KUANTAN - Bekalan tepung gandum masih tidak mencukupi.
Demikian luahan rata-rata peniaga kedai runcit di sini apabila diajukan soalan berkenaan isu masalah tepung tidak mencukupi menjelang musim perayaan yang bakal tiba.
Seorang peniaga kedai runcit, Khatijah Muda berkata, masalah kekurangan bekalan tepung tersebut sudah berlarutan hampir sebulan.
"Orang ramai memilih tepung murah (cap kunci) yang harganya RM1.35 sekilogram, tepung mahal orang tak nak.
"Kalau setakat kegunaan sendiri, mungkin mereka tak kisah, tetapi kebanyakannya digunakan untuk berniaga, beli yang mahal mana nak untung. Jika mereka naikkan harga kuih, nanti pelanggan bising," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Jaya berkata, bekalan tepung memang tidak pernah cukup, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
"Pemborong pula suka ambil kesempatan terutamanya ke atas peniaga kedai runcit atau kecil-kecilan seperti kami.
"Bayangkanlah sekampit tepung yang harganya cuma RM33, tetapi apabila dijual kepada kami, dikenakan caj sebanyak RM5.
"Bila ditanya kenapa dicaj, mereka kata bekalan susah dapat dan harganya pula dah mahal, mahu tak mahu kena belilah juga," katanya lagi.
Hamidah Harun, 44, peniaga kuih di bazar Ramadan pula berkata, memang menjadi masalah besar kepadanya lebih-lebih lagi di bulan puasa.
"Kebanyakan kuih dibuat dengan tepung gandum, tepung murah sukar didapati, ada yang mahal sahaja.
"Berapa pula saya hendak caj kepada pembeli, letak harga mahal nanti orang ramai bising. Harap kerajaan dapat berbuat sesuatu bagi menangani masalah kekurangan tepung ini, sekurang-kurangnya ringanlah sedikit beban kami," ujarnya lagi.
0 comments:
Post a Comment