+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, July 20, 2009

Sambutan 100 hari pemerintahan Najib hanya propaganda

Harakahdaily

Abu Firdaus
Sat | Jul 18, 09 | 7:01:35 am MYT

Cuba bandingkan 100 hari Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Najib Tun Razak. Antara ketiga-tiga itu, sememangnya sepakat bahawa Mahathir adalah pemimpin terbaik dan dianggap antara paling berjaya dalam sejarah Malaysia. Ini pandangan umum, dan bukannya daripada sudut kaca mata pembangkang.

Tetapi tentunya 100 hari Mahathir sudah sukar untuk diingati kecuali dibuat rujukan terhadap apa yang berlaku ketika itu. Jangka masa 26 tahun adalah lama. Sukar untuk mengingatinya. Tetapi ada antara yang boleh diingat ialah perubahan waktu Malaysia. Apa lagi? Pemakaian tanda nama bagi kaki tangan kerajaan. Termasuk perakam waktu.

Tetapi 100 hari Abdullah sebenarnya boleh diingati. Ini kerana baru lima tahun lalu. Kenyataan-kenyataan popularnya seperti "bekerja bersama saya", kemudian larangan kakitangan kerajaan mengadakan majlis secara besar-besaran dan membazir, adalah diingati.

Maka kalau diteliti mungkin 100 hari Abdullah setanding juga dengan Mahathir walaupun tidak dapat mengalahkannya. Bagaimana pula dengan Najib? Kalau diteliti mungkin 100 hari Abdullah lebih hebat. Tetapi hanya dengan kajian yang mendalam antara Mahathir, Abdullah dan Najib, barulah dapat dinilai siapa yang lebih hebat.

Tidak capai harapan rakyat

Tetapi apa yang menjadi istimewanya 100 hari? Kalau dilihat ke belakang, kejayaan 100 hari seseorang pemimpin tidak mencerminkan kemampuan seseorang pemimpin sepanjang tempoh pentadbirannya. Contoh terbaik tentunya Abdullah. Jadi, kalaulah 100 hari Najib tidak mencapai harapan rakyat negara ini, maka dia tidak wajar dihukum lagi kerana penilaian akhir ialah apabila selepas tamat jangka waktu pentadbirannya.

Rumusan apa yang Najib lakukan sepanjang 100 hari ialah tahap propaganda dalam pemerintahannya lebih tinggi daripada isi. Dalam hal ini, ia menepati dengan cara Barisan Nasional menghadapi perubahan cita rasa rakyat yang tercermin dalam pilihan raya umum tahun 2008.

Dapat dirasakan bahawa BN berazam untuk mengambil balik undi-undinya yang hilang dengan penjenamaan semula diri mereka. Maknanya, mereka berasakan bahawa rakyat menolak BN kerana parti itu gagal memberi gambaran yang menarik tentang diri mereka. Serentak pula rakyat terpengaruh dengan apa yang disebut sebagai dakyah pembangkang.

Seringkali disebut bahawa maklumat yang disampaikan oleh pembangkang sebagai dakyah. Sementara apa yang disampaikan BN adalah penerangan dan penjelasan. Tetapi apa yang membuat perbezaan antara maklumat, penerangan, penjelasan dan dakyah? Smuanya boleh dilihat sebagai propaganda, yang tidak semestinya memiliki kebenaran atau tidak.

Justeru, apabila melihat gagasan Satu Malaysia dan peristiwa di mana Najib melawat Petaling Street, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kampung Kerinchi dan Pudu Raya, apakah itu pendekatan baru, dasar baru atau hanya semata-mata propaganda? Tetapi apakah salahnya propaganda? Semua kerajaan, gerakan dan parti, termasuk parti pembangkang melakukan propaganda. Jadi apa salahnya kerajaan membuat propaganda?

Antara iklan dan maklumat

Jawapannya, propaganda itu salah. Baik oleh kerajaan mahupun pembangkang. Bagi rakyat, mereka mesti didedahkan perbezaan antara propaganda dengan dasar baru.

Ia seperti iklan. Pengguna mesti diajar perbezaan antara iklan dan maklumat yang terkandung di dalamnya. Jika tidak, pengguna terpengaruh dengan iklan dan tidak memperoleh apa yang diimpikannya dengan membeli sesuatu barangan. Ini kerana iklan melangkaui hakikat sesuatu produk.

Maka begitu juga dasar. Rakyat sebagai pengguna politik mesti diajar membezakan antara propaganda dengan dasar baru. Jika tidak, rakyat akan terpengaruh dengan propaganda, dan akhirnya menyokong sesuatu yang sebenarnya mereka tidak suka. Walau apapun kerajaan dan parti-parti politik lakukan, rakyat mesti membuat penilaian, membezakan sesuatu perkara itu daripada propaganda dengan maklumat.

Jadi slogan Najib yang dibuat untuk 100 harinya ialah Satu Malaysia. Seperti mana-mana propaganda, mereka memerlukan slogan. Istilah propaganda sendiri yang mula dimasyhurkan berlaku semasa Revolusi Perancis. Ia berdiri di atas slogan Kebebasan, Persamaan dan Persaudaraan. Tetapi sejarah menunjukkan hasil sesuatu dasar pasti tidak serupa dengan slogan itu. Ia berlaku dalam sejarah dan terus dapat dilihat.

Maka begitu juga dengan Satu Malaysia. Sejak awal lagi disebut, ia menimbulkan salah faham dan salah tafsir sehingga ada pihak di kalangan parti kerajaan mengingatkan semua pihak jangan menyalahgunakan slogan itu. Sedangkan mencipta satu slogan itu sudah merupakan salahguna.

Hak rakyat

Maka tidak hairanlah ada pihak yang mentafsir Satu Malaysia sebagai Malaysian Malaysia ala-BN. Apa yang disebutkan ialah Satu Malaysia itu menunjukkan kebersamaan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Tetapi diingatkan pula apa yang ingin kerajaan perkenalkan tidak akan lari daripada perlembagaan Malaysia. Maknanya hak rakyat menurut kaum masing-masing tidak akan terjejas.

Ditegaskan bahawa Satu Malaysia bukannya Malaysian Malaysia. Ingatlah bahawa parti Gerakan ada slogan Satu Hati. Akhirnya ia hanya slogan untuk propaganda.

Maka digariskan dasar-dasar baru yang diperkenalkan oleh kerajaan sepanjang 100 hari lalu. Antaranya ialah menghapuskan keperluan syarat 30 peratus ekuiti bagi Bumiputera untuk menarik pelaburan asing. Juga diperkenalkan Biasiswa Nasional untuk memberi biasiswa menurut merit. Bagi Bumiputera, ia adalah biasiswa untuk bukan Bumiputera. Ini kerana Bumiputera tidak mampu bersaing dalam hal ini.

Walaupun tidak disebut, tetapi gambaran yang dapat difahami, inilah sebahagian daripada Satu Malaysia. Senang cerita, satu Malaysia bertujuan untuk menarik balik sokongan bukan Melayu kepada Barisan Nasional.

Satu Malaysia adalah Malaysian Malaysia yang diperlembutkan. Justeru, itu sebenarnya adalah propaganda. Seperti mana Malaysian Malaysia sendiri adalah propaganda. Ia juga dapat dilihat daripada lawatan Najib ke Petaling Street.

Ini membawa kepada konsep 100 hari. Bagaimana dapat dilihat betapa ia dirancang lebih awal. Daripada slogan hingga kepada pengisian dan sampai kepada kemuncaknya iaitu sambutan 100 hari Najib jadi Perdana Menteri. Bagaimana persembahan BN kepada rakyat telah berubah. Ia adalah propaganda.

Apa yang perlu rakyat ambil berat ialah bezakan propaganda ini. Ini kerana terdapat kefahaman bahawa masalah BN adalah persepsi dan bukannya realiti. Sebab itu BN dan kerajaan pimpinannya memfokus pada mengubah persepsi. Kata-kata politik adalah persepsi sebenarnya mampu mengaburi mata rakyat. Jadi seolah-olah apa yang rakyat fikir bukanlah hakikat tetapi persepsi.

Sambutan 100 hari ini adalah usaha untuk mengubah persepsi rakyat. Perubahan sememangnya dilakukan tetapi transformasi yang sedang dilakukan oleh Umno dan BN adalah bukan reformasi. Tidak ada perubahan.

Sambutan 100 hari adalah propaganda. Sebelas hadiah untuk rakyat itu seperti diskaun pekedai kepada pembeli. Tidakkah patut kerajaan bertindak sebagai jurujual kepada rakyatnya yang menjadi pembeli?

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |