Harakahdaily Mon | Jun 02, 08 | 3:50:39 pm MYT | |
IPOH,2 Jun (Hrkh) - Kerajaan Negeri Perak tidak berhasrat mencari kesalahan apabila membangkitkan isu peruntukan RM8 juta yang dibelanjakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan bekas exco Barisan Nasional (BN) dalam tempoh dua bulan sebelum pilihan raya umum Mac lalu, kata Menteri Besar Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Beliau berkata perkara yang menjadi persoalan sekarang ialah mengenai perincian projek-projek kecil dan kosnya untuk mendapat justifikasi perbelanjaan berkenaan. Katanya kerajaan negeri bukannya ingin menyalahkan kepemimpinan sebelum ini atau menghadapkan mereka ke mahkamah, tetapi hanya ingin tahu perincian dalam perbelanjaan itu. "Dalam dua bulan setengah, apa jenis perbelanjaan mereka, jelaskan. Kita bukan nak kata mereka salah. Cuma senaraikan perbelanjaan dan masyarakat akan lihat perbelanjaan RM8 juta dalam dua setengah bulan, kita bukan nak dakwa," katanya dipetik Bernama selepas merasmikan Persidangan Geosains Kebangsaan di sini hari ini. "Rakyat Perak berhak tahu kerana wang RM8 juta itu duit rakyat. Apa yang mereka belanja, Untuk apa? Kalau buat jambatan kecil, menurap jalan atau membaiki bangunan, kita tak persoal. Itu hak rakyat. Memang sewajarnya dibelanjakan," tambahnya. Beliau berkata jika Adun dan exco BN menjelaskan perbelanjaan berkenaan, maka rakyat sendiri boleh menilai sama ada nilai projek berkenaan setimpal dengan jumlah yang diperuntukkan. Menteri Besar juga berkata walaupun dana RM8 juta itu habis dibelanjakan oleh Adun dan bekas exco terdahulu, kerajaan negeri masih mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi melaksanakan projek pembangunan di Perak. Jumaat lalu, Kerajaan negeri Perak meminta kerajaan BN yang memerintah negeri sebelum ini supaya menjelaskan kepada rakyat mengenai dana pembangunan RM8 juta yang dibelanjakan dalam masa dua bulan sebelum pilihan raya umum. Exco Kanan Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air serta Hal-ehwal Bukan Islam, Dato' Ngeh Koo Ham, berkata kerajaan negeri sangat terkejut dengan cara peruntukan RM75,000 untuk setiap Adun dan tambahan RM100,000 untuk exco itu dihabiskan kerana dana berkenaan bagi projek kecil. Ekoran kenyataan itu, bekas anggota Exco kerajaan negeri sebelum ini, Dato' Ramly Zahari berkata, peruntukan RM8 juta yang dibelanjakan itu adalah dana kerajaan Persekutuan yang diluluskan pada Oktober 2007 dan ia dibelanjakan dengan sah kerana peruntukan kerajaan pusat dibenarkan dibawa ke tahun berikutnya untuk dimanfaatkan bagi menyiapkan projek-projek kecil. - mks. |
Monday, June 2, 2008
Rakyat Perak mahu tahu ke mana RM8 juta itu - Nizar
Posted by
Sang Pemantau
at
10:45 PM
Labels: Harakahdaily, penyelewengan, Perak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment