+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++
Showing posts with label Barisan Rakyat. Show all posts
Showing posts with label Barisan Rakyat. Show all posts

Wednesday, April 2, 2008

Setuju jadi Pakatan Rakyat

Berita Harian


PENASIHAT Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan di Petaling Jaya, semalam, untuk menubuhkan gabungan Pakatan Rakyat bagi menggambarkan kerjasama antara ketiga-tiga parti itu.

DAP, Pas, PKR bentuk gabungan untuk selaras dasar kerajaan di lima negeri

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas bersetuju menubuhkan gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat bagi menggambarkan kerjasama antara ketiga-tiga parti itu.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat antara Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di pejabat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.


Pemimpin ketiga-tiga parti itu, dalam kenyataan bersama, menjelaskan semua negeri di bawah kerajaan campuran PKR, DAP dan Pas akan melaksanakan dasar yang selari dengan Pakatan Rakyat.


Bagaimanapun, nama Pakatan Rakyat yang dicadangkan itu akan disahkan selepas mendapat persetujuan parti masing-masing.

Anwar pada sidang akhbarnya pula berkata, pakatan itu akan dipimpin dan bekerja mengikut prinsip bersama seperti yang dinyatakan dalam manifesto parti masing-masing.Bagi memantapkan kerjasama Pakatan Rakyat, satu Majlis Pimpinan yang dianggotai ketua-ketua ketiga-tiga parti itu akan diwujudkan, selain Sekretariat Bersama yang mempunyai wakil setiap parti.


Anwar berkata, beliau akan hanya mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan itu dan bukan menjadi ketuanya.

Satu konvensyen juga akan diadakan pada 27 April ini bagi meningkatkan persefahaman Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketiga-tiga parti.

Ditanya bagaimana Pas dan DAP yang memiliki ideologi berbeza dapat menerima pendekatan pakatan itu, Anwar berkata, kedua-dua parti itu akan bekerja mengikut prinsip adil dan saksama.

"Kami komited dengan perubahan program yang disokong oleh semangat perlembagaan. Saya tidak nampak kesukarannya. Kami sudah mencapai persetujuan," katanya.

Mengenai parti yang akan menerajui pakatan itu, Anwar menjelaskan kuasa peneraju terletak di tangan rakyat.

"Agendanya jelas. Ia tidak membezakan siapa yang menjadi Menteri Besar. Mereka tertakluk kepada dasar yang ditentukan oleh Pakatan Rakyat," katanya.

Mengenai hasrat Pas menubuhkan negara Islam, Anwar dan Abdul Hadi menjelaskan perkara itu bukan isu yang boleh menyebabkan pertikaian.

"Ia tidak dinyatakan dalam manifesto Pas dan tidak lagi disebut sejak sekian lama. Ia bukan lagi satu isu," kata Anwar.

Abdul Hadi pula berkata, isu itu tidak seharusnya dibangkitkan lagi untuk menimbulkan masalah kerana Islam menyokong prinsip asas seperti menangani rasuah dan mewujudkan kerajaan yang baik.

Sementara itu, Lim ketika mengulas kegagalan mewujudkan pakatan menerusi pendekatan Barisan Alternatif pada 1999 berkata, mereka belajar daripada kesilapan lalu, iaitu kegagalan untuk menubuhkan barisan pembangkang pelbagai etnik.

Ketika dihubungi kemudian, Lim berkata, beliau menjangka rangka kerja Pakatan Rakyat akan dimuktamadkan beberapa minggu lagi.

Katanya, DAP tidak mempunyai hubungan dengan Pas sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu, tetapi mesej rakyat pada hari berkenaan mahukan parti itu bekerjasama untuk mengekalkan keadilan, kebebasan dan demokrasi.

Read More...

Kenyataan penuh pemimpin tertinggi PKR, PAS dan DAP mengenai Pakatan Rakyat

Klpos



Oleh Biro Penerangan PKR
Selasa, 01 April 2008



PEMIMPIN tertinggi parti-parti PKR,DAP dan PAS hari ini telah mengadakan mesyuarat sebagai lanjutan daripada mesyuarat yang telah diadakan pada 18 Mac 2008.

Mesyuarat hari ini dihadiri antara lain oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB En Lim Kit Siang, YB Dato Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang dan YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pada mesyuarat hari ini kami telah mencadangkan untuk memantapkan lagi kerjasama ketiga-tiga parti ini atas nama PAKATAN RAKYAT.

Nama ini telah dicadangkan dan akan disahkan setelah ketiga-tiga parti mendapat persetujuan pimpinan masing-masing dalam masa terdekat ini.

Pakatan Rakyat juga berikrar akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Dengan keputusan pilihanraya yang lepas, kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor akan nantinya dikenali sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Dasar-dasar utama kerajaan negeri ini akan diselaraskan sesuai dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat.

Bagi memantapkan pemahaman atas semua dasar, wakil-wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketiga-tiga parti akan mengadakan satu konvensyen pada 27 April 2008.

Kami juga memperkemas dan memantapkan struktur Pakatan Rakyat dengan diwujudkan di bawah Majlis Pimpinan yang terdiri daripada ketua-ketua tiga parti, sebuah Sekretariat Bersama yang akan diwakili oleh tiga pimpinan daripada setiap parti.

Sekretariat Bersama ini telah ditugaskan untuk membina asas dan kerangka pakatan untuk disahkan oleh Majlis Pimpinan nanti.

YB Datin Seri Dr. Wan Azizah
Dato’ Seri Anwar Ibrahim

YB Encik Lim Kit Siang
YB Dato’ Seri Tuan Guru
Haji Abdul Hadi Awang


Read More...

PAS, DAP dan KeADILan setuju tubuhkan Pakatan Rakyat

Harakahdaily

Tue | Apr 01, 08 | 2:00:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 April (Hrkh) - Pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti KeADILan, DAP dan PAS bersetuju menubuhkan Pakatan Rakyat, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan pagi ini, kata Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Anwar itu turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah serta delegasi masing-masing.

Mesyuarat hari ini mencadangkan untuk memantapkan kerjasama di atas nama Pakatan Rakyat dan nama ini akan disahkan setelah ketiga-tiga parti mendapat persetujuan jawatankuasa pusat masing-masing dalam masa yang terdekat.

"Pakatan Rakyat berikrar akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Dengan keputusan ini, bermakna kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor nanti akan dikenali sebagai kerajaan Pakatan Rakyat," jelas Anwar.

Beliau berkata, dasar-dasar utama kerajaan negeri ini akan diselaraskan sesuai dengan dasar-dasar yang akan ditentukan dalam gagasan Pakatan Rakyat.

Beliau menambah, ketiga-tiga parti akan bermesyuarat di peringkat jawatankuasa masing-masing bagi mengemukakan cadangan kepada sekretariat bersama Pakatan Rakyat yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, bagi memantapkan pemahaman semua dasar yang akan dibentangkan wakil-wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) ketiga-tiga parti akan mengadakan satu konvensyen pada 27 April 2008, di sebuah lokasi yang akan dimaklumkan kemudian.

Read More...

Tuesday, April 1, 2008

Penubuhan Pakatan Rakyat

Suara Keadilan


Petaling Jaya, 1 April - Pimpinan tertinggi parti-parti PKR,DAP dan PAS hari ini mengumumkan hasrat untuk membentuk Pakatan Rakyat yang terdiri daripada tiga parti tersebut.

Selepas sebuah mesyuarat di pejabat Anwar Ibrahim yang dihadiri antara lain oleh Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Tuan Guru Haji Hadi Awang dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail, sebuah kenyataan dibuat yang mengatakan bahawa pemimpin-pemimpin tersebut mencadangkan untuk memantapkan lagi kerjasama ketiga-tiga parti atas nama Pakatan Rakyat.

“Pakatan Rakyat juga berikrar akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara” kata kenyataan yang ditandatangani oleh empat pemimpin utama tiga parti tersebut.

Kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor akan kini dikenali sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Dasar-dasar utama kerajaan negeri ini akan diselaraskan sesuai dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat.

Bagi memantapkan pemahaman atas semua dasar, wakil-wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketiga-tiga parti turut akan mengadakan satu konvensyen pada 27 April 2008. Selain itu, struktur Pakatan Rakyat akan diperkemaskan dengan diwujudkan di bawah Majlis Pimpinan yang terdiri daripada ketua-ketua tiga parti, sebuah Sekretariat Bersama yang akan diwakili oleh tiga pimpinan daripada setiap parti.

Sekretariat Bersama ini telah ditugaskan untuk membina asas dan kerangka pakatan untuk disahkan oleh Majlis Pimpinan nanti.

admin @ April 1, 2008

Read More...

Kerjasama lebih erat dengan India – Azizan

Utusan online


AZIZAN Abdul Razak (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Ashok K. Kantha yang membuat kunjungan hormat di Wisma Darulaman, Alor Star, semalam. – Bernama


ALOR STAR 31 Mac – Kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama lebih erat dengan India bagi meneroka potensi baru dalam pelbagai bidang terutamanya bidang bioteknologi dan farmasi.

Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak berkata, dua bidang itu ternyata boleh memberi faedah dalam bidang ekonomi kepada kedua-dua pihak dan perlu dipandang serius oleh semua pelabur di negeri ini.

Azizan memberitahu, kerajaan India telah mengajak beliau untuk mengadakan lawatan kerja ke sana dan berjumpa dengan para pelabur bagi menerangkan bentuk kerjasama yang boleh dijalankan dengan mereka.

“Saya akan membawa perkara ini kepada Pusat Pelaburan Kedah untuk dikaji dan dipertimbangkan secepat mungkin.

“Banyak bidang baru terutamanya bioteknologi dan farmasi boleh diteroka dan boleh membawa keuntungan kepada kedua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akbar sempena kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi India, Ashok K. Kantha yang mengadakan lawatan ke Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Azizan berkata, negeri ini mempunyai pelbagai keistimewaan terutamanya dalam bidang perindustrian, pelancongan dan sebagainya yang boleh dieksploitasi oleh para pelabur.

“Kita ada Taman Perindustrian Kulim yang lengkap dengan pelbagai prasarana untuk ditawarkan kepada pelabur manakala kita juga menyasarkan lebih ramai pelancong dari India melawat Kedah,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama yang telah terjalin sejak dari dahulu mesti dipelihara dengan lebih erat bagi mewujudkan peluang-peluang baru yang boleh membawa faedah bagi kedua-dua negara.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mahu hanya tertumpu kepada satu negara sahaja untuk mengadakan kerjasama tetapi semua negara yang berminat amat dialu-alukan datang dan menjalinkan kerjasama.

Dalam pada itu, Ashok berkata, India dan Kedah telah lama mengadakan kerjasama dua hala dan beliau melihat negeri ini mempunyai potensi yang luas untuk diteroka bersama.

“Tahun lepas India melabur RM1 bilion di negara ini dan Kedah juga termasuk dalam senarai negeri yang mempunyai kerjasama pelaburan dengan India.

“Tahun ini kita mahu lebih banyak pelabur dari India dan Kedah untuk menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya bidang bioteknologi dan farmasi,” katanya.

Read More...

Presiden PAS cadang gagasan pakatan politik baru

Harakahdaily


Tue | Apr 01, 08 | 10:52:22 am MYT

Semalam semasa menghadiri program Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana sempena kemenangan PAS di Selangor, di Stadium Malawati, Shah Alam, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abd. Hadi Awang telah mencadangkan agar satu gagasan pakatan politik baru ditubuhkan bagi mendepani cabaran politik baru di Malaysia.

Barisan Rakyat yang terdiri dari pakatan PAS, PKR dan DAP yang telah diberikan mandat besar oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu wajar menghulurkan tangan kepada rakan-rakan dalam Barisan Nasional khasnya wakil-wakil rakyat Umno, MCA, MIC dan Gerakan agar bersama-sama samada secara bersendirian atau "en bloc" menyertai gagasan politik baru ini bagi membina Malaysia baru yang lebih selamat, sejahtera dan makmur buat rakyat Malaysia keseluruhannya.

Menurut Presiden PAS lagi ternyata hasil dari gelombang kebangkitan rakyat dalam PRU ke 12 lal, Barisan Nasional kini sudah semakin dipinggirkan rakyat dan sudah semakin tidak relevan dalam arus politik negara.

Oleh itu semua pihak perlu realistik dan menerima hakikat politik semasa ini dengan lapang dada. Dato Seri Tuan Guru Presiden mengharapkan melalui gagasan pakatan politik baru ini nanti dapatlah semua pihak bersatu dan sama-sama menyusun agenda dan hala tuju baru negara demi nasib dan masa depan semua rakyat tanpa mengira agama atau bangsa.

Presiden PAS turut menegaskan bahawa gagasan pakatan baru itu nanti perlulah memberi keutamaan kepada desakkan dan tuntutan rakyat iaitu antaranya adalah:

1) Menyemak semula dengan meminda atau menghapuskan mana-mana undang-undang dan peraturan yang zalim dan mendiskriminasi terutamanya Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA), Akta Univerisiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan yang seumpamanya.

2) Segera melakukan reformasi terhadap amalan demokrasi dalam negara dengan memulihkan proses pilihan raya di Malaysia sebagaimana yang dituntut rakyat dan badan-badan bukan kerajaan khususnya yang melibatkan bidang tugas dan operasi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

3) Memperkasa dan memberikan kebebasan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah yang efektif dan tidak lagi mengamalkan pendakwaan berpilih.

4) Mengembalikan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara dengan memastikan ianya benar-benar bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana badan atau kuasa politik.

Adalah diharapkan cadangan ini dapat dipertimbangkan oleh semua pihak demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.

ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha Akhbar
Presiden PAS
1 April, 2008

Read More...

Rakyat bebas tegur, nasihati pemimpin - MB Kedah

Harakahdaily

Bashir Ishak

Mon | Mar 31, 08 | 12:48:18 pm MYT

ALOR SETAR,31 Mac (Hrkh) - Rakyat bebas untuk menegur atau menasihati pemimpin kerajaan negeri, kata Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak.

ImageMenurutnya, pemimpin dan rakyat sama-sama bertanggungjawab untuk memastikan pentadbiran negeri ini berada dalam keadaan yang baik.

"Masalahnya sekarang hanya pemimpin yang menasihati rakyat sedangkan rakyat tak pernah berpeluang untuk menegur pemimpin.Kita sama-sama mempunyai 'accountability' untuk memimpin negeri ini.

"Sebab itulah pemimpin kena tanya rakyat dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan yang membabitkan kepentingan ramai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis meraikan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah oleh Persatuan Bekas Pelajar Maktab Mahmud dan Persatuan Siswazah Timur Tengah Kedah.

Ustaz Azizan adalah bekas pelajar Maktab Mahmud di samping pernah juga menjadi tenaga pengajar di situ.

ImageDalam ucapannya juga, beliau berharap agar Maktab Mahmud dapat mempertingkatkan kedua-dua aspek kualiti dan kuantitinya.

Katanya, dalam keadaan dunia sedang menghadapi krisis ketamadunan, institusi pendidikan seperti Maktab Mahmud ini perlu diperkasakan untuk melahirkan generasi pelajar yang mampu mnguasai ilmu dan memanfaatkannya.

"Bukannya sekadar dinilai dari berapa A yang diperolehi, yang pentingnya kita lihat juga aspek pentarbiyahan dan disiplin untuk mereka berjaya di masa depan," ujarnya.

Majlis yang dihadiri kira-kira 800 orang bekas pelajar itu diadakan di Dewan Sultan Badlishah, Maktab Mahmud dekat sini Sabtu lalu.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Mufti Kedah, Dato' Paduka Syeikh Hasbullah Abdul Halim, selaku Pengerusi Persatuan Bekas Sisiwazah Timur Tengah Kedah dan Pengerusi Yayasan Maktab Mahmud, Tan Sri Khalid Abdullah.

Beberapa orang pimpinan PAS Kedah yang hadir juga adalah bekas pelajar Maktab Mahmud seperti Exco Kerajaan Negeri, Ir Phahrolrazi Zawawi; Ahli Parlimen Pendang, Dr Hayati Othman dan YDP PAS Padang Terap, Dr Zawawi Ahmad. - mks.

Read More...

Barisan Rakyat Tawan Stadium Melawati !!!

edyesdotcom

Monday, March 31, 2008







Buat pertama kali dalam sejarah, 25ribu umat Islam menunaikan solat isyak dan solat sunat hajat di Stadium Melawati Shah Alam. Buat pertama kalinya juga, ceramah perdana sebegini dianjurkan dalam dewan yang serba besar, suara azan berkumandang, bacaan Quran didengarkan.

Adalah menjadi suatu detik kegembiraan di mana tiada lagi kawalan polis untuk menghalang ceramah, tiada lagi 'patrol' car yang meronda, tidaklah para hadirin ditimpa air hujan lagi kerana ceramah kali ini berlangsung di dewan yang selama ini digunakan untuk sukan badminton, bola keranjang dan lain lain lagi yakni stadium tertutup, Stadium Melawati.

Jumlah kedatangan juga seperti yang dijangka memenuhi stadium ini dan seramai itu jugalah umat yang tak dapat masuk ke dalam stadium kerana tiada ruang lagi. InsyaAllah, di masa akan datang, kita sekali lagi akan berhimpun tetapi bukan lagi di Stadium Melawati, tentunya stadium yang boleh menampung 110ribu pengunjung iaitu Stadium Shah Alam.
Program berikutnya dijangka pada 3 Mei 2008 di stadium yang sama iaitu Stadium Melawati dan antara penceramahnya pula ialah Md Sabu !

Read More...

Sunday, March 30, 2008

Guan Eng Sambut Ketibaan Abdullah Di Pulau Pinang

Kelatedaily

Dilulus Oleh:wahdah| Saturday, March 29 @ 21:33:47 MYT

KM Penang PULAU PINANG, 29 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di sini hari ini bagi menghadiri majlis kesyukuran Umno Pulau Pinang, dan ketibaan beliau di Lapangan Terbang Bayan Lepas di sini disambut oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng.


Lim dan kedua-dua timbalannya Mohammad Fairus Khairuddin dan Prof P.Ramasamy adalah antara lebih 300 orang yang menyambut ketibaan Abdullah di lapangan terbang itu sebaik turun dari pesawat pada pukul 6.15 petang.

Abdullah bersalaman dengan Lim, Mohammad Fairus dan Ramasamy serta para pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Pulau Pinang.

Antara pemimpin yang hadir ialah Pengerusi BN negeri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah, Setiausaha Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim, Bendahari Umno Negeri Datuk Zainal Abdidin Osman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Jamaludin Hasan.

Lim memberitahu pemberita bahawa Abdullah mengucapkan tahniah kepada beliau dan Ramasamy di atas kejayaan DAP menubuhkan kerajaan di Pulau Pinang selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas. Lim berkata beliau juga mengambil kesempatan memperkenalkan Mohammad Fairus kepada Perdana Menteri. Abdullah dijadual menghadiri majlis kesyukuran anjuran Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang di Dewan Besar Sungai Dua Butterworth.

Ratusan orang menunggu ketibaan Perdana Menteri dengan membawa sepanduk yang menyokong kepimpinannya. Mereka melaungkan "Hidup Pak Lah" dan "Hidup Melayu" sebaik sahaja kenderaan yang membawa Abdullah beredar meninggalkan lapangan terbang.

Kemudian sebaik tiba di rumah keluarganya di Kepala Batas, Abdullah disambut oleh kira-kira 1,000 orang penyokong.

Dalam ucapan ringkasnya, Abdullah mengucapkan terima kasih kepada penyokong serta semua pengundi yang telah membawa kepada kemenangan BN di Kepala Batas pada pilihan raya umum lepas.

-- BERNAMA


Read More...

Saturday, March 29, 2008

Gabungan parti alternatif mampu ganti kerajaan BN

Harakahdaily

Salmah Mat Husain
Fri | Mar 28, 08 | 3:11:32 pm MYT


KOTA BHARU, 28 Mac (Hrkh) - Parti-parti dalam pakatan Barisan Alternatif (BA) dan DAP diharap menjaga kemenangan yang diberi rakyat dengan baik bagi mempertahankan kejayaan pada pilihan raya umum ke-12 lalu.

Ramai percaya BA boleh menjadi sebuah gabungan yang utuh seperti Barisan Nasional (BN).

Anggota Parlimen Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, kerja sama erat yang sedia terjalin dalam BA bukan sahaja perlu diperkemaskan, sebaliknya menyusun gerak kerja yang lebih mantap.

"Rakyat mengharap kerajaan dipimpin oleh pemimpin yang telus setelah mereka kecewa dengan kerajaan BN. Gabungan BA boleh menggantikan kerajaan yang ada sekarang.

"Jadi kita berharap lima negeri termasuk Kelantan yang dipimpin PAS, KeADILan dan DAP menunaikan janji kepada rakyat seperti tertera dalam manifesto.

"Kejayaan BA kali ini sebagai satu percubaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Peluang semakin terbuka kepada BA," ujarnya pada sidang media sempena majlis kesyukuran dan makan malam di sebuah restoran di sini, baru-baru ini.

Wan Abdul Rahim yang juga Timbalan Ketua Pengarah II Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat berkata, kemenangan besar calon-calon BA merupakan satu percaturan baru dalam politik Malaysia.

Katanya, hasil sokongan masyarakat pelbagai kaum mereka boleh menerima calon BA dan DAP.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau mengumumkan Lim Guan Seng sebagai wakil peribadinya bagi masyarakat Cina dan Muhammad Nor bagi masyarakat Melayu dan lain-lain bangsa.

"Pelantikan Seng sebagai wakil peribadi saya sebagai satu hadiah untuk masyarakat Cina yang telah memberi sokongan padu kepada PAS pada pilihan raya umum lalu.

"Peningkatan sokongan itu begitu membanggakan berbanding tahun-tahun sebelumnya," tambah beliau. - mj/mr

Read More...

Friday, March 28, 2008

Bekalan Air 20 Meter Padu Percuma Bermula 1 Jun Di Selangor

Bernama

SHAH ALAM, 28 Mac (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan membekalkan 20 meter padu air secara percuma kepada semua pengguna di kediaman yang menggunakan meter individu bermula 1 Jun depan, demikian menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh pejabat Menteri Besar di sini, Jumaat.


Kenyataan itu menyebut, kerajaan Selangor juga telah menjalankan kajian berhubung mekanisme bagi melaksanakan dasar berkenaan demi menjaga kepentingan kerajaan negeri sendiri, alam sekitar dan orang ramai.

Menurut kenyataan itu, dasar tersebut bertujuan meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun rakyat masih perlu mengamalkan penggunaan air secara berhemah serta bertanggungjawab bagi mengelak pembaziran agar sumber air negeri Selangor dapat dipelihara dalam jangka masa yang panjang.

Pada masa yang sama, kerajaan Selangor juga akan memperkenalkan langkah mempelbagaikan sumber bekalan air secara menyeluruh dalam masa terdekat.

Bekalan air percuma itu merupakan antara janji dalam manifesto pakatan gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP pada pilihan raya umum lepas.

-- BERNAMA

orangkita kata :
Alhamdulillah....tahniah buat kerajaan Selangor kerana mengutamakan kebajikan rakyat dengan memberikan air percuma sebanyak 20 meter padu bermula Jun ini. Insyaallah, jika tiada aral melintang dan diizinkan Allah, rakyat Selangor buat pertama kalinya akan merasa air paip percuma sebanyak 20 meter padu. Memang tidak dinafikan setiap benda yang kita lakukan itu ada pro dan kontranya. Saya ada terbaca di akhbar arus perdana yang menyiarkan sms dari rakyat selangor sendiri yang tidak setuju dengan pemberian air percuma ini kerana ia menggalakkan pembaziran oleh rakyat sendiri. Menurutnya kerajaan Selangor sepatutnya memberi kadar minima yang perlu dibayar jika penggunaan air di bawah 20 meter padu.

Pada hemat saya, pengirim sms itu mungkin betul dan mungkin juga tidak. Pembaziran air berlaku bukan disebabkan oleh air diberikan percuma, tetapi ia adalah sikap yang sememangnya menjadi penyakit dalam masyarakat kita sebenarnya. Ini dapat diatasi dengan memberi peringatan samada dalam bentuk iklan yang berulang kali dan juga perlu disemaikan di dalam diri masing-masing bahawa pembaziran adalah satu pengkhianatan kepada diri sendiri dan masyarakat. Apa yang penting di sini, kerajaan BR di Selangor menepati janji di dalam manifesto mereka dan seluruh negara masih menunggu apa lagi dasar yang baik dan bermanfaat untuk rakyat yang akan dilaksanakan di Selangor.

Tahniah sekali lagi buat Barisan Rakyat Selangor. Ingat!!!jauhkan dari amalan birokrasi yang melampau, rasuah, kronisme dan amalan-amalan negatif yang diamalkan oleh pemimpin Barisan Nasional yang terdahulu. Anda semua diperhatikan!!!!!!

"masih teringat lagi kerajaan BN Terengganu mengadakan semula cukai pintu yang telah ditiadakan oleh kerajaan PAS selepas mereka menang secara 'terpimpin' pada tahun 2004 dahulu....kejam..kejam...kata duit ehsan banyak, tapi masih tagih lagi duit rakyat yang kedua miskin ni....hampeh!!!"



Read More...

Thursday, March 27, 2008

876 Ketua Kampung LETAK JAWATAN: MB Perak Perkenal SISTEM PENGUNDIAN

Sanggah tok sago



Khamis, 2008 Mac 27

Menteri Besar, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin semalam mengumumkan kerajaan negeri akan memperkenalkan semula sistem pengundian dalam kalangan penduduk untuk memilih ketua kampung.

By ABDUL RAZAK DIN

SERAMAI 876 Ketua Kampung di Perak akan meletakkan jawatan beramai-ramai berkuatkuasa 1 Mei ini kerana tidak sehaluan dengan kerajaan campuran Perak pimpinan DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Seramai 13,140 Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga akan turut berbuat demikian atas alasan yang sama.

Presiden Pertubuhan Ketua Kampung Negeri Perak (PKKNP), Zukiman Jalil berkata, notis meminta mereka meletakkan jawatan telah diedar dan akan diserahkan kepada Menteri Besar Perak yang baru pada 1 Mei ini.

Bagaimanapun katanya, jumlah yang memilih untuk meletakkan jawatan belum diketahui tetapi mereka perlu berbuat demikian kerana sebelum ini dipilih oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Watikah pemilihan diberikan oleh Menteri Besar Perak yang dahulu dan tidak adil untuk kami memberikan kerjasama kepada kerajaan campuran DAP, Pas dan PKR sekarang.

“Adalah lebih baik kami meletakkan jawatan secara terhormat daripada diarahkan berbuat demikian dan perbincangan juga telah dibuat dengan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Shaarani Mohamad.

“Jika pun kami memegang jawatan itu, kami menjadi ketua kampung pembangkang,” katanya pada majlis perjumpaan dengan Pertubuhan Ketua-Ketua Kampung Kinta di sini hari ini.

Seramai 60 Ketua Kampung hadir pada majlis perjumpaan tersebut.

Zukiman berkata, notis peletakan jawatan berkenaan telah diedarkan kepada beberapa daerah di negeri ini seperti Parit, Kampung Gajah dan Manjong.

“Jumlah sebenar yang akan meletakkan jawatan akan diketahui pada 29 April ini setelah kami mengumpul kesemua notis berkenaan,” katanya.

Ketua-ketua kampung di Perak menerima elaun bulanan sebanyak RM600 dengan RM400 diberi oleh Kerajaan Persekutuan dan RM200 lagi oleh Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Zukiman menasihatkan Ketua-ketua Kampung supaya tidak lagi menggunakan dewan orang ramai untuk sebarang urusan.

“Ketua kampung perlu tinggalkan dewan orang ramai secara profesional dan tidak mengambil sebarang harta benda di dewan tersebut kerana ia milik kerajaan negeri,” katanya.

Menteri Besar, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin semalam mengumumkan kerajaan negeri akan memperkenalkan semula sistem pengundian dalam kalangan penduduk untuk memilih ketua kampung.

Ini kerana katanya, sistem pelantikan yang diamalkan kini telah menimbulkan krisis di peringkat akar umbi apabila calon yang dikehendaki penduduk tidak terpilih.

Kerajaan negeri merancang memperkenalkan kaedah baru itu selepas tempoh jawatan ketua-ketua kampung sedia ada tamat pada 31 Disember depan atau apabila ada ketua kampung meletakkan jawatan. - Utusan Malaysia

Read More...

Kerajaan Pulau Pinang belanja berhemah....

Kerajaan Pulau Pinang batal beli kereta kegunaan EXCO.

keratan akhbar utusan 27/3/08.

Menurut akhbar utusan hari ini, Kerajaan Pulau Pinang bersetuju membatalkan pembelian 5 buah kereta Proton Perdana V6 untuk kegunaan Exco kerajaan negeri.

Ketua Menterinya berkata, kos belian yang berjumlah RM623,000 itu dapat diselamatkan dan ini dapat menjimatkan wang rakyat serta memantapkan akaun kerajaan negeri dengan perbelanjaan yang berhemah.

Kereta perdana itu ditempah oleh kerajaan lama tetapi tidak sampai lagi dan Lim berkata lagi bahawa barisan exco nya bersetuju menggunakan kenderaan sedia ada yang baru berusia 5-10 tahun yang masih lagi boleh digunakan.

Saya terpanggil untuk memberi pandangan dalam kes ini. Jika kes seumpama ini dapat dipanjangkan ke peringkat pusat, saya boleh bayangkan begitu banyak wang kerajaan dapat diselamatkan. Daripada membeli kenderaan yang baru, walhal kenderaan lama masih lagi boleh digunakan adalah baiknya kerajaan menumpukan kepada kebajikan rakyat ataupun perkara lain yang lebih berfaedah.

Ini tidak, perbelanjaan yang boros oleh pemimpin kerajaan Barisan Nasional di peringkat pusat begitu ketara dan membimbangkan. Kalau nak sebut memang banyak. Tapi, biarlah saya sebutkan di sini bahawa kerajaan Malaysia sepatutnya mengamalkan perbelanjaan berhemah sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang khasnya dan juga kerajaan Alternatif yang lain amnya.Semoga semangat begini berterusan. Tahniah kerajaan Barisan Rakyat!!!!

orangkita - cerita camni kena sebarkan kepada seluruh rakyat Malaysia, semoga yang masih lagi menyokong BN terbuka hati dan minda mereka untuk bertukar kepada Barisan Rakyat.

catatan: orangkita (27 mac 2008, 11:10 am)

Read More...

Tuesday, March 25, 2008

Pakatan 5 negeri bentuk dimensi baru politik Malaysia

Harakahdaily

Lanjusoh

Tue | Mar 25, 08 | 11:36:07 am MYT

KOTA BHARU, 25 Mac (Hrkh) - Dimensi baru politik Malaysia mulai terserlah sekarang selepas rakyat di lima negeri menolak keangkuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Mulai kelihatan pakatan di antara kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor selepas halangan besar di bawah kuasa BN berjaya ditumbangkan.

Khamis lalu, kehadiran Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat ke Kedah sambut dengan protokol kerajaan negeri terbabit.

"Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang tiba dengan penerbangan Firefly di Lapangan Terbang Bayan Lepas disambut pemimpin kerajaan Pulau Pinang.

"Kereta khas milik kerajaan Kedah menyambut Menteri Besar Kelantan di tempat pendaratan kapalterbang. Beliau disambut wakil kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dan pemimpin Kedah.

"Kemudian diiringi ke Alor Setar dengan kereta bersama pemimpin kerajaan kedua-dua negeri," kata pegawai pengiring daripada Pejabat Perhubungan PAS Kelantan, Wan Zulkefli Wan Mohamad.

Menurutnya kemesraan jelas terbayang apabila pemimpin kerajaan baru di Kedah dan Pulau Pinang menyambut ketibaan Menteri Besar Kelantan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Kata beliau Tuan Guru Nik Abdul Aziz disambut sebagai tetamu negeri sebelum menghadiri ceramah di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat bersama Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan juga dijemput menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Al Bukhary iaitu masjid terbesar di Kedah.

Katanya, biar pun Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah acap kali datang ke Kedah dan Pulau Pinang namun tidak pernah sambutan sedemikian rupa.

Manakala hari ini pula Menteri Kedah dijemput sebagai tetamu kerajaan Kelantan sempena majlis kesyukuran kemenangan kerajaan Barisan Alternatif di negeri ini pada pilihan raya umum lalu.

Ceramah khas sempena program berkenaan akan diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) bermula jam 9.30 malam ini yang menampilkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Azizan, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan anggota Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali.

Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Yassin Yusof berkata, sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan hari ini.

"Sebanyak 30 kawah nasi dan 30 kawah gulai sedang dimasakkan petugas-petugas PAS dari Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa untuk jamuan orang ramai yang bermula selepas solat Asar.

"Selepas solat Asar juga Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan berucap ringkas untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas-petugas PAS yang bekerja keras pada pilihan raya umum lalu.

Menurutnya juga Menteri Kedah dijangka tiba di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10 pada petang ini sebelum menghadiri ceramah di Putik.

Katanya, kerajaan negeri juga menyediakan makan malam sebagai meraikan rombongan Menteri Besar Kedah. - mj/ mr


Read More...

Monday, March 24, 2008

Senarai Penuh Exco Selangor Diumumkan

Suara KeADILan

Shah Alam, 24 Mac - Ahli-ahli Exco Negeri Selangor diumumkan sebentar tadi oleh pejabat Menteri Besar. Dari 10 kerusi exco, KeADILan diperuntukkan 4, DAP 3 dan PAS 3. Berikutan adalah senarai penuh:

1. YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahimtski.jpg

Dato’ Menteri Besar

Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri , Belia & Sukan

YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim lahir pada tahun 1946 di Jeram, Selangor dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Ekonomi dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland, Australia pada 1975. YAB Tan Sri pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan di Permodalan Nasional Berhad termasuk Ketua Eksekutif Kumpulan dan sehingga 2003 merupakan Ketua Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad. Beliau juga merupakan Pengerusi Highlands and Lowlands dan Guthrie Ropel. Antara tanggungjawab yang disandang oleh YAB Tan Sri termasuklah anggota Jawatankuasa Eksekutif Unit Investment Fund dan ahli Financial Engineering Advisory Forum Bank Pembangunan Islam, Jeddah disamping anggota gantian Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC). Beliau juga berada di dalam lembaga Pusat Produktiviti Kebangsaan dan Lembaga Amanah Institut Kajiselidik Ekonomi Malaysia. Di dalam Parti Keadilan Rakyat, YAB Tan Sri memegang jawatan Setiausaha Agung. YAB Tan Sri Dato’ Khalid telahpun berkahwin dan mempunyai empat orang cahaya mata.

2. YB Teresa Kok Suh Simteresakok1.jpg

Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan

YB Teresa Kok, 43 tahun turut memegang jawatan Ahli Parlimen Seputeh sejak 1999. Beliau memperoleh Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia, Sarjana Muda Sains Politik serta Sarjana Falsafah dari Universiti Malaya. Beliau merupakan Setiausaha Kaukus Myanmar Antara Parlimen ASEAN dan aktif di dalam kegiatan hak asasi manusia. Beliau turut menganggotai Jawatankuasa Terpilih Semakan Kod Penal dan Prosedur Jenayah di Parlimen. Pada masa yang sama beliau memegang jawatan Setiausaha Publisiti DAP dan Setiausaha Nasional Wanita DAP.

3. YB Dato’ Dr. Hassan bin Mohamed Alihasan-ali12.jpg

Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam

YB Dato’ Dr. Hassan Ali lahir pada 1947 di Selangor. Beliau mendapat Sarjana Muda Sastera Kepujian dari Universiti Malaya, Sarjana Sains Perancangan Bandar dari University of Pittsburgh, Amerika Syarikat dan Doktor Falsafah dari University of Wisconsin, Amerika Syarikat. Beliau merupakan Pengarah Eksekutif Sabha Group Sdn. Bhd. Dan Akademi Keluarga Bahagia. Kini beliau merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor dan merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sg. Burong pada penggal 1999-2004. Beliau sudah berkahwin dan mempunyai 8 orang anak.

4. YB Yaakob bin Sapariyaakobsapari.JPG

Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan

YB Yaakob bin Sapari berusia 47 tahun, tinggal di Seri Kembangan, Selangor. Lulusan Sarjana Muda Sains di dalam Perniagaan Tani dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Putra Malaysia, serta Diploma Pengajian Islam dan Siswazah Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau kini merupakan Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Agama Hulu Langat. Di dalam Keadilan beliau merupakan Timbalan Pengerusi Selangor dan Ketua Bahagian Puchong. Beliau sudah berkahwin dan dianugerahkan 8 orang cahaya mata.

5. YB Rodziah binti Ismailrodziah-ismail.jpg

Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi

YB Rodziah binti Ismail, 43 tahun, tinggal di Shah Alam, Selangor bersama suami dan tiga orang anaknya. Beliau memperoleh Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia, Higher National Certificate in Childhood Education and Development dari Scotland dan Diploma Pendidikan Islam, Al Quran dan As Sunnah. Aktif di dalam masyarakat termasuk Persatuan Pengasih Berdaftar Malaysia, Persatuan Taska Selangor, Jawatankuasa Pencegahan Juvana dan Jemaah Islah Malaysia. Beliau memegang jawatan Timbalan Ketua Wanita Keadilan Pusat.

6. YB Dr. Xavier Jayakumar a/l Arulanandamposter-pic-dr-x.jpg

Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin

YB Dr. Xavier Jayakumar, 55 tahun, tinggal di Klang, Selangor bersama isteri dan tiga orang anaknya. Beliau memperoleh Sarjana Muda Pembedahan Pergigian. Beliau merupakan Setiausaha Persatuan Doktor-Doktor Pergigian Malaysia dan Presiden Kelab Rotari Klang. Di samping itu beliau aktif di dalam Persatuan Hemodialisis Klang dan Education Welfare Reach Foundation. Kini beliau memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung Keadilan serta Ketua Bahagian Kota Raja.

7. YB Dr. Halimah binti Alidr-halimah-ali.jpg

Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan

YB Dr. Halimah Ali, 47 tahun , tinggal di Klang, Selangor bersama suami dan 6 orang anak. Beliau memperoleh Ijazah Perubatan dari Universiti Tasmania, Australia dan berkhidmat sebagai doktor di Hospital Klang. Beliau merupakan Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia. Kini beliau memegang jawatan Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat.

8. YB Iskandar bin Abdul Samadiskandar-samad.jpg

Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan

YB Iskandar Abdul Samad, 47 tahun, berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Beliau merupakan lulusan Ijazah Arkitek dari Humberside, United Kingdom dan pernah menjadi Pensyarah Senibina di Universiti Teknologi MARA. Kini beliau merupakan Timbalan Persuruhjaya 3 PAS Negeri Selangor dan Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan.

9 . YB Ronnie Liu Tian Khiewpic_ronnie.jpg

Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan

YB Ronnie Liu, 50 tahun, tinggal di Petaling Jaya, Selangor. Beliau memperoleh Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan kemudian berkecimpung di dalam bidang pengiklanan. Beliau aktif di dalam Jawatankuasa Bertindak Menara Transmisi Rawang, Jawatankuasa Bertindak Menentang Insinerator Broga, Kempen Anti Penswastaan Air dan Kempen Anti Penswastaan Hospital Awam. Beliau kini merupakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP.

10. YB Wong Keat Ping @ Elizabeth Wongeli wong

Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar

YB Elizabeth Wong berusia 38 tahun, tinggal di Petaling Jaya, Selangor. Lulusan Sarjana Muda Sastera University of Sidney dan aktif di dalam NGO seperti Suara Rakyat Malaysia, Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia dan SOS Selangor. Beliau kini merupakan Ketua Penerangan Wanita Keadilan dan Ketua Penerangan Keadilan Bahagian Petaling Jaya Utara.

11. YB Eam Yong Hian Wah

Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Harampic_ean_yong.jpg

YB Ean Yong Hian Wah, 29 tahun, lahir di Kajang, Selangor. Beliau memperoleh Sarjana Muda Pengajian Perniagaan dari Universiti Bradford, United Kingdom. Penglibatan kemasyarakatan beliau termasuklah sebagai Pengerusi Persatuan Alumni Kolej New Era, Ahli Lembaga Pengelola Kolej New Era dan Gabungan Persatuan-Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Cina Wilayah Persekutuan dan Selangor. Beliau kini merupakan Pengerusi DAP Selangor dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis DAP.

amita @ March 24, 2008

Read More...

Sunday, March 23, 2008

Anwar jamin pemberian kontrak lima negeri pembangkang secara telus, tiada komisen

Harakahdaily

Johari Jaafar

Sat | Mar 22, 08 | 1:09:25 pm MYT


IPOH, 22 Mac (Hrkh) - Penasihat Parti KeAdilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan lima kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS, KeADILan dan DAP akan mengamalkan pemberian kontrak secara telus dan tidak ada 'jalan belakang' untuk mendapatkan kontrak.

"Kelima-lima Kerajaan Negeri akan mengamalkan pendekatan yang sama, kita akan bersikap telus dalam pemberian kontrak dan pelabur-pelabur jangan bimbang tidak ada komisen yang diminta," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, di Pejabat Menteri Besar Perak semalam.

"Kita akan pastikan semua projek pelaburan di lima negeri, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor akan mendapat kelulusan segera dan dikendalikan secara telus.

"Kita juga akan memastikan proses pelaburan di kelima-lima Kerajaan Negerui ini berjalan licin dan tidak ada kebocoran," katanya lagi.

Menurut beliau lagi, kelima-lima kerajaan negeri memberi jaminan kepada pelabur-pelabur asing dan tempatan akan mengwujudkan iklim pelaburan baik dengan harapan ianya dapat menggerakkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

"Saya akan melawat negara Arab minggu depan serta menemui beberapa syarikat besar China dan perkara tersebut akan dimaklumkan kepada mereka bagi menarik minat mereka melabur di kelima-lima buah negeri ini," jelasnya.

Menurutnya lagi, kelima lima kerajaan negeri tersebut perlu menumpukan kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

Jika ianya gagal dilakukan kelima-lima negeri tidak akan dapat mengagihkan kekayaan dengan adil dan saksama kepada rakyat seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum yang baru lalu, katanya./wann.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |