+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, June 5, 2008

Baik untuk ekonomi - pakar ekonomi

Utusan Online




KUALA LUMPUR 4 Jun - Ahli Ekonomi menganggap keputusan kerajaan menaikkan harga minyak tengah malam ini sebagai satu langkah baik bagi jangka panjang ekonomi negara.

"Ia memang memeritkan untuk jangka pendek, tapi membawa banyak manfaat untuk jangka panjang, dari segi kestabilan ekonomi yang lebih baik, dan mengurangkan ketidakseimbangan," kata ketua ahli ekonomi perkhidmatan RAM Consultancy, Dr. Yeah Kim Leng.

Beliau berkata kenaikan itu pada dasarnya bertujuan melegakan kedudukan fiskal Malaysia, supaya dalam tempoh jangka panjang ia akan menjadi lebih efisien dan lebih bersedia berhadapan dengan kenaikan harga, serta lebih teguh.

"Memang kenaikan 40 peratus amat besar dalam sejarah, ia amat bermakna dan cukup besar, tapi sekiranya ia disalurkan dengan teratur untuk projek-projek pembangunan dan untuk penambahbaikan projek-projek pengangkutan awam, orang ramai akan mampu menyokongnya," katanya ketika dihubungi malam ini.

Kim Leng berkata, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain membenarkan kenaikan itu kerana mereka sudah menyekat langkah itu dan tidak membuat sebarang pengubahsuaian, sejak satu setengah tahun lalu, walaupun harga minyak sudah meningkat.

"Ia mengakibatkan bajet defisit bergerak ke tahap tidak mapan. Jadi hari ini anda lihat pengubahsuaian 40 peratus, yang merupakan angka yang cukup besar, tapi masih disertakan dengan subsidi," katanya.

Beliau berkata, cabaran kerajaan ketika ini adalah bagaimana cara menangani reaksi orang ramai terhadap kenaikan harga minyak yang tinggi itu.

"Bagi kumpulan berpendapatan tinggi dan sederhana, kenaikan itu mungkin tidak besar, tapi ia akan menjejaskan permintaan mereka. Mereka mungkin mampu tapi terpaksa mengurangkan simpanan, yang bermakna pendapatan sebenar diturunkan," katanya.

"Bagi kumpulan berpendapatan rendah pula, cadangan kerajaan untuk memberikan rebat boleh membantu mereka menangani kenaikan itu. Perbelanjaan mereka juga akan menjadi kurang, dan pastinya memberi kesan kepada pembelian," katanya.

Beliau menjangka kenaikan dalam harga makanan adalah sederhana.

"Berdasarkan kepada kenaikan harga petrol pada 2006, ia dilihat tidak memberi kesan ketara dalam pertumbuhan ekonomi. Tapi dengan kenaikan terbaru ini, saya jangka kerajaan akan mengkaji semula pertumbuhan ekonomi yang menguncup setengah atau satu peratus," katanya.

Sementara itu pakar ekonomi, Prof. Dr. Mansor Jusoh berkata, pembayaran tunai kepada warga Malaysia yang mempunyai kenderaan persendirian atau motosikal akan memberikan manfaat kepada golongan pertengahan dan bawahan.

"Bagaimanapun, ia tidak menyeluruh kepada golongan miskin yang mungkin tidak mempunyai kenderaan tetapi terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barangan akibat kenaikan harga minyak itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan mekanisme khas bagi membantu golongan miskin.

Pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc (kuasa kuda) serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc akan menerima bayaran tunai RM625 setahun bagi setiap kenderaan yang dimiliki.

Pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc pula akan menerima bayaran tunai RM150 setahun bagi setiap motosikal yang dimiliki.

Pembayaran itu akan diberi apabila pemilik kenderaan terbabit membayar atau memperbaharui cukai jalan atau diberi secara kiriman wang melalui pejabat pos di seluruh negara bermula 1 Julai depan.

- Bernama

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |