+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, April 16, 2010

Sidang Keselamatan Nuklear - Pengamatan Tok Guru Nik Aziz

Harakahdaily

Wan Nik Wan Yussof

Semasa dalam ibadat umrah di Madinah-Mekah, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz tetap peka dengan segala perkembangan isu-isu besar dunia. Itulah dia sensitiviti seorang pemimpin besar yang bernama-mesra Tok Guru Nik Aziz, salah seorang pemimpin dalam kelompok berpengaruh di dunia Islam yang tersenarai di ranking 42.

Realiti itu memungkinkan Tok Guru Nik Aziz bersikap mesra-jari selalu menghubungi melalui telefon dengan setiausaha-setiausahanya di Pejabat Menteri Besar, meskipun berjauhan merentasi benua dan lautan.

Terbaru, Tok Guru Nik Aziz telah mengubungi saya selaku setiausaha politiknya agar merakamkan pandangan dan telahannya berhubung kehadiran Malaysia menyertai Sidang Keselamatan Nuklear di Washington, Amerika Syarikat.

Sebagaimana maklumat, Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear anjuran Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama telah diadakan pada 12 dan 13 April 2010 di Washington. Ia turut dihadiri 47 ketua-ketua Negara termasuk Malaysia. Juga merupakan sidang nuklear yang terbesar pernah dianjurkan presiden Amerika Syarikat sejak 65 tahun lalu.

Tujuan Barrack Obama mengadakan sidang kemuncak itu ialah untuk mendapatkan sokongan dunia bagi memupuk kerjasama sejagat dalam memerangi keganasan nuklear dan mengawal senjata nuklear daripada jatuh ke tangan pengganas.

Berdasarkan tujuan sidang yang dikendalikan Obama itu, maka dilihat tujuan pengawalan itu kononnya untuk mengawal keganasan oleh pihak lain yang dianggap ganas. Justeru itu ada pihak yang manganggap sidang tersebut sebagai sidang perdagangan nuklear dan sidang keselamatan Obama.

Namun, apa yang utama diambil perhatian antara lain ialah kesungguhan Obama menjayakan visi untuk dunia tanpa senjata nuklear pada masa hadapan. Visi itu telah disokong oleh semua negara pada sidang kemuncak itu. Meskipun perlaksanaannya mungkin mengambil masa yang lama, namun langkah pertama yang diambil ialah memeterai perjanjian antara Amerika Syarikat dan Russia minggu lalu bagi mengurangkan stok penimbal senjata nuklear masing-masing.

Bagi pihak Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak turut menyampaikan ucapan. Dalam ucapannya Mohd Najib menggesa semua negara melakukan sepenuhnya amalan telus dalam program nuklear masing-masing dan mematuhi peruntukan-peruntukan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Triti Pengawalan Nuklear (NPT). Apapun, ucapan Najib itu adalah sekadar memenuhi protokol seperti mana ketua/wakil Negara lain yang turut menyertai sidang itu.

Pandangan dan telahan Tok Guru Nik Aziz

Berikut adalah pandangan dan telahan Tok Guru Nik Aziz:

Ekoran sidang nuklear itu jelaslah kekerasan tidak boleh menyelamatkan manusia. Amerika Syarikat (Amerika) pernah guna bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki bagi menundukkan Jepun ketika Perang Dunia ke-2.

Begitu juga, kuasa besar itu (Amerika) pernah guna ugutan dan kekerasan ke atas Negara-negara kecil lain (di dunia), tahu-tahu dia pula terpaksa anjurkan persidangan nuklear.

Oleh itu, adalah benar dan tepat keputusan Nabi Muhammad SAW mengadakan perjanjian Madinah (Sahifah Madinah) yang melibatkan pihak Yahudi. Kerana Nabi SAW sedar, untuk mencari kebaikan dan keamanan, ia tak boleh gunakan kekerasan. Allah SWT sendiri amat melarang untuk kita gunakan kekerasan dalam diplomasi atau berhubung dengan orang lain. Sebab itulah, selagi kekerasan dijadikan pendekatan oleh pihak berkuasa Malaysia dalam melayani hubungan politik antara PAS-Umno atau Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional, maka selagi itulah tidak akan berlaku keamanan dan keharmonian dalam politik Negara.

Apa yang dapat diperhatikan di Madinah dan Mekah, misalnya sekarang di Mekah orang datang puluhan ribu, bertukar ganti (bertali-arus), tidak ada yang paksa pun untuk datang, tetapi punca semua orang itu datang ialah kerana mereka ingatkan Padang Mahsyar. Di sana kelak mereka dihidupkan semula, mereka akan hadapi mahkamah Allah dan mereka akan berdepan dengan Syurga atau Neraka. Maka, inilah daya tarikan sebenar umat Islam untuk datang sangat ke tanah suci.

Berpandukan kesedaran itu, perlulah kita semua mengambil pengajaran betapa cara kekerasan, ugutan hatta diskriminasi seperti mana dilakukan oleh pihak Pusat terhadap Kelantan tidak akan menyelesaikan masalah dan jauh sekali menemui keamanan serta keharmonian.

Pengalaman kita di Kelantan, akibat diskriminasi pernah berlaku sekumpulan petani di Pasir Puteh tak boleh buat padi (tanam padi) akibat berlaku protes dan sekatan baja subsidi kepada satu pihak, menyebabkan satu pihak itu (mangsa diskriminasi) bertindak menyekat laluan jentera pembajak masuk ke bendang satu pihak lagi yang menerima baja. Hasilnya semua pihak (mangsa diskriminasi) dan pihak yang terima baja (penyokong diskriminasi) sama-sama rugi (tak dapat tanam padi). Oleh itu, cara diskriminasi (seperti juga kekerasan) ia tidak akan jadi tarikan ke arah menyelesaikan masalah umat.

Berbalik kepada sidang nuklear tadi, hasil penyertaan 47 negara tadi, keputusannya Yahudi sendiri (Amerika dan sekutunya) mula nak berunding dengan Israel. Sehingga capai keputusan untuk berunding sama dengan Republik Islam Iran yang merupakan musuh ketat mereka.

Maknanya, Amerika dah mula inginkan hubungan baik dibuat dengan Iran dan jelas mereka dah tak nak lagi kepada cara kekerasan. Hal ini membuktikan cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW itu awal-awal lagi melalui Perjanjian Madinah adalah betul dan benar.

Oleh sebab itu, kita kena ingat bila (seseorang) manusia itu kuat sangat diugut, manusia itu akan bangkit dan sedar, bahawa mereka tidak lemah dan mereka boleh bangkit untuk melawan pihak yang mengugut.

Jika demikian dunia kini, dan Amerika sendiri dah semacam mengiktiraf sejarah diplomasi yang diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW adalah betul, tinggal lagi Umno di Negara kita ini tidak mahu mengubah cara mereka dalam menerima hakikat kebenaran Islam.

Misalnya dalam isu hak Kelantan menerima royalti minyak, mereka tidak guna diplomasi. Perjanjian diketepikan, apa mereka pakai ialah kuasa, walaupun Umno tahu cara mereka guna kuasa itu salah dari segi hukum diplomasi. Maka, kita kena ingat rakyat itu yang memberi mandat kuasa dan pemilik kuasa ialah Allah SWT. Jangan diskriminasikan rakyat Kelantan.

Dicatat oleh,

Wan Nik Wan Yussof
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |