Berita Harian
Keputusan mengejut Fukuda bagi atasi kebuntuan politik
TOKYO: Perdana Menteri Jepun yang tidak popular, Yasuo Fukuda meletakkan jawatan secara mengejut semalam dalam usaha bagi mengatasi kebuntuan politik di negara berkenaan, menjadikannya pemimpin kedua Jepun yang berundur secara tergesa-gesa dalam tempoh kurang daripada setahun.
Fukuda, 72, membuat kejutan itu beberapa hari selepas mengumumkan perbelanjaan baru kerajaan sebanyak dua trilion yen (RM57.6 bilion) bagi merancakkan lagi keadaan ekonomi yang merudum di negara berkenaan. Pertumbuhan menjadi perlahan kerana kekurangan perbelanjaan konsumer berikutan kenaikan harga minyak dan makanan.
"Saya rasa kita mesti mengutamakan kepentingan ekonomi," kata Fukuda dalam kenyataannya yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.
"Jika keputusan ini boleh membantu sesi parlimen dijalankan dengan lebih lancar, saya berpendapat adalah lebih baik bagi orang lain mengambil alih."
Fukuda, yang bapanya juga pernah menjadi Perdana Menteri, memperoleh sokongan rendah di parlimen yang berpecah di antara parti memerintah dan pembangkang. Satu tinjauan pendapat yang dikeluarkan semalam menunjukkan sokongan kepadanya merosot kepada 29 peratus, berbanding bulan lalu.
Fukuda baru-baru ini melantik orang yang disebut-sebut menjadi bakal penggantinya, bekas menteri luar, Taro Aso, sebagai setiausaha agung parti memerintah dalam rombakan kabinet.
Peletakan jawatan Fukuda menyebabkan keadaan politik Jepun terus menjadi tidak menentu sejak pemimpinnya yang popular, Junichiro Koizumi melepaskan jawatan Perdana Menteri setahun lalu.
Calon pilihan Koizumi, Shinzo Abe, hanya mampu bertahan sebagai Perdana Menteri selama setahun dan meletakkan jawatan pada September tahun lalu atas sebab-sebab kesihatan. Fukuda ketika itu dianggap sebagai tokoh lebih berumur dan boleh membawa kestabilan.
Fukuda bagaimanapun tidak berjaya mengatasi masalah perpecahan di parlimen, di mana parti memerintah, Parti Liberal Demokratik (LDP) menguasai dewan rendah dan pihak pembangkang menguasai dewan tertinggi.
Pihak pembangkang yang diketuai Parti Demokratik Jepun (DPJ) berkali-kali melengahkan inisiatif Fukuda untuk meminda undang-undang di parlimen, seperti memperbaharui misi anti keganasan Jepun di Lautan India dan pemilihan gabenor bank pusat.
Masalah ekonomi yang berlarutan juga menganggu gugat kerajaan dalam tempoh beberapa bulan. Keadaan ekonomi merudum dengan teruknya pada suku kedua tahun ini dan menjejaskan usaha yang dimulakan sejak zaman Koizumi.
"Anda mungkin menyatakan untuk meletakkan jawatan pada ketika ini adalah perbuatan tidak bertanggungjawab. Tapi jika prosiding parlimen berjalan lancar, bolehlah saya terus memimpin, namun dalam kes saya, saya juga mempunyai masalah sokongan bersama masalah lain," kata Fukuda.
Fukuda tidak menyatakan bila tarikh peletakan jawatannya berkuat kuasa. � AP/Reuters
OK - Sekurang-kurangnya Jepun ada PM yang bertanggungjawab di atas kegagalannya setelah rakyat semakin muak. Kat Malaysia, PM kita???? UndurLAH..............
0 comments:
Post a Comment