+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++
Showing posts with label MB perak. Show all posts
Showing posts with label MB perak. Show all posts

Tuesday, May 26, 2009

Nizar 'MB mahkamah', Zambry jawab Nik Aziz

Malaysiakini

May 25, 09 6:15pm

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menempelak PAS dengan berkata gelaran "menteri besar mahkamah" patut diberikan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menteri besar BN itu menambah, ADUN Pasir Panjang yang memulakan proses mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah menteri besar Perak yang sah, lapor Bernama.

"Jadi proses mahkamah itu dilakukan oleh Nizar, bukannya saya. Tok Guru (Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang saya hormati pun manusia juga, dia pun buat silap dan bukannya manusia maksum.

"Jadi saya tolong perbetulkan sedikit pandangan Tok Guru itu," kata Zambry ketika diminta mengulas label sedemikian yang diberikan oleh menteri besar Kelantan itu hujung minggu lepas kepadanya.

Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Zambry sebagai menteri besar Perak yang sah dan sekali gus membatalkan keputusan
Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas bahawa Mohammad Nizar adalah menteri besar yang sah.

Sementara itu, Zambry menolak kemungkinan kerajaan BN pimpinannya akan mendapatkan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk mengadakan sidang tergempar DUN sebagai jalan
penyelesaian kemelut politik di negeri itu.

"Sekarang ini kita berpandukan kepada apa yang telahpun diputuskan oleh mahkamah. Meskipun kita mempunyai peruntukan-peruntukan yang diberikan tetapi proses yang berlaku sekarang ini ialah proses perundangan.

"Jadi biarlah proses perundangan itu mengambil tempatnya dan kita
mengharapkan semuanya akan berjalan seperti biasa," Zambry dipetik berkata.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa langkah itu merupakan pilihan terbuka kepada BN tetapi tidak semestinya ia satu-satunya jalan menentukan kerajaan mana ada suara majoriti.

Read More...

Keputusan mahkamah satu skrip dan matinya demokrasi

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob
Sun | May 24, 09 | 7:58:47 am MYT

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi kemenangan 3-0 kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir pada 22 Mei lalu adalah satu keputusan yang telah diskripkan.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu semasa diminta mengulas keputusan kes rayuan Dr Zambry bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan Dato' Seri Ir NIzar Jamaluddin selaku MB yang sah.

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mengulas lanjut Mohamad Sabu berkata, keputusan yang telah diskripkan itu menandakan matinya demokrasi di negara ini.

"Keputusan ini sangat pelik kerana ia telah bocor dahulu, seluruh media BN telah menanti hanya untuk umumkan sahaja, satu lagi tanda sebelum keputusan dibuat ramai Adun dan pemimpin BN hadir, tak macam semasa keputusan di Mahkamah Tinggi,"ujarnya.

Meskipun begitu Mohamad Sabu masih mengharapkan akan berlakunya pembubaran Dun oleh pihak BN.

Dalam keputusannya, panel tiga hakim yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian pada 21 Mei sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Dato' Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Dato' Md Raus Sharif, Dato' Zainun Ali dan Dato' Ahmad Maarop.

Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca.

Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - sebagai pencelah - turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN. - mks. _

Read More...

Monday, May 11, 2009

Nizar kembali MB Perak selepas 96 hari

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas keputusan permohonan diumumkan. - foto The Star oleh ONG SIN HOONG

KUALA LUMPUR: Selepas 96 hari, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat diisytiharkan sebagai Menteri Besar sah, tetapi keputusan hari ini belum memberi petanda jelas sama ada krisis politik Perak yang memasuki bulan ketiga akan menemui jalan penyelesaian.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan keputusan itu kira-kira pukul 3.45 petang tadi.

Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir daripada Barisan Nasional (BN) yang mengambil alih tampuk kerajaan negeri 6 Februari lalu berada di bangunan SUK Perak.

Ratusan penyokong Nizar berhimpun di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta sejak tengah hari tadi dengan kawalan keselamatan ketat.

ALASAN MAHKAMAH

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan demikian selepas mendapati kerusi itu tidak kosong kerana Nizar tidak pernah meletak jawatan.

Selain itu tiada sebarang usul undi tidak percaya dibawa terhadap Nizar yang menyebabkan beliau hilang kepercayaan majoriti pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?"

"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini Menteri Besar boleh disingkirkan," katanya.

Mahkamah juga menolak permohonan peguam Zambry, Datuk Cecil Abraham untuk menangguhkan keputusan pengesahan kedudukan Nizar sebagai MB Perak tetapi mereka boleh mengemukakan rayuan.

Dalam kertas penghakiman yang dibacakan lebih satu jam bermula pukul 2.30 petang itu, Abdul Aziz berkata, satu-satunya cara untuk melucutkan jawatan Nizar sebagai Menteri Besar adalah melalui keputusan undi tidak percaya dalam sidang DUN.

Beliau berkata, tindakan Barisan Nasional (BN) membawa 31 ADUN termasuk tiga wakil rakyat Bebas menghadap Sultan Perak telah menyebabkan bukti yang menunjukkan Nizar kehilangan undi majoriti itu datang daripada pelbagai sumber.

Abdul Aziz berkata, seorang Menteri Besar tidak boleh dipecat oleh Sultan Perak atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan sultan.

Pemecatan Menteri Besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, katanya.

Katanya, walaupun Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak dalam pelantikan Menteri Besar, seorang Menteri Besar sebaik dilantik hanya bertanggungjawab kepada anggota DUN yang dipilih dan tidak kepada mana-mana pihak yang lain.

Beliau juga menolak hujah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah, bahawa hanya dalam dua keadaan yang membolehkan Menteri Besar boleh memohon untuk membubarkan DUN iaitu apabila tempoh penggal Dewan telah hampir tamat, iaitu di bawah Perkara 36(2) dan satu lagi apabila beliau berhenti mendapat kuasa daripada majoriti.

Beliau juga tidak bersetuju dengan hujah Abdul Gani dan Dr Zambry sebelum ini bahawa Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar walaupun beliau (Nizar) enggan berbuat demikian.

Abdul Aziz berkata, mahkamah tidak mempersoalkan keputusan Sultan Perak yang menolak permohonan itu kerana ia tidak berjustifikasi.

"Tidak diragui bahawa Duli Yang Maha Mulia mempunyai bidang kuasa mutlak untuk tidak memperkenankan permohonan bagi pembubaran," katanya.

REAKSI NIZAR

Dalam reaksi segera, Nizar berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Kuala Kangsar, dijangka esok pagi bagi memaklumkan secara rasmi berhubung keputusan mahkamah yang diputuskan hari ini.

Katanya, semua keputusan yang dibuat oleh Zambry selaku Menteri Besar sejak Februari lalu akan dikaji semula kecuali keputusan untuk mengadakan sidang DUN pada 7 Mei lalu yang berakhir dengan kekecohan.

"Kita akan minta Datuk Zambry dan Exco lain untuk mengosongkan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta berikutan keputusan mahkamah," katanya.

Nizar juga memberitahu mesyuarat Exco akan diadakan segera.

"Kita berpegang yang DUN harus dibubarkan berdasarkan kepada usul yang diluluskan pada sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac lalu," katanya.

Nizar telah kehilangan jawatan tersebut 6 Februari berikutan krisis politik Perak.

PERMOHONAN

Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, Pas dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, tiga ADUN daripada Pakatan memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong BN.

Tindakan itu menyebabkan BN secara automatik telah memiliki sokongan majoriti dalam DUN Perak.

Sultan Azlan berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar baru pada 6 Februari.

Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Zambry juga diwakili oleh Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.

Read More...

Apa yang dibisikkan kepada Mohammad Nizar?

Kosmo Online


GAMBAR kelmarin yang menunjukkan Raja Dr. Nazrin menitahkan sesuatu kepada Mohammad Nizar dan Koo Ham (terlindung) sebelum baginda merasmikan persidangan DUN Perak.





IPOH - "Kedudukan Beta di atas politik. Selepas titah ucapan, anda boleh teruskan.''

Itulah yang dibisikkan oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang kemudiannya mendorong kumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat akur untuk mengambil tempat duduk.

Ia menamatkan sementara kekecohan pada sidang Dewan kelmarin dan membolehkan Raja Dr. Nazrin merasmikan mesyuarat pertama penggal kedua sidang itu selepas hampir enam jam menunggu di Kamar Diraja.

Mohammad Nizar berkata, Raja Dr. Nazrin juga meminta semua ADUN Pakatan Rakyat menghormati titah ucapan baginda.

"Tuanku said he is above politics and he said later on after the speech you can go on,'' kata beliau pada sidang akhbar lewat petang kelmarin yang turut dihadiri ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham.

Penjelasan itu dibuat berikutan tanda tanya umum selepas melihat Mohammad Nizar dan Koo Ham dipanggil menghadap sebelum baginda merasmikan sidang Dewan.

Sebelum kedua-duanya dipanggil menghadap, mereka berada dalam kelompok 28 ADUN Pakatan Rakyat berkumpul di tengah Dewan untuk menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku apabila bekas Speaker, V. Sivakumar diangkut keluar dari Dewan.

Selepas menerima titah tersebut, Mohammad Nizar memberi arahan kepada semua ADUN Pakatan Rakyat supaya kembali ke tempat duduk masing-masing dan mendengar titah ucapan Raja Dr. Nazrin.

Read More...

Kemenangan Nizar, signal rakyat tolak rancangan jahat Najib

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Nasir Sudin
Mon | May 11, 09 | 7:17:24 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah keputusan yang menyebelahi rakyat.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar kepada Harakh semasa mengulas kemenangan Nizar.Beliau turut bersama di mahkamah ketika keputusan kes itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi pada 11 Mei.

Nizar kembali ke jawatannya secara sah dan diputuskan mahkamah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang MB hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan.

Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.

Image"Ini adalah satu kemenangan rakyat, dan ini juga adalah signal kepada Najib yang kita ketahui menjadi dalang dibelakang rampasana kuasa di perak bahawa rakyat mahukan perlembagaan tertegak," ujar Mahfuz menambah kenyataanya.

Menurut Mahfuz, kemenangan ini memberi gambaran bahawa apa sahaja yang dilakukan Najib dan Menteri Besar BN yang haram, Zambru Abdul Kadir ialah bertentangan kepada perlembagaan dan Undang Tubuh kerajaan Perak.

Dengan keputusan ini juga, menjawab segala fitnah yang dilontarkan BN kepada Pakatan Rakyat, katanya.

Malah dengan kemenangan ini nyata apa yang dilakukan Najib dan Zambry sebelum ini hanyalah mempermainkan undang tubuh kerajaan negeri selain mempersenda Sultan Perak.

Justeru Mahfuz menyeru Najib dan Zambry memohon maaf kepada rakyat Perak dan Pakatan Rakyat atas fitnah besar yang dilakukan ini hingga menyebabkan Perak 'kucar-kacir' selama tiga bulan.

"Ini satu kesalahan dan aib yang besar, malah apa yang berlaku dalam sidang dun pada 7 Mei lalu juga berpunca daripada rampasan kuasa Februari lalu," katanya.

Ahli dan rakyat diseru bersabar

ImageSementara itu Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar pula mengucapkan syukur ke atas kemenangan Nizar itu.

Kemenangan itu katanya adalah kemenangan perjuangan rakyat yang mahukan perlembagaan dihormati selain signal jelas kepada BN bahawa apa yang mereka lakukan sebelum ini bertentangan dengan undang-undang.

Beliau juga menyeru ahli Pakatan Rakyat di Perak khasnya bertenang sementara ini dan tidak melakukan apa-apa tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

Ahli juga diminta agar bersabar dan hanya bertindak dengan arahan dan perancangan teliti pimpinan buat sementara waktu ini.

ImageDalam penghakiman, permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman tersebut ditolak oleh mahkamah.

Mengulas kemenangannya, Nizar berkata beliau akan menghadap Sultan Perak berhubung penghakiman mahkamah tersebut.

Pada 13 Februari lalu, Mohamad Nizar memfailkan saman mencabar pelantikan Zambry di kompleks mahkamah Jalan Duta, kira-kira seminggu selepas rampasan kuasa BN dan sekali gus pelantikan wakil rakyat BN itu.

Mohamad Nizar, Adun Pasir Panjang, juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah perisytiharan bahawa Zambry yang dilanti 6 Februari lalu tidak berhak memegang jawatan menteri besar.

ImageDalam permohonan itu, wakil rakyat PAS itu mendakwa beliau masih menteri besar yang sah atas tiga alasan berikut:

(i) Tidak terdapat pembubaran DUN Perak;

(ii) Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh DUN terhadapnya sebagai menteri besar Perak; dan

(iii) Tidak terdapat peletakan jawatan menteri besar Perak.

"Melalui kenyataan media pejabat Sultan pada 5 Februari 2009, Sultan bertitah tidak akan membubarkan DUN dan sekiranya saya serta ahli majlis mesyuarat negeri tidak meletakkan jawatan, jawatan kami akan dianggap kosong.

"Saya menegaskan bahawa walaupun terdapat usaha mengusir saya daripada jawatan menteri besar Perak, saya masih menteri besar dan masih menjalankan fungsi dan tugas dengan baik, cermat dan adil," katanya dalam afidavit, menyokong permohonan itu.

Mohamad Nizar juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya responden memberikan tunjuk sebab bagaimana dan di bawah dasar apa Zambry, sebagai responden, berhak memegang jawatannya sekarang.

Beliau mendakwa responden secara tidak sah mengambil dengan tiada hak dan merampas jawatan menteri besar, serta menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai menteri besar secara tidak sah dan bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas menteri besar di negeri itu. _

Read More...

Hakim: Nizar MB Perak yang sah

Malaysiakini

Hafiz Yatim | May 11, 09 3:45pm

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar, lapor Bernama.

"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?"

"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakiman bertulis yang disampaikannya pada 2.30 petang.

Pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan bahawa beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas, juga memohon pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan tersebut.

Abdul Aziz, dalam penghakimannya berkata seorang menteri besar tidak boleh dipecat oleh Sultan Perak atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan sultan.

Pemecatan menteri besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, katanya.

Hakim berkata walaupun Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak melantik menteri besar, bagaimanapun seseorang menteri besar, sebaik dilantik, hanya bertanggungjawab kepada ADUN dan tidak kepada pihak-pihak lain, lapor agensi berita itu lagi.

Dalam penghakimannya juga, Abdul Aziz - hakim ketiga di Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu - tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, selaku pencelah, bahawa hanya dalam dua keadaan yang membolehkan menteri besar boleh memohon bagi pembubaran DUN.

"Peguam negara berhujah bahawa menteri besar hanya boleh memohon bagi pembubaran apabila tempoh penggal dewan telah hampir tamat, iaitu di bawah Perkara 36(2) dan satu lagi apabila beliau berhenti mendapat kuasa daripada majoriti.

"Saya tidak bersetuju dengan perkara ini. Mengikut Perkara 36 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, tiada keadaan yang terhad bagi menteri besar untuk memohon pembubaran daripada sultan, dan terserah kepada menteri besar untuk memilih masanya (untuk memohon bagi pembubaran)," kata Abdul Aziz seperti dilaporkan.

Hakim juga tidak bersetuju dengan hujahan peguam negara dan Zambry sebelum ini bahawa Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai menteri besar walaupun beliau (Nizar) enggan berbuat demikian.

"Peguam negara dan responden berhujah bahawa perkataan 'akan meletak jawatan' dalam Perkara 16(6) berupa mandatori bahawa menteri besar mesti meletak jawatan.

"Bagaimana jika menteri besar enggan meletakkan jawatan? Walaupun ia mandatori, peruntukan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai bermaksud bahawa menteri besar dianggap telah meletakkan jawatan," Abdul Aziz dilaporkan berkata lagi

Beliau juga mencadangkan perkara itu dipinda bagi mengatasi kelemahan dalam Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Mengenai isu afidavit penasihat undang-undang Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Abdul Aziz memutuskan beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil.

"Ia merupakan pengakuannya sendiri bahawa beliau telah diarahkan oleh peguam responden untuk mengikrarkan afidavit itu. Perkataan yang digunakan amat keras.

"Bagi saya beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil, keterangannya diwarnai dengan arahan yang diterimanya," kata Abdul Aziz yang memilih versi Nizar mengenai apa yang berlaku semasa menghadap Sultan Perak di Istana Kinta pada 4 Feb.

Hakim berkata beliau percaya dengan keterangan Nizar yang beliau tidak memohon perkenan Tuanku Sultan untuk membubarkan DUN kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti.

"Keadaan pada 4 Feb ialah Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan.

"Keterangan pemohon bahawa semasa menghadap Sultan Azlan Shah, beliau telah memohon perkenan bagi membubarkan dewan mengikut Perkara 36(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak adalah disebabkan wujud kebuntuan dalam dewan (apabila Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi), tetapi menafikan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota dewan," katanya.

Krisis politik Perak bermula apabila dua ADUN PKR Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) meletakan jawatan masing-masing pada 30 Jan diikuti Hee Yit Foong (Jelapang) dari DAP, empat hari kemudian.

Berikutan itu, Nizar telah menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb untuk memohon bagi pembubaran DUN tetapi permohonan itu ditolak.

Menurut agensi berita itu lagi, Abdul Aziz mengulangi yang mahkamah tidak mempersoalkan keputusan Sultan Perak yang menolak permohonan itu kerana ia tidak berjustifikasi.

"Tidak diragui bahawa Duli Yang Maha Mulia mempunyai bidang kuasa mutlak untuk tidak memperkenankan permohonan bagi pembubaran," tegasnya.

Hakim itu turut mempersoalkan kenapa BN, selepas
mengisytiharkan yang ia mendapat kepercayaan majoriti, tidak memanggil Nizar ke persidangan khas dewan untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau, kerana adalah lebih demokrasi untuk berbuat demikian.

Selepas penyampaian penghakiman selama sejam itu, Datuk Cecil Abraham yang mewakili Dr Zambry, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak oleh Abdul Aziz.

"Saya menolak permohonan lisan Datuk. Datuk boleh memfailkan permohonan rasmi bagi penangguhan, bersama-sama dengan kes dan autoriti, jika Datuk mahu meneruskannya," katanya.

Mahkamah sesak dengan lebih 50 wakil media dan anggota keluarga serta penyokong Nizar yang datang seawal 1.30 tengah hari.

Nizar diwakili peguam Sulaiman Abdullah dan 10 peguam lain manakala Dr Zambry, yang tidak hadir di mahkamah hari ini, diwakili Cecil dan Sunil Abraham.

Read More...

Tuesday, April 21, 2009

Zambry perolehi perintah yang tidak laku

Harakahdaily

Mohamed Hanipa Maidin
Mon | Apr 20, 09 | 10:36:22 pm MYT

Pembaca ruangan ini masih bertanya kepada saya adakah dua perintah perisytiharan yang dikeluarkan Mahkamah Persekutuan pada 15 April lalu bahawa penggantungan Zambry dan enam exconya oleh Speaker Perak dibatalkan membolehkan mereka menghadiri sidang DUN Perak nanti.

Jawapan saya adalah tidak! Berikut adalah alasan-alasan saya.

a. Apa yang diperolehi oleh Zambry dan enam exconya hanyalah perintah deklarasi (perisytiharan) semata-mata. Tidak lebih dari itu. Di dalam undang-undang perintah deklarasi yang diperolehi oleh Zambry dan enam exconya tidak membawa apa-apa makna kerana perintah deklarasi tidak mempunyai kuasa pemaksaan (coercive force).

Pakar undang-undang Pentadbiran, Prof M.P Jain secara jelas menyatakan:

"A declaration merely declares what the legal rights of the concerned parties are. A declaratory order has no coercive force as such nor does it quash any decision which may have been taken by an administrative authority."

(Perintah deklarasi hanya sekadar satu perisytiharan hak pihak-pihak yang terbabit dari segi perundangan. Perintah deklarasi tidak mempunyai kuasa pemaksaan (memaksa seseorang mengikut perintah tersebut). Perintah tersebut juga tidak memadam, membatalkan atau mengenepikan sebarang keputusan yang dibuat oleh mana-mana pihak berkuasa pentadbiran.)

b. Memandangkan Zambry dan enam exconya hanya memperolehi perintah deklarasi, perintah tersebut tidak meletakkan sebarang tanggung jawab (impose an obligation) ke atas Sivakumar untuk mematuhinya kerana dari segi rekod di dalam DUN di Perak, perintah penggantungan tersebut masih wujud selagi tidak dipadam oleh Mahkamah (not quashed by the court).

Untuk memudahkan kefahaman umum, saya berikan contoh berikut:

Kita ambil satu kes misalnya seorang menyaman Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana mengekalkan nama di dalam kad pengenalannya sebagai Ali bin Abu sedangkan beliau mendakwa telah menukar agama dan memohon namanya ditukar kepada John Abraham.

Katakan beliau meminta satu perintah deklarasi bahawa tindakan atau keputusan JPN yang tidak menukar namanya kepada John Abraham adalah tidak sah.

Katakan Mahkamah bersetuju dengan beliau dan mengisytiharkan bahawa keputusan atau tindakan JPN adalah tidak sah dan Mahkamah juga mengisytiharkan nama beliau adalah John Abraham. Maka persoalan yang timbul adalah, adakah JPN wajib menukar namanya kepada John Abraham selepas beliau mendapat perintah perisytiharan tersebut?

Dari segi undang-undang, JPN tidak wajib menukar namanya kepada John Abraham kerana Mahkamah hanya mengisytiharkan tindakan JPN adalah tidak sah tanpa memerintahkan nama Ali bin Abu dipadam dan ditukar kepada John Abraham.

JPN hanya wajib menukar nama Ali bin Abu kepada John Abraham jika pemohon mendapat perintah 'certiorari' iaitu perintah mengenepikan/memadam (quash) keputusan JPN tersebut dan selanjutnya perintah mandamus iaitu perintah mengarahkan JPN menukar nama beliau dari Ali bin Abu kepada John Abraham.

Selagi tidak ada perintah 'certiorari' dan perintah mandamus tersebut maka nama beliau akan kekal di dalam kad pengenalan sebagai Ali bin Abu meskipun Mahkamah mengisytiharkan namanya John Abraham.

c. Dalam konteks kes Zambry lwn Sivakumar apa yang sepatutnya peguam Umno buat adalah selain mendapatkan perintah perisytiharan (deklarasi) bahawa penggantungannya tidak sah, Zambry juga sepatutnya memohon Mahkamah mendapatkan perintah-perintah berikut iaitu perintah 'certiorari' iaitu perintah mengenepikan atau memadam keputusan Sivakumar yang menggantung beliau dan enam exconya, dan juga perintah mandamus iaitu perintah meminta Sivakumar menbenarkan beliau dan enam exconya hadir ke dalam sidang DUN Perak.

d. Tanpa perintah 'certiorari' dan mandamus tersebut maka perintah perisytiharan yang Zambry dan enam exconya perolehi dari Mahkamah adalah satu perintah yang tidak membawa apa-apa kesan ke atas Sivakumar. Berhadapan dengan perintah seperti itu Sivakumar dengan tenang akan menjawab begini: "So what!"

Mungkin pembaca ingin bertanya mengapa Zambry dan enam exconya tidak memohon perintah 'certiorari' dan mandamus sebaliknya hanya memohon perintah perisytiharan sahaja.

Ada dua sebab mengapa mereka tidak berbuat demikian.

Sebab Pertama adalah peguam Zambry sendiri secara jelas mengakui semasa penghujahan di Mahkamah Persekutuan bahawa Zambry tidak boleh memohon perintah 'certiorari' dan mandamus kerana kedua-dua perintah tersebut tidak boleh dipohon di dalam kes ini disebabkan doktrin pengasingan kuasa (separation of powers).

Dengan lain perkataan peguam Zambry mengakui bahawa berdasarkan doktrin pengasingan kuasa, Mahkamah tidak boleh memerintah Sivakumar sebagai Speaker untuk sama ada memadamkan keputusannya atau membenarkan Zambry masuk dan hadir di dalam persidangan DUN Perak.

Hatta jika kita lihat kepada 10 perintah yang Zambry pohon kesemuanya adalah perintah berbentuk perisytiharan sahaja. Malahan Mahkamah juga tidak membenarkan perintah perisytiharan supaya beliau dan enam exconya untuk masuk, menghadiri dan mengambil bahagian di dalam sidang DUN Perak.

Sebab kedua adalah Zambry dan enam exconya telah tersalah memilih prosedur Mahkamah. Jika beliau ingin memohon perintah 'certiorari' dan mandamus, beliau perlu membuat permohonan semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dan bukannya melalui Saman Pemula seperti yang mereka buat.

Memandangkan mereka telah tersalah prosedur maka mereka dengan berat hati terpaksa berpuas hati dengan perintah perisytiharan yang tidak membawa apa-apa makna.

Atas dasar itu juga peguam Sivakumar juga telah berhujah bahawa perintah perisytiharan yang Zambry pohon sebenarnya tidak membawa apa-apa faedah dan meminta Mahkamah tidak melayan perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry tersebut.

Hujah peguam Sivakumar adalah berasaskan apa yang dinyatakan di dalam kes Fan Yew Teng vs Government of Malaysia di mana Mahkamah telah menerima pakai apa yang dinyatakan oleh Erskine May di dalam buku Parlimentary Procedure (17th Edition) di mana penulis telah menyatakan:

"The decisions of the court are not accepted as binding the house in matters of privilege, nor the decision of the House by the courts."

(Keputusan Mahkamah tidak diterima sebagai mengikat Parlimen atau DUN di dalam perkara menyentuh keistimewaan, begitu juga keputusan Parlimen atau DUN tidak mengikat Mahkamah.)

