+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, June 5, 2008

Harga petrol diesel naik, stesen minyak seluruh negara diserbu

Mstar Online

05-06-2008 10:07:08 AM
BEZA KUANTITI BAGI SETIAP RINGGIT... Azhan Sharom, 23, yang ditemui di Jalan Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu menunjukkan botol berisi minyak bagi setiap ringgit yang dibelanjakan. Kuantiti botol kiri berdasarkan harga lama manakala yang kanan pula jika mengikut harga baru, berkuat kuasa tengah malam tadi. Foto The Star

(Mutakhir) PETALING JAYA: Orang ramai menyerbu stesen-stesen minyak di seluruh negara sepanjang malam tadi ekoran keputusan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel yang masing-masing meningkat 78 sen dan RM1 bagi setiap liter, kuat kuasa tengah malam tadi.

Dengan kenaikan itu, yang mengejutkan banyak pihak, harga baru petrol dipam adalah RM2.70 seliter manakala diesel RM2.58 seliter.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) pula dibenarkan menaikkan tarif elektrik di Semenanjung mulai 1 Julai ini memandangkan ia memerlukan kos yang tinggi bagi gas.

Bagaimanapun perubahan harga bahan api pada kali ini tidak melibatkan gas. Harga bahan api akan disemak dari bulan ke bulan mengikut perubahan harga global.

Negara-negara jiran, Indonesia dan Thailand telah menaikkan harga minyak sejak seminggu lalu manakala India pula berbuat demikian hari ini.

Kerajaan juga memutuskan untuk membatalkan larangan penjualan minyak kepada kenderaan asing di wilayah utara, timur dan selatan negara.

Kenaikan terakhir dikuatkan oleh kerajaan ialah pada 28 Februari 2006 melibatkan kenaikan 30 sen bagi seliter petrol kepada RM1.92 seliter.

Bercakap pada sidang akhbar di Putrajaya petang semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, bagi mengurangkan beban kenaikan petrol dan diesel khususnya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, Kabinet bersetuju memberi bayaran tunai kepada warga Malaysia yang memiliki kenderaan persendirian termasuk pemilik motosikal.

"Bagi pemilik kenderaan persendirian yang berkapasiti enjin sehingga 2000cc (kuasa kuda) serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc, bayaran tunai sebanyak RM625 setahun bagi setiap kenderaan akan diberikan.

"Bagi pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc, bayaran tunai sebanyak RM150 setahun bagi setiap motosikal akan diberikan," katanya.

Bayaran

Bayaran tunai ini akan diberi apabila pemilik kenderaan dan motosikal membayar atau memperbaharui lesen kenderaan bermotor iaitu cukai jalan.

Bayaran ini meliputi kenderaan dengan cukai jalan yang berkuat kuasa mulai 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.

Perdana Menteri juga berkata, bayaran tunai ini akan diberikan secara kiriman wang di pejabat pos di seluruh negara mulai 1 Julai ini.

Perdana Menteri juga berkata, bayaran tunai ini akan diberikan secara kiriman wang di pejabat pos di seluruh negara mulai 1 Julai 2008.

Kenaikan tertinggi

Kenaikan ini yang tertinggi selepas kenaikan terakhir pada 28 Februari 2006 melibatkan kenaikan 30 sen bagi seliter petrol dan diesel, masing-masing kepada RM1.92 dan RM1.58 sen seliter.

Pengumuman terbaru kerajaan ini juga sebahagian daripada mekanisme baru skim subsidi bahan api iaitu antara usaha untuk mengurangkan pembiayaaan subsidi bahan api sebanyak RM53 bilion setahun.

Langkah kerajaan mengapungkan harga bahan api itu mengikut harga pasaran global masih menjadikan Malaysia antara negara yang menawarkan harga bahan api yang terendah di rantau ini.

Harga baru itu jauh lebih rendah berbanding RM5.20 (petrol) dan RM4.33 (diesel) di Singapura yang mengapungkan bahan api berkenaan.

Perdana Menteri berkata, bagi pemilik kenderaan dan motosikal yang tidak termasuk dalam kategori bayaran tunai itu, Kabinet telah memutuskan untuk mengurangkan cukai jalan mengikut kadar berikut berkuat kuasa 1 Jun lalu:

  • Bagi pemilik kenderaan persendirian petrol dan diesel berkapasiti enjin melebihi 2000cc, cukai jalan akan dikurangkan sebanyak RM200.
  • Bagi pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin lebih daripada 250cc, cukai jalan
    akan dikurangkan sebanyak RM50, tertakluk kepada cukai jalan minimum sebanyak RM2.

Abdullah juga berkata, harga Gas Petroleum Cecair (LPG) dan Gas Asli(NGV) bagi kenderaan tidak akan berubah, dan harga LPG dan NGV tetap pada kadar sedia ada iaitu RM1.75 setiap kilogram dan 63.5 sen setiap liter.

Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan penyelarasan subsidi diesel untuk syarikat pengangkutan yang diluluskan, syarikat pengangkutan vesel dan nelayan.

"Pada masa ini operator pengangkutan, nelayan dan pemilik vesel menikmati harga subsidi berbeza bagi diesel," katanya.

Harga diesel adalah RM1 seliter untuk nelayan dan RM1.20 bagi pemilik vesel.

Perdana Menteri berkata Kabinet telah bersetuju untuk menyelaraskan harga diesel kepada RM1.43 seliter berkuat kuasa esok (5 Jun).

"Harga yang diselaraskan ini tidak akan menjejaskan syarikat pengangkutan di bawah sistem fleet card kerana mereka akan terus menikmati subsidi petrol dan diesel pada harga ini," kata Abdullah.

Untuk ini, kerajaan bersetuju untuk membayar sebahagian daripada perbezaan harga lama dan baru secara tunai kepada nelayan dan pemilik vesel seperti berikut:

  • Bayaran tunai sebanyak RM200 setiap bulan bagi setiap pemilik dan pekerja vesel rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan.
  • Bayaran insentif kepada pemilik vesel pada kadar 10 sen sekilogram hasil tangkapan ikan yang didaratkan oleh vesel perikanan berdaftar di pusat pendaratan ikan di dalam negara.

"Pembayaran akan diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Kabinet juga telah memutuskan pengusaha bot penumpang sungai akan diberi bayaran tunai sebanyak 10 sen seliter berdasarkan kuota yang diluluskan," kata Abdullah.

Beliau juga mengumumkan mulai 1 Julai, 2008, harga gas yang dibekalkan oleh Petronas di Semenanjung Malaysia akan diubah seperti berikut:

  • Bagi sektor elektrik, harga akan dinaikkan daripada RM6.40 setiap mmBtu (juta unit Termal British) kepada RM14.31 setiap mmBtu.
  • Bagi pengguna sektor industri yang menggunakan kurang daripada 2 mmscfd (juta standard kaki persegi sehari), harga yang ditetapkan oleh Gas Malaysia Sdn Bhd (GMSB) akan dinaikkan daripada RM9.40 setiap mmBtu kepada RM24.54 setiap mmBtu.
  • Bagi pengguna sektor industri yang menggunakan lebih daripada 2 mmscfd, harga gas yang dibekalkan oleh Petronas akan dinaikkan daripada RM11.32 setiap mmBtu kepada RM32.56 setiap mmBtu.

"Bagaimanapun, bantuan khas akan diberikan kepada pengguna GMSB iaitu bagi kategori perusahaan kecil dan sederhana. Pengguna ini akan menghadapi kenaikan yang lebih rendah bagi kadar tarif gas.

"Selaras dengan dasar tenaga boleh diperbaharui, Petronas akan mengurangkan subsidi bagi sektor elektrik secara progresif sejajar dengan harga pasaran semasa, sehingga tahun ke-5, apabila parasnya mencecah harga pasaran," kata Abdullah.

Pada masa yang sama, kata beliau, subsidi bagi sektor industri akan dikurangkan secara progresif sejajar dengan harga pasaran, sehingga tahun ke-1 apabila parasnya mencecah harga pasaran.

Dalam mengumumkan struktur baru tarif elektrik, Perdana Menteri berkata, TNB terpaksa menampung kenaikan harga arang batu di pasaran dunia.

Katanya, dengan penstrukturan semula subsidi gas dan kenaikan harga arang batu, kerajaan telah meluluskan satu struktur baru tarif elektrik bagi membolehkan TNB menyerapkos bahan api bagi gas dan arang batu.

Struktur tarif baru yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2008, akan diguna pakai oleh semua pengguna domestik, komersial dan industri di Semenanjung Malaysia sahaja dan satu struktur baru akan diumumkan tidak lama lagi bagi Sabah dan Sarawak, kata Abdullah.

Selaras dengan hasrat kerajaan melindungi sebaik mungkin kebajikan golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, struktur tarif elektrik yang baru ini tidak akan menjejaskan pengguna yang menggunakan 200 Kilowat Jam (kWj) ke bawah setiap bulan dengan anggaran bil elektrik kurang daripada RM43.60.

"Ini bermakna, 59 peratus isi rumah di Semenanjung Malaysia akan membayar kadar yang sama selagi mereka mengekalkan tahap penggunaan yang sama," kata Abdullah.

Bagaimanapun, katanya pengguna komersial dan industri akan mengalami peningkatan sebanyak 26 peratus.

"Bagaimanapun, bagi kategori komersial dan industri, pertimbangan dibuat kepada peruncit, pekedai dan pengusaha restoran kecil, serta pengguna industri seperti perusahaan kampung yang menggunakan tidak lebih daripada 200 Kilowat Jam (kWj) setiap bulan akan hanya mengalami kenaikan 18 peratus," katanya.

Bercakap mengenai sumbangan syarikat penjana tenaga bebas (IPP) dan pengeluar minyak kelapa sawit (POP) ke arah mengurangkan beban rakyat, Abdullah berkata, IPP dijangka menjana keuntungan lebih daripada pulangan pasaran.

"Selaras dengan penstrukturan semula subsidi bagi gas, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan peruntukan di bawah Akta Levi Keuntungan Berlebihan 1998 ke atas IPP, sebagai sumbangan mereka terhadap kenaikan kos bahan api untuk menjana tenaga elektrik.

"Kuantum bagi levi itu adalah 30 peratus daripada lebihan pulangan aset pada nilai ambang melebihi 9 peratus berdasarkan akaun mereka yang diaudit," katanya.

POP juga, kata Perdana Menteri telah mencatatkan kenaikan untung ekoran harga minyak kelapa sawit yang tinggi di pasaran dunia.

Oleh itu, katanya, Kabinet juga bersetuju untuk memansuhkan levi sistem subsidi minyak masak (COSs) yang sedia ada berkuat kuasa 1 Julai 2008, dan sebagai penggantinya memutuskan pelaksanaan peruntukan mengikut Akta Levi Keuntungan Berlebihan 1998 ke atas POP.

Levi berikut akan dikenakan pada peringkat pemproses:

  • Bagi Sabah dan Sarawak, 7.5 peratus bagi setiap tan minyak mentah kelapa sawit (CPO) yang melebihi RM2,000.
  • Bagi Semenanjung Malaysia, 15 peratus bagi setiap tan CPO yang melebihi RM2,000.

"Walaupun COSS telah dimansuhkan, harga minyak masak tetap sama kerana hasil daripada pelaksanaan levi baru ini akan digunakan untuk membiayai subsidi minyak masak.

"Kadar levi bagi POP di Sabah dan Sarawak adalah lebih rendah memandangkan mereka juga perlu membayar cukai kepada kerajaan negeri," kata Abdullah. BERNAMA


0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |