+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, June 5, 2008

Tahanan ISA lumpuh akibat psikologi?

Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri & Zahra Hamdan | Jun 4, 08 10:26pm

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan memohon laporan perubatan secara bertulis berhubung dakwaan seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang didera sehingga menyebabkan lumpuh dan akan dibawa ke sebuah pusat rawatan mental.

gmi suhakam isa detainee 040608 sharmilaKeluarga Sanjeev Kumar Krishnan mendakwa lelaki itu dibelasah dalam tempoh siasatan ISA selama 55 hari sejak ditangkap 28 Julai tahun lepas.

Dalam laporan polis 20 Mei lalu, isterinya Sharmila Uthiakumar (foto kanan) mendakwa tahanan kini menggunakan kerusi roda di kem Kamunting, Taiping setelah dipindahkan pada 22 September lalu.

Sewaktu surirumah itu mengadu kepada Suhakam petang tadi, pesuruhanjaya Dr Chiam Heng Keng berkata siasatan awal suruhanjaya itu menunjukkan tahanan mengalami tekanan mental yang serius sehingga menyebabkan beliau mengalami kesakitan pada tubuhnya.

"Kami akan mendapat laporan dari hospital-hospital Taiping dan Pulau Pinang, tetapi diberitahu kepada Suhakam secara lisan oleh hospital (Taiping) bahawa diagnosis terhadap Sanjeev menunjukkan tidak organik, tidak ada apa-apa masalah terhadap otaknya," kata Dr Chiam.

"(Menurut doktor) Sanjeev mengalami tekanan perasaan dan sindrom pertukaran (conversion syndrome), yakni (satu) masalah psikologi. 'Sindrom pertukaran' satu istilah psikologi yang merujuk keadaan keresahan yang bertukar menjadi masalah perubatan (pada jasmani pesakit)."

Beliau menjelaskan Suhakam akan mendapatkan laporan perubatan untuk mengenal pasti masalah dan simptom yang sebenarnya.

"Tentunya sebagai seorang pakar psikologi, saya tidak menolak kemungkinan (bahawa) akibat terkurung dalam tahanan menyebabkan keadaan sangat menekan (perasaan seseorang tahanan).

"Saya tidak menolak kemungkinan itu. Kami pasti akan membuat susulan kes ini, dan jika perlu, melawat beliau sekali lagi untuk melihat sendiri (tahanan)," katanya sewaktu Sharmila dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyerahkan aduan kes ini.

gmi suhakam isa detainee 040608 01"Mungkin sebagai seorang ahli psikologi, saya sendiri perlu melawatnya dan melihat kemungkinan tersebut," tambah Dr Chiam (foto, kanan).

"Jika ia akibat (kesan) psikologi, adalah penting, bagi beliau mendapat bantuan. Tetapi syor kami ialah beliau disiasat dan dibicarakan di mahkamah."

Dr Chiam sebelum ini merupakan seorang profesor psikologi sosial di Universiti Malaya selama 13 tahun.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam telah melawat Sanjeev Kumar dan hospital Taiping pada 7 Mei lalu.

Menurut Suhakam, hospital Taiping tidak mempunyai kepakaran dalam bidang itu, dan maka ia merujuk tahanan kepada hospital Pulau Pinang pada 21 hingga 24 Mei.

Suruhanjaya itu juga menyatakan pihaknya telah cuba mendapatkan laporan lengkap daripada Jabatan Penjara - yang menyelia kem tahanan tersebut - sejak sebulan lepas tetapi masih gagal mendapatkannya.

Ia tidak menolak kemungkinan mengadakan satu lagi lawatan untuk bertemu Sanjeev Kumar bagi mendapatkan maklumat lengkap.

Walaupun tidak ikut serta dalam lawatan bulan lalu, Dr Chiam berkata beliau menjelaskan perkara ini bagi menunjukkan ada kemungkinan "kelumpuhan itu bukan faktor jasmani tetapi akibat kesan psikologi."

Walaupun belum jelas buat masa kini sama ada Sanjeev Kumar akan dihantar ke Hospital Bahagia, tambah Dr Chiam, isu utama sekarang adalah memberi rawatan sebaiknya kepada tahanan.

GMI dalam memorandumnya itu mendakwa tahanan itu telah memaklumkan kepada keluarganya pada 1 Jun bahawa beliau "kemungkinan besar akan dihantar ke Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan".

"Berita terbaru ini telah mengejutkan isteri beliau (sewaktu lawatan keluarga) dan juga GMI.

"Mengapakah beliau dihantar ke Hospital Bahagia yang dikhaskan untuk pesakit mental? Adakah pihak pengurusan Kamunting cuba menutup sesuatu daripada kita semua?" kata pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh.

Suhakam memaklumkan, Sanjeev Kumar dijadualkan menerima rawatan psikiatri dan fisioterapi di hospital Taiping minggu depan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |