| Malaysiakini |
| Apr 20, 09 4:21pm |
| Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini mengarahkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, melunaskan bayaran penghakiman berjumlah RM63 juta kepada sebuah syarikat kerana melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di Mukim Bebar, Pekan, dekat Kuantan. Hakim Datuk Abd Halim Aman memutuskan pihak responden (menteri besar) perlu melunaskan bayaran berkenaan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini. Syarikat berkenaan memperoleh perintah bayaran penghakiman dari Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 dan kerajaan negeri gagal membuat bayaran tersebut, lapor Bernama. "Pendirian sebegini mencerminkan keengganan kerajaan negeri mematuhi kehendak statutori dan secara tidak munasabah membebankan rakyat (pembayar cukai) kerana ia akan membebankan kerajaan negeri dari segi faedah harian," katanya. Abd Halim berkata permohonan responden untuk mengenepikan tindakan 'mandamus' itu dengan hujah bertulis bahawa syarikat terbabit salah menamakan menteri besar sebagai responden adalah tidak tepat. "Menteri besar adalah orang yang tepat serta berkelayakan untuk dinamakan sebagai responden kerana di Pahang dan mana-mana negeri sekalipun kecuali Sabah dan Sarawak, tiada wujud jawatan menteri kewangan negeri," katanya. Beliau berkata, mengikut Artikel 41 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang turut menyatakan menteri besar mempunyai kuasa serta berkompeten untuk menyempurnakan jumlah bayaran dari Tabung Kumpulan Wang Yang Disatukan Negeri. Fail semakan kehakiman Seruan Gemilang diwakili peguam Rajoo D Moothy dan Richard Bong Chong Fook manakala Adnan diwakili oleh Datuk Shafie Abdullah. Pada 15 Oktober 2008, syarikat pembalakan berkenaan memfailkan permohonan 'mandamus' setelah gagal menerima sebarang pembayaran walaupun telah menuntut pembayaran jumlah penghakiman dan faedah pada 7 April 2008 dan 27 Ogos 2008. Pada 9 Disember 2002, syarikat itu memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Pahang Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah seluas 4,000 hektar di Mukim Bebar. Pada 17 September tahun lalu, kerajaan Pahang diperintah membayar sejumlah RM60 juta kepada syarikat tersebut selepas ia gagal dalam usaha terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mendapat kebenaran merayu. Mahkamah Persekutuan dengan itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan kerajaan Pahang membayar RM37,127,471.60 beserta faedah lapan peratus setahun mulai 31 Disember 2000. Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Datuk Mat Zara'Ai (Zara'Ai) Alias berkata pihaknya akan memfailkan permohonan menangguhkan keputusan esok. Malah beliau berkata, pihaknya sebelum ini juga telah memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan pada 17 September tahun lalu. |
Monday, April 20, 2009
MB Pahang diarah bayar RM63 juta
0 comments Labels: malaysiakini, MB Pahang
Wednesday, September 17, 2008
Balak: K'jaan Pahang diperintah bayar RM60 juta
| Malaysiakini |
| Sep 17, 08 7:40pm |
| Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Abdul Aziz Mohamed sebulat suara menolak permohonan kebenaran untuk merayu oleh kerajaan negeri dan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang. Hakim Malanjum berkata persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh kerajaan Pahang, yang diwakili Penasihat Undang-undang Datuk Mat Zara'ai Alias, "bukanlah satu persoalan yang wajar dan ia dibangkitkan di Mahkamah Rayuan." Kerajaan negeri Pahang dan pengarah perhutanan negeri telah memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 3 Ogos lalu yang menolak rayuan mereka untuk melanjutkan masa bagi memfailkan notis rayuan, demikian dilaporkan oleh Bernama. Notis rayuan itu adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan mereka membayar RM37,127,471.60 kepada Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd dengan faedah pada kadar 8 peratus setahun mulai 31 Disember 2000 sehingga selesai pembayaran. Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka membayar jumlah itu kepada Seruan Gemilang setelah berpuas hati bahawa pengarah perhutanan negeri telah bertindak secara cuai apabila enggan mengguna pakai pelan terkini yang dikemukakan oleh Seruan Gemilang yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) pada 5 April 2000, sebaliknya mengarahkan pelan asal yang diluluskan oleh exco pada 7 Januari 1998, diguna pakai. Atas tanah Umno Pada 9 Disember 2002, Seruan Gemilang memfailkan saman terhadap Kerajaan negeri Pahang dan pengarah perhutanan negeri bagi memohon ganti rugi RM31 juta kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah milik Umno di Mukim Bebar, Daerah Pekan seluas 4,000 hektar. Seruan Gemilang menamakan kerajaan negeri Pahang sebagai defendan pertama dan pengarah perhutanan negeri, defendan kedua. Dalam pernyataan tuntutan, Seruan Gemilang mendakwa pada 31 Julai 2000, defendan kedua telah memberi kelulusan kepadanya bagi mengeluarkan kayu balak dari mukim itu bagi kawasan seluas 3,200 hektar. Pada 13 Mei 2002, defendan kedua telah memberi kelulusan kepada Seruan Gemilang bagi mengeluarkan kayu balak dari baki kawasan seluas 800 hektar di tanah yang sama. Ini bermakna Seruan Gemilang telah diberi kelulusan untuk mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 4,000 hektar. Bagaimanapun defendan kedua hanya membenarkan Seruan Gemilang mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala baki selebihnya telah diberikan kepada beberapa pihak ketiga untuk mengeluarkan kayu balak dari tanah tersebut. Kedua-dua defendan dalam pernyataan pembelaan mereka menyatakan bahawa Seruan Gemilang hanya diberi lesen untuk menjalankan kerja pembalakan secara pemindahan bagi kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala bagi baki 1,200 kektar itu pula, defendan mendapati Seruan Gemilang tidak berminat untuk menjalankan kerja pembalakan di situ. |
0 comments Labels: malaysiakini, MB Pahang, penyelewengan
Tuesday, September 2, 2008
Pahang kekurangan tepung
KUANTAN - Bekalan tepung gandum masih tidak mencukupi.
Demikian luahan rata-rata peniaga kedai runcit di sini apabila diajukan soalan berkenaan isu masalah tepung tidak mencukupi menjelang musim perayaan yang bakal tiba.
Seorang peniaga kedai runcit, Khatijah Muda berkata, masalah kekurangan bekalan tepung tersebut sudah berlarutan hampir sebulan.
"Orang ramai memilih tepung murah (cap kunci) yang harganya RM1.35 sekilogram, tepung mahal orang tak nak.
"Kalau setakat kegunaan sendiri, mungkin mereka tak kisah, tetapi kebanyakannya digunakan untuk berniaga, beli yang mahal mana nak untung. Jika mereka naikkan harga kuih, nanti pelanggan bising," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Jaya berkata, bekalan tepung memang tidak pernah cukup, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
"Pemborong pula suka ambil kesempatan terutamanya ke atas peniaga kedai runcit atau kecil-kecilan seperti kami.
"Bayangkanlah sekampit tepung yang harganya cuma RM33, tetapi apabila dijual kepada kami, dikenakan caj sebanyak RM5.
"Bila ditanya kenapa dicaj, mereka kata bekalan susah dapat dan harganya pula dah mahal, mahu tak mahu kena belilah juga," katanya lagi.
Hamidah Harun, 44, peniaga kuih di bazar Ramadan pula berkata, memang menjadi masalah besar kepadanya lebih-lebih lagi di bulan puasa.
"Kebanyakan kuih dibuat dengan tepung gandum, tepung murah sukar didapati, ada yang mahal sahaja.
"Berapa pula saya hendak caj kepada pembeli, letak harga mahal nanti orang ramai bising. Harap kerajaan dapat berbuat sesuatu bagi menangani masalah kekurangan tepung ini, sekurang-kurangnya ringanlah sedikit beban kami," ujarnya lagi.
0 comments Labels: barang naik, kosmo, MB Pahang
Tuesday, July 29, 2008
MB Pahang, K'tan sokong MB T'ganu
| Malaysiakini |
| Jul 24, 08 5:21pm |
| Dua orang lagi menteri besar di negeri Pantai Timur - Pahang dan Kelantan - bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said bahawa kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif adalah lebih mahal daripada Mercedes. Sambil memberi contoh kereta Mercedes yang digunanya sejak era Menteri Besar terdahulu, Tun Khalil Yaakob, iaitu sejak berbelas tahun lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kos penyenggaraan kereta itu untuk tahun lalu ialah RM42,000. "Dari segi hakikatnya, menteri besar Terengganu betul apabila menyatakan kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif lebih tinggi daripada Mercedes," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini. Adnan berkata, dari sudut praktikal memang sukar menggunakan kereta yang mempunyai kuasa enjin rendah terutama bagi perjalanan ke destinasi yang jauh. Beliau bagaimanapun mengambil langkah tidak menyokong mahupun menentang keputusan pembelian 14 kereta Mercedes E200 kerajaan negeri Terengganu itu. "Segala keputusan yang hendak dibuat pada masa kini sepatutnya mengambil kira situasi semasa dan kehendak rakyat. Sekarang rakyat lebih suka macam saya (Menteri Besar) naik kereta Kancil atau motosikal pun boleh (jika ke lokasi dekat)," katanya. Beliau menegaskan kerajaan negeri Pahang akan mengambil keputusan untuk mengikut arahan dan keputusan yang ditetapkan kerajaan pusat berhubung pemakaian kereta nasional walaupun ia boleh dipertikai. Banyak masalah Sementara itu, Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini melahirkan pendapat yang sama dengan Ahmad iaitu penggunaan kereta Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi negeri banyak menimbulkan masalah. Walaupun tidak bercadang untuk menukar kenderaan rasmi kepada kereta lain termasuk kereta import, Nik Aziz berkata apa yang dikatakan oleh Menteri Besar Terengganu mengenai kereta Proton Perdana memang berasas. "(Kerajaan negeri) Kelantan kami pun pakai Perdana selain Mercedes lama, ada sedikit kelonggaran kita bagi. Ini kerana sama dengan yang Menteri Besar Terengganu sebut, kereta Perdana ni masalah penyenggaraan dialah. "Rosak sokmo (sering rosak). Kadang-kadang cermin tak boleh naik, kadang-kadang nak tutup tak boleh sedangkan baru keluar dari kilang," katanya kepada pemberita hari ini. Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum itu merasmikan masjid Taqaddum Ilmi di Sekolah Menengah Agama Taqaddum Ilmi, Ketereh. Beliau mengulas isu kerajaan negeri Terengganu membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi baru Menteri Besar, anggota exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu. |
1 comments Labels: malaysiakini, MB Pahang, MB tganu, TGNA
Tuesday, July 22, 2008
Gagal kes mahkamah, kerajaan Pahang akan 'disita'?
| Harakahdaily Basiron Abdul Wahab Tue | Jul 22, 08 | 6:53:51 am MYT | |
| TEMERLOH, 22 Julai (Hrkh) - Naib Ketua Pemuda PAS Pahang, Mohd Fadly Ramli berkata, kerajaan Umno Pahang serta Terengganu dan Perlis adalah antara kerajaan negeri yang bergegar selepas pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu. Menurutnya, kerajaan Umno di Perlis, Terengganu bergegar apabila berlaku krisis pertukaran menteri besar manakala kerajaan Pahang bergegar dengan krisis dalaman Umno yang membawa kepada peletakan setiausaha Badan Perhubungan Umno Pahang, Dato' Ahmad Tajudin Sulaiman. Menurut Fadly, Mahkamah Tinggi Kuantan telah mengeluarkan perakuan perintah untuk amaun penghakiman terhadap kerajaan Pahang pada 7 Mac 2008 yang lalu berdasarkan peghakiman di Mahkamah sama bertarikh 25 Mei 2007 telah dihakimkan kepada defendan (kerajaan negeri dan pengarah perhutanan Pahang) supaya membayar kepada Plantif (Seruan Gemilang Makmur Sdn BHd) sebanyak RM37,127,471.60 dengan faedah 8 peratus setahun mulai 31 Dicember 2000. Jelas Fadly, Plantif telah berjaya di dalam samannya di Mahkamah Tinggi Kuantan dan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya terhadap defendan dan kini sedang menunggu keputusan muktamad daripada Mahkamah Persekutuan iaitu Mahkamah tertinggi di negara ini. Fadly yang juga merupakan seorang peguam bagi Plantif berkata, pihak plantif dijangka akan memfailkan saman untuk menyita kerajaan negeri Pahang jika gagal membayar amaun yang telah diputuskan itu. Katanya jika kerajaan negeri Pahang disita ia adalah kes yang pertama di dunia apabila kerajaan disita atas perintah mahkamah. "Saya telah berbincang dengan beberapa peguam mengenai kes berkenaan (untuk menyita kerajaan Pahang), dan ada peguam berpendapat ia boleh dilakukan manakala ada juga peguam berpendapat tidak boleh. "ini adalah kes pertama di dunia yang membabit kerajaan disita atas perintah mahkamah," katanya ketika berceramah pada 'Program Bersamamu' anjuran Dewan Pemuda PAS Temerloh dekar sini baru-baru ini. Dalam ucapan sama Fadly berkata, Umno sudah berada di penghujung kuasa apabila melakukan pelbagai perkara yang mendukacitakan sama ada dari segi politik mahu perundangan. Dari segi perundangan umpamanya, kuasa yang ada telah disalahguna untuk melindungi pemimpin parti itu dimana jika membabit pemimpin Umno tidak meneruskan pendakwaan seperti di dalam kes membabitkan Ahli Parlimen Rompin yang mencabul seorang wanita beberapa bulan lalu. Katanya, kes berkenaan tidak diteruskan atas alasan wanita berkenaan telah menarik balik balik laporannya sedangkan di dalam perundangan tiada istilah kes ditarik balik. Menurutnya di dalam undang-undang ada seksyen tertentu di mana perempuan berkenaan boleh didakwa kerana membuat laporan palsu terhadap ahli parlimen Rompin. "Kenapa mereka tidak mendakwa perempuan berkenaan di bawah seksyen berkenaan,"soalnya. - mks. _ |
0 comments Labels: Harakahdaily, MB Pahang, muflis
Monday, June 2, 2008
Sidang DUN Pahang: Adnan Akui Kerajaan Negeri Pasti Akan Bertukar !!
Tranungkite Oleh: cucumatkilau
Dilulus terbit pada Monday, June 02 @ 14:00:00 MYT oleh SongkokPutih
Cucu sempat hadir sebagai pemerhati pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang bagi penggal pertama DUN Ke-12 di Wisma Seri Pahang baru-baru ini. Biarpun kini Cucu telah bermastautin di Kuala Lumpur, namun atas pelawaan Nancy (bekas calon PKR DUN Semambu) maka Cucu hadir juga biarpun agak keletihan. Kehadiran Cucu juga berikutan maklumat yang diterima daripada Nancy yang mengatakan sejak dua tiga hari sebelum itu, isu Blogger sering ditimbulkan dalam persidangan itu. Maka sudah pasti menjadi tanggugjawab Cucu sebagai salah seorang blogger dari Pahang untuk mendengar butir bicara perkara itu.
Cucu tiba lewat sekitar jam 11.30 pagi, tika itu sidang rehat seketika, dan semua YB asyik menjamu selera dibawah khemah diluar dewan yang disediakan. Maka Cucu sempat singgah diluar dewan untuk bertemu dengan rakan-rakan lama dalam UMNO, dari jauh terlihat kelibat MB Pahang, Dato' Nan sedang rancak berbual. Sambil dimeja yang lain terlihat anggota exco kerajaan negeri, YB dari BN dan beberapa orang ketua jabatan sedang berbicara sesuatu. Mungkin perihal isu keluarnya mantan PM Mahathir dari UMNO agaknya. Tidak kelihatan pun, kelibat YB dari Pakatan Rakyat, mungkin mereka menjamu selera ditempat lain agaknya bisik hati Cucu.
Cucu sempat beramah mesra dengan beberapa orang rakan lama yang masih lagi sebati jiwa mereka dengan UMNO karat itu. Sambil terlihat juga YB lain yang memandang sini terhadap diri Cucu. Mungkin mereka marah kerana Cucu menjadi calon PKR DUN Kemayan dalam Pilihanraya Umum ke-12 lalu agaknya. Sebelum ini, Cucu amat disenangi oleh sebahagian besar anggota exco kerajaan negeri. Majoriti daripada mereka amat rapat dan mengenali Cucu. Tambahan pula sebelum ini Cucu sering menjadi pengacara untuk majlis-majlis rasmi kerajaan negeri. Bahkan Cucu juga sering mengendalikan berbagai acara keramaian yang melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO Pahang termasuk juga MB Dato' Nan sendiri. Sememangnya hubungan Cucu dengan anggota pentadbiran kerajaan negeri begitu mesra dan rapat sekali. Cuma, masalahnya prinsip hidup Cucu jelas iaitu berkawan tetap berkawan namun perjuangan adalah hak masing-masing dan tiada paksaan untuk menyokong mana-mana parti politik. Inilah yang Cucu pegang selama ini, biarpun ianya agak pahit untuk ditelan oleh mereka-mereka ini.
Tidak lama selepas itu, Cucu bertemu dengan Nancy berhampiran lobi Wisma Seri Pahang. Kemudian Cucu dibawa masuk ke tempat duduk pemerhati dalam Dewan Undangan Negeri Pahang. Dalam perjalanan, sempat juga Cucu bertemu dengan rakan lama yang kini bergelar YB untuk DUN Panching iaitu Cikgu Zaili (Naib Ketua Pemuda UMNO Pahang). Biarpun beliau agak takut untuk berbicara dengan Cucu sebelum itu, namun atas dasar sahabat kami sempat bertukar-tukar pandangan. Selepas itu, Cucu terus mengikut Nancy masuk ke dalam dewan. Itulah kali pertama Cucu dapat berada dalam dewan yang mulia itu. Dari jauh Cucu dapat melihat kelibat Speaker Dewan iaitu Dato' Wan Razali (bekas ADUN Chini yang kalah 5 undi kepada Keadilan dalam pilihanraya umum 1999 dulu). Sememangnya Cucu juga rapat dan telah beberapa kali berkunjung mesra ke rumah beliau selama ini. Tidak lama kemudian terlihat kelibat MB Pahang, Dato' Nan dan diikuti oleh YB yang lain.
Antara insiden tersebut ialah kenyatan Adnan tentang kerajaan negeri akan bersikap adil kepada semua rakyat miskin tidak kira bangsa, agama dan fahaman politik masing-masing. Kononnya untuk kesejahteraan rakyat beliau akan akan berlaku adil untuk semua (keadilan untuk semua). Sungguh melucukan kenyataan MB Pahang ini, bercakap boleh tapi hakikatnya "jauh panggang dari api". Yang dibantu dan ditolong hanya rakyat yang menyokong parti pemerintah semata-mata, bagi yang menyokong pembangkang pasti dianggap pengkhianat dan petualang. Seolah-olah apabila menyokong pembangkang rakyat akan dianggap seperti "Komunis" dinegara berdaulat seperti Malaysia ini. Semua ini amat mengecewakan kita sebenarnya. Maka itu banyak rakyat yang tidak dibela semata-mata hanya kerana perbezaan fahaman politik masing-masing. Jika pun ada yang ingin memohon bantuan, tabung kebajikan, atau lain-lain, pasti yang pertama akan ditanya ialah "Berapa nombor ahli UMNO awak?". Inilah dia mentaliti pemimpin yang kononnya ingin bersikap adil kepada semua rakyat. Tidak langsung timbul perasaan dibenak hati mereka bahawa mereka menjadi pemimpin untuk semua rakyat bukan parti-parti tertentu. Buktinya rakyat baik apa jua fahaman politik tetap membayar cukai kepada kerajaan memerintah. Ini bermakna gaji dan elaun mereka yang diangkat sebagai pemimpin itu dibayar oleh rakyat. Namun atas nama ingin bersikap adil dan saksama, mereka "menganaktirikan" rakyat yang tidak sehaluan dengan aspirasi mereka.
Dalam hal pembinaan gelanggang rakyat untuk semua DUN oleh Kementerian Belia Dan Sukan sekali lagi MB bertindak tidak adil apabila hanya diberikan untuk DUN dari BN semata-mata. Sebaliknya lima DUN pembangkang Pahang tidak akan mendapat keistimewaan itu. Walhal dalam DUN terbabit juga ada ramai rakyat yang menyokong mereka. Kerana kebodohan dan kedangkalan berpolitik, maka mereka mengganggap semua kerusi yang jatuh ke tangan pembangkang tidak akan diberi faedah seperti DUN lain, atas alasan rakyat dikawasan terbabit menyokong pembangkang. Mereka mengganggap 100% rakyat memihak kepada parti lawan, lantaran itulah projek tidak akan diagihkan dikawasan terbabit. Walhal ramai juga penyokong mereka di kawasan berkenaan. Inilah balasan kepada rakyat yang hidup dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini.
Adnan juga banyak mengulas isu perkauman yang kononnya sukar untuk diubah dalam masa 50 tahun. Katanya British yang bertanggungjawab memisahkan komuniti kaum di negara ini. Mereka membawa masuk orang-orang Tionghua dan India untuk bekerja. India di bawa masuk bekerja di estet-estet dan Tionghua pula berniaga di pekan-pekan. Manakal orang-orang Melayu dibiarkan bekerja di kampung-kampung. Inilah yang menyebabkan senario ini berlaku hingga ke hari ini. Ketika ditanya oleh YB Triang, mengapakah kerajaan yang ada tidak mengubah apa yang berlaku ini. Beliau sekali lagi menyatakan bahawa amat sukar untuk melakukannya kerana ia sudah berlaku. Ini menyebabkan YB Triang itu tidak berpuas hati dan sedikit kecewa.
Dalam masa yang sama Adnan telah menghina dirinya sendiri dengan mengakui dirinya memang "samseng" agaknya. Ini berikutan kenyataannya yang mengatakan ayahnya berasal dari keturunan Bugis dan ibunya dari keturunan Minangkabau. Ini bermakna katanya Minangkabau ramai "Imam-imam" dan Bugis pula adalah dari jenis "Penyamun". Ini jelas membuktikan yang Adnan menghina dirinya sendiri di dalam dewan undangan negeri Pahang. Bahkan kenyataannya itu turut disaksikan oleh semua YB kerajaan dan pembangkang termasuk juga pemerhati dan pihak media sendiri.
Lebih melucukan, Adnan sekali lagi cuba ingin berperang dengan pihak media arus perdana. Ini berikutan beliau memberi amaran kepada pihak media agar tidak menyiarkan beberapa kenyataan sumbangnya itu. Beliau menempelak bahawa media arus perdana "Baca boleh, tapi jangan percaya 100%". Lebih hairan selama ini kita ingatkan kenyataan sebegini hanya dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang sahaja. Bukankan media arus perdana selama ini yang menjadi wadah perjuangan mereka untuk menjatuhkan gerakan pembangkang di negara ini. Kini Adnan sendiri, pemimpin dalam sebuah negeri yang dikuasai BN secara terang-terangan menempelak media yang memenangkan mereka selama ini. Kita tidak hairan jika kenyataan itu ditujukan kepada akhbar pembangkang seperti Harakah, Siasah, Suara Keadilan, Wasilah dan sebagainya. Ini tidak, MB UMNO marahkan akhbar kerajaan sendiri. Bukankah pelik bunyinya !
Perubahan pasti akan berlaku katanya, ini berikutan senario semasa dimana pertukaran kerajaan sering berlaku dimana-mana negara di dunia hari ini. Begitulah juga katanya di negeri Pahang itu sendiri. Beliau berkata demikian menjawab soalan YB Triang perihal sikap pembangkang yang tidak membangkitkan isu penjualan tanah UMNO baru-baru ini. Perubahan katanya bukan setakat berlaku kepada kerajaan, malahan juga turut membabitkan parti politik dan tamadun sesebuah negara itu sendiri. Ini bermakna beliau percaya yang BN tidak akan selama-lamanya memerintah negara ini. Akan tiba masanya kepimpinan negara ini berubah mengikut aspirasi rakyat terbanyak.
Walaubagaimana pun kita ucapakan syabas kepada MB Pahang itu yang akhirnya bersetuju untuk memasukkan wakil pembangkang ke dalam jawatankuasa baru dewan iaitu YB Triang (DAP) dan YB Semantan (PAS) dilantik sebagai AJK Kira-Kira Wang Negeri bagi penggal pertama DUN Ke-12. Manakala itu YB Triang (DAP) selaku Ketua Pembangkang juga telah dilantik sebagai AJK Peraturan Majlis Dewan Negeri. Itu pun setelah ditempelak oleh wakil pembangkang tentang ketelusan kerajaan negeri sekiranya wakil pembangkang tidak dimasukkan sebagai ahli jawatankuasa tersebut.
Persidangan berakhir sekitar jam 1.30 petang. Cucu sempat beramah mesra sekali lagi dengan rakan-rakan di dewan dan mengucapkan selamat bertugas kepada semua. Sempat juga menjamu selera bersama YB Triang (Leong Ngah Ngah) di cafe Wisma Seri Pahang selepas itu. Sebelum itu, Cucu sempat berbual dengan calon BN yang menang di DUN Kemanyan ketika menentang Cucu dulu. Syabas Cucu ucapkan kepadanya, dan Cucu mengatakan biarpun kalah tetapi Cucu tetap menang maruah. Perjuangan harus diteruskan. Terima kasih semua rakan-rakan termasuk Nancy yang membantu memasukkan nama Cucu untuk menyaksikan sendiri perjalanan persidangan dewan undangan negeri Pahang itu. Semoga akan bertemu lagi dalam persidangan seterusnya selepas ini.
[ Kesihan sungguh melihat YB Triang dari DAP Leong Ngah Ngah, yang sudah 4 penggal menjadi wakil rakyat dalam DUN Pahang yang tidak pernah merasa jemu untuk terus bersama dalam mempertahankan hak serta nasib rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Beliau bukan sahaja amat disayangi oleh orang Tionghua di Triang malahan juga orang-orang Melayu. Hinggakan ada yang memanggil nama timangannya "Pak Ngah". Menurut kisahnya Pak Ngah amat sayangkan rakyatnya, hingga sanggup memandu kereta meredah malam untuk membawa seorang pesakit ke klinik setelah tiada kenderaan lain lagi yang sanggup menghantar pesakit ke hospital. Bayangkan beliau sanggup tinggalkan tidurnya biarpun beliau sendiri mengalami penyakit yang agak serius. Tahniah kita ucapkan kepada YB Leong Ngah Ngah selaku Ketua Pembangkang yang paling berkaliber di Dewan Undangan Negeri Pahang selama ini ]
0 comments Labels: bloggers united, MB Pahang, tranungkite
Thursday, May 22, 2008
Adnan Gadai Tanah Melayu
Suara Keadilan
Khamis, 22 Mei 2008 •
Oleh Azmin Arabi
22 Mei (SK) -KeADILan membongkar sindiket menggadai tanah melayu di negeri Pahang membabitkan Menteri Besar negeri itu, Adnan Yaakob, dan pemimpin-pemimpin Umno negeri.
Ketua Angkatan Muda KeADILan Shamsul Iskandar Mohd Akin pada 17 Mei lalu mendedahkan pembabitan Adnan Yaakob menjual tanah-tanah orang kampung seluas 30,000 di mukim Ulit, daerah Maran kepada seorang towkey.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dalam ucapannya di Dewan Rakyat mengkritik keras skandal penjualan tersebut. Dianggarkan Adnan Yaakob menjual tanah orang Melayu kepada towkey itu pada RM600 juta ringgit.
“Adnan Yaakob telah memperdaya rakyat Melayu Pahang. Di kala rakyat Pahang sedang menghadapi pelbagai kesusahan, gelagat rakus dan gelojoh MB Pahang ini menjadikan rakyat, khususnya orang Melayu, tidak selamat di bawah Umno-BN,” tegas Fuziah.
Bukti salahlaku Adnan ini disebut dalam laporan Umno Bahagian Paya Besar kepada Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi pada 5 Mei lalu. Sehingga ke tarikh berita ini dibuat, Abdullah tidak mengumumkan sebarang siasatan dibuat keatas penjualan tanah orang Melayu ini.
Sementara itu juga, KeADILan berjaya memperoleh rekod Jabatan Tanah dan dokumen dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membuktikan salahguna kuasa Menteri Besar Pahang ini.
0 comments Labels: MB Pahang, pemimpin haprak, suara keadilan
Friday, May 16, 2008
Adnan dicabar beli semula tanah Umno
| Malaysiakini |
| Muda Mohd Noor | May 16, 08 5:28pm |
|
Beliau juga mendakwa bahawa penjualan tanah tersebut tidak dibuat mengikut saluran yang betul kerana ia tidak pernah mendapat persetujuan daripada ahli jawatankuasa badan perhubungan Umno negeri. |
0 comments Labels: malaysiakini, MB Pahang, UMNO haprak
Krisis dalaman Umno Pahang memuncak
| Harakahdaily Basiron Abdul Wahab Thu | May 15, 08 | 4:46:29 pm MYT | |
| Kelmarin Adnan menafikan dakwaan Ahmad bersabit penjualan tanah seluas 12,000 hektar melibat syarikat milik Umno, Rankaian Delima kepada sebuah syarikat bukan bumiputera dan keuntungan sebanyak RM600 juta. Adnan mendakwa ladang Nukleus di Ulu Luit , Maran yang dijual itu hakikatnya hanya seluas 400 ekar sahaja, Kenyataan Adnan bermakna dakwaan Ahmad tentang penjualan tanah itu tidak pernah dinafikanya. Adalah jelas Ahmad tidak berbohong sekaligus dakwaan Adnan kononya Ahmad berbohong hanya melibatkan isu kelusan tanah bukanya isu pokok iaitu ujudnya aktiviti pernjualan tanah Umno di situ. Apa yang penting disini ialah berlakunya aktiviti penjualan tanah melibatkan kerajaan negeri dan Umno, parti yang menguasai kerajaan Pahang. Kewibawaan Adnan sudah tercalar dengan pendedahan Ahmad dalam isu tanah yang membabit syarikat proksi Umno itu, (Rangkian Delima Sdn Bhd). Ahmad hari ini (14 Mei) mencabar dan mencadangkan supaya Adnan segera melaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Polis berhubungan dakwaanya itu. Beliau dipetik berkata, sekiranya Adnan tidak berkeyakinan, tindakan yang berwibawa akan diambil oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno khususnya dalam isu membabitkan penjualan tanah (milik Umno itu). Pembabitan Syarikat proksi Umno, Rangkaian Delima dalam pemilikan tanah dan pembalakan di Pahang bukanlah suatu rahsia, syarikat itu menjadi nadi kekuantan Umno Pahang suatu ketika dahulu tetapi hari ini tanah milik Umno melalui syarikat berkenaan satu demi satu dijual kepada syarikat bukan Bumiputera ini termasuklah ladang Nukleus di Ulu Lut, Maran itu. Bagi penduduk Luit, mereka menyaksikan penerokaan haram tanah kerajaan di situ secara besar-besaran dengan kehairanan serta menimbulkan pelbagai tanda tanya dan kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan dakwaan Ahmad bahawa 12,000 hektar tanah di situ telah pun dijual adalah berasas. Baru-baru ini, Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang, Ustazah Azizah Khatib Mat telah membuat satu laporan kepada BPR bersabit dengan penerokaan tanah kerajaan di situ. Tetapi siapa tahu penerokaan haram yang dimaksudkan penduduk sebenarnya adalah penerokaan terangcang oleh para pemimpin Umno dengan kerjasama syarikat bukan bumiputera berkaitan jika dilihat kepada kaedah penerokaan dijalankan. Jika tidak masakan Pejabat Tanah dan Daerah Maran gagal mengesan pencerobohan tanah kerajaan di situ. Malah, penduduk mendakwa pejabat tanah berkenaan hanya pantas mengambil tindakan jika ada penduduk kampung meneroka tanah di situ secara kecil-kecilan tetapi tidak mengambil tindakan kepada sendikit yang meneroka tanah secara besar-besaran. - mr |
0 comments Labels: Harakahdaily, MB Pahang, UMNO haprak
Tuesday, May 13, 2008
Tidak minat Ketua Pemuda, Naib Presiden tengoklah... - Adnan Yaakob
BENTONG 12 Mei – Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob (gambar) berkata, beliau tidak berminat untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan parti Disember ini.
Bagaimanapun, Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang membayangkan akan memberi pertimbangan jika dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden.
“Saya beritahu saya tidak mahu bertanding jawatan tersebut (Ketua Pemuda UMNO), kalau nak calonkan (untuk) jawatan Naib Presiden dan lain-lain, tengoklah keadaan, tetapi sekarang ini kita hendak kuatkan parti,’’ katanya di sini hari ini.
Adnan mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob yang mendakwa sebanyak 14 bahagian sayap kanan parti itu di Pahang akan mencalonkan Adnan untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO.
Menurut Adnan, beliau tidak mahu mencampuri urusan pemilihan Pemuda UMNO, sebaliknya menyerahkan kepada ahli-ahli Pemuda menentukan sendiri siapa yang bakal memimpin pergerakan tersebut.
“Jawapan saya cukup tegas, tanpa desakan dan tekanan daripada sesiapa. Saya mencadangkan biar (pemilihan) diselesaikan dengan cara Pemuda menentukan pemimpin mereka.
“Saya ingin menarik perhatian kepada idea yang dilontarkan oleh Khairuddin. Kalau saya tidak keluarkan kenyataan, orang ingat saya ‘baling batu sembunyi tangan’. Sebenarnya saya tidak tahu mengenai cadangan mereka ini,’’ katanya.
Menteri Besar itu seterusnya memberitahu, beliau hanya dimaklumkan mengenai kesediaan Pemuda UMNO Pahang menyokong pencalonannya apabila menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Khairuddin pada hari berita beliau hendak dicalonkan sebagai Ketua Pemuda UMNO tersiar dalam akhbar.
“Saya sudah berusia 58 tahun. Saya rasa tidak sesuai terutama untuk bercakap mengenai (pencalonan) itu pada masa sekarang,’’ ujarnya.
Adnan pernah bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan 2004 tetapi tewas.
0 comments Labels: MB Pahang, UMNO haprak, utusan
Wednesday, April 23, 2008
MB Pahang tidak perlukan liputan Utusan selepas ini
Siasah daily
KUANTAN, 21 April: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub berkata, beliau tidak memerlukan sabarang liputan dari akhbar Utusan selepas ini.
Adnan berkata demikian dalam satu kenyataan bertulis beliau pada hari Sabtu lepas berikutan laporan Utusan Malaysia pada 19 April lepas bertajuk "Jawatan Exco gugur - MB'.
Penjelasan MB Pahang
1. Saya ingin membuat penjelasan mengenai tajuk berita dalam Utusan Malaysia 19 April 2008, hari Sabtu, muka surat tiga bertajuk Jawatan Exco Gugur - MB.
2. Tajuk berita dan isi berita dalam perenggan enam yang melaporkan "dan sebagai Menteri Besar, beliau (yakni Adnan) mempunyai hak mutlak melantik sesiapa sahaja" adalah salah, mengelirukan dan boleh melaga-lagakan Menteri Besar dengan Perdana Menteri dan di antara Menteri Besar dengan Sultan Pahang.
3. Berdasarkan kepada rakaman percakapan yang direkodkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar dan ramai pemberita lain, saya tidak pernah menggunakan perkataan 'hak mutlak saya' dan tidak pernah mengatakan 'Datuk Maznah Mazlan digugurkan sebagai Exco'.
4. Hak mutlak atau prerogatif diberikan kepada Perdana Menteri dalam pemilihan anggota kabinetnya dengan menyembah nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.
5. Sultan Pahang mempunyai hak mutlak melantik Menteri Besar sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang.
6. Mengenai pengisian jawatan yang dikosongkan oleh Maznah saya menyatakan, "Itu kita tunggu saya menyembah nasihat, menyembah maklum, mengadakan perbincangan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Pahang."
7. Saya ada menyatakan juga "kedudukan Maznah dengan sendirinya di Majlis Mesyuarat Kerajaan akan dikosongkan." Saya tidak pernah menyatakan Maznah akan digugurkan sebagai Exco sebagaimana yang dilaporkan.
8. Berita yang telah tersiar menggambarkan saya sebagai Menteri Besar tidak memahami kuasa dan prerogatif yang ada pada Perdana Menteri dan kuasa dan prerogatif yang ada pada Sultan Pahang, sedangkan pada hakikatnya saya amat memahami.
9. Saya ucapkan terima kasih kerana menyiarkan kenyataan saya ini yang sepatutnya tidak perlu berlaku jika Utusan lebih berhati-hati, beretika dan profesional dalam laporannya.
10. Saya tidak memerlukan sebarang liputan lagi oleh Utusan selepas ini.
ADNAN YAAKOB
0 comments Labels: MB Pahang, siasahdaily

