+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 6, 2008

Harga petrol dijangka lebih murah

Berita Harian

Oleh Khirul Bahri Basaruddin


JOHOR BAHRU: Pengguna di negara ini dijangka dapat menikmati harga petrol biasa yang lebih rendah tidak lama lagi, berikutan cadangan kerajaan untuk menstruktur semula jenis petrol di pasaran dan pemberian lebih banyak subsidi bagi petrol biasa.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata perubahan harga petrol itu akan dibuat melalui kajian semula subsidi petrol yang berada di pasaran seperti petrol berplumbum dan tanpa plumbum RON 92 serta RON 97.

Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Selasa lalu sudah menimbangkan cadangan memansuhkan petrol RON 92 dan RON 97 untuk digantikan dengan petrol RON 95 dan RON 99.


Beliau berkata, ketika ini petrol RON 92 kebanyakannya digunakan oleh motosikal, manakala kenderaan lain menggunakan RON 97.

"Petrol RON 95 boleh digunakan pengguna berpendapatan rendah dan sederhana kerana ia bakal menggantikan RON 92 dan RON 97, manakala petrol RON 99 yang lebih mahal adalah sesuai untuk kenderaan mewah dan pengguna yang mementingkan kuasa pemanduan serta prestasi.

"Mengikut sistem baru itu, kerajaan akan memberi lebih subsidi bagi petrol RON 95. Matlamatnya ialah membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana, manakala bagi mereka yang berpendapatan mewah boleh memilih sama ada menggunakan petrol biasa atau berkuasa tinggi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas Perhubungan Umno Johor, di sini semalam.

Shahrir berkata, kerajaan dijangka dapat menjimatkan peruntukan perbelanjaan dengan memberi sebahagian besar subsidi kepada petrol jenis RON 95, berbanding sebelum ini subsidi yang sama diberikan untuk kedua-dua jenis petrol iaitu RON 92 dan RON 97.

"Mereka yang menggunakan petrol RON 99 juga akan mendapat subsidi, tetapi jumlahnya sedikit," katanya.

Beliau berkata, mutu petrol RON 95 lebih rendah berbanding RON 97, tetapi ia boleh digunakan oleh kebanyakan kenderaan di negara ini. Kebanyakan negara di Asia dan Eropah kini sudah menggunakan petrol jenis RON 95.

"Melalui cadangan sistem baru ini, kita bukan saja menukar cara menyenaraikan harga petrol, tetapi juga membantu mengurangkan beban kepada golongan berpendapatan rendah serta sederhana.

"Golongan kaya juga boleh menggunakan RON 95 bagi kenderaan seperti Mercedes Benz, BMW dan kenderaan mewah lain, tetapi mereka tidak mendapat manfaat seperti penggunaan petrol RON 99," katanya.

Januari lalu, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, dilaporkan berkata kerajaan terpaksa mengeluarkan RM35 bilion untuk subsidi harga diesel, petrol RON 92 dan RON 97, jika harga minyak mentah naik AS$100 satu tong di pasaran dunia.

Pada masa ini, petrol RON 92 dijual pada harga RM1.88 seliter di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, manakala RON 97 berharga RM1.92 seliter di Semenanjung, berbanding RM1.90 sen di Sabah dan RM1.91 di Sarawak.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |