+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, June 15, 2008

Isu peralihan kuasa cuma satu muslihat?

Harakahdaily

Ruhanie Ahmad

Sun | Jun 15, 08 | 6:41:18 am MYT

Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang gentleman. Beliau tidak pernah kelihatan agresif dalam mencarta serta mencaturkan kerjaya politiknya. Apatah lagi bertindak menongkah arus atau membelah badai dalam siasah.

Lantaran itulah Najib sentiasa berandaian bahawa majoriti insan lain juga mungkin berwatak sepertinya - bersikap dan bertindak gentleman serta bijaksana membaca apa jua mesej yang terhurai secara bersurat atau tersirat disebalik sesuatu perkembangan siasah negara.

Perwatakan Najib ini menyebabkan sebilangan besar warga UMNO mutakhir jadi resah gelisah. Mereka mahukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan tampuk kepimpinan parti dan negara kepada Najib dengan seberapa segera. Tetapi, Najib pula seolah-olah terus bersuara dan bertindak mengikut rentak irama Abdullah yang nampaknya penuh muslihat berjuta rahsia.

Kebelakangan ini, Najib dikatakan bertindak dan bersuara sedemikian rupa kerana beliau mengharapkan peralihan kuasa daripada Abdullah kepada dirinya dilaksanakan "mengikut adat dan tradisi" yang diwarisi oleh Umno sejak berzaman lamanya.

Setelah dirisik dan diselidik daripada pelbagai sumber, apa yang dimaksudkan oleh Najib seperti di atas adalah, peralihan kuasa dalam Umno wajarlah dilaksanakan seperti proses peralihan kuasa daripada Tunku Abdul Rahman Putra kepada Tun Razak Hussein, daripada Tun Hussein Onn kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, dan daripada Mahathir kepada Abdullah.

Ini bermakna, Najib dipercayai mahukan satu proses peralihan kuasa daripada Abdullah kepada dirinya dilaksanakan secara ikhlas, jujur, tersusun, jelas dan tanpa campur tangan pihak-pihak di sekeliling Abdullah.

Ini juga bermaksud, Najib dipercayai mengharapkan peralihan kuasa itu mempunyai tempoh waktu yang tetap, tepat, khusus dan tertentu, di mana beliau diberikan peluang percubaan yang sewajarnya.

Model Mahathir-Abdullah

Pendek kata, model peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Abdullah dipercayai adalah contoh yang paling terdekat di hati Najib dan yang paling segar dalam ingatan seluruh warga Umno.

Menurut model ini, Mahathir yang mengumumkan persaraannya daripada Umno dan kerajaan pada 19 Jun 2002, hanya menyerahkan kuasa Perdana Menteri dan Presiden Umno yang sebenarnya kepada Abdullah pada 30 November 2003.

Di antara tempoh pengumuman persaraan dan penyerahan kuasa sebenarnya, Mahathir terus bekerja dan bekerja tanpa renti, baik di dalam negara atau di seberang laut.

Oleh itu, jika model Mahathir-Abdullah inilah yang diharap-harapkan oleh Najib, pastinya beliau amat kecewa bila pada 6 April 2008, Abdullah menyatakan bahawa beliau "memilih Najib sebagai penggantinya," tetapi tidak pula ditegaskan bila waktunya dan bagaimana pula caranya.

Menurut pelbagai laporan akhbar tempatan, sewaktu berucap dalam satu pertemuan tertutup di hadapan 1000 orang kepimpinan Umno akar umbi, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 6 April 2008, Abdullah hanya menyatakan bahawa "Najib adalah penggantinya sebagai Presiden Umno dan antara mereka tidak pernah ada masalah."

Pada 7 April 2008, selepas menemui pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) Sabah di Kota Kinabalu, Abdullah ditanya oleh pihak media "sama ada beliau ada memikirkan tarikh untuk bersara selepas menamakan Najib sebagai penggantinya." Menurut Utusan Malaysia, Abdullah memberikan jawapan seperti berikut:

"Saya tidak akan memegang jawatan bertahun-tahun lamanya. Sudah tentu tidak. Saya tidak akan memegang jawatan lebih lama daripada yang sepatutnya. Saya akan bersara satu hari nanti, tetapi saya tidak akan berhenti dalam keadaan politik sekarang."

Tempoh khusus

Jawapan di atas membuktikan bahawa Abdullah memang belum dan mungkin tidak akan memberikan satu tempoh waktu yang khusus, jelas, khusus dan tepat, terhadap persoalan bilakah beliau akan menyerahkan tampuk kekuasaan kerajaan dan Umno kepada Najib.

Kenyataan di atas juga menggambarkan bahawa proses peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib tidaklah seperti yang dikatakan dicita-citakan oleh Najib - dilaksanakan "mengikut adat dan tradisi" yang diwarisi oleh Umno sejak berzaman lamanya.

Biarpun begitu, Najib tetap tenang dan tetap gentleman. Pada 7 April 2008, beliau berkata bahawa dirinya tetap "berterima kasih dan menghargai kepercayaan Abdullah yang menamakan beliau sebagai penggantinya untuk jawatan Perdana Menteri."

Najib juga menyatakan bahawa "sebelum ini pendirian Perdana Menteri itu telah dizahirkan secara tertutup" kepada dirinya dan beberapa anggota kerajaan. Tetapi, hanya pada 6 April 2008, baru pertama kali Abdullah menghebahkannya secara terbuka.

Jika begitu hakikatnya, mengapakah pada 6 April 2008, Najib dilaporkan oleh beberapa media perdana sebagai "enggan mengulas apabila ditanya kenyataan Abdullah yang berharap Najib akan menggantikannya bagi menerajui negara ini" seperti ditegaskan dalam perenggan di atas?

Tidakkah ini agak ironis? Atau, mungkinkah terdapat sesuatu yang menghalang Najib, walaupun secara gentleman, untuk menyuarakan isi hatinya yang sebenar pada ketika ini?

Bagaimanapun, isi hati sebenar Najib mungkin tersirat di sebalik kenyataan beliau pada 3 April 2008. Ketika itu, Najib ditanya oleh media tempatan, "apakah Umno kini memerlukan perubahan besar-besaran?" Najib menjawab bahawa "sebarang tindakan bergantung kepada kehendak dan suara ahli. Suara ramai dalam parti yang akan menentukan hala tuju dan masa depan parti."

Suara ramai

Hakikatnya mungkin begitu kerana Najib memang insaf bahawa keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 12 adalah sebahagian daripada "suara ramai" rakyat jelata, termasuk warga Umno, yang mahukan Abdullah mengosongkan kerusi Presiden Umno dan Perdana Menteri selepas PRU berkenaan.

Oleh itu, seluruh pemimpin Umno wajarlah mampu membaca serta menganalisa isi hati Najib yang sebenar-benarnya mutakhir ini. Janganlah bertindak seperti apa yang dinyatakan oleh Ketua Umno Bahagian Raub, Datuk Shahiruddin Ab. Moin.

Dalam satu kenyataannya pada 2 April 2008, dan disiarkan dalam Utusan Malaysia 3 April 2008, Shahiruddin dipetik sebagai berkata bahawa "ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) perlu berani menegur Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, jika mahu melihat Umno pulih semula dan bukannya berpura-pura memberikan sokongan yang akhirnya membawa rebah."

Shahiruddin dilaporkan sebagai membuat kenyataan di atas "kerana beberapa tindakan yang diambil ahli-ahli MT parti ketika ini sudah lari daripada masalah sebenar bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap Umno. Isu sebenar ialah Umno gagal mempertahankan kekuasaan yang dimiliki selama ini dan menjadi tugas MT parti untuk menarik kembali sokongan semua kaum, khususnya orang Melayu, untuk menyokong Umno. Ahli-ahli MT Umno harus jujur, berani memberikan pandangan yang ikhlas dan benar kepada pucuk pimpinan parti."

Pada waktu yang sama, seluruh pemimpin dan warga Umno juga perlu menghalusi kenyataan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 3 April 2008, dan dilaporkan oleh Utusan Malaysia 4 April 2008, seperti berikut:

Umno mengakui salah satu kelemahan yang menyumbang terhadap prestasi kurang memuaskan parti pada PRU 12 adalah faktor kepimpinan. Sebab itu kepimpinan yang kuat memang amat diperlukan oleh semua parti politik dan Umno juga tidak terkecuali. Dengan kepimpinan yang kuat, ia akan melicinkan parti untuk bergerak ke hadapan dengan baik di samping mampu menambat keyakinan rakyat.

Apabila ditanya apakah Abdullah boleh ditakrifkan sebagai mempunyai kepimpinan yang kuat, Muhyiddin berkata bahawa beliau "rasa tak perlu menjawab soalan tersebut." Apabila ditanya, apakah desakan-desakan yang meminta Abdullah berundur boleh menggambarkan wujudnya krisis di dalam Umno kini, Muhyiddin berkata, "saya hendak kata, ia bukan satu krisis yang besar. Tapi, ia boleh menjadi satu krisis yang besar sekiranya tidak diuruskan dengan baik."

Malapetaka

Muhyiddin juga berkata, pandangan pemimpin veteran, Tan Sri Mohamed Rahmat, bahawa Umno kini hampir hilang kuasa, memang baik dan seharusnya perlu untuk berperasaan sebegitu. Jika Melayu tidak peka atau menganggap keputusan PRU yang lalu sebagai perkara biasa, maka ia jelas satu perbuatan yang lalai.

Apabila lalai, ia akan membawa mala petaka dan bencana yang lebih besar. Jadi eloklah ada peringatan seumpama itu. Lebih penting, bukan sahaja peringatan, tetapi apa yang perlu dilakukan. Jadi kesedaran telah ada dan oleh itu sesuatu segera perlu dibuat kerana jika tidak, Nauzzubillah, ada benda yang buruk akan berlaku kepada orang Melayu.

Maka terserahlah kepada seluruh pemimpin dan warga Umno di segenap peringkat, di seluruh negara, untuk memperincikan seluruh hakikat di atas dan kemudiannya membuat keputusan yang sesuai dengan "suara ramai" seperti yang ditegaskan oleh Najib, yang "tidak berpura-pura" seperti yang disuarakan oleh Shahiruddin, dan untuk mengelakkan sesuatu yang buruk yang mungkin "akan berlaku kepada orang Melayu" seperti dihuraikan oleh Muhyiddin.

Latarbelakang utama kepada keputusan yang dibuat kelak adalah, Abdullah sudah menghebahkan bahawa beliau akan melaksanakan peralihan kuasa kepada Najib. Tetapi, Abdullah seolah-olah menghebahkan kenyataan itu semata-mata sebagai satu muslihat yang penuh berjuta rahsia.

Sebab itulah Abdullah tidak menarik balik kenyataannya bahawa beliau akan terus mengekalkan kerusi Presiden UMNO dalam pemilihan parti hujung 2008 ini. Sebab itulah juga Abdullah hanya menyatakan di Kota Kinabalu pada Pada 7 April 2008, bahawa beliau "tidak akan memegang jawatan bertahun-tahun lamanya" dan beliau "akan bersara satu hari nanti tetapi saya tidak akan berhenti dalam keadaan politik sekarang."

Dan, paksi persoalan kepada keputusan yang mungkin diambil adalah, wajar atau tidak seluruh pemimpin dan warga Umno, di semua peringkat dan di seluruh negara, dengan segera bertanya secara rasmi kepada Abdullah, bilakah tempoh waktu yang jelas, tepat, khusus dan pasti, untuk beliau melaksanakan proses peralihan kuasa kerajaan dan Umno kepada Najib.

Atau, wajar atau tidak - demi agama, bangsa dan tanahair - sewaktu Umno seolah-olah berada dalam keadaan darurat ketika ini, seluruh pemimpin dan warga Umno memujuk Abdullah dengan penuh hemah dan budibahasa, supaya beliau mengundurkan diri daripada persada kekuasaan dan kepimpinan kerajaan dan Umno, dalam tempoh terdekat ini?

Akhir sekali, jika seluruh keputusan dan tindakan yang mungkin akan diambil oleh pemimpin dan warga Umno, gagal untuk menginsafkan Abdullah terhadap realiti siasah semasa, fikir-fikirkanlah, mungkinkah seluruh gembar-gembor mengenai peralihan kuasa kepada Najib kebelakangan ini memang hanya satu muslihat yang penuh berjuta rahsia?

Dalam keadaan sedemikian, fikir-fikirkanlah keputusan dan tindakan selanjutnya, secara ikhlas, jujur, tegas dan berani, demi agama, bangsa dan tanahair. - kuda-kepang.blogspot.com_

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |