+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, July 11, 2008

Pak Lah undur 2010


Berita Harian


SEPAKAT: Abdullah dan Najib ketika sidang media selepas Taklimat Khas Presiden Umno di PWTC, semalam.

Peralihan kuasa beri peluang kepada Najib buat persediaan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menamatkan spekulasi berhubung proses peralihan kuasa dalam kepimpinan parti dan kerajaan apabila mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada pertengahan 2010 dengan menamakan Datuk Seri Najib Razak sebagai penggantinya.

Sehingga tempoh itu, Perdana Menteri dan Najib masing-masing akan mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti, Disember ini.

Mengumumkan keputusan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan taklimat khas bersama Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam, Abdullah berkata:

“Saya memaklumkan kepada MT bahawa saya sudah mencapai kata sepakat dengan Najib bahawa saya tidak akan memimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

“Bermakna satu peralihan kuasa perlu diwujudkan dan ia bermula dengan apa yang diumumkan hari ini iaitu saya bercadang menyerahkan jawatan kepada Najib untuk ambil alih jawatan parti pada Jun atau pertengahan 2010.”

Abdullah berkata, keputusan itu juga dimaklumkan kepada ketua bahagian yang menghadiri taklimat khas selepas mesyuarat MT dan mendapat maklum balas positif apabila beliau menerima ‘standing ovation’ yang disifatkannya sebagai merestui proses peralihan kuasa itu.

Perdana Menteri berkata, keputusannya itu dibuat bagi mengukuhkan parti dan memastikan semua program yang dirancang dan dijanjikan kepada rakyat pada pilihan raya umum lalu dapat dilaksanakan dengan baik.

“Saya juga sudah nyatakan kepada Najib bahawa saya inginkan beliau terus menjadi timbalan saya sehingga tarikh saya menyerahkan jawatan kepadanya,” katanya.

Isu berhubung peralihan kuasa itu mula dibangkitkan pelbagai pihak selepas BN gagal memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum, Mac lalu. Sejak itu, Abdullah didesak melaksanakan pelan peralihan kuasa kepada Najib berdasarkan amalan biasa Umno.

Perdana Menteri menjelaskan, tarikh pertengahan 2010 dipilih untuk memberi beliau dan Najib peluang menempuh proses pemilihan parti, selain membolehkan penggantinya membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Adalah penting untuk membuat pengumuman sekarang kerana proses peralihan kuasa perlu mengambil masa dan ia dapat memberi peluang kepada Najib menghadiri forum dan mesyuarat yang lazimnya saya hadiri bagi mewakili kerajaan dan membolehkan Najib berinteraksi dengan pemimpin negara lain. Beliau juga akan berkesempatan menjalankan tugas saya dari semasa ke semasa,” katanya.

Ditanya apakah proses peralihan kuasa akan berlaku sepenuhnya, Abdullah berkata: “Anda tunggu hingga tiba masanya, apabila ia berlaku, anda akan tahu.”

Mengenai peranannya selepas 2010, Abdullah berkata, penggantinya akan diberi kuasa sepenuhnya untuk mentadbir kerajaan dengan caranya sendiri.

“Terpulang kepada kebijaksanaan Najib memimpin kerajaan. Saya tidak akan tukar pandangan kerana keputusan sudah dibuat. Nampaknya ia akan menjadi peralihan kuasa yang cantik,” katanya menjawab soalan jika wujud desakan supaya beliau melepaskan jawatan sebelum 2010.

Ditanya sama ada beliau sedih dengan keputusan yang dibuat itu, Abdullah berkata: “Tentu sekali, tetapi saya lebih rasakan yang saya sudah mengambil satu tindakan yang diterima baik dan itu yang dikehendaki.

“Saya berpendapat, peralihan kuasa mesti dilaksanakan dalam proses baik dan disenangi parti. Dengan cara ini pihak yang akan mengganti saya akan menjadi pemimpin kepada parti, bukan kepada setengah parti atau geng dia saja.”

Perdana Menteri berkata, jika pertarungan atau pertandingan dibiarkan berlaku dalam proses memilih pemimpin, beliau bimbang akan berlaku perpecahan dalam parti yang tentu akan merunsingkan ahli Umno sendiri.

“Peralihan kuasa adalah pendekatan paling baik, parti tidak berkocak, semua berjalan baik, kepemimpinan terus berjalan dan parti tidak perlu dibaiki lagi. Itu yang saya rasa. Apa yang saya lakukan, saya bersyukur dan saya juga rasa bersyukur kerana dapat memilih seorang yang dapat memimpin parti dengan baik,” katanya.

Ditanya apakah tindakan ini terlalu awal dan dibuat kerana tekanan, Abdullah berkata: “Tindakan ini wajar, sebelum ini pun ada tekanan dan ada pelbagai pandangan mengenainya tetapi yang penting perasaan saya dalam hal ini dan saya rasa saya mesti serah jawatan kepada pengganti saya dan ini cara yang saya pilih.”

Mengenai pembangkang yang mungkin menganggap pengundurannya itu satu kemenangan pada mereka, Perdana Menteri berkata, beliau akan berhadapan dengan pembangkang dan memastikan semua yang dirancang berjalan lancar.

Beliau juga menyerahkan kepada Ketua Umno bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk membuat keputusan sama ada akan bertanding jawatan tertinggi parti, akhir tahun ini.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |