KUALA LUMPUR 11 Dis. – Kementerian Pelajaran akan merombak pendidikan di peringkat sekolah rendah menjelang 2010 dengan mempertimbangkan kewajaran menjadikan sejarah sebagai salah satu mata pelajaran khusus.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu dilihat sejajar dengan usaha kerajaan menyemai dan mengukuhkan integrasi nasional di kalangan generasi muda.
Katanya, rombakan itu yang menjadi sebahagian agenda utama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), akan diteliti secara holistik oleh pihak yang mempunyai kepakaran.
Beliau berkata, aspek penting lain yang perlu diberi penekanan ialah cara negara mencapai kemerdekaan dan gandingan rakyat pelbagai kaum dalam mengisi kemerdekaan.
‘‘Bagi mencapai hasrat ini, pembabitan agensi seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dalam usaha memperkasakan nilai murni dan semangat patriotisme amat penting dan kementerian akan memberi sokongan penuh.
‘‘Kita juga akan memperhebatkan usaha menyampaikan maklumat dan fakta sejarah yang betul kepada masyarakat. Sejarah tidak akan berubah dan tidak boleh dipolemikkan atau dipolitikkan kerana ia adalah fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran buku Perjanjian Lama dan Dokumen Lama Malaysia (1791-1965) di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Buku tersebut yang diterbitkan oleh ITNM dilancarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Buku itu yang menghimpunkan 26 perjanjian serta dokumen penting negara diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris adalah penerbitan pertama di Malaysia dan keempat seumpamanya di dunia.
Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyarankan supaya Sejarah dijadikan subjek wajib di peringkat sekolah rendah untuk memastikan generasi muda mempunyai kefahaman mendalam tentang sejarah negara.
Menurut Abdullah, bagi tujuan itu juga, Kementerian Pelajaran perlu menjadikan pengajaran mata pelajaran Sejarah sebagai sebuah subjek yang menarik dan bukan dianggap oleh pelajar sesuatu yang membosankan.
Sementara itu, diminta mengulas pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, Hishammuddin berkata, kementerian mengekalkannya kerana keputusan itu diambil demi masa depan negara.
Katanya, kementerian sentiasa mengambil berat setiap aduan berkenaan program itu dan mengadakan mesyuarat dengan semua pihak bagi mempertimbang perubahan selain mengkajinya secara terperinci.
‘‘Oleh itu, ugutan membuat demonstrasi terhadap isu itu adalah pelik. Terserah kepada mereka kerana kita menelitinya demi masa depan negara. Bersandarkan akal rasional dan matang kita mendapati ia mekanisme yang tepat,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Hishammuddin berkata, buku Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia memperlihatkan bagaimana Raja Melayu di Semenanjung suatu ketika dulu diperdaya untuk menyerahkan kuasa atau menerima masuk penasihat Inggeris ke negeri Melayu.
‘‘Buku ini turut memuatkan Ordinan Darurat dan Perjanjian Persekutuan pada 1948 sehingga Singapura dikeluarkan dari Malaysia pada 1965,” katanya.
0 comments:
Post a Comment