Mengapa? Mungkin pembaca bertanya mengapa Mahkamah membenarkan juga perintah yang tidak berfaedah tersebut? Jawapan mudah saya adalah ia hanyalah perintah untuk mengambil hati Umno. Perumpamaan yang mudah, ia adalah ibarat hadiah saguhati kerana menyertai pertandingan.

Jenis Umno ini, kita beri mereka wang satu sen pun mereka melonjak gembira sedangkan satu sen boleh beli apa?

Seperkara lagi yang saya perlu kongsi di sini adalah mengenai sidang DUN di bawah pokok yang diadakan pada 3 Mac 2009. Isu keabsahan (validity) persidangan di bawah pokok tersebut juga merupakan salah satu isu yang dirujuk oleh Zambry ke Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 63 Perlembagaan Negeri Perak.

Isu yang dirujuk adalah sama ada sidang bawah pokok pada 3 Mac 2009 adalah sah apabila ianya dibuat tanpa perkenan Sultan Perak.

Selepas mendengar hujah peguam Zambry dan peguam Sivakumar, Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat apa-apa keputusan terhadap isu keabsahan sidang DUN di bawah pokok pada 3 Mac 2009 tersebut. Secara tersirat kita boleh menyimpulkan bahawa Mahkamah bersetuju bahawa sidang DUN di bawah pokok adalah sah.

Memandangkan tiada perintah Mahkamah yang membatalkan keputusan sidang bawah pokok, Umno terpaksa menerima hakikat berikut:

a. Persidangan DUN di bawah pokok telah mengesahkan (endorsed) keputusan Sivakumar yang menggantung Zambry dan enam exconya selama 18 bulan dan 12 bulan.

b. Dengan pengesahan tersebut maka keputusan penggantungan tersebut adalah sah dan masih mengikat Zambry dan enam exconya yang lain.

c. Di dalam samannya Zambry mengatakan keputusan Sivakumar adalah tidak sah kerana keputusannya tidak disahkan oleh DUN Perak. Memandangkan sidang DUN Perak pada 3 Mac 2009 telah mengesahkan keputusan Sivakumar yang dibuat pada 18 Februari 2009 dan memandangkan Mahkamah Persekutuan tidak membuat apa�apa keputusan yang mengisytiharkan sidang bawah pokok adalah tidak sah, maka keputusan DUN Perak di bawah pokok adalah sah dan mengikat Zambry serta enam exconya.

d. Apa yang Mahkamah putuskan hanya melibatkan keputusan Sivakumar pada 18 Februari dan bukannya keputusan DUN Perak pada 3 Mac 2009.

Kesimpulannya Umno hanya dapat perintah Mahkamah yang tidak membawa apa-apa faedah.

Nota: Hanipa Maidin ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat dan ahli panel penasihat undang-undang, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin.- tajdid_

Read More...

Saturday, April 4, 2009

Mahkamah benar Nizar cabar Zambry

kosmo online


NIZAR



ZAMBRY



KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam diberi "lampu hijau" oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar kesahihan pelantikan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Ini berikutan keputusan Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim bahawa permohonan yang difailkan oleh Mohammad Nizar pada Februari lepas adalah tidak remeh, tidak menyusahkan dan mempunyai kes prima facie untuk dihujah di mahkamah.

Hakim Abdul Aziz berkata, dalam hujah mereka, peguam kedua-dua pihak bersetuju bahawa mahkamah tidak boleh menghakimi keputusan Sultan Azlan Shah melantik Zambry sebagai Menteri Besar dan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Malah, kata hakim itu, dalam permohonannya, Mohammad Nizar cuma mempersoalkan kesahihan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar.

Peguam Sulaiman Abdullah mewakili Mohammad Nizar manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Said mewakili Jabatan Peguam Negara dalam kes itu.

Hakim Abdul Aziz menetapkan Rabu depan untuk pengurusan kes itu dan memerintahkan Sulaiman memfailkan dokumen berkenaan termasuk afidavit selewat-lewatnya Selasa depan.

Read More...

Wednesday, April 1, 2009

Chua: BN sukar hadapi jentera Nizar

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Apr 1, 09 6:12pm

Calon BN Ismail Saffian kelihatan berada dalam keadaan sukar berdepan lawannya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin - jika maklum balas jentera Umno dan MCA ini tepat.

Pada hari keempat berkempen di parlimen Bukit Gantang, seorang pemimpin kanan MCA kecewa calon itu bersama pekerja kempen BN tidak setanding petugas Pakatan Rakyat.

Dalam lawatannya ke kampung baru Cina di Simpang dekat Taiping semalam, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata BN tidak membawa banyak bahan kempen ketika bertemu pengundi.

bm version bukit gantang parliamentary seat 090209BN juga tidak menjawab serangan pembangkang secara bertulis terhadap kerajaan BN Perak dan kerajaan persekutuan.

"Dalam hubungan ini, kumpulan Pakatan Rakyat buat kerja dengan lebih baik, setidak-tidaknya bahan kempen mereka, yang ditujukan untuk mengkritik kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan," kata Dr Chua di blognya petang ini.

"Namun begitu, BN tidak berbuat secukupnya untuk menangkis banyak tohmahan (Pakatan) ini dalam bentuk tulisan. Lama-kelamaan, sebahagian tuduhan ini akan kelihatan benar."

Beliau mencadangkan BN meningkatkan mutu bahan kempennya.

"Kita jangan lupa Pakatan selepas kemenangannya (tahun lalu) berada dalam keadaan penuh bersemangat. Ia mempunyai anggota yang lebih beriltizam dan banyak sumber bagi menggerakan perang kempen ini," coret Dr Chua lagi.

"Daripada kain rentang, bendera parti, baju T dan lencana, jelas sekali hari ini Pakatan telah memiliki sumber-sumber setanding BN.

"Di Bukit Gantang, BN sedang bergelut dengan tugas berat (untuk menang)."

Sementara ADUN Umno Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohamed Radzi pula menyifatkan calon BN itu menghadapi cabaran besar meyakinkan pengundi Melayu di Trong, satu daripada tiga DUN bawah Bukit Gantang.

"Sudah tentu kita (BN) ada kawasan hitam kita, macam di kawasan Trong, yang pengundi Melayunya yang kelabu-hitam," katanya ketika ditemui Malaysiakini sewaktu berkempen hari ini di Taman Paloh bawah DUN Changkat Jering.

"Juga kawasan Kuala Sepetang apabila pengundi bukan Melayu tidak begitu bersama-sama kami. Tetapi kita lihat gerakan daripada MCA, Gerakan sendiri cukup memberi kita harapan untuk mendapat sokongan pengundi bukan Melayu."

bukit gantang adun tualang sekah nolee ashilin mohd radzi 010409 02[Penandaan warna ini dibuat oleh parti-parti politik untuk menentukan aras sokongan yang diterima berdasarkan culaan undi semasa. "Putih" bermakna menyokong kepada sesebuah parti, "hitam" (pihak lawan) dan "kelabu" (tidak pasti atau 50-50).]

DUN Trong dikuasai wakil rakyat BN, Datuk Rosli Husin, yang juga ketua bahagian Bukit Gantang.

Nolee Ashilin waktu itu bersama kira-kira 20 ahli Puteri Umno mengambil pendekatan berbasikal dari rumah ke rumah untuk membawa imej lebih mesra pengundi.

Katanya, petugas BN itu menyebarkan risalah perkembangan politik Perak supaya para pengundi memahami krisis antara BN dengan Pakatan yang berlarutan sejak Februari.

Read More...

Monday, March 30, 2009

Gempar: 20 Minit Nizar imamkan Solat Maghrib dalam program Umno

TKO

Oleh hermansamsudeen

" Terkejut beruk! begitulah reaksi pemimpin Umno yang berkumpul untuk mengadakan program bacaan Yaasin dan solat hajat di Masjid Simpang semalam setelah melihat calon PAS bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengimamkan solat Maghrib.

Mereka tak menyangka bahawa Nizar akan hadir dan bersolat disitu. Dalam kenyataannya beliau bersama mStar,

beliau telah diundang oleh imam Masjid Simpang untuk berucap menjelaskan ayat-ayat yang dibacakan semasa mengimamkan solat Maghrib.

"Saya dijemput oleh imam supaya mentafsirkan ayat-ayat yang saya bacakan selama 20 minit sebelum itu... saya juga sejak awal telah diminta supaya tidak menyelitkan elemen politik sebab masjid bebas politik.
“Jadi, saya diminta membuat tafsiran ayat-ayat yang saya bacakan sebelum itu… ketika takzirah… jadi saya tidak merampas mikrofon untuk berucap, cuma memenuhi kehendak imam,” kata beliau kepada mStar Online ketika ditemui di Markas PAS Bukit Gantang pagi tadi.Kata Nizar, apabila beliau meminta mikrofon untuk menyampaikan ucapan tafsiran ada pihak yang membantah dengan alasan ia bukan tempat untuk berpolitik.“Bagi mengelakkan suasana kecoh, saya memutuskan untuk tidak meneruskannya dan kemudian meninggalkan masjid… apa terjadi selepas itu saya tidak tahu,” katanya.

Khabarnya, Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin turut hadir dalam program malam itu. Nampaknya pemimpin Umno tak larat nak berdiri selama 20 minit selepas Nizar menjadi Imam Solat dan akhirnya mereka bangkang pula bila Nizar nak bagi Tazkirah berkaitan tafsiran ayat berkenaan.

Selama ini, mereka hanya tahu baca Yaasin sahaja. Bila bagi ayat lain mereka sudah ketakutan.

Nizar hanya nak terangkan maksud ayat bukan nak bagi ceramah Politik. Sebenarnya merekalah yang berpolitik, kerana terang-terang anjur majlis Bacaan Yaasin dan Solat Hajat sempena Pilihanraya. Selama ini, tak pernah pun nampak muka pemimpin besar Umno kat situ. Tak pasal-pasal bila Pilihanraya mereka datang buat program Baca Yaasin dan Solat Hajat.

Eloklah baca Yaasin tu, moga dibukakan hati untuk terima kebenaran sebelum mati dan orang lain bacakan Yaasin untuk mereka pula.

Herman-Harap-harap Imam Masjid Simpang tidak kena pecat pula kerana benarkan Nizar jadi Imam.

Read More...

Tuesday, March 24, 2009

Sah, Nizar jadi calon PAS di P059 Bukit Gantang

perakexpress

Baru sebentar tadi Presiden PAS, DS Haji Hadi mengumumkan bahawa calon Pas bagi kawasan P059 Bukit Gantang ialah DS Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak yang sah.

Berita Hrkh

Nizar calon PAS di Bukit Gantang
Harakahdaily
Mon | Mar 23, 09 | 11:07:13 pm MYT

TAIPING, 23 Mac (Hrkh) - Menteri Besar Perak Ir Dato’ Seri Nizar Jamaluddin telah diumumkan sebagai calon untuk mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang 7 April depan.

Pengumuman itu dibuat di Padang Kota, Taiping sebentar tadi di hadapan ribuan penyokong Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Adun Pasir Panjang dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom.

Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar beliau merupakan Pengarah Urusan di beberapa firma swasta manakala di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland dan Miano Italy.

Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasn Kampar (2001 hingga kini).

Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak).

Kerusi Parlimen Bukit Gantang menjadi rebutan selepas penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS meninggal dunia awal bulan lalu

Read More...

Friday, March 20, 2009

Apakah benar UMNO membela agama, bangsa dan negara? - Ir Nizar

prk059

Ditulis oleh Webmaster PRK059
Jumaat, 20 Mac 2009 04:18

BUKIT CEMPEDAK, 19 MAC : "Apakah kamu ingat kamu dicipta sia-sia? Apakah kamu ingat kamu tidak akan dikembalikan?"

Peringatan yang dipetik dari Al-Quran disampaikan oleh Ir Nizar dalam ucapannya malam tadi sebagai mukadimah ucapan beliau. Dalam pada masa itu, orang ramai semakin membanjiri lokasi ceramah untuk melihat dan mendengar sendiri penjelasan oleh YAB Dato Seri Ir Nizar Jamaluddin yang juga 'hero' di mata rakyat khususnya di negeri Perak.
Beliau menyifatkan bahawa sejak dahulu setiap kali pilihan raya berlaku, Barisan Nasional (BN) seringkali melakukan penipuan dengan menggunakan SPR, pengundi hantu dan sebagainya. Tetapi Pakatan Rakyat bersabar, tidak mampu berbuat apa-apa dengan taktik kotor yang dilakukan oleh pihak BN.

Tetapi Pakatan Rakyat berentap, melawan dengan cara yang bersih setiap kali pilihan raya untuk mencapai kemenangan dan akhirnya pada pilihan raya ke-12 8 Mac 2008 yang lalu, dengan izin Allah 4 negeri UMNO iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah terus tumbang dan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Mengapa Pakatan Rakyat tidak melawan dengan teknik yang sama dengan apa yang BN lakukan tetapi hanya bersabar, kata Ir Nizar Jamaluddin,

"Pakatan Rakyat menghormati demokrasi berpelembagaan dan keduanya Pakatan Rakyat bersabar kerana dalam Islam Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah mengajar umatnya merampas kuasa untuk menguasai kerajaan".

Tambah beliau lagi, sejak BN memerintah mereka berselindung disebalik kerajaan, berselindung disebalik istana, bangsa dan agama. Tapi selepas 50 tahun BN memerintah barulah rakyat tahu siapa sebenarnya BN.

Menteri Besar Perak yang sah itu turut mempertikaikan akan perjuangan UMNO selama ini. Apakah benar UMNO membela agama, bangsa dan negara?

Sekiranya UMNO mengatakan bahawa mereka memelihara agama, Ir Nizar mempersoalkan siapakah yang menghilangkan tulisan jawi di negara ini? Hadirin dengan semangatnya memberi 'respond' yang positif mengatakan UMNO yang telah menghilangkan tulisan jawi.

"Apabila jawi hilang maka masyarakat Melayu akan terdedah dengan gejala sosial, dan perkara ini sama seperti kes Kamal Ataturk di Turki", tegas beliau lagi.

UMNO mengatakan bahawa mereka membela bangsa Melayu, tetapi 3 negeri di Malaysia yang termiskin adalah dibawah pimpinan UMNO. Negeri Sabah mempunyai ramai masyarakat bumiputera dan mempunyai banyak hasil bumi tetapi penduduk Sabah tidak mendapat apa-apa hasil atau pulangan kepada mereka.

Negeri kedua termiskin iaitu negeri Terengganu yang mempunyai 96% masyarat melayu yang juga dibawah pemerintahan UMNO. Begitu juga di Perak yang dipimpin oleh UMNO sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih pimpinan melalui pilihan raya ke-12 yang lalu.

Menyentuh mengenai UMNO membela nasib bangsa, Ir Nizar mempersoalkan mengapa Menteri Pelajaran iaitu Dato Hishamuddin dan Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi hingga kini tidak mampu untuk memansuhkan PPSMI sedangkan kata Ir Nizar ada dikalangan pimpinan UMNO juga turut mendesak supaya PPSMI dimansuhkan.

Sepanjang pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak, Ir Nizar menyatakan bahawa UMNO cemburu dengan pendekatan yang digunakan oleh Pakatan Rakyat dimana selama 10 bulan pemerintahan Pakatan Rakyat telah menggunakan pendekatan Mesra Rakyat.

Pada malam itu, semua pimpinan mengingatkan bahawa pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang pada kali ini hendaklah semua pihak bekerja keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Pakatan Rakyat dan sekaligus mengatakan bahawa rakyat sama sekali sudah tidak menerima pemerintahan BN.

Read More...

Saturday, March 7, 2009

Kami tidak bermusuh dengan Sultan - MB Nizar

Harakahdaily

Ekmal Yusof
Fri | Mar 06, 09 | 4:28:43 pm MYT

KUALA KANGSAR, 6 Mac (Hrkh) � "Jangan sekali-kali tuduh kami mengkhianati Sultan. Kami tidak pernah memusuhi baginda, oleh itu tiada sebab kami menaruh kebencian terhadapnya.

"Musuh kami bukan Sultan. Musuh kami bukan Istana, tetapi Najib Tun Razak,� kata Menteri Besar Perak, Dato� Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semasa berceramah dalam rangka lawatannya ke seluruh negeri Perak di Sayong Tengah dekat sini kelmarin.

Tegasnya, Najib bersama Umno-Barisan Nasional yang telah mengkhianati Sultan menggunakan "kuasa Istana" untuk merampas Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang sah dari tangan rakyat.

Katanya, Najiblah yang merobek, merompak tiga orang Adun Pakatan Rakyat dan menimbulkan kemelut krisis antara Sultan dengan rakyat Perak.

"Padahal semasa kami memerintah hampir sebelas bulan Pakatan Rakyat Perak, hubungan saya dengan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah cukup intim di mana pada setiap minggu saya datang mengunjungi baginda. Begitu juga kemeseraan saya dengan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah cukup baik," tegasnya.

Kerana itu, kata Nizar, mereka cemburu. Mereka tidak sanggup melihat pimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak menguruskan kerajaanya dengan baik yang dapat diterima oleh Sultan dan pelbagai keturunan rakyat.

Katanya, Umno-BN tidak sanggup melihat kempimpinan kami begitu menarik diterima rakyat berteraskan konsep tugasan dengan keadilan, ketelusan dan kebajikan.

Sehubungan itu Nizar menyeru saki-baki ahli Umno supaya keluar daripada kerajaan haram sekarang dan masuk Pakatan Rakyat, kerajaan yang sah di sisi undang-undang.

"Jangan sokong kerajaan haram, Dun haram, Exco haram," tegas Nizar. - mns_

Read More...

Tuesday, March 3, 2009

Sidang Tergempar: Nizar akan bertemu Sultan

Harakahdaily

Johari Jaafar

Tue | Mar 03, 09 | 12:37:27 pm MYT

IPOH, 3 Mac (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Dato Ir Mohamad Nizar Jamaluddin memberitahu akan bertemu dengan Sultan Perak dalam masa terdekat mengenai keputusan sidang tergempar yang mengesyorkan baginda membubarkan DUN.

Sidang DUN Tergempar yang terpaksa dibuat di bawah pokok kira kira 100 meter dari pintu masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan setelah Speaker Dewan, V. Sivakumar bersama Adun Adun Pakatan Rakyat dihalang masuk ke bangunan tersebut oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali.

Sidang dewan tergempar berjalan dengan lancar bermula jam 10.15 pagi tadi dan telah menjalankan mesyuarat ke empat penggal pertama serta meluluskan dua usul.

Usul pertama dibawa oleh Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim, menyokong mengesyorkan pada dewan Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar yang sah dan telah diluluskan oleh dewan dengan kesemua Adun Pakatan Rakyat menyokongnya.

Usul kedua dari ADun Teja Chan Lih Kang iaitu mengesyorkan pada dewan usul mengesyorkan pada Tuanku Sultan memperkenankan Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan usul berkenaan telah disokong swebulan suara.

Sidang tersebut dihadiri oleh semua 28 ADUN PR termasuk YAB MB dan speaker sendiri.

Ustaz Misbahul Munir yang dilantik sebagai Setiausaha Dewan telah mengendalikan sidang tergempar dengan baik.

Sementara itu Adun Sitiawan, Dato' Ngeh Khoo Ham mengusulkan usul supaya dewan menerima keputusan jawatankuasa hak dan kebebasan menggantung Dato' Zambry Kadir dan enam exconya. Usul diterima sebulat suara.

Adun Pasir Panjang, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin telah mengusulkan dewan ditangguh jam 10.32 pagi pagi tadi. - azm _

Read More...

Sunday, March 1, 2009

Apabila DUN Perak Dihalang Bersidang...

Greenboc

Sebelum ini kita dah paparkan di dalam satu undian SMS, 97% menyatakan tindakan Speaker Perak yang memanggil sidang tergempar DUN sebagai SAH.

Kami juga membuktikan deretan justifikasi mengapa rakyat membuat keputusan sedemikian.

Tetapi petang ini Setiausaha Dewan Negeri Perak, Abdullah Antong Sabri dalam satu kenyataan akhbar di Kuala Lumpur hari ini berkata, cadangan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, V. Sivakumar untuk memanggil satu sidang tergempar dewan itu pada Selasa ini adalah tidak sah.

Menurut kenyataan itu, ia tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak berdasarkan Perintah Tetap Dewan Negeri serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Bukan disebabkan kerana mahkamah masih belum membuat keputusan berhubung status kerajaan negeri itu seperti didakwa oleh Najib.

Berbelit-belit sudah alasan untuk menghalang sidang tergempar DUN ini.

Seorang pakar Perlembagaan dari UIAM, Profesor Dr Abdul Aziz Bari pernah mengulas mengenai hal yang sama sebelum ini.

Aziz berkata di bawah Perkara 16(1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Sultan diberi tanggung jawab untuk memanggil sidang dewan, termasuk mempastikan bahawa DUN bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.

“Peruntukan ini sama dengan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kewajipan yang sama ke atas Yang di-Pertuan Agong”, jelas beliau ketika dihubungi.
Profesor undang-undang itu berkata, memanggil sidang DUN tidak termasuk di dalam hal-hal yang menjadi budibicara dan beliau berpendapat bahawa Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menyekat atau menolak permohonan untuk memanggil sidang.

“Pada hakikatnya kuasa ini adalah kuasa formal dan adalah tidak munasabah untuk Sultan, dalam kes Perak ini, untuk menolak atau menghalang permohonan speaker itu,” tegas beliau lagi. Pakar perlembagaan itu berkata, hujah tersebut diperkuatkan oleh teori yang meletakkan ketua negara atau ketua negeri sebagai sebahagian daripada mekanisme yang melindungi perlembagaan dan semangatnya.

“Kalau Sultan menolak permohonan itu bermakna Sultan sudah menyekat demokrasi dan ini bertentangan dengan Konsep Raja Berperlembagaan yang mesti selari dengan tuntutan demokrasi,” tambahnya lagi.

Aziz berkata sidang DUN itu juga perlu kerana Perkara 16(2)(a) dan (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak menyebut soal sokongan majoriti di dalam DUN dan ini perlu ditunjukkan secara telus dan terbuka. Ditanya mengenai pendapat yang mengatakan bahawa sokongan majoriti itu boleh ditunjukkan di luar dewan, Aziz berkata “pendapat itu sebenarnya pandangan yang agak lemah dan hanya boleh diterima sekiranya ada pihak, contohnya kerajaan yang ada, yang dalam konteks Perak Dato Seri Nizar, enggan atau menghalang sidang DUN”.

Beliau berkata pendapat itu berdasarkan kes Adegbenro yang diputuskan pada 1963. Katanya kes yang lebih baik ialah kes Stephen Kalong Ningkan yang diputuskan pada 1966 yang menghukumkan bahawa ia perlu dibuat di dalam dewan.

Aziz menambah peruntukan yang sama juga ada dalam Perlembagaan Persekutuan, yakni Perkara 43(2)(a) dan 43(4). Sebab itu, tegasnya, adalah salah apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyekat permohonan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Aziz menjelaskan, “Memang speaker mempunyai kuasa mutlak tetapi ini berhubung dengan keahlian, perjalanan dewan dan seumpamanya. Apa yang berlaku di Perak ialah Speaker Sivakumar mahu proses menunjukkan sokongan itu berlaku sedangkan Pandikar Amin bertindak sebaliknya. Ini menyebabkan peruntukkan perlembagaan, khususnya Perkara 43(2)(a) dan 43(4) tersekat. Itu sebab saya pernah mengatakan bahawa speaker tidak harus menyelamatkan kerajaan dari diuji sokongannya oleh dewan. Apa yang berlaku di Perak betul kerana speaker mahu kerajaan yang ada membuktikan bahawa dirinya mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan.

Pandikar Amin dipetik di dalam media sebagai berkata speaker dewan harus adil dan tidak memihak.

Aziz menambah di sisi perlembagaan, Anwar sebenarnya tidak perlu menulis surat kepada Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 16 September 2008 kerana Abdullah adalah ketua kerajaan dan bukan ketua dewan.

“Mungkin apa yang Anwar lakukan itu sekadar strategi politik, tetapi ia bukan satu syarat. Bagaimanapun kita perlu sedar bahawa Malaysia mempunyai budaya politik yang ganjil dan tidak mesra perlembagaan dan strategi seperti itu perlu,” ujar Aziz. Abdullah bagaimanapun menolak mentah-mentah sidang tersebut. Pandikar Amin juga enggan memberi laluan.

Aziz berpendapat di dalam keadaan sedemikian, Yang di-Pertuan Agong bertanggung jawab menitahkan sidang kerana isu sokongan majoriti amat penting dan ia adalah nyawa bagi sesebuah kerajaan di dalam sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia.

“Pada saya ini selaras dengan kehendak peruntukkan yang berkenaan, khususnya Perkara 43(2)(a), 43(4) dan 55(1) di baca bersama,” tambahnya. Keadaan yang sama wujud di Perak sekarang, kata Aziz.

Beliau berkata “jika sidang DUN tidak dipanggil sukar bagi kerajaan hendak menjalankan pentadbiran; contohnya mendapatkan kelulusan perbelanjaan dan pelbagai urusan rutin yang memerlukan dana yang mesti diluluskan oleh DUN dan sebuah kerajaan yang sah, yakni yang mempunyai dokongan majoriti di dalam dewan.”

Ditanya mengenai perlantikan Dato Dr Zambry Abd. Kadir oleh sultan beliau berkata, “itu tidak mengapa; isunya di sini ialah perlantikan itu perlu dibuktikan benar-benar sah oleh DUN kerana dewan yang mempunyai kata putus sama ada penilaian Sultan itu tentang sokongan majoriti kepada Zambry itu betul atau sebaliknya.”

Aziz berkata sokongan majoriti itu terpakai kepada Zambry dan Mohamad Nizar. Beliau menjelaskan soal sokongan majoriti itu boleh dibangkitkan di dalam dewan bila-bila masa sebagaimana yang biasa dilakukan di United Kingdom umpamanya.

“Katakan Zambry kalah kali ini, beliau boleh lepas ini membawa usul undi tidak percaya terhadap Mohamad Nizar pula kalau beliau berasa sokongan ahli dewan terhadap beliau bertambah. Begitu juga dengan ahli dewan yang lain yang berasa mereka mempunyai sokongan yang cukup. Proses ini dizinkan malah dikehendakki oleh perlembagaan,” tegasnya.

Konklusinya: biarkanlah, apa-apa pun rakyat tetap berkuasa dengan undi yang ada nanti semasa pilihanraya. Makin bertambah nampaknya simpati dan sokongan rakyat kepada Nizar dan PR.

Read More...

PAC Perak panggil Zambry, Nizar dan Exco

Malaysiakini

Feb 28, 09 8:42pm

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Perak (PAC) akan memanggil menteri besar dan bekas menteri besar untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan penggunaan wang kerajaan sepanjang krisis politik di negeri itu.

Selain Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, PAC turut memanggil barisan exco mereka untuk memberi keterangan pada mesyuarat khas yang akan diadakan pada pukul 4 petang, 5 Mac ini.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata PAC boleh mengeluarkan arahan untuk waran tangkap terhadap individu yang enggan hadir, lapor Bernama.

Katanya, PAC yang mengadakan mesyuarat di bilik mesyuarat kewangan negeri di Ipoh kelmarin memutuskan terdapat dua perkara sepanjang krisis kerajaan negeri yang perlu ditangani segera iaitu berkaitan pelantikan tiga penasihat menteri mesar baru dan ketua penerangan kerajaan negeri.

Beliau memberitahu demikian dalam sidang akhbar di pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri Perak semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Canning itu berkata PAC mempersoal pelantikan Datuk Chang Ko Youn sebagai Penasihat Hal Ehwal Masyarakat Cina, Datuk S Veerasingam (penasihat hal ehwal masyarakat India) dan Datuk Najmuddin Elias Al-Hafiz sebagai penasihat hal ehwal agama serta pelantikan Datuk Hamdi Abu Bakar sebagai ketua penerangan kerajaan Perak.

Beliau berkata pelantikan itu dianggap luar biasa dan membabitkan penggunaan sejumlah wang yang besar kerana ia memerlukan pembayaran gaji atau elaun tertentu yang sememangnya menggunakan wang kerajaan negeri.
PAC perlukan penjelasan

"Oleh itu, timbul persoalan yang memerlukan penjelasan daripada pihak berkenaan iaitu apakah dasar undang-undang yang diguna dalam pelantikan itu, rasional dan tujuan pelantikan serta emolumen yang dibayar termasuk gaji, elaun dan kemudahan lain yang disediakan," katanya.

Wong yang juga Setiausaha Publisiti DAP Perak berkata PAC turut mempersoal manfaat daripada pelantikan itu kerana dua daripada mereka iaitu Chang dan Veerasingam bukan Adun, manakala kelayakan dua wakil rakyat iaitu Mohd Najmuddin dan Hamdi sebagai anggota pentadbiran negeri adalah diragui.

"PAC juga akan menuntut penjelasan berhubung kedudukan Zambry dan Mohammad Nizar sebagai menteri besar serta barisan exco masing-masing pada mesyuarat khas itu," katanya.

Beliau berkata dalam keadaan krisis politik sekarang PAC perlu mengambil berat dan memastikan barisan exco mana harus dibayar gaji dan elaun serta kemudahan lain seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Wong berkata jika keadaan memerlukan, PAC juga akan memanggil Penasihat Undang-Undang negeri Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim bagi memberi penjelasan mengenai perkara yang sama.

"Notis pemberitahuan berhubung mesyuarat itu akan dikeluarkan Setiausaha PAC yang juga bertindak sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Abdullah Antong Sabri," katanya.

Sementara itu di Kuantan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak boleh memanggil sidang tergempar kerana mahkamah masih belum membuat keputusan berhubung status kerajaan negeri itu.

Tunggu keputusan mahkamah


Beliau yang juga pengerusi Umno Perak berkata sebarang keputusan untuk mengadakan sidang DUN Perak bergantung kepada keputusan mahkamah berhubung kes terbabit.

"Tak boleh (adakan sidang DUN), sebab ada tindakan mahkamah," katanya kepada pemberita di Kuantan semalam sebagai mengulas kenyataan Speaker V.Sivakumar bahawa sidang tergempar DUN Perak akan diadakan pada 3 Mac ini.

Ditanya sama ada sidang DUN itu bertujuan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang baru ditubuhkan, Najib berkata: "Apa apa pun kita tunggu keputusan mahkamah dulu, kita kena 'establish' dulu kerajaan Perak dari segi perlembagaan."

Pada 13 Februari lalu, Mohd Nizar mengemukakan permohonan bagi mendapatkan perintah pengisytiharan dari Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur di sini bahawa beliau masih merupakan Menteri Besar Perak yang sah.

Mohd Nizar selaku pemohon juga menuntut perintah injuksi menghalang Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir daripada menjalankan tugas sebagai menteri besar serta menuntut pilihan raya diadakan semula di negeri itu.

Walau apapun, Najib berkata yang penting ketika ini ialah kerajaan negeri Perak yang baru ditubuhkan itu memberi perhatian dan tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat.

Di Taiping, Zambry berkata tindakan Sivakumar itu bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan peraturan Perintah Tetap persidangan itu.

Katanya terdapat peruntukan peraturan yang terkandung dalam Perintah Tetap dewan yang jelas menunjukkan sebarang persidangan yang mahu diadakan di DUN hendaklah mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah terlebih dahulu.

'Cerita karut'


"Dia (Speaker) boleh kata dan baca ikut Perintah Tetap (perkara) 8, 11. Cuba dia baca betul-betul dan lihat pula Perintah Tetap (perkara) 36, baca dan sebagainya. Ini tidak, dia ikut suka hati dia saja.

"Jadi dia buat peraturan ikut peraturan dia sendiri, suka hati dia apa yang dia nak buat. Dia merasakan bahawa tindakan dia mahu mengatasi Sultan dan sebagainya...ada orang kata 'Singh is King' tapi tak tahulah kalau ada yang kata 'Siva is King'," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera Barisan Nasional (BN) bagi piliharaya kecil Parlimen Bukit Gantang di sini Changkat Jering semalam.

Katanya beliau yakin Sivakumar mengetahui tindakannya bertentangan dan tidak mengikut undang-undang serta peraturan yang ada tetapi masih mahu bertindak 'ikut suka hatinya'.

Zambry juga menyifatkan tindakan Sivakumar memanggil sidang tergempar itu seperti cerita 'kartun' kerana dalam masa yang sama Sivakumar menggantungnya dan enam Exco kerajaan negeri dan tiga Adun bebas yang didakwa Sivakumar telah meletak jawatan juga tidak akan diberi notis hadir.

Ketika ditanya sama ada beliau dan enam Exco kerajaan negeri akan menghadiri persidangan itu, Zambry berkata: "mereka patut faham bahawa ia tidak mengikut perlembagaan. Paling penting anda tanya mereka, sama ada apa yang dilakukan mereka betul atau salah, anda tanya mereka".

Sebelum ini, Sivakumar memberitahu pemberita bahawa sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar.

Read More...

Monday, December 15, 2008

Nizar pertahan keputusan

Utusan Online

ALOR STAR 14 Dis. - Kerajaan Perak tidak akan berganjak daripada keputusannya untuk menggunakan kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri meskipun tindakan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan Perak berpendapat penggunaan kereta buatan asing itu memberi jaminan dan khidmat yang lebih baik berbanding Proton Perdana.

"Kita rasakan penggunaan kenderaan Exco dan pegawai cukup lasak dan Toyota Camry merupakan satu model yang boleh melalui proses demikian dengan harga berpatutan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjung hormat ke pejabat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada kerajaan Perak akan mengubah keputusan mengenai kelulusan penggunaan kereta Toyota Camry bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive selepas pelbagai pihak mengkritik tindakan itu.

Kelmarin, Kerajaan Perak dilaporkan meluluskan pembelian 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Mohammad Nizar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana yang begitu tinggi dan sering mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, tindakan itu disifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Manong, Datuk Ramly Zahari sebagai tidak patriotik kerana kerajaan pakatan pembangkang sanggup menggunakan kereta import berbanding kereta buatan tempatan.

Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) juga menyifatkan kerajaan Perak sebagai 'mengkhianati' negara apabila menggunakan kereta buatan luar bagi menggantikan kereta tempatan sebagai kenderaan rasmi.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan Perak akan meneruskan rancangan penukaran kereta berkenaan tetapi belum memutuskan bila kerana perlu menilai kemampuan kewangan negeri.

Ditanya tindakan tersebut sebagai tidak patriotik, beliau berkata: "Hanya kerana pakai kereta tempatan kita dipanggil patriotik? Saya rasa masalah ini tidak timbul."

Read More...

Saturday, November 22, 2008

Isu sebenar MB Nizar rampas Kamera

Tranungkite

Dilulus terbit pada Monday, November 17 @ 06:59:31 MYT oleh TokBatin
Komentar Oleh alhusseyn

"

 IPOH : Seperti yang dijangkakan, media akan memainkan isu ini. Peluang untuk memberi penjelasan tidak pula diberi. Saya, bersama Setiausaha Akhbar, Anuar Hashim, Ust. Nor Azli Musa dan seorang lagi kebetulan ada di tempat kejadian.

Kami bersama MB sedang makan tengahari, bila seorang yang tidak dikenali menghampiri MB membawa surat meminta MB menandatangani. Beliau memperkenalkan dirinya dan MB membaca sepintas lalu dan seakan bersetuju menandatangani. Tetapi kami serentak mencelah, supaya tidak ditandatangani dulu dan meminta MB lihat keseluruhan isi surat tersebut terlebih dahulu


Dalam masa yang sama kami terlihat seorang jurufoto yang tidak dikenali sedang mengambil gambar. Kami mengesyaki ini adalah suatu perangkap dimana nanti akan keluar gambar MB menandatangani sesuatu yang boleh di ambil kesempatan untuk memburuk imej MB yang menandatangani sekeping surat yang tidak diketahui latar belakangnya di kantin.

Lantas MB panggil jurufoto tersebut lalu bertanya dari akhbar mana ; sama ada telah minta kebenaran atau tidak mengambil foto.Tetapi jurufoto tersebut semacam tidak ambil peduli .MB memanggilnya sekali lagi dengan nada yang agak kuat sikit, tetapi tidaklah sampai panggil 'Hoi' sebagaimana yang didakwa.

MB minta rakaman foto tadi dibuang. Untuk mempastikan foto tersebut dibuang, MB minta kamera tersebut diserahkan kepada Anuar Hashim,Setiausaha Akbarnya yang duduk di sebelah saya, dan meminta Anuar pastikan gambar tersebut dibuang.

Kamera itu diserah semula kepada jurufoto itu dengan baik. Kami beritahu pembawa surat tersebut supaya dalam urusan seumpama itu, supaya datanglah ke pejabat, kami akan rekodkan surat tersebut, satu salinan kami simpan dalam fail, soal MB nak sain tak nak sain itu soal lain.


Pembawa surat tersebut faham, dan ternyata dia menyerahkan surat tersebut kepada Setiausaha Sulit MB di pejabat. Itu baru betul. Pagi esoknya, saya tengok surat tersebut sudah ada diatas meja MB.

Telahan kami tepat, tidak sampai pun beberapa minit kemudian, suara seorang ADUN Pembangkang yang sangat dikenali dari Kubu Gajah, tidak semena-mena membangkitkan isu ini di dewan dengan membuat pencelahan sewaktu seorang ADUN lain sedang membahaskan Bajet 2009. Saya tidak kenal pasti siapa ADUN yang sedang berucap ketika itu. Kubu Gajah menghentam MB Perak kerana kononnya bertindak kasar kepada wartawan sedangkan Kubu Gajah tidak berada di tempat kejadian.

Walaupun ada beberapa orang ADUN BN di kantin sewaktu kejadian tersebut berlaku; saya amat pasti Kubu Gajah tidak ada di situ. Saya sangat mengenalinya kerana ia memang popular dengan sikap kurang ajarnya di Parlimen dan dibawanya ke DUN.

Saya akan semak dalam kertas minit dewan apa yang diucapkan oleh ADUN Kubu Gajah dan akan siarkan supaya para pembaca dapat menilai sendiri ucapannya ; bahawa inilah perangai UMNO BN, mengambil kesempatan apa sahaja yang boleh dijadikan isu untuk memburukkan MB dan kerajaan Pakatan Rakyat.

sumber : Setpol MB

"

Read More...

Monday, September 1, 2008

Perak tak tumbang, Tajol dan Nizar sekadar bertemu 31 Ogos

Mstar Online

01-09-2008 07:43:12 PM
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

PETALING JAYA: Sasaran 31 Ogos bagi Barisan Nasional (BN) untuk mengambil alih kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat tidak kesampaian.

Ternyata keyakinan yang dilahirkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali (gambar atas) awal bulan ini kerajaan negeri pimpinan pembangkang itu akan jatuh menjelang sambutan Merdeka tidak menjadi kenyataan.

Tajol ketika dihubungi mStar Online hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.

“Tak payah komenlah,” katanya ringkas.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar bawah) yang turut dihubungi berkata, beliau juga menunggu perkara itu berlaku, namun ia ternyata tidak menjadi kenyataan.

“Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak masih mempunyai 31 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) pada 31 Ogos. Tiada perubahan... tiada yang melompat (parti),” katanya.

Mohammad Nizar berkata, beliau ada bertemu dengan Tajol ketika upacara perbarisan Hari Merdeka peringkat negeri di Ipoh semalam, namun katanya mereka sekadar bersalam dan bertanya khabar.

“Saya jumpa beliau... saya tunggu juga kalau-kalau ada pengumuman yang beliau hendak lakukan tapi tak ada pula.

“Saya bersalaman... bertanya khabar dan ucapkan Selamat Hari Merdeka dan selamat berpuasa kepada beliau. Tiada pula tanda-tanda yang beliau akan menggulingkan kerajaan,” katanya.

Ketika ditanya kemungkinan Tajol mempunyai tarikh lain selepas ini untuk mengambil alih kerajaan pimpinannya, Mohammad Nizar berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

“Itu kenalah tanya dia. Saya tidak tahu kenapa ia tidak berlaku (ambil alih kerajaan)...ada perkara-perkara yang tidak tercapai.

“Namun, apa yang penting matlamat kerajaan Pakatan Rakyat pada hari merdeka adalah memerdekakan negeri Perak dari kejahilan dan semangat perkauman,” katanya.

Bulan lalu, Tajol yang juga Pengerusi BN Perak mengharapkan lebih daripada dua ADUN Pakatan Rakyat akan menyertai BN dan beliau turut menawarkan jawatan Menteri Besar kepada PAS sekiranya parti itu bersedia membentuk kerajaan campuran dengan BN.

Read More...

Friday, August 1, 2008

MB Perak buat tawaran balas kepada Tajol


Berita Harian

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini membuat tawaran balas kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan semua 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) yang lain untuk menyertai kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu.

Beliau berkata tawaran itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Pas pusat di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini menolak sebarang usaha mengadakan kerjasama dengan Umno dan BN untuk mewujudkan kerajaan campuran sama ada di peringkat pusat atau negeri.

“Saya ingin membuat tawaran itu setelah keputusan pusat menyatakan tidak menerima ataupun tidak mengiktiraf (kerjasama itu).

"Maka saya lebih cenderung hari ini membuat tawaran supaya Tajol Rosli dan rakan-rakan Yang Berhormat dia masuk ke dalam Pakatan Rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat di Jabatan Agama Islam Perak di sini hari ini.

Sebelum ini, Umno Perak menawarkan kepada Pas untuk bergabung bagi menubuhkan kerajaan negeri yang lebih kukuh malah Tajol Rosli sendiri pernah menjamin kerusi jawatan Menteri Besar Perak kekal di tangan Pas jika cadangan perkongsian kuasa itu direalisasikan.

Ditanya sama ada Pakatan Rakyat Perak mampu menerima semua 28 Adun BN, Mohammad Nizar berkata mereka boleh menyertai mana-mana komponen Pakatan Rakyat sama ada Pas atau Parti Keadilan Rakyat manakala wakil rakyat tunggal MCA Dr Mah Hang Soon boleh menganggotai DAP.

Sambil akur dengan keputusan pucuk pimpinan Pas pusat menolak segala bentuk kerjasama itu, beliau berkata Pas Perak tetap dengan pendirian untuk bersama dengan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Katanya semua 31 wakil rakyat Pakatan Rakyat telah berjanji untuk sama-sama mempertahankan kerajaan yang mendapat perkenan Sultan Perak. — Bernama

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |