+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, May 13, 2008

Tarif kekal, TNB rugi besar

Utusan Online

KUALA LUMPUR 12 Mei - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) akan mengalami aliran tunai negatif pada tahun depan jika kerajaan tidak membenarkan syarikat utiliti itu memindahkan kos kenaikan bahan api kepada pengguna.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh (gambar) berkata, buat masa ini, TNB memiliki rizab tunai mencukupi yang dikumpul sejak lebih dua tahun lalu tetapi ia hanya cukup sehingga akhir tahun ini.

"Selepas tempoh itu, kami perlu membuat pinjaman kerana kedudukan kewangan syarikat adalah amat lemah,'' katanya kepada Dow Jones Newswires di sini hari ini.

Kali terakhir TNB dibenarkan oleh kerajaan untuk menaikkan tarif elektrik adalah pada bulan Jun 2006 yang menyaksikan kenaikan sebanyak 12 peratus.

Che Khalib berkata, sekiranya TNB gagal memindahkan kos bahan api itu kepada pengguna pada tahun depan, syarikat itu tidak lagi berupaya untuk menjana tunai yang cukup untuk menampung tanggungan kos.

Beliau menjelaskan, harga arang batu yang digunakan TNB untuk menghasilkan elektrik telah meningkat sebanyak 200 peratus sejak tahun 2006 manakala harga gas yang menjadi bahan api utama lain di Malaysia telah dibekukan sejak sedekad lalu.

Kata beliau, TNB kini memiliki simpanan tunai kira-kira RM3.4 bilion dan perlu membelanjakan RM4 bilion hingga RM5 bilion bagi perbelanjaan modal tahunan untuk menambah baik dan mengekalkan loji-loji jana kuasanya.

TNB memiliki sembilan buah loji janakuasa dengan kapasiti 11,464 megawatt. Ia juga mengendalikan pengagihan tenaga dan infrastruktur transmisi di negara ini.

Che Khalib berkata, jumlah pinjaman TNB kini berjumlah RM22 bilion berbanding RM32 bilion pada tahun 2004.

Menurutnya, syarikat itu telah memohon untuk mengalihkan beban kos kenaikan bahan api dan bukannya kenaikan tarif rasmi, tetapi kerajaan masih belum memberi sebarang jawapan balas.

"Kami tidak meminta untuk diberi penghargaan kerana kecekapan... kami meminta untuk melepaskan kenaikan kos untuk memastikan kewangan TNB stabil kepada kos minyak meningkat terlalu tinggi.

"Tiada organisasi mampu menyerap kenaikan sebanyak itu dalam kos pengeluaran tanpa memberi kesan kepada pendapatannya,'' kata Che Khalib.

Beliau berkata, harga arang batu mewakili 31 peratus daripada kos penjanaan TNB pada tahun ini tetapi ia diunjurkan meningkat kepada 40 peratus tahun depan.

Che Khalib berkata, TNB membekalkan arang batu kepada empat buah loji penjanaan menggunakan arang baru iaitu di Loji Kapar dengan keupayaan 1,600 megawatt, Loji Janamanjung dengan kapasiti 2,100 megawatt yang dimiliki oleh TNB dan pengeluar tenaga bebas dengan Loji Tanjung Bin berkeupayaan 2,100 megawatt.

Sebuah lagi loji terbaru, Loji Jimah yang memiliki kapasiti 1,400 megawatt sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun depan.

Che Khalib berkata, setakat ini pihaknya tidak mempunyai rancangan untuk meningkatkan kapasiti dalam loji pembakaran arang batu.

- Dow Jones

Permintaan kuasa pada waktu puncak bagi Malaysia diunjurkan mencecah 14,200 megawatt tahun depan dan bertambah kepada 17,600 megawatt pada tahun 2013, kata beliau.

Mengulas tentang pendapatan TNB, beliau berkata, syarikat itu masih mencatatkan keuntungan dalam tahun fiskal semasa yang berakhir pada 31 Ogos.

Katanya. TNB telah mendapatkan keperluan bekalan arang batu bagi tahun kewangan 2008 pada harga purata AS$75 (RM240.75) setiap tan, lebih tinggi berbanding AS$45 (RM144.45) setan pada 2007.

"Memandangkan kenaikan harga arang batu dan peningkatan kos penjanaan, TNB menjangkakan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos lebih rendah berbanding sebelum ini dan untuk 2009 pula ia lebih 'mencabar','' ujar beliau.

Ini kerana, katanya, kenaikan AS$1 bagi setiap tan arang batu akan menjejaskan keuntungan sebanyak RM50 juta.

Bagi setengah tahun pertama yang berakhir 29 Februari lalu, TNB mencatatkan keuntungan bersih RM2.58 bilion berbanding RM2.8 bilion sebelumnya.

- Dow Jones

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |