat laporan polis atau menulis kepada Ketua Hakim Negara bagi merekodkan apa yang dicakapkan menerusi telefon tetapi beliau memutuskan tidak melakukan apa-apa kerana tiada bukti melainkan dakwaannya terhadap Ketua Hakim Negara," katanya.

Chin berkata, beliau bagaimanapun gembira kerana Muhammad Kamil tidak tunduk kepada tekanan Ketua Hakim Negara ketika mendengar petisyen pilihan raya itu dan seterusnya membuat penghakiman berdasarkan undang-undang serta bukti yang dikemukakan.

Selepas membuat pendedahan itu, Chin meminta kedua-dua pihak terbabit dalam petisyen pilihan raya Parlimen Sarikei, yang didengarinya itu, membuat keputusan sama ada mahu beliau menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

"Walaupun beliau (Dr Mahathir) kini bukan lagi Perdana Menteri dan tidak boleh mengugut untuk melucutkan jawatan mana-mana hakim dan tidak sepatutnya digeruni hakim, gabungan parti yang pernah diterajuinya masih berkuasa dan responden kedua dalam kes ini menang atas tiket gabungan itu. Jadi mungkin ada yang berpendapat saya masih menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak.

"Oleh itu, saya mahu mendengar daripada pihak berkenaan (peguam atau mereka yang terbabit) sama ada wujud kebimbangan seumpama itu dan mahu memohon supaya saya menarik diri. Kerana pendedahan ini, pihak yang terbabit dalam sebahagian besar penghakiman saya sejak insiden 1997 tentu bimbang kemungkinan saya tunduk kepada tekanan sehingga mempengaruhi penghakiman.

"Tiada kata-kata yang dapat melenyapkan semua kebimbangan itu. Anda perlu membaca penghakiman saya dan memutuskan sama ada ia berasaskan bukti dan undang-undang atau sebaliknya dipengaruhi ugutan," katanya.

Chin kemudian menangguhkan kes yang didengarinya kelmarin selama setengah jam bagi membolehkan pihak berkenaan membuat keputusan tetapi mereka mahu beliau terus mendengar petisyen terbabit. Petisyen itu difailkan Wong pada 24 April lalu bagi mengisytiharkan kemenangan Ding dengan perbezaan tipis 51 undi, sebagai batal dan tidak sah.

Read More...

Pakatan Rakyat boleh turunkan harga minyak

Harakahdaily

Dato' Paduka Husam Musa

Wed | Jun 11, 08 | 4:27:00 pm MYT

Jika Kerajaan BN tumbang, bolehkah harga minyak diturunkan semula?

Saya penuh yakin kita boleh menurunkannya sekali pun harga minyak dunia terus meningkat.

Satu dari strategi mudah dan praktikal ialah meluaskan penggunaan gas, baik LPG atau NGV untuk domestik, termasuk untuk kenderaan.

Bila lebih banyak gas digunakan, kita kurang menggunakan minyak. Lebih banyak pula minyak kita dapat di eksport dan kita mendapat lebih banyak wang. Wang minyak itu kita gunakan untuk mengekalkan harga minyak tempatan dan kita sendiri menggunakan lebih gas dari minyak.

Sebagai 'net exporter' minyak dan gas, Malaysia mendapat keuntungan yang banyak dari kenaikan harga minyak dari hasil penjualan lebihan hasil petroleum Negara.

Jika dicampurkan pengeluaran gas dan minyak negara jumlah keseluruhannya melebihi 1.7 juta tong sehari. Namun penggunaan Negara termasuk gas asli adalah kurang dari 1 juta tong sehari. Oleh itu subsidi yang diberikan masih boleh ditanggung oleh kerajaan.

Kenaikan harga minyak adalah kerana kegagalan pihak kerajaan BN merancang dan melaksana polisi tenaga Negara yang berkesan. Tidak ada satu forum untuk pakar-pakar terlibat sama merancang dasar tenaga negara kerana National Petroleum Advisory Council (NPAC) yang diwujudkan bersama lahirnya Petronas dulu mungkin telah menjadi arwah.

Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan PR ialah menurunkan harga minyak petrol dan disel dan seterusnya memperkembangkan penggunaan NGV dan gas asli untuk industri dalam tempoh tiga tahun bermula dari sekarang. Rakyat yang perlu berjimat boleh menggunakan NGV yang lebih murah dan mudah diperolehi dan rakyat yang berkemampuan boleh terus menggunakan bahan petrol yang lebih mahal.

Mari kita lihat kecacatan dasar tenaga kita sekarang.

NGV (Natural Gas for Vehicle)

Penggunaan bahan petroleum Negara ialah kira-kira 590,000 tong sehari.

Pengunaan bahan petroleum pasti dapat dikurangkan dengan bertambahnya penggunaan gas seperti NGV yang tentunya lebih murah. Kerajaan dengan itu dapat kurangkan kos subsidi minyak tanpa perlu naikkan harga minyak.

Sumber gas asli kita begitu kaya.

Malaysia adalah antara negara yang terbaik di rantau Asia dalam mempunyai rangkaian saluran paip gas asli - PGU. (Peninsula Gas Utilisation) Malang, penggunaan gas asli hanya tertumpu kepada stesen janakuasa dan industri tertentu sahaja. Rangkaian saluran gas PGU yang telah merangkumi semua negeri di semenanjung Malaysia, kecuali Kelantan, tidak digunakan sepenuhnya.

Setakat ini, Petronas hanya memiliki kurang dari 40 stesen NGV dalam negara. Jumlah ini tidak sampai 5% stesen yang dimiliki Petronas. Memandangkan hanya Petronas yang berhak membangunkan stesen NGV maka nyatalah Petronas tidak menumpukan usaha sepenuhnya ke arah meluaskan lagi kegunaan bahan bakar ini. Banyak industri yang perlukan bekalan gas asli dari system PGU untuk operasi mereka, gagal memperolehinya.

Dengan sumber gas asli yang begini banyak, rakyat negara ini sepatutnya sudah dapat merasakan faedah dan nikmat. Ia tidak berlaku kerana kurang perancangan dan visi.

Nyata benar lemahnya kerajaan pimpinan Abdullah. Negara kita tidak kekurangan sumber tetapi kekurangan kesungguhan dan kebijaksanaan.

Petronas yang telah gagal melaksanakan program NGV seharusnya tidak lagi terlibat dalam 'sales and distribution' untuk NGV dan gas asli. (buat masa ini pun penjualan gas asli kepada industi dilaksanakan oleh Gas Malaysia.)

Sebaliknya, Petronas seharusnya bertindak sebagai pembekal pukal dan memastikan bekalan mencukupi untuk keperluan rakyat.

LNG (Liquified Natural Gas)

Apa yang dilakukan oleh Petronas untuk sumber gas asli ini ialah dengan mengeksport LNG (gas asli cecair).

Penjualan LNG adalan sebanyak 22 juta tan setahun. Ini bersamaan dengan hampir 500,000 tong sehari minyak mentah iaitu hampir memenuhi keperluan bahan petroleum negara.

Penjualan LNG memerlukan kos memproses dan penghantaran yang tinggi. Oleh itu keuntungan menjual LNG adalah kurang berbanding minyak mentah. Seharusnya Petronas mengalakkan pengunaan gas dalam Negara yang akan membolehkan Petronas mengekspot minyak mentah yang lebih menguntungkan.

Pada masa ini Petronas membelanjakan lebih US$ 0.5 billion setahun untuk pengangkutan LNG ke destinasi pembeli. Untuk tempoh 20 tahun (jangkamasa perjanjian penjualan) kos ini adalah sebanyak US$10 billion. Wang sebanyak ini bukankah lebih baik di gunakan untu membina saluran paip gas di antara Sabah, Sarawak (tempat sumber) dan Semenanjung bagi membolehkan sumber gas asli ini disalurkan ke seluruh Negara?

Oleh itu kontrak penjualan LNG harus dikaji semula dan tumpuan harus di berikan dalam mengalakkan pengunaan gas asli untuk kenderaan dan industri di seluruh negara.

Pakatan Rakyat tak boleh laksanakan langkah semudah ini? Tentu boleh.

Kita masih ada pilihan antara dasar semborono yang menyusahkan semua pihak dengan dasar yang lebih menguntungkan kita: antara BN dan PR. - cetusan-hati.blogspot.com_

Read More...

Dr. M: Tiada desakan, sedia lepas Penasihat Petronas jika diminta

Mstar Online

11-06-2008 07:51:45 PM
Oleh G. MANIMARAN

KUALA LUMPUR: Bekas Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga sekarang tidak menerima desakan mana-mana pihak supaya berundur daripada menjadi Penasihat Petronas selepas beliau keluar daripada Umno tiga minggu lalu.


Sambil menegaskan tiada masalah untuk melepaskan jawatan tersebut jika ada pihak yang mahu beliau berbuat demikian, Dr. Mahathir mengulangi pendirian bahawa kedudukan Penasihat Petronas bukan jawatan parti.

"Saya akan terus kekal. Ini bukan jawatan parti. Ini jawatan lain.Tapi kalau hendak suruh saya berhenti lah. Tak ada masalah," kata beliau kepada mStar Online dalam satu pertemuan di pejabatnya sebagai Penasihat Petronas di sini petang semalam

"Setakat ini tiada (desakan) daripada mana-mana meminta berbuat demikian (lepaskan jawatan Presiden)," kata beliau ketika mengulas mengenai status kedudukan beliau sebagai Penasihat Petronas dan sama ada pernah menerima desakan atau tekanan supaya turut melepaskan kedudukan itu.

Jelas beliau, Tun Hussein Onn, Perdana Menteri ketika juga pernah menjadi Penasihat Petronas, jawatan yang dikekalkan sehingga beliau meninggal dunia meskipun tidak pernah masuk kembali Umno.

Tun Hussein keluar Umno apabila ia diharamkan pada 1988, malah beliau juga merupakan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa sejak 1984 sehingga beliau meninggal dunia.

"Dia tak masuk (semula) Umno, dia bukan ahli Umno, beliau kekal jadi Penasihat Petronas sampai meninggal dunia," katanya.

Dr. Mahathir dilantik sebagai Penasihat Petronas dan Proton selepas bersara daripada jawatan Perdana Menteri Oktober 2003.

Hari ini, Dr. Mahathir juga mengulas mengenai soalan itu dalam blog beliau.

Katanya: "Saya percaya bahawa ia bukan (jawatan) eksklusif kepada ahli-ahli Umno."

Pada 19 Mei lalu, Dr. Mahathir keluar daripada Umno atas alasan kecewa dengan kepimpinan parti. Turut keluar ialah isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, anak mereka, Datuk Mokhzani Mahathir dan Tan Sri Sanusi Junid.

Dalam reaksinya dua minggu lalu, Dr. Mahathir juga pernah mengatakan bahawa beliau tidak akan berundur tetapi "sedia ditendang keluar."

Sementara itu dalam tulisan blog beliau yang dinaik muat selepas temu bual dengan mStar Online petang semalam, di bawah tajuk Sanusi Junid, Dr. Mahathir melahirkan rasa sedih dengan tindakan menamatkan khidmat Sanusi (bekas Naib Presiden Umno) sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

"Mungkin dia (Sanusi) telah melakukan kesalahan yang besar yang tindakan ini perlu diambil. Tetapi secara kebetulan tindakan terhadap Presiden UIA ini diambil
sejurus selepas dia keluar daripada UMNO.

"Apakah perbuatan beliau ini yang menyebabkan dianya disingkir?" kata beliau dalam blognya hari ini.

Sanusi keluar Umno pada hari Dr. Mahathir mengumumkan keputusan untuk keluar daripada parti itu.

"Saya juga dengar cadangan supaya Dato Mokhzani yang telah keluar Umno dipecat daripada menjadi Pengerusi Sepang International Circuit (SIC)," katanya.

Dr. Mahathir menambah: "Saya harap sebab-sebab Tan Sri Sanusi hendak disingkirkan dijelas kepada rakyat. Jangan salahguna kuasa untuk kepentingan diri."

Tambah beliau, kepimpinan kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) harus ingat bahawa BN bukan lagi menguasai seluruh negara.

"Negeri-negeri dan Wilayah yang terkaya di Malaysia sekarang dikuasai oleh parti lawan.

"Mereka tidak bertindak melantik hanya ahli-ahli parti mereka sahaja dalam badan-badan kerajaan.

"Sebaliknya mereka sanggup melantik tokoh dari parti-parti Barisan Nasional untuk mengisi jawatan badan-badan yang terletak dibawah kerajaan-kerajaan mereka," katanya.

Beliau juga berkata, sikap mereka ini tentu akan menyebabkan lebih ramai ahli dan penyokong BN berpindah kepada parti mereka atau menyokong mereka.

"Sikap suka balas dendam kepimpinan Barisan Nasional akan menghakis lagi sokongan kepadanya," katanya lagi.

Read More...

Harga telur naik mendadak - Semua gred lebih mahal sehingga 23 peratus


TELUR pelbagai gred dengan harga baru di pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR - Selepas orang ramai dibelenggu dengan kenaikan harga ayam dan daging, kini pengguna semakin terhimpit apabila harga telur ayam pula naik mendadak sehingga mencecah 23 peratus semalam.

Kenaikan itu dikatakan antara yang tertinggi sejak pengumuman kenaikan harga minyak minggu lalu.

Tinjauan Kosmo! sekitar ibu negara semalam mendapati, harga bagi 10 biji telur ayam gred A kini telah mencecah RM3.30 berbanding hanya RM2.70 sebelum ini.

Bagi telur gred B (10 biji) pula, peniaga terpaksa menjual pada harga RM3.10 berbanding RM2.60 sebelum ini dan bagi gred C pula, ia naik 50 sen menjadikan harga bagi 10 biji mencecah RM3.

Seorang peniaga telur di Pasar Chow Kit, Amar Sajali, 18, memberitahu, kenaikan itu berlaku sejak semalam dan lebih memeritkan dakwanya, kenaikan itu amat mendadak.

"Macam biasa, alasan mereka (pemborong) adalah kerana kenaikan kos pengangkutan sebab harga minyak dan diesel dah naik seminggu lalu.

"Kalau tengok sambutan daripada pelanggan memang amat kurang hari ni sampai ada yang mengeluh dan kami pula disalahkan. Jadi macam mana kita nak jual?," katanya dalam keadaan serba salah.

Dakwa Amar lagi, harga telur yang dijual ketika ini hanya memberi keuntungan yang minimum dan tidak mungkin beliau dapat menjual dalam kuantiti yang banyak.

"Tak pastilah jualan untuk hari-hari seterusnya nanti, saya jangkakan ia mungkin lebih teruk," katanya.

Read More...

Harga minyak dijangka cecah AS$250 setong

Utusan Online

DEAUVILLE, Perancis 10 Jun – Pembekal gas asli terbesar Eropah, Gazprom menjangkakan harga minyak mentah akan naik dua kali ganda sehingga AS$250 (RM815) setong dalam tempoh setahun lagi.

Kenaikan itu diramalkan turut mengakibatkan peningkatan harga gas asli di pasaran.

“Kami menjangkakan harga minyak mentah akan naik sehingga AS$250 (RM815) setong dalam masa beberapa tahun ini,” kata Ketua Eksekutif syarikat milik Rusia itu, Alexei Miller kepada wartawan selepas menghadiri persidangan Kongres Perniagaan Eropah di sini hari ini.

Para pegawai kanan syarikat berkenaan menjangkakan harga minyak akan naik kepada AS$250 setong pada 2009.

Harga gas di Eropah adalah berdasarkan kontrak jangka panjang serta terikat dengan harga minyak mentah.

Kenyataan pegawai Gazprom itu dikeluarkan setelah harga minyak turun kepada AS$133.94 (RM436.6) setong hari ini, berbanding AS$139 (RM444.8) minggu lepas.

Menurut Timbalan Ketua Eksekutif syarikat itu, Alexander Medvedev, kenaikan harga gas akan turut menyebabkan harga minyak mentah melonjak di Eropah.

Gazprom kini merupakan pengeluar gas asli terbesar dunia dengan stok mencecah AS$330 bilion (RM1.07 trilion) dan ia dijangkakan memperluaskan penguasaan pasarannya dengan menjadi sebuah syarikat bernilai AS$1 trilion (RM3.26 trilion) dalam tempoh 10 tahun.

– Reuters

Read More...

S'gor dapat air percuma, akhirnya

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Jun 11, 08 5:31pm

Lebih sejuta penduduk Selangor akan mendapat bekalan air percuma, seperti dijanjikan, mulai 1 Jun selepas kerajaan negeri menyelesaikan rundingan dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pagi ini.

selangor mb khalid ibrahim free water pc 110608 02Manifesto Pakatan Rakyat untuk memberikan 20 meter padu air secara percuma - atau potongan RM11.40 - akan diteruskan kepada pengguna domestik bermeter individu, demikian diumumkan oleh menteri besar.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau telah berjaya mencapai persetujuan tersebut dengan ketua pegawai eksekuif Syabas, Datuk Ruslan Hassan dan presiden syarikat kerajaan negeri Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Datuk Abd Karim Munisar (foto bawah, kanan).

Dalam rundingan di pejabatnya, menteri besar Selangor berkata penyelesaian yang telah dicapai:

bullet buttonPemberian air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan kepada pengguna domestik yang bermeter individu di Selangor akan bermula 1 Jun akan tetap dilaksanakan.

bullet buttonPengguna domestik yang bermeter individu di Selangor akan mendapat bil baru dengan rebet air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan bermula 16 Jun.

bullet buttonPengguna domestik yang bermeter individu di Selangor yang telah menerima bil sebelum 16 Jun akan menerima rebet bayaran untuk penggunaan 15 hari pertama bulan Jun di dalam bil bulan berikutnya.

"Kos pembiayaan rebet tersebut dibuat oleh KDEB bagi pihak kerajaan negeri Selangor. Sebelum ini masalah bil menjadi isu tetapi telah berjaya diselesaikan dalam perbincangan hari ini.

"Ia berlaku kerana tiap-tiap hari bil air baru dikeluarkan kepada pengguna dan Syabas sukar melaksanakan rebet," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini.

Abdul Khalid berkata, Syabas merupakan anak syarikat Puncak Niaga tetapi saham syarikat bekalan air turut dimiliki oleh KDEB, sebuah syarikat milik kerajaan negeri.

selangor mb khalid ibrahim free water pc 110608 03Syabas kelmarin menolak permintaan kerajaan negeri untuk berbuat demikian, termasuk selepas berunding dengan KDEB, sebuah syarikat milik kerajaan Selangor yang terlibat dengan syarikat pengurusan air tersebut.

Ruslan (foto, kiri) berkata Syabas tidak bersetuju dengan kandungan surat akujanji bersyarat KDEB yang ditandatangani pada 6 Jun lalu dan dihantar kepada syarikat itu pagi Isnin.

Ruslan berkata cadangan KDEB secara langsung menjejaskan aliran tunai Syabas dan boleh menjejaskan operasi syarikat itu.

Dalam sidang media tersebut, mengulas siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap seorang pegawai kanan di pejabatnya, Abdul Khalid menegaskan tiada sebarang unsur rasuah di kalangan pegawainya.

Menteri besar menambah, jika ada, beliau memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan jenayah itu.

"Dakwaan rasuah tidak berasas sama sekali. Bagaimanapun, kita menjemput BPR supaya menempatkan seorang pegawainya di pejabat menteri besar untuk tempoh sebulan atau lebih supaya dapat mengurangkan atau menghapuskan segala peluang untuk mereka yang ingin rasuah dan salah guna kuasa.

"Dan BPR telah setuju untuk menempatkan pegawainya di sini (pejabatnya)" katanya.

Abdul Khalid mengulangi seruannya agar individu yang membuat laporan BPR berhubung kes itu tampil ke depan.

Mengulas mengenai pelantikan ahli majlis kerajaan tempatan, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri membentuk pasukan petugas bagi menilai seorang demi seorang ahli majlis yang bakal dilantik itu.

"Isu ini sensitif, kita berharap senarainya boleh dikeluarkan pada 20 Jun ini," katanya.

Read More...

PM jangan cabar rakyat - Haron Din

Harakahdaily

Intan Abdullah

Wed | Jun 11, 08 | 8:46:47 am MYT

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - Tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) menaikkan harga minyak di pasaran pada ketika ini memperlihatkan seolah-olah mereka ingin mencabar kesabaran rakyat untuk berbuat sesuatu.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din berkata sekarang ini kerajaan tidak prihatin dan tidak mempedulikan suara hati rakyat.

"Yang paling penting, kerajaan tidak perlu menunggu sehingga rakyat menunjukkan bantahan barulah mereka hendak faham bahawa ianya tidak patut dibuat," tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya mencari jalan yang lain untuk menghadapi situasi ini dengan mengelakkan kenaikan harga minyak yang turut mengundang kesan berantai yakni kenaikan harga-harga barangan keperluan lain.

"Kerajaan seperti membuat provokasi supaya rakyat bertindak dan bangkit, maka tidak hairanlah ada pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran.

"Walau bagaimanapun, saya meletakkan sepenuh keyakinan kepada kerajaan agar mereka lebih bersimpati kepada penderitaan rakyat," katanya lagi.

Pada masa yang sama, Haron Din yang juga merupakan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu menyeru kerajaan agar menginsafi penderitaan yang terpaksa ditanggung rakyat.

"Jangan sesekali mengambil jalan mudah semata-mata untuk mengurangkan subsidi dengan menghukum rakyat dengan begitu berat kerana pada masa yang sama kerajaan turut mengaut keuntungan besar.

"Kita juga tertanya-tanya, ke manakah perginya keuntungan tersebut?" ujarnya.

Jelasnya, tugas utama kerajaan adalah menjaga kestabilan negara dan keselesaan rakyat yang membawa maksud kerajaan seboleh-bolehnya memberi suatu kehidupan yang selesa kepada rakyat tanpa membebankan mereka dengan masalah.

"Sekarang yang berlaku, kerajaan membebankan rakyat dengan bebanan yang ternyata amat berat di mana rakyat yang telah memilih kerajaan yang memerintah telah mendapat pulangan dalam bentuk terpaksa berbelanja yang di luar kemampuan mereka.

"Ertinya, keselesaan rakyat sudah menjadi bebanan, dan rakyat semakin hari semakin berat," ujarnya lagi.

Tegasnya, jika ini terus berlaku kesalahan ini tidak hanya boleh diletakkan kepada kerajaan sebaliknya rakyat yang telah mengundi mereka dalam pilihan raya lalu turut dipertanggungjawabkan.

"Pakatan Rakyat telah menyebutkan dalam pilihan raya umum lalu, bahawa sekiranya diberi peluang memerintah, harga minyak akan diturunkan dan sebaliknya bagi BN yang mahu menaikkan lagi harga minyak," katanya.

Oleh itu ujarnya, silapnya rakyat yang telah membuat pilihan untuk meneruskan perkhidmatan mereka yang akan menyusahkan kehidupan rakyat dan masa depan negara.

"Walau bagaimanapun, kerajaan BN tidak patut membalas rakyat yang tidak memberikan kemenangan yang besar dengan sedemikian gaya," ujarnya.

Hal ini disebabkan katanya, di negara-negara pengeluar minyak seperti Abu Dhabi, Arab Saudi dan Brunei harga minyak boleh didapati dengan murah dan rendah.

"Negara-negara pengeluar minyak ini biasanya membalas budi baik rakyat dengan mengekang harga minyak pada paras yang munasabah tetapi ianya berbeza di Malaysia, apabila kerajaan kita lebih mementingkan keuntungan dirinya dan negara, sehingga sanggup memaksa rakyat menanggung bebanan kos bahan bakar yang tinggi.

"Bebanan itu sebagai harga mereka memberi kepercayaan kepada Umno-BN," demikian ujarnya. - mks. _

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |