+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++
Showing posts with label antarabangsa. Show all posts
Showing posts with label antarabangsa. Show all posts

Sunday, November 2, 2008

M'sia tetap iktiraf Kosovo

Malaysiakini

Nov 2, 08 6:03pm

Malaysia tetap dengan pendiriannya yang mengiktiraf Kosovo sebagai negara berdaulat walaupun tidak dipersetujui oleh Serbia, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Malaysia, katanya, akan bersahabat dengan mana-mana negara yang merdeka dan mempunyai perlembagaan sendiri.

"Walaupun Serbia tidak setuju, pendirian kita tidak berubah. Ini selaras dengan pendirian 51 buah negara lain di dunia termasuk Amerika dan sebahagian negara-negara Eropah," katanya selepas merasmikan penubuhan Majlis Alumni Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia di sini hari ini.

Bernama melaporkan Rais mengulas tindakan Serbia mengusir Duta Malaysia ke negara itu Datuk Saw Ching Hong ekoran keputusan Malaysia mengiktiraf Republik Kosovo sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Beliau berkata tindakan Serbia itu tidak membawa kesan buruk kepada negara kerana urusan yang mempunyai kepentingan Malaysia dan Serbia sama ada daripada segi komunikasi atau perdagangan terlalu sedikit.

"Bilangan pelajar dan usahawan di sana juga sangat sedikit termasuk empat orang kakitangan pejabat kedutaan Malaysia, dan mereka akan diberi perlindungan diplomasi," katanya.

Rais berkata status Saw di Serbia sekarang adalah "persona non grata" dan beliau akan pulang ke tanah air sehingga wujudnya faktor-faktor yang boleh menghidupkan semula hubungan diplomatik dengan republik itu.

Mengenai lebih 30,000 rakyat Malaysia yang tinggal melebihi tempoh di United Kingdom yang diarahkan pulang, Rais berkata negara itu sedang menggubal semula undang-undang imigresennya dan akan menguatkuasakannya awal tahun depan.

Beliau berkata Britain akan mengenakan syarat-syarat baru terhadap pelajar, guru, dan pekerja mahir yang mungkin akan menyukarkan peluang pendidikan dan pekerjaan rakyat Malaysia di sana.

"Saya akan memaklumkan huraian lanjut mengenai hal ini kepada Kabinet minggu ini, dan langkah-langkah untuk menyebarkan maklumat kepada orang ramai akan dilakukan bersama Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Mengenai pembebasan penganalisis politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, Rais berkata kerajaan Mongolia masih belum menghubungi kementerian itu.

"Jika mereka menghubungi kita, kita akan bantu dalam memberi maklumat, tetapi tidak akan membantah keputusan mahkamah," katanya.

Read More...

Saturday, November 1, 2008

Iktiraf Kosovo, Serbia usir duta Malaysia

Mstar Online

KUALA LUMPUR:Serbia mengusir duta Malaysia ke negara itu, Saw Ching Hong ekoran keputusan Kuala Lumpur mengiktiraf Republik Kosovo sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Justeru, Saw mempunyai 48 jam untuk keluar dari negara tersebut.

Awal bulan lalu Serbia turut mengusir duta negara Montenegro dan Macedonia atas alasan yang sama.

Terdahulu laporan Bernama awal pagi ini menyebut Malaysia telah mengambil keputusan untuk mengiktiraf Kosovo sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, berikutan itu, Malaysia akan mewujudkan hubungan diplomatik dengan negara berkenaan pada masa sesuai.

"Pengiktirafan Malaysia ke atas kemerdekaan Kosovo akan membantu memenuhi aspirasi rakyat Kosovo menikmati sebuah negara yang merdeka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kosovo mengisytiharkan kemerdekaannya dari Serbia pada 17 Februari lalu, langkah yang dibantah keras dan diisytihar tidak sah oleh Serbia.

Rusia, sekutu bersejarah Serbia, turut membantah kemerdekaan Kosovo.

Sehingga kini, 38 negara termasuk Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan banyak negara Eropah lain mengiktiraf Kosovo yang mempunyai 2.1 juta penduduk.

Tindakan Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan secara bersendirian itu melengkapkan perpecahan bekas Yugoslavia.

Kelmarin, Republik Albania berharap Malaysia akan mengiktiraf kedaulatan Kosovo demi menjamin keamanan dan kestabilan wilayah Balkan.

Timbalan Menteri Luar Albania, Edith Harxhi berkata, wilayah itu telah melalui pelbagai konflik dan selisih faham, dan kini masanya membiarkan peristiwa itu berlalu dan lembaran baru dibuka.

"Saya diberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia sedang mempertimbang mengiktiraf Kosovo. Dengan berbuat demikian, ia akan mewujudkan kestabilan di seluruh wilayah Balkan," kata beliau yang sedang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia bagi membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Albania.

Harxhi berkata, sejak 17 Februari lalu, sejumlah 51 negara telah mengiktiraf Kosovo.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |