| Pengumuman kerajaan mengenai kenaikan masing-masing 40 dan 63 peratus harga  petrol dan diesel amat mengecewakan seluruh rakyat sehingga mereka "terasa  tertipu", kata presiden PKR.
 "Dalam pada kononnya kerajaan simpati  dengan beban yang ditanggung rakyat atas kenaikan harga barang, tindakan  kerajaan ini barang pasti akan melonjakkan lagi harga tanpa mampu dibendung dan  ditanggung rakyat," kata Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan hari ini.
 
 Beliau berkata hujah kerajaan bahawa kenaikan tersebut akibat kenaikan  harga minyak mentah dunia dan kerajaan terlalu terbeban dengan subsidi sebagai  "alasan basi" dan tidak dapat diterima rakyat.
 
 
  "Bukan setakat itu sahaja, kenyataan bercanggah beberapa  menteri berkenaan jumlah subsidi minyak, banyak menimbulkan persoalan. 
 "Datuk Shahrir Samad baru-baru ini mengatakan subsidi minyak adalah  sebanyak RM56 billion manakala semalam Tan Sri Nor Mohamad Yakcop mengatakan  subsidi minyak sekadar RM28 billion.
 
 "Apatah lagi menurut Laporan  Kewangan Kerajaan 2007, anggaran keseluruhan subsidi 2007 adalah RM12.0 billion,  justeru itu kami menganggarkan bahawa jumlah subsidi petrol adalah hanya sekitar  RM8-10 billion," katanya.
 
 Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca)  pula menggesa duit sebanyak RM13.7 bilion hasil penjimatan bagi mengurangkan  beban kos sara hidup pengguna.
 
 Gabungan itu mencadangkan kerajaan  meningkatkan khidmat pengangkutan awam dan menyelaraskan kadar perkhidmatan lain  dengan tarif baru elektrik.
 
 “Di samping tarif elektrik, tarif dan  kadar-kadar (caj) perkhidmatan telekomunikasi, air, cukai jalan, tambang  pengangkutan awam, (yuran) kesihatan, pendidikan dan perumahan harus  diselaraskan supaya golongan berpendapatan rendah dan sederhana mendapat  keselesaan hidup," kata setiausaha agungnya Muhammad Sha’ani  Abdullah.
 
 Beliau juga berkata, kerajaan harus menggesa bank-bank  menjadualkan semula bayaran balik pinjaman, termasuk kemudahan kad kredit dan  overdraf yang bermasalah.
 
 Fomca turut mencadangkan ahli-ahli Kumpulan  Wang Simpanan Persekutuan (KWSP) diberikan pinjaman perumahan dengan kadar  faedah yang rendah melalui Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dan Syarikat  Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk golongan berpendapatan rendah.
 
 Wan  Azizah juga berkata, Malaysia adalah negara pengeksport minyak mentah, justeru  harga petrol dalam negara perlu dibandingkan dengan negara-negara pengeksport  minyak seperti Emirian Arab Bersatu atau Nigeria (lihat  jadual).
 
 Ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melahirkan  kebimbangan mengenai kenaikan harga minyak yang berkuatkuasa hari ini.
 
 Guan Eng, yang kini dalam lawatan ke Korea, berkata kenaikan mendadak  ini “tidak efisyen dari segi sosial dan tidak adil dari segi ekonomi” kerana ia  tidak mengambil kira masalah meningkatkan produktiviti dan penjimatan  tenaga.
 
 Beliau juga menganggap kenaikan itu “pro-orang kaya dan menghukum  si miskin” selagi syarikat besar seperti pengeluar tenaga independen terus  dibekalkan subsidi.
 
 Katanya, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad  Badawi harus mengkaji sama ada langkah yang dilaksanakan ini benar-benar dapat  meringankan beban golongan berpendapatan rendah.
 
 Teras Pengupayaan Melayu  (Teras) pula menuntut kerajaan menjelaskan kedudukan perbelajaan Petronas dengan  lebih telus dan mewujudkan satu polisi berhemat penggunaan pendapatan negara.
 
 Pengerusinya Mohd Azmi Abdul Hamid melahirkan rasa bimbang dengan  ketirisan keuntungan Petronas yang menunjukkan kerajaan tidak bersungguh-sungguh  menjaga kebajikan rakyat.
 
 "Kami khuatir dengan gejala ketirisan  perbelanjaaan Negara serta keuntungan besar Petronas yang masih dibelanjakan  dengan keadaan tidak telus membuat rakyat mempunyai prasangaka besar bahawa  kerajaan tidak bertindak bijak ke atas kebajikan rakyat," katanya.
 | 
0 comments:
Post a Comment