+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, September 22, 2008

Bahaya jika semua parti kaum Cina sokong pembangkang

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai hari ini mengingatkan masyarakat Cina tentang bahaya jika semua parti berasaskan kaum Cina berpihak kepada pembangkang dan hanya parti berasaskan orang Melayu menjadi parti memerintah.

Senario itu, jelas beliau, sudah pasti akan mewujudkan ketegangan dan mencetuskan suasana tidak baik kepada perniagaan dan ekonomi.

Menurut beliau, dalam sebuah negara yang masyarakatnya berbilang kaum seperti Malaysia, pentadbiran kerajaan perlu melibatkan pelbagai kaum bagi mengekalkan keamanan.

Sehubungan itu, MCA, tegas beliau, tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) walaupun terdapat cadangan daripada beberapa pemimpin masyarakat Cina supaya parti terbesar kaum Cina itu berbuat demikian.

“Sebagai parti komponen kedua terbesar dalam BN, kita tidak harus fikir untuk meninggalkan BN semata-mata kerana tidak berpuas hati terhadap sesetengah individu yang ada dalam BN.

“Kita perlu melihat senario politik semasa secara meluas dan memikirkan kesannya terhadap parti jika berbuat demikian,’’ kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen MCA Selangor di sini.

Siang Chai menjawab pertanyaan sama ada MCA akan bertindak keluar daripada komponen BN memandangkan ada syor supaya sebuah lagi parti Cina dalam komponen itu, Gerakan, berbuat demikian.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, MCA memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Gerakan pula yang bertanding di 12 kerusi Parlimen cuma menang dua kerusi.

Timbalan Menteri Pelancongan itu memberitahu, beliau tidak menggalakkan ahli-ahli senior dalam MCA bercakap terlalu banyak berkenaan perkara itu kerana merasakan sebarang keputusan untuk keluar BN harus dibuat selepas kepimpinan baru dipilih pada pemilihan MCA Oktober ini.

“Sekiranya ingin membuat sesuatu keputusan, kita perlu tunggu sehingga kepimpinan parti diambil alih oleh pemimpin baru pada 18 Oktober ini dan biarlah mereka yang menentukannya,’’ kata beliau.

MCA akan mengadakan pemilihan pada pertengahan bulan depan bagi memilih seorang presiden, seorang timbalan presiden, empat naib presiden dan 25 anggota jawatankuasa pusat parti itu.

Ditanya mengenai jawatan yang akan ditandinginya, Siang Chai berkata, beliau akan mengumumkannya hujung bulan ini setelah MCA di semua negeri selesai mengadakan konvensyen masing-masing.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |