+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 4, 2008

Gesa Muhyiddin, Rais dirujuk ke Lembaga Disiplin

Utusan Online

KUALA LUMPUR 3 Jun - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Dr. Rais Yatim perlu dirujuk kepada Lembaga Disiplin kerana sering mempertikaikan keputusan parti dan meluahkannya menerusi akhbar.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, perkara terbaru yang dibangkitkan kedua-dua pemimpin itu ialah mengenai kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor ke dalam UMNO baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan Muhyiddin dan Rais itu menampakkan kelemahan parti di mata rakyat selain memberi ruang kepada parti pembangkang untuk mengambil kesempatan terhadap pergolakan dalaman UMNO.

''Baru-baru ini, seorang menteri dan dua ahli Parlimen UMNO dikatakan boleh dihadapkan kepada Lembaga Disiplin parti kerana bertelingkah di dada akhbar kerana menyalahi pekeliling yang melarang masalah dalaman parti dibangkitkan di luar UMNO.

''Kenapa dua pemimpin ini tidak boleh diambil tindakan seperti mereka bertiga," katanya kepada Utusan Malaysia di lobi Parlimen hari ini.

Akhir bulan lalu, Muhyiddin berharap tindakan beberapa bekas pemimpin PKR menyertai semula UMNO adalah ikhlas dan bukan satu perangkap seperti 'hadiah kuda Trojan'.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, Rais membangkitkan rasa hairannya dengan sikap terlalu mudah UMNO menerima kemasukan Mohamad Ezam berbanding penerimaan bekas ahli Parti Melayu Semangat 46 (S46) sebelum ini.

Musa memberitahu, semua ahli UMNO perlu ikhlas terhadap perjuangan parti dan tidak sesekali mempertikaikan keikhlasan individu yang berpindah parti.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, semua pemimpin terutama ahli MT perlu mematuhi arahan Setiausaha Agung UMNO untuk tidak mendedahkan sebarang pertelingkahan dalaman parti menerusi akhbar.

''Semua pemimpin UMNO perlu akur untuk menjaga keharmonian parti keramat itu bagi mengelakkan salah faham antara pemimpin atasan dengan bawahan yang memungkinkan terjadinya pertelingkahan.

''Kalau pemimpin atasan boleh mengeluarkan kenyataan sewenang-wenangnya, bertelingkah antara satu sama lain di dalam akhbar, ia menunjukkan kelemahan pentadbiran,'' ujarnya.

Syed Ali juga berharap semua pemimpin UMNO menunjukkan sikap bertanggung jawab supaya ahli-ahli di peringkat akar umbi dapat menghormati antara satu sama lain.

Katanya, ia termasuklah menyelesaikan masalah di peringkat bahagian tanpa melibatkan campur tangan daripada pihak media.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |