Malaysiakini |
Jun 2, 08 9:34pm |
Lima negeri Pakatan Rakyat mengambil keputusan menghentikan pembelian dan iklan dalam dua akhbar kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd dalam rangka memulaukan akhbar tersebut. Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat gabungan tiga parti pembangkang itu baru-baru ini, kata penasihat PKR dalam blognya. Mesyuarat Isnin minggu lalu turut dihadiri presiden parti itu Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalannya Dr Syed Husin Ali dan dua naib presiden Mohamad Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah bagi pihak PKR. DAP diwakili oleh pengerusinya Karpal Singh, tokoh utama Lim Kit Siang dan penasihat seumur hidup Dr Chen Man Hin, manakala PAS disertai oleh presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Minggu lalu di lobi Parlimen, Pakatan menggesa pembaca dan pengiklan supaya memboikot Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang didakwanya terus-menerus menyiarkan laporan yang cuba merosakkan gabungan tersebut. Gesaan itu terkandung dalam satu kenyataan yang ditandatangani bersama oleh Wan Azizah, timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang. Ketika membaca kenyataan tersebut, Wan Azizah mendakwa, dua akhbar itu masih menggunakan cara tidak adil untuk mengkritik dan merosakkan Pakatan dan pemimpin-pemimpin utamanya, seolah-olah kempen pilihanraya masih berjalan. Kenyataan itu juga mendakwa, Utusan cuba mengapi-apikan sentiman perkauman sempit, terutama membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap Pakatan dan pemimpin-pemimpin utamanya. Selain memboikot Utusan, kata Anwar kelmarin, Pakatan juga mengambil keputusan: Membentuk urusetia bersama membincang semua isu berkaitan dan diketuai bersama Dr Syed Husin, Tan Kok Wai (DAP) dan Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS). Mereka ditugaskan menyiapkan draf kerangka dasar bersama Pakatan. Melantik jawatankuasa penyelaras Parlimen antara Azmin, Dr Tan Seng Giaw (DAP) dan Salahuddin Ayub (PAS) bersama beberapa lagi ahli parlimen untuk memastikan wujudnya kerjasama erat dalam semua tindakan di Parlimen. Negeri-negeri Pakatan Rakyat - gabungan yang diumumkan selepas kemenangan besar pembangkang dalam pilihanraya umum 8 Mac - Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan. |
Monday, June 2, 2008
5 negeri berhenti beli, iklan di Utusan
Posted by
Sang Pemantau
at
10:39 PM
Labels: malaysiakini, Pakatan Rakyat, utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment