Harakahdaily Awang Harun | Foto Nasir Sudin Thu | Mar 27, 08 | 2:54:59 pm MYT | |
KUALA TERENGGANU, 27 Mac (Hrkh)- "Menang pun susah, kalah pun susah" - begitulah nasib yang terpaksa dihadapi oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, kali ini. Kemenangan BN Terengganu yang dicapai dalam pilihan raya 8 Mac 2008 lalu turut mengundang krisis kepimpinan serta hilang keyakinan pihak istana terhadap bekas Menteri Besarnya, Dato' Seri Idris Jusoh. Senario itu bermula dengan pembatalan majlis angkat sumpah Menteri Besar (MB) serta ahli Exco Kerajaan Negeri pada 10 Mac 2008 lalu di Istana Maziah, dekat sini. Pelbagai spekulasi timbul dan menjadi teka-teki di kalangan rakyat, apatah lagi diberitakan selain Idris terdapat beberapa nama lagi bakal dipertimbangkan ke jawatan MB. Harakah difahamkan antara nama-nama calon MB ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Dato' Mohamed Awang Tera, Dato' Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu) dan Adun Kijal, Dato' Ahmad Said. Mantan MB Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh yang tidak berpuas hati dengan penyingkirannya bertindak memanggil kesemua 23 wakil rakyat BN ke Hotel Primula Beach Resort untuk mendapatkan sokongan. Surat sokongan tersebut bagi membuktikan bahawa semua Adun BN yang memenangi PRU ke-12 bersetuju melantik Idris sebagai MB bagi penggal kedua. Namun begitu, hanya Dato' Ahmad Said yang gagal berbuat demikian (surat sokongan) dan sekaligus telah mengundang kemarahan para penyokong Idris. Suatu kejutan berlaku apabila pada 23 Mac 2008 satu majlis penyerahan watikah diadakan dan disempurnakan oleh Yang DiPertua, Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja pada jam 8.20 pagi di Istana Tamu (Istana Al-Muktafibillah Shah) Jalan Persiaran Hakim, Batu Burok, dekat sini. Pihak MPPR telah bersetuju melantik Dato' Ahmad Said, 51, yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman sebagai Menteri Besar dalam satu istiadat ringkas. Hadir sama pada majlis pengistiharan tersebut ialah enam anggota Dewan Pemangku Raja; Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail; bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' Mokhtar Nong dan Ketua Polis Terengganu, Dato' Ayob Yaakob. Harakah sempat meninjau pandangan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat umum yang rata-ratanya menyatakan sokongan kepada keputusan MPPR melantik Menteri Besar baru. Rata-rata mereka berpendapat perlantikan MB adalah hak istana yang tidak wajar dipertikaikan mana-mana pihak. Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum Tionghua negeri, Ng Chai Hing menyifatkan perlantikan Ahmad Said sebagai calon MB Terengganu adalah hak MPPR. Katanya, MPPR tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik dan ia bebas menilai prestasi mantan MB, Idris Jusoh sepanjang tempoh empat tahun lalu. "Saya rasa itu hak istana yang diwakili MPPR untuk memilih siapa yang jadi Menteri Besar negeri ini dan persetujuan lantik Ahmad Said itu hak dia (MPPR)," ujarnya ketika ditemui Harakah. Katanya, tindakan 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN dan MCA membuat protes serta menentang keras keputusan MPPR sebagai tidak wajar. Menurutnya, tidak manis untuk Adun-adun BN tersebut menderhaka seolah-olah pihak istana tidak ada hak memilih dan melantik MB. "Saya cukup kecewa dan sangat tidak wajar mereka (Adun Umno dan MCA) marah, memprotes dan mengecam pihak istana. "Kita (rakyat) patut terimalah keputusan itu dengan berlapang dada dan bersedia menerima keputusan MPPR demi kepentingan rakyat," ujarnya. Presiden Lepasan Pelajar Institut Berakan (Sisbakti), Mohd Saiful Ambia Darusa, 37, menyifatkan tindakan Adun-adun BN memprotes keputusan MPPR boleh dianggap menderhaka. Katanya, tindakan MPPR sebenarnya adalah gambaran hasrat rakyat umum yang sudah bosan serta tertekan di bawah kepimpinan mantan MB. "Apa salah MPPR untuk lantik siapa sahaja yang dia (istana) perkenan dan kita (rakyat) usah jadi penderhaka dan orang yang menderhaka boleh diambil tindakan," ujarnya. Menurutnya, Sisbakti yang mempunyai keahlian ramai di kalangan penjawat awam, swasta dan profesional menyokong penuh keputusan MPPR serta berdiri teguh di belakang Tuanku. Seorang guru, Awang Embong, 52, menaganggap Umno Terengganu sebagai penderhaka terhadap institusi Raja-raja Melayu. "Umno Terengganu sudah derhaka kepada Tuanku dan institusi Raja termasuk Majlis Penasihat Pemangku Raja dengan melakukan pelbagai tohmahan. "Sikap biadap itu jelas ditulis pada kain rentang yang dipamerkan oleh penyokong Idris di Seri Iman kerana membantah perisytiharan Ahmad Said sebagai MB," jelasnya. Menurutnya, antara kata-kata yang disifatkan menghina Tuanku dan pihak istana adalah seperti "Kami Nak Idris, Natang (Binatang)". Pesara kerajaan, Sudin Awang, 56, kesal dengan tindakan biadap Umno Terengganu yang lebih mementingkan individu, kuasa dan pangkat. Katanya, Idris mahu terus kekal berkuasa bagi mengumpul kekayaan untuk kroni, keluarga dan peribadi. "Kami (rakyat) sudah tidak tahan lagi duduk bawah MB Idris Jusoh yang gagal membela nasib rakyat yang miskin. "Masjid yang dibina oleh rakyat diroboh, tanah rakyat dirampas, bantuan disekat, pegawai kerajaan dipecat dan banyak lagi," ujarnya. Menurutnya, rakyat di semua peringkat tetap menyokong serta berada di belakang Tuanku dan MPPR.- tajdid/ mr |
Friday, March 28, 2008
Rakyat, NGO sokong Sultan Mizan tolak Idris Jusoh
Posted by
Sang Pemantau
at
12:07 AM
Labels: Harakahdaily, pokyeh, Sultan, terengganu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment