+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, June 2, 2008

Sidang DUN Pahang: Adnan Akui Kerajaan Negeri Pasti Akan Bertukar !!

Tranungkite

Dilulus terbit pada Monday, June 02 @ 14:00:00 MYT oleh SongkokPutih
Artikel

Oleh: cucumatkilau

 Cucu sempat hadir sebagai pemerhati pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang bagi penggal pertama DUN Ke-12 di Wisma Seri Pahang baru-baru ini. Biarpun kini Cucu telah bermastautin di Kuala Lumpur, namun atas pelawaan Nancy (bekas calon PKR DUN Semambu) maka Cucu hadir juga biarpun agak keletihan. Kehadiran Cucu juga berikutan maklumat yang diterima daripada Nancy yang mengatakan sejak dua tiga hari sebelum itu, isu Blogger sering ditimbulkan dalam persidangan itu. Maka sudah pasti menjadi tanggugjawab Cucu sebagai salah seorang blogger dari Pahang untuk mendengar butir bicara perkara itu.



Cucu tiba lewat sekitar jam 11.30 pagi, tika itu sidang rehat seketika, dan semua YB asyik menjamu selera dibawah khemah diluar dewan yang disediakan. Maka Cucu sempat singgah diluar dewan untuk bertemu dengan rakan-rakan lama dalam UMNO, dari jauh terlihat kelibat MB Pahang, Dato' Nan sedang rancak berbual. Sambil dimeja yang lain terlihat anggota exco kerajaan negeri, YB dari BN dan beberapa orang ketua jabatan sedang berbicara sesuatu. Mungkin perihal isu keluarnya mantan PM Mahathir dari UMNO agaknya. Tidak kelihatan pun, kelibat YB dari Pakatan Rakyat, mungkin mereka menjamu selera ditempat lain agaknya bisik hati Cucu.

Cucu sempat beramah mesra dengan beberapa orang rakan lama yang masih lagi sebati jiwa mereka dengan UMNO karat itu. Sambil terlihat juga YB lain yang memandang sini terhadap diri Cucu. Mungkin mereka marah kerana Cucu menjadi calon PKR DUN Kemayan dalam Pilihanraya Umum ke-12 lalu agaknya. Sebelum ini, Cucu amat disenangi oleh sebahagian besar anggota exco kerajaan negeri. Majoriti daripada mereka amat rapat dan mengenali Cucu. Tambahan pula sebelum ini Cucu sering menjadi pengacara untuk majlis-majlis rasmi kerajaan negeri. Bahkan Cucu juga sering mengendalikan berbagai acara keramaian yang melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO Pahang termasuk juga MB Dato' Nan sendiri. Sememangnya hubungan Cucu dengan anggota pentadbiran kerajaan negeri begitu mesra dan rapat sekali. Cuma, masalahnya prinsip hidup Cucu jelas iaitu berkawan tetap berkawan namun perjuangan adalah hak masing-masing dan tiada paksaan untuk menyokong mana-mana parti politik. Inilah yang Cucu pegang selama ini, biarpun ianya agak pahit untuk ditelan oleh mereka-mereka ini.

Tidak lama selepas itu, Cucu bertemu dengan Nancy berhampiran lobi Wisma Seri Pahang. Kemudian Cucu dibawa masuk ke tempat duduk pemerhati dalam Dewan Undangan Negeri Pahang. Dalam perjalanan, sempat juga Cucu bertemu dengan rakan lama yang kini bergelar YB untuk DUN Panching iaitu Cikgu Zaili (Naib Ketua Pemuda UMNO Pahang). Biarpun beliau agak takut untuk berbicara dengan Cucu sebelum itu, namun atas dasar sahabat kami sempat bertukar-tukar pandangan. Selepas itu, Cucu terus mengikut Nancy masuk ke dalam dewan. Itulah kali pertama Cucu dapat berada dalam dewan yang mulia itu. Dari jauh Cucu dapat melihat kelibat Speaker Dewan iaitu Dato' Wan Razali (bekas ADUN Chini yang kalah 5 undi kepada Keadilan dalam pilihanraya umum 1999 dulu). Sememangnya Cucu juga rapat dan telah beberapa kali berkunjung mesra ke rumah beliau selama ini. Tidak lama kemudian terlihat kelibat MB Pahang, Dato' Nan dan diikuti oleh YB yang lain.
Persidangan dimulakan selepas rehat, dan Cucu melihat MB Pahang menyuarakan berbagai usul tentang pembangunan kerajaan negeri. Kelihatan juga serangan balas daripada YB Pakatan Rakyat yang diketuai oleh YB Leong Ngah Ngah (DUN Triang). Tampak YB Triang ini begitu yakin dan bersahaja dalam mengeluarkan hujah-hujah bernasnya. Dalam kehangatan itulah maka terjelmalah beberapa insiden yang tidak diingini. Ini berkaitan MB Pahang Dato' Nan yang sengaja menimbulkan berbagai spekulasi yang ternyata tidak masuk akal. Ini terbukti dengan beberapa kenyataannya yang sungguh memualkan untuk didengari. Bahkan ada juga kenyataan beliau yang amat mengelirukan dan membuka pekung didada.

Antara insiden tersebut ialah kenyatan Adnan tentang kerajaan negeri akan bersikap adil kepada semua rakyat miskin tidak kira bangsa, agama dan fahaman politik masing-masing. Kononnya untuk kesejahteraan rakyat beliau akan akan berlaku adil untuk semua (keadilan untuk semua). Sungguh melucukan kenyataan MB Pahang ini, bercakap boleh tapi hakikatnya "jauh panggang dari api". Yang dibantu dan ditolong hanya rakyat yang menyokong parti pemerintah semata-mata, bagi yang menyokong pembangkang pasti dianggap pengkhianat dan petualang. Seolah-olah apabila menyokong pembangkang rakyat akan dianggap seperti "Komunis" dinegara berdaulat seperti Malaysia ini. Semua ini amat mengecewakan kita sebenarnya. Maka itu banyak rakyat yang tidak dibela semata-mata hanya kerana perbezaan fahaman politik masing-masing. Jika pun ada yang ingin memohon bantuan, tabung kebajikan, atau lain-lain, pasti yang pertama akan ditanya ialah "Berapa nombor ahli UMNO awak?". Inilah dia mentaliti pemimpin yang kononnya ingin bersikap adil kepada semua rakyat. Tidak langsung timbul perasaan dibenak hati mereka bahawa mereka menjadi pemimpin untuk semua rakyat bukan parti-parti tertentu. Buktinya rakyat baik apa jua fahaman politik tetap membayar cukai kepada kerajaan memerintah. Ini bermakna gaji dan elaun mereka yang diangkat sebagai pemimpin itu dibayar oleh rakyat. Namun atas nama ingin bersikap adil dan saksama, mereka "menganaktirikan" rakyat yang tidak sehaluan dengan aspirasi mereka.

Dalam hal pembinaan gelanggang rakyat untuk semua DUN oleh Kementerian Belia Dan Sukan sekali lagi MB bertindak tidak adil apabila hanya diberikan untuk DUN dari BN semata-mata. Sebaliknya lima DUN pembangkang Pahang tidak akan mendapat keistimewaan itu. Walhal dalam DUN terbabit juga ada ramai rakyat yang menyokong mereka. Kerana kebodohan dan kedangkalan berpolitik, maka mereka mengganggap semua kerusi yang jatuh ke tangan pembangkang tidak akan diberi faedah seperti DUN lain, atas alasan rakyat dikawasan terbabit menyokong pembangkang. Mereka mengganggap 100% rakyat memihak kepada parti lawan, lantaran itulah projek tidak akan diagihkan dikawasan terbabit. Walhal ramai juga penyokong mereka di kawasan berkenaan. Inilah balasan kepada rakyat yang hidup dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini.

Adnan juga banyak mengulas isu perkauman yang kononnya sukar untuk diubah dalam masa 50 tahun. Katanya British yang bertanggungjawab memisahkan komuniti kaum di negara ini. Mereka membawa masuk orang-orang Tionghua dan India untuk bekerja. India di bawa masuk bekerja di estet-estet dan Tionghua pula berniaga di pekan-pekan. Manakal orang-orang Melayu dibiarkan bekerja di kampung-kampung. Inilah yang menyebabkan senario ini berlaku hingga ke hari ini. Ketika ditanya oleh YB Triang, mengapakah kerajaan yang ada tidak mengubah apa yang berlaku ini. Beliau sekali lagi menyatakan bahawa amat sukar untuk melakukannya kerana ia sudah berlaku. Ini menyebabkan YB Triang itu tidak berpuas hati dan sedikit kecewa.

Dalam masa yang sama Adnan telah menghina dirinya sendiri dengan mengakui dirinya memang "samseng" agaknya. Ini berikutan kenyataannya yang mengatakan ayahnya berasal dari keturunan Bugis dan ibunya dari keturunan Minangkabau. Ini bermakna katanya Minangkabau ramai "Imam-imam" dan Bugis pula adalah dari jenis "Penyamun". Ini jelas membuktikan yang Adnan menghina dirinya sendiri di dalam dewan undangan negeri Pahang. Bahkan kenyataannya itu turut disaksikan oleh semua YB kerajaan dan pembangkang termasuk juga pemerhati dan pihak media sendiri.

Lebih melucukan, Adnan sekali lagi cuba ingin berperang dengan pihak media arus perdana. Ini berikutan beliau memberi amaran kepada pihak media agar tidak menyiarkan beberapa kenyataan sumbangnya itu. Beliau menempelak bahawa media arus perdana "Baca boleh, tapi jangan percaya 100%". Lebih hairan selama ini kita ingatkan kenyataan sebegini hanya dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang sahaja. Bukankan media arus perdana selama ini yang menjadi wadah perjuangan mereka untuk menjatuhkan gerakan pembangkang di negara ini. Kini Adnan sendiri, pemimpin dalam sebuah negeri yang dikuasai BN secara terang-terangan menempelak media yang memenangkan mereka selama ini. Kita tidak hairan jika kenyataan itu ditujukan kepada akhbar pembangkang seperti Harakah, Siasah, Suara Keadilan, Wasilah dan sebagainya. Ini tidak, MB UMNO marahkan akhbar kerajaan sendiri. Bukankah pelik bunyinya !
Apapun diakhir persidangan MB Pahang itu, sempat menyatakan bahawa kerajaan yang dipimpinnya tetap akan berubah suatu hari nanti.

Perubahan pasti akan berlaku katanya, ini berikutan senario semasa dimana pertukaran kerajaan sering berlaku dimana-mana negara di dunia hari ini. Begitulah juga katanya di negeri Pahang itu sendiri. Beliau berkata demikian menjawab soalan YB Triang perihal sikap pembangkang yang tidak membangkitkan isu penjualan tanah UMNO baru-baru ini. Perubahan katanya bukan setakat berlaku kepada kerajaan, malahan juga turut membabitkan parti politik dan tamadun sesebuah negara itu sendiri. Ini bermakna beliau percaya yang BN tidak akan selama-lamanya memerintah negara ini. Akan tiba masanya kepimpinan negara ini berubah mengikut aspirasi rakyat terbanyak.

YB Leong Ngah Ngah (bertali leher) sudah 4 penggal menjadi ADUN DAP Pahang

Walaubagaimana pun kita ucapakan syabas kepada MB Pahang itu yang akhirnya bersetuju untuk memasukkan wakil pembangkang ke dalam jawatankuasa baru dewan iaitu YB Triang (DAP) dan YB Semantan (PAS) dilantik sebagai AJK Kira-Kira Wang Negeri bagi penggal pertama DUN Ke-12. Manakala itu YB Triang (DAP) selaku Ketua Pembangkang juga telah dilantik sebagai AJK Peraturan Majlis Dewan Negeri. Itu pun setelah ditempelak oleh wakil pembangkang tentang ketelusan kerajaan negeri sekiranya wakil pembangkang tidak dimasukkan sebagai ahli jawatankuasa tersebut.

Persidangan berakhir sekitar jam 1.30 petang. Cucu sempat beramah mesra sekali lagi dengan rakan-rakan di dewan dan mengucapkan selamat bertugas kepada semua. Sempat juga menjamu selera bersama YB Triang (Leong Ngah Ngah) di cafe Wisma Seri Pahang selepas itu. Sebelum itu, Cucu sempat berbual dengan calon BN yang menang di DUN Kemanyan ketika menentang Cucu dulu. Syabas Cucu ucapkan kepadanya, dan Cucu mengatakan biarpun kalah tetapi Cucu tetap menang maruah. Perjuangan harus diteruskan. Terima kasih semua rakan-rakan termasuk Nancy yang membantu memasukkan nama Cucu untuk menyaksikan sendiri perjalanan persidangan dewan undangan negeri Pahang itu. Semoga akan bertemu lagi dalam persidangan seterusnya selepas ini.

[ Kesihan sungguh melihat YB Triang dari DAP Leong Ngah Ngah, yang sudah 4 penggal menjadi wakil rakyat dalam DUN Pahang yang tidak pernah merasa jemu untuk terus bersama dalam mempertahankan hak serta nasib rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Beliau bukan sahaja amat disayangi oleh orang Tionghua di Triang malahan juga orang-orang Melayu. Hinggakan ada yang memanggil nama timangannya "Pak Ngah". Menurut kisahnya Pak Ngah amat sayangkan rakyatnya, hingga sanggup memandu kereta meredah malam untuk membawa seorang pesakit ke klinik setelah tiada kenderaan lain lagi yang sanggup menghantar pesakit ke hospital. Bayangkan beliau sanggup tinggalkan tidurnya biarpun beliau sendiri mengalami penyakit yang agak serius. Tahniah kita ucapkan kepada YB Leong Ngah Ngah selaku Ketua Pembangkang yang paling berkaliber di Dewan Undangan Negeri Pahang selama ini ]

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |