BENTONG 12 Mei – Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob (gambar) berkata, beliau tidak berminat untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan parti Disember ini.
Bagaimanapun, Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang membayangkan akan memberi pertimbangan jika dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden.
“Saya beritahu saya tidak mahu bertanding jawatan tersebut (Ketua Pemuda UMNO), kalau nak calonkan (untuk) jawatan Naib Presiden dan lain-lain, tengoklah keadaan, tetapi sekarang ini kita hendak kuatkan parti,’’ katanya di sini hari ini.
Adnan mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob yang mendakwa sebanyak 14 bahagian sayap kanan parti itu di Pahang akan mencalonkan Adnan untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO.
Menurut Adnan, beliau tidak mahu mencampuri urusan pemilihan Pemuda UMNO, sebaliknya menyerahkan kepada ahli-ahli Pemuda menentukan sendiri siapa yang bakal memimpin pergerakan tersebut.
“Jawapan saya cukup tegas, tanpa desakan dan tekanan daripada sesiapa. Saya mencadangkan biar (pemilihan) diselesaikan dengan cara Pemuda menentukan pemimpin mereka.
“Saya ingin menarik perhatian kepada idea yang dilontarkan oleh Khairuddin. Kalau saya tidak keluarkan kenyataan, orang ingat saya ‘baling batu sembunyi tangan’. Sebenarnya saya tidak tahu mengenai cadangan mereka ini,’’ katanya.
Menteri Besar itu seterusnya memberitahu, beliau hanya dimaklumkan mengenai kesediaan Pemuda UMNO Pahang menyokong pencalonannya apabila menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Khairuddin pada hari berita beliau hendak dicalonkan sebagai Ketua Pemuda UMNO tersiar dalam akhbar.
“Saya sudah berusia 58 tahun. Saya rasa tidak sesuai terutama untuk bercakap mengenai (pencalonan) itu pada masa sekarang,’’ ujarnya.
Adnan pernah bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan 2004 tetapi tewas.
0 comments:
Post a Comment