KUALA LUMPUR - Persatuan Pengimport Daging Malaysia (MMIA) dan Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) memberi jaminan bekalan ayam dan daging import cukup untuk menampung permintaan sepanjang bulan puasa dan musim perayaan nanti.
Bagaimanapun, harga bagi bekalan tersebut tidak dapat dipastikan kerana ia bakal ditentukan oleh pasaran sama ada meningkat atau kekal.
Menurut Setiausaha MMIA, Dr. Santhirakesu Rengasamy, bekalan daging import ketika ini banyak dan dapat menampung permintaan yang tinggi.
''Sebenarnya keperluan tidak berapa banyak, bekalan pula cukup, saya fikir tiada masalah, dari segi harga juga tidak akan berlaku kenaikan yang tinggi,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam hasil tinjauan Kosmo! mendapati, harga barangan keperluan di semua pasar basah tidak mengalami kenaikan ketara tetapi kekal pada paras tinggi ekoran kenaikan harga minyak pada Jun lalu.
Malah kos awal menyambut Ramadan untuk persiapan dapur tidak banyak berubah walaupun ada pihak sebelum ini khuatir peniaga mungkin mengambil kesempatan di atas kenaikan permintaan untuk meletak harga lebih mahal.
Santhirakesu ketika diminta mengulas tentang perkara tersebut bagaimanapun tidak menolak kemungkinan harga daging import akan meningkat jika berlaku masalah di rumah sembelihan di India.
"Jika ada masalah dengan rumah sembelihan mungkin bekalan daging import akan terjejas dan harga akan naik,'' jelasnya.
Sementara itu, Penasihat Eksekutif FLFAM, Dr. Abd. Rahman Md. Salleh menjangkakan permintaan meningkat pada minggu pertama Ramadan tetapi berkurangan pada minggu kedua dan ketiga sebelum meningkat semula pada Hari Raya.
0 comments:
Post a Comment