+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, December 12, 2008

Meniti bahagia di Lombok

Zainab ketika ditemui Kosmo! sudah tidak boleh berbahasa Melayu lagi dan terpaksa menggunakan khidmat orang tempatan untuk menterjemahkan percakapannya.




‘KAMI senang sekali di sini.” Itulah antara ungkapan tiga orang wanita tempatan yang mengambil keputusan untuk membina istana cinta mereka dengan lelaki Lombok Timur, Indonesia.

Wartawan Kosmo! mengambil masa tiga hari menjejaki mereka dan cuba memahami kehidupan mereka yang jauh daripada ibu bapa, adik beradik dan sanak saudara di Malaysia.

Malah penulis juga ingin mengetahui mengapa mereka memilih lelaki Lombok sebagai teman hidup sehingga sanggup berkorban meninggalkan keluarga di bumi kelahiran demi cinta.

Umum mengetahui, tindakan melarikan anak gadis tidak salah di Lombok kerana ia adalah adat yang wujud sejak lama dahulu di kepulauan itu.

Bagaimanapun, adat tersebut hanya sesuai diamalkan di situ sahaja kerana masyarakatnya lebih memahaminya. Justeru itu, ia sama sekali tidak sesuai diamalkan di tempat lain.

Akibatnya wujud persepsi negatif terutama masyarakat di Malaysia yang melabelkan lelaki dari kawasan tersebut sebagai kurang ajar.

Keadaan tersebut begitu bertentangan dengan adat dan budaya di Malaysia dan ia juga boleh mencemar maruah wanita dan keluarga terlibat.

Namun keadaan tersebut tidak berlaku di Lombok Timur. Jika ada anak gadis dilarikan ke sana, ia adalah lumrah. Malah ia menjadi kebanggaan wanita jika mereka dilarikan bakal suami.


ERTI kemewahan bagi Siti Hanisah ialah kebahagiaan dan kasih sayang mertua, suami, anaknya Darlina Tamala Dewi dan adik iparnya, Susanti.


Selain itu, penulis mendapati ikatan kekeluargaan yang kuat dalam kalangan masyarakat di situ menjadi antara faktor yang menyebabkan ramai gadis kita sanggup tinggal di sana walaupun keadaan di Malaysia jauh lebih baik.

Sungguhpun serba kekurangan dari segi infrastruktur serta peluang pekerjaan yang sedikit, wanita Malaysia sanggup memperjudikan masa depan mereka di tangan suami tercinta.

Pertemuan pertama penulis ialah dengan Siti Hanisah Rosli, 21, yang kini menetap dengan keluarga suaminya di Gubuk Tengah, Desa Pengadangan, Lombok Timur, Indonesia.

Siti Hanisah tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Suaminya pula kembali semula ke Malaysia untuk mencari rezeki sebagai penoreh getah di Negeri Sembilan, sejak enam bulan lalu.

Pertama kali beliau menjejakkan kaki di kampung tersebut, Siti Hanisah yakin dia akan hidup bahagia kerana kekuatan ikatan kekeluargaan yang ditunjukkan oleh keluarga mertua mendatangkan rasa kagum kepada dirinya.

Malah seluruh masyarakat di situ turut memberi sokongan kepadanya untuk melayari kehidupan berumah tangga tanpa perlu bimbang dengan kesusahan yang bakal mereka lalui.

Biarpun hanya tinggal di sebuah rumah kecil, bersama ibu mertua dan adik iparnya, Siti Hanisah sedikitpun tidak menunjukkan kesal pada wajahnya.

“Saya bahagia di sini, apa yang menyebabkan saya sedikit pun tidak kesal meninggalkan Malaysia ialah kasih sayang yang tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh keluarga di sini.

“Lagi pun saya datang ke sini mendapat restu keluarga. Saya tidak melarikan diri dan datang dengan penuh rela hati, selain suami saya sudah menjelaskan kepada saya tentang keadaan di sini,” katanya kepada penulis.


ERTI kemewahan bagi Siti Hanisah ialah kebahagiaan dan kasih sayang mertua, suami, anaknya Darlina Tamala Dewi dan adik iparnya, Susanti.


Erti kemewahan kepada Siti Hanisah ialah kebahagiaan yang melimpah ruah dan bukannya harta benda. Ini menyebabkan dia bersedia dari segi mental dan fizikal untuk terus tabah mengharungi cabaran hidup.

Siti Hanisah yang berasal dari Kerubung, Melaka, masih dapat berhubung dengan keluarga menerusi telefon untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu kepada keluarganya di Malaysia.

Hasil perkongsian hidup Siti Hanisah dan suaminya, mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Darlina Tamala Dewi.

Namun jauh di sudut hatinya, Siti Hanisah ingin berjumpa dengan keluarganya jika keadaan ekonomi dia dan suami semakin kukuh.

Perjalanan penulis diteruskan lagi ke Tibuk Petung, Lombok Timur, yang terletak tidak jauh dari rumah Siti Hanisah untuk menjejaki Norhaslinda Hamid, 25. Beliau sudah lebih 12 tahun melayari bahtera rumah tangga bahagia bersama suaminya, Sofiyan.

Wanita yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini turut mendapat restu keluarga sebelum berkahwin dan berpindah ke negara tersebut. Pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata yang berusia 12 dan 7 tahun. Kedua-duanya bersekolah di situ.

“Saya tidak menghadapi masalah kerana perkahwinan kami mendapat restu keluarga walaupun kedatangan kami ke sini melalui ‘jalan gelap’,” ujarnya.


ATAS: NORHASLINDA, Sofiyan dan anak sulung mereka, Dewi hidup bahagia sejak 12 tahun lalu. Keluarga dari Malaysia pernah datang mengunjungi pasangan bahagia ini. BAWAH: SITI HANISAH tinggal bersama ibu mertua dan suaminya pula kembali ke Malaysia untuk bekerja.





Norhaslinda menjelaskan apa yang dilakukannya adalah kerana cinta. Dia juga tidak menyesal kerana bertindak demikian kerana yakin suaminya dapat memberikan kebahagiaan kepada dia dan anak-anaknya.

Sementara itu, Sofiyan pula baru pulang dari Malaysia dan kini menjadi seorang penganggur.

Ditanya mengenai status Norhaslinda pula, beliau menjelaskan proses untuk mendapatkan kad pengenalan di Indonesia begitu mudah. Beliau kini memegang kad pengenalan penduduk tetap Indonesia serta pernah menjadi salah seorang pengundi ketika pilihan raya umum Indonesia yang lalu.

Pada hari terakhir di negara tersebut, penulis berjaya bertemu dengan seorang lagi warga Malaysia yang sudah hampir 15 tahun di perantauan.

Zainab Ahmad, 38, yang berasal dari Kulai, Johor, pula mempunyai kisah yang cukup unik dan berbeza daripada kisah-kisah tadi.

Sebaik sahaja bercerai dengan bekas suaminya kira-kira 15 tahun lalu, Zainab mengambil keputusan untuk melancong ke kepulauan tersebut bersama rakan-rakannya.

Ketika melancong itulah, beliau bertemu dengan seorang lelaki dan Zainab mengambil keputusan untuk terus tinggal di situ. Rakan-rakan percutiannya pulang ke Malaysia manakala Zainab pula nekad mengikut lelaki yang baru dikenalinya di Lombok.

Zainab ketika ditemui Kosmo! sudah tidak boleh berbahasa Melayu lagi dan terpaksa menggunakan khidmat orang tempatan untuk menterjemahkan percakapannya.

Dia bersama suaminya menjalankan kerja menanam tembakau untuk menyara keluarga.

“Di sini, kalau ada beras pun sudah cukup gembira. Kami bercucuk tanam untuk sara diri dan saya sudah biasa dengan keadaan di sini,” katanya.

Dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, kehidupan mereka sekeluarga kelihatan cukup sederhana.

Zainab sempat memberitahu penulis yang dia juga sering bermimpi bertemu dengan keluarganya yang berada di Malaysia.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |