+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++
Showing posts with label TNB. Show all posts
Showing posts with label TNB. Show all posts

Tuesday, May 26, 2009

Guna loji tenaga nuklear 2025.


Kosmo Online

TERENGGANU - Tenaga Nasional Bhd., (TNB) menetapkan sasaran memulakan operasi loji tenaga nuklear pertamanya menjelang 2025, jika kerajaan memutuskan untuk menjadikan nuklear senagai opsyen tenaga yang boleh diterima.

Ketua Unit Tenaga Nuklear TNB, Dr. Mohd. Zamzam Jaafar berkata, TNB tidak dapat mengetepikan tenaga nuklear ketika berlaku ketidaktentuan bekalan tenaga untuk masa depan dan harga bahan api fosil yang turun naik, selain sumber-sumber gas.

"Bagi memastikan bekalan elektrik boleh dipercayai dan harga yang munasabah, opsyen nuklear bebanan asas yang sudah terbukti, tidak boleh dinafikan," katanya pada talimat media mengenai pelan masa depan tenaga TNB, di Pulau Perhentian Besar, sebuah resort kepulauan di sini.

Dr. Mohd. Zamzam berkata, menjelang tahun 2019, sumber bekalan tenaga alternatif akan menjadi kritikal memandangkan sumber-sumber gas akan susut pada masa itu.

Harga arang batu katanya juga sentiasa turun naik.

Penggunaan tenaga TNB meliputi gandingan gas (kira-kira 50 peratus), arang batu (35 peratus), hidro (14 peratus dan minyak (lebih daripada satu peratus).

Menerusi pembukaan loji nuklear pertama di Malaysia, katanya, TNB akan menyertai senarai negara-negara yang sudah membuka loji tenaga nuklear seperti Kanada, Perancis, Jerman, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Jepun dan China.

Read More...

Wednesday, June 25, 2008

GAJI DAN IMBUHAN TAHUNAN CHE KHALIB, CEO TNB

marhaen.org

Read More...

Wednesday, June 18, 2008

Tiada rancangan piket, kata kesatuan TNB

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Jun 18, 08 8:36pm

Ketiga-tiga persatuan sekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan bahawa mereka tidak mempunyai rancangan untuk mengadakan piket sementara menunggu jawapan balas pihak pengurusan berhubung penolakan mereka terhadap tawaran pelarasan kenaikan gaji kakitangan.

Ketiga-tiganya ialah Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB, Kesatuan Pegawai Rendah TNB dan Persatuan Eksekutif TNB yang mempunyai keahlian 25,000 orang.

Presiden Kesatuan Pegawai Rendah TNB, Md Zamri Md Yasin berkata mereka menolak tawaran pelarasan kenaikan gaji sebanyak tiga peratus dari pihak pengurusan TNB.

Md Zamri memberitahu Malaysiakini, beliau pihaknya juga sedang menunggu keputusan pengurusan TNB terhadap beberapa tuntutan kesatuan sekerja termasuk tawaran pelarasan tersebut.

"Kita mengambil keputusan tidak perlu mengadakan piket kerana masih menunggu keputusan dari pengurusan TNB," katanya sambil menambah keputusan itu dibuat dalam mesyuarat antara semua kesatuan tersebut petang tadi.

Bagaimanapun, Md Zamri enggan menjelaskan apakah tuntutan yang dikemukakan kepada TNB itu.

Pintu rundingan antara kesatuan dengan TNB, tambah beliau, belum tertutup.

Tidak puashati

Md Zamri menegaskan demikian sebagai menjelaskan laporan dalam Malaysiakini hari ini yang menyebut pihak kesatuan merancang untuk mengadakan piket kerana tidak puashati dengan tawaran pelarasan kenaikan gaji sebanyak tiga peratus kepada kakitangannya.

Katanya, apa juga keputusan yang akan diambil akan bergantung kepada jawapan balas dari pihak pengurusan TNB berhubung tuntutan tersebut.

Laporan Malaysiakini itu memetik seorang pemimpin kesatuan itu yang enggan namanya disiarkan sebagai berkata, pihak kesatuan sangat kecewa dengan tindakan syarikat tersebut yang hanya menawarkan pelarasan kenaikan gaji sebanyak tiga peratus kepada kakitangannya.

Latanya, TNB juga tidak membayar elaun sara hidup (COLA) dan elaun perumahan kepada kakitangannya.

"Kami telah berunding empat kali sejak April lalu tetapi belum menemui jalan penyelesaian kerana TNB tetap berkeras hanya mahu menerima pelarasan kenaikan gaji tiga peratus sahaja.

"Jika isu ini tidak selesai dalam masa terdekat, kami akan mengadakan piket membabitkan 20,000 ahli kesatuan.

"Kami telah menyerahkan memorandum kepada pengurusan TNB supaya menaikkan kepada kadar yang lebih tinggi tetapi tidak diendahkan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan menswastakan TNB pada 1990 dan kini ia berada di bawah Khazanah Nasional Bhd, sebuah unit pelaburan kementerian kewangan

Gaji CEO

"Pihak pengurusan TNB menolak permintaan kesatuan untuk mendapatkan pelarasan kenaikan gaji yang lebih tinggi atas alasan kos meningkat ekoran kenaikan harga minyak," katanya.

Bagaimanapun, katanya alasan tersebut tidak diterima kerana syarikat korporat tersebut mencatat keuntungan RM4 bilion tahun lalu iaitu yang paling tinggi dalam sejarah penubuhannya.

Beliau berkata, menurut laporan tahun TNB, gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Datuk Che Khalid Mohamad Noh sekarang ialah RM1,107,280.00 setahun.

Katanya, laporan itu juga menyebut bahawa Che Khalid mempunyai saham dalam syarikat tersebut sebanyak 735,000 unit.

Beliau berkata, pihaknya akan berunding untuk menentukan tindakan lanjut jika pengurusan TNB terus enggan melayan permintaan pekerja mereka.

"Ramai pekerja TNB berkata mereka lebih rela diserapkan sebagai kakitangan kerajaan daripada berada di bawah TNB.

'Azman tidak faham keadaan'


"Mereka telah meminta kesatuan supaya mencari jalan supaya kakitangan TNB diserapkan sebagai kakitangan kerajaan yang lebih terjamin.

"Kini pendapatan pekerja TNB lebih rendah daripada kakitangan kerajaan ekoran kenaikan gaji sehingga 41 peratus tahun lalu," katanya lagi.

Beliau juga ditanya mengenai kenyataaan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar bahawa gaji Che Khalid akan dinaikkan 100 peratus sebagai menghargai sumbangannya kepada kemajuan TNB yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pemimpin kesatuan itu berkata, kenyataan Azman itu jelas menunjukkan bahawa beliau tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku dan keadaan kakitangan bawahan TNB.

"Adakah pihak pengurusan TNB memberitahu Azman perkara yang sebenarnya mengenai keadaan kakitangan gaji kakitangannya," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Azman supaya mendapatkan maklumat sebenar dari pihak kesatuan.

Read More...

Kenaikan 100% gaji CEO TNB melampau, tidak berhati perut, kata Mahfuz

Harakahdaily

Salmiyah Harun

Wed | Jun 18, 08 | 5:27:30 pm MYT


KUALA LUMPUR, 18 Jun (Hrkh) - Kenaikan gaji 100 peratus bagi CEO Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah satu tindakan yang tidak berhati perut pada masa rakyat sedang bergelumbang dengan kenaikan bahan api yang melampau, kata Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar.

Beliau ketika dihubungi berkata, rakyat yang juga pengguna TNB telah menyumbang keuntungan berganda kepada syarikat GLC itu tidak mendapat apa-apa daripada keuntungan sebaliknya terus dibebani dengan pelbagai kenaikan.

"Rakyat terus terhimpit dengan kenaikan petrol baru-baru ini dan pada Julai nanti pula rakyat akan berdepan dengan kenaikan tarif elektrik, sedangkan CEO mereka mendapat kenaikan gaji sekali ganda di atas beban yang dipikul rakyat.

"Kenaikan gaji CEO itu menyebabkan wujud jurang pendapatan yang terlalu besar antara pegawai GLC dengan pengguna," katanya.

Sehubungan itu katanya, Perdana Menteri selaku Pengerusi Khazanah Nasional Berhad tidak menggunakan kuasanya sebaliknya hanya menyerahkan keputusan kepada Pengarah Urusannya iaitu Tan Sri Azman Mokhtar.

"Abdullah sepatutnya bertanggung jawab dalam hal ini tidak boleh serah bulat-bulat kepada Azman untuk tentukan kenaikan atau pertambahan gaji di kalangan CEO GLC termasuklah CEO TNB," katanya.

Apa yang dikesali kata Mahfuz, pengguna TNB yang membayar tarif elektrik walaupun RM10 setiap bulan, sekurang-kurangnya mereka juga penyumbang kepada keuntungan kepada TNB.

Beliau berkata, sepatutnya keuntungan TNB dikongsi bersama dengan pengguna kerana penggunalah TNB mampu berdiri sebagai syarikat gergasi yang mendapat keuntungan berterusan.

Justeru katanya, pengguna sepatutnya dijadikan salah satu pemegang syer TNB dan sudah sampai masanya syarikat itu membuat kaedah untuk memberi pulangan kepada pengguna.

"Jangan hanya pandai memotong bekalan elektrik sahaja apabila pengguna lewat membayar elektrik," katanya.

Semalam, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, Buku Biru (Blue Book) Khazanah, yang memperincikan imbuhan eksekutif, cuba untuk melaksanakan keadaan yang "kami tidak membayar terlalu rendah, kami tidak pula sepatutnya membayar terlalu tinggi, tetapi kami perlu membayar secukupnya dan kami perlu membayar secara adil."

"Ini adalah perkara penting. Ia berasaskan prestasi, dorongan insentif dan pembiayaan sendiri," kata Azman selepas menghadiri majlis perasmian bengkel kerja Program Makmal Keusahawanan MIT Sloan Global yang dikelolakan oleh Khazanah.

Menurut sumber dianggarkan CEO TNB mendapat gaji puluhan ribu setiap bulan setaraf dengan syarikat gergasi yang lain dan jika diberi kenaikan 100 peratus gajinya akan mencecah ratusan ribu sebulan. - mns_

Read More...

Friday, June 6, 2008

Tarif naik lagi jika harga gas meningkat

Utusan Online


Leo Moggie (kanan) dan Che Khalib Mohamad Noh pada sidang akhbar di ibu pejabat TNB di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 5 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan baru tarif elektrik jika Petronas menyelaraskan lagi harga gas subsidi yang dijual kepada TNB.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, jika penyelarasan pihak Petronas itu adalah berbentuk peningkatan, maka TNB tiada pilihan melainkan menaikkan lagi harga tarif elektrik.

Beliau berkata, sekiranya penyelarasan harga gas subsidi melibatkan penurunan, TNB bersedia untuk menurunkan tarifnya.

"Sekiranya ada penyelarasan, atas dasar yang sama, mungkin ada perubahan (harga tarif elektrik), perubahan itu mungkin meningkat atau mungkin menurun," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini mengumumkan kenaikan tarif baru elektrik bermula 1 Julai ini.

Harga gas yang disubsidi Petronas kini dijual pada RM6.40 bagi setiap mmBtu (juta unit Termal British) dan akan ditingkatkan kepada harga baru iaitu RM14.31 mmBtu bermula 1 Julai ini.

Bermula tarikh yang sama, struktur tarif baru elektrik menyaksikan pengguna domestik menikmati kadar tarif sedia ada sekiranya penggunaan bulanan mereka berada di bawah 200 kilowatt jam (kWj).

Namun bagi penggunaan berikutnya iaitu antara 201 kWj hingga 400 kWj pula, pengguna perlu membayar kadar 34.5 sen seunit kWj.

Perubahan harga akan berlaku bagi setiap 100 kWj berikutnya iaitu 30 sen (401-500 kWj), 39 sen (501-600 kWj), 40 sen (601-700 kWj), 41 sen (701-800 kWj) dan 43 sen (801-900 kWj).

Pengguna domestik akan membayar maksimum 46 sen bagi setiap kWj untuk penggunaan melebihi 901 kWj.

Che Kalib seterusnya menambah, sebarang peningkatan atau penurunan harga gas adalah hak Petronas dan TNB tidak menetapkan jangka masa khusus untuk melakukan sebarang perubahan tarif.

Beliau berkata, penyelarasan tarif elektrik yang dilakukan pihaknya bukan bertujuan untuk mengaut keuntungan tetapi untuk menampung peningkatan harga minyak dan arang batu dunia.

Katanya, peningkatan pendapatan TNB dianggarkan sebanyak RM4.8 bilion melalui tarif baru itu tetapi kesemuanya akan digunakan untuk menampung peningkatan kos bahan bakar.

Jelasnya, RM4.2 bilion akan digunakan untuk menampung kenaikan harga minyak manakala bakinya untuk menampung sebahagian kos membeli arang batu.

Dalam pada itu, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie memberitahu, peningkatan tarif elektrik yang diumumkan semalam hanya melibatkan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

"Sabah dan Sarawak memiliki syarikat utiliti mereka sendiri, jadi mereka tidak terlibat dengan apa yang kita umumkan," katanya.

Read More...

Tuesday, June 3, 2008

Runding balik caj elektrik IPP

Utusan Online

KUALA LUMPUR 2 Jun - Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi akan berunding semula dengan syarikat penjana tenaga bebas (IPP) untuk mengurangkan kadar caj kapasiti elektrik yang dikenakan ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB), tidak lama lagi.

Timbalan Menterinya, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, rundingan tersebut yang terpaksa dihentikan disebabkan kegagalan mencapai keputusan muktamad awal tahun lalu, akan diteruskan untuk memastikan tarif elektrik di negara ini berada pada paras bersesuaian.

Beliau berkata, kerajaan juga terpaksa berunding dengan kesemua pemilik IPP terbabit disebabkan harga semua jenis bahan api termasuk arang batu sudah meningkat begitu tinggi.

''Kita terpaksa berunding semula dengan mereka berhubung perjanjian pembelian tenaga (PPA). Hasil rundingan itu akan menentukan sama ada terdapat sebarang kenaikan harga bekalan elektrik atau tidak," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.

Pada 2006, kementerian memulakan rundingan dengan IPP bagi membincangkan langkah terbaik untuk mengurangkan rizab tenaga negara, sebagai satu kaedah menurunkan caj elektrik yang dikenakan mereka terhadap TNB.

Bagaimanapun, rundingan itu terpaksa dihentikan atas arahan Kabinet kerana ia gagal dimuktamadkan walaupun sudah setahun rundingan berlangsung.

Sebelum ini, TNB terpaksa membayar kira-kira RM3 bilion setahun kepada sembilan IPP yang membekal tenaga mengikut PPA yang dimeterai sebelum ini.

Kesemua IPP itu membekalkan 40 peratus daripada jumlah bekalan tenaga negara dan mengikut PPA yang dimeterai, TNB terpaksa membayar untuk semua tenaga elektrik yang dibelinya daripada IPP, walaupun ia tidak dijual kepada pengguna.

Dalam perkembangan lain, Joseph berkata, kerajaan sedang mengatur tindakan jangka pendek dan panjang bagi menangani kekurangan bekalan tenaga elektrik di negeri Sabah.

Mengenai cadangan pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu bernilai RM1.3 bilion di Silam, Lahad Datu yang dibatalkan oleh kerajaan negeri Sabah, beliau berkata, TNB sedang mencari lokasi yang lebih sesuai.

Read More...

Tuesday, May 13, 2008

Tarif kekal, TNB rugi besar

Utusan Online

KUALA LUMPUR 12 Mei - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) akan mengalami aliran tunai negatif pada tahun depan jika kerajaan tidak membenarkan syarikat utiliti itu memindahkan kos kenaikan bahan api kepada pengguna.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh (gambar) berkata, buat masa ini, TNB memiliki rizab tunai mencukupi yang dikumpul sejak lebih dua tahun lalu tetapi ia hanya cukup sehingga akhir tahun ini.

"Selepas tempoh itu, kami perlu membuat pinjaman kerana kedudukan kewangan syarikat adalah amat lemah,'' katanya kepada Dow Jones Newswires di sini hari ini.

Kali terakhir TNB dibenarkan oleh kerajaan untuk menaikkan tarif elektrik adalah pada bulan Jun 2006 yang menyaksikan kenaikan sebanyak 12 peratus.

Che Khalib berkata, sekiranya TNB gagal memindahkan kos bahan api itu kepada pengguna pada tahun depan, syarikat itu tidak lagi berupaya untuk menjana tunai yang cukup untuk menampung tanggungan kos.

Beliau menjelaskan, harga arang batu yang digunakan TNB untuk menghasilkan elektrik telah meningkat sebanyak 200 peratus sejak tahun 2006 manakala harga gas yang menjadi bahan api utama lain di Malaysia telah dibekukan sejak sedekad lalu.

Kata beliau, TNB kini memiliki simpanan tunai kira-kira RM3.4 bilion dan perlu membelanjakan RM4 bilion hingga RM5 bilion bagi perbelanjaan modal tahunan untuk menambah baik dan mengekalkan loji-loji jana kuasanya.

TNB memiliki sembilan buah loji janakuasa dengan kapasiti 11,464 megawatt. Ia juga mengendalikan pengagihan tenaga dan infrastruktur transmisi di negara ini.

Che Khalib berkata, jumlah pinjaman TNB kini berjumlah RM22 bilion berbanding RM32 bilion pada tahun 2004.

Menurutnya, syarikat itu telah memohon untuk mengalihkan beban kos kenaikan bahan api dan bukannya kenaikan tarif rasmi, tetapi kerajaan masih belum memberi sebarang jawapan balas.

"Kami tidak meminta untuk diberi penghargaan kerana kecekapan... kami meminta untuk melepaskan kenaikan kos untuk memastikan kewangan TNB stabil kepada kos minyak meningkat terlalu tinggi.

"Tiada organisasi mampu menyerap kenaikan sebanyak itu dalam kos pengeluaran tanpa memberi kesan kepada pendapatannya,'' kata Che Khalib.

Beliau berkata, harga arang batu mewakili 31 peratus daripada kos penjanaan TNB pada tahun ini tetapi ia diunjurkan meningkat kepada 40 peratus tahun depan.

Che Khalib berkata, TNB membekalkan arang batu kepada empat buah loji penjanaan menggunakan arang baru iaitu di Loji Kapar dengan keupayaan 1,600 megawatt, Loji Janamanjung dengan kapasiti 2,100 megawatt yang dimiliki oleh TNB dan pengeluar tenaga bebas dengan Loji Tanjung Bin berkeupayaan 2,100 megawatt.

Sebuah lagi loji terbaru, Loji Jimah yang memiliki kapasiti 1,400 megawatt sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun depan.

Che Khalib berkata, setakat ini pihaknya tidak mempunyai rancangan untuk meningkatkan kapasiti dalam loji pembakaran arang batu.

- Dow Jones

Permintaan kuasa pada waktu puncak bagi Malaysia diunjurkan mencecah 14,200 megawatt tahun depan dan bertambah kepada 17,600 megawatt pada tahun 2013, kata beliau.

Mengulas tentang pendapatan TNB, beliau berkata, syarikat itu masih mencatatkan keuntungan dalam tahun fiskal semasa yang berakhir pada 31 Ogos.

Katanya. TNB telah mendapatkan keperluan bekalan arang batu bagi tahun kewangan 2008 pada harga purata AS$75 (RM240.75) setiap tan, lebih tinggi berbanding AS$45 (RM144.45) setan pada 2007.

"Memandangkan kenaikan harga arang batu dan peningkatan kos penjanaan, TNB menjangkakan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos lebih rendah berbanding sebelum ini dan untuk 2009 pula ia lebih 'mencabar','' ujar beliau.

Ini kerana, katanya, kenaikan AS$1 bagi setiap tan arang batu akan menjejaskan keuntungan sebanyak RM50 juta.

Bagi setengah tahun pertama yang berakhir 29 Februari lalu, TNB mencatatkan keuntungan bersih RM2.58 bilion berbanding RM2.8 bilion sebelumnya.

- Dow Jones

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |