+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 15, 2008

Mad Said Tak Tahu Kenapa Kos Menaiktaraf LTSM Menjadi RM 530 Juta

Buletin Online


PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh SM Noor
Thursday, 15 May 2008

The image “http://buletinonline.net/images/berita5/airportrunaways.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Mad Said tidak tahu dan mempersoalkan mengapakah kos menaiktaraf landasan terbang Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) menjadi RM 530 juta

Beliau berkata pada awal perbincangan dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kos tersebut adalah RM 300 juta sekiranya landasan tersebut dipanjangkan di daratan dan sekiranya landasan terbang dipanjangkan kearah laut, kos menjadi lebih murah kira-kira RM 200 juta.

”Dalam perbincangan pada awal tahun lalu, diberitahu kos tersebut meningkat kepada RM 250 juta,

“kita (kerajaan negeri) menerima dan bersetuju dengan kos tersebut,
”tiba-tiba dua bulan yang lalu diberitahu bahawa kos tersebut menjadi RM 530 juta.” kata Mad Said.

Beliau berkata sekiranya projek tersebut diputuskan oleh kerajaan negeri kemungkinan ia boleh dikurangkan dan kos menjadi lebih murah, namun ia diluar kuasa kerajaan negeri kerana projek tersebut dilaksanakan oleh kerajaan pusat.

Mad Said mengatakan demikian apabila ditanya oleh pengacara didalam rancangan Bersama Menteri yang disiarkan oleh RTM malam ini.

Sehubungan dengan itu, menurut beliau, itulah antara sebab-sebabnya mengapa tuntutan royalti minyak supaya kembali kepada kerajaan Terengganu dibuat.

Beliau menegaskan bahawa tuntutan royalti yang sedang dibuat akan diselesaikan melalui rundingan dengan pihak kerajaan pusat.

“Sebenarnya 10% yang dibayar oleh Petronas, 5% diberikan kepada kerajaan pusat dan 5% kepada kerajaan negeri,
”InsyaAllah saya akan berunding dengan Perdana Menteri dan menyelesaikan tuntutan ini dengan sebaik-baiknya.” jelas Mad Said.

Berkaitan dengan isu Monsoon Cup, beliau telah menerima makluman dari pengendali sukan tersebut T-Best yang mengatakan bahawa penganjuran perlumbaan perahu layar tersebut adalah RM 20 juta setahun.

Makluman ini berbeza dengan penjelasan Exco Belia dan Sukan Negeri, Rahin Said yang menjelaskan dalam Sidang DUN baru-baru ini, bahawa kerajaan mengadakan perbelanjaan RM 4 juta setahun untuk penganjuran tersebut.

Apabila pengacara menegur bahawa kos RM 20 juta setahun bagi menganjurkan Monsoon Cup juga adalah banyak, Mad Said memberi respon ia akan menjadi lebih murah sekiranya dianjurkan sendiri oleh kerajaan negeri.

Menjawab satu cadangan yang dihantar melalui SMS oleh Wan dari Kerteh, supaya pembinaan masjid dihentikan kerana masjid yang sedia ada tidak cukup imam dan bilal, Mad Said menyatakan pembinaan masjid tidak akan dihentikan walaupun negeri Terengganu kekurangan Imam dan Bilal.

”Perlantikan Imam dab bilal akan dibuat dari masa ke semasa, kita sedang membuat temuduga untuk menambahkan imam dan bilal,
”kita rasakan memang ada juga masalah dari segi pengisian Imam dan Bilal apatah lagi yang melibatkan masjid-masjid mukim dan juga masjid-masjid kerajaan,” tambah beliau

Read More...

Pemuda PAS: Pecahkan monopoli Bernas

Malaysiakini

Siti Nurul Zahra Hamdan | May 15, 08 1:54pm

Pemuda PAS mahu monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dipecahkan agar wujud persaingan dalam pengedaran beras bagi kepentingan nasional.

"Biarlah jangan ada monopoli supaya adanya persaingan yang kompetitif," kata ketuanya Salahuddin Ayub.

"Saya tidak keberatan jika saham itu dibuka untuk pihak luar, namun perlulah ia ditadbir dengan baik."

Salahuddin diminta mengulas perkembangan sebuah syarikat asing yang sedang menguasai kira-kira 30 peratus saham dalam Bernas.

"Hal ini telah pun dibentangkan di parlimen dalam usul saya dan (perkara) ini telah pun membuka mata ramai pihak," katanya, yang juga ahli parlimen Kubang Kerian kepada Malaysiakini.

Perkara itu telah disuarakannya dalam satu usul tergempar di Dewan Rakyat minggu lepas.

Wang Tak Co Ltd, sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong, sejak awal tahun lepas dilaporkan sedang menguasai saham Bernas sehingga lebih 25 peratus.

Syarikat tunggal pengedaran beras negara itu asalnya sebuah agensi kerajaan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang diswastakan pada 1996.

Sementara angkatan muda (AMK) PKR pula mahu Bernas dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan supaya kepentingan nasional dapat dilindungi.

Timbalan ketua AMK Fariz Musa berkata kerajaan seharusnya membeli semula pegangan kira-kira 30 peratus saham syarikat pengedar tunggal beras negara itu yang kini berada di tangan syarikat asing.

"Seharusnya Bernas tidak diswastakan dan seharusnya dimiliki oleh kerajaan sepenuhnya," katanya.

"Saham yang dimiliki oleh pihak luar itu harus diambil kembali supaya kepentingan rakyat dapat dilindungi."

Read More...

Pejabat DAP Perak dilontar bom petrol awal pagi ini

Harakahdaily

Thu | May 15, 08 | 12:33:47 pm MYT

IPOH, 15 Mei (Hrkh) - Bernama melaporkan ibu Pejabat DAP Perak di Bandar Ipoh Raya di sini dilempar bom petrol oleh dua lelaki awal pagi ini menyebabkan dua letupan kuat berlaku.

Kejadian pada pukul 2.20 pagi tadi disedari oleh seorang pengawal keselamatan Ammeri Ahmad, 45, yang ketika itu bertugas di sebuah sekolah berhampiran pejabat itu yang kemudian menghubungi pihak polis.

Tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan. Dua tingkap pejabat itu mengalami kerosakan.

Ketika ditemui, Ammeri berkata beliau melihat dua lelaki melemparkan sesuatu ke tingkap atas pejabat itu menyebabkan dua letupan kuat berlaku. Katanya apabila beliau menghampiri pejabat berkenaan, dua lelaki itu melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

Pengerusi DAP Perak Dato' Ngeh Koo Ham menganggap kejadian itu bermotif politik dan berharap polis membuat siasatan rapi.

"Ia merupakan satu cubaan untuk membakar pejabat DAP yang dipercayai dilakukan oleh mereka yang ada unsur khianat kepada parti," katanya ketika melawat pejabat itu pagi ini.

Ngeh, yang juga Anggota Exco Kanan Negeri, meminta masyarakat menghormati kerajaan campuran DAP, PKR dan PAS yang kini memerintah Perak kerana ia adalah pilihan rakyat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Idris Abdullah ketika dihubungi berkata siasatan sedang dijalanan mengikut Seksyen 435 kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

"Belum ada tangkapan dibuat," katanya.

Anggota Bomba dan Penyelamat Ipoh dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima maklumat kejadian pada pukul 3 pagi. - mr

Read More...

Kos Sebenar Pembinaan Putrajaya RM11,831 Juta

Bernama


KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kos sebenar bagi pembinaan Putrajaya, pusat pentadbiran baru kerajaan pusat sehingga ini adalah RM11,831 juta.


Beliau berkata ia meliputi pembangunan pejabat-pejabat kerajaan, kuarters kerajaan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan rumah kediaman rasmi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan Hakim.

"Selain itu, ia juga turut meliputi pembangunan infrastruktur seperti terowong, jalan, jambatan, menara selain kemudahan awam seperti taman, dataran dan tasik," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari Rabu.

Abdullah berkata pembinaan bangunan pejabat-pejabat kerajaan di Putrajaya dibuat secara penswastaan melalui kaedah bina, pajak dan pindah.

Beliau berkata melalui kaedah ini, Putrajaya Holdings menggunakan pembiayaan sendiri untuk membina pejabat-pejabat kerajaan itu secara berperingkat di atas tanah kerajaan. "Kerajaan menyewa bangunan tersebut dalam tempoh konsesi selama 25 tahun dengan kadar bayaran bulanan yang telah ditetapkan iaitu bermula dengan RM2.50 sekaki persegi.

"Pada akhir tempoh konsesi, bangunan-bangunan ini akan dipindahkan kepada kerajaan tanpa lain-lain bayaran," katanya.

Abdullah berkata bangunan kerajaan mula diduduki secara berperingkat oleh kementerian dan jabatan kerajaan apabila bangunan-bangunan yang diperuntukan kepada mereka siap.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata jumlah sewa tahunan yang dibayar kerajaan kepada Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. pada tahun 2007 ialah RM929.7 juta manakala pada tahun 2006 ialah RM878.1 juta.

"Pada tahun 2005, kerajaan membayar RM732.0 juta kepada mereka dan pada tahun 2004 sebanyak RM434.0 juta," katanya.

-- BERNAMA


Read More...

‘Orang Ini Tak Bernilai Satu Sen’ - Saifudin sangkal Rahman Dahlan

Suara Keadilan

Khamis, 15 Mei 2008

KUALA LUMPUR, 15 MEI (SK)- KeADILan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Parlimen BN Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan bahawa beliau ditawarkan wang lumayan untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Ahkbar hari ini menyiarkan kenyataan Abdul Rahman bahawa wang yang ditawarkan kepada beliau cukup untuk ‘bersenang lenang untuk tiga generasi’.

Menurut Pengarah Strategik KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail, Pakatan Rakyat tidak pernah menawarkan sebarang imbuhan kepada mana-mana Ahli-ahli Parlimen yang ingin menyertai pakatan itu.

“Mereka yang ingin menyertai kami kerana setuju dengan agenda rakyat yang kami perjuangkan, bukan kerana wang. Kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Abdul Rahman,” kata Saifuddin.

“Malah kalau pun, katakanlah kami bersetuju dan ada niat untuk menawarkan wang, Abdul Rahman tidak bernilai satu sen,” kata Saiduddin dengan nada sinis.

Read More...

Habuan tinggi paling tadah

Berita Harian

Oleh Azman Zakaria, Abdul Halim Yusoff, Zainab Mohd Yatim dan Norliza Wasilan


Datuk Abdul Rahman Dahlan

Pakatan Rakyat janji ganjaran lumayan, jawatan jika YB BN lompat parti

KUALA LUMPUR: Pembangkang yang terdesak untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN), sanggup menawarkan ganjaran besar sehingga boleh memberi kesenangan hidup kepada dua tiga generasi keluarga Ahli Parlimen yang berpaling tadah.

Malah, jumlah wang yang ditawarkan dijangka berlipat ganda dalam masa terdekat bagi merealisasikan impian Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk membentuk kerajaan sebelum 16 September.


Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, manakala Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman dan Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan) turut mengaku dipujuk supaya melompat ke parti pembangkang.


Abdul Rahman berkata, beliau menerima beberapa panggilan dan dikunjungi 'duta kecil' pembangkang minggu lalu serta minggu sebelumnya, yang cuba memujuknya menyertai Pakatan Rakyat dan dijanjikan sejumlah wang serta kedudukan dalam kerajaan.

Ditanya sama ada tawaran itu berjumlah jutaan ringgit, beliau berkata: "Tekaan anda adalah seperti tekaan saya. Kalau saya ambil saya akan senang dua tiga generasi."

Datuk Anifah Aman

Bagaimanapun, beliau menolak tawaran itu kerana parti pembangkang tidak boleh dipercayai.

"Mereka selalu mendabik dada menjadi kerajaan kelas pertama yang tidak mempunyai unsur rasuah, tapi pada masa sama memberi rasuah wang dan jawatan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Sebelum ini, pembangkang yang menang 82 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu, mendakwa 30 Ahli Parlimen BN, kebanyakannya dari Sabah akan menyertai mereka bagi membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Desas-desus itu semakin kuat apabila Ahli Parlimen Batang Sadong, Sarawak, Nancy Shukri pada 23 Mac lalu mengakui dihubungi orang dikenali dari Sabah yang mengajaknya menyertai pakatan pembangkang atas alasan kedua-dua negeri itu tidak diberi tempat sewajarnya dalam Kabinet baru.

Datuk Bung Mokhtar Radin

Lima hari sebelum itu, Anifah dan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, menolak jawatan timbalan menteri selepas disenaraikan dalam Kabinet baru Persekutuan.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh pula meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar atas alasan peribadi. Bagaimanapun, semua mereka menafikan akan menyertai pembangkang.

Isu berkenaan reda selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah

Badawi melawat Sarawak dan Sabah pada Mac dan bulan lalu, tetapi spekulasi itu kembali hangat sejak beberapa hari lalu selepas Anifah dan Abdul Ghapur pada sidang Dewan Rakyat menegur Kerajaan Pusat yang didakwa tidak memberi perhatian sewajarnya kepada Sabah.

Mengulas lanjut tindakan pembangkang itu, Abdul Rahman berkata ia adalah hipokrasi terbesar di dunia dan Anwar tidak boleh dipercayai.

"Mereka tanya mahukah saya mengorak sejarah dalam negara untuk tumbangkan rasuah, tapi saya kata cara ini (menawarkan wang dan jawatan) pun korup," katanya.

Mengenai kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee kelmarin yang mahu BN segera menangani isu berkaitan Sabah bagi mengelak wakil rakyat melompat parti, Abdul Rahman berkata:

"Saya setuju dengan Yong yang mempunyai niat baik meminta Kerajaan Persekutuan melihat keluhan rakyat Sabah. Saya pasti tuntutan yang diminta itu akan difikirkan oleh Perdana Menteri."

Bagaimanapun, katanya, Abdullah perlu diberi masa kerana pilihan raya baru dua bulan setengah berlalu.

"Untuk beri keadilan, berilah masa. Tiada yang boleh dibuat dalam sekelip mata," katanya yang percaya Perdana Menteri akan menjelaskan mengenai perkara itu ketika sekali lagi melawat Sabah akhir bulan ini.

Anifah yang ditemui di lobi Parlimen turut mengakui menerima banyak tawaran, tetapi tidak mengendahkannya.

"Yang penting masalah rakyat Sabah mesti diambil berat, yang saya kisah pada masa ini adalah untuk mengutarakan hal bagi kepentingan rakyat," katanya.

Anifah berkata, tindakannya membangkitkan masalah rakyat Sabah di Parlimen disalah anggap kononnya beliau mahu melompat ke parti pembangkang.

"Ini disalah anggap. Adalah lebih baik untuk saya suarakan masalah rakyat Sabah kerana jika tidak, rakyat akan tanya apa yang kita lakukan untuk mereka.

"Apa yang kita mahu ialah kerajaan memberi perhatian, tetapi malangnya ia diketepikan. Isu kita tidak diberi tumpuan tapi timbul isu lompat melompat pula.

"Jangan bimbang mengenai kita akan lompat parti, tapi bimbang rakyat yang akan melompat (sokong parti pembangkang). Kalau masalah rakyat diambil berat, soal lompat tidak akan timbul," katanya.

Bung Mokhtar juga mengakui didatangi pembangkang yang bertanya sama ada berminat untuk melompat parti, tidak lama selepas pilihan raya umum lalu di Sabah.

Bagaimanapun, katanya, tiada tawaran wang atau jawatan dibuat dan tiada perjumpaan susulan kerana beliau menyatakan tidak berminat bertukar parti.

Abdul Ghapur pula berkata, sesiapa saja boleh melompat parti jika mahu berbuat demikian jika tidak berpuas hati, tetapi beliau tidak akan berbuat demikian.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menafikan parti itu menawarkan wang, sebaliknya hanya menjanjikan pakej kemudahan pendidikan dan projek pembangunan untuk Sabah dan Sarawak.

Beliau mendakwa ini adalah masa terbaik untuk bersama pembangkang bagi memajukan Sabah dan Sarawak.

Read More...

Bernas Kata Kekurangan Beras Dalam Negara 'Disengajakan'

Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Padiberas Nasional Berhad (Bernas) hari Rabu berkata masalah kekurangan bekalan beras di dalam negara sekarang adalah "disengajakan".

Bernas, badan induk yang mengawal industri beras Malaysia, berkata antara sebab bagi kekurangan itu ialah kawalan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan daripada kenaikan harga beras antarabangsa dengan hanya menawarkan beras SST (Super Special Tempatan) daripada gred S15 (yang mengandungi 15 peratus beras hancur).

Kenaikan harga beras antarabangsa juga menyebabkan pengilang tempatan membuat spekulasi bahawa harga beras tempatan juga akan naik, dengan itu mewujudkan persaingan untuk memperoleh padi.

Harga padi di Selangor kini sekitar RM1,000 satu tan metrik.

"Sebenarnya tiada kekurangan bekalan beras di dalam negara kerana pengeluaran padi tempatan kekal stabil dan Bernas telah mengimport lebih banyak iaitu kira-kira 221,421 tan metrik dari Januari hingga April tahun ini," kata seorang pegawai Beras pada taklimat kepada media. Kekurangan beras gred S15 yang lebih murah berlaku kerana hanya Bernas mengeluarkan dan mengawal harga gred S15.

"Secara keseluruhannya, kenaikan harga beras gred lain membawa kepada peningkatan permintaan bagi gred beras yang harganya dikawal. Pengeluar mee hoon dan produk berasaskan beras yang lain juga bertukar menggunakan gred beras yang harganya dikawal kerana lebih murah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bernas Bakry Hamzah berkata disebalik kenaikan harga beras antarabangsa (yang kini kira-kira US$1,000 atau RM3,240 bagi satu tan metrik), Bernas masih menjualnya pada harga RM1,450 satu tan metrik kepada pemborong.

Walaupun keadaan itu menyebabkan kerugian, syarikat akan mengekalkan harga rendah supaya harga runcit tempatan tidak terjejas teruk oleh pergerakan harga di pasaran antarabangsa.

Katanya Bernas mampu berbuat demikian kerana ia membuat belian hadapan dan mengekalkan stok lebih daripada cukup. Bakry berkata keputusan kerajaan untuk membenarkan harga beras import diapungkan dalam pasaran tempatan akan membolehkan syarikat itu mendapatkan semula keuntungan.

Malahan dengan langkah itu, beliau yakin Bernas masih dapat menjual beras import kepada pemborong di bawah harga pasaran.

Bakry berharap pengilang swasta akan membantu memastikan bekalan mencukupi di pasaran untuk membantu menstabilkan keadaan.

Beliau juga menyambut baik langkah kerajaan untuk mencapai tahap sara diri yang lebih baik daripada 72 peratus sekarang kepada 86 peratus pada 2010 dan berharap satu hari nanti Malaysia mampu mencapai tahap sara diri 100 peratus dalam pengeluaran beras.

Katanya Bernas mungkin terbabit dalam penanaman padi di masa depan.

-- BERNAMA


Read More...

'YB lain usah sibuk jawab bagi pihak Pak Lah' - Ghapur

Berita Harian

AHLI Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh memberi amaran kepada wakil rakyat yang lain supaya tidak mempersoalkan keikhlasan Ahli Parlimen dari Sabah terhadap Barisan Nasional (BN) dan berhenti bertindak bagi pihak kerajaan dalam menjawab sebarang isu mengenai Sabah.

Sambil membidas Datuk Mohamed Abdul Aziz (BN-Sri Gading) mengenai kenyataan beliau mengenai Ahli Parlimen Sabah ketika membahaskan usul terima kasih terhadap titah diraja semalam, Abdul Ghapur berkata, sepatutnya dalam BN, Ahli Parlimen tidak patut mencabar satu sama lain.

"Sri Gading masih berpemikiran penjajah, tidak terbuka. Apa yang saya titik beratkan ialah kita mahu BN diperbaiki, saya bercakap mengenai Sabah, pembangunannya, mengenai masalah pendatang tanpa izin...kenapa orang lain mahu mencabar kami," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, semalam.

Kelmarin, Mohamed menasihatkan wakil BN Sabah supaya tidak mempertikaikan pelantikan menteri oleh pucuk pimpinan dan jangan bongkak dengan kemenangan mereka pada pilihan raya umum lalu.

Abdul Ghapur berkata, setiap pandangan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Sabah di Parlimen ialah untuk menyuarakan kebimbangan rakyat, terutama isu pembangunan dan pendatang tanpa izin.

"Jangan salahkan kami (membangkitkan itu) sebab kalau salahkan kami, penduduk Sabah mendesak kami berhenti daripada parti," katanya. Abdul Ghapur berkata, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi patut diberi masa menangani masalah di Sabah.

"Tak apa... Pak Lah mungkin sedang memikirkannya, tetapi jangan tanya Sri Gading (Mohamed) untuk menjawabnya pada kami," katanya.

Sementara itu, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Apdal menolak tanggapan Ahli Parlimen dari Sabah yang membidas kerajaan Pusat pada sidang Dewan Rakyat sebagai antiperpaduan dan anti-Semenanjung.

Katanya, mereka (Ahli Parlimen Sabah) hanya inginkan pendapat atau pandangan mereka diberi perhatian serta mendapat tindakan sewajarnya dari Kerajaan Pusat.

"Ahli Parlimen dari Sabah bukan hendak bergaduh, cuma membangkitkan masalah yang timbul. Ini tidak boleh dijadikan tanggapan mengatakan Ahli Parlimen Sabah tidak suka perpaduan dan anti-Semenanjung.

"Ia bukan jalan memecah belahkan perpaduan. Apa yang mereka minta ialah lebih banyak pembangunan di Sabah," katanya.

Mengenai keluhan pembahagian portfolio menteri yang kurang penting kepada Sabah, Shafie berkata: "Kita sudah biasa dalam keadaan ini. Apa yang diberi, kita terima." � Bernama

Read More...

Air percuma di Selangor bukan pembaziran: Khalid

Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyangkal dakwaan Barisan Nasional yang menganggap pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu oleh kerajaan Selangor kepada rakyat sebagai satu pembaziran.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu menegaskan kesediaan memberi air secara percuma, adalah salah satu usaha kebajikan kepada rakyat dan bukannya suatu pembaziran. Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat itu Ahli Parlimen, Ahmad Maslan (BN - Pontian) dan Mohd Puad Zarkashi (BN - Batu Pahat) mempertikaikan tindakan Khalid dan menganggap pemberian air secara percuma sebagai satu pembaziran.

Khalid menyifatkan tindakan sebilangan Ahli Parlimen itu seolah-olah mencemburui kemudahan yang diberikan oleh kerajaan PRkepada penduduk Selangor

“Mungkin ramai kerajaan lain yang ‘cemburu’ dengan kebajikan yang diberikan kerajaan Selangor, tetapi kita telah menggunakan mekanisme harga untuk mengurangkan pembaziran.

“Mekanisme harga telah menekankan penggunaan 20 meter padu yang pertama yang dikenakan harga 50 sen dan meter padu yang kedua yang dibuat dalam bil air Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang menunjukkan harga dinaikkan kepada RM1.03. Manakala jika penggunaan melebihi meter padu kedua, harganya akan tetap dinaikka

“Jika mereka menggunakan air melebihi meter padu pertama, harga yang akan dikenakan dua kali ganda. Oleh itu menerusi mekanisma harga dan pemberian percuma ini ia melatih masyarakat supaya berjimat-cermat dan menggunakan air dengan sebaik-baiknya,” kata Khalid.

Menurut beliau tindakan kerajaan negeri itu juga boleh menjadi satu pengajaran kepada negeri-negeri lain dan diharap mereka mencontohinya.

Sementara itu, sewaktu Khalid menyampaikan perbahasan, Ahmad dan Mohd Puad kelihatan bangun beberapa kali untuk memberi penjelasan tetapi tidak dibenarkan kerana tempoh perbahasan hanya 15 minit kepada setiap Ahli Parlimen.

Khalid menyangkal kenyataan Ahmad bahawa pemberian air percuma adalah rasuah PR kepada rakyat Selangor.

“YB Pontian boleh menulis surat kepada Badan Perhubungan Umno Selangor mengenai kenyataaanya itu. Sekiranya ada di kalangan Umno tidak berminat untuk mendapatkan bekalan air percuma, mereka boleh menghantar surat kepada saya memaklumkan tidak berminat untuk mendapatkan bekalan air percuma.

“Pihak saya telah menyediakan satu sistem bagi mengasingkan data mereka yang tidak berminat untuk mendapatkan bekalan air percuma. Sekiranya terdapat pihak yang tidak berminat termasuk Umno untuk mendapatkan bekalan air percuma, duit tersebut akan salurkan untuk pembangunan sekolah agama rakyat dan sekolah rendah jenis kebangsaan,” katanya.

Read More...

Pasang Segera Meter Individu Untuk Air Percuma - MB Selangor

Bernama

SHAH ALAM, 14 Mei (Bernama) -- Rakyat Selangor yang menduduki kediaman bertingkat diminta menyegerakan proses penukaran meter pukal kepada meter individu bagi memastikan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada semua penduduk di negeri itu dapat dilaksanakan mulai 1 Jun ini.

Menteri Besarnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata mereka juga dinasihatkan agar bersama-sama pihak pengurusan di pangsapuri masing-masing berbincang dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi melaksanakan program itu.

"Pemberian air percuma tidak ada sebarang masalah, cuma ada beberapa rumah pangsa yang masih belum ada kemudahan untuk mengadakan meter individu di tiap-tiap unit. Suka diingatkan kiraan untuk pemberian air percuma untuk seisi rumah ialah berasaskan kepada meter individu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat minggu exco kerajaaan negeri di sini hari Rabu.

Abdul Khalid berkata kos pemasangan meter individu itu perlu ditanggung oleh penduduk kediaman bertingkat terbabit.

Beliau berkata sehingga kini terdapat antara 200,000 hingga 300,000 unit kediaman bertingkat di Selangor yang masih menggunakan sistem meter pukal.

Mulai 1 Jun ini, kira-kira 1.5 juta pengguna meter individu di Selangor akan menerima air percuma itu sebagai salah satu daripada janji pihak pakatan pembangkang dalam manifesto ketika kempen pilihan raya umum 8 Mac lepas.

-- BERNAMA

Read More...

Najib jawab tohmahan

Utusan Online

KUALA LUMPUR 14 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membidas perbuatan segelintir ahli Parlimen pembangkang yang sengaja menimbulkan dakwaan-dakwaan palsu terhadap kerajaan berkaitan komisen pembelian kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi, selain mengaitkan beliau dengan wanita Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu.

Dalam ucapannya ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat petang ini, Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tuduhan-tuduhan itu sebagai “satu rekaan yang diatur secara berterusan untuk kepentingan politik bagi mengelirukan rakyat.”

Katanya: “Tindakan ini tidak langsung memikirkan kesan-kesan buruk terhadap imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keselamatan negara... ia dibuat semata-mata untuk membakar hati rakyat dan bukan menegakkan kebenaran.’’

Dalam penggulungannya, antara lain Najib menjelaskan:

- Kementerian Pertahanan tidak pernah membayar komisen sama ada secara langsung atau tidak langsung berjumlah RM500 juta (Euro 114.96 juta) kepada Perimekar Sdn. Bhd. berkaitan pembelian kapal selam Scorpene.

- Harga pembelian pesawat Sukhoi yang berbeza di antara Malaysia dan India disebabkan perbezaan konfigurasi dan bilangan pesawat yang dibeli.

Malaysia membeli hanya 18 buah pesawat Sukhoi menggunakan teknologi Thales dari Perancis manakala India membeli 180 buah pesawat jenis itu dengan 140 buah dibina di India menggunakan teknologi avionik Israel.

- Beliau tidak pernah mengenali apatah lagi berjumpa dengan Altantuya, 28, yang mati dibunuh pada Oktober 2006.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, perkara itu telah beberapa kali diperjelaskan, tetapi ada sesetengah anggota pembangkang dengan sengaja cuba mengaitkan nama beliau dalam kes tersebut.

Menghuraikan secara lebih terperinci mengenai kapal selam Scorpene, Najib berkata, pembelian itu dibuat mengikut tatacara pelaksanaan kontrak perolehan peralatan pertahanan negara yang membabitkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga.

“Semua terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya ditandatangani selepas kelulusan kementerian dan setelah kontrak tersebut dirujuk kepada Peguam Negara,” katanya.

Najib menyifatkan tuduhan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat kononnya berlaku rasuah dalam pembelian peralatan ketenteraan itu adalah tidak berasas sama sekali.

Ketika beliau berucap, Wan Azizah mencelah bertanya mengapa harga pembelian kapal selam itu oleh India dan Chile lebih murah daripada Malaysia.

Najib menegaskan, perbezaan harga itu berlaku kerana kelainan spesifikasi memandangkan India menggunakan teknologi Israel sedangkan Malaysia menggunakan teknologi Perancis sepenuhnya.

Beliau menjelaskan, kontrak perolehan kapal selam Scorpene itu ditandatangani pada 5 Jun 2002 oleh kerajaan dengan syarikat DCNS dari Perancis dan Navantia dari Sepanyol selaku pembekal kapal selam, manakala syarikat Perimekar bertindak sebagai pembekal perkhidmatan projek.

“Nilai kontrak ialah Euro 1.084 bilion (RM5.5 bilion) yang dibahagi kepada dua iaitu pertama membabitkan kos berjumlah Euro 969.15 juta (RM4.94 bilion) merangkumi pembelian dua buah kapal selam dan latihan untuk warga kapal selam.

“Kedua, ia melibatkan perbelanjaan bernilai Euro 114.96 juta (RM586.3 juta) membabitkan Perimekar untuk perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan Projek Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Cherbourg, Perancis dan Cartagena, Sepanyol,” katanya,

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak membuat sebarang rundingan pembelian dengan Perimekar dalam konteks perolehan kapal selam Scorpene.

Syarikat itu, kata Najib, sebenarnya diberi kontrak perkhidmatan sokongan untuk tempoh enam tahun dengan nilai kontrak Euro 114.96 juta (RM586.3 juta).

Pada masa ini, Perimekar baru dibayar sebanyak Euro 95.54 juta (RM487.3 juta).

Najib memberitahu, Perimekar adalah syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad dan K.S. Ombak Laut Sdn. Bhd.

Beliau menambah, skop kerja perkhidmatan sokongan yang diberikan oleh Perimekar adalah menyediakan kediaman untuk pasukan pegawai TLDM di Perancis dan Sepanyol.

Penyelenggaraan

“Syarikat itu juga menyediakan pejabat urusan, kediaman serta kelengkapan untuk 156 anggota TLDM dan 30 kakitangan penyelenggaraan pangkalan.

“Ia juga menyediakan insurans, membayar elaun harian bernilai Euro 50 sehari (RM306), membiayai kos penerbangan pergi dan balik bagi setiap anggota pasukan untuk tiga kali setahun serta menyediakan keperluan lain,” katanya.

Di samping itu, kata Najib, Perimekar juga menyediakan perkhidmatan koordinasi dengan memastikan syarikat Malaysia terlibat dalam pembinaan kapal selam serta terbabit dalam program off-set.

Katanya, syarikat itu juga membantu kontraktor utama dalam prosedur kerajaan serta menyelaras latihan krew kapal selam dan menyediakan laporan koordinasi setiap bulan.

Menjawab isu yang ditimbulkan mengenai pembelian Sukhoi, Timbalan Perdana Menteri memberitahu, kerajaan tidak membayar komisen kepada IMT Defence (M) Sdn. Bhd. yang merupakan wakil tunggal syarikat Rosoboronexport dari Rusia dalam pembelian pesawat pejuang Sukhoi.

Sehubungan itu, kata Najib, tuduhan yang dilemparkan oleh wakil rakyat pembangkang bahawa kerajaan telah membayar komisen bagi pembelian kapal selam dan pesawat pejuang Sukhoi adalah tidak benar.

Mengenai pembelian pesawat Sukhoi, beliau berkata, secara prinsipnya, harga pesawat Sukhoi yang ditawarkan oleh Rusia kepada Malaysia tidak banyak berbeza seperti yang ditawarkan kepada India.

Najib yang menjawab isu yang dibangkitkan oleh Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berkata, sebelum memuktamadkan harga dengan pihak Rusia berhubung perolehan tersebut, kerajaan telah membuat kajian termasuk perbandingan harga dengan Tentera Udara India.

Sementara itu, menjawab isu lain yang dibangkitkan oleh Wan Azizah bahawa terdapat unsur rasuah dalam kontrak perolehan 27 buah kapal peronda generasi baru TLDM yang dibina di Lumut, Najib menegaskan, perkara itu tidak berlaku.

Katanya, kontrak itu diberikan kepada PSC-Nayal Dockyard kerana kerajaan berhasrat untuk membangunkan industri maritim negara dengan kemudahan infrastruktur yang ada dalam negara.

“Kontrak itu membabitkan pembinaan enam buah kapal dengan nilai RM5.35 bilion, namun syarikat itu gagal memenuhi syarat kontrak dan hanya dua buah kapal yang hampir disiapkan.

“Kerajaan terpaksa meneruskan projek itu dengan LTAT mengambil alih PSC-Naval Dockyard bagi mengelakkan kerugian dan kemudian ditukar nama kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.,” katanya.

Berikutan itu, kata Najib, kerajaan terpaksa memberi kelulusan kenaikan nilai kontrak daripada RM5.35 bilion kepada RM6.75 bilion iaitu sebanyak RM1.4 bilion bagi memastikan pembinaan kapal itu berjalan lancar.

Beliau berkata, bayaran yang dibuat oleh kerajaan dalam projek itu adalah berasaskan kepada jadual siap kerja bagi keenam-enam kapal yang dibina serentak.

“Kerajaan juga bersetuju untuk mengetepikan bayaran penalti kerana jika dikenakan ia tidak setimpal dengan usaha syarikat Boustead Naval Shipyard menyiapkan pembinaan keenam-enam kapal tersebut,” katanya.

Read More...

Isu kehakiman cuba ditutup, usul video lingam ditolak

Harakahdaily

Salmiyah Harun

Thu | May 15, 08 | 9:56:28 am MYT

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail kecewa apabil usul video lingam ditolak dalam kamar sebagai percubaan untuk menutup isu kehakiman negara yang sedang bergolak.

Dalam kenyataan akhbarnya yang diedarkan kepada wartawan, beliau menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) agar laporan Suruhanjaya Diraja mengenai siasatan ke atas video klip Lingam kepada Yang Di-Pertuan Agong segera dibentangkan dalam Parlimen dan didedahkan kepada pengetahuan umum.

Bagaimanapun usul tergempar dari Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ditolak di dalam kamar hari ini.

Katanya, keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menolak usul tergempar itu amat mengecewakan, malah alasan yang dikemukakan jelas memperlihatkan percubaan kerajaan BN untuk menutup perkara yang berkepentingan umum ini dibahaskan dalam parlimen.

Yang Dipertua memaklumkan keputusan menolak usul tersebut adalah mengikut Peraturan Mesyuarat 18(5) yang menyebut tidak lebih daripada satu usul boleh dibawa pada satu hari persidangan mesyuarat pada 14 Mei, berikutan terdapat satu usul lain daripada Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Barat pada hari ini.

Wan Azizah pula menegaskan sekiranya kerajaan BN bersungguh-sungguh untuk memulihkan integriti sistem kehakiman negara, seperti yang disarankan oleh Agong semasa perasmian sidang parlimen, sewajarnya Yang di-Pertua menangguhkan usul yang penting itu kepada keesokan hari, dan bukannya ditolak mentah-mentah dalam kamar.

Tegasnya, usul tersebut perlu dibahaskan segera memandangkan jemaah menteri akan memutuskan sama ada laporan tersebut akan didedahkan kepada pengetahuan umum pada Jumaat ini.

Berikut disiarkan kenyatan penuh Ketua Pembangkang :

Usul untuk menggesa kerajaan Barisan Nasional agar laporan Suruhanjaya Diraja mengenai siasatan ke atas video klip Lingam kepada Yang Di-Pertuan Agong segera dibentangkan dalam Parlimen dan didedahkan kepada pengetahuan umum telah DITOLAK DALAM KAMAR pagi ini (14 Mei 2008)

Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menolak Usul Tergempar tersebut amat mengecewakan, malah alasan yang dikemukakan jelas memperlihatkan percubaan kerajaan Barisan Nasional untuk menutup perkara yang berkepentingan umum ini dibahaskan dalam Parlimen.

Yang Dipertua telah memaklumkan keputusan tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 18(5) yang menyebut tidak lebih daripada satu usul boleh dibawa pada satu hari persidangan mesyuarat iaitu pada 14 Mei, berikutan terdapat satu usul lain daripada Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Barat pada hari ini.

Kami berpendirian bahawa, sekiranya kerajaan Barisan Nasional bersungguh-sungguh ingin memulihkan integriti sistem kehakiman negara, seperti yang dicita-citakan oleh DYMM Agong dalam Titah Baginda semasa perasmian sidang parlimen, Yang Dipertua sewajarnya menangguhkan usul yang penting itu kepada keesokan hari, dan bukannya ditolak mentah-mentah dalam kamar.

Usul tersebut perlu dibahaskan segera memandangkan Jemaah Menteri akan memutuskan samada laporan tersebut akan didedahkan kepada pengetahuan umum pada Jumaat ini.

Perbahasan usul tersebut dalam Dewan Rakyat adalah penting bagi memulihkan kembali keyakinan umum terhadap badan kehakiman negara yang begitu teruk tercemar seperti mana didedahkan dalam video Lingam.

DATIN SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Ketua Pembangkang Dewan Rakyat
Ahli Parlimen Permatang Pauh
- mr

Read More...

Pulau Warisan RM30 juta jadi tanda tanya

Utusan Online


SEBAHAGIAN pemandangan tapak perancangan asal Pulau Warisan yang terletak antara Pulau Duyung dan Kampung Cina di Kuala Terengganu.


KUALA TERENGGANU 14 Mei – Banyak pihak tertanya-tanya apa kesudahan projek pembangunan sebuah pulau buatan manusia yang dikenali sebagai Pulau Warisan di muara Sungai Terengganu yang dikatakan menelan perbelanjaan mencecah RM30 juta.

Persoalan mengenai bila projek itu akan siap timbul memandangkan projek pembinaan pulau tersebut kini dikatakan sebagai terlalu perlahan.

Sebelum ini, projek itu juga pernah menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk tempatan kerana mereka mendakwa ia bukanlah suatu projek pembangunan yang terlalu mendesak untuk disegerakan.

Menurut perancangan asal, pulau buatan itu yang terletak antara Kampung Cina dan Pulau Duyong dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Apabila siap, Terengganu bakal mempunyai keunikan tersendiri kerana selain mempunyai Taman Tamadun Islam (TTI) dan Masjid Kristal yang berharga lebih RM300 juta, negeri ini juga mempunyai sebuah pulau buatan manusia yang belum terdapat di negeri lain.

Kerajaan negeri ketika itu yang diketuai oleh Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar pernah mengumumkan bahawa proses mewujudkan pulau buatan manusia itu akan dilakukan dalam tiga fasa bermula tahun 2007.

Beliau menambah, kerajaan negeri yakin pembangunan pulau seluas enam hektar itu berhampiran akan menjadikannya satu lagi produk industri pelancongan Terengganu.

Projek tersebut yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini bakal mempunyai kawasan pelancongan menarik.

Apabila menjadi kenyataan, ia akan menempatkan bangunan yang mempunyai seni bina tradisional Melayu, pentas persembahan kebudayaan dan bazar barangan tradisional Terengganu.

Selain itu, pulau itu juga menyediakan tempat riadah, pusat makanan tradisional Melayu Terengganu, pusat permainan tradisional dan rumah-rumah Terengganu.

Boleh dikatakan apa jua produk tradisional rakyat Terengganu akan ditempatkan di Pulau Warisan dan ini merupakan daya tarikan baru yang istimewa di Terengganu,

Kerajaan negeri berjanji projek tersebut tidak akan menjejaskan nilai tradisional yang wujud di Kampung Cina sebaliknya ia akan memberi nafas baru kepada kampung itu dengan pelbagai prasarana yang disediakan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Datuk Tok Teng Sai memberitahu, Pulau Warisan asalnya timbunan pasir yang berlaku akibat kerja mengorek dan mendalamkan muara Sungai Terengganu yang cetek dilakukan sewaktu pemerintahan bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokthar Ahmad pada 1984.

Bagaimanapun tiada siapa menyangka timbunan pasir itu boleh berubah menjadi sebuah pulau dan menambahkan satu lagi koleksi pulau yang dijangka menjadi aset pelancongan kepada negeri ini.

Read More...

Terengganu tak terima baki RM3b: MB

Berita Harian

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu hanya menerima RM4.3 bilion peruntukan daripada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKPP) yang dimasukkan ke dalam bajet negeri selama empat tahun, bermula pada 2004.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata baki RM3 bilion daripada RM7.3 bilion yang dilaporkan dibayar Petronas, tidak diterima dan tidak pernah dimasukkan dalam bajet negeri yang dibentangkan selepas Barisan Nasional (BN) memerintah semula Terengganu.

Katanya, beliau sudah bertanya mengenai wang royalti itu kepada Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan diberitahu bahawa kerajaan negeri hanya menerima RM4.3 bilion.


"Kita tidak tahu ke mana RM3 bilion lagi dibelanjakan dan mungkin wang itu digunakan bagi membiayai kos pembinaan projek Persekutuan yang dilaksanakan di negeri ini.


"Malah, kerajaan negeri juga terpaksa membelanjakan wang royalti bagi membiayai 50 peratus kos pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan kita tidak tahu kos akhir apabila projek itu siap," katanya ketika dihubungi selepas mengadakan mesyuarat Exco di Cyberjaya, semalam.

Selepas mengadakan mesyuarat itu, beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu dan malam tadi menghadiri Program Bersama Menteri di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM). Akhbar sebelum ini melaporkan pembinaan LPT fasa dua dari Jabor, Kemaman ke Gemuruh, Kuala Terengganu membabitkan kos RM2.1 bilion.

Ahmad berkata, beliau akan mendapatkan maklumat lanjut ke mana perginya baki duit royalti atau dana khas itu yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan rakyat negeri ini.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Amirsham A Aziz bahawa Petronas membayar RM26.7 bilion royalti minyak kepada Kerajaan Persekutuan dan tiga kerajaan negeri dari 2004 hingga 2007.

Amirsham berkata, sebanyak RM13.4 bilion dibayar kepada Kerajaan Persekutuan, Terengganu (RM7.3 bilion), Sabah (RM1.2 bilion) dan Sarawak RM4.9 bilion).

April lalu akhbar turut melaporkan Ahmad meminta Kerajaan Persekutuan menyerahkan semula hak pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan negeri yang dikenali sebagai DKKP bagi membolehkan ia digunakan untuk membiayai pelbagai projek pembangunan untuk rakyat.

Ahmad berkata, penyerahan semula hak pengurusan wang royalti minyak sebanyak lima peratus, yang ditarik balik pada 2000 ketika pentadbiran Pas, akan membolehkan kerajaan negeri merancang sendiri projek sesuai dengan keperluan tempatan.

Nilai wang royalti minyak itu dianggarkan RM1 bilion setahun. Kementerian Kewangan pada 5 September 2000 menggantikan bayaran royalti minyak lima peratus kepada Kerajaan Terengganu dengan program wang ihsan yang disalurkan melalui projek pembangunan dan bukan dibayar kepada kerajaan negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata, kaedah pemberian wang ihsan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Terengganu, banyak membantu kerajaan negeri itu berjaya selama ini, malah menegaskan sudah ada kaedah diwujudkan iaitu menerusi pemberian wang ihsan yang banyak membantu membangunkan kerajaan negeri berkenaan.

Read More...

Terengganu tak terima baki RM3b – Sah 50% belanja bina LPT2 duit royalti

Buletin Online

PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Editor
Thursday, 15 May 2008

Hanya RM4.3 bilion peruntukan daripada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKPP) yang dimasukkan ke dalam bajet negeri Terengganu selama empat tahun, bermula pada 2004, dan baki royalti RM3 billion tidak diterima oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata baki RM3 bilion daripada RM7.3 bilion yang dilaporkan dibayar Petronas, tidak diterima dan tidak pernah dimasukkan dalam bajet negeri yang dibentangkan selepas Barisan Nasional (BN) memerintah semula Terengganu.

Katanya, beliau sudah bertanya mengenai wang royalti itu kepada Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan diberitahu bahawa kerajaan negeri hanya menerima RM4.3 bilion sebagaimana dilaporkan oleh Berita Harian hari ini.

“Kita tidak tahu ke mana RM3 bilion lagi dibelanjakan dan mungkin wang itu digunakan bagi membiayai kos pembinaan projek Persekutuan yang dilaksanakan di negeri ini.

“Malah, kerajaan negeri juga terpaksa membelanjakan wang royalti bagi membiayai 50 peratus kos pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan kita tidak tahu kos akhir apabila projek itu siap,” katanya

Sebelum ini Buletin Online pernah melaporkan pembinaan LPT fasa dua dari Jabor, Kemaman ke Gemuruh, Kuala Terengganu membabitkan kos RM2.1 bilion itu dibiayai separuh dari kos pembinaannya dengan DKKP dan separuh lagi dari RMK 9.

Beberapa NGO dilaporkan oleh Buletin Online mencadangkan agar LPT2 tidak dikenakan tol kerana ia bukanlah lebuhraya konsesi, sebagaimana lebuhraya lain seperti PLUS dan KESAS.

Ahmad berkata, beliau akan mendapatkan maklumat lanjut ke mana perginya baki duit royalti atau dana khas itu yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan rakyat negeri ini.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Amirsham A Aziz bahawa Petronas membayar RM26.7 bilion royalti minyak kepada Kerajaan Persekutuan dan tiga kerajaan negeri dari 2004 hingga 2007.

Amirsham berkata, sebanyak RM13.4 bilion dibayar kepada Kerajaan Persekutuan, Terengganu (RM7.3 bilion), Sabah (RM1.2 bilion) dan Sarawak (RM4.9 bilion).

April lalu akhbar turut melaporkan Ahmad meminta Kerajaan Persekutuan menyerahkan semula hak pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan negeri yang dikenali sebagai DKKP bagi membolehkan ia digunakan untuk membiayai pelbagai projek pembangunan untuk rakyat.

Ahmad berkata, penyerahan semula hak pengurusan wang royalti minyak sebanyak lima peratus, yang ditarik balik pada 2000 ketika pentadbiran Pas, akan membolehkan kerajaan negeri merancang sendiri projek sesuai dengan keperluan tempatan.

Nilai wang royalti minyak itu dianggarkan RM1 bilion setahun. Kementerian Kewangan pada 5 September 2000 menggantikan bayaran royalti minyak lima peratus kepada Kerajaan Terengganu dengan program wang ihsan yang disalurkan melalui projek pembangunan dan bukan dibayar kepada kerajaan negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata, kaedah pemberian wang ihsan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Terengganu, banyak membantu kerajaan negeri itu berjaya selama ini, malah menegaskan sudah ada kaedah diwujudkan iaitu menerusi pemberian wang ihsan yang banyak membantu membangunkan kerajaan negeri berkenaan.

Read More...

Hanya RM1.3b diterima, bukan RM7.3b - Idris Jusoh

Berita dipetik dari Sinar Harian.

Oleh : Rahayu Mustafa

Idris tidak tahu - Wang Royalti yang diterima hanya RM1.3 billion dan bukan RM7.3 billion seperti yang dinyatakan.

Kuala Terengganu - Bekas Menteri Terengganu, Datuk Idris Jusoh menjelaskan wang royalti minyak sebanyak RM7.3 billion yang diberikan kepada Terengganu dari tahun 2004 hingga 2007 bukan diurus atau dikawal kerajaan negeri. Malah kata Idris, beliau sendiri sebelum ini tidak mengetahui mengenai jumlah sebenar wang royalti Petronas seperti mana dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Amirsham Aziz dalam Persidangan Dewan Rakyat kelmarin.

Dalam persidangan tersebut, Amirsham memberitahu sebanyak RM13.4 billion wang royalti minyak Petronas diserahkan kepada kerajaan pusat manakala RM7.3 billion diberikan kepada Terengganu manakala Sabah dan Sarawak masing-masing menerima RM1.2 billion dan RM4.8 billion. Idris yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu berkata, kerajaan negeri ketika di bawah pimpinannya sebelum ini hanya dimaklumkan sebanyak RM1.3 billion diberikan kepada Terengganu pada setiap tahun dalam tempoh tiga tahun tersebut.

" Wang royalti petroleum itu diberikan dalam bentuk wang ehsan dan ia kemudiannya digunakan bagi tujuan pembangunan Terengganu serta pentadbiran kerajaan negeri," ujarnya ketika dihubungi, di sini semalam. Beliau berkata, kenyataan berkenaan (Amirsham dalam Persidangan Dewan Rakyat) seolah-olah menunjukkan pengurusan wang royalti minyak yang dibayar oleh Petronas berada di bawah kawalan kerajaan negeri Terengganu.

" Ia sebenarnya diselia oleh Kerajaan Pusat atau Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri tidak mengawal segala perbelanjaan yang dibuat oleh kementerian terbabit. Kita juga tidak pernah diberikan maklumat mengenai jumlah sebenar wang itu dibelanjakan dan baki yang ada. Manakal tuntutan supaya wang royalti petroleum itu diserahkan kembali kepada kerajaan negeri masih dalam proses mahkamah."


Sinar Harian (Khamis, 15 Mei 2008)

p/s:
artikel ini di salin semula untuk penyebaran maklumat kerana tiada link di web Sinar Harian Terengganu.(masuk ke link Pahang)- kesilapan disengajakan atau tidak??wallahualam....

Read More...

Koleksi Video - Pita Lingam (terjemahan Bahasa Melayu)

Terjemahan skandal bekas Ketua Hakim Negara (Tun Fairuz).-Pita Lingam

lihat video asal di sini.



"Ketua Hakim (Dzaiddin) mengatakan yang beliau adalah saudara kepada Agong sekarang (Sultan Sirajuddin, Raja Perlis), maka beliau mahu kekal sehingga 68 (tahun). Jadi saya maklumkan kepada Tengku Adnan, semalam saya ada jumpa Tengku. Tengku maklumkan yang PM (Mahathir) begitu marah kepadanya, PM kata, tidak masalah untuk melantik Datuk sebagai pemangku, err...sahkan jawatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, dan bersungguh untuk pastikan Tan Sri Mokhtar sebagai Ketua Hakim Malaya. Ah, kita pastikan ianya sulit.

Saya sedang bekerja keras untuk tujuan itu. Kemudian, ada sepucuk surat, menurut Tengku, saya akan menemui Tengku esok, ada sepucuk surat telah dihantar kepada Ketua Hakim, maksud saya Tan Sri Dzaiddin, yang mengatakan Datuk Heliliah, Datuk Ramli dan Datuk Ma'roop dilantik sebagai hakim, dan beliau menolak Datuk Andrew Chui dan Zainuddin Ismail. Ini kerana Zainuddin Ismail 'mengganggu' perlantikan Datuk dan Tan Sri Mokhtar. Dan Datuk juga perlu menulis surat dalam tempoh 5 minggu disahkan sebagai hakim.

Memo kita, saya akan bincang dengan Tun Eusoff Chin dan kita akan serahkan memo yang sama kepada PM. Saya cuma mahu dapatkan satu salinan surat untuk pastikan yang perkara ini akan disahkan kelak. Kemudian Tan Sri Dzaiddin sebut bahawa beliau akan menyokong 6 orang untuk Mahkamah Rayuan, tetapi sehingga ke hari ini, surat tersebut masih tidak sampai ke tangan PM. Saya faham yang di bawah perlembagaan untuk hakim, semuanya merupakan tugas Datuk untuk menghantar (surat) tersebut, tetapi kita tidak perlu ketengahkan isu tersebut sekarang. Ok. Sebenarnya saya telah berpesan kepada Tengku Adnan untuk maklumkan kepada PM, untuk berjumpa dengan Datuk.

Saya akan aturkan supaya Tengku Adnan akan hubungi Datuk secara terus, dan apabila saya dapat nombor telefon Datuk, saya akan minta Tengku untuk menghubungi Datuk terus untuk Datuk berjumpa dengan PM lah. Sebab sangat penting untuk kita pastikan ada 'pemain utama' di situ. Datuk tahu tak yang masalah sama dihadapi oleh Tun Eusoff Chin cuba lakukan semua ini tetapi beliau 'kehilangan askar'. Beliau tak dapat lakukan kerana ramai yang datang dari kem berlainan. Masa itu, kurang nasib baik kerana Tun Daim telah lakukan sabotaj. Kadang-kadang Tan Sri Vincent sebut, sebahagian daripada masa mereka hanya bercakap soal kehakiman dari melakukan kerja.

Tetapi jika saya tidak laksanakan bahagian ini, kerja saya akan jadi sia-sia. Sekarang dia (Dzaiddin) dah lantik 6 orang hakim Mahkamah Rayuan, jadi dia boleh letakkan orang-orangnya sebeum dia bersara. Saya akan dapatkan Tengku Adnan untuk aturkan dengan PM untuk hubungi Datuk dan Tan Sri Vincent Tan, untuk PM hubungi Datuk. Satu hari saya datang ke rumah Vincent Tan, saya marah beliau pada malam saya dirumahnya. Saya cakap," kalau awak tak lakukan, siapa yang akan buat?'. Semua orang-orang ini, Tun Eusoff Chin, Datuk Ahmad Fairuz, Tan Sri Zainon semuanya berebutkan jawatan tersebut. Kemudian beliau hubungi Tengku Adnan, beliau cakap,'Saya bukan Perdana Menteri Malaysia lah!'. Saya cakap,' tak apa, tak apa. Kalau Tengku tidak cakap dengan saya, Tengku cakap dengan PM lagi esok pagi untuk lantik Datuk Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Malaya".

Dan keesokkan paginya Tengku berjumpa PM dan hubungi saya balik pada pukul 9.30 pagim, dan beliau maklumkan bahawa PM telah bersetuju. Jadi orang tua, dia dah berusia 76 tahun, dia 'dibisik ' di mana-mana, dan kalau kita tak 'bisik' sama, dia kan dipengaruhi oleh pihak lain. Tapi sekarang PM begitu teliti kerana setiap kali beliau perolehi surat daripada Tan Sri Dzaiddin, beliau akan hubungi Tengku Adnan dan maklumkan ' bincang dengan Vincent, datang dan bincang .' Walaupun saya kenal PM, saya adalah pengamal guaman. Pendapat saya...akan melalui mereka, akan melalui mereka lah. Oh dan kemudian Dzaiddin akan hubungi dan beritahu mereka yang Datuk berjumpa dengan PM dan Datuk jadikan ini isu besar. Oh ya, saya terfikir begitu juga.

Sekarang saya bercakap dengan Raja Aziz ada bercakap dengan peguam saya Thayalan, dan seorang peguam lagi, Ailan di Mahkamah Tinggi, mereka ada kes satu sama lain. Jadi Thayalan dan Ailan bertanya kepada Raja Aziz. Bagaimana keadaan Tan Sri Wan Adnan? Raka Aziz bilang Wan Adnan sudah nazak. Tetapi Datuk tahu apa perkara yang mengejutkan yang Raja Aziz beritahu? Datuk Fairus sudah jadi Ketua Hakim Malaya. Dia mendahului semua orang dalam tempoh 3 bulan, dia (Fairuz) akan menjadi Preiden Hakim Mahkamah Rayuan, dan dalam tempoh 6 bulan dia akan jadi Ketua Hakim. Raja Aziz bilang beliau tak akan terima kejutan ini. Dia cakap lah. Ha! nampaknya mereka akan atur satu kempen untuk jatuhkan Datuk. Tetapi Datuk perlu senyap, jangan cakap apa-apa. Walaupun ditanya oleh wartawan, Datuk sekadar cakap, "saya serahkan kepada tuhan," Cukup! Itu jawapan yang terbaik yang Datuk boleh bagi.

Saya juga akan minta Tan Sri untuk ingatkan PM untuk anugerahkan gelaran Tan Sri tahun ini (kepada Datuk). Datuk tahu ini akan naikkan imej Datuk. Jangan risau, kita akan aturkan semua ini. Jika Tan Sri Vincent dan Tengku Adnan mahu jumpa Datuk secara sulit- saya yakin mereka akan jumpa. Saya akan hubungi Datuk. Kita akan aturkan secara sulit, di kawasan yang bebas.

Tidak. Jangan risau Datuk. Saya tahu bagaimana Datuk sengsara demi Tun Eusoff Chin. Dan Tun sebut Datuk Ahmad Fairuz adalah 110%. Kita mahu pastikan orang kita ada di sana untuk kebaikan PM dan negara. Bukan untuk kepentingan kita. Bukan untuk kepentingan kita. Kita mahu pastikan yang Negara diutamakan dengan baik.

Datuk terlalu sengsara, sudah banyak yang Datuk telah lakukan, termasuk petisyen pilihanraya, Wee Choo Keong, semuanya lah. Takkan ada sesiapa yang boleh lakukan semua ini.

Kita bersungguh-sungguh dengan perkara ini. Dan Datuk, sekiranya Tan Sri Vincent dan Tengku Adnan mahu bertemu dengan Datuk. Saya akan aturkan di tempat yang sulit."

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |