+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, June 3, 2008

Jangan persiakan nasib negara dan rakyat - Dr Husin Ali

Harakahdaily

Ahmad Lutfi Othman & Azamin Amin

Tue | Jun 03, 08 | 11:21:01 am MYT

Setelah lebih dua bulan Pakatan Rakyat menggalas amanah lima negeri, rakyat masih berbicara mengenai 'kejutan' pilihan raya lalu sekali gus menjadikan parti pemerintah khususnya Umno dalam keadaan terumbang-ambing. Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahamad Lutfi Othman dan wartawan Azamin Amin mendekati Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali untuk mendapatkan pandangannya bukan saja terhadap keputusan 8 Mac tetapi juga mengenai urutan peristiwa dan pelbagai isu yang menyusul.

Harakah: Biarpun selepas lebih 70 hari Pilihan Raya Umum 2008, masih ramai bercakap mengenai kejutan besar itu. Pastinya Dr ada rumusan tersendiri?

ImageSyed Husin: Banyak orang menganggap kita tidak menyangka kejayaan tersebut, tetapi empat lima hari sebelum pengundian, Dato' Seri Anwar Ibrahim sudah melihat tanda kemenangan besar berpihak kepada kita.

Bahkan dua hari sebelum pilihan raya, Anwar berada di Singapura dan mengadakan sidang media (PC) yang besar, menyatakan bahawa PAS, KeADILan dan DAP sudah menang pilihan raya. Tetapi kita tidak dapat memerintah disebabkan pembatalan penggunaan dakwat kekal.

Masa Anwar buat PC di sana, ramai pemimpin BN di sini begitu sinikal. Anwar dan beberapa pemimpin, termasuk di luar KeADILan memang menduga akan berlaku perubahan besar. Saya sendiri tidak begitu terperanjat dengan kemenangan ini.

Yang paling terperanjat Umno-BN. Mereka tahu akan kehilangan banyak kerusi, tapi tak sangka sampai lima negeri jatuh, tak termasuk Wilayah Persekutuan. Tidak disangka KeADILan dapa banyak kerusi Parlimen. Paling tinggi kita jangkakan 20, tapi dapat 31 kerusi.

Maknanya, perubahan hanya kelihatan pada saat akhir sebelum mengundi?

Perubahan saat-saat akhir di kalangan orang Melayu. Sedangkan Cina dan apatah lagi India kita sudah nampak daripada awal lagi.

Adakah faktor kempen yang agak lama mendorong kemenangan itu?

Sekarang 13 hari ya, lama tidak juga. Ia bukannya faktor. Kalau singkat pun kempen, ia pada saat-saat akhir akan berubah juga.

Apa rumusan Dr tentang faktor utama kemenangan?

Ada seorang kawan menulis dalam majalah Aliran tentang faktor orang 'meluat' dengan kerajaan. Bukan sahaja meluat sebab janji-janji mereka, meluat kepada ekonomi yang dikatakan lebih baik tetapi sebaliknya, meluat dengan janji nak perangi korupsi, tapi rasuah makin parah. Nak lawan kronisme tapi makin teruk.

Faktor tidak puas hati dalam bidang ekonomi politik, sosial seperti peningkatan jenayah menyebabkan orang meluat.

Nampak sangat Cina dan India berubah, tapi ada yang berkata, tidak kepada pengundi Melayu disebabkan ada kawasan yang PAS memang pada 1999, tapi kalah di situ pada 2008.

Mungkin ini faktor berkaitan persempadanan semula yang menyebabkan ia berubah ... tapi saya rasa di lain tempat kita nampak perubahan orang Melayu. Kelantan sudah jelas, walaupun ada usaha untuk buat penipuan.

Terengganu walaupun tidak dapat tawan tetapi ada perubahan besar kepada PAS. Balik Pulau di Pulau Pinang, kalau dulu menang 1,000 atau 2,000 tapi kini sampai 17,000 menunjukkan ada 'shift' Melayu. Di sesetengah tempat tidak berlaku, seperti di Pahang. Orang Melayu di bandar ada perubahan besar, termasuk Kelantan dan Kedah.

Sesetengah tempat di Selangor, lebih ramai pengundi Melayu mengundi calon Umno, mengapa?

Faktor penambahan undi yang dipindahkan. Kita percaya ada unsur penipuan. Keadaan berbeza dengan seluruh Selangor dan Kelantan, di mana kesan perubahan dan kesedaran jauh lebih besar daripada kesan penipuan, maka kita berjaya.

Mungkin sesetengah tempat ada penipuan. Penipuan itu jauh besar sedikit daripada kesan perubahan dan kesedaran.

Macam di Sabah, penipuannya lebih besar daripada kesan perubahan. Malah pengundi pun tak dapat melawan penipuan yang sangat besar. Puluhan ribu dan mungkin ratusan ribu. Ada pengundi berasal dari Filipina bahkan Indonesia. Secara rasmi mereka kata ada 80,000 semuanya.

Ada juga orang melihat ini sebagai fenomena sementara terutama trend pengundi Cina dan tidak terkecuali pengundi India?

Pengundi Cina ini merupakan pengundi rasional. Mereka mengundi berasaskan faktor ekonomi dan politik. Kalau prestasi bagus malah kerajaan dapat menjalankan tugas-tugas dengan baik, mereka akan puas hati.

Salah satu sebab adalah kali ini mereka tidak puas hati dengan ekonomi. Soalnya, bagaimanakah prestasi kerajaan lima negeri Pakatan Rakyat, bagaimanakah mereka memenuhi janji?

Kalau mereka lebih telus, bersih, penuhi janji dan baik prestasinya, saya rasa susah nak dikalahkan. Bagaimanapun, banyuak projek pembangunan dan peruntukan datang daripada Pusat. Dan Pusat sekarang ada usaha untuk menyekat peruntukan dan penyaluran wang.

Malah nak memecah-belahkan keadaan di kampung dengan cara salurkan wang dengan cara yang bertentangan dengan kerajaan negeri. Jadi ada yang berfikir, mesti ada perubahan cepat di pemerintah Pusat sebab jika Pusat nak sabotaj kerajaan negeri, buat apa kita benarkan mereka (BN) berada di Pusat?

Kita perlu tubuhkan segera kerajaan persekutuan yang memerintah. Kita tahu setakat mana penduduk boleh bertindak. Sebayak 60 peratus pendapatan negara datangnya daripada lima buah negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, daripada cukai dan sebagainya.

Kalau Pusat masih berdegil, kita mahu lihat setakat mana kerajaan negeri boleh bertindak. Jika Pusat tidak mengagihkan kekayaan negara secara adil, kerajaan dan rakyat negeri boleh melakukan sesuatu.

Ini boleh, jika ada perubahan sikap. Kita tengok peruntukan kepada setiap ahli Parlimen. Mula-mula kerajaan negeri Pakatan Rakyat kata akan beri peruntukan kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang daripada Umno sejumlah RM500,000 setahun dengan syarat Pusat juga kena beri yang sama kepada ahli Parlimen Pakatan Rakyat juga.

Ada 82 ahli Parlimen yang boleh buat riuh di Parlimen, jika mereka tidak diberi peruntukan sama. Ada reaksi timbal balik. Katakan di Selangor nak bagi kepada wakil rakyat pembangkang tapi kalau ikut cara Umno dulu dia langsung tak bagi pembangkang.

Sekarang Pusat terpaksa buat keputusan bagi semua. Maka ertinya tidak semudah itulah kali ini dia nak menekan pembangkang atau kerajaan negeri.

Lihat Sabah dan Sarawak. Tidak diberi peruntukan atau royalti minyak yang cukup. Mereka sekarang bertindak. Sebab itu dia menggugut nak pindahke parti lain. Kedudukan Pusat sekarang tidaklah sekuat mana walaupun mereka menguasai alat pemerintahan atau jentera dan sumber ekonomi.

Sejauhmana lima negeri berkenan menunjukkan prestasi kepada rakyat?

Rakyat umumnya menyatakan rasa puas hati kepada kerajaan lima negeri. Saya sendiri masih belum puas hati sangat sebab dalam masa 70 hari ini, lebih banyak yang boleh dibuat daripada apa yang dilakukan.

Apa yang belum puas hati itu?

Oklah ... mungkin secara umumnya. Janganlah terperangkap untuk menyambung atau melanjutkan apa yang diluluskan kerajaan terdahulu dan sebelum kita nak lanjutkan, kita buat kajian lebih mendalam, sama ada nak teruskan atau tak nak teruskan.

Jangan sebab ia dah diluluskan, kita nak lanjutkan. Tanpa pertimbangan yang cukup boleh menimbulkan rasa resah orang.

Kedua, tidak ada yang jelas atau pemikiran strategik untuk capai matlamat di negeri-negeri. Apa yang kita nak capai bagi tiap-tiap negeri-negeri dan apa yang nak dicapai secara bersama-sama di lima negeri agar apa yang dilakukan mempunyai kesan besar.

Selain itu janji-janji perlu ditunaikan. Projek baru untuk rakyat ramai perlu dimulakan. Projek-projek baru pula mestilah yang betul-betul mendatangkan kebajikan dan faedah besar kepada rakyat ramai khususnya yang berpendapatanrendah dan kepada semua kaum.

Kita tak perlu takut untuk beri kepada semua kaum kerana kebanyakan yang berpendapatan rendah kira-kira 70 peratus adalah Melayu. Jadi tak perlu bimbang.

Ada pihak timbulkan tentang konsep parti kuasai kerajaan. Ada kebimbangan kerajaan pula yang menguasai parti, terutama apabila melihat di peringkat negeri ada ahli-ahli yang masih baru tetapi sudah menang ke posisi kerajaan negeri, sedangkan mungkin kurang penghayatan perjuangan parti?

Memang kadang-kadang apabila baru banyak kekurangan atau kesilapan. Tapi dalam soal ini, ketiadaan pengalaman bukanlah satu masalah yang besar.Ada tempat kita fikirkan selamat kita letak orang baik dan berpengalaman.

Bukan sahaja PAS tetapi KeADILan itu sendiri. Ada percaturan kita yang silap. Mana-mana yang kita rasa 'quite ok' kita letakkan orang baru. Akhirnya banyak orang yang bagus dan berpengalaman kita kalah.

Begitu juga di Perak, orang kita KeADILan yang bagus, kalah di banyak tempat yang kita jangka tempat selamat. Kita harapkan mereka boleh jadi exco, tetapi kalah.

Memang kali ini, KeADIlan mahukan orang muda ramai, memang ada 'plus-minus' dalam hal ini sama ada orang yang bagus kalah dan muda-baru menang.

'Plus'nya ialah mereka orang muda, boleh jadi pelapis yang baik, 'minus'nya ialah mereka kurang pengalaman. Tetapi pengalaman ini semuanya boleh dipupuk.

Kebimbangan kita adalah kiranya mereka ini kurang komitmen. Kalau kurang memikirkan masalah rakyat, mereka boleh terseleweng. Namun biasanya orang muda dia kuat dan mempunyai idealisme. Lama kelamaan mereka akan belajar untuk komited. Kita tak bimbang sangat asalkan kita boleh latih mereka dan tarbiyah mereka ini.

Bagaimana dengan tenaga-tenaga yang berkebolehan ini, yang kalah dalam pilihan raya, boleh dimanfaat dan digabungkan untuk membantu kerajaan negeri?

Ada usaha untuk menggabungkan kepakaran mereka di negeri-negeri tetapi dikhuatiri timbul masalah lain. Pertama, yang kalah ini adalah pemimpin parti atau pemimpin kanan, ada anggapan kerajaan di sesetengah negeri, mereka yang menang layak untuk menjalankan pentadbiran jadi tidak memerlukan kepakaran orang yang kalah atau kekananan dalam parti.

Kedua, ada unsur, nakkan orang daripada partinya sendiri atau kawan rapatnya sendiri untuk membantu dan ini saya rasakan kurang baik terutama jika ia mengenepikan yang baik.

Misalnya pejabat Menteri Besar, kalau MB kebetulan daripada parti A, dia tidak wajar memilih hanya kalangan parti A tetapi yang membantunya mestilah daripada semua parti. Lagi berpengalaman dan berkelayakan lebih baik.

Berbalik isu lompat parti, bagaimana pula soal komitmen terhadap perjuangan parti dengan wakil-wakil rakyat berkenaan, sedangkan yang ada pun dilihat masih ada yang baru dalam parti dan dikhuatiri mereka tidak dapat membawa hasrat parti.

Ya, etika melompat... soal berubah parti atau parti menyertai komponen parti yang lain bukanlah perkara baru. Bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.

Macam dulu, kerajaan Terengganu jatuh kerana Perikatan yang membeli. Itu tradisi BN dan Perikatan, iaitu membeli dengan cara yang tidak bertika. Begitu juga selepas 13 Mei, bukan sahaja individu tetapi parti juga termasuk PAS berpindah kepada BN.

Ada empat kategori sebab mereka lompat parti. Pertama, mereka rasa ada peranan apabila menyertai parti pemerintah, untuk buat perubahan. Kedua, jenis boleh dibeli, ini jenis tidak etika. Kadang-kadang mereka mencari peluang naikkan harga dengan BN. Ketiga, ahli Parlimen jenis yang sengaja dihantar untuk kumpul maklumat dan akhir sekali jenis yang terikut-ikut. Dia berpindah, apabila tengok kawan-kawan lain juga berpindah.

Ini semua berkaitan taktik bijaksana yang boleh dilakukan parti politik. Ini semua telah berlaku lama dan dilakukan oleh BN. Ini semua kita tentang. Tetapi jika ada desakan, ada orang tanya kenapa tak dulu tetapi okay sekarang.

Pertama, dulu tak nampak pembangkang boleh buat perubahan sebab kemenangan kecil tetapi sekarang ini kesannya besar maka mereka nampak ada peluang membuat perubahan apatah lagi melihat pergolakan dalaman Umno.

Kedua mereka mulai nampak Pakatan Rakyat satu parti altenatif yang 'kompak' jadi mereka katakan dari segi realitinya ada alternatif yang jelas yang kuat dan boleh buat perubahan.

Ketiga mereka nampak, kalau tunggu nanti mereka tak tahu apa akan jadi pada Umno dan BN. Mereka tak tahu 'next round' apa akan terjadi. Ini semua 'political survival'.

Dalam suasana yang ada, apa yang boleh ditawarkan oleh Pakatan Rakyat kepada rakyat adalah jauh lebih baik daripada kerajaan ada sekarang. Macam minyak turun 20 peratus, mereka rasakan ini amat baik.

Begitu juga dengan ahli Parlimen Sabah yang telah menulis kepada Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tentang masalah tapi tak ada respons.

Yeong Teck Lee, Ketua Menteri Sabah dulu, dia bagi tempoh sampai Ogos, dia sudah ada pertemuan dengan Abdullah dan tulis surat tapi tiada perubahan. Dulu Umno dominate tetapi sekarang dah lemah tapi masih nak cuba-cuba dominate. Ahli Parlimen dan wakil rakyat nampak boleh buat perubahan kepada rakyat di negeri atau kawasan yang diwakili jika mereka berpindah. Jadi mereka tidak mahu lepaskan peluang.

Ada orang kata kalau nak sesuatu perubahan, kita kena kuat menentang, maka ini yang mungkin dilakukan oleh Sabah. Mereka sendiri yang nak pindah dan bukan kita pergi jumpa. Mereka yang nak berjumpa sehingga ada yang kita terpaksa menolak.

Ada ahli-ahli Parlimen BN yang akan menyeberang dalam waktu terdekat?

Tak tahulah, macam-macam boleh berlaku. Dari segi kewangan semua orang tahu kita tak ada wang untuk membeli. Tapi pihak sana boleh membeli. Kalau sedikit yang boleh dibeli, lagi banyak yang boleh dibayar.

Kalau mereka dilihat berpindah, mungkin parti sana membeli dengan harga yang begitu tinggi sampai sanggup tawarkan RM100 juta umpamanya. Itu yang kita tak tahan. Jika berlaku perpindahan mestilah dengan bilangan yang mencukupi.

Walaupun desakan terutama dari Sabah kuat untuk berpindah segera, Anwar nampaknya tidak begitu ghairah nak cepat. Ada dua faktor, pertama, kekuatan dari sana (Sabah) untuk datang dan kekuatan sini (Pakatan Rakyat) untuk menerima tidak cukup kuat lagi dan belum kukuh lagi. Kalau tak kukuh macam mana boleh jadi. Ertinya jikalau majoritinya kecil, pihak BN boleh beli.

Kedua, perkiraan ekonomi yang mungkin mengambil masa untuk pulih. Kalau kita tergopoh-gapah nak buat perubahan dalam suasana ekonomi dan politik yang tidak menentu, saya rasa ini memerlukan pertimbangan yang lebih realistik dan berhati-hati.

Tapi ada juga masalah-masalah lain. Jika kerajaan 'desperate', melihat Sabah dan Sarawak ada memperjuangkan hak, itu sebab ada yang nak cepat tubuhkan kerajaan, khuatir nanti digunakan ISA bagi orang yang bercakap tentang yang kononnya terlibat dengan tuduhan hendak memisahkan Sabah.

Tangkap empat dan lima orang sudah cukup untuk menyebabkan semua takut. Jadi kita tak boleh 'rule out' ini sebab keadaan serta suasana Umno yang tidak menentu.

Bagaimana faktor Tun Mahathir Mohamed keluar Umno, adakah memberi kesan kepada penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat?

Ini perkara lebih serius, ini kebimbangan saya. Saya masih yakin Dr Mahathir masih kuat menyokong Dato' Seri Najib Razak, dia bukan sayang Umno tetapi dia sayangkan Najib supaya dapat berkuasa dengan sokongan kuatnya. Kalau Abdullah diguling kerana hilang sokongan majoriti, Mahathir bersama Najib merupakan kombinasi yang bahaya. Mahathir cukup bimbang akan terbongkar bermacam salah lakunya dahulu.

Dia marah sebab Kabinet luluskan laporan kes VK Lingam. Banyak isu yang ditimbulkan seperti korupsi, kontrol polis dan kehakiman. Saya rasa Mahathir berada dalam mimpi ngeri.

Najib pula ada mimpi ngeri sendiri dengan kes Altantuya, Sukhoi dan Scorpene, walaupun ada penafian. Kedua-duanya ada mimpi ngeri. Kengerian mereka paling besar ialah apabila seandainya Pakatan Rakyat jadi pemerintah dan Anwar jadi Perdana Menteri.

Oleh sebab ngeri itu, jika mereka berkuasa mereka boleh isytiharkan darurat dan pembetukan Mageran seperti dulu. Ini kebimbangan saya.

Ucapan-ucapan Mahathir akhir-akhir ini berbau perkauman sempit. Ini semua boleh mencetuskan pergaduhan kaum. Cetus sedikit sahaja, bom sana sini sikit dan bunuh sana-sini, lepas itu mudahlah isytiharkan darurat.

Ini kalau Abdullah jatuh. Kita memang mahu Abdullah jatuh untuk adakan perubahan. Tetapi kombinasi Mahathir dan Najib itu merupakan kombinasi 'bahaya'...

Apakah ini juga akan mempercepatkan penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat pada 16 September?

Macam-macam faktor, semuanya diambil pertimbangan. Tidak semudah itu. Dan pengalaman kita, orang tak semudah itu melepaskan kuasa.

Bagaimana pemikiran Mahathir ini? Adakah dia sanggup memperjudikan nasib rakyat dan negara, asalkan boleh sekat Pakatan Rakyat berkuasa?

Adakah perancangan ini ada kaitan dengan pakatan dengan Tengku Razaleigh dan Najib? Saya tak pasti sama ada wujud pakatan tersebut. Saya kira masing-masing mempunyai agenda sendiri.

Betul mereka dan Mahathir mungkin adakan pertemuan. Dalam percaturan Ku Li agaknya, jikalau berlaku pergolakan dan perubahan dalam kerajaan terpaksa dilakukan. Yang di-Pertuan Agong berperanan penting. Tidak pelik jika Ku Li mengharapkan senario Terengganu dan Perlis mungkin boleh berlaku di peringkat Pusat.

Bagaimana dengan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, adakah dia akan berundur?

Nampaknya sangat susah, mungkin kalau enam bulan dulu sebelum PRU-12 tetapi sekarang susah nak berlaku. Memang dia lemah tetapi orang dalam keadaan lemah boleh melakukan macam-macam. Najib juga dilihat menonjol diri seolah-olah dia adalah ketua kerajaan akan datang.

Bagaimana peralihan kuasa hujung tahun ini selepas pemilihan Umno, daripada Abdullah kepada Najib?

Memang misalnya pemindahan pimpinan dalam Umno tetapi apa akan berlaku kita tidak tahu. Umno Johor mahukan dipercepatkan proses.

Bagaimana dengan sentimen perkauman kepada pengundi? Benarkah ia sudah tak relevan atau hanya tersembunyi?

Tindakan pengundi menunjukkan mereka merentasi batas perkauman. Orang India, orang Cina mengundi PAS, walaupun macam-macam tuduhan dilemparkan. Macam di Kota Raja, Selangor, Dr Mariah mendapat sokongan pengundi Cina dan Melayu. Begitu juga orang Melayu, sanggup pilih DAP khususnya di Pulau Pinang.

Ini kerana lebih ramai pengundi muda, kajian awal melihat corak pengundi saluran 3 dan 4, mengundi pembangkang.

Bagaimanapun, Umno merasakan ia boleh terus berkuasa kalau dapat tambah sokongan orang Melayu sebab itu mereka guna isu Melayu. Bagi yang ingin dapat sokongan Melayu juga mereka mestilah lebih kemelayuan daripada Umno.

Ini dilakukan Mahathir, tengok ucapan perkaumannya. Cara ini boleh cetus suasana tak selesa malah timbulkan suasana politik yang tidak baik.

Adakah Mahathir sedar kesannya keluar parti mungkin tidak menguntungkan Umno dan dirinya?

Mahathir hampir terdesak ambil tindakan ini untuk dapat balik sokongan orang Melayu. Tapi agaknya Mahathir sudah mulai tahu dia tak dapat sokongan lagi ...tak tahu berapa ramai akan keluar bersamanya, yang dengar Tan Sri Sanusi Junid, tak dengar siapa lagi.

Kalau dia ada sokongan sudah pasti menang perwakilan di Kubang Pasu hari itu. Walaupun ada tuduhan guna wang tetapi dia masih boleh menang jikalau pengaruh besar tetapi rupanya pengaruhnya tidak cukup kuat.

Harapan Dr terhadap penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat dan kerajaan lima negeri yang sudah diperintahnya?

Saya sentiasa memikirkan senario terburuk, jadi kita tidak boleh silap lagi kali ini kerana jika tidak kita akan mengundur 30 tahun ke belakang dan mempersiakan nasib negara dan rakyat jelata. - mks.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |