+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 4, 2008

Tindakan kerajaan tubuhkan JKKKP timbulkan masalah pada kerajaan negeri

Harakahdaily

Intan Abdullah

Wed | Jun 04, 08 | 11:58:20 am MYT

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Hrkh) - Kerajaan pusat di bawah teraju Umno-BN masih meneruskan pelaksanaan Jabatan Kemajuan dan Kebajikan Kampung Persekutuan (JKKKP) sebagai platform penyaluran peruntukan dan maklumat supaya tidak perlu melibatkan urusan dengan pihak kerajaan negeri di empat buah negeri Pakatan Rakyat.

Walau bagaimanapun, dalam soalan tambahan yang dikemukakan Senator Mumtaz Mohd Nawi (PAS-Kelantan) kepada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah , beliau menekankan tindakan dan pendirian yang dibuat kerajaan pusat itu akan mewujudkan kerajaan di dalam kerajaan di samping menyukarkan pentadbiran serta hubungan antara kerajaan negeri dan pusat bagi memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata tindakan tersebut diambil akibat kemungkinan terdapat ura-ura yang menyatakan bahawa ketua-ketua kampung yang dilantik Barisan Nasional (BN) sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih negeri-negeri berkenaan akan diberhentikan.

"Jadi, kita pun ambil kesemua mereka dan meletakkannya di bawah kerajaan persekutuan menggunakan platform JKKKP," katanya dalam sesi penggulungan sesi perbahasan titah ucapan Yang DiPertuan Agong semalam.

Sungguhpun begitu, menurut Senator Mohd Yusof Husin (PAS-Kedah), Kerajaan negeri Kedah belum melantik JKKK memandangkan kerajaan mahu menubuhkan JKKKP.

"Bagaimana pula dengan JKKKP yang akan menimbulkan suasana berlawanan dan kekeliruan kepada penduduk kampung ? Adakah kerajaan tidak bercadang untuk menyelaraskan hal ini dengan kerajaan negeri?" soalnya.

Menjawab persoalan yang ditimbulkan itu, Muhammad berkata kerajaan pusat tetap akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Negeri bagi menyalurkan segala bantuan peruntukan dan maklumat.

"Kita tidak mahu 'tersekat-sekat', takut maklumat lengkap kerajaan pusat tidak sampai ke bawah.

"Untuk berhubung dengan ketua-ketua kampung, kita akan berurusan secara terus tanpa perantaraan kerajaan negeri," ujarnya.

Hal tersebut adalah disebabkan dakwaan yang menyatakan bahawa tindakan kerajaan Pakatan rakyat khususnya di Selangor yang bersikap agresif setelah mengambil alih pemerintahan di negeri tersebut.

"Mereka bertindak menghalau radio Selangor FM, menukar jawatan ketua-ketua kampung, tidak membenarkan wakil-wakil rakyat BN merasmikan mesyuarat agung sekolah-sekolah agama kerajaan negeri serta tidak membenarkan BN menggunakan dewan orang ramai dan balai raya," ujarnya.

Mengulas lanjut dakwaan tersebut, Mohd Yusof berkata situasi di Kedah adalah berbeza dengan apa yang dinyatakan Muhammad.

Ini kerana menurutnya, penyokong PAS ternyata lebih rasional dalam mengikut arahan JKKK yang sebelum ini merupakan lantikan kerajaan BN sebagai membuktikan kelunakan pemerintahan PAS di Kedah.

Beliau berharap kerajaan pusat akan memberikan kerjasama yang baik kepada kerajaan negeri Kedah. - mks.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |